Pernahkah kita mendengar hadis nabi, yang bermaksud: “Sebaik-baik harta itu ialah, harta yang berada pada tangan orang yang salih.” (Riwayat Imam Ahmad dan Thabrani).
Mengapakah begitu? Jawapannya mudah, hanya orang yang salih sahaja yang tahu dan mampu menggunakan hartanya ke jalan yang diredai Allah SWT.
Allah SWT mahu agar kita, manusia menjadi orang yang berharta. Dalam erti kata lain, Allah tidak mahu kita merasa selesa dengan kemiskinan. Hidup dalam serba kesusahan. Kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Sebab itulah Allah SWT berlaku adil dengan memberikan semua manusia peluang yang saksama membina kehidupan. Allah menyatakan di dalam Al-Quran: “Dan Dia (Allah) mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia (Allah) mencukupkan (hidupmu).” (Ad-Dhuha: 8)
Begitu jugalah firman Allah di lembaran Al-Jumuah ayat 10: “Apabila telah ditunaikan solat maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurniaan Allah.” Semuanya mendorong kita mencipta kejayaan dan kekayaan dalam hidup.
Apabila manusia menjadi kaya, maka mereka mudah melaksanakan kewajipan sesama insan. Saling memberi dan saling berbahagi. Seperti sebuah lirik lagu nyanyian Opick dari Indonesia: “Alangkah indah, orang bersedekah, dekat dengan Allah, dekat dengan sunnah. Takkan berkurang, harta yang sedekah, akan bertambah, akan bertambah”.
Walau bagaimanapun, sejarah juga menunjukkan betapa ramai umat manusia yang mendapat kekayaan akhirnya lupa daratan. Mereka menjadi manusia takbur, sombong dan mengingkari arahan Tuhan. Sifat belas kasih sesama insan bertukar menjadi kedekut, pemeras dan penindas.
Hal ini berlaku sepanjang zaman. Allah SWT ada memberi ingat: “Maka kami benamkan Qarun berserta rumahnya ke dalam bumi, maka tidak ada baginya satu golongan pun yang boleh menolongnya…” (Al-Qasas: 81)
Qarun adalah sepupu Nabi Musa a.s. Dia berfahaman bahawa setiap sen harta yang dia miliki adalah mutlak miliknya. Qarun mengingkari nasihat Musa agar memberikan sedekah dan menyantuni sesama manusia. Kemuncak keingkarannya, Qarun bertindak menindas dan menganiayai kaumnya dan menafikan hartanya itu adalah kurniaan Allah SWT. Mungkin, Qarun adalah pencetus mazhab kapitalisme di dunia ini. Maka, sebagai balasan ke atas keengkarannya itu, dia ditenggelamkan ke dasar bumi dan tenggelamlah juga segala keegoannya yang menguasai diri.
Hakikatnya, Islam mendidik manusia yang berharta agar menjadi manusia mulia. Di samping itu, tiada sebaik-baik tauladan dapat dikutip, melainkan tauladan yang diberikan Nabi Muhammad SAW. Nabi menyatakan: “Bukan orang yang beriman, sesiapa yang tidur malam dengan perut kekenyangan; sedangkan dia mengetahui bahawa jiran di sebelahnya sedang kelaparan,” (Hadis Riwayat At-Thabrani dan Al-Baihaqi)
Nabi Muhammad yang juga digelar al-amin, iaitu sangat kepercayaan telah menunjukkan contoh bagaimana menyantuni sesama manusia. Sesungguhnya nabi mendidik manusia dengan akhlak dan juga kata-kata. Sesuai dengan kajian pakar psikologi, bahawa didikan dengan akhlak sememangnya lebih berkesan. Akhlak nabi adalah cerminan diri baginda. Rasulullah SAW sering digambarkan oleh para sahabat, bahawa baginda sentiasa menaungi golongan miskin, anak-anak yatim dan ibu-ibu tunggal sehinggalah mereka merasa begitu aman di bawah nabi.
Seerah nabawiyah juga menceritakan, bahawa di Madinah semasa hayat nabi ada sekelompok manusia yang mendambakan diri sepenuh masa untuk berjuang dan berjihad di jalan Allah. Golongan ini tinggal di serambi Masjid Nabi. Nabi sendiri amat menyantuni golongan ini. Golongan ini dinamakan ahlus-suffah, yakni golongan yang amat miskin dan daif. Mereka sering kelaparan dan tidak mempunyai tempat tinggal kecuali tinggal beramai-ramai di As-Suffah. Mereka tidak mempunyai pakaian yang cukup untuk melindungi diri mereka dari kesejukan. Sebahagian mereka hanya mempunyai pakaian yang menutup hingga ke paras lutut dan sebahagian yang lainnya pula mempunyai pakaian yang tidak pun mencecah tumit. Pendeknya ahlus-suffah ini bolehlah dikategorikan sebagai golongan fakir atau mengikut istilah kini digelar golongan miskin tegar.
Namun begitu, golongan ini bukanlah hanya berpeluk tubuh sahaja. Bahkan mereka juga terdiri daripada para pejuang Islam. Antara sahabat nabi yang dikenali sebagai ahlus-suffah ialah Abu Hurairah r.a, Abu Dzar Al-Ghiffari r.a dan Saiyidina Bilal bin Rabah. Sesuai dengan taraf dan darjat keimanan mereka, sayugialah nabi amat memelihara kemaslahatan ahlus-suffah ini bahkan adakala melebihi perhatiannya kepada anak menantu baginda sendiri. Pernah Fatimah r.ha anak perempuan nabi, memohon seorang tawanan perang bagi membantu kerja-kerja rumahtangganya. Namun nabi menyatakan: “Patutkah aku memberikan kamu seorang pelayan dan meninggalkan ahlus-suffah kelaparan?”
Demikianlah tegasnya seorang utusan Allah SWT apabila berhadapan dengan kepentingan umat dan keluarga, baginda sentiasa mendahulukan kepentingan umatnya.
Kesimpulannya, harta hanya akan benar-benar menjadi bermanfaat apabila ia dilaburkan ke jalan yang hak. Hanya muslim yang salih sahaja akan melakukan sedemikian. Bukan senang mengawal harta, kerana ramai orang harta bertakhta di hatinya. Lalu, Islam telah menyediakan jalan keluar untuk kita, iaitu sedekah, zakat, infaq, wakaf, jariah dan sebagainya lagi. Maka, terpulanglah kepada kita untuk membuat perhitungan. Sebagai penguat jiwa, marilah sama-sama kita menekur akan sebuah hadis, saat Rasulullah SAW pernah membayangkan, seorang manusia berkata: “Hartaku! Hartaku! Padahal hartanya yang sebenar-benarnya ada (hanya) tiga jenis (sahaja), iaitu (1) apa yang dimakan lalu habis; (2) apa yang dipakainya (pakaian) lalu lusuh dan (3) apa yang disedekahkannya lalu tersimpan (untuknya di akhirat). Selain daripada tiga perkara di atas, lenyap (hartanya) atau ditinggalkannya bagi orang (manusia) lain (sebagai pusaka).” (Hadis Riwayat Muslim)
Wallahua’lam.