Jumaat, Jun 13, 2008

Turki yang hadir dalam doa


Hati saya terguris luka membaca posting Abu Saif di dalam blognya (saifulislam.com). Saya tersentuh mengenangkan betapa sukarnya muslimah Turki mahu mengamalkan syariat agama mereka sendiri. Satu syariat yang asasi. Iaitu bertudung.

Saya tahu, Abu Saif lebih luka lagi hatinya. Beliau pernah menghirup segar udara dua benua itu. Menikmati aroma musim bunganya. Menikmati akrab persahabatan para manusianya. Menjengah kembali masjid Aya Sophea dan menelusuri kembali sejarah kegemilangan lama. Ah…nostalgia. Dan sesungguhnya, saya mulai tertarik kepada blog beliau pun, setelah membaca catatan-catatan pengalaman Abu Saif di sana. Bersama pakcik tua pemurah yang menumpangkan beliau, dalam kembara ilmu dan ukhuwwahnya.

Jujurnya, saya sendiri begitu kepingin melewati Turki. Negara yang dahulunya pernah menjadi tapak daulah Islam. Ya, sebelum kebebalan manusia yang pelupa meranapkan sebuah khilafah pada 1924 yang parah. Saya ada membeli dan membaca sebuah buku mengenai Turki, ada foto Attartuk di hadapannya. Saya tahu serba sedikit, itulah manusianya yang mengelamkan terus sejarah gemilang Turki. Bapa pemodenan kononnya, lebih jelas adalah bapa sekularisma!

Saya sendiri gusar dengan masa hadapan Turki. Mampukah Recep Tayyib Erdogan dan Abdullah Gul mengekalkan dominasi kuasa. Dominasi yang menentukan mukaddimah ke arah perubahan positif yang kekal. Memang kuasa adalah perlu. Di Malaysia sendiri kita sibuk berbicara soal kuasa. Dengan kuasa jugalah, seseorang mampu menurunkan harga minyak petrol yang kini menggila. Tapi, di Turki mereka tidak kecoh isu naiknya minyak atau bahan bakar. Kerana mereka lebih bimbang dengan maruah agama. Apalah ada lagi pada muslimah yang solehah, jika mahkotanya dijaja merata-rata. Bukankah rambut itu aurat yang perlu dirapi dari sentuhan mata lelaki yang ajnabi?

Saya hanya mampu menekur dahi di lantai kehambaan, moga-moga Tuhan yang Maha Qahhar akan menentukan kemenangan dan kekuasaan mutlak terus berpihak kepada yang benar. Selebihnya, mengajak para sahabat dan kawan juga anda…para pembaca blog ini, agar sama-sama menadah tangan. Mohon agar Islam kembali gemilang dan cerlang di Turki. Meranapkan angkuhnya puing-puing sekularisme yang kini masih samseng mempamerkan taringnya!

Sila kunjungi: http://saifulislam.com/?p=2054#more-2054 untuk tulisan lanjut mengenai isu ini.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

wala pulos imo blog.

Abang Long berkata...

Salam hormat wahai saudaraku.

Bukan sedikit kebimbangan saya dengan dengan keadaan umat Islam di Turki. Yang anehnya, tentera kelihatan begitu berkuasa, seolah - olah tidak boleh disentuh langsung.

U-HAH berkata...

Salam kembali,

Sdr Abang Long,

Turki memerlukan satu gerakan tajdid atau islah yang mengakar. Suatu upaya yang bersifat merubah pemikiran sekular kepada islami, khususnya di kalangan tentera. Selain itu, saya tidak pasti adakah turki juga memerlukan satu bentuk 'rampasan kuasa' dari kalangan tentera, jeneral yang sekular diganti yang lunak dengan Islam...itu pun jika mampu dilakukan. Nampaknya, cara berdiplomasi menerusi demokrasi hampir tidak berkesan di sana.

T/Kasih di atas kunjungan sdr.