Isnin, Disember 10, 2007

Jom Heboh @ Jom Leboh…


Siri terakhir program di atas diadakan di Shah Alam. Pelik, setahu saya Selangor kononnya tidak begitu merestui acara ini diadakan di bandar raya mereka yang menurut sesetengah pihak adalah Bandaraya Melayu-Islam terbesar di Malaysia. Saya pergi kerana ditugaskan, jika tidak lebih baik saya layan anak isteri di rumah dari ke program yang lebih banyak memeningkan itu…

Saya pusing-pusing juga sekitar tapak program, kot-kot ada gerai buku. Kata orang muda, hampeh…bayangnya pun tak ada. Yang banyak ialah segala macam kedai hiburan, artis bersepah di sana sini, kecoh dan kepoh sampai dah tak hirau soal aurat, tidak perduli waktu solat!

Hampir atau lebih 90% pengunjung program ini ialah orang Melayu. Memang jelas, orang Melayu adalah pencandu hiburan. Hidup mereka boleh jadi seperti ayam berak kapur jika tiada hiburan. Sudah muak agaknya dengan segala hiburan di rumah, maka mereka heret anak bini untuk berhibur pula di luar rumah. Manalah tahu, ada rezeki dapat bersalam dan bergambar dengan artis kesayangan.

Saya ragu dan amat was-was, benarkah bangsa Melayu khususnya mereka yang tinggal di Selangor ini mampu membina wawasan masa hadapan yang gemilang dan paling aula 'syariah compliance'? Sementelah Selangor amat bangga dan acap benar memalu gendang bahawa ia adalah negeri maju pertama di Malaysia. Bahkan Shah Alam berhasrat menjadi bandar raya mapan dan bestari (sayang, ejaan mampan yang digunapakai pun salah, ia ditulis MAMPAN…sebenarnya MAPAN).

Sayang 1000 kali sayang, umat Melayu – Islam tidak habis-habis disogok dengan hiburan lagha. Akhirnya, artislah yang menjadi model anak-anak. Hiburanlah yang mencanai pemikiran. Akhirnya anak-anak muda jadi malas berfikir, suka bersantai dan penidur dalam mendominasi kebangkitan Islam.

Kita sepatutnya menyuntik kesedaran kepada anak-anak muda Islam. Mereka harus sedar segala racun dan tuba yang boleh memabuk dan menghanyutkan mereka, ia banyak sekali mengelilingi mereka kini. Mereka wajib bingkas dan berkerja untuk Islam. Tidak cukupkah kita melihat betapa umat Islam di Palestin, di Iraq bahkan di Selatan Thai yang menjadi pelarian dan hamba tebusan di tanah air sendiri.

Akhir zaman ini, memang nabi sebut betapa umat Islam ramai tetapi bak buih yang tiada ketahanan. Namun, itu bukan alasan untuk kita memeluk tubuh membiarkan segala. Kita wajib menjaga diri dan keluarga dari api neraka, kerana itulah perintah Allah SWT. Caranya bagaimana, maka kita kena kembali kepada Islam yang sebenar, bukan Islam topengan atau Islam yang ditokok tambah dengan pelbagai hiasan duniawi. Dakwah dan jihad wajib dipacu. Jika tidak, kita juga akan disoal Allah SWT di akhirat kelak, wallahua’lam!

Khamis, November 29, 2007

DBP: Beranilah menongkah zaman



DBP adalah badan unggul yang diwujudkan demi lestarinya bahasa dan sastera Melayu. Saya amat menghormati institusi ini dek peranannya yang begitu besar. Sejak sekolah rendah saya lebih dahulu kenal logo DBP dan sehingga sudah dewasa kini pun saya suka dengan logo itu, ada semacam unsur sentimental yang mengaitkan logo DBP dengan wibawanya sebagai payung bahasa dan sastera bangsa Melayu.

Semasa musim persekolahan menengah, saya menjadikan majalah-majalah keluaran DBP sebagai teman rapat. Dewan Siswa (DS), Dewan Masyarakat (DM) termasuklah Dewan Budaya, Dewan Bahasa dan Dewan Sastera...kemudian terbit pula Dewan Ekonomi dan Dewan Kosmik. Dewan Pelajar ada juga sekali sekala saya beli untuk adik-adik yang baru bertatih belajar di sekolah rendah.

Kala itu, sentuhan dan kupasan oleh DS dan DM amat bernas sekali. Hingga kini saya masih ingat betapa lunaknya perbahasan oleh Hassan Ahmad (Kaca di jendela), Shamsul Amri Baharuddin (akhirnya jadi cikgu saya di UKM), Zaini Ujang (sekarang sudah menjabat kedekanan di UTM) dan ramai lagi.

Saya telusuri idea yang dilontar dan rasa diri membugar dengan kematangan. Saya tuangkan segala input yang saya cicip dari pembacaan yang tekun itu ke dalam karangan-karangan saya di sekolah, dan ramai guru bahasa saya amat berpuas hati. “Ada isi”, katanya. Namun, pernah juga saya berdebat dengan seorang cikgu bahasa yang saya yakini ‘kurang membaca’ apabila beliau menyanggah penggunaan bahasa saya. Kata saya (ingat-ingat lupa) kala itu “Cikgu patut baca Dewan Masyarakat atau Dewan Bahasa ataupun buka Kamus Dewan.” Tapi saya tak tahu adakah dia sedari kesilapannya sehingga kini, kerana ketika itu sehinggalah saya tamat sekolah tiada sekali pun kalimah “awak betul” dan “minta maaf” terpacul dari mulutnya…manakan saya tidak bengang, karangan saya didakwat-merahkan olehnya!

Kini saya sudah hilang sedikit minat untuk meladeni majalah-majalah ini. Entahlah mengapa, mungkinkah kerana sentuhannya sudah hilang bisa? Namun semalam saya singgah sebentar di sebuah stesen minyak, seusai solat maghrib dan mengelewar sebentar di dalam premis itu…oh ada rak buku dan majalah. Saya lihat ada majalah-majalah keluaran DBP dan saya belek-belek…oh rupanya, ruangan Hassan Ahmad (Kaca di jendela masih ada)…terus saya membelinya.

Saya hanya berharap, bak kata mantan Ketua Pengarah DBP itu dalam tulisannya di Berita Harian (Surat, Rabu, 28 Nov 2007) - “Saya ingin mengingatkan pihak pimpinan DBP supaya mengendalikan badan yang penting ini dengan lebih CEKAP berdasarkan pertimbangan dan WIBAWA ilmu dan lebih BERANI dan tidak takut ditegur dan dimarah oleh pemimpin POLITIK mereka.”

DBP, jadilah anda pemberani yang menakutkan mereka yang bebal tentang bahasa, merosakkan bahasa dan meminggirkan bahasa dan sastera kita!

Rabu, November 21, 2007

Ambil pengalaman orang buat perangsang



Saya mula-mula mengenali Jeniri Amir semasa mengikuti Seminar Pecinta Buku yang pertama pada tahun 2006. Orangnya kecil sahaja tetapi lincah berkata-kata dan tak reti duduk diam. Semasa mendengar ceramahnya, kita rasa tiada masa untuk lalai seminit pun. Dia pandai menarik perhatian audiens.

Kali kedua saya ketemu beliau ialah semasa mengikut Bengkel Penulisan di IKIM.FM tahun 2006 juga. Beliau membentangkan kertas mengenai ‘menulis bagi mendapatkan pendapatan’. Sungguh bertenaga persembahan beliau, antara yang saya ingat, seorang penulis kena cari alasan untuk menulis bukan sebaliknya dan penulis MESTI hantu membaca!

Hari ini saya terjumpa satu artikel, bukan tulisan beliau tetapi mengenai beliau. Ikutilah sedutan tulisan tersebut yang ditulis olhe Roosfa Hashim, dari UKM.

“Jeniri Amir, penulis prolifik dari Sarawak antara sejumlah kecil penulis yang selalu bersedia berkongsi pengalaman peribadinya menulis dan hidup selesa sebagai penulis. Dalam masa dua puluh tahun, Jeniri telah menulis hampir seratus judul buku dan beratus-ratus rencana untuk akhbar dan majalah. Beliau diberi anugerah dalam kategori penulis Malaysia paling prolifik melalui Anugerah Buku Malaysia 2005, selain mendapat hadiah dalam Anugerah Buku Unimas 2007.

Mengenali Jeniri dengan lebih rapat, bekas guru, wartawan dan kini pensyarah bidang komunikasi di Universiti Malaysia Sarawak ini memang rajin menulis dan mendapat banyak wang dengan menulis. Beliau ‘gila’ membeli buku. Pejabatnya di Unimas cuma tinggal ruang kecil untuk pelajar datang mendapatkan nasihat dan rundingan. Di rumah dua tingkatnya, di Kampung Pinang Jawa, Petrajaya juga ada sebuah kamar besar yang sarat dengan buku.

Melihat keadaan rumahnya, kenderaan yang dipandunya dan cara hidupnya, dapatlah disimpulkan Jeniri memang buat duit dengan menulis buku, atau menghabiskan duit dengan membeli buku.

Jeniri menghabiskan hari-hari cutinya dengan menulis. “Nilai baki cuti tahunan kalau ditukar dengan wang selepas bersara tidak sebesar mana pun, lebih baik digunakan untuk menulis, pulangannya lebih besar bukan sahaja kepada penulis tetapi besar juga manfaatnya kepada pembaca,” jelas Jeniri bagaimana beliau memanipulasi cuti rehat tahunannya untuk menulis”

(Utusan M'sia, 21 Nov 2007, hal. 11)

Selasa, November 20, 2007

Mengarang…susah sangatkah?

Saya ada beberapa orang kenalan (sama ada rapat atau sekadar kenalan biasa) yang memang suka membaca. Ada di antara mereka yang apabila berbual, memang nampak luas ilmu pengetahuannya. Itu maknanya dia memang kuat membaca. Salah seorang kawan saya, selalu membayangkan untuk menjadi penulis. Dia selalu menceritakan, betapa penulis Barat jadi kaya raya hanya dengan menulis…J K Rowling lah (Harry Potter), J R R Tolkien (Lord Of The Ring) dan entah siapa-siapa lagi…ramai yang dibariskannya.

Saya sarankan kepada dia, agar mula menulis. Sementelah saya tahu nature kerjanya yang kekadang banyak rehat dari sibuk. Sayangnya, setiap kali saya singgah ke pejabatnya…dia asyik sibuk melayari pelbagai halaman di internet. Saya katakan: “Jika hang nak menulis kenalah mula dari sekarang. Jika tidak sampai bila-bila pun hang tak akan mula…”

Begitulah. Tabiat manusia selalunya suka menangguh. Pepatah rangtua mengatakan, di mana ada kesungguhan maka di situ ada jalan. Hendak seribu daya tiada hendak seribu dalih tercipta. Maka, janganlah kita mencipta seribu alasan sedang orang lain mencipta seribu peluang…inilah lebih kurang bicara Dr Fadzilah Kamsah pakar motivasi kita.

Memang diakui, menulis perlukan bakat. Tapi percayalah, pra-syarat utama sebelum menulis mestilah membaca. Saya dahulu suka menulis, kemudian pernah satu period saya jadi malas membaca. Majalah berat saya tinggalkan, akhbar pula sekadar pandang-pandang…akhirnya saya dapat rasai minda saya berkarat dan jadi tumpul. Apabila mula mengarang, idea susah hendak muncul. Akhirnya saya jadi bosan menulis dan bakat yang ada pun kian terhakis. Maka, moralnya bakat sahaja tidak cukup jika tidak diasah dengan pembacaan.

Di samping itu, benar kata SN Shahnon Ahmad, pengalaman hidup jadi inspirasi berharga buat seseorang berkarya. Pengalaman beliau tentu sahaja tidak sama dengan kita. Perbezaan itulah rahsianya, itulah modal kita. Saya pernah mengarang cerpen Opah yang tersiar dalam majalah Anis tahun 1997, dan kisah itu adalah pengalaman sebenar saya. Saya karang lagi cerpen Juweeta dan tersiar dalam majalah Muslimah tahun 2000 dan itu juga kisah benar saya semasa di alam kampus. Manakala cerpen Mujahideen yang tersiar di Anis tahun 2001 adalah garapan semasa saya mewakafkan diri di program tafaquh fid deen di Madrasah An-Nuriah, Melaka. Maknanya, pengalaman mencetuskan ilham yang merangsang indera lalu lahirlah karya.

Nah! Bukan susah mengarang. Ramadan lalu, saya tersentuh dengan senario masjid yang agak kurang mesra pengguna lalu keluarlah artikel ‘Mesrakah Masjid Kita Dengan Kanak-kanak?’ dan ia tersiar di ruangan Rencana Utusan Malaysia. Saya sendiri terkejut, dengan sekali hantar ia terus keluar. Apabila keluar sahaja artikel, itulah kepuasan yang saya perolehi. Wang bukan ukurannya kerana bukan senang sebuah rencana untuk disiarkan, apatah lagi dalam akhbar perdana seperti itu.

Moralnya, setiap orang mampu mengarang. Bak tajuk filem ‘Jangan pandang belakang’, seorang pengarang pun kena bersikap sedemikian. Pandanglah ke hadapan, duduklah di hadapan komputer dan ketuklah papan kekunci anda…ciptalah ayat, binalah plotnya dan mainkanlah watak-wataknya atau fikirkanlah tema yang mengesankan pembaca…selamat mengarang!

Isnin, November 19, 2007

Tok Angkat Sudah Tiada...

Semalam saya menerima SMS..."Tok Bakar dari Banggol Belimbing meninggal dunia maghrib tadi..." - Innalillahiwainna ilaihirojiun...al-fatehah.

Ya, itulah tok angkat saya. Tok yang saya kenali dalam masa yang tidak begitu lama tapi meninggalkan kesan mendalam di jiwa. Hadirnya tok Bakar bagaikan memberikan dasar kepada saya, iaitu dasar dalam pegangan beragama.
Masih basah di lipatan memori, Tok Bakar memboncengkan saya di belakang motornya dan kami sama-sama mengelek kitab kuning menadah ilmu dari masjid ke masjid dari surau ke surau. Saya pada asalnya rasa tertarik dengan beliau kerana sering melihat Tok Bakar menanti kehadiran kereta atau van untuk ke majlis ilmu di hadapan rumahnya. Saya singgah bertanya dan dengan senang hati mempelawa saya mengikutnya. Maka, bermulalah episod saya dan Tok Bakar dalam mencari sebaris ilmu...bersama.
Semasa itu, saya sedang bergelut untuk menduduki STPM. Opah dan alang awalnya bimbang andai saya gagal dalam peperiksaan kerana kerap keluar setiap maghrib bersama Tok Bakar. Kata mereka, tanggung jawab dan kondisi saya dan Tok Bakar berbeza. Beliau adalah polis pencen sedang saya masih belajar. Saya nyatakan, tidak mengapa, bahkan saya lebih suka cara begitu. Ada ketenangan dalam jiwa dan ada kekuatan seni yang sentiasa membara. Maklumlah, saban malam meneleku di lantai surau dan masjid menghadap Tok Guru yang ikhlas dan tawadhu', pasti sahaja auranya turut meresap ke dalam diri kita...itulah andaian saya.
Akhirnya, benar...saya cemerlang juga dalam STPM dan dengan mudah diterima memasuki IPTA. Semasa itu semua orang buka mata bahawa tiada ruginya saya mengekori Tok Bakar saban malam. Apa yang penting ialah kebijaksanaan dalam mengatur kehidupan, ada masa untuk bersukan, belajar dan menadah kitab. Jangan diabaikan dengan pelbagai alasan...saya sudah pun membuktikannya.
Apabila ke universiti, Tok Bakar sudah tiada teman membonceng motorsikalnya lagi. Saya masih ingat benar, bila pulang cuti semester Tok Bakar ceria menceritakan keadaan dirinya. Kata beliau, ramai orang bertanya..."Mana cucu tok?" Kata beliau: "Cucu aku pergi belajar dengan Dr Harun Din..." Begitulah jawapan santai Tok Bakar yang saya hidu ada rasa kekaguman di situ...cucunya pandai sebab itulah dapat masuk U!
Sebenarnya Tok Bakar ada kisah tersendiri. Semasa beliau muda belia, beliau adalah polis yang memang digeruni. Ingat lagi kata beliau: "Dulu tok garang...bila ada sekatan jalan orang takut dengan tok, tak sangka dah pencen ni tok pula takut denga orang tu...sebabnya orang itu dah jadi tok guru tok!" Ya, orang itu ialah Aruah Tok Fakih Siddiq yang kami sama-sama tadah kitab itulah.
Tok Bakar juga meninggalkan kesan mendalam dalam jiwa saya kerana berkat endorsementnyalah, maka urusan perhubungan saya dengan isteri berjalan dengan amat-amat baik. Panjang ceritanya...namun ia amat mengesankan. Tanpa saya sangka, Tok Bakar itu benar-benar mempunyai talian kekeluargaan dengan keluarga sebelah isteri saya, lantaran hubungan baik dengan Tok Bakar itulah akhirnya mereka dengan mudah meyakini saya untuk menjadi sebahagian dari ahli keluarga mereka. Saya tersenyum tatkala anak Tok Bakar yang saya panggil kakak mengatakan: "Akhirnya kamu benar-benar jadi cucu tok..."
Tok Bakar, semoga roh tok dirahmati Allah. Semoga tok aman di alam barzakh. Jasa tok amat banyak, sekurang tidaknya mengertikan kehidupan sebenar kepada saya, kenal siapa kawan siapa lawan. Semoga Allah menyayangi tok sebagaimana tok pernah menyayangi saya...amin.

Jumaat, November 16, 2007

SN Shahnon Ahmad: Legasi Bangsa dan Agama

Seminar Pemikiran Sasterawan Negara (SN) Shahnon Ahmad diadakan di DBP pada 13 - 14 Nov. Teruja hati mahu mengikutinya, sementelah SN Pak Shahnon adalah idola saya. Malangnya ia diadakan pada waktu berkerja dan hasrat itu terbantut begitu sahaja (cuti hampir habis dan saya terpaksa memperuntukkannya demi hal-hal mengejut luar jangka).

Sekolah pemikiran Pak Shahnon memang berbeza dengan lain-lain Sasterawan Negara. Kenapa? Saya berpandangan begitu kerana beliau sering menghasilkan karya yang mencabar daya fikir. Bagi saya, karya beliau memang kaya intelek. Ia membumi sifatnya dan tidak seperti di kayangan. Apa yang dipaparkan adalah realiti dan unsur figuratif amat kurang. Beliau bersifat jujur dan telus, walaupun tidak sedikit merengus menahan sakit dicucuk mata penanya.
Banyak karya beliau yang membedah ketembelangan manusia - khususnya golongan atasan, tiada mengira sama ada elit pemerintah, juak pentadbir mahu pun masyarakat marhaen. Saya tidak berkesempatan mengikuti keseluruhan karya beliau, tetapi saya sempat menekuri beberapa naskhah seperti Tok Guru, Umi dan Abang Syeikhul, Debu Merah (antologi cerpen), Detik-detik Diri Di Daerah Daif, Lamunan Puitis (masih menekuninya), Shit, Perjalananku Sejauh Ini: Sebuah Autobiografi, Setitis Embun Semarak Api dan entahlah...mungkin ada beberapa naskhah lagi.

Saya terkesan tatkala Pak Shahnon jujur mengakui, beliau terpaksa akur dengan arus sastera lewat 1950-an sehingga 1960-an yang sentiasa peka dengan kemelut masyarakat marhaen khasnya bangsa Melayu dan lantang mengkritik golongan birokrat yang terlalu meremehkan setiap sesuatu. Saya sempat mengingat, betapa di dalam cerpen Borang G. 47 beliau membayangkan kemelut dan karenah birokrasi yang menyusahkan...bahkan kata beliau, elok segala birokrasi itu dinyahkan sahaja!

Kini, Pak Shahnon bagai teronggong sendirian dalam meniti usia di penghujung senja. Banggul Derdap masih membugar dalam mindanya walau kini kata beliau, sungai sudah mati dan gunung-ganang yang memagari tanah kesayangannya sudah lunyai dilantak jentera bermata besi.

Alangkah...alangkah besarnya jasa Pak Shahnon kepada kesusasteraan bangsa. Sayang saya tidak sempat berguru dengan beliau, mujurlah saya sempat juga menemuinya beberapa kali secara live. Memang, beliau ialah tipa manusia yang merendah diri, tidak mahu dipuji-puji dan amat telus dalam memberikan pandangan walau ia kadang kala pahit menikam hati.

Tepatlah pemilihan panel penilai lebih 20 tahun lalu apabila menobatkan Pak Shahnon sebagai Sasterawan Negara Ke Dua (1982) selepas Allahyarham SN Keris Mas (Kamaluddin Muhammad).

Abang Yang dapat hadiah...




Saya punya empat anak, dua lelaki dua perempuan...dua pasanglah. Along paling cool, mungkin sebab dia anak sulung, lagi satu dia suka berimaginasi dan suka membaca...sama macam abi dialah (he...heh...). Abang Yang pula anak yang paling banyak mulutnya setakat ini. Dia pandai ambik hati orang, bermulut manis dan pandai bercerita. Waktu kecil dahulu, saya rasa Abang Yang lah yang paling kuat bila berteriak (nangislah...), memang bingit dibuatnya. Tarikh lahirnya pun paling cantik...001123...

Abang Yang ni masa mula-mula masuk sekolah ialah di Pasti Serendah. Dia rapat dengan kawan-kawan di sana dan pernah jadi favourite player masa wakil sekolah di dalam Futsal Games...badannya cinoni tapi pandai menggelecek. Semasa pindah KL, antara perkara yang merungsingkan saya dan isteri ialah persekolahannya. Abang Long rasanya dah boleh coupe dengan suasana, kerana Abang Long dah masuk tiga sekolah, first Pasti, second SRIP di Desa Melawati dan Third Al-Amin di Rawang. Lagi pun Abang Long cool...

Betul! Gamat satu sekolah, abang Yang menjerit sakan sejak hari pertama persekolahannya. Umi tidak dibenarkan balik. Saya dan isteri terpaksa memujuk tapi 'tak makan' melainkan kami lari curi-curi balik...sama sahaja, baik di sekolah kebangsaan mahu pun di sekolah agama. Sampai hari ini, bila saya bertemu guru-guru di sekolahnya, mereka kenal saya bapa Ihya' Hakim...murid yang kuat menangis tapi la ni dah jadi amat friendly dan favourite student di kalangan guru-guru.

Alhamdulillah, Abang Yang telah membuktikan dia bukan sekadar kuat menangis semasa mula-mula sekolah; bahkan otaknya pintar. Syukur kerana Allah berikan dia akal yang cerdik...nah, inilah antara gambar yang sempat abi ambil semasa majlis Ihtifal di sekolah agamanya (Abang Yang dapat nombor dua di sekolah kebangsaan dengan terbaik subjek Bahasa Arab dan nombor satu di sekolah agama dengan terbaik empat subjek)...Congratulations Abang Yang!

Rabu, November 14, 2007

'Demokrasi Oh Demokrasi'


10 Nov 2007 gempar di KL. Gempar kerana ramai rakyat marhaen datang kerumun di pusat KL. Gempar kerana jalan-jalan raya jadi sesak. Gempar kerana polis pakat tahan kenderaan. Gempar kerana pakcik-pakcik ‘Topi Merah’ siap pegang cota buat barisan. Gempak kerana aku naik LRT dan komuter penuh sesak dengan manusia. Gempak kerana warna kuning melatai jalan raya…

Aku joint sekali ke perarakan Bersih ni? Apa ke benda Bersih tu? Apa depa nak dari kita semua…para rakyat jelata? Apa depa nak bagi pada Agong?

Aku jujurnya simpati dengan Bersih. Aku bukanlah penggiat Bersih, jauh sekali perancangan gerakan itu. Aku hanya pemerhati yang suka memerhati dan sesekali memberikan opini. Mungkin bila orang dengar aku berbicara soal Bersih, maka depa kata aku mirip oposisi.

Lantaklah. Malaysia negara demokrasi. Hak menjadi ahli mana-mana parti terserah…tak nak jadi ahli mana-mana parti pun terserah. Nak mengundi pun terserah tak nak mengundi pun terserah. Pendek kata, demokrasi yang disarungkan ke tubuh badan Malaysia membolehkan kita menjadi rakyat yang bebas dan berkuasa. Bebas memilih dan berkuasa memilih…gitulah pandangan aku!

Aku bersahabat dengan orang-orang Umno, bersahabat juga dengan orang KeAdilan dan berkarib juga dengan orang PAS. Aku pernah berhujah sampai dua tiga pagi…semata-mata nak menegakkan pandangan aku. Aku pernah tepuk lantai surau kerana marah. Aku pernah hampir kena tumbuk kerana bertengkar…tak apalah, setidak-tidak ia menjadi kenangan dan pengajaran yang membentur pengalaman diri. Jadilah aku seperti hari ini.

Aku suka menulis bab politik walau di universiti aku bukan pelajar Sains Politik. Aku buat latihan amali di akhbar pembangkang. Tesis aku pun tentang pembangkang. Tapi kena diingat, aku bukanlah pembangkang membuta tuli. Bahkan aku suka menyatakan, jika memberikan pandangan berbeza itu adalah kebaikan, ia adalah pilihan. Sebaiknya ia dianggap nasihat. Bodohlah jika setiap yang berbeza dinamakan membangkang…bodohlah.

Aku bertanding di kampus, dengan jubah serban dan hampir gagal mendapat tandatangan sokongan pendaftar dan siap ditempelak lagi, kenapa aku dari aliran Sains Sosial tetapi berperwakan lebih dari bakal ustaz di Fakulti Pengajian Islam. Aku perduli apa…demokrasi! Tapi pegawai universiti itu bebal, dia suruh aku ikut cakap dia…perduli apa aku. Akhirnya aku menang besar, calon lelaki kedua menang undi terbesar di kolej, termasuklah undi para siswa cina dan India (termasuklah yang perempuannya...walau depa kata aku anti perempuan...depa la kata). Jadi, siapa kata lelaki berjubah dan nampak ‘fanatik’ agama tak boleh menang…aku sudah pun membuktikan!

Aku bukan benci orang dari parti mana-mana. Aku benci kepada kelaku yang suka melanggar norma dan batas agama. Menipu dan pecah amanah. Salah guna kuasa dan mementingkan diri. Cakap tidak sama bikin dan suka mencari aib orang lain. Jadi, benda itulah kena ditegur. Salahkah…?

Rabu, November 07, 2007

Foto Semasa Raya...sorry lambat noo up-load





























Berikut ini adalah foto yang diambil masa raya...tak banyak sangat, banyak lagi yang diambil oleh adik ipar saya Amar

Sekitar Seminar Penulisan Cereka di ASWARA pada 3 & 4 November 2007

Saya dan Mana Sikana (tok guru ni)

Bersama S. Othman Kelantan (yang telus dan berani)




Saya, Dr Mawar dan Azizi
Gambar ini semuanya kurang tersusun...maaflah












Mawar, Nisah, Azizi dan suami Nisah

Hisyam Salim dan FT





Isnin, November 05, 2007

Seminar Penulisan Cereka



3 & 4 November 2007, saya mengikuti Seminar Penulisan Cereka di Kampus Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan di Jln Tun Ismail, belakang Bank Negara (awat la depa tak letak papan tanda kat luaq, jenuh aih chek caghi...). Anggaran peserta yang sepenuhnya ditaja oleh Aswara ialah 200 orang; tetapi yang datang hanya dalam lingkungan 100 sahaja (bahkan kian merosot selepas majlis perasmian dan hari kedua!).

Tema seminar ialah mengenai memartabatkan sastera bangsa. Alhamdulillah, di seminar ini telah berkumpul ramai sasterawan dan penggiat dunia penulisan dalam satu masa. Dua orang Sasterawan Negara iaitu Dato’ A. Samad Said dan S. Othman Kelantan telah hadir. Azizi Hj. Abdullah, Dr Mawar Syafie, SM Zakir, Ali Majod, Lim Swee Tin, Nisah Haron, Faisal Tehrani, Salina Ibrahim, Mana Sikana, Dr Anwar Ridhwan dan ramai lagi. Saya sempat menglik beberapa foto digital bersama mereka.

Nanti saya akan up-load kan beberapa foto….

Ya, saya juga dapat beberapa kenalan baru. Baru berjumpa tapi sudah mesra. Hisham dari Terengganu especially…lah, rerupanya dia kawan satu batch dengan abang ipar saya semasa matrikulasi UIA PJ dahulu. Juga Shafiq yang pulang sekejap cuma sementara menghabiskan pengajiannya di Mesir.

Jumaat, November 02, 2007

Jujur pemimpin menjadi cermin...


Menuai padi masak separuh
kicau tiak membuat sarang
Andai hati terasa jauh
Benci tidak orang dibuang

Aduhai, menelaah ucapan YAB Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Dato' Menteri Besar Kelantan ini amat mengesankan. Betapa indahnya susunan bicara, dimulai dengan kalimah Allah yang mulia, terselit pantun terungkap rasa, agar terusik jiwa alpa dan terkuak jendela hati yang sering lagha...benar sungguh, ikhlas hati mencari jalan, jujur lisan mengungkap persefahaman, jangan dirosak segala harapan, dek sempitnya akal menafsir ucapan. Silah tuan...

http://www.harakahdaily.net/bm/index.php/arkib-siku/ucapan-nik-aziz-di-ecer-tazkirah-mursyidul-am-pas-kepada-presiden-umno.html

Tombak jatuh matanya patah
Patah hulu bersambung jua
Sudah dibaca edar-edarlah
Manfaat dikongsi tercapai kiranya

Khamis, Oktober 25, 2007

Raya oh Raya…

Saya berpulang ke Perak pada petang Khamis 11 Oktober 2007. Awal-awal lagi isteri comel saya dah ngajak pulang awal, hajat hati dapat tarawih di kampung. Saya teringat akan masjid Ubudiah di Bukit Chandan. Saya pula nak tarawih dulu di KL. Akhirnya, saya telefon isteri dari pejabat, minta ready awal dan jam 4.30 petang kami pun menderam membelah angin mengintai ke wajah kampung yang melambai-lambai…

“Ambil jalan lama lah ye…?” Saran saya.

“Em…atih kata hati-hati. Jangan ambil laluan tambahan di PLUS Highway yang baru dibuka, bahaya!” Gitulah pula isteri menegaskan.

Kami merentasi jalan KL – Ipoh sehingga ke Slim River. Sempat singgah di pekan Slim untuk membeli juadah berbuka, pun beratur panjang dan banyak yang sudah habis dari yang tinggal. Jam menunjukkan angka 6 petang lebih. Tanpa memikir panjang, saya membeli dua keeping murtabak dan empat keeping roti boom juga air len ci kang. Itu pun jenuh menunggu giliran!

Sebenarnya, isteri sudah pun memasak meehon goring dan menggoreng sosej. Saja je nak menambahkan variasi makanan dan merasai thrill pulang beraya.

Mampir sahaja ke Hentian Sebelah Sungkai, jam menunjukkan kurang lebih 10 minit lagi waktu berbuka. Adik ipar yang hensem menyarankan, singgah sahaja di situ. RnR Tapah masih jauh lagi dan yang dibimbangkan, adakah lagi ruang memarkir kereta?

Rupa-rupanya, hentian sebelah itu juga penuh terisi. Kami dapat parking pun sudah hujung, di susur keluar ke lebuh raya. Adik ipar menukar channel radio dan akhirnya suara DJ Perak FM pun kedengaran. “Senang nak tahu waktu berbuka, jika tidak kena tambah lagi dua minit…” kata beliau.

Di luar jendela, saya lihat ramai betul anak-anak perantauan mengambil peluang berehat dan berbuka. Meriah suasana kala itu. Ada yang membentangkan tikar dan akhbar dan bersila di atas rumput. Masing-masing menyediakan kudapan bagi berbuka. Pengalaman menarik sebenarnya, bagaikan pesta berbuka puasa pula. Kami, cukuplah di dalam kereta. Anak saya masih kecil untuk berada di luar dan tikar pun tiada untuk dibentang.

Sepanjang perjalanan kami dihiburkan dendangan lagu-lagu raya dari corong radio Perak FM. Hati teruja untuk segera tiba ke kampung halaman. Terbayang wajah ibu bapa dan sanak-saudara.

“Ha…macam nilah best. DJ pasang lagu raya aje menjelang hari raya ni, baru meriah nak beraya.” Dan kami sama-sama menyetujuinya.

Sehari sebelum raya, saya ke Bandar Kuala Kangsar. Isteri minta belikan kasut anak bongsu kami yang dah hilang sebelah. Di KK, suasana memang menzahirkan kemeriahan. MDKK membina replica lemang berdekatan bulatan jam lama. Manusia berduyunan membeli-belah dan kenderaan bersusun di jalanan. Mak mertua mintakan saya menukar wang baru untuk angpau raya, jenuh saya menanya dua tiga bank tapi semuanya dah habis.

Saya menerima lebih seratus SMS raya…sekali masuk bertalu-talu. Sakan…saya sengaja biarkan terkumpul dan baca sekaligus. Tiba-tiba, sahabat lama saya Safari yang menjadi juruteknologi makmal di Hospital Sg. Siput menelefon ajak berjumpa. Kami memang dah lama tak jumpa, masa saya ke rumahnya dia tiada…itulah, saya solat Jumaat di masjid India Sg Siput dan kami melabun sakan selepas itu.

Malam raya…Kami hanya sempat berbuka puasa pada malam lasti dan selepas solat Maghrib, kami pakat takbir beramai-ramai. Abang ipar saya lead dahulu. Kami solat di surau rumah abah mertua.

Raya tahun ini adik ipar saya Hakim hanya gantung lampu lip-lap. Tiada panjut sepanjang jalan dan halaman. Ammar yang rajin pulang lewat. Malam raya itu dia masih bergelut membantu kawannya menyiapkan kerja. Jam 8.00 kurang lebih baru dia bertolak dari Penang.

Pagi Raya, kami bangun awal. Planningnya kami nak solat di Masjid Ridwaniah Kuala Kangsar dan selepas itu akan bergambar keluarga. Abang ipar saya insist bebenor. Selepas itu kami pakat berjalan dan hari itu sahaja 9 biji rumah kami lewati.

Anak kedua saya Abang Yang dari awal lagi sudah mengira duit raya.

“Abi…abang yang dah dapat 20 ringgit!”

Setiap kali dapat duit dia tambah, tak silap saya masa pulang KL hari Khamis kemudian, dia sudah mengumpul kira-kira 90 ringgit…tapi jenuh juga saya dan isteri memesan agar dia tidak menyebut kuat-kuat di depan tuan rumah. Maklumlah…anak kedua saya itu memang ramah dan tamah mulutnya, takut nanti terover pulak…malu kompeni dibuatnya!

Ahad, Oktober 07, 2007

Raya yang kurang berseri tanpa iklan

Lebaran mendatang kian mampir, hanya enam hari berbaki lagi! Saya rasa agak suram raya kali ini, di tv kurang benar iklan raya. Saya rasa, banyak syarikat dah perabis duit dengan iklan merdeka, jadi raya dah tak de bajetlah.

Di radio pun sama, iklan raya kurang menyengat. tahun lepas lebih terasa, misalnya iklan talian telefon mudah alih, kisah perbualan seorang ibu (kartina aziz) dengan anaknya yang dok study kat luar negara, kisah bubur lambuk dan ada suara sedih kerana tak dapat bersama...saya suka iklan itu, ia menautkan perhubungan walaupun jauh di mata. Tahun ini, tak ada...tak ada semuanya.

Lagi satu, saya rasa di radio pun kurang main lagu raya. Asyik-asyik dok main lagu ntah apa-apa ntah...kalau main lagu ramadan tu ok le jugak. Lebih bengang depa dok gi psang lagu omputih yang melalak tak tentu butir, apa lah punya deejay...raya tahun sekali, putar le lagu raya lagi baik.

Tapi, ada orang kata main lagu raya kurangkan pahala posa. alasannya, fikiran asyik ingat nak beraya dan lupa falsafah puasa. Saya rasa, ada lagu raya yang mampu menerbitkan keinsafan. Ada yang menyebabkan anak yang dah bertahun enggan pulang ke kampung dek kerana bergaduh dengan saudara-mara atau berselisih faham dengan ibu-bapa, terasa insaf dan mahu pulang ke kampung. Mahu bermaaf-maafan dan sebagainya lah...

Jadi, apa salahnya dengan lagu raya? Cuma, saya KURANG GEMAR dengan new generation punya lagu raya, tak dak roh langsung. Nyanyi sekadar suka-suka, tak de motif untuk mengetuk naluri insan agar memahami hakikat raya. Setakat nyanyi, saya pun buleh...setidak-tidaknya, tirulah black dog bone, m nasir, anuar elina, aman shah, kak pah, uji dan hail amir, dj dave dan ramai lagi. Lagu mereka malar segar hingga bila-bila...

Isnin, September 24, 2007

Suasana Raya Mula Terasa... :-)


Lagu-lagu raya mulai kedengaran di pejabat saya. Sewaktu membeli baju raya anak-anak di super market pun, sudah kedengaran sayup-sayup alunan lagu raya. Saya tahu, pusat membeli-belah sengaja memasang lagu raya untuk membangkitkan ghairah pembeli. Borong sakanlah.



Waktu kecil-kecil dahulu, malam raya lagi sudah tergambar meriahnya. Pejabat Penerangan akan membawa van mereka dan menyusuri sepanjang jalan raya mengumumkan: "Besok Hari raya!"



Masa itulah, anak-anak di rantauan semua berpulangan. Rumah atuk nenek jadi hidup, meriah dan gamat. Di kaca TV, rancangan hiburan masih kurang tidak seperti sekarang. Jadi, sambil membakar lemang merebus ketupat, orang-orang dewasa pun duduklah berbual-bual mengisi masa dan mengeratkan ukhuwwah. Bertanya khabar dan berkongsi cerita sehingga larut malam.



Panjut bersusun dan berceratuk mengindahkan malam Aidilfitri kami. Tiada lamu kelip-kelap. Budak-budak meriah bermain bunga api, meletupkan meriam buluh dan membakar mercun.


Hari raya sangat seronok. Saya akan dikejutkan emak dan kemudian ke sungai untuk mandi. Emak selalu kata begini: "Ju, cepat bangun...raya dah ni!" Masa itu, umur saya baru 6 tahun rasanya.



Saya tidak reti berjalan sangat masa raya, melainkan mengikut rombongan kengkawan. Mak tak pernah bawa saya solat sunat raya. Mak juga tak pernah bawa saya ziarah pusara.



Saya mulai kenal dunia luar tentang hari raya apabila mulai bersekolah. Berpagian kami kengkawan mula mengatur langkah. Kami kunjungi rumah demi rumah. Masjid bukan lagi menjadi agenda, kerana duit raya adalah sasaran utama. Alahai, masa itu jumlah 20 sen begitu berbaloi. Percaya atau tidak, kami pernah diberikan duit raya 5 sen! bahkan, ada sekali tu kami pulang kosong dek kerana tuan rumah buat don't know (doonoo) je walau kami dah berhenti makan dan minum serta memasing bagi klu bertalu-talu!



Kami ke Pekan Lenggong berjalan kaki sahaja. Jaraknya sekitar 3-4 km bukan penghalang. Sepanjang perjalanan, kami singgah rumah kawan-kawan sepersekolahan. Rumah guru menjadi tumpuan, yelah...kami akan dapat lebih duit raya, mungkin 30 sen, 50 sen atau lebih.



Di stesen bas Lenggong, ada apek cina berbasikal roda tiga sedia menunggu. Dia macam tahu, barang-barangnya pasti laku. Kami pun apa lagi, pistol mainan dan entah apa lagi menjadi bekalan pulang ke rumah. Semasa itulah saya belajar berdikari menaiki bas!






Jumaat, September 21, 2007

Kemelut Yang Memerlukan Jawapan

Saya hidup di Malaysia hampir mencecah 34 tahun. Semenjak saya lahir, saya masih mengingati beberapa insiden yang mengesankan di benak ini. Antaranya, saat kejatuhan ekonomi negara/ dunia pada 1980-an sehingga para siswazah banyak yang mengganggur dan pulang ke kampung menoreh berkebun, perpecahan Umno sehingga lahirnya Parti Semangat 46 yang menggegarkan penguasaan Mahathir sehingga menangnya Pas di Kelantan, Perpecahan Umno sekali lagi dengan tersingkirnya Pak Syeikh Anwar pd tahun 1990-an sehinggalah tercetusnya GERAK yang diketuai Allahyarham Datuk Fadil Noor dan kemenangan Pas di Terengganu.

Dari aspek sosial, di negara ini masih terkawal. Kes-kes tragis rasanya kurang berlaku. Namun, mutakhir ini saya amat terkesan dengan pelbagai paparan di media massa. Kes bunuh, rogol, culik, hilang, ragut, buli, along dan sebagainya semakin marak. Ia hampir menguasai muka hadapan kebanyakan akhbar. Terkini, kes adik Nurin yang menguasai semua media massa (sepanjang sebulan ini...)

Saya sedih + marah + jengkel dengan isu-isu seperti ini. Banyak tanda soal muncul di layar minda, menguasai akal fikir dan cuba mentafsir. Kenapa ia terjadi? Kenapa tidak dapat diatasi? Kenapa ia berulang-ulang kali? Kenapa pelakunya begitu tegar dan berani?

Saya hanya melihat satu jawapan, mutlak dan tuntas. Apabila manusia bertindak angkuh dalam mengatur kehidupan sesama manusia dengan membelakangkan Allah (sistem dan hukum-hakamnya), maka Allah akan melepaskan diri-Nya dari menjaga manusia. Tiada lagi kawalan dari Allah (nakaalamminallah). Maka manusia sudah tidak gerun dengan apa sahaja peraturan dan undang-undang. Maka terjadilah segala apa yang telah terjadi.

Persoalan lebih besar, apakah tindakan kita? Carilah jawapannya dari al-Quran dan as-Sunnah, insya-Allah kita akan menemui kaedahnya.

Rabu, September 19, 2007

Ramadan: Meh lihat pengisiannya


Saya jarang buat tarawih 20 rakaat. Dahulu, semasa muda remaja di kampung memanglah saya ikut orang-orang tua buat sampai 20 rakaat. Penat den di bek nyo. Masa itu, saya steady je. Habis tarawih, lepas moreh siap tadarus lagi sampai santak larut malam. Jam 12 gitu baru balik rumah. Opah tak kisah, sebab dia tahu saya melepak di masjid dengan Tok Megat Derauf, Ayah Mad dan Cikgu Yahya (semuanya dah gemulah berpulang ke sisi Allah).

Saya mengkhatamkan Al-Quran setiap berulang masuknya Ramadan. Caranya, saya akan bertadarus sehinggalah khatam bersama-sama jemaah lain. Seronok, kerana kami akan saling memerhati dan saling memperbetulkan bacaan. Kekadang, bermacam lagu dan cara bacaan dibawakan. Ada yang laju dan ada yang perlahan. Semuanya boleh, asal tajwid dijaga mengikut aturan. Masa dengan Tok Megat Derauf, imam masjid kampung saya dulu, penat bertadarus dia pun dengan kuat mengajak…‘jom, hei budak…kite minum teh dulu!’

Gitulah. Dia bukannya nak ingat nama saya. Sampai dah masuk U dia akan cakap kuat-kuat bila berjumpa di masjid: “Hei budak, bila kamu balik? Hah, nanti dah keroje jangan kamu lupe ke tok. Bagi le tok tumpang kerete kamu!”

Malangnya, beliau meninggal tanpa sempat menumpang kereta saya…

Semasa di universiti, saya hanya solat tarawih lapan rakaat. Wajibkanlah 20 pun, yang tinggal hanya imam dan bilal serta beberapa kerat makmum yang taat. Sekali, pernah masjid UKM ambil imam hafiz dari luar. Setiap malam dia akan baca 1 juzuk. Amboi mak aih lenguh kaki dibuatnya…orang-orang tua sampai kena bersandar ke dinding masjid menahan lenguh…

Polemik 8 @ 20 sering berulang setiap kali Ramadan menjelang. Pelik bin ajaib, kenapa ye? Benda sunat sampai kena wajibkan 20…sunat tapi wajib! Yang lucunya, kekadang yang tukang canang 20 pun buat lapan je, selebihnya berkebut dengan wasap rokok di beranda surau atau masjid, bergebang sakan dengan kengkawan yang seangkatan.

Saya personally menganggap, sunnah nabi ialah lapan di masjid dan selebihnya buatlah di rumah. Zaman Saiyidina Umar baginda buat 20 di masjid. Itu adalah pendapat Umar, zaman Umar Abdul Aziz (cucunda Umar Al-Khattab), baginda tambah lagi jadi 36!

Saya lebih senang buat lapan, kerana ia pertengahan. Kaum ibu yang berangkai dengan anak kecil pun tidak tertekan. Kemudian, habis buat lapan rakaat, sebelum sambung dengan witir, buatlah sedikit pengisian ilmu. Nak panggil tazkeerah nanti, kena ‘ban’ pula…walhal tazkeerah ini benda yang selalu Allah SWT ulang dalam Al-Quran!

Banyak cara mengisi masa antara solat. Zaman dahulu di Mekah, mereka bertawaf mengelilingi kaabah ataupun membaca Al-Quran. Dah namanya pun solat rehat-rehat…jadi, apakah namanya rehat jika bilal berselawat laju macam komuter dan imamnya bergelut macam lif naik KL Tower?

Kemudian tadarus…ini sunnah nabi yang baginda wariskan. Jibril a.s turun ke bumi bertadarus dengan nabi setiap kali Ramadan. Peliknya le ni, umat Islam suka dengar orang tadarus daripada mereka sendiri bertadarus…itu pun sekali sekala di radio atau TV. Ada buat alas an, bacaannya tak tepat makhrajnya lari…la, awat hang tak belajaq masa 11 bulan berbaki? Lagi geram, ada yang mengaji sesorang kat sudut surau…sapa nak semak bacaan? Pas tu…cepatlah habisnya! Sedangkan tadarus mesti berdua paling tidak, maka adalah tukang semak.

Bagaimana dengan pandangan tuan-tuan dan puan-puan? Kongsilah pandangan mengenai pengisian Ramadan, at least saya tahu juga bagaimana kariyah di tempat anda mengisi malam-malam Ramadan yang amat berharga ini.

Jumaat, September 14, 2007

Kenangan Ramadan 20 Tahun Silam


Ramadan baru masuk hari kedua. Alhamdulillah, semalam anak-anak teruna saya berdua tu maintain puasa hingga ke petang. Ingat lagi saya, pada tahun lalu mereka merengek pada uminya untuk berbuka. Akhirnya, along dapat puasa dalam 20 hari dan abang yang dalam 15 hari je.


Semasa kecil dahulu, saya sudah mulai berpuasa sejak umur tujuh tahun. Saya tidak pernah tinggal puasa walau sehari sehinggalah ke saat ini. Saya sayangkan puasa saya walau semasa kecil, saya tidaklah mengerti sangat falsafah puasa serta hikmahnya. Mak dan opah atau atuk tidaklah pula mengumpan saya apa-apa, sama ada duit ringgit mahu pun baju baru.


Saya teringat, jika Ramadan jatuh dalam musim buah-buah rambutan sedang menguning dan memerah, maka jenuhlah saya menahan gelora. Saya memang hantu rambutan. Saya ingat lagi, kebun tok agak jauh dari rumah kami. Ada sepokok rambutan yang lebat dan buahnya boleh dicapai tangan. Ada juga sebatang pokok kelapa yang membolehkan kita memanjat dan bertenggek di perdunya agar mudah mengait rambutan. Pernah satu hari, kala saya menyinggahinya...ada beberapa orang rakan sepermainan saya sedang asyik makan rambutan itu. Bengang betul saya, sudahlah makan pada hari siang di bulan puasa...tak minta izin pulak tu!


Dahulu, untuk menghabiskan satu hari dalam bulan puasa...aduhai penatnya. Saya fikir saya seorang sahaja terasa seperti itu, rupa-rupanya isteri saya pun merasai perkara sama. Untuk menamatkan sebulan, bukan main azab lagi.


Saya dan kawan-kawan menghilangkan ingatan pada lapar dan dahaga dengan cara memperbanyakkan aktiviti. Pulang dari sekolah, kekadang kami singgah di kali. Mencebur diri dan mandi-manda. Banyak kali juga air memasuki telinga, saya was-was...ah, batalkah puasa? Tapi saya andainkan itu tidak sengaja, jadi tak batallah dan saya terus bermain air sepuasnya!


Waktu kecil dulu, bukan semua rumah ada peti ais. maka, setiap petang saya akan mengayuh basikal ke rumah emak di Kg. Betong untuk mengambil seketul ais buat berbuka puasa. Begitulah saban petang. Ada jiran-jiran mengambil kesempatan menjual ais yang diisikan ke dalam plastik lutsinar. Harganya pun saya ingat-ingat lupa, mungkin 50 sen agaknya.


Sebelum itu, semasa saya dalam usia lima atau enam tahun, pengalaman berbuka puasa lebih klasik. Rumah yang mempunyai radio akan memasangnya dan menunggu saat azan bagi berbuka. Saya akan terhimbau kenangan itu tatkala mendengar qari atau qariah membaca al-Quran, sama ada di TV mahu pun radio. Siap ada lagu atau iringan nasyid khas lagi...


Alang akan membawa balik seketul air batu. Dahulu, air batu dijual secara potongan yang digergajikan. Lori-lori cina datang ke kedai orang Melayu di kampung-kampung dan demi mengelakkan air batu itu cepat cair, maka ia ditenggelamkan di dalam serbuk kayu. Apabila dibeli, maka tokey kedai akan membalutnya dalam kertas surat khabar atau memasukkannya ke dalam guni dengan ditaburkan dahulu serbuk kayu. Air kegemaran kami masa itu, tentunya sirap ais bercampur selasih...merahnya mengancam dan sejuknya...ah...menawan!


Alang kekadang membelikan saya dan Ciknab mercun tarik. Saya memanggilnya 'api po'. Ya, bila ditarik akan merciklah api dan bergemalah bunyi 'Pop!' Saya suka menyakat opah dengan mengikatnya pada pintu pagar dawai di dapur. Bila ditarik akan putuslah talinya dan meletuplah mercun itu, opah pun akan terkejut dan silap-silap termelatah...namun, silap-silap saya juga turut kena marah! Hakikatnya, saya sendiri takut menarik mercun itu dengan tangan. Maka, saya ikat mercun itu pada rumput atau pada tali dan saya tarik terus melarikan diri!


Meningkat besar, saya jadi lebih nakal. Menjelang ramadan, kami bebudak kampung yang 'tengah naik' akan bermesyuarat, apakah pengisian kami kelak. Maka, hasilnya ada yang berkumpulan masuk ke hutan mencari buluh betong buat dibuat meriam. Maka, berdentum-dentamlah nanti seantero kariyah berlawan meriam dengan kariyah sebelah.


Selepas berbuka puasa, kami segera berkumpul di lokasi tertentu. Semasa itu, kami berkumpul di halaman rumah yang luas milik Allahyarham Pak Lang Sudin. Pak Lang Sudin pun sporting, dia tolong pasang lampu spot light sehingga benderang macam siang halaman rumahnya. Kami pun main sepuas-puasnya sehinggalah letih. Kekadang , kami main polis sentri. Maka, bersusup-sasaplah kami berlari menyelamatkan diri. Sekali fikir, bahaya ada bodoh pun ada. Iyalah, dalam asyik dan kemaruk bermain itu segalanya kami langgar dan tempuh. Main polis sentri mestilah kena berani dan cekal hati. Jika tidak, kumpulan pencuri akan kalah...yang peliknya, kami memang suka jadi kumpulan pencuri kerana polis yang akan mengejar dan menangkap kami!

Selasa, September 11, 2007

Bisnes Tamar dan Sambut Besday Menjelang Ramadan


Aura ramadan kian terasa. Saya mengambil kesempatan kali ini menjual tamar di pejabat. Lagi dua minggu nak puasa dulu, saya hantar e-mail kepada kawan-kawan...mula-mula just nak try market. Namun...alhamdulillah, hingga kini transaksi kasar dah cecah ribu ringgit. Mula-mula, saya hanya offer Rutob, namun ada yang minta Mariami dan sekarang mereka mahukan yang bertangkai...pasaran kian luas nampaknye!


Saya seronok jual buah tamar ni. Ia makanan sunnah nabi. Waktu packing tengah malam, anak dan isteri tolong sekali. Anak saya yang ketiga (Huda) asyik turun ke bawah dan menegur...abi buat pe abi...boleh huda tolong...dan terus tolong masukkan mariami dalam kontainer dan timbang. Saya angguk sahajalah, jika tidak nanti merajuk dan malas saya nak pujuk...at least, mereka tahu apa yang saya buat untuk membesarkan mereka: Ya, berkerja dan berniaga sikit-sikit...


Di kedai borong pun, asalnya mereka hanya beri harga biasa pada saya. Namun, kini saya dah dapat harga lebih rendah. Mereka makin percaya sebab belian saya bertambah. Tak payahlah saya habaq berapa tapi cukuplah saya buat belanja balik kampung nanti...nak hulur kat adik-adik dan anak buah...paling tidak lepas juga minyak keta saya... (Isyk! Bonus kakitangan kerajaan tak de la tahun ni!)


Saya juga bantu surau depan rumah buat preparation ramadan. Surau kami penduduknya majoriti Chinese, yang Melayunya suka melepak di rumah pula. Untuk menaikkan mood Ramadan, saya cadangkan agar naikkan dua banner dan buat bisnes tamar, alhamdulillah mereka setuju. Saya juga berjaya menubuhkan Usrah di taman, mereka nampak gembira apabila kumpulan kami berkunjungan dari rumah ke rumah dengan membawa buku Fathi Yakan. Ada yang uzur tak dapat ke surau turut menjemput kumpulan usrah kami ke rumah mereka, nak dapat berkat agaknya...


Insya-Allah, this is the first Ramadan yang saya dan family sambut di KL. Dulu, masa lepas kahwin just me and my wife...pastu move to Serendah (mengah...mengah...), hingga kini kembali menjadi warga KL sejati. (Jika tidak, dulu kerja di KL tinggal di Selangor...orang kampung tanya tingal kat mana pun payah nak jawab, habaq Serendah ramai yang pening, habaq Batang Kali kang...mak oi...jauhnya dari KL!)


Yesterday is my birthday and last night my wife present me a book, the title is...Setitis Embun Semarak Api...karangan Pak Shahnon. Saya dah lama intai naskhah itu, tapi tak berbeli hingga kini. Abang Ipar saya Mr JR pernah komen buku itu dalam blognya... Untuk my wife, thank you very-very much for the book and also for the kad selamat besday tu.


Em...Saya rasa usia saya makin tua. Anak dah empat...uban dah banyak di kepala. Tapi, saya masih mencari sesuatu...ya jalan untuk benar-benar dapat berbakti kepada orang tua saya, especially to my opah yang kian meningkat tua. Opah saya adalah insan kedua paling membekas di jiwa selepas emak, opah sanggup bergolok bergadai demi saya, cucu yang membugar di pelupuk matanya selepas emak dan abah divorce dahulu. Saya pernah confius untuk meletakkan opah dan emak di mana, siapakah yang lebih berhak untuk bertakhta di jiwa...emak atau opah? Namun, emak tetap yang terbaik bagi saya. Jerih emak adalah sama dengan perit opah. Usia yang mendewasakan saya dalam meraikan mereka berdua.


To all my children, abi masih mencari ruang buat memberikan yang terbaik. Doakanlah abi dan umi, we will try our best to give the best! Mudah-mudahan pertambahan usia ini akan menjadikan saya lebih maju dalam hidup ini, amin.


'Salam Ramadan'




Jumaat, September 07, 2007

Islam Mengajarku Erti Keberkatan




(Artikel ini disiarkan di dalam Majalah Anis, September 2007)



Seawal tahun 1985, tatkala itu aku masih bujang dan masih berkerja kilang, Islam sudah mulai mengetuk pintu hati ini. Sering aku mencuri-curi melihat kepada rakan-rakan sekerja yang Islam, yang acapkali apabila tiba waktu sembahyang akan bergegas ke surau mengadap Tuhan. Aku sering juga ke surau dan masjid, lalu dari luar jendela aku asyik. Asyik menyaksikan orang-orang Islam mengaji mengadap tuan guru, mengenal agama bermula alif, ba dan ta. Aku kagum melihat kerukunan mereka di dalam jamaah, baik ketika membuka kitab mahu pun solat. Imam menjadi ikutan, teratur cantik dan penuh aturan.

Ada juga aku lontarkan persoalan Islam kepada kawan-kawan sekilang. Namun, bak kata pepatah bukan senang mencari permata yang hilang. Aku ibaratkan iman dan Islam umpama permata milik semua, namun ia hilang dan aku perlu menemukannya semula. Nasib agaknya, kekadang jawapan diterima amat mengecewakan. Aku pernah dikata, memilih Islam hanya kerana ingin mendapatkan bantuan kerajaan. Bahkan ada yang mengejek, aku memilih Islam hanya untuk berkahwin dua! Sukar sungguh mencari manusia yang boleh menunjuk jalan. Mungkin itulah harga iman yang perlu aku tunaikan. Bayangkan, hampir 19 tahun hidayah berlegar di minda tapi tak jejak di jiwa. Aku menggagau mencari arah sedang hati kian pasrah. Ya Tuhan, tunjukkilah hamba-Mu ini.

Akhirnya, syukur kepada Allah lantaran menemukan aku dengan seorang sahabat yang banyak membantu. Namanya Roslan, juga seorang Melayu. Namun beliau bagi aku Melayu yang meletakkan status bangsa ke tepi dan Islam sebagai nombor satu. Dengan beliaulah, aku mencungkil rahsia demi rahsia, membongkar nikmat Islam tercinta. Akhirnya, tanggal 28 Februari 2004, Islamlah aku sekeluarga. Lalu namaku dahulu Subramaniam a/l Arumugam kini menjadi Muhammad Yusof bin Abdullah.

Tika hidayah mula mengakar dan memutik di hati, umurku sudah pun menginjak 36 tahun. Aku sudah pun beristeri dan dikurniakan tiga orang anak. Permaisuri hati dan dua orang putera serta seorang puteri bongsuku, meredhai dengan pilihan hati ini. Islamlah kami, bagai memegang anak kunci Firdausi lalu menghayunkan kaki menelusuri lorong jannah bersama, untuk mengecapi nikmat syurga…amin.

Memilih Islam adalah keputusan paling baik dan tulus yang pernah aku lakukan dalam hidup ini. Ia bukanlah semudah memilih baju untuk hari raya atau memilih juadah untuk berbuka di bulan puasa. Selalunya juga, mengecapi nikmat di akhir pencarian pasti menemui ujian di awal perjalanan. Demikian jugalah hidup kami sekeluarga. Aku dan isteri menerima tentangan keluarga. Kami dianggap menderhaka. Kami dianggap lupa pada keluarga.

Bak kata pepatah, manakan dapat sagunya jika ruyung takut dipecahkan! Manakan tahu indah dan cantiknya Islam, jika kami sendiri gagal zahirkan. Lalu, kami sekeluarga bernekad, Islamnya kami adalah tekad. Akan kami buktikan Islam mengajar persaudaraan sejagat, melampaui batas bangsa dan warna kulit. Islam mengajar anak menghormati ibu bapanya, walaupun berbeza agama. Islam mendidik kami berakhlak mulia, mengutamakan keluarga, menghormati orang tua, memuliakan jiran tetangga dan membantu sesama manusia. Murnia dan harmoninya Islam melampaui sempadan. Manusia, haiwan dan tumbuhan ada haknya di sisi Islam. Itulah yang kami faham dan akan kami buktikan.

Pun begitu, meladeni kehidupan di bumi ini bukanlah mudah. Peningkatan kos hidup kian bertambah. Keperluan keluarga juga makin meningkat, ekonomi keluarga perlu diangkat. Aku takut menjadi fakir, kerana pesan ustaz manusia fakir mudah menjadi kafir. Aku amat takut kembali kepada kekufuran, seperti mana bencinya aku dicampakkan ke neraka!

Ketika itulah peluang berniaga muncul di depan mata. Menjadi pengedar dan penjual ais kerim bergerak. Namun, amat malang dek penangan modal menjadi penghalang. Tika itulah, aku mendapat tahu Pusat Zakat Selangor ada menawarkan bantuan perniagaan, khususnya kepada saudara baru. Aku mencuba nasib, manalah tahu tuahku sabut bukannya batu. Pasti timbul juga nanti.

Di Kaunter Kuala Kubu Bharu aku berulang-alik, dibantu oleh Ust. Jamal (Pegawai Muallaf) dan juga kakitangan PZS di sana. Dengan izin Allah, akhirnya modal sebanyak RM10,000 diluluskan. Akhirnya aku berjaya memiliki dua buah peti sejuk dan sebuah motosikal roda tiga. Inilah senjata untuk aku berniaga.

Kini, aku mampu tersenyum bangga di sisi keluarga tercinta. Berkat beragama Islam, rezeki kami sekeluarga kian bertambah. Jika dahulu, saban bulan gajiku habis tidak menentu sahaja. Apa yang lebih mengembirakan, keluarga kami (termasuk mertua) yang dahulunya berpatah arang nampaknya dengan kami mulai merasa senang. Tiap hujung bulan, tika ziarah pasti ada buah tangan yang kuhulurkan. Syahdu di hati apabila ibuku menyatakan…”Mani (nama asalku) sekarang sudah jauh berubah. Nombor ekor (judi) sudah ditinggalkan. Budi pekertinya kian menyerlah. Anak isteri pula baik budi bahasa.”

Kini, aku ingin sekali berbakti kepada Islam. Lalu Persatuan Al-Hidayah, iaitu Persatuan India Muslim tempatku mencurah budi. Aku juga berharap, pihak-pihak berkenaan khusunya PZS akan lebih pro-aktif membantu nasib manusia seperti kami. Justeru, bagi kami PZSlah antara tali pengikat hati, dalam menghadapi arus deras duniawi. Ya Allah, inilah natijah dari keIslamanku. Keberkatan hidup menjadi payung diri. Aku berjanji, akan kujadikan diri ini insan berbakti. Membawa obor Islam ke segenap penjuru dunia. Menzahirkan indahnya Islam di mata semua manusia. Mewangikan dunia dengan haruman syurga…amin.

Isnin, September 03, 2007

Mengasah bakat memimpin


Kata nabi…setiap orang dari kamu adalah pemimpin. Maknanya, hendak tak hendak, tanggungjawab memimpin itu terhenyak juga di pundak ini. Itulah, sendiri memasang lukah sendiri menanggung amanah sendiri merasa payah sendiri merasa susah sendirilah menyelesaikan masalah dan jika beruntung sendirilah menikmati manisnya syurga Allah.

Pun begitu, memimpin adalah seni. Tidak ramai manusia lahir sebagai pemimpin berkarisma tinggi secara semula jadi (ayat inilah…semula jadi…yang tidak disukai oleh Dr Harun Din), melainkan mereka perlu melalui proses pencanaian yang rapi.

Namun, malangnya tidak semestinya pemimpin yang telah licin dicanai itu bakal menzahirkan dirinya sebagai pemimpin. Semuanya terpulang kepada kedirian memasing, ada yang lebih senang menjadi pemerhati dan ada yang lebih suka menjadi pengkritik sejati. Tidak ramai sanggup bergelandang pagi dan petang menyesakkan akal fikir dengan masalah organisasi dan ummah; sedang periuk nasi dan susu anak lebih mendesak di rumah.

Justeru itulah, selalunya yang mengisi luang kekosongan kepimpinan adalah mereka yang ketegar. Ketegar mental dan ketegar fizikal. Dibakar hangus digoreng garing ditumbuk lunyai; namun bercantum kembali semangat dan jati diri menjadi lebih kuat, lebih ketegar dan lebih laju momentum diri…

Kekadang, menjadi pemimpin menyeronokkan. Iya, bila organisasi mencapai apa yang disasarkan. Pertambahan ahli misalnya, aktiviti yang cantik tersusun dan jelas nampak improvement di kalangan pendokong dan penggerak. Namun, sering kali pemimpin menjadi sasaran amarah, apatah lagi jika organisasi dilanda masalah, ahli-ahli memberontak tidak puas hati, hilang sokongan saban hari dan peningnya lagi bila skills kempimpinan hari ini disbanding-bandingkan pula dengan gaya kepimpinan terdahulu.

Memang…memang menyesakkan. Mesyuarat tiada noktah, aktiviti perlu berjalan waktu susah waktu mudah, keahlian wajar ditambah. Jika organisasi itu adalah parti, maka makin memeningkan tatkala serunai pilihan raya sudah berbunyi. Mulalah hati digayut gundah minda diterjah pelbagai resah, manakan menentukan daerah siapa layak menjadi calon, manakan memuaskan hati para ahli yang sukar mengerti, manakan menyusun atur segala jentera DUN biar penuh strategi, manakan mencari dana pilihanraya lagi, manakan kempen dan merayu undi, manakan segala macam teka-teki lagi!

Itulah, menjadi pemimpin bukannya mudah. Sebab itu tidak ramai sanggup memikulnya kesan jangka panjang, di dunia dan akhirat. Jadi, jika ada orang yang berebut-rebut mahu menjadi pemimpin, itulah sebenarnya masalah. Kerana, mereka melihat dengan mata dunia akan segala yang indah di sebalik kerusi pemimpin itu, kemewahan dan kekuasaan. Akibatnya, amanah tergadai dan rakyat terabai.

Em…siulan pilihan raya kian kedengaran kini, adakah pilihan raya kian menghampiri?

Insya-Allah...Fajar Islam Mulai Menyinsing

Rabu, Ogos 29, 2007

Mahasiswa terjepit?

Mahasiswa adalah generasi pewaris negara. Itulah kata-kata hikmat yang membakar semangat dan emosi saya ketika menginjakkan kaki ke kampus lebih 10 tahun dahulu. Terfikir saya, apakah maksud sebenar ‘pewaris’ negara…adakah mereka yang tidak berkesempatan menjadi penghuni kampus dan mencicipi segala rempah ratusnya tidak layak dianggap sebagai ‘pewaris?’

Saya menghimbau kembali sejarah perjuangan warga kampus. Saya susuri kembali saat bangkitnya suara mahasiswa era 1970-an mempertikaian ketidakstabilan sosial dan ekonomi negara. Saat itu, nama besarnya ialah Anwar Ibrahim. Saya terkeliru, kerana saat itu Anwar adalah pembesar negara, sebelum dia dijelepukkan oleh sistem yang mengahancuskan segala!

Saat saya menghirup udara segar kampus, idealisme mahasiswa masih berbisa. Kami masih bisa berkumpul, mengusung sepanduk dan poster, merangkaikan tangan membentuk rantaian manusia dan menggenggam tangan melaung ke udara! Teriak kami… Jangan korporatkan IPTA! Israel boleh berambus! Hancur Amerika! Dan baaanyak lagi.

Saat Anwar tersungkur dengan arang penuh memalit muka, saya menjengah juga ke kampus. Ajaib saya, saat itu kampus seperti menjadi markas pelajar dan medan aktivis mencerna gerak kerja. Sedang sebelum itu, sering kali aktiviti yang menjurus kepada ‘kepembangkangan’ mudah benar dikait-jeraitkan dengan kelompok mahasiswa berhaluan ‘kanan’…geng kopiah dan bertudung labuh!

Saya lihat para pensyarah begitu berani menzahirkan sokongan, tidak segan silu menyelitkan di kereta ‘Justice Malaysia’ atau ‘Free For Anwar’. Bukan calang-calang insan, tetapi timbalan dekan yang berulah demikian. Maka, tuan-tuan dapat bayangkan sendiri di kalangan mahasiswanya!

Namun, kini saya melihat suasana sihat di kalangan mahasiswa kampus makin terhakis. Parti memerintah begitu tragis memasukkan jarum memainkan peranan tanpa berselindung lagi. Senang-senang mereka mempromosikan pergerakan puteri mahu pun puteranya, atau lebih dahsyat menguasai pilihanraya dengan taktik nakal lagi hodoh…mencaturkan bidak untuk menidakkan suara sebenar mahasiswa.

Sebab itu saya tidak pelik, majoriti kerajaan kampus hilang taringnya hatta di kalangan pelajar universiti sendiri. Tidak nampak ketokohan memimpin apatah lagi menjadi jurubicara ummah. Kebanyakan kepimpinan mahasiswa kini, gigi susunya pun belum tanggal…masih hingusan dan sering ‘kesasar’…misalnya mengadakan program ‘lawak bodoh’ serta hiburan lalai yang jelas memupuk sikap suka bersantai-santai, suka merendek-rendek, tiada aspek kebertanggung jawaban dan kurang membina pemikiran dan peradaban!

Jauh…jauh lagi untuk melihat mereka memimpin rakyat marhaen dan muda-mudi mengusung pemidang kain bagi mempertahankan maruah bahasa, mendaulatkan maruah agama, mempertahankan akhlak yang kian bobrok dan sebagainya.

Itulah, meninjau-ninjau dari jendela di kejauhan…terasa ingin rasanya kembali ke kampus. Mengatur strategi dan wacana. Mungkin tiba masanya aktivis mahasiswa perlu lebih bijaksana mengatur langkah. Jangan terlalu taksub dengan satu-satu idea dan pendapat. Perlu menyelinap bagai lipas kudung dalam serba kancah, asal tidak terjual maruah. Ingatlah, kebijaksanaan diiringi kejituan dalam merancang adalah asas kejayaan…inilah pesanan Saiyidina Ali yang patut sama-sama kita fikir-fikirkan.

Insya-Allah...Fajar Islam Mulai Menyinsing

Khamis, Ogos 16, 2007

Suara alam dan kematian

Pernahkah engkau mendengar
Pada angin yang membawa lagu
Bahawa kehidupan ini amat pendek
Namun kehidupan yang pendek inilah
Menentukan kehidupan yang panjang

Mungkin kita pernah terdengar
Suara alam merintih sayu
Saat gunung digegar dengan jentolak bermata besi
Bahawa tegaknya mereka hanyalah penyangga alam
Sebagai sunnatullah yang memberikan kekuatan
Namun kita memekakkan telinga dan membutakan mata
Kerana hati kita sudah layu dan kering
Dari siraman air mata
Penghuni bumi yang lara

Lalu kita pun enak berbicara
Soal masa depan dan negara
Membikin aturan dan agenda
Sedang kita lupa agenda Tuhan
Agenda yang tersedia sejak azali
Bahawa hidup di atas dunia tidak abadi
Hanya sekadar mencicip sedikit rezeki
Sebelum kita dipanggil kembali

Begitulah manusia dan alam
Akal anugerah Tuhan diguna secara wewenang
Debu dosa bagai tiada makna
Iman yang tipis kian hilang warnanya
Bersatu dengan kusam noda
Lalu tercipratlah bianglala palsu
Yang tersembunyi serakah nafsu
Di atas nama tamadun maju
Sementara menunggu saat, detik dan waktu
Akal mati, nyawa terhenti dan jasad tanpa nadi
Bersemadi jelek di perut bumi
Menanti saat dihisab Rabbul Izzati!

U-HAH
Shah Alam
Fajar Islam Mulai Menyinsing...

Rabu, Ogos 15, 2007

Sebuah Cerpen Terindah ...

Gamitlah kasih sayang Tuhan dengan pengorbanan, gamitlah kasih sayang manusia dengan ketulusan. Rintik-rintik hujan yang menyuburkan bumi adalah tanda kasih-sayang Illahi. Debur ombak pula adalah irama alam yang menghuraikan kekusutan dunia. Mari dengar kicau burung dan alunan cengkerik malam hari, itu adalah zikir suci. Lagukanlah suara kasih sayang penuh ketulusan, di situ ada nilai kemanusiaan dan kecintaan anugerah Tuhan.

Atiyyah menebarkan pandangan jauh, dari jeti dia melihat pada bukit-bukau yang berbalam menabiri alam. Ada tona warna kehijauan, pekat dan muda lalu berbaur biru kian kelabu. Di kejauhan lautan, langit biru namun ada selaput awan putih memayungi diri, ceria sang suria tertabir teduh. Di kaki langit daratan, ada awan gemawan berpuput lembut disapa angin dari puncak bukit. Semilir bertiup segar, lalu gemersik dedaunan berselisih diselangi sepuhan lagu kicauan beburung melahirkan simfoni alam. Rintik-rintik hujan masih jatuh lagi dari bumbung langit dan ditebrak cahaya mencetuskan bianglala. Indah warnanya dan mengasyikkan.

“Aku ingin seperti angin. Berpuput lembut dan mengasyikkan.”

- Tapi angin juga bisa meribut memusnahkan!

“Aku ingin seperti hujan, rintik-rintiknya bak salju menyuburkan.”

- Tapi, betapa banyak bumi tenggelam dalam hujan yang menggila menjadi banjir duka!

“Ah..aku bisa jadi awan gemawan yang mengambus lelangit dan menabiri terik mentari”

- Kasihan bumi tidak tersimbah cahaya hidupan binasa dan alam merana.

“Em…jika begitu, izinkan aku menjadi aku, yang mencicip warna ceria alam, yang menghidu wangi bunga, yang merasa nikmat tanah, meneguk air kali dan mendengar kicau mergas tua bersimfoni indah pada desiran dedaunan bernyanyi pada hembusan angin, menikmati terik mentari dan mensyukuri nikmat awan gemawan berisi hujan yang menyimbah alam demi kehidupan.”

- Ya, berbanggalah kerana engkau adalah manusia, sebaik-baik kejadian yang ditentukan Tuhan!

Penerbangan ke Pulau Pinang dari Kuala Lumpur bergegas melewati batas waktu, 10.00 pagi. Dari atas udara, permukaan bumi tampak bagaikan tompokan pada kain perca. Berbaur segala rupa. Namun, makin pesawat merapat ke daratan, makin jelas warna alam, ada bangunan berdiri kaku, aliran sungai berliku dan jalan raya.

Tatkala roda pesawat Boeing 747-300S mencecah landasan, terbayang di mindanya. Wajah Pak Ngah Lazim dan Mak Ngah Minah yang begitu lama ditinggalkan. Terhimbau kenangan perahu nelayan yang oleng di tengah lautan, Pak Ngah Lazimlah yang kukuh berdiri di situ. Mak Ngah Minahlah yang berpagi-pagian bangun menyiapkan bekalan. Nasi bungkus daun pisang berlaukkan ikan gelama kering dan sayur kangkung, atau telur rebus asin dan sebotol penuh dua liter air kosong dan satu termos penuh kopi pahit.

Dia masih ingat, mereka adalah sepasang kekasih yang setia. Kehidupan yang dibina atas nama cinta yang diatur oleh ibu bapa. Mereka tidak kenal antara satu sama lain, hanya tahu nama dan kenal rupa saat dipertemukan pada hari yang amat mendebarkan. Hakikatnya, Aminah bt Abdul Wahab menjadi igauan ramai jejaka, dipertemukan dengan Muhammad Lazim Abdullah, pemuda kacak dari Pulau Mutiara.

Mereka menjalin cinta dan kasih selepas sighah terucap. Tidak tergambar indah pada mata, tautan hati menjadi intim dan mereka mencicip hari muka bersama. Sehari menakah minggu, seminggu menganjak sebulan, sebulan mendaki setahun dan dayungan kasih masih sama rentaknya. Oleng perahu sama dijaga, kayuhan pula sama irama. Pak Ngah Lazimlah nakhoda dan Mak Ngah Minahlah kemudinya. Perahu itu adalah bahtera mereka, berkelanalah mereka semahunya.

Namun, setahun berganjak dua menjadi tiga menyusur empat menagak lima menjadi puluhan pula. Rindu pada tangisan seorang anak kian membara. Namun, takdir dan iradah Tuhan tiada siapa menduga. Mak Ngah Minah masih belum berisi dan buncit perutnya. Puas mereka berusaha. Menjaga segala petua, menahan segala pantang-larangnya.





Salam ukhuwwah fillah...U-HAH

Isnin, Ogos 13, 2007

Isteri Konvo!




Isteri saya memang kuat belajar. Sebaik sahaja menamatkan ijazah sarjana muda pada tahun 1998, beliau terus mendaftar Sarjana Sains Perubatan di Fakulti Perubatan, UKM. Sambil itu, beliau menjadi Research Assistant (RA) kepada pensyarah yang banyak buat penyelidikan. Sehinggalah ke tahun 2001 beliau ditawarkan Biasiswa National Science Fellowship (NSF) oleh MOSTE. Serentak itu juga, UKM telah menaiktarafkan kajian beliau dan ditawarkan secara conversion dari Sarjana terus ke Doktor Falsafah! Itulah hebatnya isteri saya yang saya tidak dapat nafikan.

Alhamdulillah, kami disatukan lewat 1998. Rezeki kami memang murah. Memang lahiriahnya hidup kami payah. Sejak saya mengahwini beliau, mendapat seorang demi seorang cahaya mata sehinggalah kini beliau sudah pun bergelar Dr., kami sudah menempuhi pelbagai ranjau di dalam tatih kehidupan kami.

Saya masih ingat lagi, kami pernah berulang-alik dari Bangi ke KL. Beliau ditempatkan di UKM Jln Raja Muda, bersebelahan IMR dan HKL. Saya sendiri bertugas di Jalan Pahang, di sebuah syarikat penerbitan. Kemudian kami pindah ke Gombak, semasa itu kami asyik mengalun kasih di atas motorsikal sahaja. Tetapi hidup kami mewah, anak masih tiada dan kami kecap sungguh-sungguh nikmat rumah tangga.

Setelah melahirkan anak pertama pada Julai 1999, abah (bapa mertua) memberikan kami kereta. Toyota model lama 1970-an, KE-30. Dengan kereta itulah kami berdengung ke sana ke mari. Saya banyak menyimpan kenangan dengan kereta itu, pahit dan manisnya!

Saya teruk dilambung ombak hidup. Tahun 2000, syarikat hampir muflis dan tutup, lalu saya berkelana mencari kerja, menganggur beberapa ketika, hampir gila dibuatnya. Sewa rumah saban bulan perlu dilangsaikan dan anak kian bertambah. Tahun 2000 itulah kami dapat anak kedua, hidup makin mencabar serta mendera!

Saya banyak terhutang budi dengan isteri. Saat saya hampir tenggelam punca meneruskan hidup di kota, lalu beliau banyak memberikan kekuatan. Wang saraan pernah hanya ditanggung oleh elaun NSF beliau lantaran saya cuba menyambung pelajaran (Master tetapi sekerat jalan) dan kami pernah sama-sama tenggelam timbul dalam dunia MLM.

Memang isteri saya penyabar dan istiqamah orangnya, calang-calang manusia tidak tergalas beban itu rasanya. Betullah, Allah SWT menentukan jodoh setelah kita berusaha dengan orang yang paling cocok buat kita. Mungkin kita pelik, ramai bercinta memasang anganan dengan orang lain; namun rumah tangga bahagia dibina dengan orang lain pula. Itulah kerja Allah yang akal kita pasti tidak terjangkakan.

Hidup kami memang penuh cabaran. Justeru itu, kami lebih matang dan dewasa dalam membuat keputusan. Benar kami masih muda, namun kami diuji dengan pelbagai kesukaran dunia. Saya masih teringatkan insiden silam, misalnya saat kasut anak saya, Along sudah menipis tapaknya dan hampir putus…namun saya tidak mampu membeli yang baru walaupun harganya hanyalah RM3.50! Kami ketandusan wang, ansuran rumah lebih enam bulan tertunggak dan ansuran kereta menambak-nambak. Demikianlah, saya belajar banyak perkara tentang kewangan…antaranya, merancang dan jangan berhutang. Hingga kini, saya bertekad dan berazam untuk melangsaikan segala hutang piutang. Saya teringat tulis Robert Kiyosaki dalam bukunya…Poor dad Rich dad, kesimpulan orang kaya itu ialah, mereka yang tidak berhutang dalam hidupnya. Maknanya, bila saya tidak ada hutang barulah saya benar-benar kaya!

Isteri saya menyiapkan Ijazah PhD penuh cabaran juga. Namun, semuanya dapat beliau tempuhi dengan serba sedikit kesukaran; tapi banyak dipermudahkan. Saya tidak tahu, tapi yakin bahawa restu memainkan peranan utama. Sejak mula mahu membina keluarga, beliau telah memaklumkan niat ingin terus belajar. Saya merestuinya sehinggalah kini. Bahkan, tidak tersangkal ialah doa emak beliau sendiri (mak mertua saya) dan abah…yang saya yakin saban malam mendoakan kejayaan isteri saya…anak mereka.

Alhamdulillah, sejak 2006 isteri saya sudah pun menjadi pensyarah. Beliau diberi julukan ‘pakar statistik perubatan’ oleh pensyarah yang lebih senior…beliau malu tapi saya tahu, gelaran itu memang layak dengan usaha yang telah beliau lakukan. Bayangkan…sehingga anak keempat pun beliau masih terus belajar. Katanya, nak mengajar orang lain diri sendiri kena belajar (tahu) dulu…itulah isteri saya!

Lalu, 11 Ogos 2007 di Dewan Canselori Tun Abdul Razak (DECTAR), UKM Bangi adalah kemuncak kepada segala apa yang telah isteri saya lalui dan tempuhi selama ini. Kesakitan, kesusahan, kesabaran dan kekentalan yang menatijahkan kejayaan. Saya berdoa beliau terus istiqamah dalam bidangnya dan kami terus ceria melakar hari muka, bersama-sama…bak nukilan pendek saya pada buku yang saya hadiahkan:

‘Seceria suria menebar cahaya, begitulah kasih kita selamanya…’

Jumaat, Ogos 10, 2007




Pagi-pagi selepas solat subuh, saya sudah mengadap sebesen besar buah rambutan. Wah…wah…nikmatnya. Ada yang sudah berair manis bersari dek kerana terlalu ranum. Ada yang bulat besar tebal isinya, lekang-lekang pulak tu. Saya makan dan makan. Bukan senang dapat makan rambutan segar yang baru dipetik dari pokoknya. Emak yang mengaitnya demi mendengar saya akan pulang ke kampung.

Sarapan pagi berikutnya ialah penganan istimewa, nasi goring bersama ikan tilapia goring! Wah-wah…emm rangup dan sedap sekali. Lemak manis isinya. Jangan tak tahu, abah saya memelihara ikan tilapia sendiri di belakang rumah. Adik-adik saya yang rajin mengorek kolam dan abah menyalurkan air segar dari lata di belakang rumah. Air itu memang segar dan nyaman, sejuk sekali. Ikan-ikan abah pun segar, isinya manis dan bila digoreng enak bangat.

Saya dan adik, Amin tentunya curi-curi juga masuk ke dalam kolam menangkap ikan tilapia. Kami guna penyauk yang abah buat sendiri. Abah selalunya tak bagi masuk ke dalam kolam… “Nanti pening ikan…” katanya.

Jumaat itu, semasa ke pejabat berpagi-pagi lagi saya sudah menelefon abah minta disajikan ikan tilapia goring. Dimakan dengan nasi panas yang masih meruwap…alahai…tak payah ada lauk-lauk lain pun tak mengapa, itu pun sudah mencukupi. Apatah lagi kalau emak sediakan sambal belacan, ada pula pucuk ubi dan jantung pisang rebus, dibakar pula ikan kembong dan diambil isinya dilenyek-lenyek digaul sebagai air asam belacan….waduh, kecur liur dibuatnya!

Meninjau-ninjau di luar rumah, pokok manggis nampaknya menggamit-gamit. Saya lihat buah-buah manggis banyak yang sudah merah, tak ada pula sesiapa yang rajin mengaitnya. Saya heret galah panjang dan kait pula manggis. Em…sedap juga manggis ni. Rasa nak dipanjat sahaja, tapi sedar diri dah tak semuda dulu, waktu urat saraf masih anjal, waktu berat badan pun tidak seberapa…saya kendurkan keiginan memanjat. Cukuplah saya kait dari bawah. Anak-anak saya memang gemar manggis, Abang Yang terutamanya.

Demikianlah secebis catatan manis kepulangan saya ke kampung di Lenggong, yang berlaku pada 4 Ogos 2005 bebaru ini!


Fajar Islam Mulai Menyinsing

Rabu, Ogos 08, 2007

Bila berpencak di padang berjungkit


Saya memang minat politik. Saya pernah baca Surah Yaasin bersama orang-orang kampung demi kemenangan Umno dan BN satu masa dahulu. Saya pernah berdiri tak berganjak dan bersalam bangga dengan Anwar Ibrahim masa pilihanraya umum 1990, dia datang berceramah ke Lenggong. Bangga saya dapat salam dengan Anwar, ikon politik saya kala itu.

Tuk saudara saya yakni abang opah, aktivis Umno. Veteran yang sangat pekat dan likat Umnonya. Dialah yang sentiasa memahatkan ingatan di minda kami ahli keluarganya, tentang perjuangan generasi terawal Umno. Perjuangan Tunku sehinggalah Dr Mahathir. Dia amat komitted dan tidak tergoyahkan waima seinci kesetiaannya. Saya hanya dengar sekali dia merungut fasal Umno, iaitu semasa Anwar Ibrahim ditendang keluar dari parti symbol keris itu. Dia pening, sama ada mahu menyokong Anwar atau terus membela Dr Mahathir.

Saya dahulu marahkan Tengku Razaleigh Hamzah. Ku Li ini pernah jadi sekutu PAS semasa pilihanraya tahun 1990. Semangat 46 pimpinannya menang besar dengan PAS di Kelantan membentuk kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Sebelum itu, di rumah tok saudara saya, saya sudah baca tentang buruknya Ku Li. Saya ingat-ingat lupa, pengarangnya bernama Zakry Abadi. Dahulu ada dalam koleksi mini library saya di kampung, sekarang hilang entah ke mana. Antara yang dipaparkan ialah, pembaziran yang dibuat Ku Li, misalnya penyediaan lif untuk keretanya dan lain-lain lagi yang tidak sepatutnya dilakukan.

Tahun 1990 juga menjentik naluri saya. Pertama kali saya mendengar nama Nik Aziz. Ulama’ yang berperawakan amat sederhana bagaikan guru pondok menjadi MB, ketua negeri. Pelik tapi itulah yang terjadi. Saya jadi kagum dengannya.

Kini, saya sudah memiliki faham politik saya sendiri. Saya tahu siapa yang harus saya undi. Antara Umno dan PAS atau BN dan BA, saya tahu mana yang elok diwakilkan.

Malangnya, negara ini menyediakan ruang berpencak yang senget sebelah. Itulah yang merisaukan saya, kerana demokrasi adalah system yang dicipta demi memenangkan penciptanya. Mampukah kita melihat pesaing menang jika papan dipijak sering terjungkit?

Entahlah, kenapa tetiba saya mahu menulis seperti ini pula di blog ini…


Fajar Islam Mulai Menyinsing

Jumaat, Ogos 03, 2007

Bengangnye!!!


Saya mencuri-curi mencatatkan di blog ini, biasanya di awal pagi. Saya tiba di pejabat dalam kitaran jam 7.30 dan ketika masih sunyi itulah saya mula mereka-reka ayat. Tetapi, kekadang aliran ide terganggu dengan benda-benda yang sukar ditolak, ajakan teman berbual bicara, mengajak ke café mencari penganan dan sebagainya.

Saya cuba menagih ide di tengah hari; tetapi ia tidak selancar dan sederas di awal pagi. Bengang saya…banyak benda yang berlegar di cepu minda ini kekadang kelam dan tenggelam begitu sahaja. Mahu rasanya membeli PDA, mahal pula. Mencatat di buku nota, cuba saya amalkan tetapi selalu menyusahkan. Saya bukan jenis orang suka berdiari, sebab itu catatan tugasan harian saya lebih banyak di helaian putih yang kosong dan ditampal di hadapan mata agar saya tidak lupa!

Buktinya, catatan mesyuarat yang sepatutnya saya hadir pada 1 Ogos bebaru ini, telah saya terabaikan lantaran hanya dicatat di dalam diari. Itulah kesan diari dalam hidup saya, maka saya lebih selesa membuat catatan kasar di depan mata atau menggunakan hand phone sebagai pemberi ingat. Itulah saya dengan diari.

Lalu, banyak catatan yang patut saya nukilkan dalam blog ini tergantung dan tergantung. Tidak berpenutup dan berkesudahan. Saat ini,tadi pun saya dengan agak tegas telah menolak pelawaan seorang kawan untuk makan tengah hari sebelum solat Jumaat. Dengan muka sedikit kecewa dia pun pergi meninggalkan saya…em, kekadang terfikir glamour juga saya, ramai orang nak berkawan dengan kita…he..he..jangan riak syeikh…!

Baiklah, saya ingin mencatat di sini. Siapa nak baca dan komen, silalah.

Em…semalam saya khatamkan Tunggu Teduh Dulu (TTD) nukilan anak muda bervisi mega Faisal Tehrani (FT). Tidak silap saya, TTD adalah novel yang keenam saya baca. Saya sudah habiskan Cinta Hari-hari Rusuhan (maaf jika silap tajuk); Advencer Si Peniup Nei, Combat 1511, Perempuan Politikus Melayu, Cerpen-cerpen Underground 2, Kekasih Sampobo (1/2 tamat) dan yang baru habis TTD. Sekarang saya baru sahaja memulakan pengembaraan bersama Razlan, Mazlan dan Sahlan dalam Bunker...ops, gua, eh...bunker di dalam Novel-Drama Bila Tuhan Berbicara!

So, nak tahu apa pandangan jujur saya tentang TTD? Nak tahu bacalah. Tak nak tahu pun tak apa.

TTD kisah muslimah. Kata ipar saya Bro JR, kisah cinta enta-enti. Mana dia petik istilah tu, wallahua’lam. Mungkin sebab Salsabila Fahim dan the Sofea gadis usrah, bercita-cita menjadi muslimah berjaya di bidang pertanian moden yang asyik maksyuk dengan betik, papaya dan kepayanya…tanpa menkesampingkan adab-adab beragama…maka jadilah kononnya enta-enti. Lantaklah, itu pandangan ipar saya.

Saya agak slow menyampaikan diri ke titik penamat. Isteri saya terlebih dahulu mencicipi sehingga ke titisan terakhir novel ini. Katanya, amat mengesankan. Buktinya, dia menangis pada pertengahan cerita! Ah…saya jadi teruja membaca…tetapi saya tidak menangis pun. Puas saya menumpukan perhatian, khususnya pada bahagian pertengahan novel…nak tahu kisahnya…bacalah sendiri kawan, nanti tak syioklah saya paparkan di sini, tetapi tak jumpa sesuatu yang mampu menggoyah emosi dan merembeskan air ke pipi yang hensem ini!

Jangan marah FT, at least tuan telah berjaya menghanyutkan perasaan isteri saya dengan lakaran bahasa tuan yang sangat indah dan mengalunkan. Isteri saya orang fakta, orang sains yang bergelumang dengan nombor dan makmal dengan pelbagai formula statistik entah apa, namun bisa menangis dek mainan kata-kata FT…ceh, boleh ke saya buat isteri saya menangis dengan kata-kata saya pula?

Isteri saya pelik kerana melihat lama benar saya mengelek novel TTD ke sana ke mari. Daftarkan adik ipar di UiTM pun saya kilik, di bilik tidur lagilah…tapi ngape lambat benar tamatnya?

Kata saya: “Abang letihlah. Jalan ceritanya berliku dan bertele. Mungkin ini cerita seorang eh…dua orang wanita, Sal dan the. Sal lah watak utamanya. Abang jadi letih…kisah orang pompuan, kaya emosi kan. Sebab itu abang lambat habis…” Itulah antara alasan saya, logik ke?

Walau apa pun, TTD adalah novel yang terbaik antara sentuhan mulus FT. Lima bintang mungkin, tebalnya pun (tak silap saya cecah 900 muka) menjadikan kita malu alah untuk mempertikaikan kemampuan pengarang dalam menuntasi kepengarangannya! Sebab…TTD bukan omong kosong. Ia padat berisi. Bukan sekadar cerita betik; tak kiralah betik muda bergetah atau kepaya Jogja yang memerah isinya yang sering menjadi penghangat bicara dua wanita muda itu; tetapi penuh dengan info. Khasnya info betiklah.

Jika anda mahu menjadi usahawan tani, maka silalah menelek dan meneleku novel ini. Ada info, ada kisah tauladan dan ada panduan berguna. Sepaling tidak, anda patut tahu siapa molek di buat kawan (tumpang tuah…jika dapat kawan dari jabatan berkenaan yang mampu melangsaikan banyak keruwetan), apa perlunya bersahabat dengan orang ternama (jangan lupa isu kabel mengkabel tuan dalam dunia bisnes le ni…) dan juga apa pentingnya dalam menjerumuskan diri dalam bidang pertanian…

Agh, satu benda yang saya masih terfikir, mudah benar Salsabila dan Sofea jadi petani moden ye…tak marah ke penaja mereka apabila pulang dari US tapi tak kerja di kompeni yang menaja mereka?

TTD hampir sahaja tamat dalam suspens yang menyebabkan saya enggan menamatkannya…mujur saya kesani kelainan dalam pengakhirannya! Nak tahu…tuan puan belilah TTD dan bacalah sendiri!

(p/s: pinjam-pinjam tak best, tak boleh buat koleksi kan?)



Fajar Islam Mulai Menyinsing

Jumaat, Julai 27, 2007

Di Hadapan PULAU - A Samad Said


Kisah ini adalah catatan lama seorang sasterawan. Kisah mengenai zaman perang. Zaman yang opah saya bagi tahu, orang Melayu susah nak makan. Belajar makan pisang dan ubi rebus cecah kelapa, belajar berdikari di sebalik kebengisan sang Jepun. Ia kisah era Perang Dunia Ke-2.

Pak Samad ada citra tersendiri. Saya tidak pandai membicarakan aspek kepengarangannya, walau dulu Daerah Zeni saya terobos dan saya geledahi setiap isi perutnya. Ia lain. Benar, Daerah Zeni juga kisah menentang penjajah…juga kisah masyarakat. Bergelut dalam sangkar kehidupan demi sebuah kebebasan. Lazri Meon dan anak-anaknya…

Di Hadapan Pulau (DHP) adalah novel lama. Sebelum DBP menerbitkannya, ia pernah dicetak oleh Pustaka Sistem Pelajaran pada tahun 1978. Saya membeli novel ini semasa DAWAMA membuat jualan murah di Ulu Klang tidak lama dulu. Saya pergi dengan kawan lama dari Sarawak, Zamli namanya yang kini mengajar di sana. Saya beli juga dua buah buku/ antologi cerpen yang mencatatkan pengalaman para guru, satu untuk Zamli dan sebuah lagi untuk simpanan mini perpustakaan saya.

DHP saya baca semasa penat menelaah Sangheeta. Benar, novel ini nipis sahaja. Tidak seperti Salena. Ceritanya ringkas dan mudah difahami. Ia mengenai sebuah daerah di Selatan Tanah Air (agaknya…Pak Samad tak nyatakan di mana dengan jelas).

Aziz seorang budak kelaraan disajikan janji demi janji untuk ke sebuah pulau di hadapan kampung mereka. Pak Samad menggambarkan Aziz adalah seorang budak yang baik dan dimatangkan usianya oleh aruhan suasana. Dia punya ramai kawan-kawan sebaya. Berbaur antara keseronokan zaman kanak-kanak dan derita yang tercipta hasil peperangan (dan kini…dunia terus berperang dan berperang!!!)

Yang paling mengesankan saya, Pak Samad berjaya menghidupkan unsur humor yang ketara lewat beberapa watak yang bodoh-bodoh alang dalam novel ini. Gawat menanti perang terangkat sedikit dengan kelakar yang nampak menjadi. Kisah bagaimana penduduk kampung yang majoritinya nelayan perlu segera mencari perlindungan apabila siren bergema lantang, menyerlahkan kebodohan ketara apabila membayangkan para ikan pun ketakutan dan segera mencari perlindungan (shelter) di dalam lautan! Maka, susahlah macam itu…

Saya ketawa seorang diri terkikih-kikih di ruang bawah sehingga isteri yang sedang membuaikan anak di tingkat atas pun merasa pelik, apa yang lucunya. Disangkanya saya sedang menonton gambar lucu di TV, tidak…Pak Samad yang menggeletek saya dengan novelnya.

DHP bagi saya cuba menceritakan kesusahan hidup akibat perang. Watak-wataknya dilihat cuba berinteraksi antara satu sama lain namun semuanya dihambat satu perkara: peperangan! Namun, di sebalik kesusahan itulah mereka belajar untuk berdikari. Aziz belajar memanfaatkan tanah dengan Syed Fikri walau hasil tanaman sering dikebas orang. Perang juga menyebabkan ada orang membuang ketepi halal dan haram!

Dan ada satu perkara juga, Syed Fikri berjaya mencungkil sikap umat Islam yang sering ambil lewa tentang kehidupan beragama. Tertarik saya bila Syed Fikri menasihati Aziz dan rakan-rakannya tentang solat dan sebagainya. Jelas, isu tiada iltizam terhadap agama sudah lama berbusa, sejak zaman Pak Samad mengarang DHP lagi…

Nah kini pula, bagaimana?


Fajar Islam Mulai Menyinsing