Jumaat, Jun 13, 2008

TAZKIRAH PAGI JUMAAT

Muhammad…Pemimpin yang sejati

Kita memang memerlukan pemimpin tipa ini. Pemimpin yang mendahulukan kepentingan rakyat melebihi dirinya. Pemimpin yang memikirkan nasib rakyatnya sentiasa. Bukan sekadar nasib di dunia, bahkan nasib di akhirat sana. Pemimpin yang pada dirinya ada suri tauladan mulia. Keluarga dan ahlinya juga adalah contoh kehidupan kita.

“Sesungguhnya imam (pemimpin) itu adalah seumpama perisai, orang yang berperang akan menggunakannya bagi melindungi dirinya. Jika imam memerintahkan supaya rakyatnya bertakwa kepada Allah Azzawajalla dan berlaku adil, dia mendapat pahala kerananya. Dan jika dia memerintahkan selain daripada itu, maka dia mendapat siksa,” (Riwayat Muslim daripada Abu Hurairah r.a, Sahih Muslim hadis Nombor 1809)

Pemimpin yang berjiwa besar, mahukan kesejahteraan meliputi anak-anak buahnya. Mereka memimpin dari hati dan akal, yang berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah. Mereka meletakkan neraca iman dan takwa dalam setiap tindakan. Neraca iman dan takwa itulah juga neraca dosa dan pahala. Mereka sedar setiap keputusan yang diambil, kesannya akan meliputi rakyatnya. Mereka insaf bahawa, kesilapan yang dibuat walau sejengkal, kelak memudaratkan rakyatnya berhasta-hasta dan berjela-jela.

Di dalam kehidupan pemimpin, mereka menyarungkan pakaian soleh, tawadhu’ dan zuhud kepada diri. Mereka tidak ego, meninggi diri apatah lagi bersifat sombong dan bongkak. Mereka sedar, kepimpinan adalah amanah. Ia akan disoal kembali oleh Allah. Setiap kesalahan akan mendapat kemurkaan. Melainkan mereka tersilap setelah berusaha sedaya mungkin membuat yang terbaik Khilaf yang tidak disengajakan, pasti sahaja ada ampunannya di sisi Allah SWT. Dengan syarat mereka mestilah fakih dalam tindakannya dan tidak segan memohon maghfirah daripada-Nya.

“Ketahuilah! Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinanmu. Seorang pemerintah yang berkuasa ke atas rakyatnya akan ditanya tentang kepimpinannya,” (Riwayat Muslim daripada Ibnu Umar, Sahih Muslim Hadis Nombor 1796)

Sebaik-baik suri tauladan seorang pemimpin ialah Nabi Muhammad SAW. Al-Quran menggambarkan baginda sebaik-baik manusia, justeru Al-Quran itu sendiri adalah akhlak baginda. Muhammad adalah manusia yang sama seperti kita. Tiada kurang dan lebih, melainkan tahap ketakwaan baginda. Muhammad berkahwin, beranak-pinak, perlu makan dan minum, bahkan perlu kepada tidur dan rehat. Baginda bukanlah malaikat yang perkasa, seperti Jibril a.s yang mampu menterbalikkan bumi kaum Thoif yang menolak ajakan nabi. Bahkan Muhammad juga sakit dan derita, merasa pedih dan sedih. Muhammad tidak sunyi dilanda gangguan emosi, saat kehilangan tiga orang putera Qassim, Ibrahim dan Abdullah, juga saat kewafatan insan penyangga dakwah, Khadijah dan Abdul Mutallib tercinta.

“Akhlak rasulullah adalah Al-Quran,” tuntas jawab Aisyah saat ditanya orang tentang akhlak suaminya.

Namun, dalam serba-serbi seni kepimpinan, Muhammad mempamerkan akhlak terunggul yang penuh karisma. Muhammad menjadi ketua di masjid, mengimamkan jama’ah, mengajar hukum-hakam agama, bertindak sebagai hakim penyelesai masalah dan penegak neraca keadilan, menjadi tonggak angkatan perang sebagai panglima, menjadi ketua negara yang tercatat dalam sejarah manusia pertama mencipta perlembagaan Shahifatul Madinah. Maknanya, pada diri nabi yang mulia, adalah contoh tauladan terbaik. Sebaik-baik pemimpin yang pernah dilahirkan di dunia. Sebaik-baik manusia yang dilahirkan untuk manusia.

"Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu sebaik-baik tauladan bagi kamu (untuk diikuti) iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (kemuliaan hidup) di akhirat dan orang yang banyak mengingati Allah," (Al-Ahzab: 21).

Jadi, kenapa kita harus meraba-raba? Kenapa harus kita mencuba-cuba? Bukalah jendela hati, tataplah pada seerah yang menjadi laluan nabi. Carilah mafatih kepimpinan yang nabi warisi. Jangan kita sengaja menyusahkan diri, takut kelak kita sendiri yang akan merugi. Wallahu’lam.

1 ulasan:

U-HAH berkata...

Untuk makluman, anak nabi ada tujuh orang semuanya, tiga lelaki dan empat perempuan. Lelaki ialah Qassim, Ibrahim dan Abdullah. Perempuan ialah Ruqayyah, Zainab, Ummu Kalsum dan fatimah Az-Zahra. Ketiga-tiga putera baginda wafat semasa kecil. Kesemua anak-anak baginda adalah daripada satu ibu, iaitu Khadijah bt Khuwalaid r.ha.

Wallahua'lam.

U-HAH