Memaparkan catatan dengan label Kenangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kenangan. Papar semua catatan

Jumaat, Mac 20, 2009

Borders Book's Store Vs Cosmo's World

29 Mac 2009 - Saya dan isteri mengambil cuti dan membawa anak-anak berjalan. Kami tidak pulang ke kampung Cuti Sekolah kali ini. Tidak adil pula rasanya membiarkan anak-anak terperap di rumah.
Awal-awal pagi anak-anak saya sudah pun bangun, mandi dan bersiap. Hanim kami tinggalkan. Kami 'breakfast' di Rumpun Selera, Bandar Baru Selayang. Kemudian ke UKM, Jln Raja Muda Abd Aziz, memarkir kereta dan menaiki monorail ke Berjaya Times Square. Husna sudah mula merengek minta didokong...aduh letih nyer...
Inilah pengalaman pertama kami anak-beranak menaiki monorail. Kala itu masih awal, dalam lingkungan jam 9.45 pagi dan masih tidak ramai penumpang. Saya membayar tiket, RM1.60 bagi setiap orang. Seronok dapat naik monorail dan menyaksikan panorama KL dari atas. Selalunya, kat bawah sahaja.
Isteri mencadangkan agar kami ke taman tema di Berjaya Times Square. Sementelah movie The Gang Upin Ipin pun kami tak tonton lagi, kami mencuba nasib di TGV sana. Tapi lambat sangat, jam 2.00 petang baru ada tayangan. Kami memutuskan untuk terus ke taman tema.
Cosmo's World...The largest indoor theme park in Malaysia, demikianlah ungkapan yang menarik kami...hakikatnya ia memerangkap kami. Saya berbelah bahagi, bayangkan tiket seorang dewasa mencecah RM44, cuma dapat diskaun jika menggunakan Mykad dan tambahan potongan 15% jika menggunakan kad realrewards.
Isteri menyarankan kami mencuba, jika tidak hanya asyik dengar orang bercerita sahaja. Saya mengalah dan kad kreditlah jadi mangsa. Habis jugalah RM131.00!
Dari segi permainan dan fasiliti, memanglah menarik. Namun, tidak bagi orang yang beranak kecil seperti saya. Jika sekadar mahu menaiki keretapi mainan, crazy bus atau kuda yang berpusing, isk at fun fair also available. Jika nak main kat play ground pulak, kat taman kami pun ada, kat Taman Metropolitan Kepong lagi le luas.
Saya cuba juga naik permainan dewasa, namanya jika tak silap 'spin legs'. Mak aih...sorang-sorang je naik. Isteri kena tengok anak-anak, Along pulak tak cukup tinggi. Pastu...Gayat jangan cakaplah...ketor juge yeob. Saya melangut ke atas sambil dup-dap-dup-dap dok berdoa dalam hati...macam nak tercampak pun ada. Fikiran saya teringat, agaknya inilah antara latihan awal yang mesti dilalui oleh Dr Syeikh Muszapar angkasawan Malaysia...
Turun-turun tu...saya surrender. Tak nak dah saya try yang lain...roller coster pun ada, tapi biarlah orang lain yang naik.
Sebenarnya, saya diserkup keboringan tahap maksimum selepas itu. Bagi saya, nilai RM yang dibayar tidak setimpal dengan apa yang diperolehi. Bukan semua permainan percuma, banyak yang kena bayar. Fun Game...alah...video game lah, we must pay to play. Jenuh isteri saya menukar duit untuk token, anak-anak tau masukkan jer...baru main dah game over.
Hati teringin nak masuk Haunted House, tukang jaganya Mat Indon...katanya: "Mau masuk kah...ongkosnya RM7 seorang!" Lah...duit lagi, getus hati saya.
Saya mula bengang. Awan mendung mulai menguasai emosi. Saya duduk kejap nonton TV. Rasanya tengok TV kat umah lagi syiok. Nak tengok wayang kat Kidz Theatre pula, it only open at 2.00 pm. Apalah...sedangkan ikut time table, ada dua waktu untuk tayangan movie kanak-kanak, iaitu jam 12.00 pm dan 2.00 pm. Saya merungut lagi...boring!
Akhirnya saya keluar dan bawa kaki dan hati yang bengkak ke Tingkat 1, cari kedai buku lagi baik. Tak lama, sesudah menunaikan Zuhur di surau tingkat lapan, saya memerap diri di Borders Book's Store. Isteri dan anak-anak masih di Cosmo's World...biarlah.
Agak lama kemudian, saya mengutip beberapa buku. Geram...tapi saya harus berjimat lagi pun Pesta Buku Antarabangsa KL mid April ni dah tak lama. Nanti kat sana lagilah murah. Saya membeli buku Mencari Jalan Pulang, sebuah memoir Kassim Ahmad dan juga buku kecil catatan harian Marina Mahathir sepanjang bapanya dirawat di IJN, iaitu 50 Days: Rantings By MM.
Saya berminat untuk membeli karya terbaharu Dr Syed Husin Ali, iaitu buku kajian mengenai orang Melayu 'Malays: Their problem & future' juga karya dari India yang berjaya difilemkan 'Slum dung Millionaire'...tapi as usual, cost constrain makes my desire pain...mua...ha...ha...
My missers came down around 3.00 o'clock later. Alah...my sons nak buku juga, kad kreditlah lagi. Melayang juga dekat RM100. Takpe...buku punya pasal.
Kami balik dan perjalanan pulang dengan monorail agak meletihkan. Ramai orang dan i've to stand sepanjang half way. Selepas wife dan anak-anak solat Zuhur di UKM, kami singgah di Tesco. Lunch pun lewat!!!

Sabtu, Januari 31, 2009

Makan Angin Ke Sabah

Sabah...hmmm, dapat juge teman sampe ke Negeri Di Bawah Bayu ni. Saya, isteri dan anak bongsu kami Hanim ke Kota Kinabalu pada Jumaat 30 Jan 09. Isteri ada urusan kerja di sini, saya pula datang untuk membantu menjaga anak kami yang fully breast feed...sambil-sambil tu...jalan-jalanlah.

Inilah first time berkunjung ke Sabah. Saya membayang-bayangkan juge bagaimana ghupe wajah negeri ini. Sepanjang penerbangan dari LCCT...saya dok bayangkan ghupe Sabah...telinge berdengung dengan ketinggian lebih 37,000 kaki dan kelajuan Air Bus Air Asia 800 km sejam!

Indah sungguh meninjau awan di luar jendela kapal terbang. Saya dapat rasakan, betapa Allah SWT mencipta akal agar manusia dapat memanfaatkan alam. Dengan akallah manusia dapat mencipta mesin terbang dan akhirnya saya dapat membelah awan. Saya melihat ke bawah, dengan ketinggian ribuan kaki, daratan dan lautan tidak kelihatan. Namun nampak jelas permukaan berwarna biru seakan-akan air laut...saya tak tahu apa dia bendanya...tapi indah dan menawan sekali!

Kami mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kira-kira jam 9.20 pagi. Mentari cerah dan cuaca ceria sekali. Selepas pemeriksaan imigresen (mujurlah kami membawa sijil beranak Hanim...kena ada ghupenye...ingatkan tak payah!), kami mencari arah.

Alhamdulillah, student isteri saya di KK sudah sedia menanti. Kami dibawa ke hotel Imperial di pusat bandar. Sementara menantikan bilik dikosongkan pada pukul 12 tengah hari, kami makan dahulu di Pizza Hut...kemudian mencari sedikit ole-ole di Pasar Philipine.

Malamnya kami dibelanja makan di sebuah restoran ala Melaka. Sedap masakannya. Pagi Sabtu di Hospital Bahagia Bukit Padang, isteri saya akan hadir ke sebuah sesi pembentangan. Saya bertugas menjaga Hanim...aduhai, letihnya dia asyik teroyak...sabo je la...

Gambor-gambor nanti teman masukkan ye...

Sabtu, Disember 20, 2008

Pagi-pagi ke kebun getah


Zaman kecik dulu, aku membesar di bawah naungan pokok getah. Susunya yang putih bertukar menjadi sekerap yang busuk. Tapi...busuk sekerap itulah pun yang mengisi tembolok kami. Busuk sekerap itulah yang membayar yuran sekolah kami. Busuk itu jugalah yang menyara anak-beranak kami.


Kebun getah memagari saujana panorama kampung kami. Di kaki bukit hingga ke kawasan tinggi, ia subur menghijau. Udaranya nyaman membugarkan jiwa. Hati jadi tenang, walaupun di situlah nyamuk jantan dan betina berkeliaran. Kami tega membiarkan para nyamuk itu menghurungi kami dan meliang-liangkan kulit belulang kami yang hitam. Nyamuk-nyamuk itulah rakan kongsi kami di kebun getah.


Pisau motong telah kami asah siap-siap semalamnya. Tajamnya bukan main. Jika terkena tangan pasti luka berdarah. Ia berhulukan kayu dan matanya bengkok. Bunyinya ketika diasah asyik sekali. Batu asahnya pun nipis sahaja. Nyiungggg...nyiunggg...hingga tajam berkilat. Selepas itu, mak atau abah akan ambik kain buruk dan balut mata pisau itu. Takut terkena tangan sape-sape pulak nanti.


Berbekalkan lampu suluh di kepala, sesetengah orang turun ke kebun seawal jam 4 atau 5 pagi. Amboiii mak, idak le mak dan abah sio beut gitu. Opah pun tak sanggup. Bahaya pegi kebun pagi

bebeno. Yang rajin tu biasanya orang-orang Cina.


Pagi-pagi seusai mendirikan solat Subuh, menadah tangan memohon ampun dan rahmat daripada Allah, kami pun bersiap ke kebun getah. Berbekalkan air kopi atau teh dalam botol plastik, berbasikal tua atau motor cabuk, kami meredah denai dan lorong menuju ke kebun getah. Permai dan indah.


Kebun getah adalah nadi orang kampung. Ia menjadi tempat kami mencari sesuap rezeki. Selang dua atau tiga hari, kami kumpulkan getah sekerap yang telah beku dan dikeluarkan daripada pot. Kami masukkan dalam karung guni. Dari sepokok ke sepokok sehinggalah kembung guni. Beratnya bukan main. Busuknya jangan cakaplah.


Kami bawak turun hasil keringat kami itu ke bawah bukit. Musim hujan jalan menjadi licin. Kadang-kadang kami terseradung akar. Kadang-kadang tayar basikal atau motor kami gelong. Kami jatuh terperosok ke dalam belukar. Nasib baik tak ada ular. Kami bangun dan kami gendong guni getah. Itulah duit kami nanti buat membeli beras, sayur sawi dan ikan temenung.


Di kampung kami, ada dua tiga orang peraih getah. Getah ditimbang. Beratnya dicatatkan. Dapatlah sedikit habuan buat kami. Getah kala itu bukanlah mahal. Sekilo adalah dua ringgit. Tapi le ni lagi karut...sekilo RM1...mati orang kampung nak makan dengan hasil getah semata!


Dapat duit, kena bahagi dua lagi. Separuh untuk tuan tanah...jika kita memotong getah milik orang. Maka...fikirlah, betapa peritnya hidup sebagai penoreh getah...hidup yang zahirnya indah walau hakikatnya amat susah.


Tapi itulah pun kehidupan kami...




Selasa, Oktober 07, 2008

Kenangan Siti dalam hidup saya


Semalam saya telah melakukan satu tindakan nekad. Enam ekor kucing saya masukkan ke dalam kotak. Jam 10 malam, saya ke Ampang. Kemudian saya tinggalkan kucing-kucing itu di SPAC…sebuah pusat jagaan haiwan. Dengan harapan, kucing-kucing saya itu akan selamat di sana.

Sebenarnya, saya amat menyukai kucing. Sejak kecil saya telah begitu rapat dengan kucing. Kucing-kucing pula mudah mesra dengan saya. Bagaikan ada chemistry antara saya dan kucing. Kucing yang liar pun kadang-kala mudah jinak di tangan saya.

Ada pun kucing yang saya hantar ke SPAC semalam, ialah Siti dan lima ekor anaknya. Siti adalah kucing kacukan, antara spesies Malaysian cat dan Persian cat. Ciri-ciri jelas Persian-nya boleh dilihat pada bulu-bulunya yang lebat, khasnya pada bahagian ekor dan misai yang melentik panjang.

Semasa mengjumpai Siti kira-kira enam tahun lalu, dia amat daif sekali. Saya dan isteri baru pulang dari Pusat Perubatan Ko-Hilal di Taman Melawati. Semasa mahu pulang, saya dapati ada seekor ibu kucing sedang menyusukan anaknya di bawah kereta saya.

Saya cuba menghalaunya. Takut nanti mati dilenyek tayar. Kasihan, kedua-duanya kelihatan begitu tidak bermaya. Perutnya kempis. Bulunya kusam tidak terurus. Saya angkat keduanya dan sisihkan di atas simen di koridor kedai.

Semasa mengangkat Siti itulah saya perasan akan cirri-ciri kecantikan kucing ada padanya. Lalu hati saya tergerak untuk membelanya. Paling pelik, ibunya yang saya lihat daif tadi hilang ghaib dengan tiba-tiba. Mungkin nalurinya tahu, saya akan mengambil anaknya sebagai anak angkat.

Siti menumpang kasih pada Putih, seekor kucing yang datang menumpang di rumah kami di Serendah. Putih pula sabar menyusukan Siti. Akhirnya Siti membesar dan mulai menunjukkan kecantikannya. Orang yang datang ke rumah kami turut memuji akan kecantikan Siti.

Tidak lama kemudian, Siti mulai mengandung. Inilah yang saya tak tahan. Mula-mula beranak, Siti melahirkan 4 ekor anak. Begitulah setiap kali Siti beranak, dia akan melahirkan 4-5 ekor anak. Saya mulai rimas. Letih dan cuak melayannya.

Terkini, seputar sebulan lalu Siti melahirkan anak lagi, lima ekor. Walhal anak-anaknya yang terdahulu masih kecil. Siti mulai mengandung sedangkan anaknya sedang menyusu. Siapa yang tak bengang…! Gatal betul si Siti ni!!!

Saya terpaksa nekad. Di rumah sudah ada sembilan ekor kucing. Wangian najisnya bagaikan aroma pagi yang akan mematikan mood ceria kami sekeluarga. Akhirnya saya terpaksa menghantar Siti dan lima ekor anak kecilnya ke tempat lain.

Maka, itulah kisah Siti dalam hidup saya…!

Isnin, Oktober 06, 2008

Kenangan raya 2008


Antara thrill pulang ke kampung pada musim idul fitri ialah, menempuh perjalanannya yang terpaksa bersesak dan beratur panjang membayar tol. Tapi...pengalaman itu nampaknya tak ada pada tahun ini!


Seorang kenalan saya di Tmn Muhibbah, Sg Siput merungut, katanya dia rasa balik kampung beraya semacam balik kampung pada hari-hari biasa. Rasanya nak sahaja dia berpatah balik ke KL dan pulang sekali lagi...kerana kurangnya jem di lebuh raya!


Ada tak ada thrill pun, sudah begitu jadinya. Mungkin anak-anak perantauan pulang sedikit demi sedikit kerana hari raya jatuh pada Rabu, makanya lebuh raya tidak sesak.


Tapi ada sesuatu yang saya rasa tidak lengkap. Ya, banner menyambut kepulangan anak rantau amat kurang di daerah Ipoh, Kuala Kangsar, Lenggong mahu pun Gerik. Tidak seperti tahun-tahun dahulu, parti-parti politik berebut-rebut menaikkan banner meraikan kepulangan anak-anak rantau. Apa dah jadi? PAS pula, saya lihat sejak pegang negeri Perak ni makin 'slow' dalam kerja-kerja promosi ini. Janganlah begitu MB Nizar...


Kemeriahan beraya di kampung memang ada walaupun saya rasakan makin setahun makin pudar. Maklumlah, usia kian meningkat. Namun, suasana kampung di Lenggong memang agak sunyi. Semasa saya kecil dahulu, suasana menyambut raya memang meriah betul.


Apatah lagi sejak Lebuh Raya Timur Barat siap, maka jalan lama bertambah sunyi. Pekan Lenggong pun tidak semeriah dahulu. Itulah akibatnya, apabila pembinaan jalan baru tidak memikirkan kesannya kepada pembangunan ekonomi penduduk lokal. Kasihan mengenangkan nasib Pekan Lenggong...dari dulu sampai kini masih tidak banyak berubah wajahnya.


Berbeza suasana di Bandar Kuala Kangsar. Meriah dengan aktiviti ekonomi. Masjidnya juga hidup. Saya sempat bertarawih di Masjid Ridwaniah. Imamnya seorang anak muda yang bergelar al-hafiz. Sejuk mendengar bacaannya.


Kira-kira sembilan hari di kampung, saya puas. Bahkan saya sempat memikirkan beberapa penambahbaikan untuk raya yang akan datang, khususnya bagi melicinkan sambutannya. Maklumlah, ibu bapa dan ibu bapa mertua saya makin tua. Saya memikirkan untuk mengadakan rumah terbuka agar anak cucu dan saudara mara dapat dikumpulkan pada satu hari dan saya yakin, orang tua saya tak lah penat sepanjang 3-4 hari raya melayan tetamu siang dan malam.



Selasa, September 23, 2008

Cerita Ramadan 7#


Pengalaman balik kampung? Ish...saya orang kampung. Nak balik ke mana lagi? Maka itulah, waktu kecil dahulu saya pelik bila dengar budak-budak sekampung mendendangkan lagu Sudirman 'Balik Kampung!'


Saya hanya tahu, anak-anak opah yang akan pulang beraya di kampung. Angah dari KL dan alang di Kg Kati. Kadang-kadang angah sampai lewat malam dari KL dengan bas ekspress. Atau angah sewa kereta 3, 4 hari untuk bercuti raya. Saya rasa gembira bila anak-anak opah pulang ke kampung.


Saya suka apabila rumah kampung opah penuh dengan keceriaan anak-cucu. Penuhlah ruang anjung rumah opah. Kami anak-beranak tidur bersusun macam di kem pelarian. Begitu juga waktu berbuka. Lebih-lebih lagi pada hari raya.


Bila anak-anak di perantauan pulang, maka banyaklah cerita menarik untuk dikongsi. Saya selalu membayangkan, enak dan indahnya menjadi anak perantauan. Boleh balik ke kampung dan disambut mesra dan ceria oleh ibu ayah dan jiran tetangga.


Kini, saya benar-benar memahami makna 'Balik Kampung'. Saya memahami perasaan yang tidak tertahan untuk bertemu emak abah dan sanak saudara. Menghirup aroma udara kampung yang nyaman. Sejuk air di waktu pagi dan dingin anak kali berair jernih.


Anak-anak saya juga mendahului saya dalam memahami erti balik kampung... Aduhai, rindunya saya pada suasana ceria berhari raya di desa. Kampung yang tercinta...nantikanlah kepulangan kami ke desa!

Khamis, September 11, 2008

Cerita Ramadan 5#


Opah saya pandai membuat kuih tradisional. Opah saya memang tipikal orangnya. Tradisi kemelayuan begitu bukat membentuk jati dirinya. Saya amati itu. Termasuklah dalam isu makanan, khasnya menjelang Raya dengan segala aneka kuih-muih tradisional Melayu.

Antara kuih yang menjadi kegemaran opah ialah baulu, kuih bakar (bangkit) dan putu kacang. Dan semua kuih-muih tradisi ini opah buat secara lama, jika moden sikit pun bila emak beli oven yang menggunakan dapur minyak tanah. Itu pun untuk memudahkan emak membuat kuih samprit.

Sebenarnya kemasyhuran opah membuat kuih-kuih tradisional ini tersohor juga di kalangan penduduk kampung. Mereka datang menempahnya. Mereka selalunya membahagi dua kuih itu. Jika dapat 100 biji baulu, opah dapat 50 lah. Serasa sayalah, jarang yang memberikan duit upah. Sebab itulah bersusun balang dan tupper ware di para rumah opah dengan kuih-kuih ini.

Untuk membuat baulu, telurlah resipi utamanya juga gula dan tepung gandum. Pagi-pagi lagi opah bersiap. Telur yang sudah siap dibasuh dan dikeringkan di letak atas para. Kemudian opah pastikan pasu untuk memukul telur itu juga bersih. Opah akan mengira satu persatu telur itu. Semasa itu, awaslah…jangan sesiapa memanggil opah, dia tidak akan layan.

Pernah saya kena marah, kerana memanggil-manggil opah. Sebabnya, bila opah paling dan sahut panggilan itu…maka opah sudah lupa jumlah telur yang sedang dibilangnya!

Saya pula selalunya diminta memukul telur itu. Saya guna satu pemukul khas berbentuk gegelung dawai yang berulu kayu.

Opah guna kaedah lama membakar kuih baulu. Bara sabut di atas (dilapik dengan zink) dan bara kayu di bawah. Di luar rumah di bawah pokok kopi atau naungan pokok rambutan, dari pagi menjelang petang opah membakar baulu.

Kuih bakar pula opah guna oven. Saya bukannya ingat sangat cara membuatnya. Yang saya ingat, saya akan minta daripada emak sedikit tepung yang sudah sedia diadun dan akan membuat acuan sendiri untuk dibakar. Tapi saya bakar di atas bumbung oven, kerana emak tidak benarkan saya meletakkan ‘kuih acuan’ saya itu sekali di dalam ovennya.

Kuih putu kacang pun ‘siksa’ juga menyediakannya. Opah akan memilih kacang hijau terbaik, menampi dan membasuhnya. Kemudian ditumbuk menggunakan lesung kayu. Setelah itu opah menggunakan acuan daripada kayu bagi menempa putu. Ada pelbagai corak.

Sakit ibu jari menekan putu di dalam acuannya. Bukan sikit-sikit, baaanyak! Kemudian, opah jemur di panas matahari sehinggalah putu itu kering. Jika tidak betul-betul kering, putu mudah rosak atau berkulat.

Itulah sedikit pengalaman menyediakan kuih tradisional dengan opah jua emak. Kini, nak makan baulu…order sahajalah!!!

Rabu, September 10, 2008

Cerita Ramadan 4#


Sahur di kampung zaman dahulu berbeza zaman ini. Zaman dahulu, antara jiran menjadi ‘jam loceng’ tidak rasmi. Saya ingat lagi, di kampung kami ada seorang tua yang saya panggil Paklang Sudin, dia akan melaung sekuat hatinya menjelang sahur. “Sahur…sahur…”

Pada awal-awal puasa, ada juga budak-budak muda yang akan membuat bising di jalan raya. Mereka mengetuk tin kosong sepanjang jalan. Tapi tak lama, mungkin mereka pun mengantuk untuk mengejutkan orang setiap pagi buta.

Di madrasah, ada orang yang akan memalu kerantong (batang kayu balak yang ditebuk lubang di tengahnya). Bunyinya melantun menerjah seisi kampung. Maka, tahulah kami sudah masuk waktu untuk bersahur.

Opah adalah orang paling awal bangun sahur di rumah kami. Seawal jam 3 pagi opah sudah bangun. Opah tanak nasi, guna dapur kayu. Kemudian goring telur atau perangat apa-apa lauk yang patut. Kemudian, jam 4 pagi opah mula bising mengejutkan atuk dan anak-cucu yang lain.

Opah amat berjaga-jaga dengan waktu imsak. Bagi opah, jika imsak maknanya sudah tidak boleh makan dan minum. Tapi atuk relaks sahaja. Atuk makan minum sampai santak waktu imsak. Lepas itu atuk ke sungai bagi membuang air dan mengambil wuduk. Sambil itu, di mulut atuk masih tercepit cerut cap kucingnya. Opah selalu bising, takut atuk terlajak sampai terbit fajar.

Selepas sahur, saya selalunya tarik selimut balik. Subuh selalu terlepas. Lagi pun masa itu masih belum mukallaf.

Bila masuk asrama, kami dikejutkan seputar jam 5 pagi. Makan nasi dalam tray. Lauk biasanya telur asin. Saya selalu merungut bersahur di asrama. Selera patah memanjang. Maka emak buatkan sambal tumis bilis sebagai bekal.

Kini, saya sudah punya anak. Saya pulalah yang kena mengejutkan mereka untuk sahur. Saya juga pastikan mereka untuk solat subuh, jika boleh di surau. Alhamdulillah, anak-anak saya nampaknya tidaklah seperti saya dahulu yang subuhnya asyik melepas selepas sahur.

Jumaat, September 05, 2008

Cerita Ramadan 3#


Antara kenangan menarik pada bulan Ramadan ialah bermain meriam buluh. Biasalah bagi budak-budak kampung seperti saya, bermain meriam buluh adalah satu lumrah.

Biasanya, sehari dua sebelum Ramadan mulalah kami budak-budak kampung masuk hutan. Kami empat lima orang bawa parang dan cari buluh untuk ditebang. Kami akan cari buluh yang berkualiti. Kulitnya biar tebal, ukur lilitnya biar besar.

Biasanya kami suka ambil buluh betung. Buluh itu memang besar dan panjang-panjang ruasnya. Kami akan ambil bahagian bawah buluh yang berdekatan dengan perdu, kerana di situ lebih keras. Lebih keras maknanya berkualitilah. Lebih keras maknanya tahan lebih lamalah.

Kami tebang beberapa batang. Kemudian kami buangkan ranting-rantingnya. Biasanya di bahagian bawah dah kurang ranting. Cuma nak menarik buluh tu agak susah. Kemudian, kami bawa ke sungai yang berdekatan dan kami buang miangnya. Miang buluh jangan dibuat mainan, kena kat badan merenyam satu badanlah jawabnya…tak senang duduk kita.

Kami kerat atau katamkan buluh itu dalam sedepa setengah panjangnya. Kami ikat buluh itu di beberapa bahagian, biar ia lebih kuat dan tak pecah. Maklumlah, nanti meriam itu akan panas dan jika ia pecah alamatnya parah...bahaya! Kemudian kami pikul bawa ke lokasi yang telah kami sediakan. Lebih elok jika di atas bukit. Lebih tinggi maknanya lebih kuat bunyinya.

Pada meriam itu, kami tebuk satu lubang kecil di dekat pangkalnya. Kemudian kami tusukkan kayu tajam untuk membuat larasnya, barulah ada udara untuk bernafas. Ceh…meriam pun kena bernafas!

Untuk bermain meriam buluh, kena pandai. Saya tak berani sangat, jadi saya selalunya hanya memerhatikan kawan-kawan lain memainkan meriam buluh.

Kami masukkan kabaid ke dalam lubang kecil yang kami tebuk itu. Kemudian tuang sedikit air. Biar kabaid menggelegak. Kemudian ambil api dan cucuhlah pada lubang kecil itu. Apa lagi…BOM!!!

Nak tahu? Selepas berbuka puasa sahaja maka biasanya akan berdentam-dentumlah seisi kampung kami dengan bunyi meriam buluh. Kawan-kawan dari kampung yang berjiran juga tidak mahu mengalah. Maka, masing-masing pun berlawanlah, meriam siapa palih kuat dan paling gagah.

Bom! Bom! Boom!!!


Khamis, September 04, 2008

Cerita Ramadan 2 #


Saya teringat waktu usia dalam lingkungan 5 atau 6 tahun, waktu berbuka puasa paling menyeronokkan. Tapi saya tak puasa penuhlah. Kan masih budak-budak, mana wajib lagi…he…he…

Alang Usop akan membeli ais batu dari kedai runcit. Kadang-kadang alang beli ais di Kedai Man Jawa di Banggol Belimbing atau Kedai Pak Dollah di Kg Bor. Ais batu itu dipotong empat segi dan ditaburkan dengan serbuk kayu sebelum dibungkus dengan kertas surat khabar. Serbuk kayu itu bagi melambatkan ais cair. Kemudian alang ikat ais itu di pelantar basikal dan bawa balik ke rumah menjelang senja.

Opah atau emak akan buat air sirap. Kadang-kadang sirap itu ditambah biji selasih. Saya suka minum sirap merah berbiji selasih. Kita akan terasa biji selasih dalam mulut dan cuba menggigitnya. Segar badan bila sirap ais masuk ke kerongkong.

Alang suka beli mercun tarik yang meletup bila disentap. Saya namakannya mercun ‘api-po’. Saya dan Cik Nab akan bermain selepas berbuka. Solat maghrib…he…he…tak wajib lagi! Alang juga belikan bunga api. Masa itu bunga api berbatang besi, bukan jenis berasap berkelun macam sekarang ini. Budak-budak pun boleh kena athma dibuatnya.

Kami akan berlari-larian di halaman rumah. Kadang-kadang bergabung dengan kawan-kawan dan bermain di lorong di kampung kami. Berlari-larianlah sambil menghayunkan tangan memainkan bunga api. Mercun tarik ‘api-po’ pula, saya ikatkan kepada pokok atau rumput barulah saya tarik. Saya takutkan percikan api. Takut terkena tangan.

Pernah saya ikatkan mercun tarik itu pada pintu pagar dapur. Pintu pagar itu gunanya menghalang ayam daripada masuk. Rumah kampung memang ayam suka jengah masuk, lepas tu berak merata-rata. Saya nak menyakat opah. Bila opah tarik pintu itu, apa lagi…pom!!! Marahlah opah…"Hish...ni siapalah gatal pegi ikat mercun kat sini ni..."

Ada kawan-kawan yang lebih nakal. Mereka ikat mercun tarik itu pada selipar. Kadang-kadang kita tak perasan. Bila sarung selipar, terus je jalan…apa lagi…Pom!!!

Itulah sebahagian kenangan dan cerita Ramadan saya yang lalu…

Rabu, September 03, 2008

Cerita Ramadan 1#


Waktu kecil-kecil dulu, teringin sangat nak solat tarawih di masjid. Abah tak pernah nak bawa. Sampai ke sekolah menengah baru saya dapat solat tarawih di masjid atau surau. Itu pun kala di asrama di Taiping. Siap berselawat sakanlah kami...berdengung-dengung bergegar-gegar surau.

Semasa masuk tingkatan 2, ingat lagi…kami budak-budak asrama dapat kebenaran untuk bersolat tarawih di luar asrama. Kami pun ke masjid Pakistan yang berdekatan di Kuarters Tentera di Taiping. Habis solat, bau kari mamak menusuk-nusuk. Hmmm…sedapnya.

Kami diajak makan oleh abang-abang karkun. Rupa-rupanya masjid itu adalah markaz tabligh di Taiping. Namun, selera kami patah secara tiba-tiba apabila melihat nasi berlaukkan kari...enak, tapi...alahai dihidangkan di dalam dulang pula!

Tahun 1989, saya balik bersekolah ke Lenggong. Bulan Ramadan saya jadi pengunjung setia masjid di kampung kami. Saya ikut jamaah solat tarawih. Mula-mula ramai, makin lama makin sedikit. Lalu saya ikut yang sedikit itulah untuk menamatkan 20 rakaat. Saya pelik, kenapa orang dewasa boleh lepak di serambi sambil hisap rokok, gebang-gebang dan abaikan tarawih. Penat tu memang penatlah juga. Lagi satu, imam membaca laju. Saya pun membaca lajulah juga. Kalah ekspress rakyat!

Bermula tahun 1989 itulah, saya menyertai tadarus Al-Quran. Saya seorang sahajalah pun yang remajanya. Orang lain semua dah masuk pangkat bapak atau tuk. Saya tak kisah. Saya suka berkawan dengan orang-orang tua. Mereka mengajar saya erti kematangan. Fikiran lebih waras, tindakan lebih berawas. Saya rasa, saya jadi lebih bijak bersama mereka. Pengalaman mereka mendewasakan saya.

Tok Megat Deraof, Ayah Mad dan Tok Mat Lebai Li adalah kawan-kawan tadarus saya. Mereka suka mendengar saya mengaji. Maka, mulai tahun 1989 hingga kini, saban Ramadan saya akan mengkhatamkan al-Quran.

Apabila masuk universiti, saya selalu jadi imam rawatib di surau kamsis. Lama-kelamaan, semasa Ramadan mereka minta saya jadi imam juga. Bukanlah selalu, bukan setiap malam. Kami pun selesa ke masjid UKM. Besar dan luas. Cuma tak tahan kerana imamnya belasah baca satu juzuk satu malam!

Habis belajar saya kahwin. Bila pindah ke Serendah, maka bermulalah musim saya menjadi imam tarawih secara tetap. Hingga kini, bila pindah ke Kepong saya masih jadi imam. Jadi imam tarawih ni penat…jika orang lain boleh rehat-rehat, penat boleh buat lapan…kita tetap sampai 20!

Selasa, Ogos 26, 2008

Beberapa Catatan Semalam


Ramadan yang menjelang kian terasa. Kala kita diasak dengan pelbagai cerita, keharuman dan kehangatan Ramadan seakan tenggelam. Ye...tenggelam dengan cerita sumpah dan nafi, cerita pilihan raya, cerita itu dan ini.

Sesungguhnya manusia memang pelupa, sampai diperingatkan Allah baharulah mata mereka akan terbuka!

***

24 Ogos, adik saya si Yati konvo di UIA. Yati anak kedua emak yang berjaya menggenggam ijazah. Saya tahu, emak harapkan semua anaknya berjaya ke menara gading. Setakat ini, kami anak-anak emak tidak menghampakan. Setidak-tidaknya, emak boleh memejamkan mata pada malam hari dengan lebih lena.

***

Mutakhir ini juga hujan melebat di muka bumi. Saya pun hairan. Sedang sebelum ini panasnya amat membahang. Saya hanya bimbang, ini tanda murkanya Tuhan. Ya, murka kepada segelintir manusia yang suka bermain sumpah. Sumpah mubahalah yang melaknat diri sendiri.

Pelik...seseorang sanggup bersumpah laknat ke atas diri sendiri. Sedangkan, kita sepatutnya memohon kebaikan. Inilah masalahnya, apabila ajaran Islam diambil mana yang perlu. Sebahagiannya dicampak ke tepi. Al-Quran hanya berguna untuk tempelan...ya, seperti meletakkan tangan ke atasnya sebagai bukti sumpah bukan suatu yang main-main...kononnya!

***

Hari ini 26 Ogos, Permatang Pauh menjanjikan sesuatu. Debar di dada memukul rasa. Ada bisik menular halus, kemenangan mana-mana pihak menatijahkan sesuatu. Saya meletakkan harapan pada sosok gagah Anwar. Saya yakin dia bisa menang. Walau di sudut hati saya, bimbang dengan tindakan luar jangka. Ini demokrasi ala Malaysia, di mana anda sukar meramal sesuatu upaya...

***

Oh ya! Semalam saya bersama abah dan emak menziarah Tok Musa. Tok Musa ini bapa saudara sebelah abah. Dahulu, dia adalah antara tok saya di kampung. Ya, selepas tok saya gemulah, saya menumpang kasih kepada ramai tok. Termasuklah Tok Musa.

Beliau bekas tentera British zaman Perang Dunia Ke-2. Kisahnya menarik untuk dibukukan. Saya ternganga mendengar cerita bagaimana perang berlangsung. Zaman itu, nyawa amat murah di muncung senapang.

Tok Musa tingal keseorangan selepas isterinya meninggal dua tiga tahun sudah. keuzuran kian memaut. Dia tidak betah berseorangan di kampung dan kini menetap bersama anaknya di Taman Melewar.

Saya masih ingat, beberapa tahun dahulu saya pernah mendapat sepersalinan lengkap hari raya. Sepasang baju melayu siap bersampin dan bersongkok hitam. Hadiah pemberian daripada Tok Musa. Kini, tanpa sedar...sudah 87 tahun usianya!

Jumaat, Ogos 22, 2008

Cerita Balik Kampung


Cerita Balik Kampung Nombor 1

"Anta balik berapa hari?"
Seorang kawan basa-basi bertanya. Basa-basi juga saya menjawab.

"Ada le kot lima enam hari."

"Syeikh, musim minyak mahal le ni, anta kalu balik kampung biar lama-lama. Kos balik tu dah naik, anta kena ambik kira."

Ya…saya kotakan cadangan itu. Saya cuti enam hari bebaru ini!

(P/s: gambor tu eksen je...bukan gambor teman yg sebenor...)

Cerita Balik Kampung Nombor 2

Muktamar PAS ke-54 berlangsung di Stadium Indera Mulia, Ipoh. Saya tak lepaskan peluang. Ibu mertua mengajak ke sana hari Sabtu 16 Ogos. Yang bestnya, di samping mendengar perbahasan, saya juga mencari buku-buku yang dijual pada harga patut. Saya beli buku Pelik Tapi Benar Dalam Solat dan Bait-bait Cinta karangan Geidurrahman Elmishry juga senaskhah majalah baharu terbit edisi perdana bernama Solusi oleh Telaga Biru.

Seperkara yang menyedihkan saya, sambutan mesyuarat agung tahunan terbesar PAS ini tidak diberikan sambutan paling sempurna. Promosi kurang. Sebagai contoh, bendera PAS sendiri kurang dipasang. Kain-kain rentang dan bunting juga kurang. Suasana muktamar hanya terasa tatkala mula memasuki kawasan berdekatan simpang untuk ke stadium.

Mulut saya pok-pek-pok-pek merepek. Saya katakan, sepatutnya PAS Perak kena tunjukkan izzah melalui muktamar ini. Barulah rakyat Perak terasa kewujudan PAS.

Isteri saya menjawab mudah… "Agaknya, PAS Perak tak ada duit le kot untuk sambut meriah-meriah. Maklumlah, PAS bukan macam *%#@ yang boleh dapat tajaan juta-juta daripada syarikat swasta..."

Hmmm…bernas juga pandangan isteri saya!

Cerita Balik Kampung Nombor 3

Rambutan meranum di belakang rumah. Sampai di kampung pun, matahari sudah mahu beradu. Sabar…

Pagi Sabtu, pulang dari mengudap di Karai saya pun mulakan misi. Abah mertua kata, kerat sahaja dahan lagi senang. Saya capai gergaji yang abah baru beli. Panjat dan pekena dulu sebiji. Memang….hmmm…manis bersari. Nikmatnya dapat makan rambutan segar di atas pokok. Saya cari posisi dan mulalah menggergaji.

Hari itu sahaja lapan bekas penuh berisi rambutan. Puas yeob…puas!!!

Cerita Balik Kampung Nombor 4

Balik Lenggong hari Sabtu tu juga. Emak dah pesan, balik awal takut tak sempat petik buah dokong. Dah masak sangat…banyak yang gugur ke tanah. Melembang-lembang!

Pagi Ahad misi kedua. Hari pula hujan. Petang saya dah tak tahan. Saya panjat dan berjaya kutip seraga besar penuh buah dokong. Amin adik saya mencadangkan agar dikait sahaja. Mana ada thrill. Lagi pun buah boleh relai jika dikait.

Alahai…rasanya, hmm…memang manis sekali! Nikmat sungguh…puas hati saya!!!

Cerita Balik Kampung Nombor 5

Ada lagi…i/allah jika larat saya sambunglah lagi….

Khamis, Ogos 14, 2008

Kisah PAS kena ejek, 10% UiTM dan ...


Ketika saya kecil-kecil dahulu, sakit sungguh hati saya bila kawan mengejek abah saya…katanya, orang yang menyokong PAS itu bodoh dan seleweng. Katanya lagi, makna PAS ialah Parti Angkatan Syaitan. Saya marah berbaur jengkel…tapi hanya dalam hati. Saya tak berani melawan. Sebab masa itu saya kecil lagi.

Apabila semakin besar, saya makin cerdik. Saya dah mampu membezakan. Apa itu Umno dan apa itu PAS. Saya bukanlah ikut membabi buta, sungguh pun babi buta pun sebenarnya tak tahu nak ikut yang mana…PAS atau Umno, sebab dia buta…alah…

Syukurnya saya diberikan akal yang cerdik dan mampu berfikir secara luwes. Tidaklah saya hanya bertaklid seperti muallaf yang baru kenal alif, ba dan ta. Saya membaca, berdikusi, berbahas, berdebat, mendengar dan berfikir…maka, saya tahu mana yang betul dan wajar untuk diikuti.

***

Saya tergelak dan senyum saya berisi hempedu, ia mengenai isu UiTM yang mahu dibuka 10% kepada non-bumi.

Lah!!! Sejak bila pula puak-puak tertentu bersikap terlalu sayangkan ‘hak sendiri’ ini? Sejak bila? Saya nak Tanya, siapa yang jatuhkan martabat bahasa Melayu, siapa yang tanam bibit tidak percaya kepada bahasa sendiri, siapa yang hapuskan biasiswa kepada hak bangsa dan pribumi sendiri, siapa yang lepaskan Singapura kepada ‘orang lain’, siapa yang leka hingga Pulau Batu Putih terlepas ‘lari’, siapa yang benarkan jutaan PATI masuk negara ini, siapa yang cabut kekebalan raja-raja Melayu dan banyak lagi…

Jangan beri tahu saya, kerana saya sudah tahu. Berilah tahu kepada mereka yang berdemo di hadapan SUK tempoh hari…

***

Media massa khususnya milik Umno – BN nampaknya ‘patah lidah’ bila berhujah dengan PAS. Saya gelihati melihat, dalam sekelip mata isu ‘gila talak’ (baca: muzakarah) Umno – PAS hilang dan sunyi sepi, bukan setelah Nik Aziz dan Hj Hadi keluar kenyataan; tetapi setelah Nik Aziz berkata, Hudud adalah agenda utama dan inti penggabungan jika terjadi!

Kini, media cuba mempolemikkan isu, kononnya dalam PR ada getar yang menggegar. Saya pelik. Getar apanya? Setakat sesekali terhinggut bahu adalah, itu pun kerana kaki lenguh dan bukannya ‘cah keting’ sesiapa!

Tapi dalam Umno…la, punya banyak isu ‘cah keting’ sesama sendiri. Malas nak sebutlah. Tapi, jika sampai BPR masuk campur, sampai ada ‘datuk’ sanggup lapor kepada BPR bahawa Pak Lah dan Najib ‘langgar’ arahan parti, sampai ada pelangkung dengan kayu golf…saya tak tahulah, adakah itu yang dikatakan ‘kedamaian dan keharmonian’ hakiki hanya wujud dalam Umno parti Pak Lah hadari?


Moralnya: PAS bukanlah Parti Angkatan Syaitan seperti yang pernah kawan saya sebut kira-kira 30 tahun dahulu…dan saya tak malu berketuakan orang tua yang sebaik Nik Aziz dan orang tua yang setegas Hj Hadi!

Selasa, Julai 08, 2008

Ziarah, ole-ole dan kisah tok di kampung

Abang ipar Sdr Jiwa Rasa dan biras, Kak Suri datang bertandang ke kediaman saya Ahad lepas. Berdua, Aisya Nur Arafat ditinggalkan. Mereka dalam rangka ke kenduri perkahwinan di PWTC, langsung berziarah buat seketika.

Lama juga tidak ketemu. Abang JR saya makin sibuk mutakhir ini. Halaman Blog beliau pun jarang bersentuh. Saya merungut-rungut juga dengan isteri, kenapa Abang JR lama tak up date blog. Dalam senggang waktu kami, biasanya blog Jiwa Rasa adalah antara blog yang awal dibuka. Saya sendiri suka membaca komen JR mengenai buku. Saya tahu Abang JR banyak membaca buku, sebulan kekadang dua tiga buah. Bukan seperti saya, sebuah pun susah bukan main untuk langsai.

Saya merungut juga fasal CD Dewanga Sakti yang saya order daripada Zul tapi masih belum diperolehi. Abang JR pula, memang sedari awal berniat untuk menghadiahkan saya sekeping CD itu. Dek kerana belum tahu kapan bila saya bakal menerima CD daripada Zul Dewangga Sakti, saya terima sahaja CD daripada Abang JR. Terima kasih. Saya terima dengan hati yang berbunga. Semalam saya sudah dengar CD itu. Nantilah, lepas ini saya akan tulis mengenainya.

Tidak lupa juga, emak mertua mengirimkan sekotak ole-ole dari kampung. Mak mertua saya memang begitu. Jarang menghampakan. Ada-ada sahaja barangan yang dititipkan. Daun pisang, pisang abu, ubi kayu, tempoyak, durian, pucuk ubi, bunga kantan dan apa-apa sahaja lagi. Termasuklah air selusuh yang istimewa untuk isteri saya. Anak kelima kami akan lahir bila-bila masa sahaja lagi.

Semalam juga emak saya menelefon dari Lenggong. Emak tanya, bila mahu pulang ke kampung. Rasanya selepas isteri bersalinlah. Juga emak memberitahu kondisi Tok Long yang kian uzur. Sudah enggan menjamah nasi. Air pun makin sedikit diminum. Mak bimbang akan kesihatan ibu mertuanya itu.

Isnin, Jun 23, 2008

Kenangan nonton wayang


Sabtu yang bersejarah! Saya nonton wayang bersama famili. Cerita Kung Fu Panda. Isteri saya bising-bising…"Hai anak-anak umi, bertuah betul dapat tengok wayang kecil-kecil.” Memang, saya dan isteri inilah pun first time nonton di panggung. Sebelum ni ada cuba tapi tak berhasil.

Teringat masa kecil dahulu, di kampung...saya dan kawan-kawan suka nonton wayang. Masa itu wayangnya hitam putih lah. Orang dari Jabatan Penerangan yang guna van Wolkswagen siap dengan corong pembesar suara yang tayang. Mereka akan uar-uarkan dahulu melalui van itu di jalan raya (kami panggil jalan raya itu tembak), sekian tarikh, sekian malam akan dibuat tayangan. Tiba hari yang dijanjikan, maka kami budak-budak pun tak sabar-sabarlah lagi menantikannya.

Saya ingat lagi, satu petang itu kami budak-budak kecil sudah berkerumun dekat rumah Tok Che Makrit. Ada tayangan gambarlah. Ceritanya saya dah tak ingat. Orang-orang Jabatan Penerangan sudah sampai. Mereka naikkan layar berwarna putih. Van yang mempunyai mesin jenerator pun sudah sedia. Hari menjelang magrib dan kami tak sabar-sabar menanti malam.

Masa itulah, saya sudah lupa siapa, tapi ada seseorang dewasa yang menyuruh kami balik. “Pergi balik dulu, mandi! Lepas tu mari la balik tengok wayang!” Kami pun baliklah. Nak tahu malam itu apa jadi…saya tertidur selepas maghrib! Hancuss…melepaslah wayang saya.

Satu petang lain pula, saya bermain bersama-sama kawan. Ralit bermain hingga dekat maghrib. Balik ke rumah, ada orang bertanya (ah…dah lupa, siapa ye…): “Ju, hang pegi mana?” “Wakpa (kenapa)?” Tanya saya balik.

“Tadi pak lang hang cari. Dia nak ajak hang tengok wayang di (pekan) Lenggong.” Wah…alangkah kesalnya saya. Kerana ralit bermain, saya terlepas peluang tengok wayang. Panggung wayang di pekan itu memang selalu saya lihat. Ia berdiri megah di belakang pekan Lenggong, dekat dengan kedai gunting rambut. Setiap bulan semasa bergunting, saya tengok bangunan itu. Seingat saya ada tulisan ‘Capitol’ pada pintu gerbang yang membentuk dinding hadapannya.

Kini, panggung wayang itu pun sudah runtuh. Diruntuhkan orang demi pembangunan pekan Lenggong. Sampai sudah saya tak merasa jejak panggung itu!

Moral: Saya rasa tak salah tengok wayang; tapi kena pilih ceritanya. Saya rasa Kung Fu Panda okay, sesuai untuk tontonan sekeluarga. Ia ada beberapa pengajaran, misalnya: Melentur manusia ikutlah kelebihannya (tak boleh samakan setiap orang cara mendidiknya); kita yang membuatkan diri kita istimewa bukannya orang lain dan sikap merendah diri memang sampai bila-bila disukai semua manusia!


Jumaat, Jun 20, 2008

Abang Yang jadi 'penyambut tetamu'


Semalam isteri saya bertanya, kalau-kalau saya dapat hadir ke sekolah agama anak kami hari ini. Ada sesi berjumpa guru kelas dan menandatangani buku laporan. Saya merungut-rungut juga, kenapalah pihak sekolah tidak menyekalikan harinya dengan sesi di sekolah kebangsaan kelmarin. Hari itu, isteri saya sampai ambil cuti. Ini tidak...short notice pula tu.

Pagi tadi wife menyatakan, anak kedua kami, Abang Yang diminta ustazahnya menjadi penyambut tetamu. Kata isteri saya, anak saya bangga menyatakan yang ustazah telah memberikannya 'kerja'. Kerjanya tunggu ibu bapa datang dan pelawa duduk di tempat yang disediakan. Maknanya penyambut tetamulah.

Saya tersenyum dan bangga juga. Anak kedua saya itu memang keletah dan banyak sikit mulutnya. Semasa mula-mula mendaftar di sekolah, saya dan isteri menunggu di luar kelas. Tunggu pun di tempat yang dia boleh nampak. Apabila saya dan isteri sengaja melarikan diri ke kawasan lain, tiba-tiba sahaja wajahnya terjengul di muka pintu kelas. Menceghoye sahaja…bila kami pulang, dia berkejaran di belakang. Jenuh pula guru sekolah mengejarnya. Itu sesi pagi, di sekolah kebangsaan, sesi petang pun ada cerita juga.

Waktu petangnya di sekolah agama, sekali lagi kami terpaksa menunggu Abang Yang. Di dalam kelas kami dudukkan dia di barisan hadapan. Sudah jenuh menunggu, kami pun mahu pulang. Apa lagi, melalaklah dia…jenuh juga ustazahnya mendamaikan hatinya yang lara…

Tapi itu hanyalah sementara. Selepas dari itu, anak kedua kami sudah jadi pelajar popular pula. Mulutnya ramah menyapa, dari tukang kebun hingga ke guru-guru. Boleh dikatakan, ramai guru mengenali dan menyenangi anak kami itu. Mujur juga, otaknya pun bergeliga. Jadi, tidak hairanlah dia mudah disenangi dan disayangi.

Hari ini, saya tak tahu bagaimana anak saya menjalankan tugasnya sebagai 'penyambut tetamu'. Teringin juga saya melihatnya, senyum yang berulas terukir di bibir, ramah-tamah sapa menyambut tetamu dan kedek-kedek kakinya mengiringi ke tempat duduk. Pasti dia sibuk agaknya.

Rabu, Jun 18, 2008

Mengenali Dr Lo' Lo'

Saya taklah rapat dengan beliau. Cuma, saya kenal beliau dan suaminya sekali. Suami beliau adalah seorang profesor madya di fakulti perubatan. Saya pernah menjadi pembantu penyelidik di fakulti berkenaan. Semasa itu, saya dan isteri sama-sama berada di satu jabatan. Kami kerap bersama. Ke cafĂ©, ke ceramah agama di dewan kuliah dan shoping di waktu tengah hari. Bahkan kami mengenakan baju yang sama warna setiap hari. Sedondonlah. Saya ingat lagi, suami Dr Lo’lo pernah menegur…sweet couple, katanya.

Dr Lo’lo memang sedikit tegas tetapi mesra. Semasa beliau bertugas di Pusat Perubatan Ko-hilal, saya dan isteri suka jika beliau yang bertugas. Kadang-kadang kami telefon dahulu memastikan yang bertugas itu beliau. Anak saya yang keempat disambut Dr Lo’lo’. Kata beliau, tarikh lahir anak saya sama dengan tarikh lahir beliau. Ucapan bersemangat Dr Lo’lo’ di labour room membangkitkan semangat saya dan isteri. Kekuatan semangat dan aura yang ada pada beliau menyerap kepada kami. Ya…saya yakin beliau bukan doktor biasa. Bahkan beliau ialah doktor yang berjuang, berjuang demi Islam.

Kemenangan Dr Lo’lo’ mengembirakan saya dan isteri, walaupun kami tahu selepas ini pasti sukar bertemunya lagi di PPKo-hilal. Saya hantar ucapan tahniah, tanpa balasan…tapi saya tahu beliau sibuk. Saya hantar SMS tentang keunikan KM Pulau Pinang, beliau balas dengan menegur saya: “Kenapa hantar kepada saya, hantarlah kepada kawan-kawan yang masih belum nampak kebaikan BA.” Baru-baru ini, beliau ada menghantar SMS menyeru agar membantu rakyat Malaysia yang dihimpit kenaikan ‘mengarut’ harga minyak. Dan saya tahulah, Dr Lo’lo’ sebenarnya masih menyimpan nombor hand phone saya. Ya...Saya kagum dengan beliau. Kegigihan dalam perjuangan sehinggalah kini bergelar YB, masih tiada riak surut semangatnya. Saya doakan Dr Lo’lo’ istiqamah, demi Islam tercinta. Amin!

Isnin, Jun 16, 2008

Sehari di Hari Bapa


Saya ini pelupa juga. Saya selalu tidak ingat akan tarikh. Tarikh hari lahir anak-anak selalu terlupa, hari lahir emak dan abah pun sama. Selalunya, adik-adik yang akan hantar reminder, do not forget to wish happy birthday or happy mother’s day dan entah apa-apalah lagi. Itulah, saya hanya ingat tarikh atau tepatnya ingat hari. Menjelang Jumaat saya sudah happy, kerana Sabtu sudah mari…cutilah. Saya bebas, boleh buat apa sahaja di rumah. Maklumlah, masa yang terbaik sepanjang minggu sudah saya berikan kepada orang lain, sedangkan sepatutnya masa itu untuk keluarga.

Jadi, Sabtu dan Ahadlah saya gunakan untuk meraikan anak-anak dan isteri. Jalan-jalan cari makan, makan angin dan makan di luar. Namun, menjelang Ahad saya sudah rasa tak berapa best semula. Esok Isnin, kena berkerja. Maknanya, kena bangun awal pagi, kena keluar kerja awal dan memandu sejauh 30 km! Minyak mahal…oho….Tol lagi! Uhu…hu…!

Sesungguhnya semalam saya memang tidak ingat pun ia Hari Bapa. Anak dan isteri saya sejak awal Sabtu sudah mengecek. Along membayangkan untuk menonton movie Kung Fu Panda di panggung wayang…itu pun jika saya sudi. Maklumlah, seumur hidup saya, belum pernah saya menonton wayang, sungguh ni. Ayang anak kedua pula mengecek untuk meratah ayam KFC. Sudah lama katanya tak makan. Saya berkira-kira, menonton wayang kosnya seputar RM50, makan KFC pun kira-kira RM50. Hem…RM100! Saya bagi tahu isteri saya, pilihlah salah satu…kena kena apply konsep ekonomi di sini, iaitu ‘Kos Melepas.’ Pilih movie tiadalah KFC; begitulah sebaliknya.

Akhirnya, kami memilih Kung Fu Panda. Tapi sayang, percubaan kami kali pertama sekeluarga menonton wayang di panggung berhampiran tidak berjaya. Jam 11 pagi orang sudah beratur panjang dan jadual tayangan penuh, mungkin malam baru dapat. Saya mengubah haluan, kami ke Tesco Selayang. Boleh membeli barang dan selepas itu, makan di KFC sana.

Sudah makan, muka Abang Yang masih masam. Dia dapat nombor satu lagi dalam kelas dan sedari awal sudah demand hadiah. Letih juga saya dan isteri dengan keletah anak kedua ini, cerdik memang cerdik…tetapi perlu selalu diberikan hadiah. Mujurlah permintaannya tidak mahal, hanya mainan ‘Daman.’ Harganya bawah RM10. Sepanjang masa membeli-belah mukanya masam mencuka. Masa di KFC pun makan berbasa-basi sahaja. Tidak bersungguh. Lepas tu baring di kerusi panjang KFC, siap lelap lagi. Sah! Dia boring tahap ‘cipan’ ni…kata hati saya.

Akhirnya, melilaulah kami mencari mainan itu. Tapi tak jumpa. Akhirnya kami masuk kedai mainan Toy’s …apa entah. Banyaklah mainannya. Anak ketiga dan keempat makin galak. Saya yang bimbang, takut mereka nak dan tak dapat nanti melalak! Mujurlah anak keempat awal-awal lagi isteri saya minta belikan push car di Tesco.

Saya kasihankan Abang Long. Dia pun dapat nombor satu di sekolah agama, dapat naik kelas lagi. Tapi dia tidak meminta-minta, cool sahaja. Saya minta dia pun carilah apa-apa hadiah. Akhirnya, isteri saya dapat memujuk…belilah mainan tiga untuk RM10! Fuh..jimat pitih saya. Jadi, masing-masing dapat hadiahlah!

Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada isteri, beliau menghadiahkan saya sebuah plug yang cantik. Ada kata-kata pujian dan perangsang di situ. Juga sebiji kek coklat Hari Bapa. Terima kasihlah…walaupun saya memang pelupa, termasuklah untuk meraikan Hari Ibu bersama…berdua!

Khamis, Jun 12, 2008

Bila anak-anak bicara soal cinta


Zaman kanak-kanak dahulu, kita mana kenal cinta. Cinta lelaki – perempuanlah! Yang kita tahu, main pondok-pondok atau main dangau. Main masak-masak. Lelaki jadi ayah dan perempuan jadi emak. Ambil daun ubi kayu dan ambil tempurung nyiur dan buatlah masak-masak. Kemudian, main kawin-kawin. Sandingkan sang mempelai di atas pelamin dekat pokok pisang belakang rumah!

Bila umur naik sikit, masuk sekolah dalam darjah tiga, barulah tumbuh rasa suka kepada ‘lawan jenis’. Sudah mula pandai berangan-angan dengan budak perempuan. Rasa seronok bila dapat duduk dekat dengan murid perempuan yang kita suka. Agaknya, si budak perempuan itu pun sama juga. Suka bila dapat lihat wajah budak lelaki yang dia suka.

Itulah zaman kanak-kanak. Sambil galas beg sekolah dan sambil sangkut lastik di tengkuk, masih ada juga lintasan-lintasan untuk mencari kawan perempuan. Saya terkadang senyum sendiri. Iyalah, teringatkan Asiah anak Pak Su Yek yang bertahi lalat di dagu kirinya. Asiah pernah hinggap sebentar di dahan usia saya. Dalam darjah tiga, saya mulai menyukainya. Saya pernah berbisik kepada seorang kawan, dia berjanji mahu merahsiakannya. Tapi, dasar kawan mulut ‘jelabas’, dia kepohkan pula kepada kawan-kawan lain. Aduh…malunya!

Kini saya ada dua anak lelaki. Seorang umurnya sembilan tahun dan seorang lagi lapan. Umur mereka yang agak sebaya, menyebabkan mereka agak rapat. Pernah si adik menyatakan, si abang sudah ada makwe di sekolah. Abang pun menyatakan yang sama. Saya malas nak usul periksa. Tapi, saya tahu itu lumrah…perkara biasa. Yang abnormal jika suka kepada kawan sejenis…itu bahaya!

Namun, cerita seorang kawan mengenai anak lelakinya yang baru masuk darjah satu sudah jatuh cinta, benar-benar menggerudi hati saya. Bayangkan, usia baru tujuh tahun, tapi sudah pandai bermain kata dan bermain mata! Kata kawan saya, anaknya sudah pandai menghantar SMS kepada ‘si gadis’, walaupun dia tersilap hantar kerana SMS itu akhirnya tiba kepada bapanya sendiri! Kata SMS itu…Hai..*$%@#(*…

Ya..itulah anak-anak zaman siber, memang mudah teruja hati dan mindanya. Aruhan suasana dan setiap kejadian di hadapan mata mereka, menumbuhkan saham ke dalam diri. Saya amat berharap, anak-anak saya mampu menghadapi zaman getir yang disebutkan nabi zaman al-fitan (penuh kerosakan) ini dengan perkasa. Perkasa iman dan perkasa takwanya…amin.