Rabu, Jun 11, 2008

10% dipotong...apalah sangat


Saya ada membaca tulisan Dr Aisar Yee Abdullah, kolumnis tetap dalam akhbar Sinar Harian. Tulisan beliau adakalanya ‘garang’ menyinggung pihak pemerintah. Antara tulisan beliau yang saya suka, ialah mengulas kekalahan BN lewat PRU12 dahulu. Kata penulis: Pak Lah terbuai (hakikatnya tertipu) dengan kelicikan media sendiri!

Tadi saya membaca lagi tulisan beliau. Kali ini disentuh secara lebar ialah inisiatif Pak Lah mengurangkan 10% elaun keraian para menteri. Beliau turut menyinggung ‘perubahan hidup’ yang sering diseru kerajaan. Menariknya, beliau lebih dahulu menceritakan perihal kesederhanaan MB Kelantan mendiami rumah papan dan kesederhanaan KM Pulau Pinang menaiki kapal terbang kelas ekonomi. Sinisnya kata beliau, tak guna juga menyuruh MB dan KM BN duduk di rumah sendiri, kerana ada sesetengahnya rumah peribadi mereka jauh lebih mewah daripada rumah rasmi kerajaan!

Namun, saya jadi tertarik apabila kesimpulan tulisan beliau, Dr Aisar menyatakan, punca pembaziran ialah rasuah. Ya, rasuah! Projek bernilai RM100 juta jadi RM135 juta, kerana RM35 juta untuk kroni! Inilah yang perlu ditangani Pak Lah. Ribuan projek tanpa tender terbuka, perolehan (pembelian) harta kerajaan dengan kos melampau (alah…apa cerita pemutar skru harga sampai beratus ringggit zaman Azalina dahulu?!) dan banyak lagilah. Mat Ezam yang masuk balik Umno…inilah pun benda yang dia kena selesaikan (geli hati saya baca pengakuan Mat Ezam masuk Umno…)

Dr Aisar menamatkan tulisannya dengan menyatakan: “Tindakan mengelakkan pembaziran hendaklah melibatkan semua peringkat projek (kecil ke super mega) dan bukannya pemotongan elaun menteri dan kakitangan kanan kerajaan…(alah...apalah sangatnya elaun keraian PM RM18,865 dipotong RM1,886 sahaja SEBULAN!) Penjimatannya tidak seberapa berbanding dengan pembaziran yang (disifatkan) bersaudara dengan syaitan, seperti kata Dr Asri (Mufti Perlis dalam Mingguan M’sia, Ahad 9 Jun 2008). Bukan RM2 billion boleh diselamatkan; tetapi puluhan billion.”

Saya memang sudah lama menggegerkan isu ini. Penyelesaian kepada isu ini hanya ada satu kunci, iaitu ketakwaan. Takwa yang selalu disebutkan di madrasah tua di kampung saya…TAKUT KEPADA ALLAH! Hmmm…soalan saya, sudah bersediakah Pak Lah mencari kunci ini? Sudah bersediakah? Wallahua’lam.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

This topic have a tendency to become boring but with your creativeness its great.