Isnin, Oktober 06, 2008

Kenangan raya 2008


Antara thrill pulang ke kampung pada musim idul fitri ialah, menempuh perjalanannya yang terpaksa bersesak dan beratur panjang membayar tol. Tapi...pengalaman itu nampaknya tak ada pada tahun ini!


Seorang kenalan saya di Tmn Muhibbah, Sg Siput merungut, katanya dia rasa balik kampung beraya semacam balik kampung pada hari-hari biasa. Rasanya nak sahaja dia berpatah balik ke KL dan pulang sekali lagi...kerana kurangnya jem di lebuh raya!


Ada tak ada thrill pun, sudah begitu jadinya. Mungkin anak-anak perantauan pulang sedikit demi sedikit kerana hari raya jatuh pada Rabu, makanya lebuh raya tidak sesak.


Tapi ada sesuatu yang saya rasa tidak lengkap. Ya, banner menyambut kepulangan anak rantau amat kurang di daerah Ipoh, Kuala Kangsar, Lenggong mahu pun Gerik. Tidak seperti tahun-tahun dahulu, parti-parti politik berebut-rebut menaikkan banner meraikan kepulangan anak-anak rantau. Apa dah jadi? PAS pula, saya lihat sejak pegang negeri Perak ni makin 'slow' dalam kerja-kerja promosi ini. Janganlah begitu MB Nizar...


Kemeriahan beraya di kampung memang ada walaupun saya rasakan makin setahun makin pudar. Maklumlah, usia kian meningkat. Namun, suasana kampung di Lenggong memang agak sunyi. Semasa saya kecil dahulu, suasana menyambut raya memang meriah betul.


Apatah lagi sejak Lebuh Raya Timur Barat siap, maka jalan lama bertambah sunyi. Pekan Lenggong pun tidak semeriah dahulu. Itulah akibatnya, apabila pembinaan jalan baru tidak memikirkan kesannya kepada pembangunan ekonomi penduduk lokal. Kasihan mengenangkan nasib Pekan Lenggong...dari dulu sampai kini masih tidak banyak berubah wajahnya.


Berbeza suasana di Bandar Kuala Kangsar. Meriah dengan aktiviti ekonomi. Masjidnya juga hidup. Saya sempat bertarawih di Masjid Ridwaniah. Imamnya seorang anak muda yang bergelar al-hafiz. Sejuk mendengar bacaannya.


Kira-kira sembilan hari di kampung, saya puas. Bahkan saya sempat memikirkan beberapa penambahbaikan untuk raya yang akan datang, khususnya bagi melicinkan sambutannya. Maklumlah, ibu bapa dan ibu bapa mertua saya makin tua. Saya memikirkan untuk mengadakan rumah terbuka agar anak cucu dan saudara mara dapat dikumpulkan pada satu hari dan saya yakin, orang tua saya tak lah penat sepanjang 3-4 hari raya melayan tetamu siang dan malam.



Tiada ulasan: