Rabu, September 10, 2008

Cerita Ramadan 4#


Sahur di kampung zaman dahulu berbeza zaman ini. Zaman dahulu, antara jiran menjadi ‘jam loceng’ tidak rasmi. Saya ingat lagi, di kampung kami ada seorang tua yang saya panggil Paklang Sudin, dia akan melaung sekuat hatinya menjelang sahur. “Sahur…sahur…”

Pada awal-awal puasa, ada juga budak-budak muda yang akan membuat bising di jalan raya. Mereka mengetuk tin kosong sepanjang jalan. Tapi tak lama, mungkin mereka pun mengantuk untuk mengejutkan orang setiap pagi buta.

Di madrasah, ada orang yang akan memalu kerantong (batang kayu balak yang ditebuk lubang di tengahnya). Bunyinya melantun menerjah seisi kampung. Maka, tahulah kami sudah masuk waktu untuk bersahur.

Opah adalah orang paling awal bangun sahur di rumah kami. Seawal jam 3 pagi opah sudah bangun. Opah tanak nasi, guna dapur kayu. Kemudian goring telur atau perangat apa-apa lauk yang patut. Kemudian, jam 4 pagi opah mula bising mengejutkan atuk dan anak-cucu yang lain.

Opah amat berjaga-jaga dengan waktu imsak. Bagi opah, jika imsak maknanya sudah tidak boleh makan dan minum. Tapi atuk relaks sahaja. Atuk makan minum sampai santak waktu imsak. Lepas itu atuk ke sungai bagi membuang air dan mengambil wuduk. Sambil itu, di mulut atuk masih tercepit cerut cap kucingnya. Opah selalu bising, takut atuk terlajak sampai terbit fajar.

Selepas sahur, saya selalunya tarik selimut balik. Subuh selalu terlepas. Lagi pun masa itu masih belum mukallaf.

Bila masuk asrama, kami dikejutkan seputar jam 5 pagi. Makan nasi dalam tray. Lauk biasanya telur asin. Saya selalu merungut bersahur di asrama. Selera patah memanjang. Maka emak buatkan sambal tumis bilis sebagai bekal.

Kini, saya sudah punya anak. Saya pulalah yang kena mengejutkan mereka untuk sahur. Saya juga pastikan mereka untuk solat subuh, jika boleh di surau. Alhamdulillah, anak-anak saya nampaknya tidaklah seperti saya dahulu yang subuhnya asyik melepas selepas sahur.

1 ulasan:

kimura berkata...

TT rindu zaman dlu.best sngt .kontra giler dgn zmn skrg.",