Jumaat, September 05, 2008

Cerita Ramadan 3#


Antara kenangan menarik pada bulan Ramadan ialah bermain meriam buluh. Biasalah bagi budak-budak kampung seperti saya, bermain meriam buluh adalah satu lumrah.

Biasanya, sehari dua sebelum Ramadan mulalah kami budak-budak kampung masuk hutan. Kami empat lima orang bawa parang dan cari buluh untuk ditebang. Kami akan cari buluh yang berkualiti. Kulitnya biar tebal, ukur lilitnya biar besar.

Biasanya kami suka ambil buluh betung. Buluh itu memang besar dan panjang-panjang ruasnya. Kami akan ambil bahagian bawah buluh yang berdekatan dengan perdu, kerana di situ lebih keras. Lebih keras maknanya berkualitilah. Lebih keras maknanya tahan lebih lamalah.

Kami tebang beberapa batang. Kemudian kami buangkan ranting-rantingnya. Biasanya di bahagian bawah dah kurang ranting. Cuma nak menarik buluh tu agak susah. Kemudian, kami bawa ke sungai yang berdekatan dan kami buang miangnya. Miang buluh jangan dibuat mainan, kena kat badan merenyam satu badanlah jawabnya…tak senang duduk kita.

Kami kerat atau katamkan buluh itu dalam sedepa setengah panjangnya. Kami ikat buluh itu di beberapa bahagian, biar ia lebih kuat dan tak pecah. Maklumlah, nanti meriam itu akan panas dan jika ia pecah alamatnya parah...bahaya! Kemudian kami pikul bawa ke lokasi yang telah kami sediakan. Lebih elok jika di atas bukit. Lebih tinggi maknanya lebih kuat bunyinya.

Pada meriam itu, kami tebuk satu lubang kecil di dekat pangkalnya. Kemudian kami tusukkan kayu tajam untuk membuat larasnya, barulah ada udara untuk bernafas. Ceh…meriam pun kena bernafas!

Untuk bermain meriam buluh, kena pandai. Saya tak berani sangat, jadi saya selalunya hanya memerhatikan kawan-kawan lain memainkan meriam buluh.

Kami masukkan kabaid ke dalam lubang kecil yang kami tebuk itu. Kemudian tuang sedikit air. Biar kabaid menggelegak. Kemudian ambil api dan cucuhlah pada lubang kecil itu. Apa lagi…BOM!!!

Nak tahu? Selepas berbuka puasa sahaja maka biasanya akan berdentam-dentumlah seisi kampung kami dengan bunyi meriam buluh. Kawan-kawan dari kampung yang berjiran juga tidak mahu mengalah. Maka, masing-masing pun berlawanlah, meriam siapa palih kuat dan paling gagah.

Bom! Bom! Boom!!!


Tiada ulasan: