Khamis, September 11, 2008

Cerita Ramadan 5#


Opah saya pandai membuat kuih tradisional. Opah saya memang tipikal orangnya. Tradisi kemelayuan begitu bukat membentuk jati dirinya. Saya amati itu. Termasuklah dalam isu makanan, khasnya menjelang Raya dengan segala aneka kuih-muih tradisional Melayu.

Antara kuih yang menjadi kegemaran opah ialah baulu, kuih bakar (bangkit) dan putu kacang. Dan semua kuih-muih tradisi ini opah buat secara lama, jika moden sikit pun bila emak beli oven yang menggunakan dapur minyak tanah. Itu pun untuk memudahkan emak membuat kuih samprit.

Sebenarnya kemasyhuran opah membuat kuih-kuih tradisional ini tersohor juga di kalangan penduduk kampung. Mereka datang menempahnya. Mereka selalunya membahagi dua kuih itu. Jika dapat 100 biji baulu, opah dapat 50 lah. Serasa sayalah, jarang yang memberikan duit upah. Sebab itulah bersusun balang dan tupper ware di para rumah opah dengan kuih-kuih ini.

Untuk membuat baulu, telurlah resipi utamanya juga gula dan tepung gandum. Pagi-pagi lagi opah bersiap. Telur yang sudah siap dibasuh dan dikeringkan di letak atas para. Kemudian opah pastikan pasu untuk memukul telur itu juga bersih. Opah akan mengira satu persatu telur itu. Semasa itu, awaslah…jangan sesiapa memanggil opah, dia tidak akan layan.

Pernah saya kena marah, kerana memanggil-manggil opah. Sebabnya, bila opah paling dan sahut panggilan itu…maka opah sudah lupa jumlah telur yang sedang dibilangnya!

Saya pula selalunya diminta memukul telur itu. Saya guna satu pemukul khas berbentuk gegelung dawai yang berulu kayu.

Opah guna kaedah lama membakar kuih baulu. Bara sabut di atas (dilapik dengan zink) dan bara kayu di bawah. Di luar rumah di bawah pokok kopi atau naungan pokok rambutan, dari pagi menjelang petang opah membakar baulu.

Kuih bakar pula opah guna oven. Saya bukannya ingat sangat cara membuatnya. Yang saya ingat, saya akan minta daripada emak sedikit tepung yang sudah sedia diadun dan akan membuat acuan sendiri untuk dibakar. Tapi saya bakar di atas bumbung oven, kerana emak tidak benarkan saya meletakkan ‘kuih acuan’ saya itu sekali di dalam ovennya.

Kuih putu kacang pun ‘siksa’ juga menyediakannya. Opah akan memilih kacang hijau terbaik, menampi dan membasuhnya. Kemudian ditumbuk menggunakan lesung kayu. Setelah itu opah menggunakan acuan daripada kayu bagi menempa putu. Ada pelbagai corak.

Sakit ibu jari menekan putu di dalam acuannya. Bukan sikit-sikit, baaanyak! Kemudian, opah jemur di panas matahari sehinggalah putu itu kering. Jika tidak betul-betul kering, putu mudah rosak atau berkulat.

Itulah sedikit pengalaman menyediakan kuih tradisional dengan opah jua emak. Kini, nak makan baulu…order sahajalah!!!

2 ulasan:

Admin berkata...

Assalamualaikum.....

Semasa arwah nenek sebelah ayah saya masih hidup, dia suka buat kuih bahulu dengan cara tradisional iaitu bakar menggunakan arang dan sabut kelapa. Nenek sangat mahir dan "profesional" dalam penyediaan "kuih-kuih lama" seperti itu.

Saya semasa kanak-kanak, sempat jugalah menolong dan dalam masa yang sama belajar cara buat kuih bahulu dengan cara "orang tua dulu-dulu".

Al-Fatihah untuk arwah nenek dan juga umat Islam yang telah dan akan meninggal dunia...

Tanpa Nama berkata...

top [url=http://www.001casino.com/]casino[/url] coincide the latest [url=http://www.casinolasvegass.com/]online casinos[/url] manumitted no store perk at the foremost [url=http://www.baywatchcasino.com/]online casino
[/url].