Khamis, September 04, 2008

Cerita Ramadan 2 #


Saya teringat waktu usia dalam lingkungan 5 atau 6 tahun, waktu berbuka puasa paling menyeronokkan. Tapi saya tak puasa penuhlah. Kan masih budak-budak, mana wajib lagi…he…he…

Alang Usop akan membeli ais batu dari kedai runcit. Kadang-kadang alang beli ais di Kedai Man Jawa di Banggol Belimbing atau Kedai Pak Dollah di Kg Bor. Ais batu itu dipotong empat segi dan ditaburkan dengan serbuk kayu sebelum dibungkus dengan kertas surat khabar. Serbuk kayu itu bagi melambatkan ais cair. Kemudian alang ikat ais itu di pelantar basikal dan bawa balik ke rumah menjelang senja.

Opah atau emak akan buat air sirap. Kadang-kadang sirap itu ditambah biji selasih. Saya suka minum sirap merah berbiji selasih. Kita akan terasa biji selasih dalam mulut dan cuba menggigitnya. Segar badan bila sirap ais masuk ke kerongkong.

Alang suka beli mercun tarik yang meletup bila disentap. Saya namakannya mercun ‘api-po’. Saya dan Cik Nab akan bermain selepas berbuka. Solat maghrib…he…he…tak wajib lagi! Alang juga belikan bunga api. Masa itu bunga api berbatang besi, bukan jenis berasap berkelun macam sekarang ini. Budak-budak pun boleh kena athma dibuatnya.

Kami akan berlari-larian di halaman rumah. Kadang-kadang bergabung dengan kawan-kawan dan bermain di lorong di kampung kami. Berlari-larianlah sambil menghayunkan tangan memainkan bunga api. Mercun tarik ‘api-po’ pula, saya ikatkan kepada pokok atau rumput barulah saya tarik. Saya takutkan percikan api. Takut terkena tangan.

Pernah saya ikatkan mercun tarik itu pada pintu pagar dapur. Pintu pagar itu gunanya menghalang ayam daripada masuk. Rumah kampung memang ayam suka jengah masuk, lepas tu berak merata-rata. Saya nak menyakat opah. Bila opah tarik pintu itu, apa lagi…pom!!! Marahlah opah…"Hish...ni siapalah gatal pegi ikat mercun kat sini ni..."

Ada kawan-kawan yang lebih nakal. Mereka ikat mercun tarik itu pada selipar. Kadang-kadang kita tak perasan. Bila sarung selipar, terus je jalan…apa lagi…Pom!!!

Itulah sebahagian kenangan dan cerita Ramadan saya yang lalu…

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalamu'alaikum

Kelihatan ketul bungkah air batu dengan serbuk kayu gergaji sudah jadi nostalagia kita. Anak-anak kalau di ceritakan tak boleh membayangkannya. Air sirap dengan biji selasih yang wangi dengan daun pandan juga membuat saya teramat rindu akan zaman dahulu yang punya banyak kenangan. Marhaban ya Ramadhan.

Terima kasih

U-HAH berkata...

Kenangan itulah yang membugarkan kita. Yang berlalu tidak akan kembali, walau ia hanya secebis memori. hanya catatan seperti ini sahajalah pengubat laranya...

Tanpa Nama berkata...

anak kita tak suka biji selasih tu. dulu pernah beli dan buat sendiri. diorang geli nak minum...