Selasa, Ogos 26, 2008

Beberapa Catatan Semalam


Ramadan yang menjelang kian terasa. Kala kita diasak dengan pelbagai cerita, keharuman dan kehangatan Ramadan seakan tenggelam. Ye...tenggelam dengan cerita sumpah dan nafi, cerita pilihan raya, cerita itu dan ini.

Sesungguhnya manusia memang pelupa, sampai diperingatkan Allah baharulah mata mereka akan terbuka!

***

24 Ogos, adik saya si Yati konvo di UIA. Yati anak kedua emak yang berjaya menggenggam ijazah. Saya tahu, emak harapkan semua anaknya berjaya ke menara gading. Setakat ini, kami anak-anak emak tidak menghampakan. Setidak-tidaknya, emak boleh memejamkan mata pada malam hari dengan lebih lena.

***

Mutakhir ini juga hujan melebat di muka bumi. Saya pun hairan. Sedang sebelum ini panasnya amat membahang. Saya hanya bimbang, ini tanda murkanya Tuhan. Ya, murka kepada segelintir manusia yang suka bermain sumpah. Sumpah mubahalah yang melaknat diri sendiri.

Pelik...seseorang sanggup bersumpah laknat ke atas diri sendiri. Sedangkan, kita sepatutnya memohon kebaikan. Inilah masalahnya, apabila ajaran Islam diambil mana yang perlu. Sebahagiannya dicampak ke tepi. Al-Quran hanya berguna untuk tempelan...ya, seperti meletakkan tangan ke atasnya sebagai bukti sumpah bukan suatu yang main-main...kononnya!

***

Hari ini 26 Ogos, Permatang Pauh menjanjikan sesuatu. Debar di dada memukul rasa. Ada bisik menular halus, kemenangan mana-mana pihak menatijahkan sesuatu. Saya meletakkan harapan pada sosok gagah Anwar. Saya yakin dia bisa menang. Walau di sudut hati saya, bimbang dengan tindakan luar jangka. Ini demokrasi ala Malaysia, di mana anda sukar meramal sesuatu upaya...

***

Oh ya! Semalam saya bersama abah dan emak menziarah Tok Musa. Tok Musa ini bapa saudara sebelah abah. Dahulu, dia adalah antara tok saya di kampung. Ya, selepas tok saya gemulah, saya menumpang kasih kepada ramai tok. Termasuklah Tok Musa.

Beliau bekas tentera British zaman Perang Dunia Ke-2. Kisahnya menarik untuk dibukukan. Saya ternganga mendengar cerita bagaimana perang berlangsung. Zaman itu, nyawa amat murah di muncung senapang.

Tok Musa tingal keseorangan selepas isterinya meninggal dua tiga tahun sudah. keuzuran kian memaut. Dia tidak betah berseorangan di kampung dan kini menetap bersama anaknya di Taman Melewar.

Saya masih ingat, beberapa tahun dahulu saya pernah mendapat sepersalinan lengkap hari raya. Sepasang baju melayu siap bersampin dan bersongkok hitam. Hadiah pemberian daripada Tok Musa. Kini, tanpa sedar...sudah 87 tahun usianya!

Tiada ulasan: