Jumaat, Ogos 29, 2008

2 Jam Sebelum Sultan Alaudin Syahid Dibunuh


Jujurnya, saya agak tertipu dengan teater ini. Bukan maksud saya, mengatakan Purnakarya Faisal Tehrani sengaja menipu, tapi saya yang tersilap barangkali. Saya tertipu dengan pandangan mata zahiri.

Sangka saya, teater ini adalah teater purbawara. Set dan kostumnya yang terpampang pada poster…barangkali membuatkan saya menanggapi sedemikian. Rupa-rupanya, teater ini SARAT KRITIKAN SOSIO-POLITIK SEMASA dan kontemporari sifatnya. Jadi, lupakanlah hasrat mahu melihat para pelakonnya mengenakan destar sejak mula, menghunus keris dan bergaya dengan sampin dan capal. Apatah lagi berbicara cara lama, sarat dengan pantun dua kerat atau berperibahasa. Mereka berpakaian moden bangat malah. Cakapnya cakap modenlah.

Saya melihat, teater arahan Dr Abu Hassan Hasbullah (yang pertama kali saya kenali semasa Seminar Pencinta Buku 2006 dahulu) ini, menggabungkan dua maksud besar tersirat, yang mewakili dua zaman. Satu zaman ini dan satu lagi zaman silam, zaman ketika Sultan Alaudin Riayat Shah berhadapan dengan ancaman bunuh. Hakikatnya, kedua-dua senario iaitu pada zaman ini dan zaman dahulu itu, ditandai dengan satu kalimah yang berbunyi ‘konspirasi.’

Bagi mewarnai latar zaman ini, audiens akan dipaparkan dengan keletah-keletah watak yang tidak sukar ditelah maksudnya. Itu belum ditokok dengan skrip yang menambahkan lagi kejelasan cerita. Ia mengarahkan audiens kepada satu kisah konspirasi moden, ya…maka itulah kita dihadapkan dengan watak-watak bernama Azzam, Maria Longoooooria, Rose…mah. Bahkan kemasukan skrip berbaur isu semasa seperti liwat, penguin, mamak, correct 3X dan konspirasi serta serba bagai lagi amat menyerlahkan lagi apa yang mahu disampaikan.

Namun begitu, saya turut mahu menyampaikan tahniah kepada FT dan Dr Abu, justeru keberanian mereka melontar suatu idea yang sebenarnya merungkai kembali satu sisi dalam sejarah tamadun Melayu yang cuba digelapkan.

Itulah sisi sejarah mengenai sosok mulia Sultan Alaudin Riayat Syah yang syahid diracun isterinya sendiri, Tun Senaja (yang dipanggil Tun Sengaja oleh Azam…he…he…)

Cerita ini sebenarnya digali oleh FT sendiri menerusi pelbagai sumber-sumber lain yang pastinya digelapkan oleh orang-orang tertentu. Boleh sahaja dikatakan, Tun Sri Lanang yang mengarang Sejarah Melayu itu pun sudah menggelapkan sisi penting ini. Iaitu, sejarah pembunuhan Sultan Alaudin Syah ini.

Menurut FT, sekurang-kurangnya ada dua sifat Sultan Alaudin yang tidak disenangi oleh golongan Mamak yang ada di sekitar baginda kala itu, iaitu baginda bersifat ‘action oriented’ serta bercita-cita mahu melaksanakan perundangan Islam di Melaka.

Saya mengesyorkan, jika anda mahu merehatkan minda maka datanglah menonton teater ini. Paling tidak, anda mungkin dapat menangkap maksud di sebalik beberapa kelaku lawak jenaka oleh pendiri wataknya. Ya…ini negara demokrasi, maka teater FT ini memberikan sedikit suluhan cahaya agar fikiran kita lebih terbuka.

p/s: Malam semalam saya ke Auditorium Akademi Pengajian Islam, UM bersama-sama sahabat saya....Nasruddin untuk menonton teater ini. Beliau baru belajar mengenali dunia sastera...beliau bertuah kerana dapat berpeluang mengenali dan mendapat tandatangan Faisal Tehrani juga mengenali novelis / penulis Nisah Haron.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

when will you go online?

Tanpa Nama berkata...

help me.

Tanpa Nama berkata...

Alla hu akhbar!!!