Jumaat, Ogos 29, 2008

2 Jam Sebelum Sultan Alaudin Syahid Dibunuh


Jujurnya, saya agak tertipu dengan teater ini. Bukan maksud saya, mengatakan Purnakarya Faisal Tehrani sengaja menipu, tapi saya yang tersilap barangkali. Saya tertipu dengan pandangan mata zahiri.

Sangka saya, teater ini adalah teater purbawara. Set dan kostumnya yang terpampang pada poster…barangkali membuatkan saya menanggapi sedemikian. Rupa-rupanya, teater ini SARAT KRITIKAN SOSIO-POLITIK SEMASA dan kontemporari sifatnya. Jadi, lupakanlah hasrat mahu melihat para pelakonnya mengenakan destar sejak mula, menghunus keris dan bergaya dengan sampin dan capal. Apatah lagi berbicara cara lama, sarat dengan pantun dua kerat atau berperibahasa. Mereka berpakaian moden bangat malah. Cakapnya cakap modenlah.

Saya melihat, teater arahan Dr Abu Hassan Hasbullah (yang pertama kali saya kenali semasa Seminar Pencinta Buku 2006 dahulu) ini, menggabungkan dua maksud besar tersirat, yang mewakili dua zaman. Satu zaman ini dan satu lagi zaman silam, zaman ketika Sultan Alaudin Riayat Shah berhadapan dengan ancaman bunuh. Hakikatnya, kedua-dua senario iaitu pada zaman ini dan zaman dahulu itu, ditandai dengan satu kalimah yang berbunyi ‘konspirasi.’

Bagi mewarnai latar zaman ini, audiens akan dipaparkan dengan keletah-keletah watak yang tidak sukar ditelah maksudnya. Itu belum ditokok dengan skrip yang menambahkan lagi kejelasan cerita. Ia mengarahkan audiens kepada satu kisah konspirasi moden, ya…maka itulah kita dihadapkan dengan watak-watak bernama Azzam, Maria Longoooooria, Rose…mah. Bahkan kemasukan skrip berbaur isu semasa seperti liwat, penguin, mamak, correct 3X dan konspirasi serta serba bagai lagi amat menyerlahkan lagi apa yang mahu disampaikan.

Namun begitu, saya turut mahu menyampaikan tahniah kepada FT dan Dr Abu, justeru keberanian mereka melontar suatu idea yang sebenarnya merungkai kembali satu sisi dalam sejarah tamadun Melayu yang cuba digelapkan.

Itulah sisi sejarah mengenai sosok mulia Sultan Alaudin Riayat Syah yang syahid diracun isterinya sendiri, Tun Senaja (yang dipanggil Tun Sengaja oleh Azam…he…he…)

Cerita ini sebenarnya digali oleh FT sendiri menerusi pelbagai sumber-sumber lain yang pastinya digelapkan oleh orang-orang tertentu. Boleh sahaja dikatakan, Tun Sri Lanang yang mengarang Sejarah Melayu itu pun sudah menggelapkan sisi penting ini. Iaitu, sejarah pembunuhan Sultan Alaudin Syah ini.

Menurut FT, sekurang-kurangnya ada dua sifat Sultan Alaudin yang tidak disenangi oleh golongan Mamak yang ada di sekitar baginda kala itu, iaitu baginda bersifat ‘action oriented’ serta bercita-cita mahu melaksanakan perundangan Islam di Melaka.

Saya mengesyorkan, jika anda mahu merehatkan minda maka datanglah menonton teater ini. Paling tidak, anda mungkin dapat menangkap maksud di sebalik beberapa kelaku lawak jenaka oleh pendiri wataknya. Ya…ini negara demokrasi, maka teater FT ini memberikan sedikit suluhan cahaya agar fikiran kita lebih terbuka.

p/s: Malam semalam saya ke Auditorium Akademi Pengajian Islam, UM bersama-sama sahabat saya....Nasruddin untuk menonton teater ini. Beliau baru belajar mengenali dunia sastera...beliau bertuah kerana dapat berpeluang mengenali dan mendapat tandatangan Faisal Tehrani juga mengenali novelis / penulis Nisah Haron.

Khamis, Ogos 28, 2008

Bila MB kata ‘Pergi Mampus’


Dahulu, masa kita kecil…mak dan abah selalu berpesan. Jangan bercakap kurang hajar, jangan mencarut dan jangan menipu. Saya ingat sangat, opah saya lagi rigid. Jika orang tua sedang berbual pun, anak-anak kecil ditegah menyampuk. Duduk melangut menongkat dagu pun kadang-kadang kena tegur. Maka, itulah nilai-nilai murni zaman dahulu. Nilai-nilai mulia yang ada dalam masyarakat Melayu yang selari dengan ajaran agama.

Kini, zaman sudah berubah. Manusia semakin maju…alahai, macam iklan sesebuah akhbar la pulak!

Ya! Perubahan zaman menyaksikan akhlak manusia juga kian punah. Dahulu, orang menipu dipandang hina. Kini, orang menipu boleh jadi mulia. Dahulu, orang berbohong dikatakan akhirnya menjadi pencuri; kini orang yang suka berbohong lama-kelamaan boleh jadi menteri.

Salah siapa? Saya ingat sangat pesanan mak dan opah. Orang berbohong atau kazib dalam bahasa Arab adalah orang yang jahat. Lidahnya akan dipotong di akhirat. Bahkan Islam menyatakan, orang munafiklah yang suka berdusta ini.

Maknanya, ajaran Islam telah clear menyatakan dusta atau menipu atau bohong itu hina-dina dan terkutuk. Tapi, zaman yang sudah berubah ini tidak kenal semua itu.

Sebab itulah, saya jadi sedih mengenangkan pemimpin-pemimpin yang capoi mulutnya, liar lidahnya, herot mulutnya dan bebal akalnya…sanggup berkata-kata dengan dusta, cerca dan huduh.

Pemimpin adalah contoh. Jika pemimpin sendiri kata ‘Pergi Mampus!’…maka apakah kita terkejut jika anak-anak muda sendiri suka ‘Pergi Mampus’…mampus dengan gengsterisme, dengan rempit, dengan buli dan dengan dadah!

p/s: catatan ini terkesan dengan laporan berita harakahdaily.net...ada seorang MB di Selatan Tanah Air berkata Pergi Mampus!

Selasa, Ogos 26, 2008

Beberapa pertunjuk

Anwar mengumumkan: Segera mengangkat sumpah Ahli Parlimen dan segera menggegarkan sidang parlimen!
Suasana berbahang pastinya menyelimuti - bukan sahaja P44 Permatang Pauh - bahkan seisi Malaysia. Seluruh minda tertumpu ke sana. Anwar dilihat calon favourite - jauh meninggalkan Dato Ariff; apatah lagi si calon AKIM - tapi, keawasan harus berada pada tahap maksima!
Saya menelusuri laporan beberapa akhbar dalam talian. Menarik untuk dikatakan, taktik kotor pihak-pihak berkenaan masih menguasai tarian p/ raya. Jelik dan memualkan. Sungguh...rakyat tidak wajar diperbodohkan. Ingatlah, zaman feudal Umno kebal dan bertulah sudah gemulah. Kini, zaman kuasa rakyat pula menunjuk arah.
Saya teringat, jika 10 tahun...letaklah tunggul pun calun Umno, pasti akan menang. Tapi di Permatang Pauh...kepala Datuk Firdaus bekas imam itu pun boleh kalah. Inilah kuasa rakyat, apabila wujud kesepakatan antara kehendak rakyat dan kehendak Tuhan, berlakulah perubahan.
Aduh...tak sabar rasanya menanti malam ini...saat penentuan nanti pastinya. Semoga Allah kabulkan doa saya sepanjang malam. Kurniakan kami pemimpin yang baik dan berkebajikan, amin.

Beberapa Catatan Semalam


Ramadan yang menjelang kian terasa. Kala kita diasak dengan pelbagai cerita, keharuman dan kehangatan Ramadan seakan tenggelam. Ye...tenggelam dengan cerita sumpah dan nafi, cerita pilihan raya, cerita itu dan ini.

Sesungguhnya manusia memang pelupa, sampai diperingatkan Allah baharulah mata mereka akan terbuka!

***

24 Ogos, adik saya si Yati konvo di UIA. Yati anak kedua emak yang berjaya menggenggam ijazah. Saya tahu, emak harapkan semua anaknya berjaya ke menara gading. Setakat ini, kami anak-anak emak tidak menghampakan. Setidak-tidaknya, emak boleh memejamkan mata pada malam hari dengan lebih lena.

***

Mutakhir ini juga hujan melebat di muka bumi. Saya pun hairan. Sedang sebelum ini panasnya amat membahang. Saya hanya bimbang, ini tanda murkanya Tuhan. Ya, murka kepada segelintir manusia yang suka bermain sumpah. Sumpah mubahalah yang melaknat diri sendiri.

Pelik...seseorang sanggup bersumpah laknat ke atas diri sendiri. Sedangkan, kita sepatutnya memohon kebaikan. Inilah masalahnya, apabila ajaran Islam diambil mana yang perlu. Sebahagiannya dicampak ke tepi. Al-Quran hanya berguna untuk tempelan...ya, seperti meletakkan tangan ke atasnya sebagai bukti sumpah bukan suatu yang main-main...kononnya!

***

Hari ini 26 Ogos, Permatang Pauh menjanjikan sesuatu. Debar di dada memukul rasa. Ada bisik menular halus, kemenangan mana-mana pihak menatijahkan sesuatu. Saya meletakkan harapan pada sosok gagah Anwar. Saya yakin dia bisa menang. Walau di sudut hati saya, bimbang dengan tindakan luar jangka. Ini demokrasi ala Malaysia, di mana anda sukar meramal sesuatu upaya...

***

Oh ya! Semalam saya bersama abah dan emak menziarah Tok Musa. Tok Musa ini bapa saudara sebelah abah. Dahulu, dia adalah antara tok saya di kampung. Ya, selepas tok saya gemulah, saya menumpang kasih kepada ramai tok. Termasuklah Tok Musa.

Beliau bekas tentera British zaman Perang Dunia Ke-2. Kisahnya menarik untuk dibukukan. Saya ternganga mendengar cerita bagaimana perang berlangsung. Zaman itu, nyawa amat murah di muncung senapang.

Tok Musa tingal keseorangan selepas isterinya meninggal dua tiga tahun sudah. keuzuran kian memaut. Dia tidak betah berseorangan di kampung dan kini menetap bersama anaknya di Taman Melewar.

Saya masih ingat, beberapa tahun dahulu saya pernah mendapat sepersalinan lengkap hari raya. Sepasang baju melayu siap bersampin dan bersongkok hitam. Hadiah pemberian daripada Tok Musa. Kini, tanpa sedar...sudah 87 tahun usianya!

Jumaat, Ogos 22, 2008

JOM NONTON TEATER


“Kami di Asasinema memilih teks drama ini kerana pertamanya, ia menggunakan pendekatan teater orang tertindas yang digagaskan oleh aktivis teater Argentina yang terkenal bernama Augusto Boal. Kedua, teks ini adalah gabungan pendekatan post-modern dan purbawara. Ketiga, Terdapat meta-naratif yang kuat dalam drama ini tambahan pula kebelakangan ini kita telah muak dihidangkan dengan muzikal. Keempat, kita akan menampilkan lima ethos lelaki Melayu. Keenam, ethos tersebut akan memperlihatkan bagaimana dalam politik negara kuasa maskulin selalu tewas oleh kuasa feminisme. Ketujuh, ia adalah sebuah drama politik yang sangat cocok dengan isu semasa tambah-tambah di tengah panasnya Permatang Pauh, pembentangan bajet, sesudah muktamar PAS dan semangat hari kemerdekaan.”


Inilah cuplikan kata-kata Dr Abu Hassan mengenai teater yang digagaskan oleh Sdr Faisal Tehrani...



Baginda Sultan Alauddin disifatkan sebagai satu-satunya raja Melaka yang bersifat action oriented. Iaitu pemerintah Melaka yang melakukan setiap retoriknya. Baginda amat mengambil berat keadaan negeri sehingga turut turun padang menjaga keamanan negeri Melaka. Baginda juga seorang yang wara’ dan alim. Baginda misalnya menitahkan kanun Melaka ditegakkan secara menyeluruh di seluruh tanah jajahan Melaka sehingga baginda ikut menghukum pembunuh Telanai Trengganu yang didalangi oleh kekandanya sendiri di Pahang. Hasrat baginda untuk menegakkan Islam ini mendapat tentangan kumpulan yang lebih liberal dalam istana dan ini sudah tentu menambahkan musuh baginda. Siapakah yang meracun Sultan Alauddin dan apakah yang berlaku dua jam sebelum baginda syahid?

Teater ‘2 Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun’ dipentaskan di Auditorium Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya bermula 25 Ogos hingga 29 Ogos ini. Tiket adalah RM 50, RM 30, RM 20 dan RM 15 untuk pelajar. Pementasan bermula jam 8.30 malam tepat (untuk solat maghrib: tempat pementasan amat hampir dengan masjid Akademi Pengajian Islam UM). Tiket boleh ditempah mulai sekarang dengan membuat pesanan melalui, DR ABU HASSAN HASBULLAH +60179747331 atau email muringwien@mac.com. Juga boleh menghubungi produser: HAMZAH AMIR +60172052409 atau email hamzah_oc@yahoo.com atau SAIFUL DIWAN di +60175331002.

Kisah billboard dan gambar pelaris


Sesuatu yang pasti berbeza antara kepimpinan PR dan BN di Selangor dan Perak ialah, GAMBAR. Percaya atau tidak, saya merasa pelik + bangga dengan sikap kepimpinan baharu kerajaan Perak dan Selangor yang tidak tergopoh-gapah mahu menayangkan muka mereka di papan-papan iklan besar (billboard).

Cubalah anda memandu di jalan-jalan utama di Selangor dan Perak. Di Kelantan, Kedah dan Penang entahlah….saya belum sampai ke sana selepas PRU 12 lalu.

Di Selangor, cuba teropong di kawasan Shah Alam, rasanya masih banyak billboard lama yang memaparkan muka Khir Toyo. Di Perak sendiri masih ada papan iklan yang menayangkan muka Sammy Vellu.

Persoalannya ada dua. Pertama, adakah pimpinan kerajaan baharu PR tidak mengejar GLAMOUR; berbanding pimpinan BN yang gemarkan PUBLISITI dan PROMOSI. Keduanya, adakah adakah kepimpinan baharu kerajaan PR menganggap gambar bukanlah agenda penting, maka ia tidak perlu difikirkan lagi.

Hanya MB Selangor dan Perak sahaja mampu menjawabnya. Namun, jika benar sekali pun mereka tidak mengejar publisiti dan promosi, eloklah DITURUNKAN saki-baki papan iklan yang dibina secara ad-hoc semasa PRU 12 yang masih berdiri hingga kini. Bukan apa, kekadang saya rasa seperti kerajaan baharu ini terlalu ‘slow’ pula, hingga papan-papan iklan sebegitu pun tak tertanggal-tanggal lagi.

Walau bagaimanapun, saya juga merasa PELIK + AJAIB dengan sikap Menteri Pelancongan, Dato' Azalina yang amat gemar menayangkan wajahnya. Bayangkan, di setiap papan iklan besar di sepanjang lebuh raya atau jalan-jalan utama seluruh negara, diletakkan tiga gambar. Gambar PM, TPM dan Azalina.

Saya tak arif tapi musykil, apa kena mengena gambar mereka dengan aktiviti pelancongan. Saya lebih tertarik dengan papan iklan pelancongan Singapura…yang memaparkan apa yang menarik di negara mereka. Kita nak melancong kerana nak melihat apa yang menarik, bukan nak melihat muka mereka yang memang selalu ‘tergedil’ di merata-merata itu!

Sat…sat…nanti ada orang kata saya sokong Kit Siang pulak! Tidak, ini reality. Saya tak fikir semua papan iklan besar itu perlu ada gambar Azalina dan dua orang tokoh negara itu. Apakah itu gambar pelaris? Atau satu peluang terbuka bagi mempromosikan diri semahu-mahunya!

Huduh sungguh!


Pernahkah kita melihat orang yang berperangai huduh? Senang je nak lihat, pernah tengok penunggang motorsikal yang mencilok sesuka hati. Ha...cuba le berikan ‘honk’. Nanti anda akan lihat, dia bukannya hendak mengaku salah. Sebaliknya dia akan memandang anda dengan renungan mata bak 'helang sesat' dan mulutnya akan mencebik angkuh sambil mengangkat jari telunjuk yang menunjukkan simbol ‘lucah.’ Silap hari bulan, dia akan tendang kereta anda!
Ya, inilah dinamakan perangai huduh, lebih huduh daripada orang yang sengaja kentut telur dalam lif!

Anda tahu, seorang teman mengatakan, insiden wartawan dipukul semasa penamaan calon di Permatang Pauh tempoh hari juga, adalah akibat kehuduhan perangai seperti di ataslah…jadi, anda fikirlah sendiri moralnya!

Di Malaysia, jika anda mahu berperangai huduh maka kenalah anda pandai memilih ‘team’ mana anda berada. Jika anda mahu menunjukkan aksi huduh sebagaimana pun, anda akan dianggap bersopan jika kena teamnya…

Ini termasuklah menggambarkan aksi luar tabiie yang huduh semasa penamaan calon, ia tidak salah jika anda kebetulan berada di team Pak Lah. Ingat…anda di team mana? Kelaku huduh ini sendiri pernah dipamerkan oleh Adnan Yaakob di Pahang dahulu...ha, apa jadi? Tak jadi apa-apa kan!

Argh!!! Saya selalu memikirkan, mampukah BN mengaku dan berundur dari Putrajaya jika ditakdirkan 16 September 2008 ini, semua ramalan dan jangkaan Anwar benar-benar menjadi realiti? Mampukah mereka menerimanya? Mampukah mereka mengekang perangai huduh mereka?

Umno khususnya adalah parti yang tidak pernah merasa dikalahkan sepanjang 50 tahun memerintah Malaysia. Mereka sudah menanamkan 'akidah politik' bahawa Umno itu kerajaan dan kerajaan itu Umno. Itulah padahnya, kini mereka terasa cukup perit menerima kekalahan.

Sementara itu di Perak, tak semena-mena kerajaan PR yang berkelebihan dua kerusi diheret ke kancah rasuah seks dan wang juta-juta. Sedangkan kata MB, Nizar...projek di Sri Iskandar itu pun tak wujud...ni apa ni?

Huduh…huduh sungguh! Nampaknya pihak politikus sekarang ini begitu teruja memainkan isu seks dan rasuah.

Tapi, bagaimana boleh terjadi sedemikian? Kenapa di Perak. Kenapa bukan di Selangor? Adakah ada sesuatu di sebalik kehuduhan ini… huduh sungguh!!!

Cerita Balik Kampung


Cerita Balik Kampung Nombor 1

"Anta balik berapa hari?"
Seorang kawan basa-basi bertanya. Basa-basi juga saya menjawab.

"Ada le kot lima enam hari."

"Syeikh, musim minyak mahal le ni, anta kalu balik kampung biar lama-lama. Kos balik tu dah naik, anta kena ambik kira."

Ya…saya kotakan cadangan itu. Saya cuti enam hari bebaru ini!

(P/s: gambor tu eksen je...bukan gambor teman yg sebenor...)

Cerita Balik Kampung Nombor 2

Muktamar PAS ke-54 berlangsung di Stadium Indera Mulia, Ipoh. Saya tak lepaskan peluang. Ibu mertua mengajak ke sana hari Sabtu 16 Ogos. Yang bestnya, di samping mendengar perbahasan, saya juga mencari buku-buku yang dijual pada harga patut. Saya beli buku Pelik Tapi Benar Dalam Solat dan Bait-bait Cinta karangan Geidurrahman Elmishry juga senaskhah majalah baharu terbit edisi perdana bernama Solusi oleh Telaga Biru.

Seperkara yang menyedihkan saya, sambutan mesyuarat agung tahunan terbesar PAS ini tidak diberikan sambutan paling sempurna. Promosi kurang. Sebagai contoh, bendera PAS sendiri kurang dipasang. Kain-kain rentang dan bunting juga kurang. Suasana muktamar hanya terasa tatkala mula memasuki kawasan berdekatan simpang untuk ke stadium.

Mulut saya pok-pek-pok-pek merepek. Saya katakan, sepatutnya PAS Perak kena tunjukkan izzah melalui muktamar ini. Barulah rakyat Perak terasa kewujudan PAS.

Isteri saya menjawab mudah… "Agaknya, PAS Perak tak ada duit le kot untuk sambut meriah-meriah. Maklumlah, PAS bukan macam *%#@ yang boleh dapat tajaan juta-juta daripada syarikat swasta..."

Hmmm…bernas juga pandangan isteri saya!

Cerita Balik Kampung Nombor 3

Rambutan meranum di belakang rumah. Sampai di kampung pun, matahari sudah mahu beradu. Sabar…

Pagi Sabtu, pulang dari mengudap di Karai saya pun mulakan misi. Abah mertua kata, kerat sahaja dahan lagi senang. Saya capai gergaji yang abah baru beli. Panjat dan pekena dulu sebiji. Memang….hmmm…manis bersari. Nikmatnya dapat makan rambutan segar di atas pokok. Saya cari posisi dan mulalah menggergaji.

Hari itu sahaja lapan bekas penuh berisi rambutan. Puas yeob…puas!!!

Cerita Balik Kampung Nombor 4

Balik Lenggong hari Sabtu tu juga. Emak dah pesan, balik awal takut tak sempat petik buah dokong. Dah masak sangat…banyak yang gugur ke tanah. Melembang-lembang!

Pagi Ahad misi kedua. Hari pula hujan. Petang saya dah tak tahan. Saya panjat dan berjaya kutip seraga besar penuh buah dokong. Amin adik saya mencadangkan agar dikait sahaja. Mana ada thrill. Lagi pun buah boleh relai jika dikait.

Alahai…rasanya, hmm…memang manis sekali! Nikmat sungguh…puas hati saya!!!

Cerita Balik Kampung Nombor 5

Ada lagi…i/allah jika larat saya sambunglah lagi….

Jumaat, Ogos 15, 2008

Aduhai Tuanku Raja & Memanda singa!



Aduhai, sedih rasanya bila membaca dua tuan guru kesayangan hamba tidak diperkenan membaca khutbah di masjid negeri kelahiran hamba. Walhal, sehari sebelumnya sudah diuar-uarkan bahawa, para keduanya sudah diperkenankan oleh raja negeri hamba bagi meluncurkan bacaan khutbah mereka. Ayuhai raja, gerangan apakah maka tuanku yang mulia tiba-tiba menitahkan sedemikian rupa. Sayugianya tuanku boleh berfikiran terbuka, tidakkah boleh tuanku menitahkan akan keduanya tuan guru hamba yang mulia itu agar berkhutbah mengikut garis panduan yang bagaimana…asal sahaja keduanya boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama semenggah di masjid di negeri tuanku.

***

Sekiranya diikutkan pandangan batin pacal yang hina, maka Pilihanraya Kecil Permatang Pauh itu pastinya akan menjadi medan yang paling berguling-gelantang jadinya menjelang 26 Ogos ini. Segala satyalencana akan dikeluarkan. Segala kemewahan akan ditaburi. Segala yang bergentayangan akan dijadikan modal menarik undi para rakyat marhaen di daerah kecil itu. Pacal hanya berdoa, moga Allah rabbul jalil akan mengurniakan kemenangan buat yang jujur dalam kerjanya dan tahu apa matlamatnya dan mengalahkan para satwa anggara yang durjana itu.

***

Sekonyong-konyongnya memanda Menteri Perdana yang selalu ketiduran itu pun membacakan tafsir mimpinya, bahawa pada 1 hari bulan purnama yang bakal menjelang ini akan diumumkan penurunan harga bahan bakar kereta. Maka, dinyatakanlah apa asbab-musababnya, antara lain kerana minyak bahan bakar di peringkat 'atas angin' pun sudah menurun akan harganya.

Maka tanpa disangka-sangka, timbalan memanda Menteri Perdana yang tidak habis-habis suka 'menasi tambah'kan apa yang disebut oleh Menteri Perdana pun berkata, penurunan itu adalah lambang ihsannya kerajaan yang ada. Betapa kerajaan hari ini memahami getir hidup rakyat jelata, maka itulah diusahakan penurunannya.

Ayuhai…mulia sungguh hati para memanda. Semurah hati sang singa yang memberikan lembu dan kambing makan di padang hijau sebelum mereka dijadikan santapan sang raja!

Glosari:

Semenggah: patut, padan, layak
Berguling-gelantang: keadaan seperti porak-peranda/ tidak tersusun
Satyalencana: segala yang indah/ gemerlapan
Bergentayangan: berkeliaran ke sana ke mari
Satwa anggara: binatang buas
Atas angin: barat
Nasi tambah: suka menokok-tambah cerita





Khamis, Ogos 14, 2008

Mamat Jongos kena judo!


Mamat Jongos mengamuk. Dia dah cakap, jangan. Tapi bininya Joyah Jembol yang baru dinikahinya semula sesudah diceraikan 3 bulan dahulu, sudah berani melawan cakap. Joyah Jembol pulak, bekas juara judo, maka dijudonya Mamat Jongos. Senak perut Mamat Jongos sampai susah nak buang air besar.

Puncanya, ada satu pertandingan melawan berat badan. Ia akan diadakan di taman permainan. Mamat Jongos bagi tahu yang permainan jongkang-jongket di taman permainan dekat rumah mereka itu berat sebelah. Kebetulan ada pertandingan siapa dapat menjungkitkan lawan, maka ia menang. Maka, dia bercadang mahu menyertainya. Tapi, bininya yang naik syeikh…dia yang nak masuk sangat bertanding!

Maka, Mamat Jongos berpakat dengan bininya, cara untuk menang ialah duduk di papan yang lebih berat ke bawah. Jangan bagi tahu pengadil, biarlah Joyah Jembol menang. Jika perlu, bagi gula-gula sahaja kepada pengadil. Lagi pun jika menang, dapat menguasai taman perumahan itu.

Bila hari pertandingan, masuklah Joyah Jembol dan Mamat Jongos dengan over confident. Lah…rupa-rupanya budak umur 4 tahun lagi pandai. Memang papan itu jongkitnya berat sebelah; tapi dia sudah usaha makan banyak-banyak agar berat badannya bertambah. Jadi tak dapatlah Joyah Jembol menggunakan berat badannya menekan ke bawah. Lagi satu, budak berumur 4 tahun itu minta pertolongan Tuhan. Entah bagaimana, tak semena-mena sehari sebelum Joyah masuk bertanding dia kena dhirea…30 kali ulang alik tandas. Last-last, berat badan Joyah susut 20 kg.

Itulah…Maka, bila Joyah Jembol masuk pertandingan jongkang-jongkit, memang sepatutnyalah pun, Joyah Jembol kalah. Tapi, malulah! Budak yang kalahkannya itu baru berumur 4 tahun. Sedang Joyah 44 tahun.

Pengadil dipaksa buat pertandingan semula. Menang lagi budak itu. Joyah marah-marah. Dia hentak meja sampai pecah. Pengadil pun marah. Memanglah Mamat Jongos kaya-raya; tapi jangan ingat dia buleh beli semua orang. Pengadil pun pandai bengang dan akhirnya dia buat lagak ngeri…sekeping kad merah dilayangkan ke muka Joyah. Full stop, Joyah kalah. KO!

Oh…Joyah merampuh. Jadi hysteria. Jarang Joyah Jembol kalah dalam pertandingan. Biasalah, Joyah berlakikan orang kaya, maka dia selalu memberikan gula-gula kepada pengadil. Tapi tidak hari itu, pengadil sudah ada coklat kadberi. Tak mainlah gula-gula. Coklat kadberi itu bukan orang beri, tapi bak hidayah turun dari langit masuk dalam hatinya.

Last-last Joyah Jembol buka judo, dijudonya perut Mamat Jongos…terus kena gastric orang tua itu. Mamat Jongos menjerit sakit dan dia ceraikan Joyah Jembol. Cerai talak 10!

Kisah PAS kena ejek, 10% UiTM dan ...


Ketika saya kecil-kecil dahulu, sakit sungguh hati saya bila kawan mengejek abah saya…katanya, orang yang menyokong PAS itu bodoh dan seleweng. Katanya lagi, makna PAS ialah Parti Angkatan Syaitan. Saya marah berbaur jengkel…tapi hanya dalam hati. Saya tak berani melawan. Sebab masa itu saya kecil lagi.

Apabila semakin besar, saya makin cerdik. Saya dah mampu membezakan. Apa itu Umno dan apa itu PAS. Saya bukanlah ikut membabi buta, sungguh pun babi buta pun sebenarnya tak tahu nak ikut yang mana…PAS atau Umno, sebab dia buta…alah…

Syukurnya saya diberikan akal yang cerdik dan mampu berfikir secara luwes. Tidaklah saya hanya bertaklid seperti muallaf yang baru kenal alif, ba dan ta. Saya membaca, berdikusi, berbahas, berdebat, mendengar dan berfikir…maka, saya tahu mana yang betul dan wajar untuk diikuti.

***

Saya tergelak dan senyum saya berisi hempedu, ia mengenai isu UiTM yang mahu dibuka 10% kepada non-bumi.

Lah!!! Sejak bila pula puak-puak tertentu bersikap terlalu sayangkan ‘hak sendiri’ ini? Sejak bila? Saya nak Tanya, siapa yang jatuhkan martabat bahasa Melayu, siapa yang tanam bibit tidak percaya kepada bahasa sendiri, siapa yang hapuskan biasiswa kepada hak bangsa dan pribumi sendiri, siapa yang lepaskan Singapura kepada ‘orang lain’, siapa yang leka hingga Pulau Batu Putih terlepas ‘lari’, siapa yang benarkan jutaan PATI masuk negara ini, siapa yang cabut kekebalan raja-raja Melayu dan banyak lagi…

Jangan beri tahu saya, kerana saya sudah tahu. Berilah tahu kepada mereka yang berdemo di hadapan SUK tempoh hari…

***

Media massa khususnya milik Umno – BN nampaknya ‘patah lidah’ bila berhujah dengan PAS. Saya gelihati melihat, dalam sekelip mata isu ‘gila talak’ (baca: muzakarah) Umno – PAS hilang dan sunyi sepi, bukan setelah Nik Aziz dan Hj Hadi keluar kenyataan; tetapi setelah Nik Aziz berkata, Hudud adalah agenda utama dan inti penggabungan jika terjadi!

Kini, media cuba mempolemikkan isu, kononnya dalam PR ada getar yang menggegar. Saya pelik. Getar apanya? Setakat sesekali terhinggut bahu adalah, itu pun kerana kaki lenguh dan bukannya ‘cah keting’ sesiapa!

Tapi dalam Umno…la, punya banyak isu ‘cah keting’ sesama sendiri. Malas nak sebutlah. Tapi, jika sampai BPR masuk campur, sampai ada ‘datuk’ sanggup lapor kepada BPR bahawa Pak Lah dan Najib ‘langgar’ arahan parti, sampai ada pelangkung dengan kayu golf…saya tak tahulah, adakah itu yang dikatakan ‘kedamaian dan keharmonian’ hakiki hanya wujud dalam Umno parti Pak Lah hadari?


Moralnya: PAS bukanlah Parti Angkatan Syaitan seperti yang pernah kawan saya sebut kira-kira 30 tahun dahulu…dan saya tak malu berketuakan orang tua yang sebaik Nik Aziz dan orang tua yang setegas Hj Hadi!

Selasa, Ogos 12, 2008

Akal itu cahaya


Imam Abu Ja’far Muhammad Al-Baqir berkata:

"Ketika Allah menciptakan akal, Dia mengajaknya berbicara. Allah berkata, ‘Menghadaplah (kepada-Ku)!’ Maka, akalpun segera menghadap. Kemudian Allah berfirman kepadanya, ‘ Demi kebesaran dan kemuliaan-Ku, tiada makhluk yang lebih Aku cintai daripada kamu. Dan tidak Aku sempurnakan kamu melainkan pada orang-orang yang Aku cintai. Kepadamulah Aku menyuruh, melarang, menyiksa, dan memberi pahala.’"

Semalam saya membuka kitab, lalu membacakan beberapa perenggan. Ia kisah akal manusia. Akal adalah ciptaan Allah SWT yang diberikan khusus kepada manusia. Akal adalah makhluk yang mulia. Akal adalah cahaya. Cahaya yang dapat menyuluh si mukmin agar dapat membezakan hak dan batil. Membezakan baik dan buruk, halal dan haram. Bak kata Fathi Yakan: "Dengan cahaya dari Allah yang dapat melihat sesuatu di sebalik tutupan yang halus."

Namun, tahukah kita akal akan malap cahayanya? Ya, menurut Fathi Yakan, cahaya akal boleh malap. Apabila cahaya itu malap, maka manusia hilang pedoman. Manusia yang hilang pedoman akan dipanggil hilang akal. Manusia yang hilang akal akan melakukan sesuatu yang dianggap tidak wajar.

Hari ini, ramai manusia yang sudah hilang akal ini. Bukankah hilang akal namanya andai seorang anak mencuri wang ibunya sendiri, tidak hilang akalkah namanya jika seorang datuk menodai cucunya sendiri dan tidak hilang akalkah jika anak-anak kecil sudah pandai melakonkan watak hubungan seks yang sepatutnya mereka sendiri tidak kuasa untuk mengetahui.

Semuanya kerana cahaya atau pertunjuk daripada Allah SWT kian malap di hati dan akal manusia.

"Sesiapa yang tidak diberi cahaya (pertunjuk) oleh Allah, maka tiadalah dia mempunyai cahatya walau sedikit pun." (An-Nuur: 40)

Kata Fathi Yakan, cahaya akal manusia boleh malap apabila berlakunya tiga perkara:

1) Melakukan maksiat secara konsisten
2) Melakukan maksiat secara terang-terangan
3) Tidak bertaubat di atas maksiat yang dilakukan

Nabi SAW menyatakan:

"Sesiapa yang melakukan dosa, akal akan berpisah daripadanya dan tidak akan kembali kepadanya buat selama-lamanya."

Wallahua'lam!

Bagaimana…bersediakah Pakatan Rakyat?


Dalam PR ada tiga parti utama. Tiga parti ini tidak berasaskan bangsa. Dalam tiga parti ini, Melayu, Cina dan India boleh duduk bersila bersama. Dalam tiga parti ini, semua bangsa termasuklah Punjabi, Kadazan, Iban, Bidayuh atau Orang Asli pun boleh jadi presidennya.

Dalam tiga-tiga parti ini, PAS paling senior. PAS sudah wujud sejak 1951. DAP pula ditubuhkan pada 1966. PKR pula diwujudkan pasca era reformasi 1999. Maknanya, PAS paling senior. Paling tua dan paling abanglah kiranya.

Sebab itu, dalam PR kena ada respect kepada PAS. Respect atas dasar ketuaan. Respect atas dasar senioriti.

Lagi pun, PAS bukan parti perkauman. PAS bukan seperti Umno yang khusus untuk bangsa Melayu. PAS for all. Semua bangsa boleh menyertai PAS. Syaratnya, Islam itu sahaja. Kini, PAS dah wujudkan kelab penyokong. Orang India dan Cina yang bermata sepet semua boleh menyertainya, walau pun bukan beragama Islam. Maknanya, PAS memang untuk for all!

DAP pula walau zahirnya untuk semua bangsa, namun majority yang memimpin DAP kini adalah orang Cina. Samalah dengan PAS, majority yang memimpinnya orang Melayu. Bezanya, DAP tidak meletakkan apa-apa syarat agama. Orang yang tidak beragama pun boleh jadi ahli DAP. Yang penting warganegara Malaysia.

Pun begitu, DAP nampak ketegar dengan dasar menyama-tarafkan seluruh rakyat Malaysia. Dulu ia dikenali Malaysian Malaysia. Ini yang orang Melayu allergic sedikit. Lagi satu, kepimpinan DAP nampak begitu skeptis dengan Islam. Kenyataan semberono beberapa kerat pimpinan DAP menyakitkan hati orang Islam. Misalnya, kena langkah mayat ‘dia’ dahulu untuk tubuh negara Islam dan lain-lain kenyataan mengarut sekerat pimpinan DAP.

PKR pula nampaknya macam adik kecil yang pening. Dalam PKR semua jenis manusia ada. Yang nasionalis, yang demokratis, yang sosialis, yang idealis, yang Islamis dan yang popularis pun ada juga. Semuanya bersatu atas nama ‘keadilan.’ Itulah pun tangkal hikmatnya. Sampai bila tangkal itu mampu bertahan dan tidak putus, wallahua’lam.

PKR dari satu aspek nampak seperti pragmatis. Ia mungkin menjadi parti yang dasarnya mengikut arus. Kini Anwar Ibrahim memimpin PKR, maka nampaklah Melayu-Islamnya. Masa ke depan, tak tahulah lagi. Mungkin jika Syed Husin yang memimpin, Melayu-Sosialiskah pula?

PKR perlu kepada anjakan. PKR parti muda yang ahli-ahlinya kini bertambah drastic sekali. Bertambah kerana PKR nampak menang besar semasa pilihan raya bebaru ini. Hakikatnya, PKR tiada grass root. Dahulu, ramai ahli bawahan PKR ‘angkat kaki’ singgah kapal Umno. Hanya bila PKR menang besar kerusi parlimen, baharulah ramai yang mahu hijrah ke teratak PKR. Hijrah ketika dah kuat…samakah hijrah ketika masih lemah?

So, apa moral tulisan ini? Fikirlah sendiri.

Nota: Pagi ini Hj Hadi sebut...PAS keluar Pakatan jika selepas 16 Sept, kerajaan baru gagal nobatkan Islam.

Isnin, Ogos 11, 2008

Jom join kelab buku u-hah!


Kelab Buku U-HAH

Saya mempunyai banyak buku di rumah. Rak buku saya sudah melimpah-limpah. Dulu saya dah bercadang untuk menempah kabinet khas setinggi syiling, tapi kenaikan harga barang dan kos upah membantutkan hasrat murni saya itu. Kini, saya hanya boleh berpuas hati dengan rak buku yang ada.

Ramai kawan yang berhasrat mahu meminjam buku-buku saya. Sebenarnya, saya sayangkan buku-buku itu. Namun, apabila melihat ia hanya tersimpan di dalam rak setelah dibaca, terasa rugilah pulak. Jadi, apa yang harus saya lakukan…?

Akhirnya seorang sahabat memberikan ide, apa kata saya sewakan buku saya? Kami berdiskusi ringkas. Akhirnya juga, timbullah ide mewujudkan Kelab Buku U-HAH. Kelab ini akan menyediakan khidmat sewaan buku-buku saya. So…bagaimana?

Cadangan saya, saya akan mengenakan yuran keahlian seumur hidup RM20 dan yuran tahunan RM10…selepas itu, setiap orang ahli boleh membuat pinjaman buku-buku yang mereka minati. Okay tak idea ni?

Koleksi buku saya? Banyak….ada koleksi Sasterawan Negara, penulis muda dan banyak lagi… sila emailkan saya (hamizul.ah@gmail.com) untuk memberikan idea anda?

Menunggu Saat Balik Kampung

Hati saya berdetak riang menanti saat untuk pulang ke kampung. Insya-Allah…Sabtu ini saya baliklah. Sudah lama tak jumpa emak dan opah. Sudah lama tak ziarah pekan Lenggong. Sudah lama tak berendam dalam air sungai yang sejuknya mencengkam urat saraf. Sudah lama tidak pekena roti canai di pekan Karai dengan abah mertua. Sudah lama tidak mengelewar di pekan Kuale. Sudah lama tak pekena laksa dan cendoi. Wah! Wah! Banyak aktiviti yang menanti apabila saya pulang nanti!

Sebenarnya, saya membayangkan buah-buahan yang menguning dan memerah di sekeliling rumah. Buah rambutan pasti sudah ranum, langsat dan dokong pasti sudah masak benar, manggis pasti bergelimpangan di bawah, durian pula mungkin sudah habis tinggal saki-baki sahaja lagi. Buah larah mungkin sudah habis gugur. Cempedak mungkin ada lagi. Hmmm…syioknya duduk di kampung pada musim buah-buahan. Sempat ke saya balik ni?

Sesungguhnya saya anak kampung yang sentiasa kasmaran kepada kehijauannya. Saya membayangkan masa tua saya nanti, pulang ke kampung dan memiliki sebuah teratak sederhana di sebuah kawasan dusun yang menghijau dan meriah dengan buah-buahannya…saya namainya ‘Dusun Hidayah.’

Jumaat, Ogos 08, 2008

Beberapa kisah dan isu


Saya orang Perak yang merantau ke negeri orang demi sesuap rezeki. Saya memang bercita-cita untuk balik dan pulang berkhidmat di negeri sendiri. Tapi, ketentuan Tuhan selalu mengatasi. Akhirnya saya tercampak ke sini, maka di sinilah saya menaburkan jasa dan bakti…cheewah….macamlah banyak bebenor jasa dan baktinya yeop! Saya tertarik hati apabila membaca sebuah blog (http://alhusseyn51.blogspot.com/2008/08/sekelip-waktu-di-sekitar-pejabat-mb.html) yang menggambarkan situasi di sekitar pejabat MB Perak. Menurut blogger berkenaan, segala urusan dipermudahkan. Saya bersyukur dengan sikap baik pihak pejabat MB Perak. Mudah-mudahan, berkekalanlah kerajaan PR Perak dan juga berkekalanlah segala kebaikannya, amin.


***


7 Ogos 2008 dalam jam kurang lebih 5 petang, seorang kawan melaung: 'Syeikh…malam ini jangan lupa Taman Medan!" Ya saya tahu, ada ceramah Anwar nanti. Tapi saya berbelah bahagi, mahu pergi atau tidak. Namun, apabila mengenangkan ceramah ini selepas insiden tegang apabila Anwar disapina agar ke Mahkamah dan juga menjelangnya Pilihan raya Permatang Pauh, maka saya gagahi juga. Mujur ada paktih saya buat peneman dan penguat semangat. Nak tahu? Saya rasa tak rugi berjalan jauh demi mendengar ceramah semalam. Sepanjang saya mendengar ceramah Anwar mahu pun Azmin Ali, ceramah semalamlah paling berani rasanya. Mereka meluahkan perasaan. Mereka menunjukkan siapa anak jantan. Mereka mencabar penuh keberanian!!!


***


Beberapa hari lalu, saya terbaca berita Bangunan Umno Shah Alam diarah menjelaskan baki tunggakan cukai pintu bernilai RM500 ribu ringgit! Mak oiii…gilo apo, banyaknya! Saya bersembang dengan kawan, jika PR tak ambil alih Selangor maka sampai bila-bila pun rakyat tak akan tahu Umno ni rupanya culas dan paling liat nak bayar cukai pintu. Bahkan saya tak dapat bayangkan, bagaimana nanti jika PR mengambil alih Malaysia…tak dapat dibayangkan berapa banyak lagi bangunan milik Umno yang terhutang cukai pintunya! Lalu saya teringat kisah Khir Toyo memberi penyapu kepada PBT di Hulu Selangor kerana gagal mencapai sasaran mengutip cukai. Saya nak sarankan, ambil penyapu itu dan *%$^& balik Khir Toyo…sebab rupa-rupanya, dia sendiri lagi culas dan cuai menunaikan cukai pintu. Bukankah dahulu dia adalah Ketua Umno Selangor…awat dia ni teruk sangat ha?! Kena kat orang lain dia gedebe bukan main, kena batang hidung sendiri…hmm!!!


Khamis, Ogos 07, 2008

Sebuah Kisah...ibu yang jahat!

20 tahun yang lalu saya melahirkan seorang bayi laki-laki, wajahnya comel tetapi nampak bodoh. Ali, suamiku memberinya nama Yusri. Semakin lama semakin nampak jelas bahawa anak ini memang agak terkebelakang. Saya berniat mahu memberikannya kepada orang lain saja supaya dijadikan budak atau pelayan bila besar nanti. Namun Ali mencegah niat buruk itu. Akhirnya terpaksa saya besarkannya juga.

Pada tahun kedua kelahiran Yusri, saya pun melahirkan pula seorang anak perempuan yang cantik. Saya menamakannya Yasmin. Saya sangat menyayangi Yasmin, begitu juga Ali. Seringkali kami mengajaknya pergi ke taman hiburan dan membelikan pakaian anak-anak yang indah-indah. ..

Namun tidak demikian halnya dengan Yusri. Ia hanya memiliki beberapa helai pakaian lama. Ali berniat membelikannya, namun saya selalu melarang dengan alasan tiada wang. Ali terpaksa menuruti kata saya.

Saat usia Yasmin 2 tahun, Ali meninggal dunia. Yusri sudah berumur 4 tahun ketika itu. Keluarga kami menjadi semakin miskin dengan hutang yang semakin bertambah. Saya mengambil satu tindakan yang akhirnya membuatkan saya menyesal seumur hidup. Saya pergi meninggalkan kampung kelahiran saya bersama Yasmin. Saya tinggalkan Yusri yang sedang tert idur lelap begitu saja.

Setahun.., 2 tahun.., 5 tahun.., 10 tahun.. berlalu sejak kejadian itu.

Saya menikah kembali dengan Kamal, seorang bujang. Usia pernikahan kami menginjak tahun kelima. Berkat Kamal, sifat-sifat buruk saya seperti pemarah, egois, dan tinggi hati, berubah sedikit demi sedikit menjadi lebih sabar dan penyayang. Yasmin sudah berumur 15 tahun dan kami menyekolahkan dia di sekolah jururawat. Saya tidak lagi ingat berkenaan Yusri dan tiada memori yang mengaitkan saya kepadanya.

Hinggalah le satu malam, malam di mana saya bermimpi mengenai seorang anak.

Wajahnya segak namun kelihatan pucat sekali. Dia melihat ke arah saya.

Sambil tersenyum dia berkata, "Makcik, makcik kenal mama saya? Saya rindu sekali pada mama!" Sesudah berkata demikian ia mulai pergi, namun saya menahannya, "Tunggu..., saya rasa saya kenal kamu. Siapa namamu wahai anak yang manis?"

"Nama saya Yusri, makcik."

"Yusri...? Yusri... Ya Tuhan! Benarkah engkau ni Yusri???"

Saya terus tersentak dan terbangun. Rasa bersalah, sesal dan pelbagai perasaan aneh yang lain menerpa diri saya pada masa itu juga. Tiba-tiba terlintas kembali kisah yang terjadi dulu seperti sebuah filem yang ditayangkan kembali di kepala saya. Baru sekarang saya menyedari betapa jahatnya perbuatan saya dulu. Rasanya seperti mahu mati saja saat itu. Ya, saya patut mati..., mati..., mati...

Ketika tinggal seinci jarak pisau yang ingin saya goreskan ke pergelangan tangan, tiba-tiba bayangan Yusri melintas kembali di fikiran saya. Ya Yusri, mama akan menjemputmu Yusri, tunggu ya sayang!...

Petang itu saya membawa dan memarkir kereta Civic biru saya di samping sebuah pondok, dan ia membuatkan Kamal berasa hairan. Beliau menatap wajah saya dan bertanya, "Hasnah, apa yang sebenarnya terjadi? Mengapa kita berada di sini?"

"Oh, Kamal, kau pasti akan membenciku selepas saya menceritakan hal yang saya lakukan dulu," Aku terus menceritakan segalanya dengan terisak-isak. ..

Ternyata Tuhan sungguh baik kepada saya. Ia memberikan suami yang begitu baik dan penuh pengertian. Selepas tangisan saya reda, saya keluar dari kereta dengan diikuti oleh Kamal dari belakang. Mata saya menatap lekat pada gubuk yang terbentang dua meter dari hadapan saya.

Saya mula teringat yang saya pernah tinggal dalam pondok itu dan saya tinggalkannya, Yusri.. Yusri... Di manakah engkau? Saya meninggalkan Yusri di sana 10 tahun yang lalu. Dengan perasaan sedih saya berlari menghampiri pondok tersebut dan membuka pintu yang diperbuat daripada buluh itu... Gelap sekali... Tidak terlihat sesuatu apapun di dalamnya!

Perlahan-lahan mata saya mulai terbiasa dengan kegelapan dalam ruangan kecil itu. Namun saya tidak menemui sesiapapun didalamnya. Hanya ada sehelai kain buruk yang berlonggok di lantai tanah. Saya mengambil seraya mengamatinya dengan betul-betul. .. Mata mulai berkaca-kaca, saya mengenali potongan kain itu . Ini adalah baju buruk yang dulu dipakai oleh Yusri setiap hari...

Beberapa saat kemudian, dengan perasaan yang sangat sedih dan bersalah, sayapun keluar dari ruangan itu... Air mata saya mengalir dengan deras.

Saat itu saya hanya diam saja. Sesaat kemudian saya dan Kamal mulai menaiki kereta untuk meninggalkan tempat tersebut. Namun, saya melihat seseorang berdiri di belakang kereta kami. Saya terkejut sebab suasana saat itu gelap sekali. Kemudian terlihatlah wajah orang itu yang sangat kotor. Ternyata ia seorang wanita tua. Saya terkejut lagi apabila dengan tiba-tiba dia menegur saya. Suaranya parau.

"Heii...! Siapa kamu?! Apa yang kamu mahu?!"

Dengan memberanikan diri, saya pun bertanya, "Ibu, apakah ibu kenal dengan seorang anak bernama Yusri yang dulunya tinggal di sini?"

Ia menjawab, "Kalau kamu ibunya, kamu adalah perempuan terkutuk!! Tahukah

kamu, 10 tahun yang lalu sejak kamu meninggalkannya di sini, Yusri terus menunggu ibunya dan memanggil, 'Mama..., mama!' Kerana tidak tahan melihat keadaannya, kadang-kadang saya memberinya makan dan mengajaknya tinggal bersama saya.

Walaupun saya orang miskin dan hanya bekerja sebagai pemungut sampah, namun saya tidak akan meninggalkan anak saya seperti itu! Tiga bulan yang lalu Yusri meninggalkan sehelai kertas ini. Ia belajar menulis setiap hari selama bertahun-tahun hanya untuk menulis ini untukmu..."

Saya pun membaca tulisan di kertas itu... "mama, mengapa mama tidak pernah kembali lagi...? mama marah pada Yusri, ya? mama, biarlah Yusri yang pergi saja, tapi mama harus berjanji mama tidak akan marah lagi pada Yusri."

Saya menjerit histeria membaca surat itu. "Tolong bagi tahu.. di mana dia sekarang? Saya berjanji akan menyayanginya sekarang! Saya tidak akan meninggalkannya lagi! Tolonglah cakap...!!!" Kamal memeluk tubuh saya yang terketar-ketar dan lemah.

"Semua sudah terlambat (dengan nada lembut). Sehari sebelum kamu datang, Yusri sudah meninggal dunia. Dia meninggal di belakang pondok ini. tubuhnya sangat kurus, ia sangat lemah. Hanya demi menunggumu ia rela bertahan di belakang pondok ini tanpa berani masuk ke dalamnya. Dia takut apabila mamanya datang, mamanya akan pergi lagi apabila melihatnya ada di dalam sana... Dia hanya berharap dapat melihat mamanya dari belakang pondok ini... Meskipun hujan deras, dengan keadaannya yang lemah ia terus berkeras menunggu kamu di sana. Dosa kamu tidak akan terampun!" Saya kemudian pengsan dan tidak ingat apa-apa lagi.

Semoga menjadi pelajaran bagi kita sebagai orang tua ataupun bagi yang akan berkahwin. Janganlah menyalahkan apa yang sudah diberikan oleh Allah.

Tetapi hargailah apa yang diberikan oleh Allah. Dan cuba bersabar. Kerana

DIA tidak akan memberikan sesuatu apapun dengan sia-sia.

moral - sayangi orang di sekitar anda. kita tidak tahu siapa yang benar-benar menyayangi kita...
p/s: Kisah ini diemailkan oleh seorang kawan...menarik untuk dikongsi

Ketegaran Anwar Ada Asasnya...


Hari ini jalan-jalan sekitar KL sesak. Saya pelik, apasal pulak polis ni...lah, rupa-rupanya kan hari ini DSAI akan dibicarakan di mahkamah Jalan Duta.


Dalam meniti perkembangan semasa, saya membuat beberapa rumusan. Saya tidak fikir, plot yang pernah berlaku pada tahun 1999 akan berulang lagi. Senario sudah berubah...jauh sekali malah. Dahulu, ketika mantan PM yang kini selalu dok meracau...Dr Mahathir mengenakan Anwar, kondisi BN sangat ampuh. Anwar mampu menggugah sokongan Melayu sehingga jadi 50:50. Namun, majoriti cina dan India masih solid menyokong BN.


Kini, cina dan India solid menyokong Anwar manakala Melayu masih 50:50. Maknanya, kekuatan sentimen rakyat tidak menyebelahi BN. Bodohlah BN jika memandang rendah keupayaan rakyat. Mungkin buat beberapa tahun ini BN masih mampu menampuki kekuasaan; namun tidak sehingga sekurang-kurangnya PRU akan datang.


Di samping itu, saya juga melihat Anwar sudah membaca lebih awal senario yang bakal berlaku. Sebab itulah, beliau menjalin perhubungan begitu erat dengan para pemimpin dunia luar. Ah...singgungan kecil-kecilan pimpinan AS dilihat mengiyakan andaian saya ini. Bahkan, kebenaran Kerajaan Turki membolehkan Anwar mendapat perlindungan awal kes liwat dahulu pun sudah membenarkan pendapat ini. Maka, sekali lagi saya melihat...BN khususnya Pak Lah jangan cepat melatah memainkan wayang yang sama seperti dahulu...


Akhirnya, saya melihat Anwar amat ketegar sekali untuk membentuk kerajaan baharu menjelang 16 Sept ini. Bagi saya, Anwar ada asas. Segala bayang-bayangan atau klu yang telah berlaku mengesahkan ketegaran ini. Masakan SAPP berani mencerca maruah BN jika tiada apa-apa jaminan. Atau beranikah beberapa pimpinan Umno menyeberang jambatan jika mereka sendiri kabur masa hadapan Anwar. Semuanya...ada sesuatu yang sudah terjangkakan. Maka, saya yakin Anwar tidak bermimpi di siang hari!


Tinggal lagi...saya bimbang jika kerajaan yang ada mengambil sesuatu tindakan luar jangka...saya bimbang kerana semuanya tidak mustahil dalam dunia politik tidak matang seperti di Malaysia. Lainlah jika kita berada di bumi Jepun, Britain atau Amerika...yang pertukaran kerajaan dan presiden adalah perkara biasa bagi mereka!