Rabu, Mei 28, 2008

Universiti dulu universiti sekarang


Dahulu, hendak masuk universiti payah bukan main. Belajar bagai nak rak. Mak ayah doa siang dan malam. Air penerang hati berbotol-botol diminum. Periksa pula bagai nak berperang. Yalah...bukannya semua berpeluang. Jika sejak sekolah rendah asyik dapat ‘pen merah’ maka, kelamlah harapannya untuk ke universiti. Jika cerdik maka cikgu selalu beri motivasi, cerdik hingga masuk universiti...masuk menara gading. Kenapa menara gading, kerana di universiti mana ada menara gadingnya pun? Sampai sekarang aku tak dapat jawapan.

Dulu, universiti tidak banyak. Bukan macam sekarang, hampir setiap negeri ada universiti. Bahkan semua parti dan organisasi swasta pun teringin nak buat universiti. Dahulu, selalunya masuk universiti akan jadi megah. Maklumlah, yang dapat masuk universiti itu memang pilihanlah. Universiti tak banyak, jadi bila terpilih itu memang benar-benar terpilihlah.

Universiti yang ada hingga sekitar 1980-an ialah UM, UPM, UKM, USM dan UTM. Paling tersohor UM dan UKM-lah, tak kurang juga USM dan UPM. Masing-masing ada kelebihannya. UM terkenal kerana ia universiti paling tua dan paling lama. UKM terkenal kerana sejarah penubuhannya. Dapat masuk ke universiti-universiti ini, terasa hebat betul.

Tidak seperti sekarang. Universiti bersepah. Graduatnya pun bersepah. Setakat ada diploma orang dah tak hairan. Ijazah pertama pun dah melambak di pasaran. Master pun dah ramai. Paling kompetetif dan tambah letih lagi bila dah ada Open University. Tempat di mana semua orang boleh belajar. Jadi, kehebatan menjejakkan kaki ke universiti yang selama ini dipunyai secara eksklusif oleh mereka yang terpilih kerana kecerdikan dan keintelektualannya, makin ternafi. Ternafi kerana semua orang sudah boleh masuk universiti, mengenakan jubah dan topi varsiti dan memegang segulung ijazah...lepas tu 'pukul' gambar dan frame besar-besar!

Dahulu mahasiswa universiti dipandang sangat...tinggiii. Bila pulang sekali-sekala, mereka diraikan. Bila berselisih di tepi jalan, orang kampung senyum dari jauh dan pakat tegur. Agaknya masing-masing menyimpan niat, niat buat menantu. Sekarang, kita pun dah tak ingat lagi anak siapa dapat masuk universiti. Orang dah kurang kisah, anak siapa yang dapat ke universiti. Mak bapak pun dah tak ghairah nak hantar anak ke universiti. Dulu, emak bapa sanggup sewa kereta untuk hantar anak. Sekarang, cukup sekadar melambai di tepi stesen bas sahajalah. Pandai-pandailah...

Sekarang mahasiswa sudah seperti budak sekolah. Bercakap pun skema sahaja dan kurang idealisme. Tidak kiralah, idealisme kebangsaankah, Islamikah atau sosialiskah. Masing-masing lebih sibuk untuk memikirkan pekerjaan apa selepas graduan nanti. Masa di kampus pun sibuk dengan studi. Tiada masa dah untuk berasosiasi dan berpartisipasi. Sebab itulah, bila keluar jadi macam robot. Tak pandai nak berinteraksi dengan komuniti apatah lagi untuk diharap menjadi ketua masyarakat. Malas nak memusingkan kepala memikirkan masalah umat.

Dahulu pensyarah di universiti dilihat hebat. Mereka sering memberikan kritikan yang membina dan menyedarkan umat. Tulisan mereka tajam melibas apa yang salah. Dasar ekonomi atau dasar pendidikan dan sosial; yang tempang akan ditegur. Tapi, sekarang professor dan doktor ramai yang sudah kecut. Tegur banyak nanti susah naik pangkat. Naik pangkat tu penting, kerana apa guna jadi pensyarah cabuk yang tak ada gelaran Prof. Madya atau Professor penuh. Kangkung pun kangkunglah…asal dapat gelaran.

Sebab itulah, universiti sudah hilang seri. Hari pertama langkah kaki masuk gerbang varsiti, minda sudah terfikir apa nak kerja selepas ini? Bukan terfikir, inilah medan untuk aku tambah ilmu, asah bakat dan tajamkan pemikiran. Padahal...inilah medannya pun untuk menjadi ‘training ground’ sebelum kita keluar memimpin masyarakat dan negara. Sebab itulah bagi saya, mutu universiti pun makin jatuh dan terus jatuh…kerana fungsinya pun kian jauh dari garisan awalnya. Jika tidak percaya, tanyalah warga di UKM…di manakah posisi Bahasa Melayu saat ini, di universiti yang kononnya diasaskan atas nama Melayu itu Bahasa Melayu sudah layu? Tanyalah mahasiswa di UM, berapa rating UM di persada dunia? Nombor ke sepuluh atau ratus-ratus? Tanyalah juga pensayarah-pensyarah lama...mana mereka lebih suka, universiti sekarang atau universiti dahulu...




P/S: Artikel ini ditulis setelah rasa bengang dengan kondisi UM yang kian mencorot di persada varsiti dunia...UM terus merosot dalam pemeringkatan Times Higher Education Supplement (THES): dari tangga 169 pada 2005 (ketika diambil alih NC Rafiah) kepada 192 pada 2006 dan tangga ke-245 tahun lalu.dah NC-nya disambung lagi bertugas sehingga November 2008 ini!

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

apa punya bangang la amik Rafiah jadi NC..