1) Sewaktu pulang ke kampung di Perak cuti Hari Buruh bebaru ni, saya melabon dengan abah mertua dan abang ipar. Antara isu yang disentuh ialah, perlunya MB Perak bertindak lebih matang. Antaranya, kami meragui kebijaksanaan dalam meletakkan syarat menjadi Ketua Kampung. Benarlah, syarat itu mungkin tidak rasmi; namun ia keluar daripada mulut orang yang rapat dengan MB. Siapa lagi jika bukan Pakcik Misbah lah…
Nak tahu, syarat-syaratnya ialah: 1. boleh jadi imam, 2. boleh berkhutbah (bukan baca khutbah tahu…), 3. boleh beri ceramah, 4. boleh pimpin tahlil, 5. boleh bertalkin.
Saya hanya nak Tanya satu soalan kepada Pakcik Misbah, anta belajor kat mane nak letak semua syarat-syarat ni? Janganlah teruja sangat dapat seberkas kuasa, lalu lupa untuk berpada-pada. Ana orang Perak yang duduk di luar ni, bimbang keterujaan membibitkan kerusuhan. Takut orang yang mengundi PAS akan merasa jelak, baru dapat sedikit kuasa dah berlagak. Faham ke Pakcik Misbah?
2) Saya bercadang untuk menyegerakan penyiapan buku kedua saya, bertajuk ‘Diari Seorang Amil.’ Buku ini sebenarnya sudah patut lama dahulu disiapkan, dan dilancarkan semasa Pesta Buku KL baru-baru ini. Tapi, saya tak mampu nak memenuhi syarat editor Utusan Publication yang mahukan lebih banyak story asnaf dimuatkan. Kini saya ambil pendekatan menggubah semula buku tersebut. Saya berharap pihak Utusan Publication masih sudi menimbangkan untuk menerbitkannya lagi. Jika tidak, kenalah saya cari penerbit lain pula nanti.
3) Saya sedang syiok membaca Kuras-kuras Kreatif tulisan Pak Azizi. Kata abang ipar saya, Sdr Jiwa Rasa, Pak Azizi ini memang lantang dan terus-terang orangnya. Memanglah, gitulah perangai seorang sasterawan. Apa yang tidak puas di hati mereka, tunggulah akan diluahkan melalui mata pena. Sebab itulah, jika saya tidak silap ada pepatah menyatakan mata pena itu lebih tajam daripada mata pedang. Saya lihat, buku ini kurang lebih seperti buku Pak Shahnon…apa tu…Setitis Embun Semarak Api. Kisah bagaimana penulis menggarap karya menerusi pengalaman yang membuak-buak.
Saya dapat tahu sejarah hidup Pak Azizi dan setakat ini yang dapat saya kesani, kenapa ya…bapa-bapa kami (bacalah orang-orang tua kami yang kekampungan itu) begitu tebal status quo mereka sebagai ketua keluarga yang penuh immuniti. Apa yang dirasai oleh Pak Azizi, itulah juga yang saya rasai. Kasihan kekadang melihatkan emak yang perlu berkerja di kebun memotong getah dan kemudian di rumah mengemas dan memasak. Cumanya, syukurlah abah saya kini nampak lebih terbuka. Tidaklah terus bengkeng dan keras seperti gemulah ayah Pak Azizi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan