Rabu, Mei 14, 2008

Alahai Petronas...bak mai sikit untung tu...


Petronas sebuah organisasi perniagaan yang ditubuhkan oleh kerajaan. Ia adalah milik kerajaan. Maknanya, ia milik negara. Maknanya, ia milik rakyat.

Secara mudah congaknya, jika Petronas rugi maka kerajaan rugi maknanya rakyat rugi. Tetapi jika Petronas untung maknanya kerajaan untung maka rakyat turut untung. Untung Petronas akan masuk ke dalam kantung kerajaan dan kerajaan dapat gunakan untung itu untuk rakyat.

Maka, itulah sifir mudahnya. Ia ibarat sebuah keluk keseimbangan yang berkadar terus pada graf dan dipelajari dalam bidang ekonomi makro di tingkatan enam. Permintaan sama dengan penawaran yang akhirnya bertemu pada satu titik yang dipanggil titik keseimbangan. Ahhh…nampaknya ideal sangat. Tapi itulah teorinya.

Maknanya, apabila Petronas untung maka rakyat untunglah. Takkanlah rugi pulak. Kenaikan harga petroleum di pasaran dunia tidak akan menjerat kita rakyat jelata, kerana Malaysia adalah pengeluar minyak. Minyak Malaysia dieksport pada harga dunia, maknanya Malaysia membuat untung. Dengan keuntungan itulah, sepatutnya kerajaan yang bijak mampu mengekang sebarang unsur kenaikan harga bahan bakar. Mungkin saya silap, tapi negara pengeluar minyak lain seperti Brunei dan Mesir mampu menjual petrol mereka di bawah paras RM1 seliter.

Petronas sebenarnya banyak 'sedekah' keuntungan itu ke tempat lain. Kos gaji yang besar bagi kakitangan mungkin tidak logik dipertikaikan; namun bagaimana dengan kos-kos lain. Pengendalian litar F1 di Sepang sahaja mencecah jutaan ringgit, belum dicampur dengan pasukan Sauber F1 Petronas yang tidaklah menang-menang dalam perlumbaan kereta. Belum dicampurkan kos pengurusan di KLCC dan tamannya.

Yang terkini, kita dikejutkan dengan kos membayar upah atau gaji kepada para penggesek biola, peniup seruling dan tukang hayun tangan di dewan Filharmonik. Mak ooiii…mahalnya!

Sebab itu, bila Lim Guan Eng mendedahkan di parlimen semalam (13 Mei 08) yang kos membiayai anggota Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di bawah Petronas mencecah RM3.5 juta sebulan, maka alangkah sedih dan mengejutkan! Bagi saya, apakah penting sangatnya semua itu jika dibandingkan dengan keperluan lain…memberi biasiswa kepada anak penoreh getah dan nelayan misalnya.

Bukankah ini suatu pembaziran! Dan bukankah membazir itu perangai Syaitan?! Menurut YB Lim lagi 95 peratus pemuzik asing ini diberi antara RM16,000 sehingga RM28,000 sebulan bahkan mendapat dua bulan cuti bergaji setiap tahun. Konduktornya pula (yang tukang hayun tangan dengan tongkat sebatang itulah...) dibayar gaji RM130,000 sebulan dan pembantunya pula dibayar gaji RM50,000 sebulan. Sejak 10 tahun ia ditubuhkan, kos pembiayaan orkestra tersebut berjumlah RM500 juta!

Mak datuk…aku yang pakai minyak petronas hari-hari ini apa yang dapat?!!!

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ha ha ha.. bil kad kredit le .. apa lagi..

Tanpa Nama berkata...

Dapat hampeh...ha..ha...ha...

Petronas tak salah, yang salah orang yang duduk kawal petronas. dia buat petronas macam harta mak bapak dia. dia tak tahu itu rezeki yang tuhan beri untuk seluruh rakyat malaysia. orang macam ini, nak mati nanti baru dia sedar. bagi jer dia minum minyak petrol tu!