Selasa, Mei 20, 2008

Memeluk Gerhana di bumi singapura


Tajuk: Memeluk Gerhana
Penulis: Isa Kamari (Penerima S.E.A Write Award 2006)
Penerbit: Ameen Kreatif (Al-Ameen Serve Holding Sdn Bhd)
Tebal: 469 halaman
ISBN 978-983-3991-08-2
Harga: RM21.90
Penilaian: *** (3/5 bintang)

Memeluk Gerhana, sebuah karya enak titipan Isa Kamari. Ah...aku sudah tidak berlaku adil kepada naskhah ini. Bayangkan, pertamanya ia kubeli lewat Pesta Buku tahun lalu. Namun, baru tahun ini aku menikmatinya, itu pun setelah terjerat dalam ruang waktu yang menjerakan di klinik. 18 Mei 2008 atau tepatnya kira-kira 1.25 pagi baru aku menuntasi segala ayat, koma dan titik-titik di dalam buku ini. Keduanya, aku sanggup menghabiskan buku-buku lain terlebih dahulu dan membiarkan buku ini di raknya. Ketiga, malu sedikit aku nyatakan...aku membeli buku atau tepatnya novel ini hanya kerana berasa malu alah dengan Kak Anita pemilik Ameen Serve yang menerbitkan buku ini. Ya...Puan Nita adalah pensyarah di UKM yang telah aku kenali semasa melanjutkan MA di sana, dan Ameen Serve adalah milik beliau dan suami. Aku segan apabila disapa dan membeli buku ini dengan agak ’terpaksa,’ sungguh pun tandatangan Isa Kamari ada pada muka-muka pertama novel ini.

Sesungguhnya, aku perlu segera menghabiskan novel ini sehingga ke titik penamat. Kenapa? Ya, kerana aku sudah tidak mampu mendera perasaan. Saat mula-mula membacanya, aku seperti melalui kembali pengalaman peribadi penulis. Pengalaman mendenai Detik-detik Diri Di Daerah Daif, Setitis Embun Semarak Api dan juga Kuras-kuras Kreatif (semuanya karya personal Shahnon Ahmad dan Azizi Hj. Abdullah) bagaikan terulang kembali pada garapan awal Memeluk Gerhana. Aku jadi malas menyudahinya. Namun, itulah...dengan keterpaksaan sewaktu menemani anak sulung ke klinik Jumaat lalu, aku terus jadi ralit dengan Memeluk Gerhana. Aku terasa susah mencari ruang beristirehat, sehinggakan bait-bait kata di dalam novel ini terbuai-buai di dalam solat. Maka aku berazam dan alhamdulillah kira-kira dua hari aku lunyaikan novel ini dari kulit ke kulit.

Memeluk Gerhana atau singkatannya ME adalah novel yang aku rasa dilatarkan pada sebuah kisah benar. Sama ada ia pengalaman sebenar Isa Kamari atau tidak, wallahu’alam. Namun, gaya penceritaan orang pertama yakni diceritakan kembali kepada kita oleh si pelaku, menyerlahkan ia adalah satu pengalaman sebenar.

Latar masanya sekitar 1960-an sehingga 1970-an. Kisah orang Melayu yang mendiami Singapura saat perpisahan tragis tanah Sang Nila Utama itu dari Malaysia. Kisah kedaifan; namun di sebaliknya ada kecekalan. Berbaur antara kenangan zaman kecil, zaman tiada gundah kanak-kanak yang digambarkan Isa Kamari - ‘dirasai oleh luka-luka pada tangan dan kaki.’ Kisah keakraban tiga sahabat, Ham, Zul dan Selva. Kisah yang membibitkan kemesraan merentasi ras dan agama.


ME juga menyelitkan unsur cinta. Cinta zaman kanak-kanak yang membugar hingga ke remaja. Kisah cinta yang mendebar dan mendewasakan. Kisah yang aku yakin turut dilalui oleh ramai orang. Rasa ego yang tercabar, protes dan masam muka. Semuanya menggamit kembali memori, ya…seperti kisah diriku sendiri saat masih kanak-kanak, saat minat kepada kanak-kanak perempuan mula berputik di jiwa dan saat merebut perhatian si dia.

Aku dapat rasai detak jantung watak-wataknya. Pengarang mampu melukiskan watak dengan baik. Aku dapat membayangkan saat emosi yang terguris, perasaan yang terjera dan kesakitan hati manusia-manusianya. Aku suka cara pengarang memaparkan konflik yang melanda dan bagaimana mereka berusaha menanganinya. Aku terbayangkan watak Ilham yang diamuk rasa marah dan malu kemudian memprotes diri dengan menggunting hampir botak kepalanya. Aku dapat rasai, perasaan itu adalah lumrah dan normal khususnya kepada kanak-kanak. Biasanya, kanak-kanak perempuan lebih rasional dalam tindakan berbanding kanak-kanak lelaki. Itu yang aku rasai walau pengarang tidak menyatakannya secara jelas. Dan hikayat percintaan akan jadi lebih menarik dengan konflik dan suspensnya, seiring dengan usia yang memanjat ke alam remaja. Itulah pun yang turut aku kongsi dan rasai lewat menyantuni watak-watak di dalam ME ini.

Namun, ME juga sebenarnya adalah kisah duka. Kisah manusia yang menjadi kambing hitam dalam ketidak sengajaan. Aku dapat mengesani elemen tegang yang turut menguasai ruang penceritaannya. Namun di sebalik ketegangan itu ada kelembutan dan kehangatan. Betapa hidup di dunia ini perlu ada kekuatan. Dan kekuatan itu pula datangnya dari dua punca, pertama daripada Tuhan dan kedua daripada sesama manusia. Tidak salah, kiranya nabi dahulu pun menyandarkan kekuatannya kepada Allah SWT dan Siti Khadijah. Namun, kekuatan yang disandarkan kepada Allah SWT itulah yang lebih awla dan hakiki sifatnya.

Saat aku melabuhkan sauh dan menggulung layar novel ini, aku puas. Pertama, baru inilah kali pertama aku benar-benar menyelami penulisan Isa Kamari, penerima S.E.A Write Award 2006, sasterawan dari Kota Singa yang belum pernah aku rasai sebelum ini. Keduanya, aku dapat rasai kehangatan cinta dua manusia yang terasing di udara dan di perut bumi. Teringat aku akan kata-kata Ham:

”Jiwa raga terpaksa kuserahkan
Kepada asap, wap dan kabus
Yang kukumpulkan dengan suatu tenaga akhir
Dengarkanlah nyanyian sepi ini
Kerana mentari terlampau cemburu
Dengan kehadiranku.

Hidup ini akhirnya berhajatkan perpisahan
Kerana kekerdilanmu sebagai insan
Balada demi balada kau pun tahu
Seorang anak muda yang benar-benar jujur
Sering dipersendakan umur…”

Juga rangkai kata Buya Hamka titipan Syakila:

”Hendaklah engkau jadi orang besar, yang sanggup memikul cinta yang besar.’

+ 2.23 pagi
18 Mei 2007
KL

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam.

Terima kasih kerana membaca MG dan mengulasnya......biar lambat asal berkat! - Isa Kamari

U-HAH berkata...

T/K kembali. Hakikatnya novel MG memang menggugah rasa dan hati saya gerimis kala melalui takah-takahnya...