Suasana politik Malaysia terus panas. 16 September menjadi perhatian dan penantian. Tun M khabarnya rela rujuk semula ke dalam Umno. Isu 'menumpang' dan 'umpama yahudi' kepada orang cina pula berakhir dengan penggantungan 3 tahun kepada Ketua Bahagian Umno Bukit Bendera. Ada berkata, hukuman itu tidak berbaloi...patut kena lebih lagi!
Suka saya ulangi, hayat politik berasaskan ras sudah ke penghujungnya. BN perlu sedari ini. MCA dan MIC serta Umno...diasaskan kepada ras. Ia mungkin sesuai era pra dan awal kemerdekaan; tapi tidak lagi pasca-setengah abad merdeka!
Sebaliknya saya mengagumi apa yang telah dirintis oleh Pakatan Rakyat. Anwar dengan imej ranggi dan berani, memecahkan tembok kebal dan bebal 'perkauman' ini. Gantinya, jambatan yang menghubungi semua menerusi pemuafakatan yang lebih mesra kaum.
Maka itulah, PKR dihuni oleh pelbagai suku, begitu juga DAP. Malah PAS sudah lama menegaskan hal ini...orang Cina pun boleh menjadi PM, kata Tok Guru!
Namun seperkara yang wajib diberikan perhatian, menjadi obligasi kepada Anwar untuk memastikan Ketuanan Rakyat tidak sampai meminggirkan ISLAM. Sebaliknya, Islam perlu dijadikan panduan asas dalam pentadbiran.
Cara kepimpinan Islam Tok Guru di Kelantan boleh dijadikan panduan. Namun, tidak perlulah melabelkan ISLAM di mana-mana, yang penting ialah implementasi. Saya yakin, DAP tidak akan selama-lamanya tegar dengan faham 'anti-negara Islam'nya, jika Anwar mampu merealisasikan Islam secara 'halus' dan 'mesra' di dalam landskap pentadbirannya nanti!
Bagi saya, inilah orde baru Malaysia. Orde Ketuanan Rakyat tajaan PR dengan syarat Islam menjadi intinya!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan