Ketika raya hampir tiba, suasana meriah kian terasa. Semasa masih kecil, saya selalu cemburu dengan jiran sebelah rumah opah. Anak dan cucunya pulang dan mereka bermain bunga api dan mercun dengan gembira sekali. Saya...hanya ada mercun tarik 'api po', tak ada bunga api yang memancut ke udara serta cantik warnanya!
Antara pengalaman saya, kami akan memasang panjut di sekitar halaman rumah. Pelita akan digantung pada pokok. Bagi rumah orang yang lebih kaya, halaman rumah yang luas itu akan lebih cantik bila pelita dipasang berjajaran membentuk seakan-akan landasan kapal terbang.
Api pelita akan meliuk lintuk disapa angin. Kami tuangkan minyak gas (minyak tanah). Sumbunya kami ambil daripada perca kain buruk. Digentel-gentel dan disumbatkan ke dalam lubang sumbu.
Saya juga pernah membuat pelita daripada buluh. Buluh dikerat (dikatam) mengikut ruasnya dan tebuklah tiga lubang. Kemudian cari tin buat laluan sumbu dan kejapkan dengan tanah liat pada lubang yang kami tebuk.
Ada juga yang membuat panjut tempurung. Caranya, cacakkan sebatang kayu dan carilah sebanyak mungkin tempurung kelapa. Cucukkan hingga tembus punggungnya dan masukkan pancang kayu tadi. Akhirnya jadilah sebuah panjut tempurung kelapa yang sedia dinyalakan selepas berbuka.
Kini di zaman moden, pelita untuk dijadikan panjut dibuat daripada plastik. Ada juga yang cantik dibuat daripada buluh. Harganya pun agak mahal. Saya ada membeli beberapa batang panjut buluh dan juga pelita. Tak sabar rasanya nak memasang panjut itu, menjelang akhirnya Ramadan nanti!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan