Rabu, Julai 30, 2008

Susahnya nak capai ke blogger dan isu-isu lain


Mutakhir ini, saya berhadapan dengan masalah untuk capaian ke blogger.com. Jenuh saya minta bantuan kawan-kawan daripada unit ICT, tapi tak juga berjaya diselesaikan.


Baru-baru ini, saya sudah melunasi hajat hati untuk menonton filem Ayat-ayat Cinta. Saya ada membuat catatan sejurus menonton, tapi saya tidak dapat menurunkannya di sini lantaran ia berada di dalam komputer riba isteri saya.


Walau bagaimanapun, keseluruhannya filem Ayat-ayat Cinta memang memberikan kepuasan. Teknik cinematography menarik ditambah dengan pengolahan kembali plot yang menjadikan jalan cerita lebih ringkas dan cepat. Saya tidak dapat membayangkan, jika keseluruhan novel itu difilemkan, ia akan menjadi filem paling panjang rasanya. Insya-Allah, saya akan titipkan kemudian pandangan saya mengenai filem itu.


Kemudian, saya juga telah membeli sound track filem berkenaan. Menarik lagu-lagunya. Antara yang mula-mula mencuri deria saya ialah lafu Ayat-ayat Cinta nyanyian Rossa. Cuma satu yang tak berapa best, penyanyinya tidak berlingkup aurat sedangkan filem mengenai agama yang nampak amat-amat sempurna.


***


Mutakhir ini begitu banyak isu melanda negara. Isu muzakarah yang kini menjadi muqabalah. Isu DSAI, bila mana ada transkrip laporan rawatan yang menafikan insiden liwat. Isu itu dan isu ini. Semuanya memeningkan kepala rakyat. Saya ingin menyeru kepada pemimpin-pemimpin, sudahlah kamu memeningkan kepala rakyat. Jangan nanti rakyat membeci dan hilang kepercayaan kepada apa yang semua kamu cakapkan. Bila rakyat sudah hilang percaya, saya bimbang Malaysia akan jadi tidak terkawal lagi.


Ada orang gila talak, siang malam asyik dok menyalak, habis semua kisah terselak, sedang orang tengok tergelak-gelak...


Seorang rakan saya mengesyorkan, jika Pas dan Umno disatukan...maka dia cadangkan nama Passono...


Hati saya geli-geleman dengan ide penyatuan ini.


Rabu, Julai 23, 2008

Sampai bila sesetengah media nak berubah


Nak tahu, sewaktu malam pengumuman keputusan PRU 12 dahulu, hati saya disirami sedikit kegembiraan. Saya gembira bila beberapa buah stesen TV nampak lebih terbuka memberikan ulasan. Nak-nak lagi setelah diisytiharkan kekalahan dua tokoh GIANT BN, iaitu Sammy Vellu dan Shahrizat Abdul Jalil, nada dan corak ulasan nampak tidak terlalu bias. Para pengulas sudah berani menghentam pihak-pihak tertentu. Misalnya, wakil Bernama terang-terang mempertikaikan peranan media massa milik pemerintah yang cuba memperbodohkan rakyat. Akibatnya, rakyat sudah hilang percaya kepada laporan media perdana dan beralih kepada media alternatif.

Itu cerita lebih 3 bulan lalu. Majoriti kerajaan negeri PR pun sudah menyambut 100 hari pemerintahan. Sayangnya, keterbukaan media hilang sedikit demi sedikit selepas itu. Beberapa buah TV yang mulanya nampak sedikit longgar menyampaikan berita, kembali bertukar menjadi hantu siang yang takut pada baying-bayang. Laporan sudah tidak berimbang. Sudah tidak kenal betul salah, dosa pahala waima syurga neraka. Pelaporan gaya ‘bahlol’ yang ‘sombong’ dan ‘angkuh’ menjadi amalan kembali.

Saya musykil bercampur pelik yang amat sangat. Jelik sangatkah kepimpinan para MB dan KM di Kelantan, Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor? Terlalu sumbangkah gerak langkah yang mereka ayunkan? Terlalu pekarkah tangan dalam tarian pemerintahan mereka? Semua…hampir semua yang diperkenalkan dilihat daripada perspektif yang salah, songsang dan negatif.

Seorang veteran Umno menempelak MB Perak, katanya terlalu berlembut dengan kaum Cina. Begitu juga dia menghiris hati saya, apabila menyatakan MB Selangor langsung tak buat apa-apa. Pendeknya, sebut sahaja atas nama PR…tiada yang berguna melainkan hampas belaka!

Come on lah! Takkan semua hampeh. Hampas kelapa pun buleh jugak ayam pupuh saya di kampung tu makan. Inikan pula manusia. Hanya najis yang keluar dari duburnya sahaja hampas.

Berbalik kepada media di negara ini. Saya tidak tahu sampai bila mereka akan kekal sebagai dengan status quo menegatifkan semua yang dating daripada PR. Inilah tradisi yang meracuni pemikiran rakyat jelata. Bayangkan, kebaikan disembunyi dan kesilapan yang sedikit dihebah-hebahkan. Mungkin mereka begitu takut kepada bayang-bayang…tapi mereka wajar lebih takut kepada Tuhan. Kerana di sisi Tuhan ada buku catatan yang menulis semua tindakan mereka. Adu domba, fitnah dan segala…adalah pemberat-pemberat timbangan yang bakal menghumban mereka ke neraka!

p/s: tulisan ini siap sudah lama, tapi baru dipostingkan hari ini atas sebab-sebab tertentu...

Rabu, Julai 16, 2008

SIBUK...

Saya rindu untuk menitipkan sesuatu di blog ini. Tapi mutakhir ini dilanda kesibukan. Isteri tercinta alhamdulillah telah selamat menitipkan cahaya mata kami yang kelima. Hanim Ikhwana namanya. Maksudnya...Good companion. Rasa saya, kelahiran inilah paling mudah. Terima kasih kepada ibu bapa dan teman-teman kami yang sering mendoakan.

Semalam berlangsung debat DSAI VS Sabry Chik. Saya yakin, debat itu telah berjaya menerobos jerebu minda ramai manusia. Tak sangka, DSAI dapat liputan begitu hebat dan percuma sahaja berjaya access kepada lebih 20 juta jiwa di Malaysia....wamakaru wamakarallah...

Last...kepada para pengunjung, maaf jika saya tak sempat up-date lebih ditil. Dua buah buku sempat saya khatami...kini sedang mengulit karya Prof Kamil dan Ramlee Awang Mursyid... Ah...cuti bersalin lima hari menyelesakan sekali!

Khamis, Julai 10, 2008

Politikkan masjid...versi saya


Zaman BN atau tepatnya Umno jadi kerajaan negeri dahulu, bukan kita tidak pernah dengar isu masjid dan surau didominasi sebelah pihak. Tepatnya dipolitikkan! Saya sendiri adalah AJK surau dan pernah terlibat dalam Mesyuarat Pemilihan J/K Masjid. Saya sendiri melihat senarai jawatankuasa masjid yang perlu ‘ditapis’ terlebih dahulu di pejabat agama sebelum ‘diluluskan’. Tapis punya tapis…itulah akhirnya berlaku, nazir masjid di Gombak tapi tinggal di Klang. Itu contoh betul…masjid mana tak payahlah saya nyatakan. Lagi pun, itu insiden kira-kira dua tiga tahun sudah.

Saya sebenarnya melihat, masjid adalah nadi umat Islam. Politik adalah sebahagian daripada denyutan nadi itu. Cuba beritahu saya, zaman bilakah politik dibuang oleh rasulullah? Bahkan, semasa nabi dalam proses pembentukan negara Madinah, berapa banyak perjanjian demi perjanjian yang dimeterai. Bermula dari Perjanjian Aqabah I & II dan diikuti Perjanjian Hudaibiyah. Begitu juga penggubalan undang-undang atau perlembagaan di Madinah yang dinamakan Shahifah Al-Madinah. Kemudian, nabi menjadikan masjid sebagai pusat pentadbiran. Menyelesaikan masalah umat dan tempat bermesyuarat. Bahkan nabi tidak segan-silu mengisytiharkan peperangan di masjid. Ini semua apa? Main pondok-pondokkah? Atau main bursa saham kah? Atau main masak-masak kah?

Apa yang dilarang di dalam masjid ialah perkara yang melalaikan atau ‘lagha’ sehingga menjurus kepada maksiat. Membuat maksiat dalam masjid pastilah ditegah. Main judi, berdisko, dangdut reggae, karaoke lagu Isabella, dating, berzina, bunuh orang, tengok video lucah dan sebagainya yang merupakan dosa dan kelalaian, pastilah haram dan berdosa pun. Berdosa kerana mencemarkan kesucian masjid dan melanggarkan hukum Allah.

Apakah menjelaskan arak itu haram sudah jadi isu politik? Menjelaskan aurat itu jika dibuka adalah haram dan berdosa isu politik? Menjelaskan cirri-ciri qazaf, hukum hudud, qisas, ta’zir dan bab-bab jinayah di dalam Islam itu politik? Hudud dan qisas ada dinyatakan di dalam Al-Quran, samalah seperti puasa, solat dan zakat. Adakah itu semua politik?

Atau apabila menegur manusia yang menyeleweng itu politik? Tahukah kita, zaman tabieen dahulu, ada sahabat nabi yang naik ke atas mimbar masjid demi menegur penyelewengan sosial di dalam masyarakat. Adakah itu politik?

Ya…tiada yang berdosa jika Islam tidak menggariskannya sedemikian. Masalah utama umat Islam hari ini ialah, enggan tunduk kepada hokum Tuhan. Al-Quran dan Al-Hadis dijadikan basahan mulut di dalam ceramah dan tilawah. Ia bukan lagi panduan dan perlembagaan. Hukum-hukumnya hanyalah untuk kajian bukan dilaksanakan. Maka itulah, umat Islam hari ini jadi berantakan!


Wallahu’alam

Rabu, Julai 09, 2008

Saya rasa... Anwar diambang kemenangan

Wah! Wah! Saya pasti dicop sebagai fanatik Anwar! Neo-Anwarisme! Ekstrimis Anwar! Atau apa-apa sahaja. Tapi, kenapa boleh saya terfikir sedemikian? Sekadar menyedapkan hati?

Jujurnya saya bukanlah pengikut Anwar yang taksub. Sepanjang musim reformasi era 1990-an di sekitar Jalan TAR dan Masjid Jame’ di KL, saya bukanlah manusia yang sanggup dikejar dan disembur air asid oleh FRU. Di Masjid Negara malah. Sebaliknya, saya adalah manusia yang memerhati dari jauh. Melihat jenuhnya manusia pelbagai unsur yang menyokong Anwar. Termasuklah mereka yang akhirnya 'terpeleot' buku lalinya dan kembali melutut ke telapak kaki Umno.

Namun, saya adalah pengagum Anwar. Saya akui akan kehebatan Anwar. Auranya terasa. Ucapannya bertenaga. Daya fikirnya menguja minda. Dia manusia yang progresif. Ada ciri-ciri pemimpin unggul. Maka lahirlah sosok yang penuh karisma. Zahirnya Anwar, menyatukan manusia pelbagai latar di Malaysia. Inilah persona Anwar.

Kenapa saya rasa Anwar di ambang kemenangan? Tiada justifikasi khusus. Cuma gerak hati. Pertama, saya melihat riak kemenangan di pihak Anwar. Beliau bahkan berani bersumpah dengan nama Allah, liwat bukan amalan beliau. Di samping itu, kecenderungan rakyat untuk mengiyakan tuduhan liwat nampak meleset. Bukan orang Melayu, bahkan orang Cina sendiri meragui tuduhan ini.

Selain itu, Umno bagi saya sudah terlalu reput. Pelbagai parasit duduk menumpang sehingga bahtera Umno makin goyah. Ramainya orang di dalam Umno hari ini kerana mahukan laba dunia semata. Masakan saya berbohong, kerana sudah nyata di pelupuk mata. Seorang wakil rakyat di kampung saya sendiri, asalnya hanyalah guru sekolah yang menaiki Toyota Van Liteace yang agak 'laieh' namun berubah sekelip mata setelah menyandang pangkat YB!

Saya tahu, jika saya mahukan laba dunia maka Umno lah lubuknya. Saya pernah terfikir, jika saya mahu kaya maka saya akan jadi aktivis Umno. Perdulikan dosa dan neraka. Politik wang jadi taruhan. Adu domba dan cah keting jadi mainan. Semua ini saya sudah masak, kerana saya hidup di sekeliling orang-orang Umno juga. Mereka bahkan senang-senang membuka mulut menceritakan aib parti sendiri. Bukan saya minta, mereka yang beri.

Anwar boleh jadi PM dan Pakatan Rakyat boleh menang. Ini ikut naluri sayalah. Cuma masanya sahaja belum pasti. Mungkin dekat mungkin jauh. Sementara itu, kita mesti mendekatkan diri dengan Allah. Mohon kejayaan. Mohon kemenangan. Mohon keselamatan. Mohon juga Umno dan ahli-ahli serta pemimpinnya boleh menerima perubahan. Mohon mereka jadi matang. Mohon mereka rela jadi pembangkang.

Ya! Sebagaimana matangnya Haji Hadi, matangnya Nik Aziz dan matangnya semua orang PAS, PKR dan DAP menerima diri sebagai pembangkang selama ini. Selama 50 tahun sebelum ini!

Seminar oleh PAKSI di Shah Alam



Penggiat seni dan sastera dialu-alukan untuk mengikuti seminar yang dianjurkan Badan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) pada 19 Julai ini, bertempat di Perpustakaan Negeri, Shah Alam, bermula 8.30 pagi sehingga 4.30 petang. Pendaftaran masuk adalah percuma. Tema seminar ialah, "Penulis: Mengepalai atau mengekori?" Menurut Pengerusi Jawatankuasa Seminar Paksi, Prof Dr Irwan Abu Bakar, pihaknya menjangkakan 300 peserta akan menyertai seminar tersebut.



Seminar tersebut terbahagi kepada dua slot iaitu pembentangan kertas kerja pada sebelah pagi dan forum pada sebelah petang. Antara pembentang kertas kerja ialah penulis Dato' Baha Zain,, Anual Bakri dan Hishamudin Rais. Manakala ahli panel forum ialah penulis Ainon Mohamad dan Amir Mohamad.

Selasa, Julai 08, 2008

Ziarah, ole-ole dan kisah tok di kampung

Abang ipar Sdr Jiwa Rasa dan biras, Kak Suri datang bertandang ke kediaman saya Ahad lepas. Berdua, Aisya Nur Arafat ditinggalkan. Mereka dalam rangka ke kenduri perkahwinan di PWTC, langsung berziarah buat seketika.

Lama juga tidak ketemu. Abang JR saya makin sibuk mutakhir ini. Halaman Blog beliau pun jarang bersentuh. Saya merungut-rungut juga dengan isteri, kenapa Abang JR lama tak up date blog. Dalam senggang waktu kami, biasanya blog Jiwa Rasa adalah antara blog yang awal dibuka. Saya sendiri suka membaca komen JR mengenai buku. Saya tahu Abang JR banyak membaca buku, sebulan kekadang dua tiga buah. Bukan seperti saya, sebuah pun susah bukan main untuk langsai.

Saya merungut juga fasal CD Dewanga Sakti yang saya order daripada Zul tapi masih belum diperolehi. Abang JR pula, memang sedari awal berniat untuk menghadiahkan saya sekeping CD itu. Dek kerana belum tahu kapan bila saya bakal menerima CD daripada Zul Dewangga Sakti, saya terima sahaja CD daripada Abang JR. Terima kasih. Saya terima dengan hati yang berbunga. Semalam saya sudah dengar CD itu. Nantilah, lepas ini saya akan tulis mengenainya.

Tidak lupa juga, emak mertua mengirimkan sekotak ole-ole dari kampung. Mak mertua saya memang begitu. Jarang menghampakan. Ada-ada sahaja barangan yang dititipkan. Daun pisang, pisang abu, ubi kayu, tempoyak, durian, pucuk ubi, bunga kantan dan apa-apa sahaja lagi. Termasuklah air selusuh yang istimewa untuk isteri saya. Anak kelima kami akan lahir bila-bila masa sahaja lagi.

Semalam juga emak saya menelefon dari Lenggong. Emak tanya, bila mahu pulang ke kampung. Rasanya selepas isteri bersalinlah. Juga emak memberitahu kondisi Tok Long yang kian uzur. Sudah enggan menjamah nasi. Air pun makin sedikit diminum. Mak bimbang akan kesihatan ibu mertuanya itu.

Jumaat, Julai 04, 2008

Bilo Oghang Nogori Sembilan Maghah Pado Pak Lah...


Kepado pak lah... PM paling sey sayang...I lap u

namo sey ni KARIM...pengundi bedaftar DUN CHOMBUNG, PARLIMEN ROMBAU...alaaaa tompek si KERY yg abah'eh JAMALUDIN tuuu...tak kona'???? menantu PAK LAH tu laaaaa....suko bona' sey ngan dio tu...ghaso nk buek menantu lak...

sey nulih surat ni bukan apo...sajo yor nk ucap'an timo kasih kek pak lah sobab naik'an hargo minyak ari tu.. lopeh ini bilo hargo minyak naik..hargo barang lain pun naik gaklaaaa...banggo boto' sey ghaso...mcm duduk kek LAS VEGAS lak...HIDUP PAK LAH!!!!!!!

sey janji ngan pak lah yg sey akan ubah tebiat sey dari makan ikan kombung yg dah merah menyalo mato'eh & pocah bedorai porut ikan tu pado ikan koring yor...sey sanggup bekoban untuk UMNO dan bn..

anak sey yg 7 org tu yg dh buleh buek team futsal tu boleh la bekojo lopeh sekolah buek bantu mak ayah diorang ni haaa...kok tk bekojo pun buleh la jadi mat rompit kek SENAWANG tu...dapek gak la duit sesikit...buleh gak la menoruskan tradisi keluargo sey ni yg nyokong UMNO dan bn

ghaso2 sey ni nk ubahsuai bilik bilik yg ado kek ghumah sey...nk buek tompek bolo ikan & tanam sayur cagho hidroponik (apo binchek'eh ni???) sey tepakso tanam kek dalam bilik sobab sey tingga' kek umah flat...

rebet yg pak lah bagi kek sey memang melampuh2 lobeh'eh dari keperluan sey..bilo sey congak2.. sey cumo guno 20 sen yor duit minyak moto sehari.. ado la untung 21 sen...bak kato si SAIDA AF6 "ok la tuuuu"

sey tak pakai pon keto... sobab bilo minyak naik hargo.. sey kono jual datsun kotak mancis sey tu.. dapek gak la duit.....tokih2 pun ado la hasil'eh..

team futsal sey tu, sey nak suruh eksesais hari2 berjalan kaki tak pun naik beska' poie sekolah...ado la 5 km...dokek yor tuuuuu...

walaupon gaji sey ni rm 1000..sbona' eh terlobih cukup untuk keluargo sey...buek permulaan nk ngubah kehidupan sey.. sey tak akan guno'an gulo bilo buek kopi... tak akan guno'an topung untuk buek kodoksey nak ganti'an bogheh ngan ubi... tiap hari sey ngan keluargo akan berposo (kecuali pado hari hari yg dilarang beposo)

sey akan buek minyak masak sendiri itu antaro caro sey ngubah caro hidup.. ade banyak laie caro semuo kerano UMNO dan bn...

dan sey mintak bona' pak lah naik'an laie hargo minyak yg ado.. bukan tu yorrr.. sey mintak bona' naik'an laie hargo tol sobab org sbolah rumah sey nih org pembangkang. ..dio slalu guno highway, biar padan muko dio...tu la...suko bona' nyokong pembangkang. ..PAKATAN RAKYAT konon...palo hayah dio tu...

nanti pak lah buleh la melawat sey dan sedokah pado sey solai kain pelikat bilo dh nak dokek2 pilihanraya nanti... insyaallah kain pelikat tu sey nk bubuh dlm frame dahtu gantung kek rumah... tapi jangan lupo lak.. pak lah sain otogeraf yor kek kain tu....

jagan lupo pak lah.. naik'an laie hargo minyak.. jgn la diturun'an gaji mentori2 tuuu..siannn diorang...kang apo lak anak bini'eh nk mentodarah.. .. sey totap nyokong pak lah..

akhir kato biar pak lah sonang, janji kami papo kedano.. hidup UMNO, hidup bn..

sekian timo kasih..

ps/ sampai'an salam sey kek si KERY samo PATRICK BADAWI tu yor..tak lupo gak tuan punyo syarikat SCOMI...sapo tah namo'eh...lupo lak...

pocah kaco, pocah golas,
sudah baco, harap baleh.

p/s: Ada kawan e-mail...saja jer kongsi kat sini... :)

Mimpi jadi PM dan mencari Umar Abdul Aziz


Semalam waktu santai-santai sambil nonton telenovela Soleha, isteri mengkhabarkan berita yang tak berapa best didengar.

“Abang..., Chandran dan Pakcik Farid driver budak sekolah tu minta kita naikkan tambang anak-anak kita tu...”

Saya melihat wajah isteri dengan pandangan kosong. Argh…dah agak dah!

“Chandran minta naikkan dari RM30 jadi RM50 seorang…Farid tu tak tahulah…mungkin naikkan dari RM40 jadi RM50!”

Saya mencongak ringkas. Kenaikan dari RM30 ke RM50, maknanya melebihi 50%! Ceh…nak kena ni…mana boleh tahan!

Hmm…senario di atas adalah senario biasa rasanya dewasa ini. Mak-mak dan ayah-ayah akan duduk sambil bincang-bincang. Tentang perbelanjaan rumah, wang persekolahan dan kos pengangkutan. Belum diambil kira kenaikan tariff elektrik baru-baru ini…yang saya rasa ramai rakyat tak perasan.

Saya kemudian memikirkan, ke mana arah tuju rakyat Malaysia? Kita butuhkan wang (pinjam istilah Indonesia). Tanpa wang, kita enggak mampu meneruskan kehidupan dengan sempurna. Tambahan bagi mereka yang diam di kota besar seperti KL, Shah Alam dan sebagainya, setiap pergerakan adalah duit.

Bagaimana kita mahu mengurus kewangan jika pendapatan adalah terbatas dan sama seperti dahulu, sedangkan kos barangan dan perkhidmatan meningkat berkali ganda. Sebab itu saya ketawa geli hati dengan beberapa cadangan pihak kerajaan, antaranya memberikan kelonggaran kakitangan awam membuat kerja sampingan, pemberian tunai RM600++ kepada pemilik kenderaan bawah 2000 cc, rebat cukai jalan, cadangan 2 x gaji sebulan dan diikuti oleh cadangan-cadangan bersifat ‘mengarut’ yang lain oleh beberapa pihak, seperti jangan suka membrek kenderaan di jalan raya, bawa pada halaju malar 80 km/j lebih jimat minyak, amalkan menanam sayur sendiri di rumah (eloklah tu…nanti di koridor flat dan kondo penuh pokok cabai dan terung), jual perabot dan pakaian lama dan bla…bla….bla…

Hai, come on lah! Be realistic sikit. Kita bukan main dangau atau pondok-pondok waktu kecil-kecil dahulu. Bahkan waktu kita berambat berlari main polis sentri pun kena ada strategi…inikan pula mengurus kewangan dan ekonomi, bukan ekonomi keluarga tuan…ekonomi negara!

Saya rasalah….jika saya yang berada di atas sana sebagai ‘PM’, saya yakin harga minyak petrol dan diesel tidak akan naik seteruk ini. Rakyat akan hidup harmoni. Saya akan pastikan gaji saya dan gaji para menteri kabinet saya tidak melebihi keperluan hidup. Saya memang mencari Al-Ghazali dan Al-Syafie…tapi saya tambah seorang lagi, saya cari Umar Abdul Aziz…kerana Umar adalah pemerintah (umara’) cum ulama' sedang Al-Ghazali dan Al-Syafie hanyalah ulama’.

Saya akan tiru cara Umar Abdul Aziz memerintah….nak tahu caranya, hmm…anda boleh tanya Encik Lim Guan Eng di Pulau Pinang. Sedikit tak banyak caranya beliau sudah tunjukkan, misalnya tinggal di rumah sendiri yang tidak jauh berbeza dengan rakyat dan naik kapal terbang kelas ekonomi untuk berjimat. Boleh Najib, Pak Lah dan yang lain-lain menteri kabinet lakukan sedemikian…saya teringin nak lihat Nazri Aziz dan Azalina naik basikal ke parlimen, naik motor ke surau, nak bas ke chow kit dan makan mee mamak sambil hirup teh ais di medan selera kat benteng...!

Agh…U-HAH….hang ni mimpi apa!!!

Khamis, Julai 03, 2008

'Cetusan Rasa Saya'


Bodoh, bengap, kaldai!!! Arg, saya sendiri pelik. Kenapa akhir-akhir ini agak lancang mulut saya menghambur kalimah-kalimah seperti ini. Saya teringat, hati kecil saya merintih sedih apabila satu malam di surau, saya meluahkan emosi saya dengan menyatakan: “Pemimpin apa jika suruh rakyat jelata makan beras hancur 15%! Saya beli yang 5% hancur pun dah banyak yang hancur. Inikan 15%! Pemimpin lahanat macam ini!”

Saya tidak tahu orang lain. Tapi saya dapat mengagak, kesan kenaikan harga komoditi asas di negara ini memang mengundang musibah. Ia turut menaikkan gelegak emosi. Lebih dari 'Sorakan Emosi' Euro 2008!!! Saya tidak fikir Pak Lah sebegitu bodoh untuk membuat perkiraan asas. Biasalah, peningkatan harga minyak menjadi penyebab utama yang bla…bla…bla…

Tapi, saya memikirkan bagaimana kita rakyat jelata ini mampu menghadapi kenaikan kos sara hidup ini? Ya, kita yang berpendapatan sederhana ke bawah. Dalam lingkungan RM2 ribu ke RM5 atau RM6 ribu... Seorang kenalan saya mengomel, kini dia terpaksa mengeluarkan simpanan peribadinya untuk menampung kos sara hidup keluarga (sudah makan reserve lah ni). Begitu juga, sudah ada yang mengikat perut hanya makan nasi pada waktu siang sahaja. Maknanya, makan nasi sekali sehari. Pilihlah malam atau siang. Ada yang akan menunggu penuh sabar apabila ada mesyuarat jabatan berlangsung, kot-kot ada lebihan makanan untuk mengisi perut. Jika yang menggunakan kad kredit, sudah ada yang terlebih guna berbanding bulan-bulan biasa. Macam-macamlah…

Saya mengandaikan, kesan kenaikan akan lebih menjerihkan menjelang bulan Ramadan dan Syawal nanti. Tak lama dah, hanya dua bulan sahaja lagi. Biasalah, bulan puasa kos memang naik kerana itulah pun masanya kita mahu merasa makanan luar di bazaar Ramadan ataupun berbuka di luar dengan keluarga. Masuk Raya lagilah!

Tunggulah, tidak lama lagi. Anda sendiri akan mengalaminya. Kesan kenaikan ini yang diistilahkan Dr Zulkifli Ahmad (Ahli Parlimen PAS Kuala Selangor) sebagai ‘stagflasi’, iaitu kesan lanjuta inflasi. Anda boleh baca di link berikut: (http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=15542&Itemid=1)

Jadi, apakah penyelesaiannya? Dahulu…saya berharap DSAI akan naik sebagai PM. Anwar berjanji berulang kali, antara misi pertamanya ialah menurunkan kembali harga minyak di negara kita. Tapi kini suasana sudah berubah. Anwar dihadapkan dengan tuduhan yang kembali mengganggu perjalanan politiknya. Jadi, masih adakah harapan buat kita…


Rabu, Julai 02, 2008

Argh!!! Ngerinya!


Pada mulanya, saya tidak begitu menghiraukan sangat apa isi kandungan Surat Akuan Berkanun Raja Petra itu. Iya, sudah lama isu ini berlegar-legar. Najib dituduh terlibat. Najib nafi. Tuduh lagi, nafi lagi. Pendeknya, tak kemanalah jawabnya. Polis dan Peguam Negara pun ‘tidur’ atau ‘kura-kura’…

Namun, apabila membaca antara isi surat Raja Petra ialah, beliau membuat akuan bahawa Rosmah isteri Najib sendiri berada di tempat pembunuhan Altantunya. Saya memetik apa yang dipaparkan di harakahdaily:



Dalam kejadian malam pembunuhan itu tiga orang telah disyaki berada ditempat kejadian iaitu Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Timbalan Perdana Menteri, Pemangku Kolonel Aziz Buyong (kini Leftenan Kolonel) seoarang pakar C4 dan isteri Aziz iaitu Norhayati yang merupakan ADC bagi Datin Rosmah, kata Raja Petra dalam surat akuannya itu. Lebih mengejutkan, Raja Pertra mendakwa menurut sumbernya bahawa Aziz telah menempatkan bahan letupan C4 itu di beberapa anggota badan Altantuya sambil disaksikan sendiri oleh Rosmah dan Norhayati.



Waduh…serius bangat pertuduhan ini. Takut saya dibuatnya….

Protes Sejuta Rakyat Dalam Kemelut Isu Liwat


Awal-awal lagi apabila PM menaikkan harga minyak petrol, saya sudah canang bahawa tindakan balas rakyat perlu disegerakan. Saya cadangkan kala itu, Pakatan Rakyat (PR) mengumumkan MOGOK 1 HARI. PR perlu memobilisasikan rakyat. Saya kurang setuju cadangan demonstrasi. PR diambang pembentukan kerajaan. Oleh itu, PR perlu dilihat matang menangani cabaran. PM mesti ada muslihat yang sukar ditelah kendatipun sesetengah komplotnya bagaikan permainan budak-budak. Saya mengandaikan, mogok mampu melumpuhkan ekonomi secara fatal. Jangan main-main, inilah senjata ampuh bangsa maju di luar sana. Mereka menjadikan mogok senjata menekan ego sang penguasa, andai pintu diplomasi terkunci mati.

Saya gembira apabila idea saya seperti disambut oleh pimpinan PR. Harakah meletakkan tajuk MOGOK di muka depannya, Sdr Mahfuz yang memberikan pendapat. Saya mengharapkan, wajar ada suatu tindakan konstruktif yang ad-hoc sifatnya. Isu minyak masih menyirap darah di mana-mana. Kelewatan memanfaatkan masa akan merugikan semua.

Ah… saya bertepuk sebelah tangan rupanya. Cadangan mogok tinggal sepi. Yang diuar-uarkan ialah tarikh-tarikh mengadakan unjuk rasa. Ya, unjuk rasa alias demo, samalah itu. Ia berganjak dari tarikh asal 12 Julai kepada 5 dan akhirnya tersangkak pada angka 6 Julai. Namun kini, lokasinya berubah dari KLCC ke hadapan Amcorp Mall PJ. Berjayakah kelak…berbaloikah…

Saya melihat, isu liwat Sdr Anwar, isu akuan sumpah berkanun Raja Petra dan pelbagai isu lagi bagaikan arus deras yang makin menenggelamkan isu minyak ini. Saya cuba menyelongkar pemikiran beberapa rakan, mereka seiya dengan saya. Makanya, saya gusar akan misi himpunan protes 6 Julai ini. Saya bimbang, rakyat kian sejuk dengan isu kenaikan harga minyak sebaliknya tenggelam dalam aneka isu lain yang terus menerpa.

Akhirnya, minyak akan kekal pada harganya. Isu subsidi minyak akan reda. Isu harga ayam dan beras yang kekadang menggila juga akan reda. Rakyat akan lupa semua itu, kerana semuanya berfikir dan berusaha keras untuk menangani isu yang satu…ya, membersihkan nama Anwar daripada terus terpalit dengan najis baru ini!

Arghhh…berbaloikah?!!!

Selasa, Julai 01, 2008

Malunya bila anak bertanya…apa itu liwat!


“Keluarga pemuda yang mendakwa penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim meliwatnya akan mengadakan satu sidang media selepas tengah hari ini. Keluarga Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mendakwa kesalahan itu dilakukan kali terakhir 26 Jun lalu, dijadual menjelaskan isu menggemparkan itu 2 petang ini di rumah mereka di Bandar Utama. Polis semalam menghabiskan masa selama lima jam, menjalankan siasatan di sebuah kondominium di Desa Damansara, tempat yang didakwa berlaku perbuatan tersebut.” – Malaysiakini.com

Apa? Liwat ke lewat? Istilah ini popular era Dr M masih menampuki kerusi PM. Ketika hujung 1990-an. Anak-anak kecil yang baru mengenal ikan bulu ayam, baru belajar kenal burung punai sendiri dan baru mumaiyiz turut dipaksa. Dipaksa mendengar kalimat…apa tadi…liwat itu!

Ceh! Hampir 10 tahun berlalu maka sekonyong-konyongnya kalimah ‘liwat’ kembali ke udara. Kali ini masih mengotori nama yang sama: Pak Syeikh Anwar! Jika dahulu yang mengaku diliwat orang lain, kini budak lelaki tak habis ngaji universiti pula mengaku. La…kenapa ada orang sangat gemar bermain dengan ‘liwat’ ini? Tak faham aku!

Saya rasa semua orang, tidak pernah membayangkan untuk menyebut kalimah berbunyi dan berkonotasi negatif seperti: celaka, haram jadah, anak haram, main belakang, mangkuk hayun dan termasuklah LIWAT ni! Apatah lagi mempromosikannya secara leluasa…di TV dan akhbar.

Cuba anda bayangkan, jika anak kita yang berusia empat, lima atau enam tahun sedang menonton berita TV dan mendengar: “Penasihat Parti Keadilan Rakyat bakal berhadapan dengan tuduhan liwat, setelah pembantu beliau mengaku diliwat di sebuah kondominium mewah di Damansara sekitar dua bulan lalu.”

Lalu anak kita Tanya: “Ayah, liwat tu apa?” Kita pun jawab: “Liwat tu adik, ala…main belakang orang.” Anak kita Tanya lagi: “Main kat belakang tu apa yah?” Jawab kita: “Ala…macam adik suka main belakang ayahlah…macam adik…er…pijak atau picit belakang ayah. ” Si ayah terpaksa memberikan jawapan yang sesuai dengan pemikiran anaknya…takkanlah si ayah akan menggambarkan maksud sebenar erti liwat!

Satu hari, si ayah sakit belakang dan meminta isterinya memicit belakang. Nampak kat anak, dia pun kata: “Ha…Ibu…ibu liwat ayah ya….” Apabila ada orang bertanya si anak, apa kegemaran ibu dan ayahnya pada waktu rehat di siang hari, si anak pun berkata: “Mak dan ayah aku suka main liwat-liwat.”

Ya! Itulah kesannya kepada anak-anak. Mungkin kita beranggapan ini benda kecil; tapi perkataan LIWAT ini akan kekal dalam kotak fikiran mereka hingga dewasa. Dan dalam proses menuju kedewasaan itu, mereka akan melalui tahap-tahap transisi seperti usia remaja. Anda pasti pernah mendengar, usia REMAJA adalah period paling kritikal bagi remaja. Kerana, pada usia remajalah anak-anak akan bersifat ingin mencuba. Saya takut mereka mencuba-cuba pula apa maksud liwat sebenarnya. Di Malaysia, kita pernah gempar murid sekolah usia lapan tahun sudah pandai melakukan oral sex...argh!!!

Ya, janganlah anda pelik jika satu masa nanti perbuatan liwat-meliwat sudah menjadi biasa di Malaysia. Kerana apa? Ya, keranan pemimpin Malaysia dan media massa sendiri suka mempromosikannya! Agak-agaknya, apalah yang kita akan jawab di hadapan Allah Rabbul Jalil nanti ya?