Rabu, Julai 02, 2008

Protes Sejuta Rakyat Dalam Kemelut Isu Liwat


Awal-awal lagi apabila PM menaikkan harga minyak petrol, saya sudah canang bahawa tindakan balas rakyat perlu disegerakan. Saya cadangkan kala itu, Pakatan Rakyat (PR) mengumumkan MOGOK 1 HARI. PR perlu memobilisasikan rakyat. Saya kurang setuju cadangan demonstrasi. PR diambang pembentukan kerajaan. Oleh itu, PR perlu dilihat matang menangani cabaran. PM mesti ada muslihat yang sukar ditelah kendatipun sesetengah komplotnya bagaikan permainan budak-budak. Saya mengandaikan, mogok mampu melumpuhkan ekonomi secara fatal. Jangan main-main, inilah senjata ampuh bangsa maju di luar sana. Mereka menjadikan mogok senjata menekan ego sang penguasa, andai pintu diplomasi terkunci mati.

Saya gembira apabila idea saya seperti disambut oleh pimpinan PR. Harakah meletakkan tajuk MOGOK di muka depannya, Sdr Mahfuz yang memberikan pendapat. Saya mengharapkan, wajar ada suatu tindakan konstruktif yang ad-hoc sifatnya. Isu minyak masih menyirap darah di mana-mana. Kelewatan memanfaatkan masa akan merugikan semua.

Ah… saya bertepuk sebelah tangan rupanya. Cadangan mogok tinggal sepi. Yang diuar-uarkan ialah tarikh-tarikh mengadakan unjuk rasa. Ya, unjuk rasa alias demo, samalah itu. Ia berganjak dari tarikh asal 12 Julai kepada 5 dan akhirnya tersangkak pada angka 6 Julai. Namun kini, lokasinya berubah dari KLCC ke hadapan Amcorp Mall PJ. Berjayakah kelak…berbaloikah…

Saya melihat, isu liwat Sdr Anwar, isu akuan sumpah berkanun Raja Petra dan pelbagai isu lagi bagaikan arus deras yang makin menenggelamkan isu minyak ini. Saya cuba menyelongkar pemikiran beberapa rakan, mereka seiya dengan saya. Makanya, saya gusar akan misi himpunan protes 6 Julai ini. Saya bimbang, rakyat kian sejuk dengan isu kenaikan harga minyak sebaliknya tenggelam dalam aneka isu lain yang terus menerpa.

Akhirnya, minyak akan kekal pada harganya. Isu subsidi minyak akan reda. Isu harga ayam dan beras yang kekadang menggila juga akan reda. Rakyat akan lupa semua itu, kerana semuanya berfikir dan berusaha keras untuk menangani isu yang satu…ya, membersihkan nama Anwar daripada terus terpalit dengan najis baru ini!

Arghhh…berbaloikah?!!!

Tiada ulasan: