Selasa, April 01, 2008

Bila budak berumur 8 & 9 tahun berbicara soal politik


Kami dalam kereta dan bendera parti semasa pilihanraya masih berkibar merata-rata. Tiba-tiba anak kedua saya yang terkenal kebecokan mulutnya bertanya soalan yang tidak terdetik di minda...

“Huish...banyaknya bendera abi...abi...abi ni sokong belah mana abi?” Alamak, anak zaman siber ni canggih betullah!

“Abi mestilah sokong parti Islam! (tiba-tiba saya ternampak bendera hijau berkibar) Ha..., tu bendera apa tu abang ngah?”

“Oh…ho, abang ngah tahu, itu bendera parti Islam-lah abikan!”

“Ya, betul. Abang ngah sokong parti mana?” Saja je saya menanyakan soalan yang tidak relevan kepada anak saya.

“Ha…abang ngah sokong parti....parti bendera itulah…abi”

“Kenapa?” Saya menubi minda anak saya...

“Heh…kenapa....kenapa ya abang long? Ha....Sebab…sebab...entahlah abi…” Saya tersenyum, anak saya masih mentah dan mereka manalah tahu ehwal politik ni...tiba-tiba...

“Ha! Abi tu pula, kenapa abi sokong parti islam tu abi?” Anak sulung saya yang lebih matang daripada adiknya pula nampak lebih pandai mengorek rahsia.

“Ok, abi sokong kerana abi orang Islam dan lagi...kerana parti itu ada tok guru…tok guru itukan orang alim, orang alim tukan pewaris nabi...ha, kenal tok guru...kenal ke?” Berjelalah pula syarah saya...

“Tok guru…kenal…kenal.”

“Pernah ke tengok wajah tok guru?” Saya bertanya lagi, sekadar menguji benarkah anak-anak sekecil ini sudah kenal siapa Tok Guru...

“Em…ala...abang long…yang mana eh…kita tak ingatlah?” Si adik mengalah dan meminta pertolongan kepada along yang memang suka membaca (saya pernah lihat dia membaca buku Shahnon Ahmad!) dan kedua-duanya nampak memerit-meritkan dahi dek kerana cuba mengingatkan wajah tok guru...

“Ha, inilah dia…” Sambil mengunjukkan senaskhah akhbar yang terpamer wajah tok guru.

“Ha…abi, kita sokong yang inilah, sebab…sebab…sebabnya abi, tok guru ni kan baik. Kita mesti sokong orang baik!” Anak kedua saya menuntaskan bicara dan menutup peluang untuk saya bertanya lagi.

Kesimpulan: Selagi mana Tok Guru dijadikan pimpinan, insya-Allah manusia akan yakin memberikan sokongan dan Allah SWT pasti memberikan pertolongan, amin.

Tiada ulasan: