Rabu, Jun 20, 2007


Gadis Laksa

Lewat petang itu perut ini memainkan lagu keroncong. Dahaga sudah aku nyahkan dengan menogok air mineral yang kucapai semasa mengisi minyak di hentian sebelah Rawang. Namun, mata ini bagai gatal melilau menyelongkar pandangan dan aku rasa terngiur bagi merasa semangkuk laksa dan semangkuk cendol. Kedai kecil lagi comel itu tampak lengang tanpa pengunjung. Sebenarnya, gerai itu lebih seperti sebuah pondok, bukan layaknya menjadi gerai makan.


Tiada ruang bagi mengisi kerusi meja disediakan oleh arkitek yang mendraf lukisan asal bangunan. Sekadar macam menarik orang membeli kad pra-bayar secara berdiri dan tertonggeng-tonggeng bontot memilih telefon tangan sahaja, bayar lalu pergi. Namun, tuan punya kedai masih tega memuatkan dua buah meja dengan lapan kerusi merah plastik. Padat ruangan itu jadinya. Di situlah aku singgah, sekadar melampiaskan kehendakku yang amat gemar kepada laksa.

Di dalam gerai kecil itu kulihat seorang anak gadis belasan tahun, duduk santai menatap buku.

“Assalamua’laikum…adik, laksa satu!”

Dia bangun tanpa banyak songehnya. Cekatan menyiapkan semangkuk laksa. Diambilnya mangkuk berwarna kuning kemerunan, disenduknya laksa dan dipotongnya cili, bawang dan sebiji telur dibelah dua. Dia asyik berkerja dan aku asyik memerhati.

“Dah lama niaga laksa…?”

- “Adalah juga…”

“Baguslah. Anak muda macam adik ni kena rajin…”

Tanpa bicara dia membuka tudung periuk dan meruwaplah bau yang mengasyikkan…bau laksa!

“Saya memang penggemar laksa. Saya orang Perak. Di Kuala Kangsar, laksa memang nombor satu. Tapi paling sedap laksa buyung…”

Aku terus berbicara tanpa perduli dia suka atau tidak. Sekurang-kurangnya, aku tunjukkan minatku kepada barang jualannya.

“Saya boleh teka, laksa yang akan saya makan ini sedap atau tidak, dengan hanya mencium baunya…”

Dia mula tampak tertarik.

“Em…saya rasa laksa adik menarik. Tapi…saya lihat urat laksanya kurang kenyal. Nampak macam keras….”

Aku nikmati laksa itu dengan semangkuk cendul. Betul tekaanku, kuah boleh tahan tapi urat laksanya keras. Mungkin lebihan laksa semalam yang disimpan gitu-gitu sahaja dalam peti ais.

Aku makan dan terus makan. Semasa menghulurkan duit, aku katakana…

“Jika adik dapat pastikan urat laksa ini lembut dan kenyal, saya gerenti laksa adik boleh maju…saya jemput, datanglah ke Kuala Kangsar, Bukit Gantang atau Taiping di Perak. Di sana banyak tempat yang laksanya hebat-hebat…”

Setelah mendapat baki, aku pun angkat kaki dengan harapan dia akan belajar membaiki mutu laksanya pada masa akan datang.

***
Catatan kira-kira 90% kisah benar, kejadian di depan Jalan Ipoh – Rawang berdekatan Kampung Melayu Batu 16, akhir tahun 2006.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

jalan tu hanya tinggal kenangan buat kita sekeluarga..

Tanpa Nama berkata...

isy..sedapnye laksa tu.. udah le tengah posa ni..

Unknown berkata...

Tiba-tiba je teringat laksa lake garden, Taiping.

Baru Sabtu lepas, kami beli laksa kat lembah, kuala yang tepi Kedai Shah, makan dengan Mak, Abah & Akim

U-HAH berkata...

Em, laksa memang mengasyikkan...hanya mereka yang 'hantu' laksa sentiasa teruja dengan laksa. Saya dah pekena laksa penang (orang penang buat sendiri, siap dengan nanas dan otak udangnya), laksa johor (tapi saya kurang gemor sebab bersantan), laksam (laksa kelantan...pun tak leh jalan gak), laksa sayong @ kuala (dulu saya memang suka, tapi le ni saya kurang gemor dah), laksa buyung (huih...yang ni paling best, contohnya yang Abang JR sebut kat Lake garden Taiping tu, memang mengiurkan), laksa Kuala Perlis (sedap...) dan laksa langkawi...fuh, pedas tapi menawan.

La ni...bukan sekadar mak saya sahaja tahu menyediakan laksa yang lazat kepada saya, tapi juga mak mertua (siap buat special laksa biasa dan laksa johor, kerana dia tahu saya tak suka laksa johor agaknya), bahkan wife tercinta pun sentiasa mahu menguji kehebatannya menyediakan laksa buat saya...apa nak buat, udah anak-beranak minat laksa!

p/s: Oo...Abang JR pegi tak kabo...ni dah lama mengidam nak pekena laksa buyung ni...