Jumaat, Oktober 24, 2008

Makkah: Sampai bilakah...?


Sekarang ini musim haji. Musim umat Islam menuju Baitullah. Di sana mereka menjadi tetamu Allah. Mereka bersimpuh penuh kerendahan. Menghadapkan wajah dan hati kepada Tuhan.


Makkah adalah sejarah. Ia tempat lahirnya insan agung. Muhammad bin Abdullah yang membawa cahaya iman. Itulah hidayah yang tidak ternilai harganya. Muhammadlah manusia yang menempuh payah demi iman. Hingga akhirnya Makkah kekal menjadi tumpuan manusia, memohon doa dan maghfirah.


Hikmah haji amatlah banyak. Disebutkan ia sebagai muktamar umat Islam sedunia. Berkumpul dengan satu agenda. Di samping menunaikan rukun Islam kelima, juga mengeratkan ukhuwwah dan memadukan solidariti sesama kita. Akhirnya akan terpancarlah aura agama, terserlah wibawa kita. Lambang utuhnya manusia bersatu dalam relung akidah yang sama. Menyembah Allah Tuhan yang Esa, mematuhi rasul yang sama, berpandukan kepada al-quran yang sama dan menghadap kiblat yang sama.


Mutakhir ini, sayangnya haji bukan lagi medan muhasabah sesama umat. Ia bahkan medan nafsu-nafsi. Masing-masing berpuak-puak. Masing-masing mendabik dada dengan bendera sendiri. Bangga kerana berasal dari Malaysia, kononnya mendapat keistimewaan yang lebih dari penguasa Arab. Yang lain mungkin kesal datang dari negeri yang dipalit fitnah, dihalau pula bak anjing kurap!


Maka, Makkah bukan lagi medan penyatuan, lurah perpaduan dan gelanggang kekuatan. Inilah hasil fitnah para musuh Allah. Menyemai benih assabiyah yang keterlaluan. Menyemai semangat amat cintakan watan. Menyuntik aliran nasionalisme yang merentasi agama sebagai sempadan.


Sampai bilakah Makkah hanya menjadi saksi amalan fardu yang ritual. Berpusingan tujuh kali di sisi kaabah, saie sambil-sambil mengenang kisah, melontar jamrah dan bermalam di Mina serta Arafah?


Sampai bilakah?

Tiada ulasan: