Isnin, Mac 10, 2008

Analisa masa hadapan BA pasca kemenangan


Terus-terang, saya jadi kalut bagi menulis entri ini. Tidak tahu di mana harus dimulai. Ide datang silih bertandang. Jujurnya, bermula dari malam penentuan sehinggalah ke saat ini, hati saya masih bergelojak…terhimpun pelbagai rasa - teruja, terharu, syukur, terima kasih dan sebagainya lagi. Kemajmukan rasa ini hanya atas satu alasan: Kemenangan PAS, PKR dan DAP yang begitu besar dan di luar jangkaan di dalam PRU 12 8 Mac, Sabtu lalu.

Saya tidak menjadi tenaga kerja utama kemenangan BA, hatta dalam konteks kedaerahan. Tekanan pemerintahan negeri BN mengekang gerak kerja saya dan SB pernah merisik siapa saya! Namun, saya adalah penggerak BA dalam cara dan pendekatan tersendiri.

Dalam serba keterbatasan saya masih menyalurkan kudrat dan sokongan sekadar terdaya. Wang ringgit, doa dan bantuan fizikal masih saya hulurkan. Setidak-tidaknya, saya manfaatkan kemahiran menulis bagi memberi kredit kepada BA. Saya beranggapan, hatta sistem SMS sendiri sudah memadai jika dijadikan medan paling efektif menyebarkan info. Mungkin kesannya hanya 0.0001 peratus, tapi ia lebih baik dari tidak berbuat apa langsung!

Izinkan saya membuat sedikit analisa pasca kemenangan BA:

Perkongsian kuasa

Satu keunikan PAS, PKR dan DAP ialah, tiga parti ini mempunyai persamaan dari aspek keahlian. PAS walaupun sebuah parti yang bertunjangkan Islam; namun di dalamnya mempunyai kemajmukan bangsa. Syarat ahli PAS ialah Islam bukannya bangsa atau kaum. Jadi orang Cina, India hatta Melayu sekali pun, andai ingin menjadi ahli PAS perlulah Islam. Buktinya Dato’ Hj. Anuar Tan Abdullah adalah seorang Cina yang pernah menjadi exco di negeri Kelantan.

Manakala, PKR memang parti campuran yang jelas. Penglibatan Tian Chua misalnya dan Gobala Krishnan adalah lambang parti itu bukan khas untuk sesuatu etnik. DAP sendiri hakikatnya adalah parti pelbagai kaum dan bukan khusus untuk orang Cina. Karpal Singh bukan Cina walaupun DAP memang dominan kaum Cina.

Maka bertitik tolak dari situ, sebenarnya PAS, PKR dan DAP adalah parti yang mantap dari aspek persefahaman antara kaum. Malah jauh lebih mantap berbanding BN yang parti-parti di dalamya amat bersifat perkauman. Umno untuk orang Melayu, MCA untuk orang Cina dan MIC untuk orang India.

Oleh itu, logiknya perkongsian kuasa di antara PAS, PKR dan DAP adalah lebih logik berlaku kerana memasing parti memang bersifat Malaysian. Ia lebih memudahkan segala aspek, misalnya menentukan pemilihan kepimpinan kerana setiap parti memang mendokong prinsip Malaysian dan bukan rigid dengan satu-satu kaum seperti amalan BN selama ini.

Oleh itu, bagi setiap negeri seperti Kedah misalnya, lantikan calon DAP yang menang sebagai Exco kerajaan negeri amat memberi kesan kepada perkongsian kuasa ini. Begitu juga di Pulau Pinang, tindakan DAP melantik calon tunggal PAS menerajui sesuatu exco pasti memberikan kesan yang amat besar.

Blok politik

Tanpa disedari, kemenangan Kelantan, Perak, Kedah, Penang dan Selangor telah membentuk satu blok kuasa politik di Malaysia. Ia tidak lagi bersifat kedaerahan atau kerantauan. Jika dahulu Kelantan dan Terengganu dimenangi PAS, maka ia dianggap lebih kepada kekuatan PAS di Pantai Timur. Begitu juga jika DAP memenangi Pulau Pinang pada 1969, ia adalah sekadar satu negeri kecil. Namun, dengan kemenangan seperti ini, ia telah menjangkau sifat-sifat sedemikian bahkan membentuk blok kekuasaan yang lebih besar. Bukan Ketimuran kerana ada Penang dan bukan keutaaran kerana ada Kelantan.

Di samping itu, kelima-lima negeri di atas hakikatnya bersambungan di antara satu sama lain. Kelantan bersambung dengan Perak, Perak bersambung dengan Kedah, Selangor dan Pulau Pinang. Maknanya, Kemenangan ini membolehkan parti-parti yang patut dinamakan dengan satu nama ‘khusus’ merangka satu kerjasama yang erat dan lebih berkesan.

Sebagai contoh, mereka mampu membangunkan zon perindustrian berangkai, jalinan lebuh raya yang canggih dan zon pendidikan bersepadu yang serba maju. Inilah kelebihan dengan kemenangan dalam bentuk zon seperti ini.

Nama pakatan dan lambang

Satu nama khusus dan satu lambang bagi pakatan tiga parti (setakat ini) perlu dicari segera. Barisan Alternatif sudah popular namun ia masih belum menzahirkan kekukuhan penyatuan barisan opposisi. DAP misalnya seolah-olah tidak termasuk ke dalam BA ini bahkan mempunyai pakatan lain dengan PKR membentuk Barisan Rakyat.

Satu nama mencerminkan satu wawasan, satu perjuangan, satu tekad dan satu komitmen. Maka, satu nama perlu segera diwujudkan dan semua parti perlu bersatu di atas nama itu. Daftarkan nama itu dan jadikan ia satu landasan bagi memastikan BN sukar untuk memecah belahkan kesatuan yang ada.

Tidak dapat dinafikan, antara lain kekuatan Umno, MCA dan MIC ialah kerana mereka bernaung di bawah nama BN. Lambang BN menjadi dominan sehingga menyukarkan pihak BA misalnya memecah dominasi BN di minda rakyat. Bahkan lambang dacing sudah begitu melekat dan begitu stabil di pemikiran rakyat. Maka, BA misalnya perlu segera mewujudkan kesatuan ini dan mencipta satu lambang yang boleh menghakis lambang dacing dari pemikiran rakyat sebagai lambang yang berkuasa.

Keberkekalan kuasa

Aspek ini mendapat sorotan ramai pihak. Bukan sekadar BN mempertikaikan kemampuan parti-parti lawan mereka ini mampu mengekalkan kuasa; bahkan ada di kalangan penyokong dan pendokong parti sendiri merasa bimbang.

Ia berasas, memandangkan selama ini memasing ahli dibesarkan dalam blok politik secara sendiri-sendiri. Tiada satu muktamar BA misalnya atau mesyuarat bersama. Hal ini tidak berlaku di dalam BN, kerana mereka sudah lama mempunyai konsep perkongsian kuasa bahkan setiap negeri mempunyai Pengerusi BN sendiri.

Maka, PAS, PKR dan DAP harus serius menentukan kelangsungan dan keberkekalan kuasa ini. Tidak mustahil, satu jawatan Pengerusi BA wajar ditubuhkan di setiap negeri dan ini mampu menyaingi wibawa kesatuan dan kewujudan BN itu sendiri.

Tapak perkembangan kuasa

Pakatan BA hendaklah menjadikan blok kemenangan ini sebagai tapak melancarkan perkembangan kuasa BA di Malaysia. Kejayaan atau kegagalan di mana-mana negeri ini hendaklah dipikul secara bersama. Negeri yang maju dan kaya seperti Selangor misalnya, hendaklah memastikan jirannya seperti Perak tidak ketinggalan. Kelantan yang sudah lama mentadbir kerajaan pula, wajar sering memberikan nasihat dalam pelbagai aspek, khususnya di Kedah.

Dengan wujudnya budaya saling membantu dan menasihat ini, maka ia akan menjadikan blok kekuasaan ini tampak kukuh dan bersatu. Ia membolehkan kemajuan berimbang dipacu dan akhirnya, kejayaan ini akan menimbulkan rasa cemburu kepada rakyat di negeri-negeri yang masih berada di bawah naungan BN.

Insya-Allah, mereka sendiri akan menolak BN untuk berada di bawah BA, maka makin meluaslah kekuasaan BA di Malaysia.

Negeri rujukan

Tidak dapat dinafikan, Kelantan adalah negeri paling aula dijadikan rujukan bagi negeri-negeri lain. Sepaling tidak dalam aspek menghadapi tekanan berpanjangan dari kerajaan pusat. Jika tidak, masakan Kelantan terus bertahan hingga ke saat ini, walau pun pada satu tahap kerusi di DUN hampir-hampir dikuasai oleh BN.

Kedah misalnya, wajar mempelajari banyak benda dari Kelantan. Jika MB Kelantan mampu menjadi ikon dan seterusnya menjadi tonggak kekuatan BA di Kelantan, maka perkara sama wajar dicipta di Kedah.

Di samping itu, perkara-perkara positif yang diwujudkan di Kelantan wajar amat ditauladani oleh kerajaan negeri atau negeri-negeri lain. Perkara ini boleh dilihat dalam buku 100 fakta negeri Kelantan tulisan Dinsman. Bahkan Kedah misalnya, jika boleh wujudkan motto dan polisi yang hampir sama dengan Kelantan, kerana aspek demografi Kedah – Kelantan hampir sama.

DAP misalnya mempunyai kelebihan tersendiri kerana didokong oleh ramai orang Cina yang terbukti hebat berniaga. Maka kembangkanlah kemahiran itu kepada Kedah dan Perak. Apabila perkara ini berlaku, maka ia menjadi satu pemangkin berkesan memajukan negeri-negeri di bawah kuasa BA untuk terus kekal berkuasa.

Sensitiviti parti

Setiap parti mempunyai ideologi berbeza. PAS dengan Islam, PKR dengan keadilan dan DAP dengan Malaysian Malaysia. Namun, semuanya sama iaitu mahu mewujudkan pemerintahan yang Adil, Amanah dan Berkesan.

Maka, semua pihak kena belajar mengurangkan suara menyinggung sensitiviti mana-mana pihak. DAP misalnya kena belajar memahami hasrat PAS dengan komitmen perundangan Islamnya, manakala PAS kena berlembut dalam isu hukum hududnya.

Semua ini nampak menjerakan, namun kebaikan jangka panjang adalah lebih aula. Bukankah keutamaan sekarang ialah menafikan mitos hanya BN mampu mentadbir. Ia sudah dinafikan dan tugas BA seterusnya memastikan kesepakatan berkekalan dalam iklim yang harmoni dan mendamaikan.

Nah! Demikianlah sedikit analisa saya terhadap BA pasca kemangan dalam PRU 12. Seperkara lagi, jangan ralit….yakni jangan terkesima dan terleka dengan kemenangan. Kerja mesti segera dibuat dan rakyat akan menyatakan: “Ya! Kita tidak salah membuat pilihan kali ini, BA memang boleh diyakini!”

Wallahua’lam.
p/s: Kredit - gambar di atas entri ini dipetik dari halaman sesawang DAP.

8 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

See Here or Here

Tanpa Nama berkata...

klu nak tau brother u-hah nie cukup hebat org nye... pilihanraya akan dtg brother u-hah nak bertanding pulak.tak tau nak bertanding ape..hehe..hehe..takbir!!....allahuakbar kawan sokong teman.

Tanpa Nama berkata...

idea yang menarik. hantar le ke harakah daily utk diforwardkan.

antara cadangan nama 'Barisan Alternatif Rakyat'.. Ape yang hebatnye ye sdr u-hah nie?.. ;)

Tanpa Nama berkata...

Saya setuju 100%. Barisan Alternatif harus mencari satu lambang untuk memperkuatkan populariti mereka. Ini adalah tugas berat, tapi berat lagi sukar untuk BN mengstruktur semula partai yang berteraskan etnik.

Pasca pilihanraya ini adalah perlumbaan antara BN dan BA untuk menentukan pakatan mana yang boleh menepati selera masyarakat alaf 21.


Jom, U-Hah kita berlumba, kita tinguk sapa kuat, Wan Pantai Barat ka, (you Wan, Nik mana eh) Wan Pantai Timur kan?


But offcourselah, despite the money and the resourse yang BN pengang kami masih jauh ketinggalan dengan orang Pantai Barat, because orang yang sudah biasa mewah, sombong lagi bongkak susah nak diajar berzuhud dan diperkenalakan kehidupan spiritual yang akan jadi asas kuasa pada alaf 21 ni, tak gitu?

Tanpa Nama berkata...

opps orang Pantai Timur.

Orang Pantai barat ketinggalan dari segi ketahanan spiritual berbanding dengan orang Pantai Timur.

U-HAH berkata...

Isma, Mardhiah dan lain-lain,

Kita mesti optimis dengan perkembangan ini. BA adalah harapan baru rakyat Malaysia dan tidak salah rakyat memberi mereka peluang. Namun, kita mesti memberikan juga pandangan yang bernas kpd BA, iyalah...ibarat orang baru pindah masuk rumah baru, kan banyak benda yang perlu diselesaikan.

faridmw berkata...

salam..
saya mmg bersetuju.. tambahan lagi yang menang itu parti yang bolehmenaikkan agama islam dimata dunia...
selepas ini harap pemimpin yang kita pilih itu dapat menunaikan janji mereka pada rakyat...
allah akan bersama orang yang ingin menaikkan agamanya itu...

U-HAH berkata...

Farid MW,

thanks dan saya setuju sangatlah tuu...