Khamis, Mac 27, 2008

Mamat Jongos...

Cik Mamat Jongos naik basikal keliling kampung. Dia berang kerana katanya anak-anak buah kampungnya dah jual maruah. Sambil mengayuh basikal tuanya yang berkeriut sana sini, dia tak habis-habis mengangkat tangan. Orang yang berselisih dengannya senyum sahajalah, mereka kasihan kepada Mamat Jongos, kerana dia seperti kecewa apabila pinangannya ditolak. Maklumlah, sebelum ini dia sudah banyak kali bernikah dan bernikah. Umurnya si Mamat Jongos pun sudah mencecah awal 50-an, mengikut sejarah hidup Mamat Jongos, dia sudah kahwin enam atau tujuh kali. Isteri-isterinya itu bukanlah semuanya senang hati sangat, dua atau tiga orang sudah pun diceraikannya dengan talak satu…saja kata Mamat Jongos, nanti aku teringin boleh rujuk balik!

Setiap kali dia berkempen untuk masuk meminang, maka akan dicanang keliling kampunglah perihal kejayaannya membahagiakan kesemua isterinya yang terdahulu, betapa setiap daripada mereka diberikan banglo enam bilik setiap seorang dan anak-anak yang diberanakkan pun dia beri lot saham. Uweekkk sahaja suara bayi anak Mamat Jongos, budak mentah itu sudah ada satu lot saham…itulah, setiap kali sambut hari jadi akan bertambah lagi satu lot.

Pernah juga anak Mamat Jongos yang kini lebih jongos dari ayahnya sendiri bertanya, dari mana ayahnya dapat duit sebanyak-banyakknya untuk membeli saham buat mereka, dengan tersengih sambil memintal misai panjangnya Mamat Jongos hanya berkata: “Apak suruh lah tu, orang-orang yang lalu lalang di hadapan rumah kita tu bayar tol, sebab apaklah yang sudah keluar duit dahulu membina jalan, jambatan dan menjaga maintenance saban bulan.”

Gitulah, adalah seorang anak dara umur 17 tahun yang cerdik, dapat Pangkat 1 dengan 10 A dalam SPM menjadi kegilaan Mamat Jongos. Anak dara itu milik Pak Abu Seman hujung kampung. Mamat Jongos pasang perangkap, saja je dia menayang-nayang jet peribadinya kepada Pak Abu Seman si drebar Bas Merah Kuning di kampung itu. Mamat Jongos tahu, orang tua sekutuk Pak Abu Seman pasti akan berlenja liurnya melihat jet peribadi Mamat Jongos bersidai depan rumah.

Kekadang, Mamat Jongos sengaja menayang-nayang helicopter Pumanya yang berdengung-dengung memusingkan kipas. Habis terbang segala kain di ampaian rumah Pak Abu Seman. Jenuhlah Si Milah anak dara 17 tahunnya mengutip kain-kain itu sambil hatinya menyumpah-nyumpah, apalah tua pikun tak sedar diri asyik nak menayang kekayaan peribadi. Pernah satu hari, hampir terselak kain Milih anak dara 17 ditiup angin kencang helicopter Puma Mamat Jongos, hampir-hampir terselak dan tersingkaplah betis bunting padinya…dan hampir-hampir terbelalak hingga nak tersembul macam nak terbit mata Mamat Jongos melihatkan kain batik Milah yang tergebar-gebar di sesah angin kipas helicopter Pumanya…..

Selasa, Mac 25, 2008

Isu-isu Pasca Pilihanraya 2…


1/ Isu perlantikan para exco negeri Selangor telah selesai. Gandingan Mantap: 4 PKR, 3 DAP dan 3 PAS, demikianlah tajuk besar akhbar Sinar Harian 25 Mac 2008. Akhbar main stream lain masih sibuk dengan isu MB Terengganu yang tak habis-habis memasing enggan mengalah. Utusan menyiarkan pada front pagenya: ‘Ahmad mula tugas dengan arahan istana walaupun masih belum mengangkat sumpah’ di samping tajuk minor di bawahnya ‘Hanya Imam bertauliah dibenarkan bertugas di Selangor – Sultan Selangor’. Kekadang lucu saya, BN mahu menunjukkan mereka pembela Melayu; tetapi dalam masa yang sama mereka bertelagah dengan raja-raja Melayu. Perlis dan Terengganu adalah contohnya. Molek benarlah kata-kata Nik Aziz MB kelantan, Idris wajar beri nasihat kepada anak-anak buahnya…atau Idris sendiri ada agenda peribadi yang dia sendiri maklumi…

2/ Kerajaan Negeri Selangor nampaknya mendahului lain-lain negeri di bawah BA dari aspek pendedahan kepada media massa. Mungkin kerana Selangor adalah nadi Malaysia. Selangor adalah negeri maju yang menurut Tan Sri Khalid kadar ‘kecairan’ wang simpanannya sangat tinggi dan faedah daripada kecairan itu sahaja pun sudah mencukupi untuk membayar gaji kakitangan negeri! Itulah, BN cukup sedih kehilangan negeri maju ini. Namun, agenda Khalid di Selangor sudah bermula, dalam wawancara bersama Sinar beliau acap kali menekankan bahawa kepentingan rakyat mendahului kepentingan parti. Lagi satu, setiap tindakan hendaklah berdasarkan fakta dan angka! Maknanya, makin letihlah BN selepas ini, permainan angka semasa BN berkuasa memang melampau…perjanjian konsesi air menelan puluhan juta ringgit itu adalah buktinya, keuntungan sebelah pihak juga adalah buktinya!

3/ MB Kedah yang baru telah menunaikan janji memberikan tiket percuma kepada penyokong ‘Hijau Kuning’ di negeri itu melepaskan geram menyokong pasukan mereka menentang Perak di Stadium Darul Aman, Alor Setar. Kosmo! melaporkan, lebih 30,000 rakyat Kedah membanjiri stadium itu. Tahniah saya ucapkan kepada MB Kedah Ustaz Azizan Razak yang nampaknya bijak membeli hati rakyat. Ini bukan rasuah, kerana apa yang beliau dapat? Sebaliknya itulah bukti semangat kesukanan yang tinggi. Bukannya dengan menjadi Presiden Kelab Gasing dan kemudian diangkat menjadi menteri belia dan sukan dan kemudiannya menyatakan mahu meningkatkan moral belia…walhal anak sendiri bergelumang dalam Akademi Fantasi.

4/ Perak nampak tenang. Ada kawan mengusik, buatlah andaian mengenai Perak. Lagi pun suara-suara nakal mengatakan DAP menguasai Perak masih berbisik-bisik kecil di belakang. Masalahnya di Perak isu sudah reda, BA atau BR kini perlu menumpukan usaha menunaikan manifesto, itu sahaja. Di Perak, baik MB nya maupun sultannya…dua-dua ada kelas. Keduanya mempunyai kredibeliti tinggi dari aspek kelulusan akademik mahu pun pengalaman. Bagi saya, itulah contoh kombinasi kepimpinan yang baik. Saya berharap Perak dapat lebih menonjol selepas ini, kerana Perak adalah antara negeri termaju di Tanah Melayu. Ir Nizar dan bakal exco perlu merancakkan era kemajuan ekonomi yang seimbang dengan pembangunan akhlak di Perak. Baharulah ia benar-benar membuktikan agenda mengulamakan professional sebagaimana yang PAS jaja selama ini benar-benar menjadi reality. Ir Nizar telah menunjukkan contoh, kini tinggal mengimplementasikannya kepada seluruh rakyat Perak…teruskan Ir Nizar!

5/ Emak mertua saya yang datang berziarah ke rumah memberitahu, Dr Jeyakumar yang mengalahkan Sammy Vellu semasa eleksi dahulu tidak membenarkan rakyat Sg Siput memanggilnya YB, sebaliknya panggil Dr atau Encik sahaja. Wah kata saya, ini satu contoh tauladan yang baik yang perlu diguna pakai kepada semua YB BA atau BR. Biarlah era YB BN dahulu tenggelam bersama tenggelamnya kapal keegoan dan keangkuhan mereka, kini kita buka era baru. Era pemimpin dan rakyat yang sama hala tuju dan sama cita rasa, amin.

6/ Dato’ Dr Hassan Ali datang ke Bangunan JAIS di Shah Alam pagi tadi, dengarnya semua orang atasan diminta mengadap. Saya dapat maklumat, beliau menegur pentadbiran agama Islam di Selangor yang mula menunjukkan sikap tidak professional dan berpura-pura. Misalnya, kenapa era BN mentadbir tidak pernah pun kedengaran institusi agama di Selangor milik sultan; kenapa sekarang ia sering pula dilagukan. Bahkan apalah salahnya seorang pemimpin kerajaan negeri seperti beliau untuk menggunakan masjid dan surau pun dihalang sedangkan pada zaman BN ia tidak pernah terjadi. Panas dengarnya para orang atasan JAIS. Itulah…jangan cepat mencari helah, nanti diri sendiri yang menerima padah! Profesionallah, itukan lebih baik.

Wallahua’lam!

Ahad, Mac 23, 2008

Jalan yang pening ke Astaka Minda, DBP

Sabtu, 22 Mac 2008 saya dan isteri serta dua anak perempuan kami ke DBP. Kami ke sana untuk mengikuti Seminar atau dipanggil Astaka Minda yang bertajuk, Penulis dan Blog: Trend Masa Kini. Abang ipar Jiwa Rasa dijemput khas dari Pulau Mutiara (sebenarnya Bukit Mertajam) untuk menjadi salah seorang panelis di samping Puan Nisah Haron. Kami agak lewat ke DBP lantaran berpagian kami ke Pasar Borong Selayang terlebih dahulu. Jam 10 gitu kami ke DBP yang jaraknya kira-kira 20 km dari rumah.

Fikir saya, hari Sabtu apalah sesaknya. Mujur, jalan tidak sesak bangat berbanding hari-hari biasa. Sesampai di Jalan Dewan Bahasa, saya lega melihat Bangunan Baru DBP bagaikan melambai. Tetapi…ah, jalan sudah berubah. Saya membelok ke Jalan Dewan Bahasa tetapi tidak boleh memasukinya lantaran ada kon berderetan menghalang, oh sudah…ada pembinaan jalan rupanya. Saya terpaksa membuat pusingan melalui jalan hadapan Menara MAA tetapi sekali lagi buntu, tiada jalan masuk ke DBP.

Hati saya mulai panas. Jam sudah menakah angka 11.30 pagi. Tidak lama lagi pasti tamatlah acara. Aduhai...saya cuba mendail teman yang bertugas di DBP, namun tiada yang menjawab. Mujur ada seorang teman yang pernah berkerja di DBP. Katanya, cubalah buat pusingan di kuburan cina dan ambil jalan dari Sungai Besi. Saya menyeranah juga...apalah nak jadi Malaysia, papan tanda sementara ke satu lokasi sepenting DBP pun mereka gagal dirikan. Apatah lagi jalan yang dibina mengelilingi DBP itu pasti memakan masa yang lama. Bayangkan kesusahan yang terpaksa dilalui oleh mereka yang pertama kali atau jarang-jarang mahu mengunjungi DBP. Ini bukan Kuala Kangsar; tetapi Kuala Lumpur!

”Jika kita tak jumpa juga lepas ini, abang rasa kita balik sahajalah!” Ujar saya kepada isteri yang gagal mencari nombor telefon rakan sekerjanya yang suaminya bertugas di DBP.

Saya tawakal dan meredah jalan. Kami ambil laluan merentasi kawasan kuburan Cina (sebenarnya Buddha, sebab Cina adalah bangsa dan tak semua orang Cina mati dikebumikan di situ, melainkan mereka beragama Budha dan, em...cantik pula kawasan itu, terjaga rapi berbanding kawasan kuburan Islam). Setelah itu tembus di jalan Sg Besi berdekatan susur ke TUDM tetapi saya terus ambil arah ke Pusat Bandar dan susur keluar ke Jalan Loke Yew. Isteri berpesan agar berhati-hati dan saya sendiri pun gusar, rugilah masa saya asyik berputar-putar jika gagal menjumpai DBP.

Saya sampai ke persimpangan antara Jalan Dewan Bahasa, Loke Yew dan isteri menyatakan cuba ambil jalan lurus ke hadapan. Mana tahu kot-kot ada susur ke kiri. Memang ada tapi susah pula nak masuk, saya melanjutkan hingga sampai berdekatan Hotel Mandarin Court dan ambil arah ke kiri melalui jalan kecil dihimpit bangunan tinggi. Aduhai...susahnya nak cari DBP ni, getus hati saya berulang kali.

Akhirnya kami nampak dari jauh Balai DBP; tetapi kami tidak boleh masuk ke sana kerana jalan yang ada tidak membenarkan pengguna jalan raya belok ke kanan.

”Parking ajelah kereta kat sini bang, kita jalan kaki sahaja...” Isteri saya memberi idea. Mujur ada lot kosong, segera memarkir dan menapaklah kami empat beranak ke DBP.

Masuk sahaja ke halaman Balai Pustaka, kosong sahaja ruangan parkir. Ah...tak ada orangkah...saya mulai ragu. Masuk ke foyer dan terjumpa dua orang kakitangan DBP, sebenarnya salah seorang ialah pengawal keselamatan. Ujarnya, memang ada seminar tetapi ia berlangsung di Dewan Seminar di Bangunan Baru DBP di bahagian belakang bangunan itu.

Saya melangkah keluar dan sempat bertanya, kenapa sukar sekali mencari DBP, tiada penunjuk arah membantu dan takkanlah tak ada seorang pun kakitangan DBP terfikir untuk menggesa pihak-pihak berkenaan menyelesaikan masalah itu. Dia sekadar ketawa kecil dan tiada jawapan konkrit mengiringi langkah keluar kami...nampak sungguh institusi bahasa dan sastera seperti DBP ini kurang benar dihargai!

Saya ke bahagian belakang balai itu dan ah...pintu yang berdekatan berkunci pula. Saya kena patah balik ke belakang dan akhirnya menapak lagi. Itulah, kami tiba betul-betul pada minit atau tepatnya saat-saat terakhir forum. Baru sempat mengklik beberapa foto digital maka pengerusi pun memaklumkan forum tamat.

Jiwa Rasa dikelilingi peminat dan pemberita. Saya diberitahu, ada dari Harian Metro, Utusan dan Bernama. Hebat! Kata saya, mungkin program ini anjuran DBP dan ia adalah badan berautoriti yang meyakinkan media untuk datang. Mereka bertanya banyak benda dan menulis pun banyak benda. Tapi saya yakin, mungkin 1/3 sahaja yang bakal tersiar. Maklumlah, aktiviti kesusasteraan dan kepembacaan seperti ini apalah sangat nilai komersialnya jika dibandingkan dengan program hiburan hu-hah-hu-hah-huuu yang melambak di merata tempat. Tapi saya berharap, mereka dapat menyiarkan dengan tepat dan lebih panjang temubual itu, justeru Jiwa Rasa turut memberikan komentar yang membina mengenai kewujudan blog dewasa ini dan pastinya kesan fenomena blog dan blogger terhadap keboleh-percayaan rakyat terhadap media massa utama.

Antara yang dapat saya catatkan, kata Jiwa Rasa... ”Semua pihak wajar menyedari peranan blog dan blogger hari ini. Mereka mempunyai ruang lingkup luas dan mampu diakses oleh ribuan orang. Bayangkan, blog saya yang hanya membicarakan soal buku pun diakes lebih 200 orang sehari, bagaimana pula blog yang membicarakan isu politik? Malaysia Today misalnya contoh blog yang menarik ramai orang. Harakahdaily dan Malaysiakini lagilah mendapat kunjungan ribuan orang..sehingga jem dibuatnya.” Kenyataan ini diakui oleh pemberita berkenaan, mereka terangguk-angguk setuju.

“Seperkara lagi, media massa arus perdana wajar membuat perubahan. Misalnya lebih telus. Sediakan ruang berbentuk interaktif. Pembaca boleh memberikan pandangan terhadap paparan berita. Ia berbentuk dua hala dan saya rasa, kewujudan ruang seperti ini akan memberikan cabaran kepada blog dalam meneruskan penguasaannya kepada rakyat, khususnya golongan muda.”

Sebelum pulang kami menyinggahi Kedai Buku DBP, sempat membeli beberapa naskhah buku dan majalah dengan harga murah. Kata abang ipar saya, mari kita cari tempat makan yang best sikit...wang saguhati panelis tadi pun banyak juga... he...he...tau takpa! Tak sesia memutar melilau mencari DBP pagi tadi.

Jumaat, Mac 21, 2008

Hadis Pilihan Saya

“Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam al-Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan, maka (di saat ini) Allah akan menjadikan peperangan di kalangan mereka sendiri.”

Hadith Riwayat Ibnu Majah


Muslim yang mukmin lagi muttaqin wajib meletakkan diri mereka di bawah peraturan Allah SWT. Keengganan berbuat demikian akan mengundang murka Allah dan menyebabkan mereka jauh dari rahmat Allah

Kita hendaklah bermuhasabah selalu, kenapakah kita sering berburuk sangka dan saling menyalahkan, mungkinkah kerana kita semasa diberikan peluang memegang tampuk kekuasaan di muka bumi, enggan melaksanakan hukum-hakam yang telah Allah SWT nukilkan di dalam Al-Quran?

Hadis di atas adalah peringatan kepada setiap manusia yang menghirup udara milik Allah di muka bumi ini, bahawa kekuasaan adalah kepunyaan Allah dan Allah akan mengambil balik kekuasaan itu dan mampu memporak-perandakan kita seandainya kita bersikap engkar kepada Allah SWT.
Inilah senario dalaman Umno kini, mereka saling menunding jari dan bercakaran sesama sendiri selepas kekalahan. Insaflah wahai Umno, kembalilah kepada manhaj Islam sebenar...bukannya manhaj Islam hadari ciptaan Pak Lah yang salah itu. Kekalahan anda di dalam p/ raya adalah satu peringatan daripada Allah sebenarnya. Sesungguhnya hanya mereka yang mengambil ingat itulah yang mendapat pertunjuk, wallahua'lam.

Rabu, Mac 19, 2008

Isu-isu pasca pilihan raya…

"Guan Eng: Detained without trial under the Internal Security Act (ISA) on 27.10.1987 and released 18 months later on 19.04.1989. First to be detained under Operation Lalang and last to be released."

1. Kemenangan BA mencetuskan fenomena. Lantikan KM Pulau Pinang, Lim Guan Eng menarik disorot, apatah lagi apabila kenyataan beliau bahawa rumah pusaka keluarganya adalah kediaman paling selesa berbanding rumah agam Ketua Menteri! Ini bagi saya adalah pukulan kencang yang merudumkan keegoaan para penguasa negeri BN sebelum ini yang begitu cepat naik tocangnya…bayangkan (sekadar perbandingan), Pak Lah sendiri menghabiskan jutaan RM hanya untuk membuat renovation kediaman rasmi PM di Putrajaya, Khir Toyo pula membina mahligai Exco nilainya RM4 juta setiap satu… Ya, saya yakin, gaya kepimpinan sederhana yang diacukan terlebih dahulu oleh MB Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz ini jika ditauladani oleh semua MB / KM negeri yang dikuasai BA, akan melunyaikan impian pembangkang (BN lah pembangkang sekarang di lima negeri) untuk kembali ke tampuk pemerintahan.

2. Pemilihan jawatan no. 1 di Perak dan Selangor digembar-gemburkan media pro BN kononnya bermasalah. Hakikatnya, Perlis yang kecil bagai sekenit itu lagi bergolak dan Terengganu yang megah dengan Masjid Kristal itu lagi menggelegak. Di negeri Selangor dan Perak, istana tidak campur tangan melainkan memberikan pandangan, ia bertujuan mengukuhkan kesatuan BA sendiri. Malangnya di Perlis, raja nya terang-terangan menafikan lantikan Pak Lah, tandatagan Pak Lah selaku Pengerusi BN tak laku dan akhirnya Shahidan jadi merapu…sekejap kata dia jadi pembangkang sekejap kata Mat Isa Sabu itulah pembangkang…last-last kata tak tahu menahu di jemput atau tidak ke majlis angkat sumpah MB baru…logic ke? Terengganu dan Idris Jusoh lagi haru…ambiklah nak sangat kerajaan negeri, tapi akhirnya MB pun tidak ketahuan. Jadi dalam kes ini, negeri mana lebih pening dan berkecamuk…BA atau BN?

3. Selangor dengan MB baru Tan Sri Khalid nampak hebat; tidak kurang juga Perak dengan MB Ir Nizar yang fasih berbahasa Inggeris, Cina dan India! Kedua-dua tokoh ini hebat, sama ada dari latar pendidikan mahu pun pengalaman kerjaya. Saya tak payah jelaskan di sini, semua boleh baca biodata mereka. Tapi…bayangkan, selama BN memegang teraju negara, mereka bayangkan di dalam parti lawan langsung tak ada calon berkredibeliti. Bayangkan jika BA tak menang, pasti rakyat tak tahu bahawa dalam PAS Perak ada calon sehebat Ir Nizar!

4. MB Kedah nampak ‘cool’ betul…ust Azizan Abd Razak, seorang aktivis otai dalam PAS dan bekas pensyarah UKM. Kenyataan paling menarik saya rasa, “kita tak akan tutup mana-mana Tabika Kemas di negeri ini, bahkan kita akan perkemaskan lagi!” Faham apakah maksudnya? Yang saya faham, budak-budak kecil yang mengaji di tabika Kemas itulah asset PAS dan mereka perlu dilentur supaya memahami Islam menurut acuan sebenar, bukan acuan palsu lagi hadari yang Pak Lah bawa. Jadi, buat apa nak tutup…malangnya kata MB Kedah, banyak fail sulit hilang semasa beliau masuk ke pejabat MB. Tapi, dalam keadaan itu pun, beliau boleh tunjukkan semangat kesukanan dengan menawarkan tiket percuma bagi menyaksikan perlawanan bola sepak antara Kedah dan Perak sambil mengaku… “Saya memang pemain bola sepak…”

5. Kelantan paling tenang…MB nya memberikan impak paling mendalam khususnya kepada orang-orang bukan Islam. Buktinya, apabila Lim Kit Siang cuba memberikan pendapat peribadi mempertikaikan MB Perak pilihan istana, ramai pengunjung blog nya marah-marah…antara kenyataan mereka, Lim patut lebih sedar siapa idola dalam PAS, ya….Nik Aziz…yang bagi mereka manusia hebat dan hanya wujud mungkin 1 dalam seribu! Kelantan sudah tidak menjadi focus lagi, kerana terbukti selama 18 tahun PAS memerintah…satu kes rasuah pun tiada…jangan bandinglah dengan negeri lain, Melaka atau Selangor…semasa Khir Toyo jadi MB…bayangkan, sehari sebelum mengundi pun boleh sain perjanjian berpuluh juta ringgit!

Sekadar ini dahulu…banyak lagi bakal menyusul, insya-Allah!

P/s: Pengumuman kabinet baru Pak Lah semalam (18 Mac 2008) menimbulkan banyak spekulasi masa hadapan BN. Paling ketara, muka-muka yang dinaikkan adalah penyokong Pak Lah, termasuklah Muhammad Taib yang bagi setengah orang sudah ‘expired’ dan tercalar maruah dengan kes tertangkap di Lapangan Terbang Australia dengan beg penuh duit berjuta! Mahathir buang tapi Pak Lah kutip…aduhai Pak Lah…

Selasa, Mac 18, 2008

Dari Beirut Ke Jerusalem


Tajuk: Dari Beirut ke Jerusalem
Penulis: Dr Ang Swee Chai
Penerbit: Buku Harakah
Tebal:
Harga:
Tamat baca:
Antara buku yang sudah lama menggamit saya untuk membacanya ialah Road To Mecca oleh Muhammad Asad (Yahudi yang memeluk Islam 1926) dan From Beirut To Jerusalem oleh Dr Ang Swee Chai (seorang penganut Kristian). Kedua-dua buku ini diberikan kredit oleh ramai orang, ia adalah catatan sebenar pengalaman manusia yang menyaksikan dunia dari perspektif mereka yang tersendiri.

Sempena 25 tahun Sambutan Tragedi Sabra dan Shatilla (Februari 1982 – Februari 2007), Buku Harakah telah menerbitkan buku Dr Ang dalam edisi Bahasa Melayu siap dengan kata pengantar khas dari Dr Ang. Saya jadi bertambah semangat untuk membelinya.

Benar, tiada bahasa yang mampu mengungkapkan kekejaman yang dilakukan oleh Zionis – Yahudi di sebuah negara bernama Israel ini. Apa yang mampu saya ungkapkan dalam bahasa termudah ialah, bayangkan anda dan keluarga anda hidup rukun aman di rumah anda. Tiba-tiba datang sekumpulan manusia yang ganas dan kejam memecah masuk ke dalam rumah dan mula merosakkan segala perabot tanpa mengendahkan anda sebagai tuan rumah. Anda bukan tidak berusaha melawan, tetapi mereka yang mengganas itu memiliki senjata canggih seperti mesingan, mortar dan roket; sedang anda hanya mampu mencapai batang penyapu yang akhirnya patah dua tidak berdaya!

Kemuncak dari usaha penjarahan rumah anda, setelah segala isi rumah anda digeledah, dirosakkan bahkan dirampas sesuka hati, anda akhirnya dihalau begitu sahaja – sehelai sepinggang tanpa sesen pun pampasan dan tanpa segaris rasa kasihan. Maka anda pun bergelandanglah bersama keluarga yang sudah porak-peranda mencari penempatan lain, penempatan baru demi hidup baru. Akhirnya di situ, di kampung baru itu kehidupan anda kembali aman. Kejiranan mulai tumbuh dan anda dapat mengubat luka hati anda di situ.

Namun, tiba-tiba penjenayah yang dilindungi oleh sang penguasa besar datang lagi mengganggu anda. Sekali lagi mereka merempuh masuk, memecahkan alatan rumah dan mengambil apa-apa sahaja, termasuklah anak gadis dan anak lelaki anda! Anda cuba melawan, namun kekurangan anda ialah perkara sama – peralatan yang daif dan naïf, mungkin hanya sebilah pisau pemotong daging sedang mereka membawa jet pejuang dan kereta kebal! Anda berputih mata lagi sekali dan lebih parah, anda dihina semahu-mahunya!

Akirnya anda pun berpakat mewujudkan kumpulan yang akan mempertahankan hak dan maruah anda. Anak-anak lelaki dan golongan dewasa yang berbaki pun mengangkat senjata demi membela maruah diri dan agama! Anda ingatkan, dengan adanya kumpulan itu maka akan gerunlah si penjahat; rupa-rupanya mereka lagi dahsyat. Mereka gunakan segala keupayaan untuk terus menekan anda dan komuniti anda. Bekalan makanan, ubatan dan apa sahaja mereka sekat semahunya. Rupa-rupanya mereka begitu berani kerana di belakang mereka ada Bos Besar bernama Uncle Sam yang berhak mencaturkan apa sahaja!

Akhirnya, dengan muslihat yang licik mereka berjaya mengajak anda berdamai. Kononnya mereka akan berhenti menyerang dan mengganggu anda dengan syarat, suami dan anak-anak lelaki anda yang dahulunya berjuang mempertahankan anda semua, kena keluar dari rumah dan kampung halaman dan senjata-senjata hendaklah diserahkan kepada pihak kerajaan. Anda terpengaruh dengan umpanan itu demi kedamaian, malangnya anda ditipu hidup-hidup.

Demikianlah secebis sorotan yang dapat saya paparkan. Hakikatnya, naratif yang sebenar akan mengheret anda jauh ke pelosok kem dan menyaksikan sendiri kerakusan, kekejaman dan kezaliman manusia yang hatinya sudah berkematu.

Saya akan sering membaca buku ini pada waktu malam sebelum mata terlelap. Setiap kali itu jugalah saya sentiasa mendambakan, bilakah agaknya Allah SWT akan menurunkan seorang penyelamat ummah. Sudah tidak tahan lagi rasanya mendengar penyiksaan demi penyiksaan, sedang umat Islam sendiri serata dunia asyik bergocohan tanpa sudah.

“Ya Allah…bantulah saudara seagama kami di Palestin, menangkanlah mereka ke atas Yahudi dan jadikanlah Islam kembali berdaulat di bumi syuhada itu…amin.”

Ahad, Mac 16, 2008

Umno kena belajar memahami demokrasi


Beberapa orang rakan dari Umno menghantar SMS kepada saya. Bunyinya seperti orang yang tidak puas hati. Mereka mengacom pula, kononnya kemenangan di dalam eleksi bebaru ini adalah mainan orang Cina. Kemenangan DAP di Pulau Pinang dijadikan umpan, bahawa sahlah kini Cina sudah berkuasa. Maka, nasib orang-orang Melayu akan menjadi tidak keharuan lagi. Salah satu SMS yang saya dapat berbunyi kira-kira: Nasib orang Melayu sudah melarat, terpaksa melutut kepada DAP…


Saya membalas mudah: Semasa Umno berkuasa, kenapa Melayu tidak dibela habis-habisan. Sebaliknya sesama Melayu pun Umno belasah juga. Buktinya, Kelantan. Di banyak tempat lain, Umno jadi gunting dalam lipatan. Sepatutnya mereka jaga agama; tapi merekalah perosaknya. Berapa banyak surau dikunci rapat dan hak ahli kariyah dinafikan, buktinya Surau Sek 8 di Shah Alam!


Ramai kenalan suka mem'forward'kan SMS tentang usaha pihak-pihak tertentu untuk membuat perkumpulan dan bantahan. Maka pada 14 Mac, di Penang berkumpullah kononnya 3 ribu jiwa menentang penghapusan DEB oleh kerajaan negeri yang baru. Di Selangor pula, dilaporkan beberapa puluh orang bersidai dengan sepanduk masing-masing yang kononnya mahukan Melayu kembali bersatu di hadapan SUK dan Masjid Negeri. Di Ipoh pula dilaporkan akan dikumpulkan segala orang Melayu di Padang Polo pada Ahad 16 Mac 2008.


Saya sebenarnya sudah malas melayan segala keletah bodoh dan jahil seperti ini. Umno atau BN wajar menerima kekalahan mereka dengan lapang dada. Bukankah Pak Lah sudah memberikan cabaran bahawa jika tidak berpuas hati dengan kerajaan BN, maka luahkannya di atas kertas undi? Nah! Rakyat sudah pun membuktikannya, maka redalah.


Saya sedar, ada juga ahli-ahli Umno yang masih rasional. Seorang kawan saya, seorang pimpinan Umno masih bersikap professional. Dia sendiri jelak dengan kelaku sebahagian pimpinan Umno yang masih tidak mahu mengaku kalah. Cukuplah katanya, ini Negara demokrasi.


Saya sendiri meletakkan piawai yang mudah kepada sesiapa sahaja yang menang. Jika mereka amanah dengan kuasa, telus dan berkesan dalam tindakannya, maka merekalah orang yang berhak diberikan kuasa. BN sudah terbukti gagal, senarai kegagalannya panjang berjela…maka izinkanlah parti lain pula menunjukkan kebolehan. Andai parti baru ini pun 2 x 5 juga, entahlah…namun teringat saya kata seorang kawan di pejabat, Umno ni macam orang lena…sesekali kena cubitlah biar dia terjaga!!!

Isnin, Mac 10, 2008

Analisa masa hadapan BA pasca kemenangan


Terus-terang, saya jadi kalut bagi menulis entri ini. Tidak tahu di mana harus dimulai. Ide datang silih bertandang. Jujurnya, bermula dari malam penentuan sehinggalah ke saat ini, hati saya masih bergelojak…terhimpun pelbagai rasa - teruja, terharu, syukur, terima kasih dan sebagainya lagi. Kemajmukan rasa ini hanya atas satu alasan: Kemenangan PAS, PKR dan DAP yang begitu besar dan di luar jangkaan di dalam PRU 12 8 Mac, Sabtu lalu.

Saya tidak menjadi tenaga kerja utama kemenangan BA, hatta dalam konteks kedaerahan. Tekanan pemerintahan negeri BN mengekang gerak kerja saya dan SB pernah merisik siapa saya! Namun, saya adalah penggerak BA dalam cara dan pendekatan tersendiri.

Dalam serba keterbatasan saya masih menyalurkan kudrat dan sokongan sekadar terdaya. Wang ringgit, doa dan bantuan fizikal masih saya hulurkan. Setidak-tidaknya, saya manfaatkan kemahiran menulis bagi memberi kredit kepada BA. Saya beranggapan, hatta sistem SMS sendiri sudah memadai jika dijadikan medan paling efektif menyebarkan info. Mungkin kesannya hanya 0.0001 peratus, tapi ia lebih baik dari tidak berbuat apa langsung!

Izinkan saya membuat sedikit analisa pasca kemenangan BA:

Perkongsian kuasa

Satu keunikan PAS, PKR dan DAP ialah, tiga parti ini mempunyai persamaan dari aspek keahlian. PAS walaupun sebuah parti yang bertunjangkan Islam; namun di dalamnya mempunyai kemajmukan bangsa. Syarat ahli PAS ialah Islam bukannya bangsa atau kaum. Jadi orang Cina, India hatta Melayu sekali pun, andai ingin menjadi ahli PAS perlulah Islam. Buktinya Dato’ Hj. Anuar Tan Abdullah adalah seorang Cina yang pernah menjadi exco di negeri Kelantan.

Manakala, PKR memang parti campuran yang jelas. Penglibatan Tian Chua misalnya dan Gobala Krishnan adalah lambang parti itu bukan khas untuk sesuatu etnik. DAP sendiri hakikatnya adalah parti pelbagai kaum dan bukan khusus untuk orang Cina. Karpal Singh bukan Cina walaupun DAP memang dominan kaum Cina.

Maka bertitik tolak dari situ, sebenarnya PAS, PKR dan DAP adalah parti yang mantap dari aspek persefahaman antara kaum. Malah jauh lebih mantap berbanding BN yang parti-parti di dalamya amat bersifat perkauman. Umno untuk orang Melayu, MCA untuk orang Cina dan MIC untuk orang India.

Oleh itu, logiknya perkongsian kuasa di antara PAS, PKR dan DAP adalah lebih logik berlaku kerana memasing parti memang bersifat Malaysian. Ia lebih memudahkan segala aspek, misalnya menentukan pemilihan kepimpinan kerana setiap parti memang mendokong prinsip Malaysian dan bukan rigid dengan satu-satu kaum seperti amalan BN selama ini.

Oleh itu, bagi setiap negeri seperti Kedah misalnya, lantikan calon DAP yang menang sebagai Exco kerajaan negeri amat memberi kesan kepada perkongsian kuasa ini. Begitu juga di Pulau Pinang, tindakan DAP melantik calon tunggal PAS menerajui sesuatu exco pasti memberikan kesan yang amat besar.

Blok politik

Tanpa disedari, kemenangan Kelantan, Perak, Kedah, Penang dan Selangor telah membentuk satu blok kuasa politik di Malaysia. Ia tidak lagi bersifat kedaerahan atau kerantauan. Jika dahulu Kelantan dan Terengganu dimenangi PAS, maka ia dianggap lebih kepada kekuatan PAS di Pantai Timur. Begitu juga jika DAP memenangi Pulau Pinang pada 1969, ia adalah sekadar satu negeri kecil. Namun, dengan kemenangan seperti ini, ia telah menjangkau sifat-sifat sedemikian bahkan membentuk blok kekuasaan yang lebih besar. Bukan Ketimuran kerana ada Penang dan bukan keutaaran kerana ada Kelantan.

Di samping itu, kelima-lima negeri di atas hakikatnya bersambungan di antara satu sama lain. Kelantan bersambung dengan Perak, Perak bersambung dengan Kedah, Selangor dan Pulau Pinang. Maknanya, Kemenangan ini membolehkan parti-parti yang patut dinamakan dengan satu nama ‘khusus’ merangka satu kerjasama yang erat dan lebih berkesan.

Sebagai contoh, mereka mampu membangunkan zon perindustrian berangkai, jalinan lebuh raya yang canggih dan zon pendidikan bersepadu yang serba maju. Inilah kelebihan dengan kemenangan dalam bentuk zon seperti ini.

Nama pakatan dan lambang

Satu nama khusus dan satu lambang bagi pakatan tiga parti (setakat ini) perlu dicari segera. Barisan Alternatif sudah popular namun ia masih belum menzahirkan kekukuhan penyatuan barisan opposisi. DAP misalnya seolah-olah tidak termasuk ke dalam BA ini bahkan mempunyai pakatan lain dengan PKR membentuk Barisan Rakyat.

Satu nama mencerminkan satu wawasan, satu perjuangan, satu tekad dan satu komitmen. Maka, satu nama perlu segera diwujudkan dan semua parti perlu bersatu di atas nama itu. Daftarkan nama itu dan jadikan ia satu landasan bagi memastikan BN sukar untuk memecah belahkan kesatuan yang ada.

Tidak dapat dinafikan, antara lain kekuatan Umno, MCA dan MIC ialah kerana mereka bernaung di bawah nama BN. Lambang BN menjadi dominan sehingga menyukarkan pihak BA misalnya memecah dominasi BN di minda rakyat. Bahkan lambang dacing sudah begitu melekat dan begitu stabil di pemikiran rakyat. Maka, BA misalnya perlu segera mewujudkan kesatuan ini dan mencipta satu lambang yang boleh menghakis lambang dacing dari pemikiran rakyat sebagai lambang yang berkuasa.

Keberkekalan kuasa

Aspek ini mendapat sorotan ramai pihak. Bukan sekadar BN mempertikaikan kemampuan parti-parti lawan mereka ini mampu mengekalkan kuasa; bahkan ada di kalangan penyokong dan pendokong parti sendiri merasa bimbang.

Ia berasas, memandangkan selama ini memasing ahli dibesarkan dalam blok politik secara sendiri-sendiri. Tiada satu muktamar BA misalnya atau mesyuarat bersama. Hal ini tidak berlaku di dalam BN, kerana mereka sudah lama mempunyai konsep perkongsian kuasa bahkan setiap negeri mempunyai Pengerusi BN sendiri.

Maka, PAS, PKR dan DAP harus serius menentukan kelangsungan dan keberkekalan kuasa ini. Tidak mustahil, satu jawatan Pengerusi BA wajar ditubuhkan di setiap negeri dan ini mampu menyaingi wibawa kesatuan dan kewujudan BN itu sendiri.

Tapak perkembangan kuasa

Pakatan BA hendaklah menjadikan blok kemenangan ini sebagai tapak melancarkan perkembangan kuasa BA di Malaysia. Kejayaan atau kegagalan di mana-mana negeri ini hendaklah dipikul secara bersama. Negeri yang maju dan kaya seperti Selangor misalnya, hendaklah memastikan jirannya seperti Perak tidak ketinggalan. Kelantan yang sudah lama mentadbir kerajaan pula, wajar sering memberikan nasihat dalam pelbagai aspek, khususnya di Kedah.

Dengan wujudnya budaya saling membantu dan menasihat ini, maka ia akan menjadikan blok kekuasaan ini tampak kukuh dan bersatu. Ia membolehkan kemajuan berimbang dipacu dan akhirnya, kejayaan ini akan menimbulkan rasa cemburu kepada rakyat di negeri-negeri yang masih berada di bawah naungan BN.

Insya-Allah, mereka sendiri akan menolak BN untuk berada di bawah BA, maka makin meluaslah kekuasaan BA di Malaysia.

Negeri rujukan

Tidak dapat dinafikan, Kelantan adalah negeri paling aula dijadikan rujukan bagi negeri-negeri lain. Sepaling tidak dalam aspek menghadapi tekanan berpanjangan dari kerajaan pusat. Jika tidak, masakan Kelantan terus bertahan hingga ke saat ini, walau pun pada satu tahap kerusi di DUN hampir-hampir dikuasai oleh BN.

Kedah misalnya, wajar mempelajari banyak benda dari Kelantan. Jika MB Kelantan mampu menjadi ikon dan seterusnya menjadi tonggak kekuatan BA di Kelantan, maka perkara sama wajar dicipta di Kedah.

Di samping itu, perkara-perkara positif yang diwujudkan di Kelantan wajar amat ditauladani oleh kerajaan negeri atau negeri-negeri lain. Perkara ini boleh dilihat dalam buku 100 fakta negeri Kelantan tulisan Dinsman. Bahkan Kedah misalnya, jika boleh wujudkan motto dan polisi yang hampir sama dengan Kelantan, kerana aspek demografi Kedah – Kelantan hampir sama.

DAP misalnya mempunyai kelebihan tersendiri kerana didokong oleh ramai orang Cina yang terbukti hebat berniaga. Maka kembangkanlah kemahiran itu kepada Kedah dan Perak. Apabila perkara ini berlaku, maka ia menjadi satu pemangkin berkesan memajukan negeri-negeri di bawah kuasa BA untuk terus kekal berkuasa.

Sensitiviti parti

Setiap parti mempunyai ideologi berbeza. PAS dengan Islam, PKR dengan keadilan dan DAP dengan Malaysian Malaysia. Namun, semuanya sama iaitu mahu mewujudkan pemerintahan yang Adil, Amanah dan Berkesan.

Maka, semua pihak kena belajar mengurangkan suara menyinggung sensitiviti mana-mana pihak. DAP misalnya kena belajar memahami hasrat PAS dengan komitmen perundangan Islamnya, manakala PAS kena berlembut dalam isu hukum hududnya.

Semua ini nampak menjerakan, namun kebaikan jangka panjang adalah lebih aula. Bukankah keutamaan sekarang ialah menafikan mitos hanya BN mampu mentadbir. Ia sudah dinafikan dan tugas BA seterusnya memastikan kesepakatan berkekalan dalam iklim yang harmoni dan mendamaikan.

Nah! Demikianlah sedikit analisa saya terhadap BA pasca kemangan dalam PRU 12. Seperkara lagi, jangan ralit….yakni jangan terkesima dan terleka dengan kemenangan. Kerja mesti segera dibuat dan rakyat akan menyatakan: “Ya! Kita tidak salah membuat pilihan kali ini, BA memang boleh diyakini!”

Wallahua’lam.
p/s: Kredit - gambar di atas entri ini dipetik dari halaman sesawang DAP.

Selasa, Mac 04, 2008

Pilihanraya itu satu peperangan...?

Kekadang kondisi pilihanraya yang tempang dan berat sebelah ini memang mencabut mood saya. Apatahlagi saya harus membelek akhbar harian, itu kerja asasi saya. Nak tak nak, saya akan terpandang juga muka-muka yang…agh…terbaca juga tajuk-tajuk yang..emph…kita semua sudah maklumi!

Saya termenung panjang mengenangkan nasib parti-parti pembangkang di Malaysia. Mampukah parti-parti yang menggelarkan diri mereka BA ini merubah lanskap politik yang serba hitam dan kusam ini. Saya ragui sesuatu, bukan wibawa parti atau calon-calon yang mereka tampilkan, bukan juga meragui ketelusan manifesto yang dilagang…tapi saya ragui dengan system.

Ya…system demokrasi di Malaysia amat naïf! Negara dunia ketiga lain seperti Pakistan, Thailand bahkan Indonesia bagi saya lebih telus dan maju dalam hal ini. Dengan kondisi sedemikianlah, maka mereka mampu membuat perubahan. Bukan kerana wibawa tokoh dan manifesto alternatif; tetapi kerana rakyat sendiri sudah jemu, jelak dan jelek dengan lagak parti pemerintah. Musyarraf misalnya, Thaksin bahkan Soeharto…semuanya jatuh tergeletak dengan kuasa rakyat. Malaysia pula…

Saya jadi letih, lesu dan kekadang perengus serta pongah dengan situasi yang serba menjera. Saya mengharapkan magis berlaku, namun ia sesia. Saya kira, para pimpinan BA di atas sana pasti lebih maklum, bahawa majoriti mood rakyat kini mahukan perubahan. Namun perubahan itu sukar menjadi kenyataan jika diselubungi penipuan. Inilah masalahnya: Penipuan!

Saya membaca laporan dari Harakah, ah…banyaknya kes yang menimbulkan waham. Tentang kekacauan hari penamaan calon, memudah sahaja SPR perkakas BN memberi ruang kepada calon BN, walaupun borang lupa bertanda tangan, walaupun setem duti tidak ditenyehkan! Pelbagai alasan diberi, senang sahaja kerana mereka pihak berkuasa. Jika tidak, rugilah Rashid dilanjutkan kontrak setahun lagi.

Apa BA buat? Mat Sabu dan Dr Lo’lo’ mencari jalan. Tapi Rashid angkuh dan sombong. Saya tak dapat bayangkan jika saya ada kuasa magik…ada kuasa sakti…habis engkau Rashid. Tapi itu dongengan semata.

Banyak BA berikhtiar; tapi bagi saya BA perlu lebih dari itu. Sepatutnya semasa hari penamaan calon lagi BA bertegas akan melakukan sesuatu yang di luar jangkaan…andai SPR berkeras kepala macam batu juga, maka seluruh rakyat akan berarak di jalan raya, berdemo lagi dan semua media antarabangsa akan dipanggil mendedahkan kebobrokan SPR!

Saya ragui bahkan gusar teramat, bahawa kemenangan calon-calon BN dalam pilihanraya nanti bukan atas sokongan rakyat local; tetapi sokongan pengundi luar. Bayangkan, betapa pijar berasapnya hati para pengundi BN di Rhu Rendang jika yang memenangkan Haji Hadi ialah para pengundi dari Perak dan Pulau Pinang! Itulah fenomenanya…lebih parah jika pengundi itu bukan rakyat Malaysia; tetapi diimport dari negara hantu entah mana!

Ah…saya sudah letih dengan pilihanraya ini. Saya sendiri tidak tahu sampai bila saya mampu melihat kerakusan BN menunggang jentera-jentera kerajaan dan bukan kerajaan seperti media massa memperbodohkan rakyat. Saya hanya mampu berusaha. Selebihnya saya berserah kepada Allah yang Maha Kuasa. Namun BA kena jadi pintar, jangan terus sedia diputar oleh BN. Ada caranya…bukankah pilihanraya ini satu peperangan, dan nabi sendiri pernah menyatakan bahawa peperangan itu suatu tipu daya (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Wallahua’lam
p/s: "Gambar adalah cover buku bertajuk: Cinta Haji Hadi Karya: Haji Mohamed Jusoh Harga: RM12.00. Buku ini mengisahkan kehidupan Haji Hadi sebagai anak kampung yang cintakan ilmu, keluarga, sahabat handai, agama dan Negaranya yang tercinta sehingga berjaya menjadi ahli politik pembangkang yang disegani. Ia juga memaparkan hubungan mesra antara dua orang isterinya yang sanggup berkongsi kasih melayani Haji Hadi baik semasa senang atau susah. Terbitan WJ Publishing Consultant."