DBP adalah badan unggul yang diwujudkan demi lestarinya bahasa dan sastera Melayu. Saya amat menghormati institusi ini dek peranannya yang begitu besar. Sejak sekolah rendah saya lebih dahulu kenal logo DBP dan sehingga sudah dewasa kini pun saya suka dengan logo itu, ada semacam unsur sentimental yang mengaitkan logo DBP dengan wibawanya sebagai payung bahasa dan sastera bangsa Melayu.
Semasa musim persekolahan menengah, saya menjadikan majalah-majalah keluaran DBP sebagai teman rapat. Dewan Siswa (DS), Dewan Masyarakat (DM) termasuklah Dewan Budaya, Dewan Bahasa dan Dewan Sastera...kemudian terbit pula Dewan Ekonomi dan Dewan Kosmik. Dewan Pelajar ada juga sekali sekala saya beli untuk adik-adik yang baru bertatih belajar di sekolah rendah.
Kala itu, sentuhan dan kupasan oleh DS dan DM amat bernas sekali. Hingga kini saya masih ingat betapa lunaknya perbahasan oleh Hassan Ahmad (Kaca di jendela), Shamsul Amri Baharuddin (akhirnya jadi cikgu saya di UKM), Zaini Ujang (sekarang sudah menjabat kedekanan di UTM) dan ramai lagi.
Saya telusuri idea yang dilontar dan rasa diri membugar dengan kematangan. Saya tuangkan segala input yang saya cicip dari pembacaan yang tekun itu ke dalam karangan-karangan saya di sekolah, dan ramai guru bahasa saya amat berpuas hati. “Ada isi”, katanya. Namun, pernah juga saya berdebat dengan seorang cikgu bahasa yang saya yakini ‘kurang membaca’ apabila beliau menyanggah penggunaan bahasa saya. Kata saya (ingat-ingat lupa) kala itu “Cikgu patut baca Dewan Masyarakat atau Dewan Bahasa ataupun buka Kamus Dewan.” Tapi saya tak tahu adakah dia sedari kesilapannya sehingga kini, kerana ketika itu sehinggalah saya tamat sekolah tiada sekali pun kalimah “awak betul” dan “minta maaf” terpacul dari mulutnya…manakan saya tidak bengang, karangan saya didakwat-merahkan olehnya!
Kini saya sudah hilang sedikit minat untuk meladeni majalah-majalah ini. Entahlah mengapa, mungkinkah kerana sentuhannya sudah hilang bisa? Namun semalam saya singgah sebentar di sebuah stesen minyak, seusai solat maghrib dan mengelewar sebentar di dalam premis itu…oh ada rak buku dan majalah. Saya lihat ada majalah-majalah keluaran DBP dan saya belek-belek…oh rupanya, ruangan Hassan Ahmad (Kaca di jendela masih ada)…terus saya membelinya.
Saya hanya berharap, bak kata mantan Ketua Pengarah DBP itu dalam tulisannya di Berita Harian (Surat, Rabu, 28 Nov 2007) - “Saya ingin mengingatkan pihak pimpinan DBP supaya mengendalikan badan yang penting ini dengan lebih CEKAP berdasarkan pertimbangan dan WIBAWA ilmu dan lebih BERANI dan tidak takut ditegur dan dimarah oleh pemimpin POLITIK mereka.”
DBP, jadilah anda pemberani yang menakutkan mereka yang bebal tentang bahasa, merosakkan bahasa dan meminggirkan bahasa dan sastera kita!
2 ulasan:
Saudara,
Saya berhajat sangat nak baca Debu Merah(Shanon Ahmad)dan Salina(A.Samad Said) dan setiap kali menghubungi DBP jawapan yang akan di beri tetap sama seperti 2 tahun lepas "stok habis"...
Boleh bantu saya dapatkan kedua-dua buku ini?
Sdr Shahrul,
maaf lambat reply soalan sdr, memang sukar nak dapat melainkan sdr rajin mencari. Cuma Salina boleh cuba di laman Ujana Ilmu...mungkin di sana ada, harapnya begitulah, tq.
Catat Ulasan