Khamis, Februari 14, 2008

Dialog menjelang PRU


Seorang teman berdebat dengan saya. Katanya, dia mengundi mengikut individu yang bertanding, bukan berdasarkan parti. Katanya lagi, jika individu itu mampu membawa perubahan kepada daerah dan kampungnya, dialah yang patut diberikan undi. Apa guna mengundi jika parti yang diundi belum tentu menang menguasai parlimen atau kerajaan negeri, silap-silap hari bulan hanya menang satu atau dua kerusi sahaja.

Saya pula berkeras, mengundi perlu melihat parti. Ini kerana, individu adalah wakil parti. Apabila menang, ia membawa suara partinya ke dewan sama ada Dewan Undangan Negeri mahu pun Dewan Rakyat. Neraca timbangan saya senang sahaja, jika parti yang menghantar calon itu berjanji untuk menegakkan Islam secara syumul, maka saya undi dia atas janji-janji itulah. Tetapi, jika dia menang atau partinya menang majority tetapi mungkir janji, maka itu urusan dia dengan Tuhan.

Puas kami berdebat. Saya dengan pandangan saya dan dia berkeras dengan hujahnya. Akhirnya saya nyatakan, jari dan tangan yang memangkah undi akan ditanya di akhirat. Bukankah kita rajin membaca surah Yaasin, bukankah di dalam surah itu ada Allah nyatakan, nanti di hari akhirat akan ditutup (digam) mulut kita dan Allah akan membiarkan anggota badan kita pula berbicara. Masa itulah, kaki tangan akan bersuara…

“Ya Allah, tangan inilah dahulu yang memangkah…dengan sebab satu pangkahan itu maka si fulan itu menang…dengan menangnya si fulan maka partinya dapat kuasa…dengan kuasa itu mereka gubal perlembagaan dan undang-undang…dengan perlembagaan dan undang-undang itulah mereka nafikan syariat dan undang-undang Engkau Ya Allah…”

Lalu kata saya… “Aku tidak mahu nanti tangan ini menjadi saksi di akhirat, aku pangkah orang yang tidak mahu melaksanakan syariat Allah…”

Itulah jawapan saya dalam dialog pendek menjelangnya pilihan raya…wallahu’lam!

6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Mungkin orang lain ada pertimbangan lain yang lebih holistik dan menyeluruh dalam memilih pemimpin mereka.


Ibarat orang memilih calon suami, lebih baiklah saya andartu dari bersuamikan lelaki yang penuh benci dan suka mencaci cerca yang tak sebulu dan berdoa siang-malam mengharapkan orang lain mati masuk neraka.

U-HAH berkata...

Isk...isk...tak baik cam gitu. Kita kenalah berbaik sangka dengan orang lain, melainkan orang itu terlebih dahulu merosakkan imejnya...hai, bagaimanalah nak berbaik sangka lagi jika terang-terang mempertikaikan hukum-hakam Al-Khalik...

Allah SWT menyuruh kita memakmurkan dunia ini dengan panduan al-Quran dan al-hadis, maka tibalah saat dan tikanya kita menggunakan medan p/ raya ini memilih mereka yang 'lebih' komitted dengan Islam untuk memakmurkan dunia ini sebagaimana yang Allah kehendaki...wallahua'lam.

Nizam Gtz berkata...

Kebenaran itu jualah yang akan menang... Karena Perjuangan itu bukanlah bahan mainan, Karena demokrasi adalah bahan komoditi, boleh dijual beli... Marilah ikut acuan kita, acuan perlembagaan Raja Berpelembagaan, Agar Ulul-Amri ini tidak dijatuhkan kuasanya... Karena ada yang menjadi api dalam sekam, yang menghancurkan majoriti islam di dewan parlimen... Karena sejarah 1999 masih terpahat di ingatan... (maaflah kalau guna karena [b.indonesia]... (Negara ini lebih pantas ke depan jika politik malaysia lebih stabil... laksana politik sosialis dan buruh di UK, masing2 berfikiran sama dan sehala)

U-HAH berkata...

Itulah dia sistem ciptaan manusia - demokrasi - yang boleh dikotak-katikkan mengikut mahunya si pencipta. Saya pelik, kenapa umat Islam teraba-raba mencari pedoman walhal mereka sudah ada al-quran. Umat Islam wajarnya bersatu hati, bukan saling membenci. Politik ala-barat ini nampaknya benar-benar merosakkan...kita kena kembali kepada politik Islam. Soalnya, bagaimana dan apakah yang dinamakan politik Islam itu? Iya, berpandukan al-quran dan as-sunnah. Raja Berpelembagaan pun bukanlah sunnah, kerana tiada monarki di dalam Islam. Islam meletakkan syura sebagai asasnya...mampukah Malaysia mencapai status syura ini? Sebelum dari itu, nampaknya kita kena berlapang dada dengan demokrasi, bagi setengah orang ia lebih baik dari berperang, maknanya ini cara termolek setakat ini, maka manfaatkanlah! Wallahua'lam.

Nizam Gtz berkata...

Seperingatan saya, politik di zaman sahabat hingga ke zaman khalifah... semuanya diketuai oleh seorang khalifah yang dilantik melalui sistem syura. Kebijaksanaan pemerintah di zaman tersebut telah menaikkan nama islam, seterusnya menyebarkan islam dengan mudah ke seluruh dunia. Walaupun terlibat dengan beberapa siri peperangan, namun pemerintahan ini sentiasa makmur sehinggalah sultan mula lupa diri dengan nikmat yang dikecapi dari kemenangan. akhirnya, runtuhlah Turki Usmaniah dan berakhirlah pemerintahan khalifah.

Demokrasi pula dimulakan oleh yahudi (kalau tak silap saya) di Amerika sejak dari zaman Abraham Lincoln. Apabila Malaysia dijajah oleh British, untuk mencapai kemerdekaan negara yang terbaik di dunia, kita mengecapi kemerdekaan melalui rundingan, bukan suara majoriti. Demokrasi adalah pintu kepada kemerdekaan kita bermula pada PRU pertama (1955). Bagi saya, demokrasi Malaysia tidak mengikut acuan mana-mana negara, kerana UK sendiripun membelakangkan kuasa Raja mereka. Malaysia tetap mengikut arahan daripada Sultan dan Agong. Mungkin demokrasi ini tidak demokratik bagi negara-negara lain, tapi ianya dapat mencorakkan sistem syura di Malaysia.

Kebijaksanaan Sultan Mizan telahpun menghadiahkan Terengganu sebuah kerajaan melayu islam (90% islam kalau tidak silap)... di mana terengganu dapat menjadi negeri yang berdaya saing atas usaha orang-orang islam, seterusnya memberikan kekayaan kepada muslimin di sana.

Soalnya, demokrasi unggul yang selalu dijaja oleh US adalah tidak relevan dan tidak akan disokong oleh Russia, Cina dan negara kita. Erm... maaf jika komen ini terlalu panjang. Jika ada silap di mana-mana, tolong perbetulkan. Wallahua'lam.

U-HAH berkata...

Zamspotte,

jujurnya kita perlu meletakkan al-quran dan as-sunnah sebagai dustur (perlembagaan), tidak yang lain termasuklah di Malaysia yang menggunapakai Perlembagaan yang dirangka dan diasaskan oleh Lord Reid dan konco-konconya.

Demokrasi di Malaysia adalah berbeda, justeru ia ditatang oleh parti yang sama sejak merdeka, iaitu Umno. Umno bagaikan bersebati bahkan begitu dominan, sehingga kekadang mengelamkan wajah parti-parti lain khususnya kepada orang Melayu.

Masalahnya Umno kini sudah jauh berbeda dengan Umno silam. Perjuangan Umno kini lebih kepada bersifat kedirian bukan kenegaraan - itu jika dilihat dari perspektif perjuangan Umno-lah. Sebab itu saya melihat Umno kian tersasar.

Sebaliknya, jika kita meninjau dari platform demokrasi yang lebih telus dan jujur, peluang kepada semua pihak untuk menjadi pemerintah patut dibuka sama. Inilah yang kurang berlaku di Malaysia. Keupayaan parti-parti lain seakan-akan ternafi dan hanya parti tertentu sahaja yang mampu menjulang Malaysia.

Saya memang bersyukur sangat jika Malaysia boleh mengamalkan kaedah syura...mungkin ini bakal terjadi, kita tunggulah saat dan ketikanya.

Wallahua'lam.