Rabu, Ogos 29, 2007

Mahasiswa terjepit?

Mahasiswa adalah generasi pewaris negara. Itulah kata-kata hikmat yang membakar semangat dan emosi saya ketika menginjakkan kaki ke kampus lebih 10 tahun dahulu. Terfikir saya, apakah maksud sebenar ‘pewaris’ negara…adakah mereka yang tidak berkesempatan menjadi penghuni kampus dan mencicipi segala rempah ratusnya tidak layak dianggap sebagai ‘pewaris?’

Saya menghimbau kembali sejarah perjuangan warga kampus. Saya susuri kembali saat bangkitnya suara mahasiswa era 1970-an mempertikaian ketidakstabilan sosial dan ekonomi negara. Saat itu, nama besarnya ialah Anwar Ibrahim. Saya terkeliru, kerana saat itu Anwar adalah pembesar negara, sebelum dia dijelepukkan oleh sistem yang mengahancuskan segala!

Saat saya menghirup udara segar kampus, idealisme mahasiswa masih berbisa. Kami masih bisa berkumpul, mengusung sepanduk dan poster, merangkaikan tangan membentuk rantaian manusia dan menggenggam tangan melaung ke udara! Teriak kami… Jangan korporatkan IPTA! Israel boleh berambus! Hancur Amerika! Dan baaanyak lagi.

Saat Anwar tersungkur dengan arang penuh memalit muka, saya menjengah juga ke kampus. Ajaib saya, saat itu kampus seperti menjadi markas pelajar dan medan aktivis mencerna gerak kerja. Sedang sebelum itu, sering kali aktiviti yang menjurus kepada ‘kepembangkangan’ mudah benar dikait-jeraitkan dengan kelompok mahasiswa berhaluan ‘kanan’…geng kopiah dan bertudung labuh!

Saya lihat para pensyarah begitu berani menzahirkan sokongan, tidak segan silu menyelitkan di kereta ‘Justice Malaysia’ atau ‘Free For Anwar’. Bukan calang-calang insan, tetapi timbalan dekan yang berulah demikian. Maka, tuan-tuan dapat bayangkan sendiri di kalangan mahasiswanya!

Namun, kini saya melihat suasana sihat di kalangan mahasiswa kampus makin terhakis. Parti memerintah begitu tragis memasukkan jarum memainkan peranan tanpa berselindung lagi. Senang-senang mereka mempromosikan pergerakan puteri mahu pun puteranya, atau lebih dahsyat menguasai pilihanraya dengan taktik nakal lagi hodoh…mencaturkan bidak untuk menidakkan suara sebenar mahasiswa.

Sebab itu saya tidak pelik, majoriti kerajaan kampus hilang taringnya hatta di kalangan pelajar universiti sendiri. Tidak nampak ketokohan memimpin apatah lagi menjadi jurubicara ummah. Kebanyakan kepimpinan mahasiswa kini, gigi susunya pun belum tanggal…masih hingusan dan sering ‘kesasar’…misalnya mengadakan program ‘lawak bodoh’ serta hiburan lalai yang jelas memupuk sikap suka bersantai-santai, suka merendek-rendek, tiada aspek kebertanggung jawaban dan kurang membina pemikiran dan peradaban!

Jauh…jauh lagi untuk melihat mereka memimpin rakyat marhaen dan muda-mudi mengusung pemidang kain bagi mempertahankan maruah bahasa, mendaulatkan maruah agama, mempertahankan akhlak yang kian bobrok dan sebagainya.

Itulah, meninjau-ninjau dari jendela di kejauhan…terasa ingin rasanya kembali ke kampus. Mengatur strategi dan wacana. Mungkin tiba masanya aktivis mahasiswa perlu lebih bijaksana mengatur langkah. Jangan terlalu taksub dengan satu-satu idea dan pendapat. Perlu menyelinap bagai lipas kudung dalam serba kancah, asal tidak terjual maruah. Ingatlah, kebijaksanaan diiringi kejituan dalam merancang adalah asas kejayaan…inilah pesanan Saiyidina Ali yang patut sama-sama kita fikir-fikirkan.

Insya-Allah...Fajar Islam Mulai Menyinsing

Khamis, Ogos 16, 2007

Suara alam dan kematian

Pernahkah engkau mendengar
Pada angin yang membawa lagu
Bahawa kehidupan ini amat pendek
Namun kehidupan yang pendek inilah
Menentukan kehidupan yang panjang

Mungkin kita pernah terdengar
Suara alam merintih sayu
Saat gunung digegar dengan jentolak bermata besi
Bahawa tegaknya mereka hanyalah penyangga alam
Sebagai sunnatullah yang memberikan kekuatan
Namun kita memekakkan telinga dan membutakan mata
Kerana hati kita sudah layu dan kering
Dari siraman air mata
Penghuni bumi yang lara

Lalu kita pun enak berbicara
Soal masa depan dan negara
Membikin aturan dan agenda
Sedang kita lupa agenda Tuhan
Agenda yang tersedia sejak azali
Bahawa hidup di atas dunia tidak abadi
Hanya sekadar mencicip sedikit rezeki
Sebelum kita dipanggil kembali

Begitulah manusia dan alam
Akal anugerah Tuhan diguna secara wewenang
Debu dosa bagai tiada makna
Iman yang tipis kian hilang warnanya
Bersatu dengan kusam noda
Lalu tercipratlah bianglala palsu
Yang tersembunyi serakah nafsu
Di atas nama tamadun maju
Sementara menunggu saat, detik dan waktu
Akal mati, nyawa terhenti dan jasad tanpa nadi
Bersemadi jelek di perut bumi
Menanti saat dihisab Rabbul Izzati!

U-HAH
Shah Alam
Fajar Islam Mulai Menyinsing...

Rabu, Ogos 15, 2007

Sebuah Cerpen Terindah ...

Gamitlah kasih sayang Tuhan dengan pengorbanan, gamitlah kasih sayang manusia dengan ketulusan. Rintik-rintik hujan yang menyuburkan bumi adalah tanda kasih-sayang Illahi. Debur ombak pula adalah irama alam yang menghuraikan kekusutan dunia. Mari dengar kicau burung dan alunan cengkerik malam hari, itu adalah zikir suci. Lagukanlah suara kasih sayang penuh ketulusan, di situ ada nilai kemanusiaan dan kecintaan anugerah Tuhan.

Atiyyah menebarkan pandangan jauh, dari jeti dia melihat pada bukit-bukau yang berbalam menabiri alam. Ada tona warna kehijauan, pekat dan muda lalu berbaur biru kian kelabu. Di kejauhan lautan, langit biru namun ada selaput awan putih memayungi diri, ceria sang suria tertabir teduh. Di kaki langit daratan, ada awan gemawan berpuput lembut disapa angin dari puncak bukit. Semilir bertiup segar, lalu gemersik dedaunan berselisih diselangi sepuhan lagu kicauan beburung melahirkan simfoni alam. Rintik-rintik hujan masih jatuh lagi dari bumbung langit dan ditebrak cahaya mencetuskan bianglala. Indah warnanya dan mengasyikkan.

“Aku ingin seperti angin. Berpuput lembut dan mengasyikkan.”

- Tapi angin juga bisa meribut memusnahkan!

“Aku ingin seperti hujan, rintik-rintiknya bak salju menyuburkan.”

- Tapi, betapa banyak bumi tenggelam dalam hujan yang menggila menjadi banjir duka!

“Ah..aku bisa jadi awan gemawan yang mengambus lelangit dan menabiri terik mentari”

- Kasihan bumi tidak tersimbah cahaya hidupan binasa dan alam merana.

“Em…jika begitu, izinkan aku menjadi aku, yang mencicip warna ceria alam, yang menghidu wangi bunga, yang merasa nikmat tanah, meneguk air kali dan mendengar kicau mergas tua bersimfoni indah pada desiran dedaunan bernyanyi pada hembusan angin, menikmati terik mentari dan mensyukuri nikmat awan gemawan berisi hujan yang menyimbah alam demi kehidupan.”

- Ya, berbanggalah kerana engkau adalah manusia, sebaik-baik kejadian yang ditentukan Tuhan!

Penerbangan ke Pulau Pinang dari Kuala Lumpur bergegas melewati batas waktu, 10.00 pagi. Dari atas udara, permukaan bumi tampak bagaikan tompokan pada kain perca. Berbaur segala rupa. Namun, makin pesawat merapat ke daratan, makin jelas warna alam, ada bangunan berdiri kaku, aliran sungai berliku dan jalan raya.

Tatkala roda pesawat Boeing 747-300S mencecah landasan, terbayang di mindanya. Wajah Pak Ngah Lazim dan Mak Ngah Minah yang begitu lama ditinggalkan. Terhimbau kenangan perahu nelayan yang oleng di tengah lautan, Pak Ngah Lazimlah yang kukuh berdiri di situ. Mak Ngah Minahlah yang berpagi-pagian bangun menyiapkan bekalan. Nasi bungkus daun pisang berlaukkan ikan gelama kering dan sayur kangkung, atau telur rebus asin dan sebotol penuh dua liter air kosong dan satu termos penuh kopi pahit.

Dia masih ingat, mereka adalah sepasang kekasih yang setia. Kehidupan yang dibina atas nama cinta yang diatur oleh ibu bapa. Mereka tidak kenal antara satu sama lain, hanya tahu nama dan kenal rupa saat dipertemukan pada hari yang amat mendebarkan. Hakikatnya, Aminah bt Abdul Wahab menjadi igauan ramai jejaka, dipertemukan dengan Muhammad Lazim Abdullah, pemuda kacak dari Pulau Mutiara.

Mereka menjalin cinta dan kasih selepas sighah terucap. Tidak tergambar indah pada mata, tautan hati menjadi intim dan mereka mencicip hari muka bersama. Sehari menakah minggu, seminggu menganjak sebulan, sebulan mendaki setahun dan dayungan kasih masih sama rentaknya. Oleng perahu sama dijaga, kayuhan pula sama irama. Pak Ngah Lazimlah nakhoda dan Mak Ngah Minahlah kemudinya. Perahu itu adalah bahtera mereka, berkelanalah mereka semahunya.

Namun, setahun berganjak dua menjadi tiga menyusur empat menagak lima menjadi puluhan pula. Rindu pada tangisan seorang anak kian membara. Namun, takdir dan iradah Tuhan tiada siapa menduga. Mak Ngah Minah masih belum berisi dan buncit perutnya. Puas mereka berusaha. Menjaga segala petua, menahan segala pantang-larangnya.





Salam ukhuwwah fillah...U-HAH

Isnin, Ogos 13, 2007

Isteri Konvo!




Isteri saya memang kuat belajar. Sebaik sahaja menamatkan ijazah sarjana muda pada tahun 1998, beliau terus mendaftar Sarjana Sains Perubatan di Fakulti Perubatan, UKM. Sambil itu, beliau menjadi Research Assistant (RA) kepada pensyarah yang banyak buat penyelidikan. Sehinggalah ke tahun 2001 beliau ditawarkan Biasiswa National Science Fellowship (NSF) oleh MOSTE. Serentak itu juga, UKM telah menaiktarafkan kajian beliau dan ditawarkan secara conversion dari Sarjana terus ke Doktor Falsafah! Itulah hebatnya isteri saya yang saya tidak dapat nafikan.

Alhamdulillah, kami disatukan lewat 1998. Rezeki kami memang murah. Memang lahiriahnya hidup kami payah. Sejak saya mengahwini beliau, mendapat seorang demi seorang cahaya mata sehinggalah kini beliau sudah pun bergelar Dr., kami sudah menempuhi pelbagai ranjau di dalam tatih kehidupan kami.

Saya masih ingat lagi, kami pernah berulang-alik dari Bangi ke KL. Beliau ditempatkan di UKM Jln Raja Muda, bersebelahan IMR dan HKL. Saya sendiri bertugas di Jalan Pahang, di sebuah syarikat penerbitan. Kemudian kami pindah ke Gombak, semasa itu kami asyik mengalun kasih di atas motorsikal sahaja. Tetapi hidup kami mewah, anak masih tiada dan kami kecap sungguh-sungguh nikmat rumah tangga.

Setelah melahirkan anak pertama pada Julai 1999, abah (bapa mertua) memberikan kami kereta. Toyota model lama 1970-an, KE-30. Dengan kereta itulah kami berdengung ke sana ke mari. Saya banyak menyimpan kenangan dengan kereta itu, pahit dan manisnya!

Saya teruk dilambung ombak hidup. Tahun 2000, syarikat hampir muflis dan tutup, lalu saya berkelana mencari kerja, menganggur beberapa ketika, hampir gila dibuatnya. Sewa rumah saban bulan perlu dilangsaikan dan anak kian bertambah. Tahun 2000 itulah kami dapat anak kedua, hidup makin mencabar serta mendera!

Saya banyak terhutang budi dengan isteri. Saat saya hampir tenggelam punca meneruskan hidup di kota, lalu beliau banyak memberikan kekuatan. Wang saraan pernah hanya ditanggung oleh elaun NSF beliau lantaran saya cuba menyambung pelajaran (Master tetapi sekerat jalan) dan kami pernah sama-sama tenggelam timbul dalam dunia MLM.

Memang isteri saya penyabar dan istiqamah orangnya, calang-calang manusia tidak tergalas beban itu rasanya. Betullah, Allah SWT menentukan jodoh setelah kita berusaha dengan orang yang paling cocok buat kita. Mungkin kita pelik, ramai bercinta memasang anganan dengan orang lain; namun rumah tangga bahagia dibina dengan orang lain pula. Itulah kerja Allah yang akal kita pasti tidak terjangkakan.

Hidup kami memang penuh cabaran. Justeru itu, kami lebih matang dan dewasa dalam membuat keputusan. Benar kami masih muda, namun kami diuji dengan pelbagai kesukaran dunia. Saya masih teringatkan insiden silam, misalnya saat kasut anak saya, Along sudah menipis tapaknya dan hampir putus…namun saya tidak mampu membeli yang baru walaupun harganya hanyalah RM3.50! Kami ketandusan wang, ansuran rumah lebih enam bulan tertunggak dan ansuran kereta menambak-nambak. Demikianlah, saya belajar banyak perkara tentang kewangan…antaranya, merancang dan jangan berhutang. Hingga kini, saya bertekad dan berazam untuk melangsaikan segala hutang piutang. Saya teringat tulis Robert Kiyosaki dalam bukunya…Poor dad Rich dad, kesimpulan orang kaya itu ialah, mereka yang tidak berhutang dalam hidupnya. Maknanya, bila saya tidak ada hutang barulah saya benar-benar kaya!

Isteri saya menyiapkan Ijazah PhD penuh cabaran juga. Namun, semuanya dapat beliau tempuhi dengan serba sedikit kesukaran; tapi banyak dipermudahkan. Saya tidak tahu, tapi yakin bahawa restu memainkan peranan utama. Sejak mula mahu membina keluarga, beliau telah memaklumkan niat ingin terus belajar. Saya merestuinya sehinggalah kini. Bahkan, tidak tersangkal ialah doa emak beliau sendiri (mak mertua saya) dan abah…yang saya yakin saban malam mendoakan kejayaan isteri saya…anak mereka.

Alhamdulillah, sejak 2006 isteri saya sudah pun menjadi pensyarah. Beliau diberi julukan ‘pakar statistik perubatan’ oleh pensyarah yang lebih senior…beliau malu tapi saya tahu, gelaran itu memang layak dengan usaha yang telah beliau lakukan. Bayangkan…sehingga anak keempat pun beliau masih terus belajar. Katanya, nak mengajar orang lain diri sendiri kena belajar (tahu) dulu…itulah isteri saya!

Lalu, 11 Ogos 2007 di Dewan Canselori Tun Abdul Razak (DECTAR), UKM Bangi adalah kemuncak kepada segala apa yang telah isteri saya lalui dan tempuhi selama ini. Kesakitan, kesusahan, kesabaran dan kekentalan yang menatijahkan kejayaan. Saya berdoa beliau terus istiqamah dalam bidangnya dan kami terus ceria melakar hari muka, bersama-sama…bak nukilan pendek saya pada buku yang saya hadiahkan:

‘Seceria suria menebar cahaya, begitulah kasih kita selamanya…’

Jumaat, Ogos 10, 2007




Pagi-pagi selepas solat subuh, saya sudah mengadap sebesen besar buah rambutan. Wah…wah…nikmatnya. Ada yang sudah berair manis bersari dek kerana terlalu ranum. Ada yang bulat besar tebal isinya, lekang-lekang pulak tu. Saya makan dan makan. Bukan senang dapat makan rambutan segar yang baru dipetik dari pokoknya. Emak yang mengaitnya demi mendengar saya akan pulang ke kampung.

Sarapan pagi berikutnya ialah penganan istimewa, nasi goring bersama ikan tilapia goring! Wah-wah…emm rangup dan sedap sekali. Lemak manis isinya. Jangan tak tahu, abah saya memelihara ikan tilapia sendiri di belakang rumah. Adik-adik saya yang rajin mengorek kolam dan abah menyalurkan air segar dari lata di belakang rumah. Air itu memang segar dan nyaman, sejuk sekali. Ikan-ikan abah pun segar, isinya manis dan bila digoreng enak bangat.

Saya dan adik, Amin tentunya curi-curi juga masuk ke dalam kolam menangkap ikan tilapia. Kami guna penyauk yang abah buat sendiri. Abah selalunya tak bagi masuk ke dalam kolam… “Nanti pening ikan…” katanya.

Jumaat itu, semasa ke pejabat berpagi-pagi lagi saya sudah menelefon abah minta disajikan ikan tilapia goring. Dimakan dengan nasi panas yang masih meruwap…alahai…tak payah ada lauk-lauk lain pun tak mengapa, itu pun sudah mencukupi. Apatah lagi kalau emak sediakan sambal belacan, ada pula pucuk ubi dan jantung pisang rebus, dibakar pula ikan kembong dan diambil isinya dilenyek-lenyek digaul sebagai air asam belacan….waduh, kecur liur dibuatnya!

Meninjau-ninjau di luar rumah, pokok manggis nampaknya menggamit-gamit. Saya lihat buah-buah manggis banyak yang sudah merah, tak ada pula sesiapa yang rajin mengaitnya. Saya heret galah panjang dan kait pula manggis. Em…sedap juga manggis ni. Rasa nak dipanjat sahaja, tapi sedar diri dah tak semuda dulu, waktu urat saraf masih anjal, waktu berat badan pun tidak seberapa…saya kendurkan keiginan memanjat. Cukuplah saya kait dari bawah. Anak-anak saya memang gemar manggis, Abang Yang terutamanya.

Demikianlah secebis catatan manis kepulangan saya ke kampung di Lenggong, yang berlaku pada 4 Ogos 2005 bebaru ini!


Fajar Islam Mulai Menyinsing

Rabu, Ogos 08, 2007

Bila berpencak di padang berjungkit


Saya memang minat politik. Saya pernah baca Surah Yaasin bersama orang-orang kampung demi kemenangan Umno dan BN satu masa dahulu. Saya pernah berdiri tak berganjak dan bersalam bangga dengan Anwar Ibrahim masa pilihanraya umum 1990, dia datang berceramah ke Lenggong. Bangga saya dapat salam dengan Anwar, ikon politik saya kala itu.

Tuk saudara saya yakni abang opah, aktivis Umno. Veteran yang sangat pekat dan likat Umnonya. Dialah yang sentiasa memahatkan ingatan di minda kami ahli keluarganya, tentang perjuangan generasi terawal Umno. Perjuangan Tunku sehinggalah Dr Mahathir. Dia amat komitted dan tidak tergoyahkan waima seinci kesetiaannya. Saya hanya dengar sekali dia merungut fasal Umno, iaitu semasa Anwar Ibrahim ditendang keluar dari parti symbol keris itu. Dia pening, sama ada mahu menyokong Anwar atau terus membela Dr Mahathir.

Saya dahulu marahkan Tengku Razaleigh Hamzah. Ku Li ini pernah jadi sekutu PAS semasa pilihanraya tahun 1990. Semangat 46 pimpinannya menang besar dengan PAS di Kelantan membentuk kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Sebelum itu, di rumah tok saudara saya, saya sudah baca tentang buruknya Ku Li. Saya ingat-ingat lupa, pengarangnya bernama Zakry Abadi. Dahulu ada dalam koleksi mini library saya di kampung, sekarang hilang entah ke mana. Antara yang dipaparkan ialah, pembaziran yang dibuat Ku Li, misalnya penyediaan lif untuk keretanya dan lain-lain lagi yang tidak sepatutnya dilakukan.

Tahun 1990 juga menjentik naluri saya. Pertama kali saya mendengar nama Nik Aziz. Ulama’ yang berperawakan amat sederhana bagaikan guru pondok menjadi MB, ketua negeri. Pelik tapi itulah yang terjadi. Saya jadi kagum dengannya.

Kini, saya sudah memiliki faham politik saya sendiri. Saya tahu siapa yang harus saya undi. Antara Umno dan PAS atau BN dan BA, saya tahu mana yang elok diwakilkan.

Malangnya, negara ini menyediakan ruang berpencak yang senget sebelah. Itulah yang merisaukan saya, kerana demokrasi adalah system yang dicipta demi memenangkan penciptanya. Mampukah kita melihat pesaing menang jika papan dipijak sering terjungkit?

Entahlah, kenapa tetiba saya mahu menulis seperti ini pula di blog ini…


Fajar Islam Mulai Menyinsing

Jumaat, Ogos 03, 2007

Bengangnye!!!


Saya mencuri-curi mencatatkan di blog ini, biasanya di awal pagi. Saya tiba di pejabat dalam kitaran jam 7.30 dan ketika masih sunyi itulah saya mula mereka-reka ayat. Tetapi, kekadang aliran ide terganggu dengan benda-benda yang sukar ditolak, ajakan teman berbual bicara, mengajak ke café mencari penganan dan sebagainya.

Saya cuba menagih ide di tengah hari; tetapi ia tidak selancar dan sederas di awal pagi. Bengang saya…banyak benda yang berlegar di cepu minda ini kekadang kelam dan tenggelam begitu sahaja. Mahu rasanya membeli PDA, mahal pula. Mencatat di buku nota, cuba saya amalkan tetapi selalu menyusahkan. Saya bukan jenis orang suka berdiari, sebab itu catatan tugasan harian saya lebih banyak di helaian putih yang kosong dan ditampal di hadapan mata agar saya tidak lupa!

Buktinya, catatan mesyuarat yang sepatutnya saya hadir pada 1 Ogos bebaru ini, telah saya terabaikan lantaran hanya dicatat di dalam diari. Itulah kesan diari dalam hidup saya, maka saya lebih selesa membuat catatan kasar di depan mata atau menggunakan hand phone sebagai pemberi ingat. Itulah saya dengan diari.

Lalu, banyak catatan yang patut saya nukilkan dalam blog ini tergantung dan tergantung. Tidak berpenutup dan berkesudahan. Saat ini,tadi pun saya dengan agak tegas telah menolak pelawaan seorang kawan untuk makan tengah hari sebelum solat Jumaat. Dengan muka sedikit kecewa dia pun pergi meninggalkan saya…em, kekadang terfikir glamour juga saya, ramai orang nak berkawan dengan kita…he..he..jangan riak syeikh…!

Baiklah, saya ingin mencatat di sini. Siapa nak baca dan komen, silalah.

Em…semalam saya khatamkan Tunggu Teduh Dulu (TTD) nukilan anak muda bervisi mega Faisal Tehrani (FT). Tidak silap saya, TTD adalah novel yang keenam saya baca. Saya sudah habiskan Cinta Hari-hari Rusuhan (maaf jika silap tajuk); Advencer Si Peniup Nei, Combat 1511, Perempuan Politikus Melayu, Cerpen-cerpen Underground 2, Kekasih Sampobo (1/2 tamat) dan yang baru habis TTD. Sekarang saya baru sahaja memulakan pengembaraan bersama Razlan, Mazlan dan Sahlan dalam Bunker...ops, gua, eh...bunker di dalam Novel-Drama Bila Tuhan Berbicara!

So, nak tahu apa pandangan jujur saya tentang TTD? Nak tahu bacalah. Tak nak tahu pun tak apa.

TTD kisah muslimah. Kata ipar saya Bro JR, kisah cinta enta-enti. Mana dia petik istilah tu, wallahua’lam. Mungkin sebab Salsabila Fahim dan the Sofea gadis usrah, bercita-cita menjadi muslimah berjaya di bidang pertanian moden yang asyik maksyuk dengan betik, papaya dan kepayanya…tanpa menkesampingkan adab-adab beragama…maka jadilah kononnya enta-enti. Lantaklah, itu pandangan ipar saya.

Saya agak slow menyampaikan diri ke titik penamat. Isteri saya terlebih dahulu mencicipi sehingga ke titisan terakhir novel ini. Katanya, amat mengesankan. Buktinya, dia menangis pada pertengahan cerita! Ah…saya jadi teruja membaca…tetapi saya tidak menangis pun. Puas saya menumpukan perhatian, khususnya pada bahagian pertengahan novel…nak tahu kisahnya…bacalah sendiri kawan, nanti tak syioklah saya paparkan di sini, tetapi tak jumpa sesuatu yang mampu menggoyah emosi dan merembeskan air ke pipi yang hensem ini!

Jangan marah FT, at least tuan telah berjaya menghanyutkan perasaan isteri saya dengan lakaran bahasa tuan yang sangat indah dan mengalunkan. Isteri saya orang fakta, orang sains yang bergelumang dengan nombor dan makmal dengan pelbagai formula statistik entah apa, namun bisa menangis dek mainan kata-kata FT…ceh, boleh ke saya buat isteri saya menangis dengan kata-kata saya pula?

Isteri saya pelik kerana melihat lama benar saya mengelek novel TTD ke sana ke mari. Daftarkan adik ipar di UiTM pun saya kilik, di bilik tidur lagilah…tapi ngape lambat benar tamatnya?

Kata saya: “Abang letihlah. Jalan ceritanya berliku dan bertele. Mungkin ini cerita seorang eh…dua orang wanita, Sal dan the. Sal lah watak utamanya. Abang jadi letih…kisah orang pompuan, kaya emosi kan. Sebab itu abang lambat habis…” Itulah antara alasan saya, logik ke?

Walau apa pun, TTD adalah novel yang terbaik antara sentuhan mulus FT. Lima bintang mungkin, tebalnya pun (tak silap saya cecah 900 muka) menjadikan kita malu alah untuk mempertikaikan kemampuan pengarang dalam menuntasi kepengarangannya! Sebab…TTD bukan omong kosong. Ia padat berisi. Bukan sekadar cerita betik; tak kiralah betik muda bergetah atau kepaya Jogja yang memerah isinya yang sering menjadi penghangat bicara dua wanita muda itu; tetapi penuh dengan info. Khasnya info betiklah.

Jika anda mahu menjadi usahawan tani, maka silalah menelek dan meneleku novel ini. Ada info, ada kisah tauladan dan ada panduan berguna. Sepaling tidak, anda patut tahu siapa molek di buat kawan (tumpang tuah…jika dapat kawan dari jabatan berkenaan yang mampu melangsaikan banyak keruwetan), apa perlunya bersahabat dengan orang ternama (jangan lupa isu kabel mengkabel tuan dalam dunia bisnes le ni…) dan juga apa pentingnya dalam menjerumuskan diri dalam bidang pertanian…

Agh, satu benda yang saya masih terfikir, mudah benar Salsabila dan Sofea jadi petani moden ye…tak marah ke penaja mereka apabila pulang dari US tapi tak kerja di kompeni yang menaja mereka?

TTD hampir sahaja tamat dalam suspens yang menyebabkan saya enggan menamatkannya…mujur saya kesani kelainan dalam pengakhirannya! Nak tahu…tuan puan belilah TTD dan bacalah sendiri!

(p/s: pinjam-pinjam tak best, tak boleh buat koleksi kan?)



Fajar Islam Mulai Menyinsing