Memaparkan catatan dengan label Novel. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Novel. Papar semua catatan

Ahad, Februari 01, 2009

Cerita bahasa di Jalan TAR


Saya hanya mampu melayari internet dari kejauhan mengikuti perkembangan Demo Anti PPMSI yang diadakan di KL. Jika saya ada di KL, maka sayalah antara orang yang akan turut serta.


Pada tahun 2006, saya sudah mengarang sebuah novel...tajuknya saya berikan 'Setegar Gandarusi'. Ia adalah novel tentang perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu. Dalam novel saya itu, saya sudah membayangkan suatu gerakan bersepadu antara pelbagai pihak akan berlaku. Sayangnya, saya gagal menyiapkan novel berkenaan. Otak jadi tepu dan saya ketandusan idea. Novel itu tergantung begitu sahaja...


Hinggalah kini, apabila guruh dan kilat mengenai nasib Bahasa Melayu kembali diperkatakan, maka saya kembali membuka novel saya itu. Saya baca dari ayat ke ayat. AKhirnya saya nekad dan membulatkan keazaman menyiapkannya. Alhamdulillah, novel berkenaan sudah pun siap dan kini saya meminta isteri saya - seorang pemegang PhD untuk membaca dan membetulkan apa-apa yang salah...khasnya mengenai selok-belok kehidupan pensyarah dan calon kedoktoran di universiti.


Saya masih berkira-kira mahu ke mana mengirimkan manuskrip berkenaan. Saya teringatkan Puan Ainon Mohamad...mungkin saya akan kirimkan kepada beliau. Jika tidak pun, mungkin ke DBP. Jika tidak juga...entahlah...saya penulis yang tidak terkenal, agak sukar juga menembusi minda para penerbit.


Walau apa-apa sekali pun...kadang-kadang saya termenung panjang mengenangkan...apa yang pernah saya impikan beberapa tahun lalu...kini menjadi kenyataan. Ya lah...penyertaan para cendekiawan, termasuklah golongan bukan Melayu...semuanya adalah imaginasi saya...kini ia benar-benar berlaku.


Apa-apa pun...tabik hormat saya berikan kepada pejuang Bahasa Melayu!

Khamis, September 18, 2008

Ketidak-tentuan...andailah Muhammad Al-Fateh hidup kembali!


Semalam saya sempat meladeni sehingga ke muka 70, Novel Sultan Muhammad Al-Fateh karya Abdul Latip Talib. Ia terbitan PTS. Asalnya saya hanya mahu membaca sedikit; tetapi bila sudah mula saya gagal mencari 'lampu merah' pula...


Anda tahu, 800 tahun setelah kewafatan Nabi Muhammad SAW baharulah Konstantinopel berjaya dibuka oleh Islam. Nabi menerusi sebuah hadis riwayat Ahmad ada menyatakan: Kota Konstantinopel akan dibuka oleh sebaik-baik pemimpin yang mempunyai sebaik-baik tentera dan rakyatnya adalah sebaik-baik rakyat.


Justeru itu, sejak zaman Saiyidina Ali kwj menjadi amirul mukminin, beliau sudah melakukan cubaan pertama membuka kota milik Byzantium yang beragama Kristian ini. Ia gagal. Dicuba lagi oleh Dinasti Bani Umaiyyah, gagal. Bani Abbasiyyah...gagal juga. Bahkan semasa Khilafah Usmaniyah sendiri, beberapa pemerintah seperti Sultan Murad II dan Sultan Beyazid turut mencuba.


Sahabat nabi yang mulia bernama Abu Ayub Al-Ansari malah menyertai setiap kempen ketenteraan ke atas kota yang ampuh itu. Sehinggalah saat tuanya dia berwasiat, andai dia mati maka kebumikan jasadnya di bawah kubu kota itu. "Aku mahu mendengar derap tapak kaki sebaik-baik tentera dan sebaik-baik pemimpinnya yang dijanjikan Rasulullah..."


Anda tahu, Muhammad Al-Fateh dididik dengan disiplin agama yang kuat. Baginda juga diberikan latihan ketenteraan. Malah ayahda baginda Sultan Murad memastikan anakandanya itu turut mendalami ilmu kepimpinan dan siasah.


Dalam kemelut hari ini, kejatuhan indeks komposit di bursa saham, ketidak-tentuan politik, himpitan ekonomi dan berleluasanya ISA...saya membayangkan peminpin seperti Muhammad Al-Fateh ada kembali.


Sempena ramadan berbaki, saya impikan ia terjadi dan saya sudahi dengan...amin ya rabbal a'lamin.

Rabu, Mei 21, 2008

Ayat-ayat Cinta Menggebu-gebu Di Minda


Tajuk: Ayat-ayat Cinta
Penulis: Habiburrahman El Shirazy
Tebal: 492 halaman
Harga: RM22.90
ISBN 983-2672-36-8
Penerbit: Ar-Risalah Product Sdn. Bhd.
Penilaian: 4 bintang

Jujurnya, hati saya gerimis saat meladeni novel ini. Saya bagaikan terpasung terus untuk menamatkan hingga ke penghujung. Lalu, di sepanjang ruang menerokai babak demi babak dan plot yang terjalin rapi, emosi sering diusik dan fikiran sering terjentik.

Saya membeli novel ini pada Pesta Buku KL yang baru lalu. Isteri saya beriya-iya, saya tidaklah begitu berminat. Namun, saranan daripada beberapa kenalan menjadikan saya lebih terdorong. Kata mereka, rugi tidak membaca kisah yang terpapar. Sungguh...banyak hikmah untuk diratah, banyak ilmu untuk dikutip. Saya tatangkan jiwa selebarnya dan saya rakus mencicip setiap incinya.

Benar. Saya kagum dengan apa yang saya baca. Bukan sebarang orang mampu menghasilkan karya sebaik ini. Gaya bahasanya memikat dan jalinan plotnya nampak kemas dan saling terikat. Watak dan perwatakan nampak hidup dan memasing berdiri secara kukuh menghidupkan watak sendiri.

Ya, saya terkesan dengan penggunaan kalimah-kalimah Arab dan Jerman yang diselitkan di sana sini. Nampak akan keluasan bahasa pengarang. Namun saya jadi lebih kagum apabila menancapi kehebatan pengarang menyelitkan pelbagai cuplikan dan kutipan. Tidak sekadar menyandarkan dialog kepada ayat-ayat Al-Quran dan al-Hadis, bahkan pengarang merujuk sama dapatan daripada ilmuwan – ulama dan sarjana barat. Lalu semuanya teradun rapi bagi menghasilkan sebuah naskhah unggul dan enak serta seistimewa ini.

Begitu juga betapa optimisnya Fahri. Saya teruja melihat kesungguhannya. Bergelut dengan waktu sentiasa. Bahkan saya jadi haru mengenangkan mimpi Fahri, syahdu dan mencengkam kalbu. Apakah saya mampu melaluinya. Berapakah surah yang saya hafal. Berapa orangkah ulama’ yang sanggup mengakui saya muridnya. Mampukah saya meraih syafaat daripada mereka?

Benar, mungkin ada menyatakan ia adalah kisah cinta manusia. Bagi saya, sesuailah dengan tajuknya Ayat-ayat Cinta. Memang novel ini membicarakan kisah cinta. Namun cinta yang putih mulus dan disandarkan kepada syariah. Sekali lagi saya tertegun dengan ketegasan Fahri, saat diajak Maria untuk berdansa. Juga saya tertegun dengan kisah pertemuan dua jiwa yang bakal disatukan, Fahri dan Aisha. Semuanya disulam kemas dan indah. Saya membayangkan, apakah mampu saya melakukan sedemikian. Mampukah?

Saya menamatkan naskhah ini kira-kira jam 11.20 malam, pada 20 Mei 2008. Hati saya puas. Sekadar mencoretkan pandangan A. Samad Said:

’Ayat-ayat cinta memang pintar mengheret kita menjejaki – malah menghidu – perhubungan Fahri (Indonesia) dan Maria (Mesir) secara penuh mengajar, menghantar isyarat dan kebijaksanaan baru melalui perhubungan sopan antara insan dua negara. Rasanya memang sesekali kisah cinta yang Islami begini sempat disampaikan dengan penuh tertib...tidak membacanya seperti sengaja melepaskan peluang untuk mencium bau, merasai iklim dan memahami gerak hidup insan...’

Juga ungkapan Fahri lewat bersama Aisha, saat dirundung ujian di penjara:

“Aku ingin cinta kita kekal. Kekal di dunia dan kekal di akhirat. Jangan nanti di akhirat kita berseteru. Kuatkanlah pergantungan dengan Allah. Dekatkan diri dengan Allah! Dekatkan diri dengan Allah! Dekatkan diri dengan Allah!”

Jumaat, Mei 25, 2007

Bagaikan Puteri


Tajuk: Bagaikan Puteri

Karya: Ramlee Awang Mursyid

Penerbit: Alaf 21 Sdn Bhd

Harga: RM19.90 (jika tidak silap)

Genre: Kreatif thriller


Em...Ramlee adalah nama baru saya rasa. Jujurnya, saya tidak pernah berminat untuk memiliki hasil-hasil karya beliau sebelum ini. Iya, mungkin kerana saya kurang meminati cerita rekaan yang kekadang tidak masuk di akal...hinggalah satu masa saya berurusan dengan salah seorang editor majalah di Karangkraf dan saya mencuri-curi masa berlegaran di kedai bukunya.


Saya jelaskan di sini, faktor pertama yang memikat hati saya untuk membeli ialah 'cover'nya yang menarik. Nampak seperti orang sedang bertapa...ada unsur-unsur kependekaran dan ke-melayuan lama. Faktor kedua, di dalam naskhah ini turut dimasukkan unsur sejarah (walau kekadang saya rimas apabila watak-wataknya seperti Hariyani sering terbawa-bawa cara gadis hari ini...yang ber'opss sorry' dan sebagainya) dan ketiga apabila diselitkan juga perihal Laksamana Sunan yang tinggi imannya dan digambarkan seorang lelaki yang soleh tentunya...


Saya menghabiskan kira-kira seminggu dengan mencuri-curi masa membacanya. Kekadang sebelum tidur malam saya asyik membaca hingga sayang mahu berhenti. Saya kagum juga dengan keupayaan penulis (ingat....Ramlee adalah penulis sambilan yang bertugas sebagai juruhebah) namun masih mampu menulis novel. Dan beliau tidaklah menulis begitu-begitu sahaja kerana saya yakin dan tahu, beliau pasti membuat rujukan di mana-mana.


Novel ini yang seperti dinobatkan adalah berbentuk thriller. Ia seboleh mungkin sering diseretkan dengan unsur suspens dan di luar batas pemikiran manusia. Kisah orang koma yang hampir digamit kematian di dunia hari ini; namun berkelana seorang diri di abad ke-14 dan berdampingan dengan Sunan dan Tuah. Maka, itulah asal pokok ceritanya. Ia kemudian dikembangkan hingga wujudlah suspennya, seramnya, peliknya, magisnya, kagumnya dan sebagainya lagi.


Sunan digambarkan pemuda perkasa berjiwa mulia. Mempunyai kemahiran tinggi ilmu persilatan dan juga mampu berkomunikasi dengan tuan gurunya Wali Sufi menggunakan firasat dan gelombang minda. Musuh utama mereka adalah manusia yang menjadi pengikut syaitan atau diistilahkan sebagai Taghut. Nyi Burga Kelara misalnya, adalah manusia penyembah syaitan yang ganas dan mengerikan. Namun dengan ketangkasan seorang laksamana bersama keris Naggore, ramai yang tewas walau telah diberi awas agar kembali beriman dan meninggalkan syirik.


Kisah cinta tiga dimensi turut diselitkan. Menariknya (sedikit kurang praktikal), Hariyani jatuh cinta kepada Sunan dan begitu jua sebaliknya sedang di dunia moden abad 21 kini, seorang pemuda waris dari turunan Sunan juga sedang tekun mengemis cintanya.


Apa-apa pun, saya terkesan setelah menamatkan pembacaan novel ini. Terasa Ramlee memang bersungguh menenggelamkan emosi pembacanya melalui tulisan beliau. Saya seperti masih terbayangkan...saat Haryani mengunjungi Kampung Punggor di Johor, dia dapat merasakan semilir angin seolah-olah membawa suaranya memanggil Laksamana Sunan kekasih hatinya... dan saya seperti ternanti-nanti kesudahan episod ini apabila Sunan rebah dipanah Ratna saat Acheh dilanggar laskar Maharani!

Isnin, Mei 21, 2007

IMAM


Judul: Imam
Karya: SN Abdullah Hussein
Anugerah: Hadiah Sako Utusan-Public Bank
Penerbit : Utusan Publication & Distributors Sdn BhdGenre : Novel Mukasurat : 705 halamanCetakan Pertama : 1995Cetakan Terbaru : 2005ISBN : 967610499x
Harga: RM29.90

Kata Imam Mihad kira-kiranya: “Islam itu ibarat cahaya yang tak dapat disekat dan dapat menembus merembes walau dari seseni-seni ruang…”

Abang ipar saya, Jiwa Rasa pernah dan selalu juga menyarankan agar saya memiliki naskhah ini. Ikhlas saya akui, saya agak jauh dalam menikmati karya-karya Abdullah Hussein, entahlah…saya lebih rapat dengan buah tangan Arena Wati dan Pak Shahnon. Dengan tinta Pak Samad dan Keris Mas pun tak seberapa.

Namun, semasa cuti beberapa bulan yang lalu atau mungkin jelasnya pada tahun lalu (2006), ketika di kampung (di Lenggong, Perak), saya terjumpa karya SN Abdullah Hussein (AH), iaitu ‘Masuk Ke Dalam Cahaya.’ Saya jadi ralit, terkesima dengan butir bicara yang AH gunakan dalam rentak tari novelnya. Ringkas, mudah dan bersahaja. Tak ada yang berbelit dan berliku seperti sesetengah nama besar yang lain. Saya asyik menyelami naskhah pertama itu hingga tamam dalam tempoh dua hari saja rasanya…malangnya buku atau tepatnya novel itu bukan milik saya, ia milik sesiapa yang ada di rumah abah di kampung, tersisip kemas dalam almari buku dan saya terpaksa menyimpannya kembali di situ…

Imam adalah karya besar. Padat dengan mutiara ilmu. Ia sendat dengan iktibar. Sebermula membacanya sekitar 9 Mei hingga tamam awal pagi semalam pada jam 12.54 pagi 21 Mei 2007, saya merasa puas, merasa jelas dan merasa nikmat dan..ah…sukar nak dijelaskan. Saya seperti dibawa ke daerah yang sebenar, di Mukim XII berkelana buat sementara di Kampug Anggerik Desa dan beriktikaf sewaktu dua di Masjid Haji Salih. Bersua muka dengan Sufi Lau yang pekat amat telornya, berkongsi teruja dengan ulat buku bersama Haji Qamar dan Cikgu Syahidan, bengkak hati dengan Haji Syamsuri dan ingin sekali menikmati indah cantik wajah Rubiah dan Siti Nur Aisyah. Paling mengujakan, Haji Mihad pastinya, imam muda tapi tua yang menyimpul segala!

Sekadar membataskan kepada beberapa nama, hakikatnya Imam adalah naskhah yang amat-amat patut diladeni oleh mereka yang mahu tahu hakikat kehidupan. Benar, mungkin kita tidak pernah hidup dalam kemelut atau bergelut dalam selut seperti belut atau tidak pernah sedikit pun merasa seperti apa yang papar-gambarkan dalam karya ini, namun ia adalah ‘hidup’ dalam minda kita. Ia memberikan pengajaran tidak sedikit.

Pengajaran bahawa hidup perlu berubah, hidup adalah perjuangan dan hidup adalah wawasan. Mengusaikan pembacaannya membikin saya terpana, benarlah…SN AH ada resipi rahsianya tersendiri…jadi, jika ingin merasainya…cubalah sendiri!

(Detik hati ini…Ya Allah, adakah aku juga perlu menyalin beberapa babak dalam kehidupan Imam Mihad ini untukku aplikasikan dalam rencana masa depanku…berilah aku quwwah-Mu ya Allah, amin.)

Kawin-kawin


Judul : Kawin KawinPengarang : Azizi Hj AbdullahPenerbit : Utusan Publication & Distributors Sdn BhdGenre : Novel Mukasurat : 266 halamanCetakan Pertama : 2002ISBN : 9676112976
Harga: RM25.00
P/S: “Beli di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2007, kategori: 18SX (sesuai bagi yang dah kahwin dan otak matang dalam menilai…) dan baca dalam tiga hari dah abis…”

Kawin-kawin…tajuknya pun macam cerita bebudak masa kecil-kecil main pondok-pondok. Masa main pondok-pondok, adalah yang kawin-kawin, maknanya kena duduk bersanding dan bersanding sahajalah, tak boleh lah pula lebih dari itu, tak boleh lah kawin betul-betul, sampai minta ‘bini’ picit belakang…macam mak ayah kita yang kahwin betul-betul…faham ke…betul-betul…?

Pertama kali melihat buku ini ialah sekitar Pesta Buku Antarabangsa pada beberapa tahun yang lepas. Gatal merenyamnya tangan mahu membeli, apatah lagi apabila melihatkan ia juga memenangi hadiah Anugerah Sako, satu penghargaan yang berprestij juga kepada para penulis. Tapi, biasalah kekangan kewangan dan kekempisan poket mengatasi segala. Hasrat dipendam tapi keinginan terus menguja dan membara…

Lalu, pada Pesta Buku Antarabangsa KL 2007 baru-baru ini, saya seperti biasa kembali mengunjunginya. Puas menjamu mata, puas memegang dan mengelek, akhirnya kaki saya menginjak juga ke gerai Utusan. Mata mula melilau menchegoye (kata orang Perak memerhati le ni…), akhirnya ke rak buku tertumpah juga pandangan dan saya terus terkesan kepada beberapa buah buku yang sering menjadi impian, antaranya IMAM karya SN Abdullah Hussain dan juga inilah…Kawin-kawin buah tangan Azizi Hj Abdullah.

Kawin-kawin adalah kisah perkahwinan, secocok dengan tajuknya. Cuma yang ditekankan oleh Cikgu Azizi ialah kahwin kontrak atau kahwin muta’ah. Ada tempoh sah lakunya dan selepas itu kena diperbaharui…macam road-tax lah gayanya.

Cumanya isu yang dibangkitkan bukan sekadar seronoknya kahwin dan yang berkaitan dengan kahwin-kahwin sahajalah, kerana yang dikeutarakan sebenarnya adalah isu umat, isu masyarakat. Kawin itu hanyalah alat…bagi saya, ibarat sindir anak mengata menantu, eh betul ke pepatah ni?

Ia adalah kisah Mas Um yang suka bertukar laki. Ramai lakinya dan setiap yang berbinikan Mas Um akan merasalah nikmat kawin dan nikmat tinggal di Banglo Mas Um dan merasalah mengontrol apa-apa yang berada di bawah lingkungan Mas Um dan Banglonya. Ramai lelaki yang teringinkan Mas Um dan mahu mencalonkan diri menjadi suami kontraknya, tapi yang paling malang ialah si Malang…secocok dengan namanya yang sentiasa malang untuk berbinikan Mas Um, tak pernah dapat dan tak pernah merasalah kawinnya dengan Mas Um itu.

Tapinya, cerita ini adalah kiasan, itu yang saya rasa. Masakan tidak jika di situ dalam daerah Mas Um, maka ada kitabnya… Arraya yang menjadi rujukan…karangan Dr. Demo dan ada juga ahli ilmu yang memang alim tapi bebal dan asyik mengikut telunjuk, si Abul Ahkam…

Lalu, berjalanlah cerita Kawin-kawin, dimasukkanlah usaha si Malang melobi sakan dengan gengnya…Pak Wan dan Din dan Lim dan ramai lah juga, berkerja keras memenangi ‘kerusi’ panas di Banglo Mas Um dan berbinikan Mas Um apakala sampai masanya kontrak kawin dengan Mas Um kena diperbaharui…seperti ajaran dr. Demo dalam kitab Arraya lah dan diakui sah oleh Abul Ahkam.

Maka, Muallim pula digambarkan ‘penghalang’ nombor wahid! Dia dapat kawin dan menguasai Banglo Mas Um dan segala isu suku sakat di daerah itu yang disifatkan Malang dan kroninya sebagai ‘zalim dan tidak adil.’ Kepandakannya, maka benganglah Malang meronggong diri ke daerah Siti Menura, janda Pak Qum dan madu Mas Um yang alim dan warak dan tinggal berguru dengan Tok Guru Lebai Yasin…di sana dia bertukar kulit dan wajah, jadi orang baik walau hatinya sebenarnya masih merenyam dengan Mas Um dan mindanya masih berkapuk pada Mas Um!

Malang adalah tipa manusia bertopeng, manusia jadian dan dalam Islam dapat diklasifikasikan sebagai golongan yang bakal bersama Abdullah bin ubai bin Salul. Dia sanggup buat apa sahaja, termasuklah menyalin 30 juzuk Al-Quran dengan tulisan tangan demi menjadi mas kahwin dan dapat ‘bersatu’ atau diistilahkan oleh Malang yang diiyakan pula olah Abul Ahkam…dapat ‘bersiput babi’ dengan bininya, si Siti Menura. Malang memang bebal dan memang pura-pura, dia buta huruf arab, tak reti solat dan hanya reti buat…ikut sahaja. Dia salin Al-Quran hanya kerana geramnya nak ‘bersiput babi’ dengan bininya…juga menjadi bukti kepada Daerah Mas Um bahawa dia adalah lelaki yang ‘jantan’ dan bukan pondan macam…macam ye…si tukang gajinya yang aww itu…

Lalu, disingkatkan lagi akhirnya Malang kempunan segala segi, baik kempunan nak bermuta’ah dengan Mas Um, kempunan nak menguasai Banglo dan Daerah Mas Um, kempunan nak berligan dan menokak batang leher bininya si Siti dan kempunan nak jadi manusia baik, kerana akhirnya dia jadi gila, gila isim dan gila kawin…

Wallahua’lam…