Sabah...hmmm, dapat juge teman sampe ke Negeri Di Bawah Bayu ni. Saya, isteri dan anak bongsu kami Hanim ke Kota Kinabalu pada Jumaat 30 Jan 09. Isteri ada urusan kerja di sini, saya pula datang untuk membantu menjaga anak kami yang fully breast feed...sambil-sambil tu...jalan-jalanlah.
Inilah first time berkunjung ke Sabah. Saya membayang-bayangkan juge bagaimana ghupe wajah negeri ini. Sepanjang penerbangan dari LCCT...saya dok bayangkan ghupe Sabah...telinge berdengung dengan ketinggian lebih 37,000 kaki dan kelajuan Air Bus Air Asia 800 km sejam!
Indah sungguh meninjau awan di luar jendela kapal terbang. Saya dapat rasakan, betapa Allah SWT mencipta akal agar manusia dapat memanfaatkan alam. Dengan akallah manusia dapat mencipta mesin terbang dan akhirnya saya dapat membelah awan. Saya melihat ke bawah, dengan ketinggian ribuan kaki, daratan dan lautan tidak kelihatan. Namun nampak jelas permukaan berwarna biru seakan-akan air laut...saya tak tahu apa dia bendanya...tapi indah dan menawan sekali!
Kami mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kira-kira jam 9.20 pagi. Mentari cerah dan cuaca ceria sekali. Selepas pemeriksaan imigresen (mujurlah kami membawa sijil beranak Hanim...kena ada ghupenye...ingatkan tak payah!), kami mencari arah.
Alhamdulillah, student isteri saya di KK sudah sedia menanti. Kami dibawa ke hotel Imperial di pusat bandar. Sementara menantikan bilik dikosongkan pada pukul 12 tengah hari, kami makan dahulu di Pizza Hut...kemudian mencari sedikit ole-ole di Pasar Philipine.
Malamnya kami dibelanja makan di sebuah restoran ala Melaka. Sedap masakannya. Pagi Sabtu di Hospital Bahagia Bukit Padang, isteri saya akan hadir ke sebuah sesi pembentangan. Saya bertugas menjaga Hanim...aduhai, letihnya dia asyik teroyak...sabo je la...
Gambor-gambor nanti teman masukkan ye...
Sabtu, Januari 31, 2009
Ahad, Januari 18, 2009
Suara rakyat suara keramat!
Kemenangan PAS di Kuala Terengganu amat signifikan. Sedari awal saya kagum kepada kerjasama erat di antara tiga parti komponen Pakatan Rakyat. Baik PKR mahu pun DAP, masing-masing bergandingan bahu dengan PAS. Rakyat menilai kerjasama ini sebagai mukaddimah yang baik kepada negara.
BN pula nampaknya membiarkan Umno keseorangan. Benarlah telahan ramai pihak, Umno parti lemah jika berjuang bersendirian. Yang menunjukkan Umno kuat, ialah jentera kerajaan yang berkerja bagi pihak mereka.
Syabas kepada PAS dan PR dengan kemenangan ini. Saya yakin, rakyat Malaysia makin bijak membuat pilihan. Kuasa di tangan rakyat. Maka inilah natijahnya. Syabas juga pengundi-pengundi di Kuala Terengganu...anda buktikan bahawa suara rakyat suara keramat!
Jumaat, Januari 16, 2009
Mood menulis
Manusia ini memang Allah SWT jadikan ada emosi. Emosi banyak mempengaruhi tingkah laku. Orang yang terlalu mengikut emosi, selalu melulu. Tanpa emosi pula, seolah-olah hilang deria rasa. Emosi mesti ada dan wajar diletakkan dalam kondisi pertengahan. Sederhana dan berimbang.
Begitu juga dengan menulis di blog. Ada waktu-waktunya saya begitu bersemangat. Terlihat sesuatu, terbaca sesuatu dan terfikir sesuatu, segera terbit idea untuk dicurahkan. Tak sempat-sempat lagi rasanya mahu on kan komputer.
Begitulah juga dengan membaca. Adakalanya, mood membaca begitu tinggi. Sebuah buku bisa dikhatamkan pada satu malam. Setiap malam, sebelum melelapkan mata mesti membaca. Bila sudah mula, sukar pula mencari perhentian.
Begitulah manusia yang ada emosi. Mood banyak mempengaruhi. Itulah...maka kadangkala jari sudah bersedia di papan huruf, sudah bersedia mengetik-ngetik...tapi lelah mencari bahan. Tinggallah ruangan kosong tanpa huruf apa-apa pun...
Sekarang, saya kembali menyambung pembacaan buku biografi 'Ahmadinejad: Singa Umat Islam'. Buku ini nipis sahaja jika mahu ditarakan dengan novel Ayat-ayat Cinta atau Tunggu Teduh Dulu. Saya sudah mula membacanya sejak tahun lalu...
Tapi, susah benar saya nak menghabiskannya. Semalam, bila saya membaca kembali...seolah-olah saya baharu sahaja menikmatinya buat pertama kali. Apa yang telah saya baca sebelum ini, nampaknya telah kelam di minda. Tak mengapalah...saya ulang kembali beberapa bab awal.
Buku berkenaan sebenarnya memaparkan siapakah dia Mahmud Ahmadinejad. Ramai orang tidak begitu mengenali sosok tubuh yang kecil dan kurus ini. Lahir pada 28 Okt 1956, beliau bukanlah pemimpin yang terkenal asalnya. Terus-terang, sebelum Ahmadinejad memenangi Pilihanraya Presiden Iran pada 6 Ogos 2005, majoriti orang Iran sendiri tidak kenal bahkan tidka tertarik mengenali siapa Ahmadinejad sebenarnya. Apatah lagi kita orang luar!
Sedikit catatan, Ahmadinejad rupa-rupanya adalah anak muda yang hidup pada zaman Revolusi. Saat Imam Ayatollah Khomeini pulang dari Peranchis tahun 1979...Ahmadinejad adalah antara orang yang menyambut kepulangan itu dengan gembira.
Kemudian, 22 September 1980, Iraq di bawah Saddam Hussein menyerang Iran. Beliau pernah terlibat dalam peperangan tujuh tahun itu. Dalam usia yang begitu muda juga, kebanyakan anak muda Iran termasuk Ahmadinejad sudah dilantik menjadi gabenor di Wilayah Ardabil bagi membantu kestabilan Republik Islam Iran.
Ahmadinejad memang sosok yang begitu menarik untuk dikaji. Beliau pernah menjadi Datuk Bandar Tehran dan berjaya mengatasi banyak masalah dengan kebijaksanaannya - terutamanya masalah kesesakan jalan raya. Jauh daripada itu, beliau merupakan pemimpin yang benar-benar merakyat. Istilah 'Pemimpin Khadam Rakyat' memang menjiwai dirinya.
Bayangkan, beliau menolak kediaman rasmi Datuk Bandar, mendermakan sebahagian perabotnya dan menukarkannya kepada sebuah muzium, menginfakkan gaji datuk bandar dan hanya menyara keluarganya dengan gaji sebagai pensyarah universiti. Beliau tinggal si sebuah jalan mati dengan rumah yang amat sederhana. Beliau beberapa kali turun dari keretanya, demi membuang halangan di longkang yang tersumbat. Menerima kunjungan daripada pelbagai lapisan pengadu tanpa mengira masa dan memarahi kontraktor yang sengaja melambatkan sesuatu projek.
Ah...banyak yang menarik tentang manusia yang bernama Dr Mahmud Ahmadinejad ini. Insya-Allah...saya akan paparkan lagi kisahnya pada masa akan datang...
Isnin, Januari 12, 2009
Persoalan Kuil di Sek 19 dan Tindakan Pewaris
http://www.khalidsamad.com/
Kerajaan BN telah meninggalkan banyak perkara yang perlu diperbetulkan oleh kerajaan PR selepas kami mengambil alih. Selain dari penyelewengan dan salah guna kuasa yang menjadi bagaikan ‘signiature’ BN, terdapat juga persoalan projek-projek terbengkalai, projek-projek di lereng bukit yang tidak patut diluluskan tetapi diluluskan, penduduk rumah setinggan, kemiskinan bandar dan ‘lain-lain’.
Di antara yang ‘lain-lain’ itu adalah persoalan kuil-kuil yang bertaburan yang telah tidak diurus dengan baik apatah lagi bertanggung jawab oleh BN.Kebanyakan dari kuil-kuil ini merupakan kuil yang telah dibina semasa tempat berkenaan merupakan estet getah pada tahun-tahun sebelum Malaya merdeka. Apabila estet itu diambil-alih untuk dijadikan kawasan perumahan, pada tahun-tahun selepas merdeka, pekerja-pekerja ladang dipindahkan tetapi kuil mereka dibiarkan di tempat asal. Ianya tidak dipindahkan bersama penduduknya.
Akhirnya penduduk asal terus mengunjungi kuil tersebut sambil kawasan persekitaran dibangunkan. Kuil mereka juga terus dibangunkan mereka.Kesudahannya adalah seperti apa yang terdapat di Seksyen 19, Shah Alam! Rumah-rumah yang didiami orang Melayu berhampiran dan berhadapan kuil.
Keadaan ini lebih merumitkan apabila penduduk memberitahu bahawa semasa membeli rumah-rumah mereka, PKNS telah menjamin bahawa kuil berkenaan tidak akan lagi berada disitu apabila rumah mereka siap. Namun, di bawah BN, janji seperti biasa tinggal sebagai janji. Masalah ini telah wujud selama 20 tahun lebih dan apabila PR mengambil alih, kami terpaksa menyelesaikan masalah yang diwujudkan BN ini. BN hanya pandai menimbulkan masalah tetapi buntu untuk mencari penyelesaian.Dasar kerajaan PR adalah mudah.
Pertama, kuil-kuil yang lama ini perlu dipindahkan ke satu tempat yang lebih sesuai. Tempat perlu dikenal pasti oleh PBT dan semestinya dipersetujui oleh pengguna kuil berkenaan. PBT perlu mengambil kira segala permasalahan yang akan dihadapi oleh pengguna kuil hasil dari pemindahan tersebut. Sambil itu, pembinaan kuil baru, selain dari hasil perpindahan, juga dihentikan.
Pada Khamis 8hb Januari, sambil saya menghadiri mesyuarat berhubung penduduk Rimba Jaya yang telah dirobohkan rumah-rumah mereka oleh kerajaan BN (masalah yang diwarisi lagi!), saya mendapat maklumat dari seorang penduduk Melayu Seksyen 19 bahawa ada sekumpulan Melayu telah datang untuk menimbulkan ketegangan di kuil tersebut. Selepas mesyuarat berkenaan saya bergegas ke sana dan mendapati sekumpulan orang, kebanyakan mereka orang luar, berkumpul berhampiran kuil tersebut.
Mereka ingin membina ‘gelanggang silat’ di tepi kuil dan akan mengadakan kenduri untuk merasmikan pembukaan gelanggang tersebut pada hari Sabtu 10hb ini. Untuk kenduri itu mereka akan tumbangkan 2 ekor lembu! Seterusnya mereka akan menjamu penduduk dan orang ramai di depan kuil berkenaan.
Gelanggang mereka akan dibina tanpa membuat apa-apa permohonan kepada phak berkuasa kerana kata mereka, kuil tersebut juga tidak mendapat kebenaran!Orang yang mengetuai kumpulan tersebut datangnya dari Melaka! Dia menyatakan dia ‘mewakili rakyat’ dan tindakan ini terpaksa mereka ambil melalui persatuan NGO mereka yang bernama ‘PEWARIS’ kerana kerajaan PR masih berhoneymoon.
Dia berkata penduduk sudah hilang kepercayaan kepada kerajaan dan oleh itu penduduk memanggil mereka turun. Amat jelas, soal gelanggang silat dan sebagainya hanya satu helah. Sebenarnya mereka mahu provoke pihak kuil berkenaan.Saya menyatakan 'wakil rakyat' di sini adalah saya, bukan dia (mungkin dia ingat dia masih di Melaka). Sekiranya dia ingin mewakili rakyat, dia patut turun bertanding dalam PRU yang akan datang. Saya juga memberitahunya bahawa yang ‘berhoneymoon’ selama 50 tahun adalah BN!
Saya menjelaskan bahawa pihak kerajaan sedang menguruskan perkara ini dan kita harus diberi masa. Kalau BN tak dapat buat apa-apa dalam tempoh 20 tahun lebih, semenjak rumah-rumah mula didiami, takkanlah saya tidak boleh diberi tempoh setahun, kata saya lagi. Malahan, tambah saya, pada bulan 5 atau 6 tahun lepas, saya telah bertemu dengan penduduk di dewan Masjid Sek. 19 dan berbincang dengan mereka dan memohon tempoh setahun. Mereka telah bersetuju.
Orang Melaka ini terus menuduh bahawa PR mendiamkan diri bila orang India membina kuil-kuil baru di merata Shah Alam. Saya nyatakan tiada kuil baru dibina dan dia gelakkan saya. Saya beritahu dia, “tunjuk saya di mana kalau kamu bercakap benar!” Dia pun terus ke keretanya, minta saya ikut di belakang sambil dengan penuh keyakinan mengatakan, “mari, saya tunjuk awak”! Maka saya mengekorinya; hai orang Melaka ini yang menganggap dirinya lebih tahu Shah Alam dari orang Shah Alam.
Akhirnya dia bawa saya ke sebuah kuil di tepi landasan keretapi di Seksyen 15. Saya beritahu dia kuil itu telah ada di situ “sebelum kamu dilahirkan ke dunia ini”. Dia diam dan terus kembali ke kuil Seksyen 19.Tidak puas hati lagi dia mencabar saya sebaik sahaja kita sampai di Seksyen 19, “awak orang Melayu, orang Islam, kenapa awak sibuk sangat nak membela kuil ini”?
Saya jawab, “kerana Islam mengajar saya supaya bertindak adil terhadap semua manusia. Mereka, walaupun bukan Islam, ada hak dan Islam menuntut kita menghormati hak mereka”. Dia diam. Seterusnya dia berkata dia tak tahu sangat soal agama ini.Saya menambah lagi, "kita marah bila Israel mengasari ummat Islam di Gaza, jangan kita pula mengikut perangai Israel".
Melihat dia mula teragak-agak saya pun menyatakan bahawa saya tahu Pewaris dan Pekida adalah NGO yang adik beradik. Penaung Pekida adalah PM maka semestinya begitu juga Pewaris. Kedua-dua NGO ini dikuasai oleh ahli UMNO. Saya tahu juga bahawa tindakan mereka ini, pada masa ini, ada hubung kait dengan PR kecil KT.
Mereka ingin menimbulkan ketegangan dan masalah kaum supaya dengan itu mereka boleh menjaja keseluruh negara bahawa PR telah gagal menyelesaikan masalah ini di Selangor; dan Selangor sekarang ada masalah perkauman. Dia diam dan selepas itu dia menegur saya kerana buruk sangka, tetapi dia tidak menafikannya.
Dengan itu saya berundur. Saya memberitahu pegawai Polis dan juga pihak penguatkuasa MBSA yang berada di sana bahawa ini tugas mereka. Mereka kena menjaga keselamatan dan keamanan. Saya difahamkan walaupun gelanggang tidak dibina, namun mereka ingin teruskan kenduri mereka. Mereka kata mereka akan menjemput saya sekali. Saya menjawab, ikut undang-undang.
Kalau pembinaan gelanggang dapat kelulusan MBSA, saya datang.Kalau tidak, program Aman Palestine di stadium Melawati pada 10hb jam 10 pagi adalah tempat yang lebih afdal bagi saya untuk hadir, begitu juga dia!WalLahu ‘AlamNOTA PENTING: Minta disebarkan perkara ini kerana dijangka provokasi yang sedemikian rupa akan digunakan lebih kerap lagi menjelang PRK-KT, maka harus sentiasa berwaspada. Jangan kita terpedaya!
Kuala Terengganu Dari Jauh
Semasa berlabun dengan seorang kawan – dia adalah salah seorang ahli taktikal dalam memantau pilihan raya dan bertanggung jawab memberikan info keselamatan kepada kerajaan – dia membayangkan bahawa PR Kecil Kuala Terengganu 17 Januari ini akan dipenuhi dengan ranjau bagi PAS.
Kuala Terengganu adalah penanda aras kepada BN. Jika PAS menang, ia memberikan signal bahawa rakyat memang 99 peratus sudah muak dan mual dengan BN. Imej PR sebaliknya akan melonjak tinggi. Ini sudah pasti menjadi ‘momok’ yang mengacau mimpin BN di siang hari.
Dalam kemelut Palestin di hujani bom dan peluru Israel, Kuala Terengganu pula dikerumuni sekian ramai polis.
Dalam kemelut Palestin di hujani bom dan peluru Israel, Kuala Terengganu pula dikerumuni sekian ramai polis.
Jumaat, Januari 09, 2009
Karpal yang keliru, bukan Anwar
Anwar Ibrahim buat pertama kalinya menyentuh isu hudud lewat ceramahnya di Kuala Terengganu. Katanya jelas: “Hudud yang akan dilaksanakan oleh PAS hanya meliputi kepada orang-orang Islam; bukan Islam tidak.” Cukup, terang dan jelas!
Bagaimana seorang tua yang matang seperti Karpal Singh masih terkeliru dengan kenyataan sedemikian. Karpal menjadikan hujah oleh MB Kelantan bahawa “tiada sebab orang-orang bukan Islam untuk menolak hudud kerana bila dilaksanakan, samalah seperti mana mereka boleh terima undang-undang Barat.”
Bagaimana seorang tua yang matang seperti Karpal Singh masih terkeliru dengan kenyataan sedemikian. Karpal menjadikan hujah oleh MB Kelantan bahawa “tiada sebab orang-orang bukan Islam untuk menolak hudud kerana bila dilaksanakan, samalah seperti mana mereka boleh terima undang-undang Barat.”
Apa yang pelik dengan kenyataan Tuan Guru Nik Aziz di atas? Saya nampak tiada yang pelik, bahkan terang dan jelas. MB Kelantan tidak pun memasukkan bahawa: “Orang-orang bukan Islam PATUT TERIMA HUDUD untuk dilaksanakan ke atas mereka, seperti mana mereka terima undang-undang Barat, tiada yang berbeza pun…”
Saya fikir, Karpal perlu meneliti banyak ucapan dan penegasan oleh pimpinan kanan daripada PAS. Hj Hadi sendiri selaku presiden parti, acap kali menegaskan bahawa hudud jika dilaksanakan, ia hanya untuk orang-orang Islam. Hujah yang sama apabila Tuan Guru Nik Aziz menyatakan, orang Islam wajib solat maka kewajipan yang sama juga kepada hudud bahkan qisas. Semuanya arahan Allah SWT.
Karpal tidak perlu risau. Memang benar, ada pandangan ulama fikah bahawa hudud atau pun qisas jika dilaksanakan di dalam sebuah negara, maka semua rakyat tanpa mengira agama wajib dihukum secara saksama. Namun, itu hanya berlaku di dalam sebuah negara yang bernama NEGARA ISLAM. Bagi Malaysia, negara ini masih separa-Islam separa-sekular, maka ia tidak termasuk dalam kategori NEGARA ISLAM.
Seandainya Karpal meneliti sejarah Islam, semasa Nabi Muhammad SAW mengasaskan Negara Madinah lebih 1400 tahun dahulu, Nabi Muhammad SAW telah merangka satu perlembagaan yang dinamakan Syahifatul Madinah. Ia adalah perlembagaan pertama di dunia yang diiktiraf oleh para sejarawan. Perlembagaan itu memasukkan banyak perkara, namun maksudnya hanya satu iaitu, semua bangsa dan agama yang bernaung di Madinah tertakluk kepada perlembagaan itu. Semuanya bersetuju dan oleh kerana itulah, mereka tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang sama dengan kaum muslimin.
Karpal juga perlu tahu, bahawa di Madinah ketika itu terdiri daripada pelbagai jenis manusia. Masyarakat majmuk sudah ada di Madinah. Ada bangsa Afrika, bangsa Iran dan masyarakat Arab itu sendiri pun berbilang keturunan. Bangsa Yahudi yang mendiami Madinah ketika itu juga terdiri daripada pelbagai puak. Namun semua mereka mengaku dan bersetuju tunduk kepada perlembagaan, maka tiada bezalah di antara mereka dan umat Islam. Semuanya mendapat faedah yang sama dan jika berbuat jenayah, hukumannya sama juga.
Di Malaysia, jika Karpal serius mahu melihat PAS berjaya merealsiasikan agenda hududnya, maka berilah PAS peluang. Jika Pakatan Rakyat berjaya menubuhkan kerajan, maka boleh sahaja perlembagaan dipinda dan memberikan PAS peluang melaksanakan hudud di Kelantan, Terengganu dan Kelantan misalnya. Kemudian, Karpal boleh menilai sejauh manakah keberkesanan hudud dan qisas menangangani jenayah. Seandainya belum dilaksanakan lagi pun, Karpal sudah menghentam…maka samalah seperti mana Pakatan Rakyat mengatakan: “rakyat belum beri peluang pembangkang jadi kerajaan tapi sudah menghukum bahawa pembangkang tidak reti mentadbir, mana adil…berilah kami peluang dahulu, kemudian lihatlah hasilnya.”
Saya suka mengesyorkan Karpal berbicara secara lembut dan bijaksana dengan Tuan Guru Nik Aziz ataupun Tuan Guru Haji Hadi. Islam ini bukanlah agama yang mahu menghukum orang. Sebab itu dalam Islam ada kaedah: “Mencegah lebih baik daripada merawat.” Undang-undang Islam yang Karpal tak setuju itu, inilah maksudnya. Mencegah daripada berlaku. Mungkin Karpal perlu semak statistik jenayah di Arab Saudi dan bandingkan dengan New York atau Malaysia. Selepas itu baharulah Karpal sedar dia ‘menghukum’ terlalu awal sebenarnya.
Sebagai seorang pemimpin utama dalam DAP dan Pakatan Rakyat, Karpal mesti lebih matang dan bijaksana dalam memberikan komen dan pandangan. Saya yakin, Karpal adalah ahli politik yang sangat matang. Jadi, janganlah menghakis keyakinan itu, daripada saya seorang anak muda yang selama ini menghormati prinsip dan perjuangan Karpal dalam memberikan erti demokrasi sebenar kepada kami.
Wallahua’lam.
Rabu, Januari 07, 2009
Kisah Yahudi di sisi sejarah
Ketika mana rasulullah saw berhijrah ke Madinah dan menubuhkan sebuah negara, sebuah perlembagaan telah dirangka bagi menyatu-padukan penduduk Madinah yang plural. Maka lahirlah Syahifatul Madinah - Perlembagaan negara pertama yang diiktiraf oleh dunia. Ia adalah manifestasi kebijaksanaan seorang rasul.
Negara Madinah didiami bukan sahaja orang Arab, tetapi juga golongan 'ajam. Ada Afrika (Habsyah), Iran (Farsi) dan Yahudi. Menurut sejarah, kala itu bangsa Yahudi sahaja terdiri daripada pelbagai puak. Ada Bani Quraizah, Bani Nadhir, Bani Khaibar, Bani Najjar, Bani Awf, Bani Qainuqa, Bani Hars, Bani Saidah dan sebagainya lagi.
Seluruh bangsa Arab daripada pelbagai puak dan kaum yahudi daripada pelbagai puak juga bangsa 'ajam menyetujui dan memeterai perjanjian untuk mentaati Piagam Madinah ini. Antara isi kandungannya:
Fasal 44:
Mereka (pendukung piagam) bahu membahu dalam menghadapi penyerang kota Yatsrib.
Namun begitu, pasca peperangan Uhud menyaksikan umat Islam goyah. Mitos kekebalan dan kehebatan tentera Islam pimpinan rasulullah saw lewat Badar Kubra sudah terlerai. Maka, beberapa konspirasi telah dijana bagi memudaratkan negara Madinah dan Islam. Komplot ini antara lain menggabungkan dua elemen musuh Islam - Yahudi dan Munafiqin! Bani Nadhir akhirnya dihalau oleh rasulullah atas komplot hina ini.
Dalam Peperangan Ahzab atau Khandaq pula, Bani Quraizah telah melanggar perjanjian dengan memberikan bantuan kepada musuh-musuh Islam. Akhirnya mereka dihukum dengan semua orang lelaki (dalam lingkungan 600 orang dan seorang wanita) dibunuh dan anak cucu mereka dijadikan tawanan manakala harta mereka dibahagi-bahagikan. Menurut sejarawan, hukuman ini sesuai dengan sifat 'duri dalam daging' kaum Yahudi. Pepatah Melayu mengibaratkan mereka seperti 'gunting dalam lipatan', 'api dalam sekam', 'pepat di luar rencong di dalam' dan 'talam dua muka' yang tidak boleh dipercayai.
Sebenarnya, Islam menunjukkan golongan Yahudi ini hanya boleh diangkat menjadi kawan apabila mereka berubah akidah mereka. Hal inilah yang terjadi kepada Abdullah bin Hussain atau lebih terkenal sebagai Abdullah bin Salam dan ramai lagi. Mereka menanggalkan kelongsong kesesatan dan menyarung jubah keimanan. Baharulah mereka mampu mendatangkan manfaat kepada umat Islam.
Menyinggung senario kekejaman Yahudi-Zionis di Palestin hari ini...adakah kita masih yakin dengan usaha perjanjian dan gencatan senjata? Sejarah sudah pun menyajikan jawapannya...
Langgan:
Catatan (Atom)