Rabu, April 30, 2008

Balik kampung? Baliklah jangan tidak-tidak...


Emak telefon. Mak kata mak rindu. Tapi anak mak sibuk. Maklumlah, anak mak pengurus jabatan. Bukan calang-calang jabatan mak, tapi jabatan korporat. Anak mak kena hadir macam-macam majlis. Mesti pandai bergaul dengan orang-orang kenamaan. Mak tahu tak, orang-orang kenamaan itu berpangkat datuk, tan sri dan tun mak. Sebab itulah anak mak ini sibuk. Sebab tulah, susah anak mak untuk jawab panggilan telefon emak. Emak faham kan?

Cuti Hari Buruh yang akan hadir ini pun mak, anak mak ada seminar. Anak mak kena wakili syarikat. Bos anak mak yang berpangkat Tan Sri kata, kami kena rebut projek bernilai juta-juta ringgit. Jadi, anak mak terpaksalah batalkan kepulangan ke kampung. Rasanya mak mungkin dah baca SMS saya kan? Alah…suruh sahajalah Adik bacakan. SMS tu pun ringkas, bukannya panjang sangat.

Eh mak, minta maaflah…ada panggilan telefon masuk ni. Handphone anak mak ni memang sibuk selalu. Nantilah, kalau-kalau anak mak ada masa, lepas ini anak mak hubungilah emak balik ye…

Dan e-mail separuh jalan itu pun terhenti. Ia sepatutnya disiapkan dan dihantar segera kepada adik di kampung. Maklumlah, rumah mak dah ada internet…tapi panggilan daripada Tan Sri lebih penting. Agak-agaknya…bilalah email itu akan siap, agak-agaknya…bilalah ‘si anak’ akan pulang ke kampung. Mak dah tua dan mak hanya menanti masa…

Selasa, April 29, 2008

Bagi la kat kami sama...



Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menuntut kerajaan Pusat meminta maaf kepada kerajaan dan rakyat Kelantan kerana kesalahan tidak menyalurkan bantuan tertentu kepada negeri itu sebagaimana mengikut amalan sistem demokrasi.

Bernama memetik Nik Aziz berkata, sejak 18 tahun yang lalu, Kelantan diperintah oleh PAS tidak menerima peruntukan untuk program perumahan kos rendah dan bantuan kelengkapan peralatan untuk pihak berkuasa tempatan (PBT) yang sepatutnya disalurkan oleh kerajaan Pusat.

"Terengganu sekarang minta kembali royalti minyak negeri itu. Kita juga ada hak untuk minta (peruntukan dan bantuan) kerana ia bayaran yang sepatutnya kami terima. Kenapa negeri lain dapat, kenapa Kelantan tidak dapat, sedangkan ini negara demokrasi," katanya kepada media selepas majlis angkat sumpah Anggota Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim semalam.

p/s: Sedikit sama dicecah, banyak sama dilapah...tak gitu Pak Lah?

Isnin, April 28, 2008

Nyemah Mulya sudah berhenti mengganggu saya



Saya terus menekunkan diri menghabiskan novel remaja ini. Saat sebelum tidur, waktu makan biskut cecah milo di dapur dan di ruang tamu pastinya. Saya mahu habiskan segera memandangkan pada bulan April ini, belum ada sebuah buku pun lagi yang saya habiskan. Saya sudah berazam, setidak-tidaknya sebulan sebuah buku. Memang saya ada membaca beberapa buah buku lain, tapi hanya ini sahaja nampaknya yang sempat saya habisi. Kuras Kreatif Pak Azizi belum tamat dan Ahmanidejad Si Singa Farsi pun baru separuh. Ayat-ayat Cinta saya tawakufkan dahulu. Alhamdulillah, Sabtu cuti kelmarin, habislah kisang Nyemah ini.

Semasa membeli buku ini di Pesta Buku KL dahulu, FT tersenyum sahaja. Katanya ini novel remaja, dan saya bukanlah remaja lagi. Saya peduli apa. Saya mahu membaca dan menikmatinya juga, kerana novel ini pernah dibicarakan di sebuah seminar di Aswara dahulu. Kisah FT memutar belitkan sejarah opss…maaf, menukar sejarah. Lebih tepat meruntuhkan sebuah sejarah dan membina sebuah sejarah baru. Sejarah dari kaca mata kita sendiri; dan bukannya berkaca matakan penjajah. Sebab itu saya mahu membelinya juga.

Setelah tamat membacanya, saya membuat satu kesimpulan mudah. Kita mesti mencipta dan mencatatkan sejarah kita sendiri. Jika tidak, kita akan jadi mangsa. Umat Melayu menjadi mangsa kerana mereka membenarkan ‘orang lain’ menjadi pencatat sejarah mereka. Agakan saya, jikalah Tun Sri Lanang melihat sejarah Melaka, pasti sedih tidak terkira. Apatah lagi kini umat Melayu tak habis bercempera. Hem…sudahlah, setidak-tidaknya Nyemah Mulya tidak mengganggu tidur saya lagi.
p/s:
1/ semalam saya sudah siapkan buku pertama saya...petang ini insya Allah jumpa penerbit. Boleh ke keluar buku saya tu ye...?
2/ alamak, tq Mr JR...bukan 1511 tapi 1515, :-)

Jumaat, April 25, 2008

Nyemah Mulya 'mengganggu' tidur saya

"A Famosa...saksi sejarah makar si Feringghi dan alahnya kerajaan Melayu yang kata FT...mudah lupa!"

Nyemah Mulya serikandi Melaka, Dr Adi Fimiyun jatuh cinta dengan Frida, bondanya Nyemah Mulya juga, seorang professor sejarah tersohor dan Fimiyun tenggelam dalam kancah 1511, saat Melaka jatuh dan punah-ranah dimamah Alburqurqe. Maude pula tidak lelah merencanakan sesuatu buat suaminya Fimiyun yang tenggelam dalam amnesia serius. Sejarah bakal berubah? Bagaimana cinta Frida-Fimiyun. Selamatkah Nyemah Mulya daripada serakah Feringghi, dibawa balik sebagai budak suruhan Benggali Putih. Mampukah Melaka melakar sejarah baru di tangan Fimiyun.

Aduhai…saya tidur lewat semalam, hampir jam 2 pagi! Buku 1511 karangan Sdr FT mengganggu saya. Sukar untuk melelapkan mata dibuatnya. Hampir khatam buku itu saya kuliti… Sayang! Andaikanlah hari ini bukan hari Jumaat dan semalam saya boleh tidur lewat…

Rabu, April 23, 2008

Antara rakus dan sudah terlambat


Ini cerita semasa ada mesyuarat khas parti yang tarikhnya seiringan dengan pesta buku di PWTC. Saya melewati seorang pakcik polis beruniform putih. Saya menjinjing beg plastik berisi buku di samping memegang tangan dua anak lelaki saya. Banyak kereta besar dan mewah. Ramai yang melepakkan diri di café sambil minum dan borak. Mereka nampak relax walau baru kalah dalam PRU. Saya malas ambil tahu. Saya datang untuk beli buku. Namun, saat melewati pakcik polis, saya menegur dan dia membalas sapaan saya. Anda tahu, ada dua kalimah yang menyimpulkan segala telah terpacul dari mulut pakcik polis tua. Kini, kalimah itu melekat kuat di minda saya…kata pakcik polis itu:

Sudah terlambat dah…rakus sangat…!!!

P/s:
1) Today breaking news, seorang ex-cabinet yang saya rasa kenal siapa orangnya dituduh mencabul pula…aduhai, benarkah kata pakcik polis dahulu…rakus…!
2) Salam takziah saya kepada keluarga Rustam A. Sani...pemergiannya terlalu dirasai oleh pencinta Islah!

Selasa, April 22, 2008

Blog dan kawan-kawan

"Saudara Jiwa Rasa (kiri sekali berbatik pucuk pisang) dan Puan Nisah Haron (novelis pemilik Ujana Ilmu di kanan sekali sedang kusyuk membicarakan perihal blog dan blogger"

Rakan dan kenalan yang sering menyinggah di meja saya sering teruja melihat saya memiliki blog sendiri. “Eh, engkau ada blog, bolehlah kau ajar aku buat satu eh…” Demikianlah komen dan first impression mereka, mereka pun ingin ada blog sendiri.

Saya mula berblog pada tahun 2006. Saya bukan seorang programmer, jauh sekali pandai dan tahu tentang soft ware komputer. Sebab itulah, semasa mula-mula berblog, terkial-kial jugalah saya mencuba itu dan ini, omputih kata 'trial and error'. Saya cuba buat posting dan bila artikel yang saya tulis dipaparkan, saya gembira. Saya tahu, kelak orang lain pun boleh akses kepada artikel saya itu.

Kala itu, saya teraruh dengan keghairahan abang ipar saya, Saudara Jiwa Rasa. Hari Ahad beberapa minggu yang lalu, beliau dijemput selaku panelis di Astaka Minda DBP, takhasus membicarakan ehwal blog dalam dasawarsa terkini (iyalah, dampak blog dan blogger mampu mencetuskan riak tsunami lewat PRU lalu...). Ahad baru-baru ini (20 April 2008), pendapat beliau dicuplik lagi oleh Berita Minggu:

Seorang blogger harus mampu melahirkan dirinya dalam penulisan, mahu berkomunikasi dengan orang lain dan berterus terang. Blogger, Yasser Arafat Ishak yang dikenali sebagai Jiwarasa berkata, blog yang baik selalunya akan mendapat perhatian dan ibarat pasaran terbuka yang pengunjung mempunyai pilihan. Blog yang baru sering meletakkan alamat blog yang bagus di blog masing-masing. Katanya, memuatkan blog yang bagus di blog masing-masing bagaikan satu trend untuk menempatkan diri dalam kelompok blog. “Pengunjung blog juga cerdik dan bijak memilih bahan yang baik. Mereka selalunya akan membuat rujukan silang di mesin carian Yahoo dan Google untuk mendapat kepastian sesuatu fakta yang ditulis di blog,” katanya.

Nah...Usul saya kepada kawan-kawan, jika anda sudah terdetik di hati untuk berblog, teruskanlah sahaja. Namun, manfaatkanlah blog itu demi kebaikan jangka panjang, manalah tahu dari blog yang ‘cikai’ itulah, satu masa nanti kita mampu menjadi penulis hebat seperti A. Samad Said…amin.

Isnin, April 21, 2008

Kutitip rinduku bertalu-talu

Kutitip rinduku bertalu-talu
lalu sambutlah salamku ini
dari desiran angin yang rakus menggila
jangan biarkan ia bergelintaran pada pusar-pusar masa
dan tergeletak pada detak diri yang kesasar entah di mana

Marilah, tolong alas salamku ini di atas ambal yang redup
dipayungi pepohon rendang kala sore menjelang
nah, ada bianglala bercipratan dan senja jadi meriah
lalu kesuguhkan puisi cinta
pada sebuah senja lewat rintihan gemawan merah
yang baru menangisi sebuah kehidupan

Tuhan,
manusia dan alam bercakaran
alam jadi rosak di atas rakus sang manusia
kapan bilakah dunia ini bisa aman
lalu kubungkuskan salamku
kusimpan pada kartu waktu
moga satu masa aku bisa senyum
melihat mentari merona
tanpa duka dan air mata.

U-HAH
21 April 2008
Shah Alam

Jumaat, April 18, 2008

Anda ada jawapannya? Tolonglah berikan kepada saya!

"Berucap di tempat awam tanpa permit polis menyalahi undang-undang," kata Ketua polis Kuala Lumpur Datuk Muhammad Sabtu Osman (Malaysiakini.com).

Hati saya meracau halus…di manakah letaknya profesionalisme anggota tertinggi polis Malaysia? Sampai bilakah isu dikriminasi antara parti akan berkubur? Kenapa bila Umno berhimpun secara haram di perkarangan Komtar, melaungkan suara kebencian di perkarangan SUK, tiada tindakan serupa dibuat?

Anda ada jawapannya? Tolonglah berikan kepada saya!

Khamis, April 17, 2008

Inilah masanya, saya betul...Anwar masih penghidup seni, sastera dan bahasa Melayu!

Dunia Sastera dan Kekuatan Puisi

Dalam pidato saya di majlis memperingati almarhum Hamka minggu lalu saya menyinggung keistimewaan Hamka selaku ulama dan saterawan. Novelnya menggugah rasa, menyelami sukaduka rakyat; dan mungkin sosok sedemikian jua yang mampu mencernakan rasa hati rakyat, dan menambah kehebatan beliau selaku ulama, da’I dan intelektual rakyat. Diperhimpunan 14 April, Tan Sri Khalid berhujah bersandarkan puisi WS Rendra, Rajawali! Perasaan saya tercuit kerana Rendra pernah mengirim puisi tersebut ke Sungai Buloh. Dan saya terharu mengenangkan sahabat kami Abang Usman dan dua puisi terakhir beliau, Jentayu yang Luka dan Selamat Hari Jadi.

Dipetik daripada halaman http://anwaribrahimblog.com/

Rabu, April 16, 2008

Pandangan saya terhadap sdr Faisal Tehrani

Salam FT,

sdr memang hebat, kerana dapat menganalisa secara mendalam dan analitikal sekali dan tidak lupa, juga kritikal amat. Sdr punya kelebihan dalam memberikan pandangan, lantaklah...ini blog saudara dan saudara boleh tulis apa-apa sahaja. Saya melihat isu PAS adalah isu manusia. Saya pun masuk PAS lebih awal dari Hasan Ali. Saya pun dapat tengok beza PAS dahulu dan PAS kini. Dulu kita ada Ibrahim Libya, kini entahlah...Mustafa Ali kot...
Sdr, PAS tetap akan buat salah...itu nature organisasi. Mana ada org atau organisasi tak de buat salah langsung, jadi bila ada org spt sdr maka adalah suara yang menegur. Tak salah menegur dan paling baik teguran itu disalurkan dengan baik. Saya pasti hj Mohamad Sabu pun setuju jika kita salurkan cara baik...
Saya hanya letakkan satu perkara, kemenangan PAS bersama konco-konco politiknya adalah mekanisme mengambil kuasa menerusi p/ raya. Jika anda sudah mengiktiraf p/ raya, maka anda harus bersedia dengan sepak terajangnya.
Sebab itu, kekadang terbaca artikel tulisan Hizbut Tahrir, terpikir juga p/ raya dan segala bentuk pemerintahan moden spt demokrasi ini adalah ciptaan barat, sebaliknya Islam menganjurkan sistem khilafah...so, apa nak buat sdr FT...mungkin kena bincang dan post mortem, PAS balik duduk sorang-sorang dan tak payah buat kerjasama politik dgn sapa-sapa...kemudian lancarkan jihad demi kekuasaan...wallahua'lam.

Selasa, April 15, 2008

Di sini kutemui asal diri yang daif


Detik-Detik Diri Di Daerah Daif Penulis: Shahnon Ahmad Penerbit: DBP No. KK: 642 50105101 No. ISBN: 9836220194 Tahun Terbitan: 1995 Harga Buku: RM10.00
Menekuni karya-karya SN Pak Shahnon memang mengujakan. Sejak saya mulai memesrai hasil para sasterawan negara, saya sudah terpikat kepada SN Pak Shahnon. Karyanya tulus mulus menggambarkan reality masyarakat. Sepak terajang dan jatuh bangun manusia-manusia digambarkan secara rincinya. Betapa demikianlah namanya kehidupan, ada masanya kita menangis gembira dan ada waktunya terjelepuk ke atas tanah diuji duka. Betapa ramai golongan atasan yang mengambil kesempatan, kawan makan kawan dan saling menjatuhkan. Pergolakan politik nasional selalu cair di tangan Pak Shahnon. Bahkan tidak kesasar andai saya menabalkan Pak Shahnon adalah seorang SN yang paling Prolifik tanah air.

Karya Detik-detik Diri Di Daerah Daif ini hakikatnya adalah satu pengakuan berani lagi berterus-terang pengarangnya. Cerita tentang sebuah kawasan kecil di utara tanah air. Kampung dan daerah yang terpencil dan jauh daripada permodenan dan amat kaya dengan kemunduran dan kemiskinan. Kisah bukit-bukau dan sungai, kisah bendang dan kerbau keweh, kisah balaisah dan kisah anak-anak ceredung mengelek ayam pupuh buat berlaga, kisah orang-orang tua yang bergalak dengan pancang tengah arusnya, kisah hobi berdenak terkukur, kisah sama-sama menebas menerung dan memerun, kisah yang memang membangkitkan nostalgia silam khidupan sebuah kampung.

Pada kali pertama menatap naskhah ini lewat 1992 dahulu, terasa puas membacanya. Namun, saya kehilangan naskhah ini setelah bertukar tangan…biasalah kawan-kawan kan suka pinjam-meminjam. Lama kemudian, kini saya membelinya lagi sebagai melengkapi koleksi SN Pak Shahnon di rumah dan saya ralit menikmatinya. Terasa segar cerita pak Shahnon, hati saya digeletek amat ketika menggambarkan gamatnya kehidupan beliau bersama Usop Debeng, Saad Gugut dan Melah dan Siti. Kisah mereka menyelam dalam alir jernih Sungai Ceper main sembunyi pucuk buluh dan nampaklah segalanya di bawah air itu, kerana mereka main bersama lelaki dan budak perempuan, menghimbau kenangan betapa itulah sejarahku. Bahkan kami main sembunyi batu di dasar lata, kemudian carilah batu itu sampai jumpa.

Pak Shahnon ghairah bercerita tentang saat dia memasuki alam baligh, saat mimpi basah mendatanginya saban malam, saat perasaannya sudah membunga kala menjeling Siti dan Esah, saat suara garau menggarok tenggorokan dan saat dia kenal apa kehendak lelaki dan wanita. Juga saat disengat ikan keli yang mengap-ngap sampai ke ketiak, lalu mereka pakat kepong budak-budak lelaki belum berkhatan untuk mendapatkan sedikit tahi kalat buat ubat, atau saat balaisah roboh disesah angin dan sama-samalah mereka membangunkannya kembali lalu menadah kitab buruk mengaji, saat ayah beliau naik ke bukit cari terkukur jalang, saat emak menjengil mata bila Pak Shahnon Tanya kenapa orang bersunat seperti makan pisang buat kulit seperti yang Tok Diah cerita dan saat buka tapak saidina Ali dengan silat gayung fatani sampai terjatuh tersembam depan pengantin.

Semuanya menggamit memori indah. Aku membayangkan, itulah rempah ratusnya yang mengkayakan khazanah seorang sasterawan sehingga Pak Shahnon kekal orang hebat di arenanya.

Selasa, April 08, 2008

Kepelbagaian pendapat pasca p/raya...ini pandangan saya


Saya ada pelbagai jenis kawan. Ada yang fikrah Islamnya cenderung kepada PAS, JIM, ABIM, Tabligh dan sebagainya. Tipa ini saya anggap sebagai Islamic-Front, hasrat dan niat sama mahu melihat Islam berdaulat walau wala’ dan taat mereka berbeza mengikut jamaah memasing. Namun saya juga berkawan dengan bebudak nasionalis-front seperti umno. Ada juga kawan saya yang duduknya bagaikan di tengah-tengah, nak kata terlalu Islami tidak; nak kata nasionalis pun tidak. Inilah dia pendokong keAdilan yang bagi saya meneruskan kelangsungan survival DAP dan PRM. Mereka tidaklah taksub meletakkan agenda agama di atas tetapi bergerak mengikut kemelut massa…inilah pandangan jujur saya.

Saya mengunjungi beberapa pandangan teman-teman, ada yang sarkastik dan kritikal sekali dengan ide penggabungan PAS, DAP dan PKR di bawah satu identity. Nama Pakatan Rakyat menjadi pilihan dan semua rasanya sudah maklum, dek kerana Hj Hadi sendiri meuar-uarkannya lewat 31 Mac 08 di hadapan puluhan ribu penyokong pembaharuan.

Pakatan ini idea baik, itu respons saya bahkan saya sudah mencanangnya kepada kawan-kawan lama dahulu sebelum pilihan raya berlangsung. Namun, ada kawan-kawan mulai gusar hala tuju PAS. Adakah PAS akan hanyut dengan kebanjiran kuasa. Lalu timbullah pula pembahagi antara Islam-sentrik dan kuasa-sentrik di dalam PAS.

Saya khuatir, isu memanfaatkan kemenangan akan terburai jika usaha mengukuhkan pertalian yang rapuh ini gagal. Saya jelas, hubungan DAP dan PAS memang membara bahangnya sejak sekian lama. PAS geger dengan idea negara Islam, suatu yang elergi kepada DAP. Isu ini pun kian reda, Cuma mainan nakal media massa sekali-sekala berjaya mengocak kekeruhan di muara. Sayangnya ada aktivis PAS mudah terpancut latahnya, walhal kita patut sudah mangli dan masak bangat dengan tipu helah media pro-BN ini.

Saya juga melihat, DAP hari ini sudah berubah wajah menjadi lebih lunak berbanding 10 atau 20 tahun lalu. Jika dahulu tampang DAP lebih selesa menjadi pembangkang yang kuat dan itulah yang diusahakan; namun kini mereka mahu memerintah dan itulah pun yang mereka lakukan di Pulau Pinang. Bahkan Guan Eng nampaknya mewakili generasi baru dalam DAP, bervisi nasional dan tidak prejudis agama mahu pun perkauman. Tindak-tanduknya yang mesra dengan institusi agama di Pulau Pinang menuntaskan segala.

Oleh itu, saya beranggapan cukuplah…cukuplah kita mengeruhkan suasana. Bijaklah memberikan idea dan berhemahlan berkata-kata. Berikut adalah pandangan saya yang dipostingkan ke dalam komentar blog Faisal Tehrani:

FT dan Najmi,

Antuma berdua toksah berkelahi dengan isu ini. rugikan masa dan tenaga. ana ambil sikap berhat-hati dlm semua hal. ana sokong Pakatan Rakyat dalam p/raya atas satu alasan, menumbangkan kezaliman. bagi ana, Tian Chua lebih baik daripada Pak Lah jika dia adil, telus dan amanah. ana sokong demi perubahan dan kini...perubahan sudah pun berlaku walau hanya sedikit.

FT dan Najmi, PAS sudah melalui pelbagai tribulasi. ana rasa FT lebih maklum dan mereka yang pernah hidup zaman Yusuf Rawa sehingga kegemilangan di bawah Dato fadil noor bersetuju, pas begitu masak dan ranum dgn sepak terajang politik.

Ana yakin, percaturan ini pasti ada pemantaunya. pas ada jawatankuasa pusat dan ada j/k mesyuarat hariannya bahkan ada majlis syura dan mursyid am, jadi ini semua adalah pengimbang kpd kuasa seorang presiden.

Jadi, berhemahlah dalam memberikan pendapat dan bersabarlah menerima teguran. pemimpin boleh berganti, datng dan pergi namun dasar dan perjuangan adalah legasi hakiki...Allahuakhbar!!!
Kredit: Di Atas Adalah Foto Faisal Tehrani dipetik daripada halaman sesawang: http://www.akademipenulis.com/imej/isi/ft1.jpg

Isnin, April 07, 2008

Amanat Hassan Ali

Shah Alam, 7 April – YB Dato’ Dr Hj Hassan Hj Mohamad Ali, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor merangkap Pengerusi Tetap Jawatankuasa Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam telah sudi hadir ke perhimpunan bulanan warga kerja Bangunan Sultan Idris Shah di sini.

Perhimpunan bulanan itu mengumpulkan semua kakitangan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Mufti Selangor dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Di dalam ucapannya, beliau menegaskan adalah penting bagi semua kakitangan yang berlabelkan agama Islam ini menunjukkan contoh tauladan terunggul kepada semua pihak dan agensi kerajaan yang lain. Beliau juga meletakkan harapan agar semua kakitangan sama-sama berganding bahu dengan kerajaan negeri yang baru di dalam menjayakan pelbagai dasar.

“Dasar-dasar kerajaan negeri yang lalu, yang mana baik dan tidak bercanggah dengan Al-Quran, Al-Hadis, Ijmak dan Qiyas pasti akan kita teruskan. Namun sudah pasti kerajaan negeri yang baru ini mempunyai pendekatan yang sedikit berbeza dan mungkin juga polisi yang baru. Oleh itu, bantulah saya dan bantulah kami kerajaan negeri untuk menjayakan segala polisi yang dirancang demi kebaikan semua.” Ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh aspek pengukuhan diri dan organisasi. Agenda solat adalah menjadi mauduk utama. Bahkan secara humor dan bernada lelucon beliau turut menyatakan, mereka yang datang ke pejabat dalam ke adaan bermuka masam, pasti hal ehwal rumah tangganya tidak selesai sebelum mereka melangkah keluar dari pintu rumah.

“Sehubungan dengan itu, saya berazam untuk memastikan tuan-tuan dan puan-puan menjadikan agenda solat sebagai agenda utama. Kita akan meniru apa yang telah diadakan di beberapa buah organisasi luar yang mampu merencanakan program solat berjamaah setiap hari bersama bahkan tazkirah menjadi budaya. Saya juga akan menganjurkan bengkel kekeluargaan kepada suadara-saudari semua secara percuma, insya-Allah.”

Penegasan itu disambut baik oleh ramai kakitangan di bangunan ini. Rata-ratanya menganggap apa yang disampaikan itu adalah wawasan kerajaan negeri yang baru terhadap hala tuju institusi agama di negeri Selangor. Seperti kata seorang kakitangan LZS: “Dato’ Hassan bukan sekadar mampu memukau audiens dengan pidatonya yang hebat; tetapi beliau pasti akan membawa semua warga kerja institusi Islam ini ke arah yang lebih dekat dengan Allah dan lebih mesra alam dengan rakyat, insya-Allah.”

Selasa, April 01, 2008

Bila budak berumur 8 & 9 tahun berbicara soal politik


Kami dalam kereta dan bendera parti semasa pilihanraya masih berkibar merata-rata. Tiba-tiba anak kedua saya yang terkenal kebecokan mulutnya bertanya soalan yang tidak terdetik di minda...

“Huish...banyaknya bendera abi...abi...abi ni sokong belah mana abi?” Alamak, anak zaman siber ni canggih betullah!

“Abi mestilah sokong parti Islam! (tiba-tiba saya ternampak bendera hijau berkibar) Ha..., tu bendera apa tu abang ngah?”

“Oh…ho, abang ngah tahu, itu bendera parti Islam-lah abikan!”

“Ya, betul. Abang ngah sokong parti mana?” Saja je saya menanyakan soalan yang tidak relevan kepada anak saya.

“Ha…abang ngah sokong parti....parti bendera itulah…abi”

“Kenapa?” Saya menubi minda anak saya...

“Heh…kenapa....kenapa ya abang long? Ha....Sebab…sebab...entahlah abi…” Saya tersenyum, anak saya masih mentah dan mereka manalah tahu ehwal politik ni...tiba-tiba...

“Ha! Abi tu pula, kenapa abi sokong parti islam tu abi?” Anak sulung saya yang lebih matang daripada adiknya pula nampak lebih pandai mengorek rahsia.

“Ok, abi sokong kerana abi orang Islam dan lagi...kerana parti itu ada tok guru…tok guru itukan orang alim, orang alim tukan pewaris nabi...ha, kenal tok guru...kenal ke?” Berjelalah pula syarah saya...

“Tok guru…kenal…kenal.”

“Pernah ke tengok wajah tok guru?” Saya bertanya lagi, sekadar menguji benarkah anak-anak sekecil ini sudah kenal siapa Tok Guru...

“Em…ala...abang long…yang mana eh…kita tak ingatlah?” Si adik mengalah dan meminta pertolongan kepada along yang memang suka membaca (saya pernah lihat dia membaca buku Shahnon Ahmad!) dan kedua-duanya nampak memerit-meritkan dahi dek kerana cuba mengingatkan wajah tok guru...

“Ha, inilah dia…” Sambil mengunjukkan senaskhah akhbar yang terpamer wajah tok guru.

“Ha…abi, kita sokong yang inilah, sebab…sebab…sebabnya abi, tok guru ni kan baik. Kita mesti sokong orang baik!” Anak kedua saya menuntaskan bicara dan menutup peluang untuk saya bertanya lagi.

Kesimpulan: Selagi mana Tok Guru dijadikan pimpinan, insya-Allah manusia akan yakin memberikan sokongan dan Allah SWT pasti memberikan pertolongan, amin.

Khamis, Mac 27, 2008

Mamat Jongos...

Cik Mamat Jongos naik basikal keliling kampung. Dia berang kerana katanya anak-anak buah kampungnya dah jual maruah. Sambil mengayuh basikal tuanya yang berkeriut sana sini, dia tak habis-habis mengangkat tangan. Orang yang berselisih dengannya senyum sahajalah, mereka kasihan kepada Mamat Jongos, kerana dia seperti kecewa apabila pinangannya ditolak. Maklumlah, sebelum ini dia sudah banyak kali bernikah dan bernikah. Umurnya si Mamat Jongos pun sudah mencecah awal 50-an, mengikut sejarah hidup Mamat Jongos, dia sudah kahwin enam atau tujuh kali. Isteri-isterinya itu bukanlah semuanya senang hati sangat, dua atau tiga orang sudah pun diceraikannya dengan talak satu…saja kata Mamat Jongos, nanti aku teringin boleh rujuk balik!

Setiap kali dia berkempen untuk masuk meminang, maka akan dicanang keliling kampunglah perihal kejayaannya membahagiakan kesemua isterinya yang terdahulu, betapa setiap daripada mereka diberikan banglo enam bilik setiap seorang dan anak-anak yang diberanakkan pun dia beri lot saham. Uweekkk sahaja suara bayi anak Mamat Jongos, budak mentah itu sudah ada satu lot saham…itulah, setiap kali sambut hari jadi akan bertambah lagi satu lot.

Pernah juga anak Mamat Jongos yang kini lebih jongos dari ayahnya sendiri bertanya, dari mana ayahnya dapat duit sebanyak-banyakknya untuk membeli saham buat mereka, dengan tersengih sambil memintal misai panjangnya Mamat Jongos hanya berkata: “Apak suruh lah tu, orang-orang yang lalu lalang di hadapan rumah kita tu bayar tol, sebab apaklah yang sudah keluar duit dahulu membina jalan, jambatan dan menjaga maintenance saban bulan.”

Gitulah, adalah seorang anak dara umur 17 tahun yang cerdik, dapat Pangkat 1 dengan 10 A dalam SPM menjadi kegilaan Mamat Jongos. Anak dara itu milik Pak Abu Seman hujung kampung. Mamat Jongos pasang perangkap, saja je dia menayang-nayang jet peribadinya kepada Pak Abu Seman si drebar Bas Merah Kuning di kampung itu. Mamat Jongos tahu, orang tua sekutuk Pak Abu Seman pasti akan berlenja liurnya melihat jet peribadi Mamat Jongos bersidai depan rumah.

Kekadang, Mamat Jongos sengaja menayang-nayang helicopter Pumanya yang berdengung-dengung memusingkan kipas. Habis terbang segala kain di ampaian rumah Pak Abu Seman. Jenuhlah Si Milah anak dara 17 tahunnya mengutip kain-kain itu sambil hatinya menyumpah-nyumpah, apalah tua pikun tak sedar diri asyik nak menayang kekayaan peribadi. Pernah satu hari, hampir terselak kain Milih anak dara 17 ditiup angin kencang helicopter Puma Mamat Jongos, hampir-hampir terselak dan tersingkaplah betis bunting padinya…dan hampir-hampir terbelalak hingga nak tersembul macam nak terbit mata Mamat Jongos melihatkan kain batik Milah yang tergebar-gebar di sesah angin kipas helicopter Pumanya…..

Selasa, Mac 25, 2008

Isu-isu Pasca Pilihanraya 2…


1/ Isu perlantikan para exco negeri Selangor telah selesai. Gandingan Mantap: 4 PKR, 3 DAP dan 3 PAS, demikianlah tajuk besar akhbar Sinar Harian 25 Mac 2008. Akhbar main stream lain masih sibuk dengan isu MB Terengganu yang tak habis-habis memasing enggan mengalah. Utusan menyiarkan pada front pagenya: ‘Ahmad mula tugas dengan arahan istana walaupun masih belum mengangkat sumpah’ di samping tajuk minor di bawahnya ‘Hanya Imam bertauliah dibenarkan bertugas di Selangor – Sultan Selangor’. Kekadang lucu saya, BN mahu menunjukkan mereka pembela Melayu; tetapi dalam masa yang sama mereka bertelagah dengan raja-raja Melayu. Perlis dan Terengganu adalah contohnya. Molek benarlah kata-kata Nik Aziz MB kelantan, Idris wajar beri nasihat kepada anak-anak buahnya…atau Idris sendiri ada agenda peribadi yang dia sendiri maklumi…

2/ Kerajaan Negeri Selangor nampaknya mendahului lain-lain negeri di bawah BA dari aspek pendedahan kepada media massa. Mungkin kerana Selangor adalah nadi Malaysia. Selangor adalah negeri maju yang menurut Tan Sri Khalid kadar ‘kecairan’ wang simpanannya sangat tinggi dan faedah daripada kecairan itu sahaja pun sudah mencukupi untuk membayar gaji kakitangan negeri! Itulah, BN cukup sedih kehilangan negeri maju ini. Namun, agenda Khalid di Selangor sudah bermula, dalam wawancara bersama Sinar beliau acap kali menekankan bahawa kepentingan rakyat mendahului kepentingan parti. Lagi satu, setiap tindakan hendaklah berdasarkan fakta dan angka! Maknanya, makin letihlah BN selepas ini, permainan angka semasa BN berkuasa memang melampau…perjanjian konsesi air menelan puluhan juta ringgit itu adalah buktinya, keuntungan sebelah pihak juga adalah buktinya!

3/ MB Kedah yang baru telah menunaikan janji memberikan tiket percuma kepada penyokong ‘Hijau Kuning’ di negeri itu melepaskan geram menyokong pasukan mereka menentang Perak di Stadium Darul Aman, Alor Setar. Kosmo! melaporkan, lebih 30,000 rakyat Kedah membanjiri stadium itu. Tahniah saya ucapkan kepada MB Kedah Ustaz Azizan Razak yang nampaknya bijak membeli hati rakyat. Ini bukan rasuah, kerana apa yang beliau dapat? Sebaliknya itulah bukti semangat kesukanan yang tinggi. Bukannya dengan menjadi Presiden Kelab Gasing dan kemudian diangkat menjadi menteri belia dan sukan dan kemudiannya menyatakan mahu meningkatkan moral belia…walhal anak sendiri bergelumang dalam Akademi Fantasi.

4/ Perak nampak tenang. Ada kawan mengusik, buatlah andaian mengenai Perak. Lagi pun suara-suara nakal mengatakan DAP menguasai Perak masih berbisik-bisik kecil di belakang. Masalahnya di Perak isu sudah reda, BA atau BR kini perlu menumpukan usaha menunaikan manifesto, itu sahaja. Di Perak, baik MB nya maupun sultannya…dua-dua ada kelas. Keduanya mempunyai kredibeliti tinggi dari aspek kelulusan akademik mahu pun pengalaman. Bagi saya, itulah contoh kombinasi kepimpinan yang baik. Saya berharap Perak dapat lebih menonjol selepas ini, kerana Perak adalah antara negeri termaju di Tanah Melayu. Ir Nizar dan bakal exco perlu merancakkan era kemajuan ekonomi yang seimbang dengan pembangunan akhlak di Perak. Baharulah ia benar-benar membuktikan agenda mengulamakan professional sebagaimana yang PAS jaja selama ini benar-benar menjadi reality. Ir Nizar telah menunjukkan contoh, kini tinggal mengimplementasikannya kepada seluruh rakyat Perak…teruskan Ir Nizar!

5/ Emak mertua saya yang datang berziarah ke rumah memberitahu, Dr Jeyakumar yang mengalahkan Sammy Vellu semasa eleksi dahulu tidak membenarkan rakyat Sg Siput memanggilnya YB, sebaliknya panggil Dr atau Encik sahaja. Wah kata saya, ini satu contoh tauladan yang baik yang perlu diguna pakai kepada semua YB BA atau BR. Biarlah era YB BN dahulu tenggelam bersama tenggelamnya kapal keegoan dan keangkuhan mereka, kini kita buka era baru. Era pemimpin dan rakyat yang sama hala tuju dan sama cita rasa, amin.

6/ Dato’ Dr Hassan Ali datang ke Bangunan JAIS di Shah Alam pagi tadi, dengarnya semua orang atasan diminta mengadap. Saya dapat maklumat, beliau menegur pentadbiran agama Islam di Selangor yang mula menunjukkan sikap tidak professional dan berpura-pura. Misalnya, kenapa era BN mentadbir tidak pernah pun kedengaran institusi agama di Selangor milik sultan; kenapa sekarang ia sering pula dilagukan. Bahkan apalah salahnya seorang pemimpin kerajaan negeri seperti beliau untuk menggunakan masjid dan surau pun dihalang sedangkan pada zaman BN ia tidak pernah terjadi. Panas dengarnya para orang atasan JAIS. Itulah…jangan cepat mencari helah, nanti diri sendiri yang menerima padah! Profesionallah, itukan lebih baik.

Wallahua’lam!

Ahad, Mac 23, 2008

Jalan yang pening ke Astaka Minda, DBP

Sabtu, 22 Mac 2008 saya dan isteri serta dua anak perempuan kami ke DBP. Kami ke sana untuk mengikuti Seminar atau dipanggil Astaka Minda yang bertajuk, Penulis dan Blog: Trend Masa Kini. Abang ipar Jiwa Rasa dijemput khas dari Pulau Mutiara (sebenarnya Bukit Mertajam) untuk menjadi salah seorang panelis di samping Puan Nisah Haron. Kami agak lewat ke DBP lantaran berpagian kami ke Pasar Borong Selayang terlebih dahulu. Jam 10 gitu kami ke DBP yang jaraknya kira-kira 20 km dari rumah.

Fikir saya, hari Sabtu apalah sesaknya. Mujur, jalan tidak sesak bangat berbanding hari-hari biasa. Sesampai di Jalan Dewan Bahasa, saya lega melihat Bangunan Baru DBP bagaikan melambai. Tetapi…ah, jalan sudah berubah. Saya membelok ke Jalan Dewan Bahasa tetapi tidak boleh memasukinya lantaran ada kon berderetan menghalang, oh sudah…ada pembinaan jalan rupanya. Saya terpaksa membuat pusingan melalui jalan hadapan Menara MAA tetapi sekali lagi buntu, tiada jalan masuk ke DBP.

Hati saya mulai panas. Jam sudah menakah angka 11.30 pagi. Tidak lama lagi pasti tamatlah acara. Aduhai...saya cuba mendail teman yang bertugas di DBP, namun tiada yang menjawab. Mujur ada seorang teman yang pernah berkerja di DBP. Katanya, cubalah buat pusingan di kuburan cina dan ambil jalan dari Sungai Besi. Saya menyeranah juga...apalah nak jadi Malaysia, papan tanda sementara ke satu lokasi sepenting DBP pun mereka gagal dirikan. Apatah lagi jalan yang dibina mengelilingi DBP itu pasti memakan masa yang lama. Bayangkan kesusahan yang terpaksa dilalui oleh mereka yang pertama kali atau jarang-jarang mahu mengunjungi DBP. Ini bukan Kuala Kangsar; tetapi Kuala Lumpur!

”Jika kita tak jumpa juga lepas ini, abang rasa kita balik sahajalah!” Ujar saya kepada isteri yang gagal mencari nombor telefon rakan sekerjanya yang suaminya bertugas di DBP.

Saya tawakal dan meredah jalan. Kami ambil laluan merentasi kawasan kuburan Cina (sebenarnya Buddha, sebab Cina adalah bangsa dan tak semua orang Cina mati dikebumikan di situ, melainkan mereka beragama Budha dan, em...cantik pula kawasan itu, terjaga rapi berbanding kawasan kuburan Islam). Setelah itu tembus di jalan Sg Besi berdekatan susur ke TUDM tetapi saya terus ambil arah ke Pusat Bandar dan susur keluar ke Jalan Loke Yew. Isteri berpesan agar berhati-hati dan saya sendiri pun gusar, rugilah masa saya asyik berputar-putar jika gagal menjumpai DBP.

Saya sampai ke persimpangan antara Jalan Dewan Bahasa, Loke Yew dan isteri menyatakan cuba ambil jalan lurus ke hadapan. Mana tahu kot-kot ada susur ke kiri. Memang ada tapi susah pula nak masuk, saya melanjutkan hingga sampai berdekatan Hotel Mandarin Court dan ambil arah ke kiri melalui jalan kecil dihimpit bangunan tinggi. Aduhai...susahnya nak cari DBP ni, getus hati saya berulang kali.

Akhirnya kami nampak dari jauh Balai DBP; tetapi kami tidak boleh masuk ke sana kerana jalan yang ada tidak membenarkan pengguna jalan raya belok ke kanan.

”Parking ajelah kereta kat sini bang, kita jalan kaki sahaja...” Isteri saya memberi idea. Mujur ada lot kosong, segera memarkir dan menapaklah kami empat beranak ke DBP.

Masuk sahaja ke halaman Balai Pustaka, kosong sahaja ruangan parkir. Ah...tak ada orangkah...saya mulai ragu. Masuk ke foyer dan terjumpa dua orang kakitangan DBP, sebenarnya salah seorang ialah pengawal keselamatan. Ujarnya, memang ada seminar tetapi ia berlangsung di Dewan Seminar di Bangunan Baru DBP di bahagian belakang bangunan itu.

Saya melangkah keluar dan sempat bertanya, kenapa sukar sekali mencari DBP, tiada penunjuk arah membantu dan takkanlah tak ada seorang pun kakitangan DBP terfikir untuk menggesa pihak-pihak berkenaan menyelesaikan masalah itu. Dia sekadar ketawa kecil dan tiada jawapan konkrit mengiringi langkah keluar kami...nampak sungguh institusi bahasa dan sastera seperti DBP ini kurang benar dihargai!

Saya ke bahagian belakang balai itu dan ah...pintu yang berdekatan berkunci pula. Saya kena patah balik ke belakang dan akhirnya menapak lagi. Itulah, kami tiba betul-betul pada minit atau tepatnya saat-saat terakhir forum. Baru sempat mengklik beberapa foto digital maka pengerusi pun memaklumkan forum tamat.

Jiwa Rasa dikelilingi peminat dan pemberita. Saya diberitahu, ada dari Harian Metro, Utusan dan Bernama. Hebat! Kata saya, mungkin program ini anjuran DBP dan ia adalah badan berautoriti yang meyakinkan media untuk datang. Mereka bertanya banyak benda dan menulis pun banyak benda. Tapi saya yakin, mungkin 1/3 sahaja yang bakal tersiar. Maklumlah, aktiviti kesusasteraan dan kepembacaan seperti ini apalah sangat nilai komersialnya jika dibandingkan dengan program hiburan hu-hah-hu-hah-huuu yang melambak di merata tempat. Tapi saya berharap, mereka dapat menyiarkan dengan tepat dan lebih panjang temubual itu, justeru Jiwa Rasa turut memberikan komentar yang membina mengenai kewujudan blog dewasa ini dan pastinya kesan fenomena blog dan blogger terhadap keboleh-percayaan rakyat terhadap media massa utama.

Antara yang dapat saya catatkan, kata Jiwa Rasa... ”Semua pihak wajar menyedari peranan blog dan blogger hari ini. Mereka mempunyai ruang lingkup luas dan mampu diakses oleh ribuan orang. Bayangkan, blog saya yang hanya membicarakan soal buku pun diakes lebih 200 orang sehari, bagaimana pula blog yang membicarakan isu politik? Malaysia Today misalnya contoh blog yang menarik ramai orang. Harakahdaily dan Malaysiakini lagilah mendapat kunjungan ribuan orang..sehingga jem dibuatnya.” Kenyataan ini diakui oleh pemberita berkenaan, mereka terangguk-angguk setuju.

“Seperkara lagi, media massa arus perdana wajar membuat perubahan. Misalnya lebih telus. Sediakan ruang berbentuk interaktif. Pembaca boleh memberikan pandangan terhadap paparan berita. Ia berbentuk dua hala dan saya rasa, kewujudan ruang seperti ini akan memberikan cabaran kepada blog dalam meneruskan penguasaannya kepada rakyat, khususnya golongan muda.”

Sebelum pulang kami menyinggahi Kedai Buku DBP, sempat membeli beberapa naskhah buku dan majalah dengan harga murah. Kata abang ipar saya, mari kita cari tempat makan yang best sikit...wang saguhati panelis tadi pun banyak juga... he...he...tau takpa! Tak sesia memutar melilau mencari DBP pagi tadi.

Jumaat, Mac 21, 2008

Hadis Pilihan Saya

“Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam al-Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan, maka (di saat ini) Allah akan menjadikan peperangan di kalangan mereka sendiri.”

Hadith Riwayat Ibnu Majah


Muslim yang mukmin lagi muttaqin wajib meletakkan diri mereka di bawah peraturan Allah SWT. Keengganan berbuat demikian akan mengundang murka Allah dan menyebabkan mereka jauh dari rahmat Allah

Kita hendaklah bermuhasabah selalu, kenapakah kita sering berburuk sangka dan saling menyalahkan, mungkinkah kerana kita semasa diberikan peluang memegang tampuk kekuasaan di muka bumi, enggan melaksanakan hukum-hakam yang telah Allah SWT nukilkan di dalam Al-Quran?

Hadis di atas adalah peringatan kepada setiap manusia yang menghirup udara milik Allah di muka bumi ini, bahawa kekuasaan adalah kepunyaan Allah dan Allah akan mengambil balik kekuasaan itu dan mampu memporak-perandakan kita seandainya kita bersikap engkar kepada Allah SWT.
Inilah senario dalaman Umno kini, mereka saling menunding jari dan bercakaran sesama sendiri selepas kekalahan. Insaflah wahai Umno, kembalilah kepada manhaj Islam sebenar...bukannya manhaj Islam hadari ciptaan Pak Lah yang salah itu. Kekalahan anda di dalam p/ raya adalah satu peringatan daripada Allah sebenarnya. Sesungguhnya hanya mereka yang mengambil ingat itulah yang mendapat pertunjuk, wallahua'lam.

Rabu, Mac 19, 2008

Isu-isu pasca pilihan raya…

"Guan Eng: Detained without trial under the Internal Security Act (ISA) on 27.10.1987 and released 18 months later on 19.04.1989. First to be detained under Operation Lalang and last to be released."

1. Kemenangan BA mencetuskan fenomena. Lantikan KM Pulau Pinang, Lim Guan Eng menarik disorot, apatah lagi apabila kenyataan beliau bahawa rumah pusaka keluarganya adalah kediaman paling selesa berbanding rumah agam Ketua Menteri! Ini bagi saya adalah pukulan kencang yang merudumkan keegoaan para penguasa negeri BN sebelum ini yang begitu cepat naik tocangnya…bayangkan (sekadar perbandingan), Pak Lah sendiri menghabiskan jutaan RM hanya untuk membuat renovation kediaman rasmi PM di Putrajaya, Khir Toyo pula membina mahligai Exco nilainya RM4 juta setiap satu… Ya, saya yakin, gaya kepimpinan sederhana yang diacukan terlebih dahulu oleh MB Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz ini jika ditauladani oleh semua MB / KM negeri yang dikuasai BA, akan melunyaikan impian pembangkang (BN lah pembangkang sekarang di lima negeri) untuk kembali ke tampuk pemerintahan.

2. Pemilihan jawatan no. 1 di Perak dan Selangor digembar-gemburkan media pro BN kononnya bermasalah. Hakikatnya, Perlis yang kecil bagai sekenit itu lagi bergolak dan Terengganu yang megah dengan Masjid Kristal itu lagi menggelegak. Di negeri Selangor dan Perak, istana tidak campur tangan melainkan memberikan pandangan, ia bertujuan mengukuhkan kesatuan BA sendiri. Malangnya di Perlis, raja nya terang-terangan menafikan lantikan Pak Lah, tandatagan Pak Lah selaku Pengerusi BN tak laku dan akhirnya Shahidan jadi merapu…sekejap kata dia jadi pembangkang sekejap kata Mat Isa Sabu itulah pembangkang…last-last kata tak tahu menahu di jemput atau tidak ke majlis angkat sumpah MB baru…logic ke? Terengganu dan Idris Jusoh lagi haru…ambiklah nak sangat kerajaan negeri, tapi akhirnya MB pun tidak ketahuan. Jadi dalam kes ini, negeri mana lebih pening dan berkecamuk…BA atau BN?

3. Selangor dengan MB baru Tan Sri Khalid nampak hebat; tidak kurang juga Perak dengan MB Ir Nizar yang fasih berbahasa Inggeris, Cina dan India! Kedua-dua tokoh ini hebat, sama ada dari latar pendidikan mahu pun pengalaman kerjaya. Saya tak payah jelaskan di sini, semua boleh baca biodata mereka. Tapi…bayangkan, selama BN memegang teraju negara, mereka bayangkan di dalam parti lawan langsung tak ada calon berkredibeliti. Bayangkan jika BA tak menang, pasti rakyat tak tahu bahawa dalam PAS Perak ada calon sehebat Ir Nizar!

4. MB Kedah nampak ‘cool’ betul…ust Azizan Abd Razak, seorang aktivis otai dalam PAS dan bekas pensyarah UKM. Kenyataan paling menarik saya rasa, “kita tak akan tutup mana-mana Tabika Kemas di negeri ini, bahkan kita akan perkemaskan lagi!” Faham apakah maksudnya? Yang saya faham, budak-budak kecil yang mengaji di tabika Kemas itulah asset PAS dan mereka perlu dilentur supaya memahami Islam menurut acuan sebenar, bukan acuan palsu lagi hadari yang Pak Lah bawa. Jadi, buat apa nak tutup…malangnya kata MB Kedah, banyak fail sulit hilang semasa beliau masuk ke pejabat MB. Tapi, dalam keadaan itu pun, beliau boleh tunjukkan semangat kesukanan dengan menawarkan tiket percuma bagi menyaksikan perlawanan bola sepak antara Kedah dan Perak sambil mengaku… “Saya memang pemain bola sepak…”

5. Kelantan paling tenang…MB nya memberikan impak paling mendalam khususnya kepada orang-orang bukan Islam. Buktinya, apabila Lim Kit Siang cuba memberikan pendapat peribadi mempertikaikan MB Perak pilihan istana, ramai pengunjung blog nya marah-marah…antara kenyataan mereka, Lim patut lebih sedar siapa idola dalam PAS, ya….Nik Aziz…yang bagi mereka manusia hebat dan hanya wujud mungkin 1 dalam seribu! Kelantan sudah tidak menjadi focus lagi, kerana terbukti selama 18 tahun PAS memerintah…satu kes rasuah pun tiada…jangan bandinglah dengan negeri lain, Melaka atau Selangor…semasa Khir Toyo jadi MB…bayangkan, sehari sebelum mengundi pun boleh sain perjanjian berpuluh juta ringgit!

Sekadar ini dahulu…banyak lagi bakal menyusul, insya-Allah!

P/s: Pengumuman kabinet baru Pak Lah semalam (18 Mac 2008) menimbulkan banyak spekulasi masa hadapan BN. Paling ketara, muka-muka yang dinaikkan adalah penyokong Pak Lah, termasuklah Muhammad Taib yang bagi setengah orang sudah ‘expired’ dan tercalar maruah dengan kes tertangkap di Lapangan Terbang Australia dengan beg penuh duit berjuta! Mahathir buang tapi Pak Lah kutip…aduhai Pak Lah…

Selasa, Mac 18, 2008

Dari Beirut Ke Jerusalem


Tajuk: Dari Beirut ke Jerusalem
Penulis: Dr Ang Swee Chai
Penerbit: Buku Harakah
Tebal:
Harga:
Tamat baca:
Antara buku yang sudah lama menggamit saya untuk membacanya ialah Road To Mecca oleh Muhammad Asad (Yahudi yang memeluk Islam 1926) dan From Beirut To Jerusalem oleh Dr Ang Swee Chai (seorang penganut Kristian). Kedua-dua buku ini diberikan kredit oleh ramai orang, ia adalah catatan sebenar pengalaman manusia yang menyaksikan dunia dari perspektif mereka yang tersendiri.

Sempena 25 tahun Sambutan Tragedi Sabra dan Shatilla (Februari 1982 – Februari 2007), Buku Harakah telah menerbitkan buku Dr Ang dalam edisi Bahasa Melayu siap dengan kata pengantar khas dari Dr Ang. Saya jadi bertambah semangat untuk membelinya.

Benar, tiada bahasa yang mampu mengungkapkan kekejaman yang dilakukan oleh Zionis – Yahudi di sebuah negara bernama Israel ini. Apa yang mampu saya ungkapkan dalam bahasa termudah ialah, bayangkan anda dan keluarga anda hidup rukun aman di rumah anda. Tiba-tiba datang sekumpulan manusia yang ganas dan kejam memecah masuk ke dalam rumah dan mula merosakkan segala perabot tanpa mengendahkan anda sebagai tuan rumah. Anda bukan tidak berusaha melawan, tetapi mereka yang mengganas itu memiliki senjata canggih seperti mesingan, mortar dan roket; sedang anda hanya mampu mencapai batang penyapu yang akhirnya patah dua tidak berdaya!

Kemuncak dari usaha penjarahan rumah anda, setelah segala isi rumah anda digeledah, dirosakkan bahkan dirampas sesuka hati, anda akhirnya dihalau begitu sahaja – sehelai sepinggang tanpa sesen pun pampasan dan tanpa segaris rasa kasihan. Maka anda pun bergelandanglah bersama keluarga yang sudah porak-peranda mencari penempatan lain, penempatan baru demi hidup baru. Akhirnya di situ, di kampung baru itu kehidupan anda kembali aman. Kejiranan mulai tumbuh dan anda dapat mengubat luka hati anda di situ.

Namun, tiba-tiba penjenayah yang dilindungi oleh sang penguasa besar datang lagi mengganggu anda. Sekali lagi mereka merempuh masuk, memecahkan alatan rumah dan mengambil apa-apa sahaja, termasuklah anak gadis dan anak lelaki anda! Anda cuba melawan, namun kekurangan anda ialah perkara sama – peralatan yang daif dan naïf, mungkin hanya sebilah pisau pemotong daging sedang mereka membawa jet pejuang dan kereta kebal! Anda berputih mata lagi sekali dan lebih parah, anda dihina semahu-mahunya!

Akirnya anda pun berpakat mewujudkan kumpulan yang akan mempertahankan hak dan maruah anda. Anak-anak lelaki dan golongan dewasa yang berbaki pun mengangkat senjata demi membela maruah diri dan agama! Anda ingatkan, dengan adanya kumpulan itu maka akan gerunlah si penjahat; rupa-rupanya mereka lagi dahsyat. Mereka gunakan segala keupayaan untuk terus menekan anda dan komuniti anda. Bekalan makanan, ubatan dan apa sahaja mereka sekat semahunya. Rupa-rupanya mereka begitu berani kerana di belakang mereka ada Bos Besar bernama Uncle Sam yang berhak mencaturkan apa sahaja!

Akhirnya, dengan muslihat yang licik mereka berjaya mengajak anda berdamai. Kononnya mereka akan berhenti menyerang dan mengganggu anda dengan syarat, suami dan anak-anak lelaki anda yang dahulunya berjuang mempertahankan anda semua, kena keluar dari rumah dan kampung halaman dan senjata-senjata hendaklah diserahkan kepada pihak kerajaan. Anda terpengaruh dengan umpanan itu demi kedamaian, malangnya anda ditipu hidup-hidup.

Demikianlah secebis sorotan yang dapat saya paparkan. Hakikatnya, naratif yang sebenar akan mengheret anda jauh ke pelosok kem dan menyaksikan sendiri kerakusan, kekejaman dan kezaliman manusia yang hatinya sudah berkematu.

Saya akan sering membaca buku ini pada waktu malam sebelum mata terlelap. Setiap kali itu jugalah saya sentiasa mendambakan, bilakah agaknya Allah SWT akan menurunkan seorang penyelamat ummah. Sudah tidak tahan lagi rasanya mendengar penyiksaan demi penyiksaan, sedang umat Islam sendiri serata dunia asyik bergocohan tanpa sudah.

“Ya Allah…bantulah saudara seagama kami di Palestin, menangkanlah mereka ke atas Yahudi dan jadikanlah Islam kembali berdaulat di bumi syuhada itu…amin.”