Memaparkan catatan dengan label Buku. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Buku. Papar semua catatan

Jumaat, Januari 16, 2009

Mood menulis


Manusia ini memang Allah SWT jadikan ada emosi. Emosi banyak mempengaruhi tingkah laku. Orang yang terlalu mengikut emosi, selalu melulu. Tanpa emosi pula, seolah-olah hilang deria rasa. Emosi mesti ada dan wajar diletakkan dalam kondisi pertengahan. Sederhana dan berimbang.


Begitu juga dengan menulis di blog. Ada waktu-waktunya saya begitu bersemangat. Terlihat sesuatu, terbaca sesuatu dan terfikir sesuatu, segera terbit idea untuk dicurahkan. Tak sempat-sempat lagi rasanya mahu on kan komputer.


Begitulah juga dengan membaca. Adakalanya, mood membaca begitu tinggi. Sebuah buku bisa dikhatamkan pada satu malam. Setiap malam, sebelum melelapkan mata mesti membaca. Bila sudah mula, sukar pula mencari perhentian.


Begitulah manusia yang ada emosi. Mood banyak mempengaruhi. Itulah...maka kadangkala jari sudah bersedia di papan huruf, sudah bersedia mengetik-ngetik...tapi lelah mencari bahan. Tinggallah ruangan kosong tanpa huruf apa-apa pun...


Sekarang, saya kembali menyambung pembacaan buku biografi 'Ahmadinejad: Singa Umat Islam'. Buku ini nipis sahaja jika mahu ditarakan dengan novel Ayat-ayat Cinta atau Tunggu Teduh Dulu. Saya sudah mula membacanya sejak tahun lalu...


Tapi, susah benar saya nak menghabiskannya. Semalam, bila saya membaca kembali...seolah-olah saya baharu sahaja menikmatinya buat pertama kali. Apa yang telah saya baca sebelum ini, nampaknya telah kelam di minda. Tak mengapalah...saya ulang kembali beberapa bab awal.


Buku berkenaan sebenarnya memaparkan siapakah dia Mahmud Ahmadinejad. Ramai orang tidak begitu mengenali sosok tubuh yang kecil dan kurus ini. Lahir pada 28 Okt 1956, beliau bukanlah pemimpin yang terkenal asalnya. Terus-terang, sebelum Ahmadinejad memenangi Pilihanraya Presiden Iran pada 6 Ogos 2005, majoriti orang Iran sendiri tidak kenal bahkan tidka tertarik mengenali siapa Ahmadinejad sebenarnya. Apatah lagi kita orang luar!


Sedikit catatan, Ahmadinejad rupa-rupanya adalah anak muda yang hidup pada zaman Revolusi. Saat Imam Ayatollah Khomeini pulang dari Peranchis tahun 1979...Ahmadinejad adalah antara orang yang menyambut kepulangan itu dengan gembira.


Kemudian, 22 September 1980, Iraq di bawah Saddam Hussein menyerang Iran. Beliau pernah terlibat dalam peperangan tujuh tahun itu. Dalam usia yang begitu muda juga, kebanyakan anak muda Iran termasuk Ahmadinejad sudah dilantik menjadi gabenor di Wilayah Ardabil bagi membantu kestabilan Republik Islam Iran.


Ahmadinejad memang sosok yang begitu menarik untuk dikaji. Beliau pernah menjadi Datuk Bandar Tehran dan berjaya mengatasi banyak masalah dengan kebijaksanaannya - terutamanya masalah kesesakan jalan raya. Jauh daripada itu, beliau merupakan pemimpin yang benar-benar merakyat. Istilah 'Pemimpin Khadam Rakyat' memang menjiwai dirinya.


Bayangkan, beliau menolak kediaman rasmi Datuk Bandar, mendermakan sebahagian perabotnya dan menukarkannya kepada sebuah muzium, menginfakkan gaji datuk bandar dan hanya menyara keluarganya dengan gaji sebagai pensyarah universiti. Beliau tinggal si sebuah jalan mati dengan rumah yang amat sederhana. Beliau beberapa kali turun dari keretanya, demi membuang halangan di longkang yang tersumbat. Menerima kunjungan daripada pelbagai lapisan pengadu tanpa mengira masa dan memarahi kontraktor yang sengaja melambatkan sesuatu projek.


Ah...banyak yang menarik tentang manusia yang bernama Dr Mahmud Ahmadinejad ini. Insya-Allah...saya akan paparkan lagi kisahnya pada masa akan datang...

Rabu, Disember 24, 2008

Buku teman kat tangan penilai dah...


Teman memang bercite-cite nak jadi penulis. Teman ghase teman memang ada bakat, cumer tak diasah aje. Bile teman mule keroje dan diberikan peluang menulis dalam majalah, sedikit demi sedikit teman mulai rajin menulih.


Alhamdulillah, le ni tulisan teman udah banyak tersiar. Baik dalam majalah maupun surat kabo. Teman nulis banyak isu. Teman suka cara yang santai-santai je. Tapi dalam dok santai menulis, ramei juge kate ayat teman ni power...


Teman ade le ngantor satu manuskrip ke sebuah syarikat. Udah lame...senyap soh je...teman ingat udah melingkup le manuskrip tu. Tiba-tiba deme menelepon teman. Kata penilai tu, teman nulih macam udah banyak buku diterbitkan. Eceh..ceh...kembang-kempis lubang idung teman dibuatnya...ate, kire teman ni sohor juge ler...


Teman pun dapat semangat semule. Teman berazam, teman akan hasilkan lebih banyak penulisan lepaih ni. Bukannya ape...menulis ni keroje mulia, sebab kalimah yang mule-mule turun pada nabi pun ada menyebut 'kalam'...iaitu, ajor le manusia dengan kalam...


Moga-moga sempena tahun baru hijrah ni, teman dapat jadi penulis sohor...maaacam Pak Hamka ke...amin.

Jumaat, Mei 30, 2008

Dalam Mihrab Cinta


Judul: Dalam Mihrab Cinta
Penulis: Habiburrahman El-Shirazy
Tebal:
Penerbit: Ar-Risalah Product Sdn Bhd
Harga:
Penilaian: 1 ½ bintang

Sesungguhnya, andai aku membaca buku ini terlebih dahulu, maka persepsiku terhadap karya-karya lain Habiburrahman El-Shirazy akan cacat. Mujurlah aku membaca Ayat-ayat Cinta terlebih dahulu. Keindahan bahasa, bait dan tutur kata Ayat-ayat Cinta terlebih dahulu menyihir indera dan hati. Aku terkesima dan jadi gila…aku mahu menikmati semua karya El-Shirazy. Tapi itulah, setelah aku menguliti karya yang diberi nama Dalam Mihrab Cinta ini, aku kecewa. Ia tidak seperti mana yang aku harapkan. Sentuhannya tidak seajaib Ayat-ayat Cinta. Bahkan plotnya bagai sudah diduga. Berlaku pengulangan peristiwa yang kekadang kelihatannya sengaja direka-reka. Membacanya juga bagai membaca karya penulis muda yang baru mahu bertatih. Bukan seperti seorang pengkarya yang masak dan ranum dengan ideanya.

Sebenarnya, aku baru mendapat hadiah berupa tiga buah novel. Aku berpindah ke jabatan baru dan jabatan lama membuat majlis perpisahan dan membelikan hadiah. Aku meminta agar membelikan baki beberapa buah karya El-Shirazy. Itulah, akhirnya aku pun dapat melengkapkan karya El-Shirazy di dalam koleksi buku di rumah.

Di dalam Mihrab Cinta, ia memuatkan tiga kisah. Ia ibarat trilogi. Kisahnya semua mengaitkan dunia pelajar atau dunia pendidikan, sama ada di pesantren mahu pun di universiti. Kisah bagaimana susahnya orang Indonesia mahu meneruskan kehidupan. Kisah jatuh cinta dan jatuh cinta lagi. Kisah mencari cinta atau lebih tepat mencari jodoh. Kisah bagaimana menanggulangi kehidupan – payah dan senang, suka dan duka. Kisah ketegaran dalam hidup. Penyudahnya…semua happy ending!

Aku menamatkan buku ini dalam masa kira-kira dua hari. Kiranya tanpa gangguan mungkin sehari sudah khatam. Gaya bahasanya masih ke-Indonesia-an, mungkin tidak sempat di-Bahasa Melayu-kan oleh penerbit di Malaysia. Terlalu banyak akronim atau singkatan, kerana orang Indonesia memang menggemari singkatan. Aku jadi rimas kerana banyak singkatan yang aku tidak tahu maksudnya. S.1, S.2, SMA dan sebagainya. Aku boleh mengagak maksudnya; tapi memenatkan. Aku juga kurang gemar kerana banyak kesalahan bahasa di sini sana. Hakikatnya sejak sekolah menengah aku memang cerewet menikmati buku, sesungguhnya aku paling menyampah jika terlalu banyak kesalahan ejaan dan tata bahasa. Nampak seperti penulis bersifat malas dan hanya mahu cepat siap. Bagiku, karya yang baik ialah karya yang mempunyai kesempurnaan dari aspek maksud dan cara persembahan. Karya yang mempunyai maksud yang baik tapi dipersembahkan dalam cara selekeh, bagiku akan hilanglah kebaikan maksudnya.

Aku beri sekadar satu setengah bintang sahaja buat karya El-Shirazy ini.

Rabu, Mei 21, 2008

Ayat-ayat Cinta Menggebu-gebu Di Minda


Tajuk: Ayat-ayat Cinta
Penulis: Habiburrahman El Shirazy
Tebal: 492 halaman
Harga: RM22.90
ISBN 983-2672-36-8
Penerbit: Ar-Risalah Product Sdn. Bhd.
Penilaian: 4 bintang

Jujurnya, hati saya gerimis saat meladeni novel ini. Saya bagaikan terpasung terus untuk menamatkan hingga ke penghujung. Lalu, di sepanjang ruang menerokai babak demi babak dan plot yang terjalin rapi, emosi sering diusik dan fikiran sering terjentik.

Saya membeli novel ini pada Pesta Buku KL yang baru lalu. Isteri saya beriya-iya, saya tidaklah begitu berminat. Namun, saranan daripada beberapa kenalan menjadikan saya lebih terdorong. Kata mereka, rugi tidak membaca kisah yang terpapar. Sungguh...banyak hikmah untuk diratah, banyak ilmu untuk dikutip. Saya tatangkan jiwa selebarnya dan saya rakus mencicip setiap incinya.

Benar. Saya kagum dengan apa yang saya baca. Bukan sebarang orang mampu menghasilkan karya sebaik ini. Gaya bahasanya memikat dan jalinan plotnya nampak kemas dan saling terikat. Watak dan perwatakan nampak hidup dan memasing berdiri secara kukuh menghidupkan watak sendiri.

Ya, saya terkesan dengan penggunaan kalimah-kalimah Arab dan Jerman yang diselitkan di sana sini. Nampak akan keluasan bahasa pengarang. Namun saya jadi lebih kagum apabila menancapi kehebatan pengarang menyelitkan pelbagai cuplikan dan kutipan. Tidak sekadar menyandarkan dialog kepada ayat-ayat Al-Quran dan al-Hadis, bahkan pengarang merujuk sama dapatan daripada ilmuwan – ulama dan sarjana barat. Lalu semuanya teradun rapi bagi menghasilkan sebuah naskhah unggul dan enak serta seistimewa ini.

Begitu juga betapa optimisnya Fahri. Saya teruja melihat kesungguhannya. Bergelut dengan waktu sentiasa. Bahkan saya jadi haru mengenangkan mimpi Fahri, syahdu dan mencengkam kalbu. Apakah saya mampu melaluinya. Berapakah surah yang saya hafal. Berapa orangkah ulama’ yang sanggup mengakui saya muridnya. Mampukah saya meraih syafaat daripada mereka?

Benar, mungkin ada menyatakan ia adalah kisah cinta manusia. Bagi saya, sesuailah dengan tajuknya Ayat-ayat Cinta. Memang novel ini membicarakan kisah cinta. Namun cinta yang putih mulus dan disandarkan kepada syariah. Sekali lagi saya tertegun dengan ketegasan Fahri, saat diajak Maria untuk berdansa. Juga saya tertegun dengan kisah pertemuan dua jiwa yang bakal disatukan, Fahri dan Aisha. Semuanya disulam kemas dan indah. Saya membayangkan, apakah mampu saya melakukan sedemikian. Mampukah?

Saya menamatkan naskhah ini kira-kira jam 11.20 malam, pada 20 Mei 2008. Hati saya puas. Sekadar mencoretkan pandangan A. Samad Said:

’Ayat-ayat cinta memang pintar mengheret kita menjejaki – malah menghidu – perhubungan Fahri (Indonesia) dan Maria (Mesir) secara penuh mengajar, menghantar isyarat dan kebijaksanaan baru melalui perhubungan sopan antara insan dua negara. Rasanya memang sesekali kisah cinta yang Islami begini sempat disampaikan dengan penuh tertib...tidak membacanya seperti sengaja melepaskan peluang untuk mencium bau, merasai iklim dan memahami gerak hidup insan...’

Juga ungkapan Fahri lewat bersama Aisha, saat dirundung ujian di penjara:

“Aku ingin cinta kita kekal. Kekal di dunia dan kekal di akhirat. Jangan nanti di akhirat kita berseteru. Kuatkanlah pergantungan dengan Allah. Dekatkan diri dengan Allah! Dekatkan diri dengan Allah! Dekatkan diri dengan Allah!”

Selasa, Mei 20, 2008

Memeluk Gerhana di bumi singapura


Tajuk: Memeluk Gerhana
Penulis: Isa Kamari (Penerima S.E.A Write Award 2006)
Penerbit: Ameen Kreatif (Al-Ameen Serve Holding Sdn Bhd)
Tebal: 469 halaman
ISBN 978-983-3991-08-2
Harga: RM21.90
Penilaian: *** (3/5 bintang)

Memeluk Gerhana, sebuah karya enak titipan Isa Kamari. Ah...aku sudah tidak berlaku adil kepada naskhah ini. Bayangkan, pertamanya ia kubeli lewat Pesta Buku tahun lalu. Namun, baru tahun ini aku menikmatinya, itu pun setelah terjerat dalam ruang waktu yang menjerakan di klinik. 18 Mei 2008 atau tepatnya kira-kira 1.25 pagi baru aku menuntasi segala ayat, koma dan titik-titik di dalam buku ini. Keduanya, aku sanggup menghabiskan buku-buku lain terlebih dahulu dan membiarkan buku ini di raknya. Ketiga, malu sedikit aku nyatakan...aku membeli buku atau tepatnya novel ini hanya kerana berasa malu alah dengan Kak Anita pemilik Ameen Serve yang menerbitkan buku ini. Ya...Puan Nita adalah pensyarah di UKM yang telah aku kenali semasa melanjutkan MA di sana, dan Ameen Serve adalah milik beliau dan suami. Aku segan apabila disapa dan membeli buku ini dengan agak ’terpaksa,’ sungguh pun tandatangan Isa Kamari ada pada muka-muka pertama novel ini.

Sesungguhnya, aku perlu segera menghabiskan novel ini sehingga ke titik penamat. Kenapa? Ya, kerana aku sudah tidak mampu mendera perasaan. Saat mula-mula membacanya, aku seperti melalui kembali pengalaman peribadi penulis. Pengalaman mendenai Detik-detik Diri Di Daerah Daif, Setitis Embun Semarak Api dan juga Kuras-kuras Kreatif (semuanya karya personal Shahnon Ahmad dan Azizi Hj. Abdullah) bagaikan terulang kembali pada garapan awal Memeluk Gerhana. Aku jadi malas menyudahinya. Namun, itulah...dengan keterpaksaan sewaktu menemani anak sulung ke klinik Jumaat lalu, aku terus jadi ralit dengan Memeluk Gerhana. Aku terasa susah mencari ruang beristirehat, sehinggakan bait-bait kata di dalam novel ini terbuai-buai di dalam solat. Maka aku berazam dan alhamdulillah kira-kira dua hari aku lunyaikan novel ini dari kulit ke kulit.

Memeluk Gerhana atau singkatannya ME adalah novel yang aku rasa dilatarkan pada sebuah kisah benar. Sama ada ia pengalaman sebenar Isa Kamari atau tidak, wallahu’alam. Namun, gaya penceritaan orang pertama yakni diceritakan kembali kepada kita oleh si pelaku, menyerlahkan ia adalah satu pengalaman sebenar.

Latar masanya sekitar 1960-an sehingga 1970-an. Kisah orang Melayu yang mendiami Singapura saat perpisahan tragis tanah Sang Nila Utama itu dari Malaysia. Kisah kedaifan; namun di sebaliknya ada kecekalan. Berbaur antara kenangan zaman kecil, zaman tiada gundah kanak-kanak yang digambarkan Isa Kamari - ‘dirasai oleh luka-luka pada tangan dan kaki.’ Kisah keakraban tiga sahabat, Ham, Zul dan Selva. Kisah yang membibitkan kemesraan merentasi ras dan agama.


ME juga menyelitkan unsur cinta. Cinta zaman kanak-kanak yang membugar hingga ke remaja. Kisah cinta yang mendebar dan mendewasakan. Kisah yang aku yakin turut dilalui oleh ramai orang. Rasa ego yang tercabar, protes dan masam muka. Semuanya menggamit kembali memori, ya…seperti kisah diriku sendiri saat masih kanak-kanak, saat minat kepada kanak-kanak perempuan mula berputik di jiwa dan saat merebut perhatian si dia.

Aku dapat rasai detak jantung watak-wataknya. Pengarang mampu melukiskan watak dengan baik. Aku dapat membayangkan saat emosi yang terguris, perasaan yang terjera dan kesakitan hati manusia-manusianya. Aku suka cara pengarang memaparkan konflik yang melanda dan bagaimana mereka berusaha menanganinya. Aku terbayangkan watak Ilham yang diamuk rasa marah dan malu kemudian memprotes diri dengan menggunting hampir botak kepalanya. Aku dapat rasai, perasaan itu adalah lumrah dan normal khususnya kepada kanak-kanak. Biasanya, kanak-kanak perempuan lebih rasional dalam tindakan berbanding kanak-kanak lelaki. Itu yang aku rasai walau pengarang tidak menyatakannya secara jelas. Dan hikayat percintaan akan jadi lebih menarik dengan konflik dan suspensnya, seiring dengan usia yang memanjat ke alam remaja. Itulah pun yang turut aku kongsi dan rasai lewat menyantuni watak-watak di dalam ME ini.

Namun, ME juga sebenarnya adalah kisah duka. Kisah manusia yang menjadi kambing hitam dalam ketidak sengajaan. Aku dapat mengesani elemen tegang yang turut menguasai ruang penceritaannya. Namun di sebalik ketegangan itu ada kelembutan dan kehangatan. Betapa hidup di dunia ini perlu ada kekuatan. Dan kekuatan itu pula datangnya dari dua punca, pertama daripada Tuhan dan kedua daripada sesama manusia. Tidak salah, kiranya nabi dahulu pun menyandarkan kekuatannya kepada Allah SWT dan Siti Khadijah. Namun, kekuatan yang disandarkan kepada Allah SWT itulah yang lebih awla dan hakiki sifatnya.

Saat aku melabuhkan sauh dan menggulung layar novel ini, aku puas. Pertama, baru inilah kali pertama aku benar-benar menyelami penulisan Isa Kamari, penerima S.E.A Write Award 2006, sasterawan dari Kota Singa yang belum pernah aku rasai sebelum ini. Keduanya, aku dapat rasai kehangatan cinta dua manusia yang terasing di udara dan di perut bumi. Teringat aku akan kata-kata Ham:

”Jiwa raga terpaksa kuserahkan
Kepada asap, wap dan kabus
Yang kukumpulkan dengan suatu tenaga akhir
Dengarkanlah nyanyian sepi ini
Kerana mentari terlampau cemburu
Dengan kehadiranku.

Hidup ini akhirnya berhajatkan perpisahan
Kerana kekerdilanmu sebagai insan
Balada demi balada kau pun tahu
Seorang anak muda yang benar-benar jujur
Sering dipersendakan umur…”

Juga rangkai kata Buya Hamka titipan Syakila:

”Hendaklah engkau jadi orang besar, yang sanggup memikul cinta yang besar.’

+ 2.23 pagi
18 Mei 2007
KL

Isnin, April 28, 2008

Nyemah Mulya sudah berhenti mengganggu saya



Saya terus menekunkan diri menghabiskan novel remaja ini. Saat sebelum tidur, waktu makan biskut cecah milo di dapur dan di ruang tamu pastinya. Saya mahu habiskan segera memandangkan pada bulan April ini, belum ada sebuah buku pun lagi yang saya habiskan. Saya sudah berazam, setidak-tidaknya sebulan sebuah buku. Memang saya ada membaca beberapa buah buku lain, tapi hanya ini sahaja nampaknya yang sempat saya habisi. Kuras Kreatif Pak Azizi belum tamat dan Ahmanidejad Si Singa Farsi pun baru separuh. Ayat-ayat Cinta saya tawakufkan dahulu. Alhamdulillah, Sabtu cuti kelmarin, habislah kisang Nyemah ini.

Semasa membeli buku ini di Pesta Buku KL dahulu, FT tersenyum sahaja. Katanya ini novel remaja, dan saya bukanlah remaja lagi. Saya peduli apa. Saya mahu membaca dan menikmatinya juga, kerana novel ini pernah dibicarakan di sebuah seminar di Aswara dahulu. Kisah FT memutar belitkan sejarah opss…maaf, menukar sejarah. Lebih tepat meruntuhkan sebuah sejarah dan membina sebuah sejarah baru. Sejarah dari kaca mata kita sendiri; dan bukannya berkaca matakan penjajah. Sebab itu saya mahu membelinya juga.

Setelah tamat membacanya, saya membuat satu kesimpulan mudah. Kita mesti mencipta dan mencatatkan sejarah kita sendiri. Jika tidak, kita akan jadi mangsa. Umat Melayu menjadi mangsa kerana mereka membenarkan ‘orang lain’ menjadi pencatat sejarah mereka. Agakan saya, jikalah Tun Sri Lanang melihat sejarah Melaka, pasti sedih tidak terkira. Apatah lagi kini umat Melayu tak habis bercempera. Hem…sudahlah, setidak-tidaknya Nyemah Mulya tidak mengganggu tidur saya lagi.
p/s:
1/ semalam saya sudah siapkan buku pertama saya...petang ini insya Allah jumpa penerbit. Boleh ke keluar buku saya tu ye...?
2/ alamak, tq Mr JR...bukan 1511 tapi 1515, :-)

Jumaat, April 25, 2008

Nyemah Mulya 'mengganggu' tidur saya

"A Famosa...saksi sejarah makar si Feringghi dan alahnya kerajaan Melayu yang kata FT...mudah lupa!"

Nyemah Mulya serikandi Melaka, Dr Adi Fimiyun jatuh cinta dengan Frida, bondanya Nyemah Mulya juga, seorang professor sejarah tersohor dan Fimiyun tenggelam dalam kancah 1511, saat Melaka jatuh dan punah-ranah dimamah Alburqurqe. Maude pula tidak lelah merencanakan sesuatu buat suaminya Fimiyun yang tenggelam dalam amnesia serius. Sejarah bakal berubah? Bagaimana cinta Frida-Fimiyun. Selamatkah Nyemah Mulya daripada serakah Feringghi, dibawa balik sebagai budak suruhan Benggali Putih. Mampukah Melaka melakar sejarah baru di tangan Fimiyun.

Aduhai…saya tidur lewat semalam, hampir jam 2 pagi! Buku 1511 karangan Sdr FT mengganggu saya. Sukar untuk melelapkan mata dibuatnya. Hampir khatam buku itu saya kuliti… Sayang! Andaikanlah hari ini bukan hari Jumaat dan semalam saya boleh tidur lewat…

Selasa, April 15, 2008

Di sini kutemui asal diri yang daif


Detik-Detik Diri Di Daerah Daif Penulis: Shahnon Ahmad Penerbit: DBP No. KK: 642 50105101 No. ISBN: 9836220194 Tahun Terbitan: 1995 Harga Buku: RM10.00
Menekuni karya-karya SN Pak Shahnon memang mengujakan. Sejak saya mulai memesrai hasil para sasterawan negara, saya sudah terpikat kepada SN Pak Shahnon. Karyanya tulus mulus menggambarkan reality masyarakat. Sepak terajang dan jatuh bangun manusia-manusia digambarkan secara rincinya. Betapa demikianlah namanya kehidupan, ada masanya kita menangis gembira dan ada waktunya terjelepuk ke atas tanah diuji duka. Betapa ramai golongan atasan yang mengambil kesempatan, kawan makan kawan dan saling menjatuhkan. Pergolakan politik nasional selalu cair di tangan Pak Shahnon. Bahkan tidak kesasar andai saya menabalkan Pak Shahnon adalah seorang SN yang paling Prolifik tanah air.

Karya Detik-detik Diri Di Daerah Daif ini hakikatnya adalah satu pengakuan berani lagi berterus-terang pengarangnya. Cerita tentang sebuah kawasan kecil di utara tanah air. Kampung dan daerah yang terpencil dan jauh daripada permodenan dan amat kaya dengan kemunduran dan kemiskinan. Kisah bukit-bukau dan sungai, kisah bendang dan kerbau keweh, kisah balaisah dan kisah anak-anak ceredung mengelek ayam pupuh buat berlaga, kisah orang-orang tua yang bergalak dengan pancang tengah arusnya, kisah hobi berdenak terkukur, kisah sama-sama menebas menerung dan memerun, kisah yang memang membangkitkan nostalgia silam khidupan sebuah kampung.

Pada kali pertama menatap naskhah ini lewat 1992 dahulu, terasa puas membacanya. Namun, saya kehilangan naskhah ini setelah bertukar tangan…biasalah kawan-kawan kan suka pinjam-meminjam. Lama kemudian, kini saya membelinya lagi sebagai melengkapi koleksi SN Pak Shahnon di rumah dan saya ralit menikmatinya. Terasa segar cerita pak Shahnon, hati saya digeletek amat ketika menggambarkan gamatnya kehidupan beliau bersama Usop Debeng, Saad Gugut dan Melah dan Siti. Kisah mereka menyelam dalam alir jernih Sungai Ceper main sembunyi pucuk buluh dan nampaklah segalanya di bawah air itu, kerana mereka main bersama lelaki dan budak perempuan, menghimbau kenangan betapa itulah sejarahku. Bahkan kami main sembunyi batu di dasar lata, kemudian carilah batu itu sampai jumpa.

Pak Shahnon ghairah bercerita tentang saat dia memasuki alam baligh, saat mimpi basah mendatanginya saban malam, saat perasaannya sudah membunga kala menjeling Siti dan Esah, saat suara garau menggarok tenggorokan dan saat dia kenal apa kehendak lelaki dan wanita. Juga saat disengat ikan keli yang mengap-ngap sampai ke ketiak, lalu mereka pakat kepong budak-budak lelaki belum berkhatan untuk mendapatkan sedikit tahi kalat buat ubat, atau saat balaisah roboh disesah angin dan sama-samalah mereka membangunkannya kembali lalu menadah kitab buruk mengaji, saat ayah beliau naik ke bukit cari terkukur jalang, saat emak menjengil mata bila Pak Shahnon Tanya kenapa orang bersunat seperti makan pisang buat kulit seperti yang Tok Diah cerita dan saat buka tapak saidina Ali dengan silat gayung fatani sampai terjatuh tersembam depan pengantin.

Semuanya menggamit memori indah. Aku membayangkan, itulah rempah ratusnya yang mengkayakan khazanah seorang sasterawan sehingga Pak Shahnon kekal orang hebat di arenanya.

Selasa, Mac 18, 2008

Dari Beirut Ke Jerusalem


Tajuk: Dari Beirut ke Jerusalem
Penulis: Dr Ang Swee Chai
Penerbit: Buku Harakah
Tebal:
Harga:
Tamat baca:
Antara buku yang sudah lama menggamit saya untuk membacanya ialah Road To Mecca oleh Muhammad Asad (Yahudi yang memeluk Islam 1926) dan From Beirut To Jerusalem oleh Dr Ang Swee Chai (seorang penganut Kristian). Kedua-dua buku ini diberikan kredit oleh ramai orang, ia adalah catatan sebenar pengalaman manusia yang menyaksikan dunia dari perspektif mereka yang tersendiri.

Sempena 25 tahun Sambutan Tragedi Sabra dan Shatilla (Februari 1982 – Februari 2007), Buku Harakah telah menerbitkan buku Dr Ang dalam edisi Bahasa Melayu siap dengan kata pengantar khas dari Dr Ang. Saya jadi bertambah semangat untuk membelinya.

Benar, tiada bahasa yang mampu mengungkapkan kekejaman yang dilakukan oleh Zionis – Yahudi di sebuah negara bernama Israel ini. Apa yang mampu saya ungkapkan dalam bahasa termudah ialah, bayangkan anda dan keluarga anda hidup rukun aman di rumah anda. Tiba-tiba datang sekumpulan manusia yang ganas dan kejam memecah masuk ke dalam rumah dan mula merosakkan segala perabot tanpa mengendahkan anda sebagai tuan rumah. Anda bukan tidak berusaha melawan, tetapi mereka yang mengganas itu memiliki senjata canggih seperti mesingan, mortar dan roket; sedang anda hanya mampu mencapai batang penyapu yang akhirnya patah dua tidak berdaya!

Kemuncak dari usaha penjarahan rumah anda, setelah segala isi rumah anda digeledah, dirosakkan bahkan dirampas sesuka hati, anda akhirnya dihalau begitu sahaja – sehelai sepinggang tanpa sesen pun pampasan dan tanpa segaris rasa kasihan. Maka anda pun bergelandanglah bersama keluarga yang sudah porak-peranda mencari penempatan lain, penempatan baru demi hidup baru. Akhirnya di situ, di kampung baru itu kehidupan anda kembali aman. Kejiranan mulai tumbuh dan anda dapat mengubat luka hati anda di situ.

Namun, tiba-tiba penjenayah yang dilindungi oleh sang penguasa besar datang lagi mengganggu anda. Sekali lagi mereka merempuh masuk, memecahkan alatan rumah dan mengambil apa-apa sahaja, termasuklah anak gadis dan anak lelaki anda! Anda cuba melawan, namun kekurangan anda ialah perkara sama – peralatan yang daif dan naïf, mungkin hanya sebilah pisau pemotong daging sedang mereka membawa jet pejuang dan kereta kebal! Anda berputih mata lagi sekali dan lebih parah, anda dihina semahu-mahunya!

Akirnya anda pun berpakat mewujudkan kumpulan yang akan mempertahankan hak dan maruah anda. Anak-anak lelaki dan golongan dewasa yang berbaki pun mengangkat senjata demi membela maruah diri dan agama! Anda ingatkan, dengan adanya kumpulan itu maka akan gerunlah si penjahat; rupa-rupanya mereka lagi dahsyat. Mereka gunakan segala keupayaan untuk terus menekan anda dan komuniti anda. Bekalan makanan, ubatan dan apa sahaja mereka sekat semahunya. Rupa-rupanya mereka begitu berani kerana di belakang mereka ada Bos Besar bernama Uncle Sam yang berhak mencaturkan apa sahaja!

Akhirnya, dengan muslihat yang licik mereka berjaya mengajak anda berdamai. Kononnya mereka akan berhenti menyerang dan mengganggu anda dengan syarat, suami dan anak-anak lelaki anda yang dahulunya berjuang mempertahankan anda semua, kena keluar dari rumah dan kampung halaman dan senjata-senjata hendaklah diserahkan kepada pihak kerajaan. Anda terpengaruh dengan umpanan itu demi kedamaian, malangnya anda ditipu hidup-hidup.

Demikianlah secebis sorotan yang dapat saya paparkan. Hakikatnya, naratif yang sebenar akan mengheret anda jauh ke pelosok kem dan menyaksikan sendiri kerakusan, kekejaman dan kezaliman manusia yang hatinya sudah berkematu.

Saya akan sering membaca buku ini pada waktu malam sebelum mata terlelap. Setiap kali itu jugalah saya sentiasa mendambakan, bilakah agaknya Allah SWT akan menurunkan seorang penyelamat ummah. Sudah tidak tahan lagi rasanya mendengar penyiksaan demi penyiksaan, sedang umat Islam sendiri serata dunia asyik bergocohan tanpa sudah.

“Ya Allah…bantulah saudara seagama kami di Palestin, menangkanlah mereka ke atas Yahudi dan jadikanlah Islam kembali berdaulat di bumi syuhada itu…amin.”

Selasa, Februari 19, 2008


Tajuk: Bila Tuhan Berbicara
Pengarang: Faisal Tehrani
Tebal: 367 halaman
Penerbit: Ameen Serve
Tahun: 2007
Harga: RM21.90
Tamat baca: 12.20 tgh malam, Jumaat (masuk Sabtu dah), 15 Feb 2008

“Kita harus kembali kepada tujuan asal karya sastera Islam, kembali kepada matlamat awal drama Islam. Kita ingin melakukan tarbiyyah bukan? Kita ingin berdakwah bukan? Kita ingin bertabligh bukan? Jadi kita harus semat dalam ingatan bahawa ini tujuan teater Islam…” – Sedutan Novel Drama Bila Tuhan Berbicara, muka 338

Naskhah Bila Tuhan Berbicara (BTB) ini hangat dipromosikan pada tahun lalu. Saya kira ia novel dewasa kedua terbitan Al-Ameen Serve Holdings Sdn. Bhd. Pertama ialah novel Memeluk Gerhana oleh Isa Kamari (pemenang S.E.A Write Award 2006). Saya membeli naskhah garapan mantap Faisal Tehrani ini di Pesta Buku Selangor 2006 yang tidak salah saya diadakan di Kompleks PKNS, Shah Alam.

Bukan mudah membaca dan menghadam kandungan naskhah ini yang dinamakan oleh FT sebagai ‘Sebuah Novel Drama’. Ini kerana, ia seperti drama namun ia jua sebuah novel. Yang pasti, FT meneruskan tradisi teknik dan gaya khutbahnya menerusi naskhah ini. Gaya ini memang berkesan, khususnya dalam proses menerapkan pemikiran penulis kepada pembaca. Namun ia sedikit meletihkan, khasnya bagi mereka yang sudah terbiasa dengan novel gaya biasa, iaitu kaya dengan dialog antara watak. Isteri saya sendiri alah dengan novel BTB ini; sedang novel Tunggu Teduh Dulu dan Perempuan Politikus Melayu dahulu, bukan main lagi dikilik dan diseliginya dari kulit ke kulit.

Sepintas lalu, BTB melontarkan pelbagai persoalan, tentang akidah, tentang akhlak, tentang budaya, tentang seni dan hiburan, isu semasa dan sebagainya. Jika bab akidah misalnya, ia menyentak hati mengenai keyakinan kita terhadap janji Tuhan, misalnya yakinkah kita kepada kehidupan selapas kematian. Hal ini dapat kita telusuri lewat lakonan tiga watak utama – Mazlan (seorang doktor), Sahlan (vulkanologis) dan Razlan (ustaz yang mahu menjadi pejuang berani mati!) yang membumbui 90 peratus isi novel drama ini. Apa yang menambahkan kompleksiti novel drama ini ialah, konflik yang wujud dalam diri tiga watak utama dan kesinambungan konflik yang tercetus apabila ketiga-tiganya ditakdirkan untuk terselamat di dalam sebuah kubu atau bunker setelah melarikan diri dari letusan gunung berapi yang menyala...

Diulangi...watak-watak inilah yang mendominasi keseluruhan novel drama ini. Saya tak dapat membayangkan andai ia dipentaskan, pasti penonton akan merasa sedikit bosan jika tidak kena gaya...iyalah, perbualan mereka bersimpang-siur, simpang-peranang dengan sedikit gila-gila dan seperti sengaja mencuri perhatian! Namun, ya...mungkin itulah gaya pementasan, mencuri perhatian agar penonton tidak leka dan lena.

Pemuda-pemuda ini diibaratkan seperti Ashabul Kahfi. Mereka bagaikan melalui terowong masa atau Time Machine, lalu bermulalah kembara di dunia baru pasca letusan gunung berapi. Mereka ada tanggungjawab sesama manusia yang perlu dilunaskan di samping tuntutan akidah yang mendesak (mungkin juga tuntutan fitrah manusiawi...sang Paduka Ratu oh...).

Menelaah hingga ke akhirnya menambahkan keyakinan saya tentang kemampuan FT menguasai khalayak pembaca. Tabik saya pada FT. Layaklah beliau dianugerahi Anugerah Sastera Negara dan memenangi pelbagai hadiah dan anugerah lain. Mungkin beliau adalah calon Sasterawan Negara tahun-tahun mendatang. Syabas FT!

p/s: saya pelik sebenarnya, bagaimana FT mampu menghasilkan karya dalam masa yang singkat dan padat pula dengan info. Bukan senang jika tiada semangat dan iltizam...inilah yang menguji kemapanan seorang penulis sebenarnya.

Jumaat, Februari 15, 2008

Palestin O Palestin


Hari ini ada pameran dan juga ceramah mengenai Palestin yang dibawa khas oleh sebuah NGO bernama Aman Palestin. Sangka saya, ia adalah ranting dari Aman Malaysia, rupa-rupanya tidak. Aman Palestin adalah sebuah entiti berbeza dan ia memfokuskan kepada usaha membantu rakyat Palestin. Salah satu caranya ialah menaja keluarga miskin dan membiayai anak yatim di sana. Dengan hanya menyumbang serendah RM130, kita sudah pun membantu seorang anak yatim yang kehilangan ibu bapa akibat kejahatan Yahudi - Zionis!


Sebenarnya, saya tidaklah begitu mendalami sangat isu Palestin ini. Saya tahu tentang perjuangan rakyatnya, saya juga tahu ramai syuhada gugur demi Palestin, saya tahu tentang PLO dan Hamas, saya juga tahu sedikit-sebanyak usaha pemboikotan barangan buatan Yahudi demi membantu umat Islam yang ditindas di Palestin.


Namun, dalam mencari-cari sebuah buku buat penganan minda, saya meneliti juga sebuah buku yang memaparkan agenda perjuangan rakyat Palestin. Saya terjumpa satu halaman di mana di dalamnya di paparkan seorang wanita muslimah bertudung putih sedang dikelilingi askar Yahudi. Di belakangnya seorang kanak-kanak perempuan yahudi sedang menarik kerudung putih itu dan kirinya ada seorang kanak-kanak lelaki Yahudi sedang menendang ke arahnya. Ya Allah, teringat saya kisah Al-Makmun menghantar gerombolan tentera Islam hanya kerana seorang muslimah disingkap auratnya di sebuah pasar. Begitu terbelanya maruah umat Islam dahulu dan betapa murahnya maruah umat Islam kini...


Saya membeli buku tulisan Maszlee Malik bertajuk Al-Aqsa dalam bahaya!! Harganya tidak seberapa, hanya RM10 namun saya anggap itulah sumbangan saya. Berminat juga untuk menaja seorang anak yatim, tapi borangnya pula tiada. Jika anda berminat menaja, silalah hubungi Aman Palestin di talian 03.8926.7019 @ fax: 03.8925.9963 @ e-mail: alquds3@streamyx.com atau kunjungi sahaja laman mereka di http://www.amanpalestin.com/.

Ahad, Januari 27, 2008

Biblioholist dan gaya membaca


Biblioholist adalah jolokan bagi orang yang memang tidak dapat hidup tanpa buku. Saya mulai diperkenalkan dengan istilah ini oleh Sharom TM Sulaiman, penggerak awal Seminar Pencinta Buku yang juga menggerakkan Bukuonline.org pada tahun 2006 lalu. Entah saya ini termasuk dalam kelompok biblioholist atau tidak, saya tak pasti. Yang pasti saya memang teruja dengan buku sejak muda remaja lagi.


Sejak dahulu lagi saya sentiasa mendambakan memiliki sebuah kamar pustaka sendiri yang punya pelbagai genre penulisan. Ada politiknya, ada cerekanya, ada akademiknya, ada sosialnya, ada dakwahnya, ada fikahnya dan ada koleksi khasnya – apalagi buku-buku hobi sayalah – tentang dekorasi dan pastinya buku masakan untuk koleksi teman hidup saya – isteri tercinta.


Kini di rumah saya sudah ada tiga rak buku yang sudah penuh dan padat dengan pelbagai buku dan majalah. Saya puas melihatnya dan saya mengharapkan anak-anak saya membugar dalam lingkungan ilmu. Di rumah saya tidak ada stesen TV berbayar yang asyik mencengkek pitih kita dengan siarannya yang sering ‘hampeh’ , bahkan TV di rumah saya pun kecik…aje, sehinggakan kenalan kerja saya terkejut dengan saiz TV berukuran diameter 11’ sahaja paparan mukanya. Katanya… “Zalim kau Zul, punyelah kecik TV engko, kasihan kat anak-anak engko!”

Saya memang pengumpul buku. Ada buku yang saya beli atas asakan naluri yang amat kuat bahawa ia perlu saya beli, walaupun membacanya belum tentu…karya para penulis mapan misalnya. Ada pula kerana digiat-giatkan oleh teman-teman…khasnya abang ipar saya, lalu saya beli atas rekomendasinya, walaupun sesetengahnya sukar pula saya khatami. Ada buku yang memang saya beli sebagai sumber rujukan, khususnya dalam bab fikah. Mutakhir ini, saya semakin teruja memahami fikah Islam yang begitu luas dan luwes, tidak terlalu rigid dek fanatik mazhab dan juga kesempitan akibat taklid membuta-tuli.


Saya tahu, ada orang yang mampu membaca puluhan buku dalam usia setahun. Saya kagum dengan keupayaan orang seperti itu. Pastinya ia memerlukan upaya yang bersungguh dan konsisten. Ini kerana, ada sesetengah buku boleh sahaja diladeni dengan sesantai-santainya; namun ada juga yang memerlukan fokus yang bukan kepalang.


Saya tertarik dengan gaya membaca Datuk Kamaruddin Jaafar, Setiausaha Agung PAS yang pernah saya baca habit membacanya. Dia akan membaca sehingga dua atau tiga buku dalam tempoh masa yang sama. Caranya, satu dibaca di rumah, satu di dalam kereta dan satu di kantornya. Saya amalkan juga kaedah itu dan Nampak ada manfaatnya. Ada orang membaca kala malam kian ke penghujungnya buat melapik tidur seperti pernah digambarkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa ceramah perdananya kepada mahasiswa baru UKM lewat sesi 1994/ 95, ada yang membaca ketika menunggu sesuatu bahkan ada yang menghabiskan novel ketika membuang masa di dalam tandas! Tak kisahlah, asalkan gaya itu menjadikan kita lunak untuk membaca dan membaca, teruskanlah.

Selama setahun yang lalu, saya duduk-duduk diskusi dengan isteri dan mula mengira jumlah buku yang sempat kami khatamkan. Alhamdulillah, kami masing-masing habis lebih dari 12 buah buku yang memaknakan kami kekal membaca sebuah buku setidaknya dalam satu bulan. Memanglah jumlah itu agak ciput jika mahu dibandingkan dengan insan-insan lain, namun bagi kami yang kesibukan dengan empat anak rasanya ‘boleh tahan’lah…

Berikut adalah Senarai buku yang habis dibaca oleh saya pada tahun 2007:


A: Karya kreatif


1. Tunggu Teduh Dulu – Faisal Tehrani
2. Kawin-kawin – Azizi Hj Abdullah
3. Sangheeta – Azizi Hj Abdullah
4. Imam – Abdullah Hussain
5. Di Hadapan Pulau – A. Samad Said
6. Cinta Hari-Hari Rusuhan – Faisal Tehrani
7. Kekasih Sampobo – Faisal Tehrani
8. Cinta Sang Ratu – Ramli Awang Mursyid
9. Bagaikan Puteri – Ramli Awang Mursyid
10. Cerpen-cerpen Underground – Faisal Tehrani &
11. Masuk Ke Dalam Cahaya – Abdullah Hussain
12. Suupheeya – Abu Hassan Morad
13. Advencer si peniup nei – Faisal Tehrani
14. Combat 1511 – Faisal Tehrani


B: Non kreatif


Taka de yang khatam…


Senarai buku yang tidak habis dibaca pada 2007 pula:


A: Karya kreatif


1. Setitis Embun Semarak Api – Shahnon Ahmad
2. Lamunan Puitis – Shahnon Ahmad
3. Sakura Petals Unfold (ulang baca) – Arena Wati
4. Memoir Geisya –
5. Cinta Sangkuriang – Nisah Hj Haron
6. The Missing Piece (Jilid 1) – Fatimah Busu
7. Bila Tuhan Berbicara – Faisal Tehrani
8. Memeluk Gerhana – Isa Kamari
9. Monolog Sasterawan (ulang baca) – antologi cerpen
10. Detik-detik Diri Di Daerah Daif (ulang baca) – Shahnon Ahmad
11. Perjalananku Sejauh Ini – Shahnon Ahmad
12. Inikah Cinta – H M Tuah Iskandar


B: Non kreatif


1. Wang – CAP
2. Sejarah 4 imam mazhab
3. The Road To Mecca – Mohamad Assad
4. Kisah Saya Saudara Baru – Nur Aisyah Chua Abdullah
5. Talfiq – Maszlee Malek
6. La Tahzan – Dr Aidh Abdullah Al-Qarni


Isteri saya…ziarahlan blog Biostatistik-nye…kot-kot ada beliau postingkan di sana… J

Interlok


Interlok – EDISI PELAJAR, Abdullah Hussain, DBP, 2005 (cetakan awal 1973), RM20
(p/s: Tamat dibaca pada 2.35 am, dinihari 9 Jan 208)

Saya membelek-belek novel ini lama dahulu, ketika menemankan isteri tercinta ke Bangi pada tahun 2007. Sementara isteri menyelesaikan urusannya di bank, saya berlegaran di kedai buku Unikeb. Pantang benar saya jika dapat membelek mana-mana hasil tulisan para Sasterawan Negara. Hari itu, saya terjumpa karya SN Abdullah Hussein – Interlok. Saya mencapainya dan beriringan dengan itu juga saya mengilik Lamunan Puitis karya SN mapan Pak Shahnon.


SN Abdullah HussAin agak lewat memasuki senarai penulis ‘berat’ yang saya minati. Saya lebih dahulu memesrai novel-novel SN Arena Wati, Pak Samad mahu pun Pak Shahnon. Jika puisi, saya suka kepada puisi Cikgu Masuri SN dan SN Keris Mas yang kini telah pun gemulah. SN Abdullah Hussain mula memukau indera dan kalbu saya lewat garapan novelnya – Masuk Ke Dalam Cahaya – sebuah naskhah novel Islamik yang mempunyai ciri-ciri unik yang memang saya idami selama ini, novel yang saya tuntasi lewat cuti tahun lalu di kampong saya di Lenggong. Sejak itu, saya mulai menyukai karya SN Abdullah Hussain…maaflah agak terlambat!

Interlok adalah kisah tiga rumpun bangsa di Tanah Melayu yang akhirnya membentuk Malaysia – Melayu, Cina dan India. Memasing mempunyai rentetan sejarah yang tersendiri, ada kronologi yang mungkin selama ini tidak pernah pun diketahui oleh generasi terkemudian pasca kemerdekaan.


Ia adalah kisah orang Melayu yang tergadai atau sengaja membiarkan diri menjadi ejen yang menggadaikan maruah bangsa dan negara sendiri. Ia juga memaparkan kisah bangsa Cina yang berkelana merentasi lautan demi lautan dan mendenai daratan demi daratan, jauh meninggalkan Tung San dan Tanah Besar China ke Tanah Melayu. Kisah ketegaran diri, saling mengeksploitasi dan kegigihan yang membuahkan hasil atas jerih yang bukan kepalang – namun masih amat tebal sensitiviti kecinaannya! Juga kisah bangsa India yang sanggup berkelana demi kehidupan yang lebih baik di negeri Melayu ini – dengan harapan dapat membina masa hadapan yang jauh dari belenggu kasta yang mengharamkan sekali pun tersinggung punggung di tanah yang serba miskin itu.


Naskhah ini mempunyai tiga bab bertambah satu bab yang dinamakan Interlok. Pada mulanya saya menyangka ia adalah kisah yang berlainan. Namun mula menyedari akan jalinan yang wujud antara Pak Musa, Cina Panjang dan Tandil Maniam. Seman anak Pak Musa mewarisi harta yang disangka miliknya, namun hakikatnya ia adalah milik Cina Panjang dek kealpaan Pak Musa yang membeli tanah-tanah di kampong Nyiur Chondong sebagai proksi kepada Cing Huat Si Cina Panjang. Setelah kematian Pak Musa, Seman dan ibunya jadi pengemis dan merempat di tanah air sendiri, dihalau begitu sahaja oleh Cina Panjang. Ia menyedarkan saya bahawa upaya mengeksploitasi bangsa Melayu telah lama berlaku sejak sebelum merdeka lagi. Maka tidak peliklah jika hari ini pun masih ramai orang Melayu yang sanggup dipergunakan sewenang-wenangnya oleh orang lain demi keberuntungan yang amat seceleh!


Berlainan halnya dengan si Panjang atau nama asalnya Cing Huat – anak kecil yang sedari awal mengembara meninggalkan Tung San dan Canton membuntuti papanya hingga ke Malaya. Nyaris dijual dan menjadi kuli batak di merata tempat. Merasai getir pahit mencari sesuap nasi dan turut menjadi mangsa eksploitasi bangsa sendiri – Paman Kok Leng. Cing Huat dan papanya Kim Lock adalah lambang ketekunan, keunggulan dan kesungguhan bangsa bermata sepet ini, sedar diri adalah pendatang yang perlu merebut segala peluang mendatang. Cing Huat akhirnya berkahwin dengan anak gadis Cina kelahiran Tanah Melayu yang baginya tidak begitu mengenali hati budi bangsa sendiri berbandingnya dan papanya sendiri hanyut dalam ketagihan candu hingga mati. Mengenali Cing Huat membuatkan saya insaf, hidup adalah terlalu mahal untuk dipersiakan. Namun mengenali si Panjang ini juga menginsafkan saya bahawa, selama ini memang benarlah golongan Cina seperti ini memang memandang rendah kepada kaum Melayu yang dipanggil mereka Huan Na – si pemalas!


Begitu jugalah kisah Maniam, yang ditipu hidup-hidup oleh bangsanya sendiri bahkan terus-menerus menjadi mangsa keadaan dek kerana sifat di kalangan bangsanya yang memang suka dengki berdengki. Berbekalkan hasrat mahu mengubah nasib diri dan keluarga, Maniam sanggup meninggalkan isteri tercinta datang ke Malaya. Menjadi buruh di ladang dan sebagainya sebelum terjebak dalam pelbagai kemelut sehingga makan hati dipisahkan dari isteri kerana fitnah! Namun mengenali Maniam juga menyerlahkan sikap kenang budi yang begitu tinggi sehingga layak menobatkan dirinya sebagai lambang satu bangsa yang punyai sifat terpuji, iaitu sedar diri dan tahu menghargai!


Walau bagaimanapun, ada semacam tautan halus yang menyedarkan saya bahawa ketiga-tiga bangsa ini sebenarnya saling memerlukan. Ia dijelmakan lewat akhir-akhir plot penceritaan, khasnya saat Tanah Melayu di dalam kancah peperangan Dunia Kedua, juga bagaimana bergelutnya anak Melayu mengejar kemerdekaan dan ia memerlukan dokongan semua pihak.


Tidak rugi rasanya menghabiskan naskhah yang telah diringankan ini. Ia adalah wadah buat kita memahami struktur awal bangsa-bangsa di Malaysia dan menilai sendiri kedudukan kita hari ini, adakah sudah jauh berubah ataupun masih memiliki mentaliti sama seperti dahulu yang sampai bila-bila sukar diubah – khasnya orang Melayu!

Jumaat, Ogos 03, 2007

Bengangnye!!!


Saya mencuri-curi mencatatkan di blog ini, biasanya di awal pagi. Saya tiba di pejabat dalam kitaran jam 7.30 dan ketika masih sunyi itulah saya mula mereka-reka ayat. Tetapi, kekadang aliran ide terganggu dengan benda-benda yang sukar ditolak, ajakan teman berbual bicara, mengajak ke café mencari penganan dan sebagainya.

Saya cuba menagih ide di tengah hari; tetapi ia tidak selancar dan sederas di awal pagi. Bengang saya…banyak benda yang berlegar di cepu minda ini kekadang kelam dan tenggelam begitu sahaja. Mahu rasanya membeli PDA, mahal pula. Mencatat di buku nota, cuba saya amalkan tetapi selalu menyusahkan. Saya bukan jenis orang suka berdiari, sebab itu catatan tugasan harian saya lebih banyak di helaian putih yang kosong dan ditampal di hadapan mata agar saya tidak lupa!

Buktinya, catatan mesyuarat yang sepatutnya saya hadir pada 1 Ogos bebaru ini, telah saya terabaikan lantaran hanya dicatat di dalam diari. Itulah kesan diari dalam hidup saya, maka saya lebih selesa membuat catatan kasar di depan mata atau menggunakan hand phone sebagai pemberi ingat. Itulah saya dengan diari.

Lalu, banyak catatan yang patut saya nukilkan dalam blog ini tergantung dan tergantung. Tidak berpenutup dan berkesudahan. Saat ini,tadi pun saya dengan agak tegas telah menolak pelawaan seorang kawan untuk makan tengah hari sebelum solat Jumaat. Dengan muka sedikit kecewa dia pun pergi meninggalkan saya…em, kekadang terfikir glamour juga saya, ramai orang nak berkawan dengan kita…he..he..jangan riak syeikh…!

Baiklah, saya ingin mencatat di sini. Siapa nak baca dan komen, silalah.

Em…semalam saya khatamkan Tunggu Teduh Dulu (TTD) nukilan anak muda bervisi mega Faisal Tehrani (FT). Tidak silap saya, TTD adalah novel yang keenam saya baca. Saya sudah habiskan Cinta Hari-hari Rusuhan (maaf jika silap tajuk); Advencer Si Peniup Nei, Combat 1511, Perempuan Politikus Melayu, Cerpen-cerpen Underground 2, Kekasih Sampobo (1/2 tamat) dan yang baru habis TTD. Sekarang saya baru sahaja memulakan pengembaraan bersama Razlan, Mazlan dan Sahlan dalam Bunker...ops, gua, eh...bunker di dalam Novel-Drama Bila Tuhan Berbicara!

So, nak tahu apa pandangan jujur saya tentang TTD? Nak tahu bacalah. Tak nak tahu pun tak apa.

TTD kisah muslimah. Kata ipar saya Bro JR, kisah cinta enta-enti. Mana dia petik istilah tu, wallahua’lam. Mungkin sebab Salsabila Fahim dan the Sofea gadis usrah, bercita-cita menjadi muslimah berjaya di bidang pertanian moden yang asyik maksyuk dengan betik, papaya dan kepayanya…tanpa menkesampingkan adab-adab beragama…maka jadilah kononnya enta-enti. Lantaklah, itu pandangan ipar saya.

Saya agak slow menyampaikan diri ke titik penamat. Isteri saya terlebih dahulu mencicipi sehingga ke titisan terakhir novel ini. Katanya, amat mengesankan. Buktinya, dia menangis pada pertengahan cerita! Ah…saya jadi teruja membaca…tetapi saya tidak menangis pun. Puas saya menumpukan perhatian, khususnya pada bahagian pertengahan novel…nak tahu kisahnya…bacalah sendiri kawan, nanti tak syioklah saya paparkan di sini, tetapi tak jumpa sesuatu yang mampu menggoyah emosi dan merembeskan air ke pipi yang hensem ini!

Jangan marah FT, at least tuan telah berjaya menghanyutkan perasaan isteri saya dengan lakaran bahasa tuan yang sangat indah dan mengalunkan. Isteri saya orang fakta, orang sains yang bergelumang dengan nombor dan makmal dengan pelbagai formula statistik entah apa, namun bisa menangis dek mainan kata-kata FT…ceh, boleh ke saya buat isteri saya menangis dengan kata-kata saya pula?

Isteri saya pelik kerana melihat lama benar saya mengelek novel TTD ke sana ke mari. Daftarkan adik ipar di UiTM pun saya kilik, di bilik tidur lagilah…tapi ngape lambat benar tamatnya?

Kata saya: “Abang letihlah. Jalan ceritanya berliku dan bertele. Mungkin ini cerita seorang eh…dua orang wanita, Sal dan the. Sal lah watak utamanya. Abang jadi letih…kisah orang pompuan, kaya emosi kan. Sebab itu abang lambat habis…” Itulah antara alasan saya, logik ke?

Walau apa pun, TTD adalah novel yang terbaik antara sentuhan mulus FT. Lima bintang mungkin, tebalnya pun (tak silap saya cecah 900 muka) menjadikan kita malu alah untuk mempertikaikan kemampuan pengarang dalam menuntasi kepengarangannya! Sebab…TTD bukan omong kosong. Ia padat berisi. Bukan sekadar cerita betik; tak kiralah betik muda bergetah atau kepaya Jogja yang memerah isinya yang sering menjadi penghangat bicara dua wanita muda itu; tetapi penuh dengan info. Khasnya info betiklah.

Jika anda mahu menjadi usahawan tani, maka silalah menelek dan meneleku novel ini. Ada info, ada kisah tauladan dan ada panduan berguna. Sepaling tidak, anda patut tahu siapa molek di buat kawan (tumpang tuah…jika dapat kawan dari jabatan berkenaan yang mampu melangsaikan banyak keruwetan), apa perlunya bersahabat dengan orang ternama (jangan lupa isu kabel mengkabel tuan dalam dunia bisnes le ni…) dan juga apa pentingnya dalam menjerumuskan diri dalam bidang pertanian…

Agh, satu benda yang saya masih terfikir, mudah benar Salsabila dan Sofea jadi petani moden ye…tak marah ke penaja mereka apabila pulang dari US tapi tak kerja di kompeni yang menaja mereka?

TTD hampir sahaja tamat dalam suspens yang menyebabkan saya enggan menamatkannya…mujur saya kesani kelainan dalam pengakhirannya! Nak tahu…tuan puan belilah TTD dan bacalah sendiri!

(p/s: pinjam-pinjam tak best, tak boleh buat koleksi kan?)



Fajar Islam Mulai Menyinsing

Jumaat, Julai 27, 2007

Di Hadapan PULAU - A Samad Said


Kisah ini adalah catatan lama seorang sasterawan. Kisah mengenai zaman perang. Zaman yang opah saya bagi tahu, orang Melayu susah nak makan. Belajar makan pisang dan ubi rebus cecah kelapa, belajar berdikari di sebalik kebengisan sang Jepun. Ia kisah era Perang Dunia Ke-2.

Pak Samad ada citra tersendiri. Saya tidak pandai membicarakan aspek kepengarangannya, walau dulu Daerah Zeni saya terobos dan saya geledahi setiap isi perutnya. Ia lain. Benar, Daerah Zeni juga kisah menentang penjajah…juga kisah masyarakat. Bergelut dalam sangkar kehidupan demi sebuah kebebasan. Lazri Meon dan anak-anaknya…

Di Hadapan Pulau (DHP) adalah novel lama. Sebelum DBP menerbitkannya, ia pernah dicetak oleh Pustaka Sistem Pelajaran pada tahun 1978. Saya membeli novel ini semasa DAWAMA membuat jualan murah di Ulu Klang tidak lama dulu. Saya pergi dengan kawan lama dari Sarawak, Zamli namanya yang kini mengajar di sana. Saya beli juga dua buah buku/ antologi cerpen yang mencatatkan pengalaman para guru, satu untuk Zamli dan sebuah lagi untuk simpanan mini perpustakaan saya.

DHP saya baca semasa penat menelaah Sangheeta. Benar, novel ini nipis sahaja. Tidak seperti Salena. Ceritanya ringkas dan mudah difahami. Ia mengenai sebuah daerah di Selatan Tanah Air (agaknya…Pak Samad tak nyatakan di mana dengan jelas).

Aziz seorang budak kelaraan disajikan janji demi janji untuk ke sebuah pulau di hadapan kampung mereka. Pak Samad menggambarkan Aziz adalah seorang budak yang baik dan dimatangkan usianya oleh aruhan suasana. Dia punya ramai kawan-kawan sebaya. Berbaur antara keseronokan zaman kanak-kanak dan derita yang tercipta hasil peperangan (dan kini…dunia terus berperang dan berperang!!!)

Yang paling mengesankan saya, Pak Samad berjaya menghidupkan unsur humor yang ketara lewat beberapa watak yang bodoh-bodoh alang dalam novel ini. Gawat menanti perang terangkat sedikit dengan kelakar yang nampak menjadi. Kisah bagaimana penduduk kampung yang majoritinya nelayan perlu segera mencari perlindungan apabila siren bergema lantang, menyerlahkan kebodohan ketara apabila membayangkan para ikan pun ketakutan dan segera mencari perlindungan (shelter) di dalam lautan! Maka, susahlah macam itu…

Saya ketawa seorang diri terkikih-kikih di ruang bawah sehingga isteri yang sedang membuaikan anak di tingkat atas pun merasa pelik, apa yang lucunya. Disangkanya saya sedang menonton gambar lucu di TV, tidak…Pak Samad yang menggeletek saya dengan novelnya.

DHP bagi saya cuba menceritakan kesusahan hidup akibat perang. Watak-wataknya dilihat cuba berinteraksi antara satu sama lain namun semuanya dihambat satu perkara: peperangan! Namun, di sebalik kesusahan itulah mereka belajar untuk berdikari. Aziz belajar memanfaatkan tanah dengan Syed Fikri walau hasil tanaman sering dikebas orang. Perang juga menyebabkan ada orang membuang ketepi halal dan haram!

Dan ada satu perkara juga, Syed Fikri berjaya mencungkil sikap umat Islam yang sering ambil lewa tentang kehidupan beragama. Tertarik saya bila Syed Fikri menasihati Aziz dan rakan-rakannya tentang solat dan sebagainya. Jelas, isu tiada iltizam terhadap agama sudah lama berbusa, sejak zaman Pak Samad mengarang DHP lagi…

Nah kini pula, bagaimana?


Fajar Islam Mulai Menyinsing

Jumaat, Jun 22, 2007

Sangeetha




"Geetha…janda pikun yang lara, Derus...teruna pikun yang setia...bersatu tiada melain hanya bercerai nyawa..."

Azizi
adalah Azizi. Karyanya menggugah rasa. Menggamit emosi menerjah nuansa. Mencubit rasa hati, mengheret kita agar terus terkesima. Pada riak bicara tanpa suara, pada lirik lagu dan melodi yang seakan bersatu, melahirkan ketekunan dan kepuasan…

Apakah nilainya cinta? Mestikah cinta bersatu akhirnya? Patutkah ia diluahkan pada bahasa? Cinta apakah itu, jika saling memeram rajuk mengempang ego menarah hati mengulit mimpi mengundang sakit menyiksa diri? Apakah cukup mencurah kasih kepada gambus dan danga, mengapuk meliuk meretih melompat meratus mengeow pada merbuk dan kucingnya? Adakah cinta hanya ada pada kereta buruk berselimut atau pada kilat jemari roda basikal yang digilap tanpa penat atau pada pagar yang terkeleweh dan undakan dan semurup dan simen tembok berlumut yang kian buruk?

Nah…apakah kita jika ditakdirkan di situasi itu, menjeda usia menatih hayat bersama tanpa ikatan, lalu tega sama-sama memasang anganan melangit namun akhirnya sedar kaki masih terpaku pada bumi, sedar betapa kedirian masih kaku, sedar bahawa ras berbeda dan sedar betapa kepercayaan masih belum bersatu…mampukah, tegakah…?

Tiada apa yang mampu menghuraikan kemelut itu melainkan keberanian, memecah keegoan dan kejengkelan. Buanglah segala waham dan prasangka. Buanglah segala emosi lara dan ego yang menjela. Buanglah segala anganan dan binalah kenyataan…namun semuanya tersisip kemas pada bilahan usia dan menjadi rahsia, hingga ke akhirnya…kasihan!

Azizi cuba menerobos dua alam kepikunan. Dihimpit kesunyian, kelaraan dan kenestapaan. Tiada kejiranan yang riuh atau kebisingan anak cucu. Dua fenomena lazim yang sering mengungsi kehidupan pikun secara tradisi di negara ini. Lalu, kepikunan yang mendominasi hampir keseluruhan plot memaksa audiens agar turut mencicip detak rasa dan getar dua jiwa. Merekalah itu, yang sengaja memayahkan keadaan, merekalah itu yang sering menjenuhkan rasa…susahnya, susah memaham dan susah menerangkan…

Terus-terang, saya menguliti buku ini dari kulit ke kulit secara santai…terlalu-lalu-lalu santai hingga rasanya, dalam masa mengkhatamkan naskhah ini…sudah dua tiga buku lain saya habiskan…entahlah… cukup lama...hampir dua bulan rasanya!

Pertama kali menikmati awalannya, memaksa saya meneruskan para demi para. Sukar mencari noktah sementara. Namun, akhirnya saya tewas kepada kesengajaan yang berulang…Azizi dan Geethanya dan Derusnya…kenapa susah sangat berterus-terang…namun, ya…itulah isinya, itulah intinya, jika sedari awal mereka berlapang dada sambil bercerita sambil memandikan merbuk di undakan atau sambil buka rahsia sambil sama-sama mencicip kopi setelah Derus kelelahan menebas atau ketika sama-sama ke pasar atau sama-sama menepuk tabla dan mengapuk gambus…bahawa aku sayang kamu dan aku cintakan kamu…marilah kita menikah…naik haji dan bla..bla…, tamatlah cerita…wassalamu!

Apa-apa pun, semalam ketika detik menuju jam 12.00 tgh malam, saya menghabiskan segala kesabaran. Tika anak saya Huda asyik berbicara yang kadang kala mengganggu konsenstrasi, akhirnya saya temui juga titik kesudahan. Kesudahan yang menimbulkan waham…apa jadinya Geetha, apa jadinya merbuk, apa sudahnya cinta mereka…mungkin Azizi punya agenda buat kita berfikir. Yang nyata dan jelas...segalanya adalah satu kesudahan yang menjentik rasa, bahawa cinta tidak semestinya bertaut dalam sangkar rasa yang sama yang namanya…perkahwinan. Wallahua’lam!
***
Dedikasi buat Azizi Hj. Abdullah (Sangeetha dan Derus):
"Di balik jalan diamnya, ada nyanyian panjang untukmu, yang ia lantunkan setiap malam menjelang tidur, dan pada akhir nyanyiannya, ia berucap lirih "ternyata aku masih mencintaimu".

Arifa’i, Solo, 1997

Selasa, Mei 29, 2007

Cinta Sang Ratu


Judul: Cinta Sang Ratu
Genre: Novel Kreatif Thriller
Pengarang: Ramlee Awang Mursyid
Penerbit: Alaf 21 Sdn Bhd
Harga: RM19.90
Tahun terbit: 2007
Halaman: 572
ISBN: 983-124-278-5

Siaran Selamat Pagi Malaysia pada 17 Mac 2007 menyaksikan, Cinta Sang Ratu buah tangan novelis thriller ini mengungguli tempat pertama dari sepuluh judul novel Melayu yang menjadi pilihan ramai di MPH Book Store. Saya teruja dengan kedudukan ini, sementelah hasil penekuran saya selama beberapa hari melunyaikan naskhah ini memang berbaloi. Lebih puas berbanding prekuelnya dahulu - Bagaikan Puteri.

Biasa terjadi dalam dunia ini, jatuh cinta kepada musuh sendiri. Inilah yang terjadi lewat novel Cinta Sang Ratu buah tangan novelis thriller nombor satu Ramlee Awang Mursyid. Senarionya, novel ini adalah sekuel daripada novel Bagaikan Puteri yang masih tebal pengaruh kehebatan dalam seni bela diri, pengaruh manusia syaitan dan kekuatan iman benteng seseorang insan. Sentuhannya tetap sama, novel ini penuh unsur magis, supernatural, keperwiraan, keperkasaan dan sebagainya. Matlamat juga tetap sama, perjuangan menegakkan kebenaran agama dengan menghapuskan manusia Iblis yang merosakkan alam. Lalu berlakulah pertembungan dua jiwa, perbalahan dua benua. Namun, dalam kemelut itulah lahirnya cinta. Ia tumbuh subur, walau bajanya darah dan air mata. Ia mekar mengakar walau diairi kezaliman dan kerakusan.

Masih berlatar belakangkan kurun ke – 15. Sunan, pemuda perkasa yang berkelana ke seluruh ceruk rantau dunia demi menegakkan Islam akhirnya ditakdirkan berkongsi kasih dengan Ratna, sang ratu yang jelita tetapi diselubungi kezaliman bondanya Sang Maharani.

Pertembungan antara kejahatan dan kebaikan bermula lagi. Namun kali ini lebih dramatik. Pada saat Sunan menagih bantuan, tiada lagi Wali Sufi di sisi dan tiada lagi Djailuh bersama memerangi musuh.

Pada detik yang sama, abad ke – 21, Tsunami melanda Acheh. Keajaiban dan keanehan berkesinambungan terus menerus. Haryani yang menjejaki lelaki yang cuba menumpang kasihnya – Dani – akhirnya terperangkap dalam dunia mistik. Dia mencagarkan nyawa demi sebuah nyawa. Berjayakah dia membawa Dani kembali ke alam realiti. Bertautkan cinta sedang hatinya hanya untuk Sunan.

Nah! Novel ini menjanjikan kelainan. Rasanya tidak rugi menyantaikan diri dan merebahkan minda buat beberapa ketika menenggelami diri di dalam buku ini. Jelasnya, saya kian meminati hasil Ramlee…

Jumaat, Mei 25, 2007

Bagaikan Puteri


Tajuk: Bagaikan Puteri

Karya: Ramlee Awang Mursyid

Penerbit: Alaf 21 Sdn Bhd

Harga: RM19.90 (jika tidak silap)

Genre: Kreatif thriller


Em...Ramlee adalah nama baru saya rasa. Jujurnya, saya tidak pernah berminat untuk memiliki hasil-hasil karya beliau sebelum ini. Iya, mungkin kerana saya kurang meminati cerita rekaan yang kekadang tidak masuk di akal...hinggalah satu masa saya berurusan dengan salah seorang editor majalah di Karangkraf dan saya mencuri-curi masa berlegaran di kedai bukunya.


Saya jelaskan di sini, faktor pertama yang memikat hati saya untuk membeli ialah 'cover'nya yang menarik. Nampak seperti orang sedang bertapa...ada unsur-unsur kependekaran dan ke-melayuan lama. Faktor kedua, di dalam naskhah ini turut dimasukkan unsur sejarah (walau kekadang saya rimas apabila watak-wataknya seperti Hariyani sering terbawa-bawa cara gadis hari ini...yang ber'opss sorry' dan sebagainya) dan ketiga apabila diselitkan juga perihal Laksamana Sunan yang tinggi imannya dan digambarkan seorang lelaki yang soleh tentunya...


Saya menghabiskan kira-kira seminggu dengan mencuri-curi masa membacanya. Kekadang sebelum tidur malam saya asyik membaca hingga sayang mahu berhenti. Saya kagum juga dengan keupayaan penulis (ingat....Ramlee adalah penulis sambilan yang bertugas sebagai juruhebah) namun masih mampu menulis novel. Dan beliau tidaklah menulis begitu-begitu sahaja kerana saya yakin dan tahu, beliau pasti membuat rujukan di mana-mana.


Novel ini yang seperti dinobatkan adalah berbentuk thriller. Ia seboleh mungkin sering diseretkan dengan unsur suspens dan di luar batas pemikiran manusia. Kisah orang koma yang hampir digamit kematian di dunia hari ini; namun berkelana seorang diri di abad ke-14 dan berdampingan dengan Sunan dan Tuah. Maka, itulah asal pokok ceritanya. Ia kemudian dikembangkan hingga wujudlah suspennya, seramnya, peliknya, magisnya, kagumnya dan sebagainya lagi.


Sunan digambarkan pemuda perkasa berjiwa mulia. Mempunyai kemahiran tinggi ilmu persilatan dan juga mampu berkomunikasi dengan tuan gurunya Wali Sufi menggunakan firasat dan gelombang minda. Musuh utama mereka adalah manusia yang menjadi pengikut syaitan atau diistilahkan sebagai Taghut. Nyi Burga Kelara misalnya, adalah manusia penyembah syaitan yang ganas dan mengerikan. Namun dengan ketangkasan seorang laksamana bersama keris Naggore, ramai yang tewas walau telah diberi awas agar kembali beriman dan meninggalkan syirik.


Kisah cinta tiga dimensi turut diselitkan. Menariknya (sedikit kurang praktikal), Hariyani jatuh cinta kepada Sunan dan begitu jua sebaliknya sedang di dunia moden abad 21 kini, seorang pemuda waris dari turunan Sunan juga sedang tekun mengemis cintanya.


Apa-apa pun, saya terkesan setelah menamatkan pembacaan novel ini. Terasa Ramlee memang bersungguh menenggelamkan emosi pembacanya melalui tulisan beliau. Saya seperti masih terbayangkan...saat Haryani mengunjungi Kampung Punggor di Johor, dia dapat merasakan semilir angin seolah-olah membawa suaranya memanggil Laksamana Sunan kekasih hatinya... dan saya seperti ternanti-nanti kesudahan episod ini apabila Sunan rebah dipanah Ratna saat Acheh dilanggar laskar Maharani!

Isnin, Mei 21, 2007

IMAM


Judul: Imam
Karya: SN Abdullah Hussein
Anugerah: Hadiah Sako Utusan-Public Bank
Penerbit : Utusan Publication & Distributors Sdn BhdGenre : Novel Mukasurat : 705 halamanCetakan Pertama : 1995Cetakan Terbaru : 2005ISBN : 967610499x
Harga: RM29.90

Kata Imam Mihad kira-kiranya: “Islam itu ibarat cahaya yang tak dapat disekat dan dapat menembus merembes walau dari seseni-seni ruang…”

Abang ipar saya, Jiwa Rasa pernah dan selalu juga menyarankan agar saya memiliki naskhah ini. Ikhlas saya akui, saya agak jauh dalam menikmati karya-karya Abdullah Hussein, entahlah…saya lebih rapat dengan buah tangan Arena Wati dan Pak Shahnon. Dengan tinta Pak Samad dan Keris Mas pun tak seberapa.

Namun, semasa cuti beberapa bulan yang lalu atau mungkin jelasnya pada tahun lalu (2006), ketika di kampung (di Lenggong, Perak), saya terjumpa karya SN Abdullah Hussein (AH), iaitu ‘Masuk Ke Dalam Cahaya.’ Saya jadi ralit, terkesima dengan butir bicara yang AH gunakan dalam rentak tari novelnya. Ringkas, mudah dan bersahaja. Tak ada yang berbelit dan berliku seperti sesetengah nama besar yang lain. Saya asyik menyelami naskhah pertama itu hingga tamam dalam tempoh dua hari saja rasanya…malangnya buku atau tepatnya novel itu bukan milik saya, ia milik sesiapa yang ada di rumah abah di kampung, tersisip kemas dalam almari buku dan saya terpaksa menyimpannya kembali di situ…

Imam adalah karya besar. Padat dengan mutiara ilmu. Ia sendat dengan iktibar. Sebermula membacanya sekitar 9 Mei hingga tamam awal pagi semalam pada jam 12.54 pagi 21 Mei 2007, saya merasa puas, merasa jelas dan merasa nikmat dan..ah…sukar nak dijelaskan. Saya seperti dibawa ke daerah yang sebenar, di Mukim XII berkelana buat sementara di Kampug Anggerik Desa dan beriktikaf sewaktu dua di Masjid Haji Salih. Bersua muka dengan Sufi Lau yang pekat amat telornya, berkongsi teruja dengan ulat buku bersama Haji Qamar dan Cikgu Syahidan, bengkak hati dengan Haji Syamsuri dan ingin sekali menikmati indah cantik wajah Rubiah dan Siti Nur Aisyah. Paling mengujakan, Haji Mihad pastinya, imam muda tapi tua yang menyimpul segala!

Sekadar membataskan kepada beberapa nama, hakikatnya Imam adalah naskhah yang amat-amat patut diladeni oleh mereka yang mahu tahu hakikat kehidupan. Benar, mungkin kita tidak pernah hidup dalam kemelut atau bergelut dalam selut seperti belut atau tidak pernah sedikit pun merasa seperti apa yang papar-gambarkan dalam karya ini, namun ia adalah ‘hidup’ dalam minda kita. Ia memberikan pengajaran tidak sedikit.

Pengajaran bahawa hidup perlu berubah, hidup adalah perjuangan dan hidup adalah wawasan. Mengusaikan pembacaannya membikin saya terpana, benarlah…SN AH ada resipi rahsianya tersendiri…jadi, jika ingin merasainya…cubalah sendiri!

(Detik hati ini…Ya Allah, adakah aku juga perlu menyalin beberapa babak dalam kehidupan Imam Mihad ini untukku aplikasikan dalam rencana masa depanku…berilah aku quwwah-Mu ya Allah, amin.)

Kawin-kawin


Judul : Kawin KawinPengarang : Azizi Hj AbdullahPenerbit : Utusan Publication & Distributors Sdn BhdGenre : Novel Mukasurat : 266 halamanCetakan Pertama : 2002ISBN : 9676112976
Harga: RM25.00
P/S: “Beli di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2007, kategori: 18SX (sesuai bagi yang dah kahwin dan otak matang dalam menilai…) dan baca dalam tiga hari dah abis…”

Kawin-kawin…tajuknya pun macam cerita bebudak masa kecil-kecil main pondok-pondok. Masa main pondok-pondok, adalah yang kawin-kawin, maknanya kena duduk bersanding dan bersanding sahajalah, tak boleh lah pula lebih dari itu, tak boleh lah kawin betul-betul, sampai minta ‘bini’ picit belakang…macam mak ayah kita yang kahwin betul-betul…faham ke…betul-betul…?

Pertama kali melihat buku ini ialah sekitar Pesta Buku Antarabangsa pada beberapa tahun yang lepas. Gatal merenyamnya tangan mahu membeli, apatah lagi apabila melihatkan ia juga memenangi hadiah Anugerah Sako, satu penghargaan yang berprestij juga kepada para penulis. Tapi, biasalah kekangan kewangan dan kekempisan poket mengatasi segala. Hasrat dipendam tapi keinginan terus menguja dan membara…

Lalu, pada Pesta Buku Antarabangsa KL 2007 baru-baru ini, saya seperti biasa kembali mengunjunginya. Puas menjamu mata, puas memegang dan mengelek, akhirnya kaki saya menginjak juga ke gerai Utusan. Mata mula melilau menchegoye (kata orang Perak memerhati le ni…), akhirnya ke rak buku tertumpah juga pandangan dan saya terus terkesan kepada beberapa buah buku yang sering menjadi impian, antaranya IMAM karya SN Abdullah Hussain dan juga inilah…Kawin-kawin buah tangan Azizi Hj Abdullah.

Kawin-kawin adalah kisah perkahwinan, secocok dengan tajuknya. Cuma yang ditekankan oleh Cikgu Azizi ialah kahwin kontrak atau kahwin muta’ah. Ada tempoh sah lakunya dan selepas itu kena diperbaharui…macam road-tax lah gayanya.

Cumanya isu yang dibangkitkan bukan sekadar seronoknya kahwin dan yang berkaitan dengan kahwin-kahwin sahajalah, kerana yang dikeutarakan sebenarnya adalah isu umat, isu masyarakat. Kawin itu hanyalah alat…bagi saya, ibarat sindir anak mengata menantu, eh betul ke pepatah ni?

Ia adalah kisah Mas Um yang suka bertukar laki. Ramai lakinya dan setiap yang berbinikan Mas Um akan merasalah nikmat kawin dan nikmat tinggal di Banglo Mas Um dan merasalah mengontrol apa-apa yang berada di bawah lingkungan Mas Um dan Banglonya. Ramai lelaki yang teringinkan Mas Um dan mahu mencalonkan diri menjadi suami kontraknya, tapi yang paling malang ialah si Malang…secocok dengan namanya yang sentiasa malang untuk berbinikan Mas Um, tak pernah dapat dan tak pernah merasalah kawinnya dengan Mas Um itu.

Tapinya, cerita ini adalah kiasan, itu yang saya rasa. Masakan tidak jika di situ dalam daerah Mas Um, maka ada kitabnya… Arraya yang menjadi rujukan…karangan Dr. Demo dan ada juga ahli ilmu yang memang alim tapi bebal dan asyik mengikut telunjuk, si Abul Ahkam…

Lalu, berjalanlah cerita Kawin-kawin, dimasukkanlah usaha si Malang melobi sakan dengan gengnya…Pak Wan dan Din dan Lim dan ramai lah juga, berkerja keras memenangi ‘kerusi’ panas di Banglo Mas Um dan berbinikan Mas Um apakala sampai masanya kontrak kawin dengan Mas Um kena diperbaharui…seperti ajaran dr. Demo dalam kitab Arraya lah dan diakui sah oleh Abul Ahkam.

Maka, Muallim pula digambarkan ‘penghalang’ nombor wahid! Dia dapat kawin dan menguasai Banglo Mas Um dan segala isu suku sakat di daerah itu yang disifatkan Malang dan kroninya sebagai ‘zalim dan tidak adil.’ Kepandakannya, maka benganglah Malang meronggong diri ke daerah Siti Menura, janda Pak Qum dan madu Mas Um yang alim dan warak dan tinggal berguru dengan Tok Guru Lebai Yasin…di sana dia bertukar kulit dan wajah, jadi orang baik walau hatinya sebenarnya masih merenyam dengan Mas Um dan mindanya masih berkapuk pada Mas Um!

Malang adalah tipa manusia bertopeng, manusia jadian dan dalam Islam dapat diklasifikasikan sebagai golongan yang bakal bersama Abdullah bin ubai bin Salul. Dia sanggup buat apa sahaja, termasuklah menyalin 30 juzuk Al-Quran dengan tulisan tangan demi menjadi mas kahwin dan dapat ‘bersatu’ atau diistilahkan oleh Malang yang diiyakan pula olah Abul Ahkam…dapat ‘bersiput babi’ dengan bininya, si Siti Menura. Malang memang bebal dan memang pura-pura, dia buta huruf arab, tak reti solat dan hanya reti buat…ikut sahaja. Dia salin Al-Quran hanya kerana geramnya nak ‘bersiput babi’ dengan bininya…juga menjadi bukti kepada Daerah Mas Um bahawa dia adalah lelaki yang ‘jantan’ dan bukan pondan macam…macam ye…si tukang gajinya yang aww itu…

Lalu, disingkatkan lagi akhirnya Malang kempunan segala segi, baik kempunan nak bermuta’ah dengan Mas Um, kempunan nak menguasai Banglo dan Daerah Mas Um, kempunan nak berligan dan menokak batang leher bininya si Siti dan kempunan nak jadi manusia baik, kerana akhirnya dia jadi gila, gila isim dan gila kawin…

Wallahua’lam…