Memaparkan catatan dengan label Faisal T. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Faisal T. Papar semua catatan

Jumaat, Ogos 29, 2008

2 Jam Sebelum Sultan Alaudin Syahid Dibunuh


Jujurnya, saya agak tertipu dengan teater ini. Bukan maksud saya, mengatakan Purnakarya Faisal Tehrani sengaja menipu, tapi saya yang tersilap barangkali. Saya tertipu dengan pandangan mata zahiri.

Sangka saya, teater ini adalah teater purbawara. Set dan kostumnya yang terpampang pada poster…barangkali membuatkan saya menanggapi sedemikian. Rupa-rupanya, teater ini SARAT KRITIKAN SOSIO-POLITIK SEMASA dan kontemporari sifatnya. Jadi, lupakanlah hasrat mahu melihat para pelakonnya mengenakan destar sejak mula, menghunus keris dan bergaya dengan sampin dan capal. Apatah lagi berbicara cara lama, sarat dengan pantun dua kerat atau berperibahasa. Mereka berpakaian moden bangat malah. Cakapnya cakap modenlah.

Saya melihat, teater arahan Dr Abu Hassan Hasbullah (yang pertama kali saya kenali semasa Seminar Pencinta Buku 2006 dahulu) ini, menggabungkan dua maksud besar tersirat, yang mewakili dua zaman. Satu zaman ini dan satu lagi zaman silam, zaman ketika Sultan Alaudin Riayat Shah berhadapan dengan ancaman bunuh. Hakikatnya, kedua-dua senario iaitu pada zaman ini dan zaman dahulu itu, ditandai dengan satu kalimah yang berbunyi ‘konspirasi.’

Bagi mewarnai latar zaman ini, audiens akan dipaparkan dengan keletah-keletah watak yang tidak sukar ditelah maksudnya. Itu belum ditokok dengan skrip yang menambahkan lagi kejelasan cerita. Ia mengarahkan audiens kepada satu kisah konspirasi moden, ya…maka itulah kita dihadapkan dengan watak-watak bernama Azzam, Maria Longoooooria, Rose…mah. Bahkan kemasukan skrip berbaur isu semasa seperti liwat, penguin, mamak, correct 3X dan konspirasi serta serba bagai lagi amat menyerlahkan lagi apa yang mahu disampaikan.

Namun begitu, saya turut mahu menyampaikan tahniah kepada FT dan Dr Abu, justeru keberanian mereka melontar suatu idea yang sebenarnya merungkai kembali satu sisi dalam sejarah tamadun Melayu yang cuba digelapkan.

Itulah sisi sejarah mengenai sosok mulia Sultan Alaudin Riayat Syah yang syahid diracun isterinya sendiri, Tun Senaja (yang dipanggil Tun Sengaja oleh Azam…he…he…)

Cerita ini sebenarnya digali oleh FT sendiri menerusi pelbagai sumber-sumber lain yang pastinya digelapkan oleh orang-orang tertentu. Boleh sahaja dikatakan, Tun Sri Lanang yang mengarang Sejarah Melayu itu pun sudah menggelapkan sisi penting ini. Iaitu, sejarah pembunuhan Sultan Alaudin Syah ini.

Menurut FT, sekurang-kurangnya ada dua sifat Sultan Alaudin yang tidak disenangi oleh golongan Mamak yang ada di sekitar baginda kala itu, iaitu baginda bersifat ‘action oriented’ serta bercita-cita mahu melaksanakan perundangan Islam di Melaka.

Saya mengesyorkan, jika anda mahu merehatkan minda maka datanglah menonton teater ini. Paling tidak, anda mungkin dapat menangkap maksud di sebalik beberapa kelaku lawak jenaka oleh pendiri wataknya. Ya…ini negara demokrasi, maka teater FT ini memberikan sedikit suluhan cahaya agar fikiran kita lebih terbuka.

p/s: Malam semalam saya ke Auditorium Akademi Pengajian Islam, UM bersama-sama sahabat saya....Nasruddin untuk menonton teater ini. Beliau baru belajar mengenali dunia sastera...beliau bertuah kerana dapat berpeluang mengenali dan mendapat tandatangan Faisal Tehrani juga mengenali novelis / penulis Nisah Haron.

Jumaat, Ogos 22, 2008

JOM NONTON TEATER


“Kami di Asasinema memilih teks drama ini kerana pertamanya, ia menggunakan pendekatan teater orang tertindas yang digagaskan oleh aktivis teater Argentina yang terkenal bernama Augusto Boal. Kedua, teks ini adalah gabungan pendekatan post-modern dan purbawara. Ketiga, Terdapat meta-naratif yang kuat dalam drama ini tambahan pula kebelakangan ini kita telah muak dihidangkan dengan muzikal. Keempat, kita akan menampilkan lima ethos lelaki Melayu. Keenam, ethos tersebut akan memperlihatkan bagaimana dalam politik negara kuasa maskulin selalu tewas oleh kuasa feminisme. Ketujuh, ia adalah sebuah drama politik yang sangat cocok dengan isu semasa tambah-tambah di tengah panasnya Permatang Pauh, pembentangan bajet, sesudah muktamar PAS dan semangat hari kemerdekaan.”


Inilah cuplikan kata-kata Dr Abu Hassan mengenai teater yang digagaskan oleh Sdr Faisal Tehrani...



Baginda Sultan Alauddin disifatkan sebagai satu-satunya raja Melaka yang bersifat action oriented. Iaitu pemerintah Melaka yang melakukan setiap retoriknya. Baginda amat mengambil berat keadaan negeri sehingga turut turun padang menjaga keamanan negeri Melaka. Baginda juga seorang yang wara’ dan alim. Baginda misalnya menitahkan kanun Melaka ditegakkan secara menyeluruh di seluruh tanah jajahan Melaka sehingga baginda ikut menghukum pembunuh Telanai Trengganu yang didalangi oleh kekandanya sendiri di Pahang. Hasrat baginda untuk menegakkan Islam ini mendapat tentangan kumpulan yang lebih liberal dalam istana dan ini sudah tentu menambahkan musuh baginda. Siapakah yang meracun Sultan Alauddin dan apakah yang berlaku dua jam sebelum baginda syahid?

Teater ‘2 Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun’ dipentaskan di Auditorium Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya bermula 25 Ogos hingga 29 Ogos ini. Tiket adalah RM 50, RM 30, RM 20 dan RM 15 untuk pelajar. Pementasan bermula jam 8.30 malam tepat (untuk solat maghrib: tempat pementasan amat hampir dengan masjid Akademi Pengajian Islam UM). Tiket boleh ditempah mulai sekarang dengan membuat pesanan melalui, DR ABU HASSAN HASBULLAH +60179747331 atau email muringwien@mac.com. Juga boleh menghubungi produser: HAMZAH AMIR +60172052409 atau email hamzah_oc@yahoo.com atau SAIFUL DIWAN di +60175331002.

Isnin, April 28, 2008

Nyemah Mulya sudah berhenti mengganggu saya



Saya terus menekunkan diri menghabiskan novel remaja ini. Saat sebelum tidur, waktu makan biskut cecah milo di dapur dan di ruang tamu pastinya. Saya mahu habiskan segera memandangkan pada bulan April ini, belum ada sebuah buku pun lagi yang saya habiskan. Saya sudah berazam, setidak-tidaknya sebulan sebuah buku. Memang saya ada membaca beberapa buah buku lain, tapi hanya ini sahaja nampaknya yang sempat saya habisi. Kuras Kreatif Pak Azizi belum tamat dan Ahmanidejad Si Singa Farsi pun baru separuh. Ayat-ayat Cinta saya tawakufkan dahulu. Alhamdulillah, Sabtu cuti kelmarin, habislah kisang Nyemah ini.

Semasa membeli buku ini di Pesta Buku KL dahulu, FT tersenyum sahaja. Katanya ini novel remaja, dan saya bukanlah remaja lagi. Saya peduli apa. Saya mahu membaca dan menikmatinya juga, kerana novel ini pernah dibicarakan di sebuah seminar di Aswara dahulu. Kisah FT memutar belitkan sejarah opss…maaf, menukar sejarah. Lebih tepat meruntuhkan sebuah sejarah dan membina sebuah sejarah baru. Sejarah dari kaca mata kita sendiri; dan bukannya berkaca matakan penjajah. Sebab itu saya mahu membelinya juga.

Setelah tamat membacanya, saya membuat satu kesimpulan mudah. Kita mesti mencipta dan mencatatkan sejarah kita sendiri. Jika tidak, kita akan jadi mangsa. Umat Melayu menjadi mangsa kerana mereka membenarkan ‘orang lain’ menjadi pencatat sejarah mereka. Agakan saya, jikalah Tun Sri Lanang melihat sejarah Melaka, pasti sedih tidak terkira. Apatah lagi kini umat Melayu tak habis bercempera. Hem…sudahlah, setidak-tidaknya Nyemah Mulya tidak mengganggu tidur saya lagi.
p/s:
1/ semalam saya sudah siapkan buku pertama saya...petang ini insya Allah jumpa penerbit. Boleh ke keluar buku saya tu ye...?
2/ alamak, tq Mr JR...bukan 1511 tapi 1515, :-)

Jumaat, April 25, 2008

Nyemah Mulya 'mengganggu' tidur saya

"A Famosa...saksi sejarah makar si Feringghi dan alahnya kerajaan Melayu yang kata FT...mudah lupa!"

Nyemah Mulya serikandi Melaka, Dr Adi Fimiyun jatuh cinta dengan Frida, bondanya Nyemah Mulya juga, seorang professor sejarah tersohor dan Fimiyun tenggelam dalam kancah 1511, saat Melaka jatuh dan punah-ranah dimamah Alburqurqe. Maude pula tidak lelah merencanakan sesuatu buat suaminya Fimiyun yang tenggelam dalam amnesia serius. Sejarah bakal berubah? Bagaimana cinta Frida-Fimiyun. Selamatkah Nyemah Mulya daripada serakah Feringghi, dibawa balik sebagai budak suruhan Benggali Putih. Mampukah Melaka melakar sejarah baru di tangan Fimiyun.

Aduhai…saya tidur lewat semalam, hampir jam 2 pagi! Buku 1511 karangan Sdr FT mengganggu saya. Sukar untuk melelapkan mata dibuatnya. Hampir khatam buku itu saya kuliti… Sayang! Andaikanlah hari ini bukan hari Jumaat dan semalam saya boleh tidur lewat…

Selasa, Februari 19, 2008


Tajuk: Bila Tuhan Berbicara
Pengarang: Faisal Tehrani
Tebal: 367 halaman
Penerbit: Ameen Serve
Tahun: 2007
Harga: RM21.90
Tamat baca: 12.20 tgh malam, Jumaat (masuk Sabtu dah), 15 Feb 2008

“Kita harus kembali kepada tujuan asal karya sastera Islam, kembali kepada matlamat awal drama Islam. Kita ingin melakukan tarbiyyah bukan? Kita ingin berdakwah bukan? Kita ingin bertabligh bukan? Jadi kita harus semat dalam ingatan bahawa ini tujuan teater Islam…” – Sedutan Novel Drama Bila Tuhan Berbicara, muka 338

Naskhah Bila Tuhan Berbicara (BTB) ini hangat dipromosikan pada tahun lalu. Saya kira ia novel dewasa kedua terbitan Al-Ameen Serve Holdings Sdn. Bhd. Pertama ialah novel Memeluk Gerhana oleh Isa Kamari (pemenang S.E.A Write Award 2006). Saya membeli naskhah garapan mantap Faisal Tehrani ini di Pesta Buku Selangor 2006 yang tidak salah saya diadakan di Kompleks PKNS, Shah Alam.

Bukan mudah membaca dan menghadam kandungan naskhah ini yang dinamakan oleh FT sebagai ‘Sebuah Novel Drama’. Ini kerana, ia seperti drama namun ia jua sebuah novel. Yang pasti, FT meneruskan tradisi teknik dan gaya khutbahnya menerusi naskhah ini. Gaya ini memang berkesan, khususnya dalam proses menerapkan pemikiran penulis kepada pembaca. Namun ia sedikit meletihkan, khasnya bagi mereka yang sudah terbiasa dengan novel gaya biasa, iaitu kaya dengan dialog antara watak. Isteri saya sendiri alah dengan novel BTB ini; sedang novel Tunggu Teduh Dulu dan Perempuan Politikus Melayu dahulu, bukan main lagi dikilik dan diseliginya dari kulit ke kulit.

Sepintas lalu, BTB melontarkan pelbagai persoalan, tentang akidah, tentang akhlak, tentang budaya, tentang seni dan hiburan, isu semasa dan sebagainya. Jika bab akidah misalnya, ia menyentak hati mengenai keyakinan kita terhadap janji Tuhan, misalnya yakinkah kita kepada kehidupan selapas kematian. Hal ini dapat kita telusuri lewat lakonan tiga watak utama – Mazlan (seorang doktor), Sahlan (vulkanologis) dan Razlan (ustaz yang mahu menjadi pejuang berani mati!) yang membumbui 90 peratus isi novel drama ini. Apa yang menambahkan kompleksiti novel drama ini ialah, konflik yang wujud dalam diri tiga watak utama dan kesinambungan konflik yang tercetus apabila ketiga-tiganya ditakdirkan untuk terselamat di dalam sebuah kubu atau bunker setelah melarikan diri dari letusan gunung berapi yang menyala...

Diulangi...watak-watak inilah yang mendominasi keseluruhan novel drama ini. Saya tak dapat membayangkan andai ia dipentaskan, pasti penonton akan merasa sedikit bosan jika tidak kena gaya...iyalah, perbualan mereka bersimpang-siur, simpang-peranang dengan sedikit gila-gila dan seperti sengaja mencuri perhatian! Namun, ya...mungkin itulah gaya pementasan, mencuri perhatian agar penonton tidak leka dan lena.

Pemuda-pemuda ini diibaratkan seperti Ashabul Kahfi. Mereka bagaikan melalui terowong masa atau Time Machine, lalu bermulalah kembara di dunia baru pasca letusan gunung berapi. Mereka ada tanggungjawab sesama manusia yang perlu dilunaskan di samping tuntutan akidah yang mendesak (mungkin juga tuntutan fitrah manusiawi...sang Paduka Ratu oh...).

Menelaah hingga ke akhirnya menambahkan keyakinan saya tentang kemampuan FT menguasai khalayak pembaca. Tabik saya pada FT. Layaklah beliau dianugerahi Anugerah Sastera Negara dan memenangi pelbagai hadiah dan anugerah lain. Mungkin beliau adalah calon Sasterawan Negara tahun-tahun mendatang. Syabas FT!

p/s: saya pelik sebenarnya, bagaimana FT mampu menghasilkan karya dalam masa yang singkat dan padat pula dengan info. Bukan senang jika tiada semangat dan iltizam...inilah yang menguji kemapanan seorang penulis sebenarnya.

Jumaat, Ogos 03, 2007

Bengangnye!!!


Saya mencuri-curi mencatatkan di blog ini, biasanya di awal pagi. Saya tiba di pejabat dalam kitaran jam 7.30 dan ketika masih sunyi itulah saya mula mereka-reka ayat. Tetapi, kekadang aliran ide terganggu dengan benda-benda yang sukar ditolak, ajakan teman berbual bicara, mengajak ke café mencari penganan dan sebagainya.

Saya cuba menagih ide di tengah hari; tetapi ia tidak selancar dan sederas di awal pagi. Bengang saya…banyak benda yang berlegar di cepu minda ini kekadang kelam dan tenggelam begitu sahaja. Mahu rasanya membeli PDA, mahal pula. Mencatat di buku nota, cuba saya amalkan tetapi selalu menyusahkan. Saya bukan jenis orang suka berdiari, sebab itu catatan tugasan harian saya lebih banyak di helaian putih yang kosong dan ditampal di hadapan mata agar saya tidak lupa!

Buktinya, catatan mesyuarat yang sepatutnya saya hadir pada 1 Ogos bebaru ini, telah saya terabaikan lantaran hanya dicatat di dalam diari. Itulah kesan diari dalam hidup saya, maka saya lebih selesa membuat catatan kasar di depan mata atau menggunakan hand phone sebagai pemberi ingat. Itulah saya dengan diari.

Lalu, banyak catatan yang patut saya nukilkan dalam blog ini tergantung dan tergantung. Tidak berpenutup dan berkesudahan. Saat ini,tadi pun saya dengan agak tegas telah menolak pelawaan seorang kawan untuk makan tengah hari sebelum solat Jumaat. Dengan muka sedikit kecewa dia pun pergi meninggalkan saya…em, kekadang terfikir glamour juga saya, ramai orang nak berkawan dengan kita…he..he..jangan riak syeikh…!

Baiklah, saya ingin mencatat di sini. Siapa nak baca dan komen, silalah.

Em…semalam saya khatamkan Tunggu Teduh Dulu (TTD) nukilan anak muda bervisi mega Faisal Tehrani (FT). Tidak silap saya, TTD adalah novel yang keenam saya baca. Saya sudah habiskan Cinta Hari-hari Rusuhan (maaf jika silap tajuk); Advencer Si Peniup Nei, Combat 1511, Perempuan Politikus Melayu, Cerpen-cerpen Underground 2, Kekasih Sampobo (1/2 tamat) dan yang baru habis TTD. Sekarang saya baru sahaja memulakan pengembaraan bersama Razlan, Mazlan dan Sahlan dalam Bunker...ops, gua, eh...bunker di dalam Novel-Drama Bila Tuhan Berbicara!

So, nak tahu apa pandangan jujur saya tentang TTD? Nak tahu bacalah. Tak nak tahu pun tak apa.

TTD kisah muslimah. Kata ipar saya Bro JR, kisah cinta enta-enti. Mana dia petik istilah tu, wallahua’lam. Mungkin sebab Salsabila Fahim dan the Sofea gadis usrah, bercita-cita menjadi muslimah berjaya di bidang pertanian moden yang asyik maksyuk dengan betik, papaya dan kepayanya…tanpa menkesampingkan adab-adab beragama…maka jadilah kononnya enta-enti. Lantaklah, itu pandangan ipar saya.

Saya agak slow menyampaikan diri ke titik penamat. Isteri saya terlebih dahulu mencicipi sehingga ke titisan terakhir novel ini. Katanya, amat mengesankan. Buktinya, dia menangis pada pertengahan cerita! Ah…saya jadi teruja membaca…tetapi saya tidak menangis pun. Puas saya menumpukan perhatian, khususnya pada bahagian pertengahan novel…nak tahu kisahnya…bacalah sendiri kawan, nanti tak syioklah saya paparkan di sini, tetapi tak jumpa sesuatu yang mampu menggoyah emosi dan merembeskan air ke pipi yang hensem ini!

Jangan marah FT, at least tuan telah berjaya menghanyutkan perasaan isteri saya dengan lakaran bahasa tuan yang sangat indah dan mengalunkan. Isteri saya orang fakta, orang sains yang bergelumang dengan nombor dan makmal dengan pelbagai formula statistik entah apa, namun bisa menangis dek mainan kata-kata FT…ceh, boleh ke saya buat isteri saya menangis dengan kata-kata saya pula?

Isteri saya pelik kerana melihat lama benar saya mengelek novel TTD ke sana ke mari. Daftarkan adik ipar di UiTM pun saya kilik, di bilik tidur lagilah…tapi ngape lambat benar tamatnya?

Kata saya: “Abang letihlah. Jalan ceritanya berliku dan bertele. Mungkin ini cerita seorang eh…dua orang wanita, Sal dan the. Sal lah watak utamanya. Abang jadi letih…kisah orang pompuan, kaya emosi kan. Sebab itu abang lambat habis…” Itulah antara alasan saya, logik ke?

Walau apa pun, TTD adalah novel yang terbaik antara sentuhan mulus FT. Lima bintang mungkin, tebalnya pun (tak silap saya cecah 900 muka) menjadikan kita malu alah untuk mempertikaikan kemampuan pengarang dalam menuntasi kepengarangannya! Sebab…TTD bukan omong kosong. Ia padat berisi. Bukan sekadar cerita betik; tak kiralah betik muda bergetah atau kepaya Jogja yang memerah isinya yang sering menjadi penghangat bicara dua wanita muda itu; tetapi penuh dengan info. Khasnya info betiklah.

Jika anda mahu menjadi usahawan tani, maka silalah menelek dan meneleku novel ini. Ada info, ada kisah tauladan dan ada panduan berguna. Sepaling tidak, anda patut tahu siapa molek di buat kawan (tumpang tuah…jika dapat kawan dari jabatan berkenaan yang mampu melangsaikan banyak keruwetan), apa perlunya bersahabat dengan orang ternama (jangan lupa isu kabel mengkabel tuan dalam dunia bisnes le ni…) dan juga apa pentingnya dalam menjerumuskan diri dalam bidang pertanian…

Agh, satu benda yang saya masih terfikir, mudah benar Salsabila dan Sofea jadi petani moden ye…tak marah ke penaja mereka apabila pulang dari US tapi tak kerja di kompeni yang menaja mereka?

TTD hampir sahaja tamat dalam suspens yang menyebabkan saya enggan menamatkannya…mujur saya kesani kelainan dalam pengakhirannya! Nak tahu…tuan puan belilah TTD dan bacalah sendiri!

(p/s: pinjam-pinjam tak best, tak boleh buat koleksi kan?)



Fajar Islam Mulai Menyinsing