Memaparkan catatan dengan label cerpen. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label cerpen. Papar semua catatan

Selasa, Oktober 21, 2008

Fiksyen saya pulak...



INI ADALAH FIKSYEN SEMATA: TAK DE KENE MENGENA DENGAN YG HIDUP MAHU PUN YANG DAH MATI.

Dato’ Seri Tsukoi memanggung kepalanya. Sakit dihentak dengan bontot kuali masih terasa. Sungguh, Tsukoi tidak menyangkan sama sekali. Bahawa bininya yang terkenal suka melenggang macam Hema Malini dan suka menyaksikan adegan gedik Datuk Shah Rukh Khan itu rupa-rupanya telah mencemar dirinya. “Ah…tak cukupkah kasih sayang yang aku beri selama ini. Apa masih kurangkah duit. Semalam sahaja bini aku bershoping sakan di arked zaitun, hem…tujuh utas jam tangan berharga RM14 juta telah pun dibeli. Kelmarin, lapan biji limousine mengangkut barang-barang dan pakaian dari KLIA yang dibelinya di Paris…isk, takkan dia tak bahagia lagi.” Itulah kemelut yang melanda Dato’ Seri Tsukoi. Dia menggaru-garu dahinya yang luas. Tiba-tiba fikirannya melayang ke Monggolia. Ya, dia terkenangkan bekas kekasihnya yang bernama Aminatoya…tapi sayang, bekas aweknya itu sudah mati beberapa purnama dahulu! Teringat dia semasa mereka sama-sama makan malam di… “Kring….” Cis! Baru kenangan di mindanya mahu berputik, siapa pula memanggil di malam buta ini! Desis hati Tsukoi penuh kemeluatan! “Salam…could I speak to Tsukoi…it’s me, Abang Lah here.” Cepat-cepat Dato’ Seri Tsukoi menarik nafas dan cuba tersenyum. Bos yang telefon. Yes! Baru-baru ini bosnya telah berjanji akan menyerahkan kuasa syarikat kepadanya. Yalah, tujuh bulan lalu saham syarikat jatuh merudum bak durian busuk. Sebab itulah atas desakan pemegang saham, maka Abang Lah terpaksa percepatkan peralihan pucuk pimpinan. Lagi pun, para kakitangan yang selalu dia sebut ‘akar umbi’ sudah menekan sakan… Dato’ Seri Tsukoi ingat sangat, bosnya ini awal-awal mengambil alih syarikat dulu telah menjanjikan bonus dan pelbagai insentif kepada kakitangan. Alih-alih lepas tu, dia banyak berkongsi ide dengan menantunya dan meninggalkan BOARD apatah lagi akar umbinya... Apa tu…alah menantunya itulah, tak silap namanya Khairulri…alah, budak hingusan lagi. Tapi dapat jadi Pengurus Besar sebab pengaruh bapak mertuanya, si Abang Lah. Oh…lupa Dato’ Seri Tsukoi nak bagi tahu, Abang Lah adalah Pengerusi Eksekutif kelima syarikat Ikut Suka Aku Bhd. Syarikat itu pun bukanlah kukuh sangat pun, melainkan pernah bangkrup beberapa tahun dahulu. ‘Agh…apa orang tua yang suka tido dalam meeting BOARD ni nak dari aku tengah malam buta ni...hish…?’ Getus hati kecil Dato' Sri Tsukoi. *** (Seminggu berlalu) Sudah beberapa hari negara digemparkan dengan isu: PENGERUSI EKSEKUTIF I.S.A MATI DILETUP DENGAN BOM C8! Sekeping nota juga ditemui: ‘Pengerusi Eksekutif ini wajar ditamatkan riwayatnya, kerana dialah penyebab kejatuhan saham, kemeruduman pasaran dan kerugian berkali ganda syarikat sehingga hutang keliling pinggang dan projek-projek mega yang satu pun belum berjaya. Dia juga mengutamakan kroni sendiri dan cuba memadamkan karier pembantunya...’ **** Dato’ Sri tsukoi hairan sangat…sejak dua menjak ini, Datin Sri Rojie bininy kelihatan ceria sekali…diulang, CERIA SEKALI!!!

TAMMAT

Khamis, Mac 27, 2008

Mamat Jongos...

Cik Mamat Jongos naik basikal keliling kampung. Dia berang kerana katanya anak-anak buah kampungnya dah jual maruah. Sambil mengayuh basikal tuanya yang berkeriut sana sini, dia tak habis-habis mengangkat tangan. Orang yang berselisih dengannya senyum sahajalah, mereka kasihan kepada Mamat Jongos, kerana dia seperti kecewa apabila pinangannya ditolak. Maklumlah, sebelum ini dia sudah banyak kali bernikah dan bernikah. Umurnya si Mamat Jongos pun sudah mencecah awal 50-an, mengikut sejarah hidup Mamat Jongos, dia sudah kahwin enam atau tujuh kali. Isteri-isterinya itu bukanlah semuanya senang hati sangat, dua atau tiga orang sudah pun diceraikannya dengan talak satu…saja kata Mamat Jongos, nanti aku teringin boleh rujuk balik!

Setiap kali dia berkempen untuk masuk meminang, maka akan dicanang keliling kampunglah perihal kejayaannya membahagiakan kesemua isterinya yang terdahulu, betapa setiap daripada mereka diberikan banglo enam bilik setiap seorang dan anak-anak yang diberanakkan pun dia beri lot saham. Uweekkk sahaja suara bayi anak Mamat Jongos, budak mentah itu sudah ada satu lot saham…itulah, setiap kali sambut hari jadi akan bertambah lagi satu lot.

Pernah juga anak Mamat Jongos yang kini lebih jongos dari ayahnya sendiri bertanya, dari mana ayahnya dapat duit sebanyak-banyakknya untuk membeli saham buat mereka, dengan tersengih sambil memintal misai panjangnya Mamat Jongos hanya berkata: “Apak suruh lah tu, orang-orang yang lalu lalang di hadapan rumah kita tu bayar tol, sebab apaklah yang sudah keluar duit dahulu membina jalan, jambatan dan menjaga maintenance saban bulan.”

Gitulah, adalah seorang anak dara umur 17 tahun yang cerdik, dapat Pangkat 1 dengan 10 A dalam SPM menjadi kegilaan Mamat Jongos. Anak dara itu milik Pak Abu Seman hujung kampung. Mamat Jongos pasang perangkap, saja je dia menayang-nayang jet peribadinya kepada Pak Abu Seman si drebar Bas Merah Kuning di kampung itu. Mamat Jongos tahu, orang tua sekutuk Pak Abu Seman pasti akan berlenja liurnya melihat jet peribadi Mamat Jongos bersidai depan rumah.

Kekadang, Mamat Jongos sengaja menayang-nayang helicopter Pumanya yang berdengung-dengung memusingkan kipas. Habis terbang segala kain di ampaian rumah Pak Abu Seman. Jenuhlah Si Milah anak dara 17 tahunnya mengutip kain-kain itu sambil hatinya menyumpah-nyumpah, apalah tua pikun tak sedar diri asyik nak menayang kekayaan peribadi. Pernah satu hari, hampir terselak kain Milih anak dara 17 ditiup angin kencang helicopter Puma Mamat Jongos, hampir-hampir terselak dan tersingkaplah betis bunting padinya…dan hampir-hampir terbelalak hingga nak tersembul macam nak terbit mata Mamat Jongos melihatkan kain batik Milah yang tergebar-gebar di sesah angin kipas helicopter Pumanya…..

Rabu, Ogos 15, 2007

Sebuah Cerpen Terindah ...

Gamitlah kasih sayang Tuhan dengan pengorbanan, gamitlah kasih sayang manusia dengan ketulusan. Rintik-rintik hujan yang menyuburkan bumi adalah tanda kasih-sayang Illahi. Debur ombak pula adalah irama alam yang menghuraikan kekusutan dunia. Mari dengar kicau burung dan alunan cengkerik malam hari, itu adalah zikir suci. Lagukanlah suara kasih sayang penuh ketulusan, di situ ada nilai kemanusiaan dan kecintaan anugerah Tuhan.

Atiyyah menebarkan pandangan jauh, dari jeti dia melihat pada bukit-bukau yang berbalam menabiri alam. Ada tona warna kehijauan, pekat dan muda lalu berbaur biru kian kelabu. Di kejauhan lautan, langit biru namun ada selaput awan putih memayungi diri, ceria sang suria tertabir teduh. Di kaki langit daratan, ada awan gemawan berpuput lembut disapa angin dari puncak bukit. Semilir bertiup segar, lalu gemersik dedaunan berselisih diselangi sepuhan lagu kicauan beburung melahirkan simfoni alam. Rintik-rintik hujan masih jatuh lagi dari bumbung langit dan ditebrak cahaya mencetuskan bianglala. Indah warnanya dan mengasyikkan.

“Aku ingin seperti angin. Berpuput lembut dan mengasyikkan.”

- Tapi angin juga bisa meribut memusnahkan!

“Aku ingin seperti hujan, rintik-rintiknya bak salju menyuburkan.”

- Tapi, betapa banyak bumi tenggelam dalam hujan yang menggila menjadi banjir duka!

“Ah..aku bisa jadi awan gemawan yang mengambus lelangit dan menabiri terik mentari”

- Kasihan bumi tidak tersimbah cahaya hidupan binasa dan alam merana.

“Em…jika begitu, izinkan aku menjadi aku, yang mencicip warna ceria alam, yang menghidu wangi bunga, yang merasa nikmat tanah, meneguk air kali dan mendengar kicau mergas tua bersimfoni indah pada desiran dedaunan bernyanyi pada hembusan angin, menikmati terik mentari dan mensyukuri nikmat awan gemawan berisi hujan yang menyimbah alam demi kehidupan.”

- Ya, berbanggalah kerana engkau adalah manusia, sebaik-baik kejadian yang ditentukan Tuhan!

Penerbangan ke Pulau Pinang dari Kuala Lumpur bergegas melewati batas waktu, 10.00 pagi. Dari atas udara, permukaan bumi tampak bagaikan tompokan pada kain perca. Berbaur segala rupa. Namun, makin pesawat merapat ke daratan, makin jelas warna alam, ada bangunan berdiri kaku, aliran sungai berliku dan jalan raya.

Tatkala roda pesawat Boeing 747-300S mencecah landasan, terbayang di mindanya. Wajah Pak Ngah Lazim dan Mak Ngah Minah yang begitu lama ditinggalkan. Terhimbau kenangan perahu nelayan yang oleng di tengah lautan, Pak Ngah Lazimlah yang kukuh berdiri di situ. Mak Ngah Minahlah yang berpagi-pagian bangun menyiapkan bekalan. Nasi bungkus daun pisang berlaukkan ikan gelama kering dan sayur kangkung, atau telur rebus asin dan sebotol penuh dua liter air kosong dan satu termos penuh kopi pahit.

Dia masih ingat, mereka adalah sepasang kekasih yang setia. Kehidupan yang dibina atas nama cinta yang diatur oleh ibu bapa. Mereka tidak kenal antara satu sama lain, hanya tahu nama dan kenal rupa saat dipertemukan pada hari yang amat mendebarkan. Hakikatnya, Aminah bt Abdul Wahab menjadi igauan ramai jejaka, dipertemukan dengan Muhammad Lazim Abdullah, pemuda kacak dari Pulau Mutiara.

Mereka menjalin cinta dan kasih selepas sighah terucap. Tidak tergambar indah pada mata, tautan hati menjadi intim dan mereka mencicip hari muka bersama. Sehari menakah minggu, seminggu menganjak sebulan, sebulan mendaki setahun dan dayungan kasih masih sama rentaknya. Oleng perahu sama dijaga, kayuhan pula sama irama. Pak Ngah Lazimlah nakhoda dan Mak Ngah Minahlah kemudinya. Perahu itu adalah bahtera mereka, berkelanalah mereka semahunya.

Namun, setahun berganjak dua menjadi tiga menyusur empat menagak lima menjadi puluhan pula. Rindu pada tangisan seorang anak kian membara. Namun, takdir dan iradah Tuhan tiada siapa menduga. Mak Ngah Minah masih belum berisi dan buncit perutnya. Puas mereka berusaha. Menjaga segala petua, menahan segala pantang-larangnya.





Salam ukhuwwah fillah...U-HAH

Jumaat, Jun 15, 2007

Mampukah Kusiapkan cerpen ini...?



SAZMAN menggosok-gosok matanya beberapa kali. Dia kini terkesima campur terkujat. Manakan tidak, Hartini…gadis yang pernah bertakhta di ruang hatinya dahulu berdiri di hadapannya. Sedangkan…sedangkan yang dia tahu Tini telah gemulah lima tahun sudah. Tini sudah hancur menjadi tanah, barangkali fikirnya. Jadi, siapa wanita cantik ini? Sazman terus terkujat bagai si pikun duda diberi hadiah menaiki kereta Rolls Royce bersama selebriti genit Hollywood. Air liurnya terlekat di tenggorokan dan dia terus terkesima.

“Assalamua’laikum!”

Mata Sazman masih kaku. Kerdipan bagai mengganggu dan terus melongo menyaksikan keindahan ‘Hartini’ yang sudah lima tahun lenyap dari bebola korneanya.

‘Masakan…masakan ini Hartini! Tak mungkin, mungkin orang lain…mungkin kembarnya? Ah! Setahu aku Tini anak gadis tunggal, tiada dua. Yang ada hanya seorang abang dan seorang adik lelaki.’

Menyaksikan kekakuan menguasai suasana. Hartini menyuakan lagi ucapan indah ‘Assalamua’laikum!’

Di kedua pipi gebunya terlekuk dua lelesung pipit. Satu keindahan, ya.. amat indah yang sekian lama lenyap dari himbauan Sazman. Dia menyeluruhi terus kedirian yang masih setia berdiri di hadapannya. Masih, masih Hartini yang dahulu.

Tinggi semampai berbadan agak sederhana, masih tidak terlalu kurus merenceng atau gemuk berisi, masih ‘maintain’ seperti Hartini yang dia puja sebelum ini. Masih mempunyai lekukan kecil menjelma di kedua pipi tatkala senyuman melirik. Masih juga punya mata bundar tetapi redup dan bebola yang hitam sedikit besar lagi cerlang. Tanda orang bijak, pernah dia menyatakan demikian dahulu kepada Hartini.




Muka bujur sirih masih membujur juga, tiada tanda-tanda akan bersegi atau membulat. Dan pigmen putih kekuningan kulitnya masih sama. Tahi lalat hitam masih setia memagut dagu kirinya. Dan getar suaranya yang memanjat deria telinga itulah yang menoktahkan segala. Satu panggilan sahaja sudah mampu membuatkan gegendangnya mencerap dengan baik, itulah dia Hartininya. Hartini Yaakob yang telah lama meninggalkannya, lebih lima tahun dahulu!

Sazman menggagahkan diri, menarik nafas sedikit dalam dan menghembusnya dalam kadar sederhana. Dia mengejapkan cengkaman tangannya pada kedua belah pemegang kerusi kayu jati yang tersedia di lobi hospital itu. Dia seolah-olah berusaha mencari serta mengumpulkan segenap kekuatan. Bagaikan semangatnya terbang merewang apabila pertemuan pagi itu terjadi tanpa sedikit pun dirancang.




Adakah dia di alam fantasi? Mustahil, manusia lain masih sibuk bersimpang siur di sekelilingnya. Para jururawat berbaju putih lengkap masih laju ke hulu ke hilir. Para doktor yang sengaja kekadang menyangkutkan stetoskop ke tengkuknya juga masih berkejaran dan berpapasan laju. Sesekali juga dia masih mampu menancap pada bising dan kederuan suara pelbagai ragam manusia yang menguasai suasana, yang agak bingar namun masih terkawal dan diganggu juga dengan talunan suaran lunak dari pembesar suara membuat pengumuman.

Dengan dada yang masih sedikit berombak laju dan gemuruh darah yang masih belum mereda, Sazman menggagahkan dirinya bangun. Dia membetulkan kaca matanya yang sedikit melurut ke bawah lantaran batang hidungnya bukanlah terlalu ‘begak’ bagaikan hero-hero Bollywood yang tampan. Hidung Melayu asli kata Hartini satu masa dahulu.

Sedikit kegoncangan dan masih dalam kondisi mengawal diri serta emosi. Dia menjawab salam, jawapan yang masih berisi getar dan ketar. Lantaran dia sendiri merasa masih gugup dalam debar. Biarlah, jika ini benar Hartininya dahulu, ia adalah satu keajaiban dari Tuhan. Bukankah Allah itu Maha Pencipta, Dialah yang menghidupkan dan Dialah yang mematikan. Hartini adalah makhluk ciptaan-Nya sama seperti dirinya juga. Jika memang benar gadis tinggi semampai bermata bundar berlekuk di pipi berkulit putih kekuningan ini adalah Hartini yang dahulu, ia adalah ciptaan Tuhan juga. Bukankah setiap malam Jumaat dia dan jemaah di surau depan rumahnya akan membaca surah Yaasin dan bukankah di dalam surah itu ada menyatakan perihal kekuasaan Allah: Sesungguhnya, apabila Dia mengekehendaki sesuatu itu terjadi maka Dia hanya menyatakan: Jadi, maka jadilah ia.” (Yaasin: 82).

Begitulah, lantas dengan sedikit semangat yang kian pulih dan persoalan yang memenuhi cepu minda kian tersisih diisi rasa bertuah pula, Sazman akhirnya kembali normal. Dia menyeluruhi lagi gadis di hadapannya. Ternyata, Hartini kini sudah pun menjadi seperti apa yang diidaminya lima tahun dahulu. Dia mengenakan kot putih berserta stetoskop yang tersimpan rapi di kocek jubah putih itu, namun masih menjulur keluar penekapnya. Dia nampak matang sekali, ditambah dengan tudung yang meliputi sekujur wajah anggunnya itu, dan di dadanya yang bidang itu tertera tanda nama: Dr Hartini. Menuntaskan segala persoalan dan kini dia tambah yakin bahawa dia bukan di alam mimpi lagi.

“Sazman bukan? Sazman Ghazali, pelajar Perubatan Sesi 1994/ 95 UKM? Pernah dimarah Prof. Salam kerana memainkan kemaluan spesimen semasa sesi autopsi di dewan anatomi. Betulkan?”

Agh…Sazman terpaku dalam kepanaan sekali lagi. Sungguh terakam dalam memorinya, itulah kejadian pertama yang paling memalukan. Dia dimarahi oleh Prof. Salam dan seterusnya dia didenda menyiapkan tugas lain yang bertimpa-timpa hanya lantaran dia memainkan alat kemaluan sampel mayat yang dibedah oleh mereka sekumpulan. Kala itulah, Hartini adalah sabahagian daripada ahli kumpulannya. Dan dia sedari awal terlalu nakal. Mahu menguasai suasana dan tanpa duga mengundang amarah sang penyelia tua itu. Lanjutan ceritanya pasti ada, tapi biarlah ia disisipkan pada bahagian-bahagian yang lain pula.

“Hartini Yaacob, maaf Hartini Datuk Yaacob? Pemenang anugerah dekan tahun pertama perubatan UKM? Asal KL bukan?” Sazman menjawab hakikatnya menyoal.




Lalu, tanpa diduga dan tanpa sengaja, pertemuan di Hospital Selayang bagaikan membuka lembaran lama. Sebuah kisah cinta dan pengorbanan. Sebuah kisah duka dan kehilangan. Sazman terasa bagai mahu menarik tubuh semampai itu, mahu dirangkulnya kembali kenangan lalu. Namun, kewajaran sedemikian adalah keterlaluan. Dia hanya pasrah mengecapi sekujur tubuh dan wajah Hartini. Adakah sejarah lama bakal bertaut lagi. Masih adakah ruang dan sedikit pengertian. Dan air mata mulai bergenang di jendela mata Hartini dan Sazman. Biarlah air mata itu menyambungkan kisah selanjutnya. Mereka berdua hilang kata-kata.

_

“Engkau tahun Saz…” satu panggilan teramat manja yang pernah dilagukan satu waktu dahulu. Kehilanganmu adalah satu penyiksaan. Aku penasaran. Aku hampir kandas Saz.”

Mereka mengambil tempat sedikit jauh tersorok dari keributan manusia. Kafetaria aras dua itu memang agak sibuk. Namun, Sazman dan Hartini bagaikan terasing. Mereka teronggong dalam dunia kepiluan. Menggamit sejarah silam yang telah bertaburan lalu cuba mencantumkannya kembali menjadi sebuah gambaran yang serba lengkap. Masakan bisa dilupa segalanya, dua insan itu dulu pernah wujud dalam dunia yang begitu indah dan mereka begitu teruja menuju kedewasaan dalam epilog cinta itu.

“Tapi, engkau menghilang begitu tragis Tini. Engkau mungkin tidak tahu, aku terpaksa memohon waktu bercuti. Ibu bapaku terpaksa menenangkan segalanya. Aku bukan lagi normal masa itu. Aku bagai kalah mengadah qada’ dan qadar Allah. Aku hampir rebah Tini.”

Sazman menekapkan pandangannya ke wajah Hartini yang sesungguhnya masih ayu bahkan semakin ayu. Namun suaranya bergetar menahan sebak. Tubuhnya terasa sedikit tegang. Sungguh dia merasakan, pada waktu itu terlalu banyak cerita yang ingin dikongsi. Begitu banyak yang telah terjadi. Dia sendiri tidak tahu untuk memulakannya di mana. Bagaikan mahu diputarkan sahaja arloji masa, biar mereka kembali pada titik mulanya. Dan dia akan merencanakan kembali sejarah itu mengikut mahunya. Masakan dia berjaya. Masakan.

“Apa sebenarnya berlaku Tini? Pesawat yang engkau naiki dari Amerika Syarikat kononnya dilencong pengganas sebelum merempuh bangunan 99 tingkat Pusat Dagangan Dunia di New York. Aku sahkan itu dari makluman keluargamu sendiri Tini. Engkau dan kedua ibu bapa engkau berkecai, jadi debu berterbangan Tini. Masakan aku lupa.”

Suara Sazman sedikit meninggi. Intonasi yang menggambarkan kekejutan, kepedihan dan kehancuran. Dia parah tika itu, tatkala mengunjungi kediaman Datuk Yaacob di Bukit Damansara mendapatkan kepastian. Masih diingat kejap dalam memorinya, Hairi adik bongsu Hartini menyatakan bahawa kedua ibu bapanya dan kakaknya turut terlibat sama. Semasa itu Hairi sendiri sedang bergegas mahu ke Amerika Syarikat untuk mendapatkan kepastian. Sedang Wisma Putra sendiri mengesahkan bahawa ketiga-tiga nama itu memang tercatat dalam senarai berlepas dari Lapangan Terbang John F. Kennedy.

“Engkau tahu, aku mahu menyertai Hairi ke US. Tapi sayang aku kelewatan. Pasport Antarabangsa aku hilang. Malang sungguh hari itu.”

Hartini bagaikan patung bernyawa, sabar mendengar bait-bait cerita yang tertampan ke gegendang telinganya. Terasa betapa suara yang keluar dari mulut lelaki di hadapannya itu adalah suara kepastian, keikhlasan dan kesungguhan. Dia pasti Sazman serius mengucapkannya.

“Saz, I’m really sorry for what has happened. We didn’t planned it. But everything happened according to Allah’s wish. Apa yang mampu kita lakukan.” Hanya itu yang mampu terucap dari bibir monggel Hartini.



Memberat terasa di dada. Air mata yang seakan mahu tumpah lagi segera diseka. Pertemuan tanpa duga itu adalah satu yang memedihkan. Namun, lebih pedih apabila Hartini mahu menyelongkar segalanya...




***




Ah...inilah antara cerpen-cerpen saya yang tidak tersiapkan. Banyak sebenarnya yang tergendala. Kekadang, bahkan selalu saya begitu cemburu dengan Faisal Tehrani, umur seusia namun karyanya menjunjung dan membumbung..; sedang saya masih menatih di para-para, masih tersangkut di sigai-sigai...




Khamis, Jun 14, 2007

Catatan Diri Di Banggol Belimbing


Dari tanah bendang yang landai, luas dan terbentang itu, Akmal mendepakan tangannya. Dia berdiri megah di sisi pondok diperbuat dari buluh sepenuhnya dengan beratapkan rumbia, anyaman sendiri tentunya. Di kakinya mengalir deras air mendesit sejuk dari lata di bukit, menuruni anak sungai berbatu dan diempang-alirkan ke bendang berpetak-petak. Dia menyeringaikan gigi, rambut mengerbang dipuput angin sedikit keras. Dia menjerit-jerit kesukaan, penuh keriangan, penuh teruja anak kecil pada usia enam tahun.

‘Huargh!!!’ Sekumpulan tiak cuba menghinggapi rumpunan padi yang masih hijau dan baru belajar menguning, tidak jadi nampaknya dan terus terbang lagi. Berkawanan dan bergerombolan. Kelihatan seperti kawanan kapal terbang Jepun yang menyerang Pearl Harbour lewat drama perang Ba Ba Black Ship yang ditayangkan di TV 1 setiap malam Selasa.

‘Huargh! Huargh!!’ jeritan bersiponggang lagi. Tidak cukup sekadar mengeruhkan dengan jeritan, tali-temali yang bergantungan padanya tin-tin susu kosong ditarik laju, kuat dan laju sebenarnya. Ia disambung menyambung melingkari dan merentasi bendang dengan pacakan buluh sebagai tongkat penyangga. Bila ditarik dari pondok itu, ia ibarat pondok jaga di sebuah kawasan elit yang segera mengeluarkan bunyi-bunyian bising tin-tin berlaga. Ibarat sebuah remote control yang apabila dihidupkan suisnya, maka bising gamatlah keadaan. Burung-burung pun makin berterbangan, terganggu menikmati hidangan percuma.

‘Huargh!!!’ kelihatan juga di tengah-tengah bendang, orang-orang ciptaan Pakchu Yid berceratuk di beberapa sudut. Dipakaikan dengan topi terendak buruk, berbaju lusuh dan seluar buruk. Orang-orang itu adalah jaga bisu yang tambah menimbulkan suasana amarah petani pada serangan sang tiak! Tidak mampu berbuat apa-apa melainkan menjadi saksi bisu kepada jeritan yang terus bermaharaja lela… ‘Huargh!!!’

***

Ini adalah antara mukaddimah sebuah catatan diri di Banggol Belimbing, seperti mana yang pernah ditanyai oleh Jiwa Rasa, bila pula saya mahu menggarapkan kisah rencah Banggol Belimbing seperti mana Pak Shahnon menumpahkan sejarah Detik-detik Dirinya Di Daerah Daif Banggol Derdap...insya-Allah, dalam proses. Jika ada penerbit berminat, bakal tertataplah nanti kisah kecil tidak besar, tapi punya makna mendalam dari sebuah daerah kecil di Lenggong ini...insya-Allah, amin.