Isnin, Januari 12, 2009

Persoalan Kuil di Sek 19 dan Tindakan Pewaris

http://www.khalidsamad.com/

Kerajaan BN telah meninggalkan banyak perkara yang perlu diperbetulkan oleh kerajaan PR selepas kami mengambil alih. Selain dari penyelewengan dan salah guna kuasa yang menjadi bagaikan ‘signiature’ BN, terdapat juga persoalan projek-projek terbengkalai, projek-projek di lereng bukit yang tidak patut diluluskan tetapi diluluskan, penduduk rumah setinggan, kemiskinan bandar dan ‘lain-lain’.


Di antara yang ‘lain-lain’ itu adalah persoalan kuil-kuil yang bertaburan yang telah tidak diurus dengan baik apatah lagi bertanggung jawab oleh BN.Kebanyakan dari kuil-kuil ini merupakan kuil yang telah dibina semasa tempat berkenaan merupakan estet getah pada tahun-tahun sebelum Malaya merdeka. Apabila estet itu diambil-alih untuk dijadikan kawasan perumahan, pada tahun-tahun selepas merdeka, pekerja-pekerja ladang dipindahkan tetapi kuil mereka dibiarkan di tempat asal. Ianya tidak dipindahkan bersama penduduknya.


Akhirnya penduduk asal terus mengunjungi kuil tersebut sambil kawasan persekitaran dibangunkan. Kuil mereka juga terus dibangunkan mereka.Kesudahannya adalah seperti apa yang terdapat di Seksyen 19, Shah Alam! Rumah-rumah yang didiami orang Melayu berhampiran dan berhadapan kuil.


Keadaan ini lebih merumitkan apabila penduduk memberitahu bahawa semasa membeli rumah-rumah mereka, PKNS telah menjamin bahawa kuil berkenaan tidak akan lagi berada disitu apabila rumah mereka siap. Namun, di bawah BN, janji seperti biasa tinggal sebagai janji. Masalah ini telah wujud selama 20 tahun lebih dan apabila PR mengambil alih, kami terpaksa menyelesaikan masalah yang diwujudkan BN ini. BN hanya pandai menimbulkan masalah tetapi buntu untuk mencari penyelesaian.Dasar kerajaan PR adalah mudah.


Pertama, kuil-kuil yang lama ini perlu dipindahkan ke satu tempat yang lebih sesuai. Tempat perlu dikenal pasti oleh PBT dan semestinya dipersetujui oleh pengguna kuil berkenaan. PBT perlu mengambil kira segala permasalahan yang akan dihadapi oleh pengguna kuil hasil dari pemindahan tersebut. Sambil itu, pembinaan kuil baru, selain dari hasil perpindahan, juga dihentikan.


Pada Khamis 8hb Januari, sambil saya menghadiri mesyuarat berhubung penduduk Rimba Jaya yang telah dirobohkan rumah-rumah mereka oleh kerajaan BN (masalah yang diwarisi lagi!), saya mendapat maklumat dari seorang penduduk Melayu Seksyen 19 bahawa ada sekumpulan Melayu telah datang untuk menimbulkan ketegangan di kuil tersebut. Selepas mesyuarat berkenaan saya bergegas ke sana dan mendapati sekumpulan orang, kebanyakan mereka orang luar, berkumpul berhampiran kuil tersebut.


Mereka ingin membina ‘gelanggang silat’ di tepi kuil dan akan mengadakan kenduri untuk merasmikan pembukaan gelanggang tersebut pada hari Sabtu 10hb ini. Untuk kenduri itu mereka akan tumbangkan 2 ekor lembu! Seterusnya mereka akan menjamu penduduk dan orang ramai di depan kuil berkenaan.


Gelanggang mereka akan dibina tanpa membuat apa-apa permohonan kepada phak berkuasa kerana kata mereka, kuil tersebut juga tidak mendapat kebenaran!Orang yang mengetuai kumpulan tersebut datangnya dari Melaka! Dia menyatakan dia ‘mewakili rakyat’ dan tindakan ini terpaksa mereka ambil melalui persatuan NGO mereka yang bernama ‘PEWARIS’ kerana kerajaan PR masih berhoneymoon.


Dia berkata penduduk sudah hilang kepercayaan kepada kerajaan dan oleh itu penduduk memanggil mereka turun. Amat jelas, soal gelanggang silat dan sebagainya hanya satu helah. Sebenarnya mereka mahu provoke pihak kuil berkenaan.Saya menyatakan 'wakil rakyat' di sini adalah saya, bukan dia (mungkin dia ingat dia masih di Melaka). Sekiranya dia ingin mewakili rakyat, dia patut turun bertanding dalam PRU yang akan datang. Saya juga memberitahunya bahawa yang ‘berhoneymoon’ selama 50 tahun adalah BN!


Saya menjelaskan bahawa pihak kerajaan sedang menguruskan perkara ini dan kita harus diberi masa. Kalau BN tak dapat buat apa-apa dalam tempoh 20 tahun lebih, semenjak rumah-rumah mula didiami, takkanlah saya tidak boleh diberi tempoh setahun, kata saya lagi. Malahan, tambah saya, pada bulan 5 atau 6 tahun lepas, saya telah bertemu dengan penduduk di dewan Masjid Sek. 19 dan berbincang dengan mereka dan memohon tempoh setahun. Mereka telah bersetuju.


Orang Melaka ini terus menuduh bahawa PR mendiamkan diri bila orang India membina kuil-kuil baru di merata Shah Alam. Saya nyatakan tiada kuil baru dibina dan dia gelakkan saya. Saya beritahu dia, “tunjuk saya di mana kalau kamu bercakap benar!” Dia pun terus ke keretanya, minta saya ikut di belakang sambil dengan penuh keyakinan mengatakan, “mari, saya tunjuk awak”! Maka saya mengekorinya; hai orang Melaka ini yang menganggap dirinya lebih tahu Shah Alam dari orang Shah Alam.


Akhirnya dia bawa saya ke sebuah kuil di tepi landasan keretapi di Seksyen 15. Saya beritahu dia kuil itu telah ada di situ “sebelum kamu dilahirkan ke dunia ini”. Dia diam dan terus kembali ke kuil Seksyen 19.Tidak puas hati lagi dia mencabar saya sebaik sahaja kita sampai di Seksyen 19, “awak orang Melayu, orang Islam, kenapa awak sibuk sangat nak membela kuil ini”?


Saya jawab, “kerana Islam mengajar saya supaya bertindak adil terhadap semua manusia. Mereka, walaupun bukan Islam, ada hak dan Islam menuntut kita menghormati hak mereka”. Dia diam. Seterusnya dia berkata dia tak tahu sangat soal agama ini.Saya menambah lagi, "kita marah bila Israel mengasari ummat Islam di Gaza, jangan kita pula mengikut perangai Israel".


Melihat dia mula teragak-agak saya pun menyatakan bahawa saya tahu Pewaris dan Pekida adalah NGO yang adik beradik. Penaung Pekida adalah PM maka semestinya begitu juga Pewaris. Kedua-dua NGO ini dikuasai oleh ahli UMNO. Saya tahu juga bahawa tindakan mereka ini, pada masa ini, ada hubung kait dengan PR kecil KT.


Mereka ingin menimbulkan ketegangan dan masalah kaum supaya dengan itu mereka boleh menjaja keseluruh negara bahawa PR telah gagal menyelesaikan masalah ini di Selangor; dan Selangor sekarang ada masalah perkauman. Dia diam dan selepas itu dia menegur saya kerana buruk sangka, tetapi dia tidak menafikannya.


Dengan itu saya berundur. Saya memberitahu pegawai Polis dan juga pihak penguatkuasa MBSA yang berada di sana bahawa ini tugas mereka. Mereka kena menjaga keselamatan dan keamanan. Saya difahamkan walaupun gelanggang tidak dibina, namun mereka ingin teruskan kenduri mereka. Mereka kata mereka akan menjemput saya sekali. Saya menjawab, ikut undang-undang.


Kalau pembinaan gelanggang dapat kelulusan MBSA, saya datang.Kalau tidak, program Aman Palestine di stadium Melawati pada 10hb jam 10 pagi adalah tempat yang lebih afdal bagi saya untuk hadir, begitu juga dia!WalLahu ‘AlamNOTA PENTING: Minta disebarkan perkara ini kerana dijangka provokasi yang sedemikian rupa akan digunakan lebih kerap lagi menjelang PRK-KT, maka harus sentiasa berwaspada. Jangan kita terpedaya!

Kuala Terengganu Dari Jauh


Semasa berlabun dengan seorang kawan – dia adalah salah seorang ahli taktikal dalam memantau pilihan raya dan bertanggung jawab memberikan info keselamatan kepada kerajaan – dia membayangkan bahawa PR Kecil Kuala Terengganu 17 Januari ini akan dipenuhi dengan ranjau bagi PAS.


Kuala Terengganu adalah penanda aras kepada BN. Jika PAS menang, ia memberikan signal bahawa rakyat memang 99 peratus sudah muak dan mual dengan BN. Imej PR sebaliknya akan melonjak tinggi. Ini sudah pasti menjadi ‘momok’ yang mengacau mimpin BN di siang hari.

Dalam kemelut Palestin di hujani bom dan peluru Israel, Kuala Terengganu pula dikerumuni sekian ramai polis.

Jumaat, Januari 09, 2009

Karpal yang keliru, bukan Anwar


Anwar Ibrahim buat pertama kalinya menyentuh isu hudud lewat ceramahnya di Kuala Terengganu. Katanya jelas: “Hudud yang akan dilaksanakan oleh PAS hanya meliputi kepada orang-orang Islam; bukan Islam tidak.” Cukup, terang dan jelas!

Bagaimana seorang tua yang matang seperti Karpal Singh masih terkeliru dengan kenyataan sedemikian. Karpal menjadikan hujah oleh MB Kelantan bahawa “tiada sebab orang-orang bukan Islam untuk menolak hudud kerana bila dilaksanakan, samalah seperti mana mereka boleh terima undang-undang Barat.”

Apa yang pelik dengan kenyataan Tuan Guru Nik Aziz di atas? Saya nampak tiada yang pelik, bahkan terang dan jelas. MB Kelantan tidak pun memasukkan bahawa: “Orang-orang bukan Islam PATUT TERIMA HUDUD untuk dilaksanakan ke atas mereka, seperti mana mereka terima undang-undang Barat, tiada yang berbeza pun…”

Saya fikir, Karpal perlu meneliti banyak ucapan dan penegasan oleh pimpinan kanan daripada PAS. Hj Hadi sendiri selaku presiden parti, acap kali menegaskan bahawa hudud jika dilaksanakan, ia hanya untuk orang-orang Islam. Hujah yang sama apabila Tuan Guru Nik Aziz menyatakan, orang Islam wajib solat maka kewajipan yang sama juga kepada hudud bahkan qisas. Semuanya arahan Allah SWT.

Karpal tidak perlu risau. Memang benar, ada pandangan ulama fikah bahawa hudud atau pun qisas jika dilaksanakan di dalam sebuah negara, maka semua rakyat tanpa mengira agama wajib dihukum secara saksama. Namun, itu hanya berlaku di dalam sebuah negara yang bernama NEGARA ISLAM. Bagi Malaysia, negara ini masih separa-Islam separa-sekular, maka ia tidak termasuk dalam kategori NEGARA ISLAM.

Seandainya Karpal meneliti sejarah Islam, semasa Nabi Muhammad SAW mengasaskan Negara Madinah lebih 1400 tahun dahulu, Nabi Muhammad SAW telah merangka satu perlembagaan yang dinamakan Syahifatul Madinah. Ia adalah perlembagaan pertama di dunia yang diiktiraf oleh para sejarawan. Perlembagaan itu memasukkan banyak perkara, namun maksudnya hanya satu iaitu, semua bangsa dan agama yang bernaung di Madinah tertakluk kepada perlembagaan itu. Semuanya bersetuju dan oleh kerana itulah, mereka tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang sama dengan kaum muslimin.

Karpal juga perlu tahu, bahawa di Madinah ketika itu terdiri daripada pelbagai jenis manusia. Masyarakat majmuk sudah ada di Madinah. Ada bangsa Afrika, bangsa Iran dan masyarakat Arab itu sendiri pun berbilang keturunan. Bangsa Yahudi yang mendiami Madinah ketika itu juga terdiri daripada pelbagai puak. Namun semua mereka mengaku dan bersetuju tunduk kepada perlembagaan, maka tiada bezalah di antara mereka dan umat Islam. Semuanya mendapat faedah yang sama dan jika berbuat jenayah, hukumannya sama juga.

Di Malaysia, jika Karpal serius mahu melihat PAS berjaya merealsiasikan agenda hududnya, maka berilah PAS peluang. Jika Pakatan Rakyat berjaya menubuhkan kerajan, maka boleh sahaja perlembagaan dipinda dan memberikan PAS peluang melaksanakan hudud di Kelantan, Terengganu dan Kelantan misalnya. Kemudian, Karpal boleh menilai sejauh manakah keberkesanan hudud dan qisas menangangani jenayah. Seandainya belum dilaksanakan lagi pun, Karpal sudah menghentam…maka samalah seperti mana Pakatan Rakyat mengatakan: “rakyat belum beri peluang pembangkang jadi kerajaan tapi sudah menghukum bahawa pembangkang tidak reti mentadbir, mana adil…berilah kami peluang dahulu, kemudian lihatlah hasilnya.”

Saya suka mengesyorkan Karpal berbicara secara lembut dan bijaksana dengan Tuan Guru Nik Aziz ataupun Tuan Guru Haji Hadi. Islam ini bukanlah agama yang mahu menghukum orang. Sebab itu dalam Islam ada kaedah: “Mencegah lebih baik daripada merawat.” Undang-undang Islam yang Karpal tak setuju itu, inilah maksudnya. Mencegah daripada berlaku. Mungkin Karpal perlu semak statistik jenayah di Arab Saudi dan bandingkan dengan New York atau Malaysia. Selepas itu baharulah Karpal sedar dia ‘menghukum’ terlalu awal sebenarnya.

Sebagai seorang pemimpin utama dalam DAP dan Pakatan Rakyat, Karpal mesti lebih matang dan bijaksana dalam memberikan komen dan pandangan. Saya yakin, Karpal adalah ahli politik yang sangat matang. Jadi, janganlah menghakis keyakinan itu, daripada saya seorang anak muda yang selama ini menghormati prinsip dan perjuangan Karpal dalam memberikan erti demokrasi sebenar kepada kami.

Wallahua’lam.

Rabu, Januari 07, 2009

Kisah Yahudi di sisi sejarah


Ketika mana rasulullah saw berhijrah ke Madinah dan menubuhkan sebuah negara, sebuah perlembagaan telah dirangka bagi menyatu-padukan penduduk Madinah yang plural. Maka lahirlah Syahifatul Madinah - Perlembagaan negara pertama yang diiktiraf oleh dunia. Ia adalah manifestasi kebijaksanaan seorang rasul.


Negara Madinah didiami bukan sahaja orang Arab, tetapi juga golongan 'ajam. Ada Afrika (Habsyah), Iran (Farsi) dan Yahudi. Menurut sejarah, kala itu bangsa Yahudi sahaja terdiri daripada pelbagai puak. Ada Bani Quraizah, Bani Nadhir, Bani Khaibar, Bani Najjar, Bani Awf, Bani Qainuqa, Bani Hars, Bani Saidah dan sebagainya lagi.


Seluruh bangsa Arab daripada pelbagai puak dan kaum yahudi daripada pelbagai puak juga bangsa 'ajam menyetujui dan memeterai perjanjian untuk mentaati Piagam Madinah ini. Antara isi kandungannya:


Fasal 44:


Mereka (pendukung piagam) bahu membahu dalam menghadapi penyerang kota Yatsrib.


Namun begitu, pasca peperangan Uhud menyaksikan umat Islam goyah. Mitos kekebalan dan kehebatan tentera Islam pimpinan rasulullah saw lewat Badar Kubra sudah terlerai. Maka, beberapa konspirasi telah dijana bagi memudaratkan negara Madinah dan Islam. Komplot ini antara lain menggabungkan dua elemen musuh Islam - Yahudi dan Munafiqin! Bani Nadhir akhirnya dihalau oleh rasulullah atas komplot hina ini.


Dalam Peperangan Ahzab atau Khandaq pula, Bani Quraizah telah melanggar perjanjian dengan memberikan bantuan kepada musuh-musuh Islam. Akhirnya mereka dihukum dengan semua orang lelaki (dalam lingkungan 600 orang dan seorang wanita) dibunuh dan anak cucu mereka dijadikan tawanan manakala harta mereka dibahagi-bahagikan. Menurut sejarawan, hukuman ini sesuai dengan sifat 'duri dalam daging' kaum Yahudi. Pepatah Melayu mengibaratkan mereka seperti 'gunting dalam lipatan', 'api dalam sekam', 'pepat di luar rencong di dalam' dan 'talam dua muka' yang tidak boleh dipercayai.


Sebenarnya, Islam menunjukkan golongan Yahudi ini hanya boleh diangkat menjadi kawan apabila mereka berubah akidah mereka. Hal inilah yang terjadi kepada Abdullah bin Hussain atau lebih terkenal sebagai Abdullah bin Salam dan ramai lagi. Mereka menanggalkan kelongsong kesesatan dan menyarung jubah keimanan. Baharulah mereka mampu mendatangkan manfaat kepada umat Islam.


Menyinggung senario kekejaman Yahudi-Zionis di Palestin hari ini...adakah kita masih yakin dengan usaha perjanjian dan gencatan senjata? Sejarah sudah pun menyajikan jawapannya...




Rabu, Disember 24, 2008

Buku teman kat tangan penilai dah...


Teman memang bercite-cite nak jadi penulis. Teman ghase teman memang ada bakat, cumer tak diasah aje. Bile teman mule keroje dan diberikan peluang menulis dalam majalah, sedikit demi sedikit teman mulai rajin menulih.


Alhamdulillah, le ni tulisan teman udah banyak tersiar. Baik dalam majalah maupun surat kabo. Teman nulis banyak isu. Teman suka cara yang santai-santai je. Tapi dalam dok santai menulis, ramei juge kate ayat teman ni power...


Teman ade le ngantor satu manuskrip ke sebuah syarikat. Udah lame...senyap soh je...teman ingat udah melingkup le manuskrip tu. Tiba-tiba deme menelepon teman. Kata penilai tu, teman nulih macam udah banyak buku diterbitkan. Eceh..ceh...kembang-kempis lubang idung teman dibuatnya...ate, kire teman ni sohor juge ler...


Teman pun dapat semangat semule. Teman berazam, teman akan hasilkan lebih banyak penulisan lepaih ni. Bukannya ape...menulis ni keroje mulia, sebab kalimah yang mule-mule turun pada nabi pun ada menyebut 'kalam'...iaitu, ajor le manusia dengan kalam...


Moga-moga sempena tahun baru hijrah ni, teman dapat jadi penulis sohor...maaacam Pak Hamka ke...amin.

Isnin, Disember 22, 2008

Menggali Makna Hijrah


Permulaan tahun baru Islam ialah datangnya bulan Muharam. Berbeza dengan kedatangan tahun baru masehi, ia amat terasa. Sambutannya hangat sekali. Bermula dari saat menunggu dentingan jam di Dataran Merdeka, ia berlanjutan dengan pelbagi agenda. Bahkan 1 Januari sudah diiktiraf sebagai cuti umum.

1 Muharram pula, datang dan perginya agak kurang terasa. Ada tidak pun, ialah sambutan Ma’al Hijrah dan penganugerahan Tokoh Ma’al Hijrah. Mujurlah 1 Muharram juga dijadikan cuti umum, jika tidak mungkin ia akan berlalu tanpa sedikit pun meninggalkan kesan kepada semua.

Adalah amat malang, apabila umat Islam gagal memanfaatkan tahun baru Islam. Ini kerana, kewujudan tahun hijrah mempunyai konotasi kepada perkembangan Islam yang amat signifikan. Ia adalah detik bermulanya era baharu. Detik hijrahnya nabi ke Madinah yang akhirnya ditandai dengan tertubuhnya sebuah negara Islam. Kemudian, dari saat itulah Islam terus berkembang sehingga ke hari ini.

Firman Allah s.w.t lewat surah an-Nahl ayat 41 yang bermaksud: “Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh-musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik,”

Sambutan tahun Hijrah mestilah difahami dari kaca mata yang Islam kehendaki. Bukan sekadar dengan dendangan nasyid ataupun pengkisahan peristiwa Hijrah sahaja, itu cara lama. Apa yang lebih utama, mengerti maksud dan kehendak hijrah. Itulah roh atau semangat hijrah yang tidak akan padam hingga bila-bila.

Hakikatnya hijrah memaparkan erti pengorbanan, keikhlasan, ketahanan, keyakinan dan keberanian. Hijrah juga menyelitkan unsur kebijaksanaan, kepentingan perancangan dan strategi; namun akhirnya meletakkan penyerahan diri seratus peratus kepada Allah SWT. Itulah dinamakan konsep usaha, doa dan tawakal.

Lama sebelum terjadinya hijrah, Nabi Muhammad SAW sudah mengatur strategi dengan penduduk Madinah. Beberapa siri perjanjian telah dibuat, sehinggalah nabi benar-benar meyakini kesanggupan mereka untuk menjadi ‘rakan kongsi’ dan ‘pengikut’ yang setia. Kemudian, nabi mengatur kaedah paling baik dalam melaksanakan hijrah, sehingga mengaburkan pihak musuh.

Cuba kita fikirkan, para sahabat telah diminta berhijrah terlebih dahulu sedang nabi masih di rumahnya. Ia menyebabkan musuh-musuh memberikan tumpuan kepada nabi dan sekaligus tidak begitu mengganggu hijrah para sahabat. Kemudian, nabi juga merencanakan beberapa strategi lain. Siapakah yang akan tidur di tempat tidur nabi, lencongan laluan yang mengelirukan, siapa yang akan menjadi pemandu, siapa akan menjadi perisik, penyampai maklumat dan apakah kemungkinan-kemungkinan yang bakal terjadi.

Sejarah mencatatkan, betapa penglibatan anak muda seperti Ali bin Abu Talib dan Asma’ binti Abu Bakar, adalah bukti bahawa remaja adalah aset yang mampu menyumbang kepada kebangkitan Islam. Bahkan, keterlibatan seorang lelaki yang bukannya beragama Islam, Abdullah bin Uraiqit sebagai pemandu jalan, juga membuktikan Islam tidaklah memusuhi semua orang-orang bukan Islam. Bahkan mereka yang baik boleh diangkat sebagai kawan.

Begitu juga usaha nabi dan Abu Bakar, yang sengaja mengambil laluan ke arah selatan Mekah dan bukannya arah Utara sebagaimana biasa, kemudian menuju Tihama berdekatan pantai Laut Merah, adalah satu strategi yang terus mengelirukan musuh. Ia mampu menimbulkan perpecahan di kalangan musuh yang bertengkar dengan arah yang diambil oleh nabi. Ia menunjukkan, Islam mementingkan kebijaksanaan dalam perancangan.

Kini, umat Islam tidak perlu teraba-raba dalam mencari arah dan pedoman. Peristiwa hijrah yang berlaku lebih 1400 tahun dahulu sudah menyediakan contoh kepada kita. Seandainya kita mahu berjaya, maka mulakan dengan perancangan yang baik. Namun perancangan yang baik, masih perlu kepada perlaksanaan yang baik daripada semua pihak. Kemudian, ia hanya lengkap apabila semuanya menggantungkan harapan kepada Allah SWT.

Adalah amat malang jika umat Islam masih mengekalkan budaya kerja yang tidak teratur dan sistematik. Masih suka melaksanakan kerja tanpa perancangan atau ad-hoc. Kemudian, perlaksanaannya pula main ‘cincai’, tidak mengambil kira aspek kesan jangka panjang hasil pekerjaan tersebut. Lebih malang, apabila menyandarkan semua usaha hanya di atas kepandaian diri dan melupakan kuasa Allah SWT penentu segala.

Seperkara lagi, umat Islam juga sewajarnya menobatkan Tahun Islam ini sebagai mukaddimah membaharui azam. Adakah sepanjang tahun lalu sudah terpenuh segala cita-cita ataupun masih banyak bersifat angan-angan kosong. Ini kerana, berkat keazaman daripada Rasulullah SAW melaksanakan hijrah, maka kita mendapat kebaikannya hingga kini.
Di samping itu, hijrah juga menunjukkan Islam mampu menyatukan semua umat walaupun berbeza keturunan. Siapakah yang dapat menyangkal, hijrah telah menyatukan kaum Ansar dan Muhajirin:


"Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah untuk membela Islam dan orang-orang yang Ansar yang memberi tempat kediaman dan pertolongan kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu, merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia," (al-Anfal: 74)


Jelaslah, hijrah mampu memberikan pedoman buat kita sepanjang zaman. Syaratnya, kita mestilah menggali makna hijrah yang sebenar. Jika tidak, hijrah hanya tinggal sebagai catatan sejarah yang gagal merubah apa-apa dalam hidup kita.

Sabtu, Disember 20, 2008

Pagi-pagi ke kebun getah


Zaman kecik dulu, aku membesar di bawah naungan pokok getah. Susunya yang putih bertukar menjadi sekerap yang busuk. Tapi...busuk sekerap itulah pun yang mengisi tembolok kami. Busuk sekerap itulah yang membayar yuran sekolah kami. Busuk itu jugalah yang menyara anak-beranak kami.


Kebun getah memagari saujana panorama kampung kami. Di kaki bukit hingga ke kawasan tinggi, ia subur menghijau. Udaranya nyaman membugarkan jiwa. Hati jadi tenang, walaupun di situlah nyamuk jantan dan betina berkeliaran. Kami tega membiarkan para nyamuk itu menghurungi kami dan meliang-liangkan kulit belulang kami yang hitam. Nyamuk-nyamuk itulah rakan kongsi kami di kebun getah.


Pisau motong telah kami asah siap-siap semalamnya. Tajamnya bukan main. Jika terkena tangan pasti luka berdarah. Ia berhulukan kayu dan matanya bengkok. Bunyinya ketika diasah asyik sekali. Batu asahnya pun nipis sahaja. Nyiungggg...nyiunggg...hingga tajam berkilat. Selepas itu, mak atau abah akan ambik kain buruk dan balut mata pisau itu. Takut terkena tangan sape-sape pulak nanti.


Berbekalkan lampu suluh di kepala, sesetengah orang turun ke kebun seawal jam 4 atau 5 pagi. Amboiii mak, idak le mak dan abah sio beut gitu. Opah pun tak sanggup. Bahaya pegi kebun pagi

bebeno. Yang rajin tu biasanya orang-orang Cina.


Pagi-pagi seusai mendirikan solat Subuh, menadah tangan memohon ampun dan rahmat daripada Allah, kami pun bersiap ke kebun getah. Berbekalkan air kopi atau teh dalam botol plastik, berbasikal tua atau motor cabuk, kami meredah denai dan lorong menuju ke kebun getah. Permai dan indah.


Kebun getah adalah nadi orang kampung. Ia menjadi tempat kami mencari sesuap rezeki. Selang dua atau tiga hari, kami kumpulkan getah sekerap yang telah beku dan dikeluarkan daripada pot. Kami masukkan dalam karung guni. Dari sepokok ke sepokok sehinggalah kembung guni. Beratnya bukan main. Busuknya jangan cakaplah.


Kami bawak turun hasil keringat kami itu ke bawah bukit. Musim hujan jalan menjadi licin. Kadang-kadang kami terseradung akar. Kadang-kadang tayar basikal atau motor kami gelong. Kami jatuh terperosok ke dalam belukar. Nasib baik tak ada ular. Kami bangun dan kami gendong guni getah. Itulah duit kami nanti buat membeli beras, sayur sawi dan ikan temenung.


Di kampung kami, ada dua tiga orang peraih getah. Getah ditimbang. Beratnya dicatatkan. Dapatlah sedikit habuan buat kami. Getah kala itu bukanlah mahal. Sekilo adalah dua ringgit. Tapi le ni lagi karut...sekilo RM1...mati orang kampung nak makan dengan hasil getah semata!


Dapat duit, kena bahagi dua lagi. Separuh untuk tuan tanah...jika kita memotong getah milik orang. Maka...fikirlah, betapa peritnya hidup sebagai penoreh getah...hidup yang zahirnya indah walau hakikatnya amat susah.


Tapi itulah pun kehidupan kami...




Khamis, Disember 18, 2008

Nasir P. Ramlee berpulang ke rahmatullah

Pagi ini dalam perjalanan ke pejabat, saya agak terkejut dengan berita kematian Nasir P. Ramlee. Terasa suatu kehilangan. Ya, satu-satunya anak allahyarham P. Ramlee yang menonjol dalam bidang seni, sudah pun pegi mengikut jejak bapanya.

Allahyarham Nasir P. Ramlee walaupun tidak sehebat ayahnya; namun cukup memberikan kepuasa menatap wajahnya. Ada iras P. Ramlee di situ. Ada ceria P. Ramlee tatkala dia gembira. Maka itulah, hilangnya Nasir P. Ramlee seakan-akan merengut sedikit kewujudan P. Ramlee sendiri di persada seni Malaysia.

Saya amat meminati P. Ramlee. Lagu-lagunya, lakonannya, filemnya, kata-katanya dan lawak-jenakanya amat rapat dengan kehidupan. Filem komedinya diminati oleh semua lapisan penonton – tanpa mengenal erti ras, keturunan dan usia. Pendekar Bujang Lapok misalnya, terus menggeletek biar pun berulang kali ditonton.

Namun, bagi filem melodramanya, saya amat terkesan dengan filem Ibu Mertuaku. Oh…its very touchy. Jujurnya, batin saya menangis tiap-tiap usai menonton filem berkenaan.

Lagu-lagu seperti Di Mana Kan Kucari Ganti, Jeritan Batinku khususnya tiupan seksofon Kassim Selamat amat memberikan kesan mendalam. Saya menghayati setiap bait lirik dan lagu yang dimelodikan. Ia semuanya berbaur menghasilkan suatu perasaan yang luruh…

Ya, kini sudah hilang sebutir mutiara seni warisan seniman agung negara. Sedih juga mengenangkan, semasa hayatnya beliau tidak mendapat apa-apa anugerah dan penghargaan…hatta bapanya juga mendapat gelaran setelah menjadi gemulah…gitulah nasib seniman negara kita.

Al-Fatihah.

Peyro sungguh!

Ade le soghang budak tu, entah ape punye peghange pun teman idak paham. Nyusahkan oghang, ikut ati ghasenya nak aje teman tempelen mukenya. Buat memalukan kaum je…

Dia ni pake baju cap bulan terbelah due tapi kerojenye kire mengokak kepimpinan parti itu le pulak. Lepaih itu ngaku dirinya adalah geng-geng yang mahukan ‘perubahan’. Deme ni kighenye mahu memastikan bahawe kerajaan PR tak nyeleweng dari landasanlah kiranye. Kununnya, deme ni mahu memperjuangkan nasib golongan tertindas.

Isu rege sewe ghumah PPRT deme putor-belitkan. Peyro sana peyro sini. Habih penin semuenye. Tup-tup, deme ngancam nak bebolen tanpa seurat benang pun di badan. Nak buat serang ala gerila kepada MB. Ape ke tumpo bebeno minda budak sorang ni. Teringat teman kata ust syahril long…Cheroiii…!

Tapi yang teman ghase nak gelak tegulin-guling bukannye hape, tibe-tibe geng die sendiri bukak pekong di dade. Deme kate, mamat sorang ni udah ngelewor tak tentu hala, udah lari dari landasan perjuangan deme yang sebenor. Bahkan, lebih memalukan bile deme sendiri dedahkan, die jadi macam itu pase permohonan ‘bisnes’nya dengan keghajaan negeri ditolak. Sebab itu le dia jadi macam itu…

Teman terpikio, apa pase le si mamat ni jadi ghupe ini. Udah le tu…bawok-bawok le ngucap. Bebolen tu bukannye ajaran agame Islam, ate oghang agame lain pun tak pernah buat eh…jangan le buat keroje ghupe itu. Jika idak, teman cari je mana-mana tok mudim…suruh dia kejor deme lepaih itu sunat kan je sekali lagi!

Selasa, Disember 16, 2008

Ceghite Tumpo!


Manusie memang selalunye mengarut. Yang tak ngarut tu bile deme dipandu hidayah Tuhan. Tau yang mane elok yang mane membawok punoh. Hidup oghang yang ada hidayah ni, aman tenteram. Idok le deme asyik nak ngetam oghang je kerojenye. Idok le asyik nak nyalahkan oghang lain. Idok le saloh sendiri pun nak tempek ataih batang hidung oghang lain juge.


Le ni kat negara teman tercinte ni, dah jadi kelam-kabut. Habih punoh. Habih melingkup semuenye. Pase ape? Pase tak ndak ngikut jalan Tuhan. Pase tolak hidayah Tuhan ke tepi. Lepaih tu tak habih-habih ngikut nafsu ngejor dunia. Kan oghang alim sebut, dunia ni bak ayo laut; makin minum makin haus. Tapi, hak itu le yang dikejo di deme...tumpo sungguh puok-puok ni!


Ate, che mike pikio. Ade ke patut si Ramlan tu nak buat serang hendap ke Menteri Beso dengan bebolen. Ate deme ingat kite ni idup zaman batu ke. Ape deme yang nak bebolen tu ghase udoh abih ikhtio ke. Banyak le lagi jalan, tak kan cepat noo nak nunjukkan anu...tumpo yeob!


Isu mudoh je, sewa rumah PPRT. Udoh ade carenye, kerajaan negeri kate hak pendapatan bulanan bawah RM1500, maka sewanye keke, ate...tak kan itu pun puok-puok ni tak boleh mikio, ape ke he tumpo bebeno benak deme ni. Sekolah derajah beghape le dulu gamak nye. Isu dah selese, jangan le di pero ke lain.


Khir Toyo pun satu, asyik nak nyalahkan oghang juge kerojenya. Runtoh Bukit Antarabangse, dia dia buat nohen je. Ate kerajaan negeri Selangor yang ade ni, baru bebeno memerintah nye, idok sampe setahun pun lagi. Ate die buat-buat lupe ke, kan ke projek-projek itu diluluskan oleh kerajaan sebelum ni..kan BN yang memerintoh, banyak punye cantik batang idung die nak nyimbah ayo ke muke oghang...memang tumpo mamat ni!


Tup-tup, dua YB dari PR kena cekup di polis. Khalid ketua polis kate, deme ni ngayuh beskal tak dok permit le tuh gamoknye...sebab itu le kene tangkap. Kesian...niat deme tu baik, deme ngayuh nakkan perubahan. antaranya, desak kerajaan hapuskan ISA. tapi bukan itu yang deme dapat, deme dapat lokap le pulok...tumpo...


Pak Lah pulok beriye bebeno membentangkan dua rang udang-undang...satu bab cegah rasuah satu lagi bab kehakiman. kate Prof Aziz Bari...banyok noo bende dalam dua rang undang-undang tu yang perlu diperbaiki...teman nak tengok, gamoknye luluih ke rang undang-undang tu di parlimen. Sebabnya puok-puok Bn dah tak de 2/3...jika luluih juge...teman tak tau le sapa yang tumpo sebeno-beno nye...?

Rabu, Disember 03, 2008

Penyakit Sombong Yang Bodoh

Manusia ini Allah SWT jadikan dengan banyak kelemahan. Memang manusia adalah sebaik-baik kejadian. Itu jika dibandingkan dengan makhluk lain – haiwan misalnya. Tetapi, jika di sisi Allah SWT, manusia lemah. Dengan unsure lemah itulah, manusia sepatutnya sentiasa merujuk setiap benda dan perkara kepada Allah SWT.

Kita tidak perlu pergi jauh. Anak kita sendiri pun akan selalu merujuk kepada kita sebelum melakukan sesuatu perkara. Itu pun ketika mereka masih kecil. Apabila mereka meningkat dewasa, maka keputusan dan tindakan sudah banyak diambil sendiri. Maka, mudah kita katakana bahawa, saat mereka bertanya dan merujuk kepada kita adalah saat mereka merasa lemah. Apabila mereka merasa gagah, maka mereka sudah berani menentukan hala tuju diri sendiri.

Berbalik kepada kelemahan kita. Di dalam al-Quran Allah SWT banyak menggesa manusia agar memanfaatkan akal – suatu kelebihan yang membezakan manusia dan haiwan – agar banyak berfikir. Duduk dan melihat. Fikir dan menafsir. Betapa banyak perkara akan dapat dinilai, baik atau buruk di atas dunia ini.

Malangnya manusia – majority daripada mereka – selalu bersifat ‘lupa diri’. Bukan sekadar itu, bahkan mereka sombong, bongkak, ego dan bangga diri atau dipanggil ujub. Ini semua antara sifat-sifat mazmumah. Sifat yang merosakkan manusia, kerana ia akan membakar pahala amalan sedikit demi sedikit, ibarat api di dalam sekam.

Namun, jauh lebih dahsyat daripada itu pastinya bencana akibat kesombongan yang akan melanda sesama manusia.

Suasana politik Malaysia nampaknya begitu tebal dengan warna-warna kusam kesombongan dan keegoaan ini. Selalu kita melihat, golongan atasan dalam hierarki kepimpinan merasa, bahawa tindakan mereka selalunya betul. Mereka tidak seronok menerima teguran. Bagi mereka, teguran akan mendedahkan kelemahan dan itu tidak baik bagi prospek politik mereka.

Inilah jenis pemimpin yang tidak wajar menjadi pemimpin. Sebab itulah, kita mengesyorkan agar manusia seperti ini belajar daripada Umar al-Khattab. Umar adalah pemimpin yang terkenal berani, tegas bahkan keras. Namun Umar menjadi pemimpin yang jelas kerendahan dirinya apabila sudi menerima teguran. Bukan sekali, tetapi selalu. Cubalah rujuk seerah dan kita akan lihat insiden-insiden berkenaan.

Namun, pemimpin Islam dewasa ini begitu kebal (ataupun bebal?) menerima teguran. Tegurlah…rasuah politik itu tidak baik, kronisme itu jahat, tikam belakang berlaku itu salah, salah guna kuasa terjadi, undang-undang yang menafikan hak itu perlu diubah dan banyak lagi. Mereka mendengar tetapi mereka memekakkan telinga. Mereka melihat tetapi membutakan mata. Hati mereka terusik; tetapi mereka diam dan buat bodoh sahaja!

Justeru sifat bebal merekalah, maka rakyat jadi susah. Rakyat merungut kos sara hidup tinggi, maka mereka salahkan para peniaga. Bahkan mereka salahkan rakyat tidak hemah berbelanja. Kata mereka, rakyat kena belajar ubah cara hidup. Rakyat kena berkorban demi negara. Untuk memacu ekonomi, maka mereka pinjam duit rakyat tanpa rakyat boleh berbuat apa-apa!

Pemimpin seperti ini melihat kuasa yang diberikan oleh rakyat kepada meraka ibarat ‘tender’ yang dimenangi dalam bidaan projek. Mereka akan memastikan peluang dimanfaatkan sebaik-baiknya. Bukan untuk kepentingan rakyat; tetapi diri dan keluarga. Mereka tidak kisah tambang teksi dan bas naik, asalkan tokeh pengangkutan senyum simpul. Mereka tidak kisah rakyat kena jalan kaki dan berhimpit macam sardin dalam bas dan komuter; kerana itu adalah cara untuk rakyat berubah.

Mereka berbangga dengan angka. Maka mereka sering mendedahkan keuntungan-keuntungan luar jangka dan luar biasa syarikat-syarikat GLC. TNB misalnya, saban tahun membuat untung yang terus menjunjung. TM pun sama. Petronas jangan cerita. Tetapi, keuntungan itu untuk siapa? Rakyat merasakan untung tersebut. Ataupun sekadar mengatakan, GLC untung kerana kebijaksanaan pengurusan dan rakyat harus terus menyokong GLC. Contohnya, gunalah minyak petronas walau ia gred C!

Rakyat hari ini bukan lagi bodoh dan tongong seperti dahulu. Rakyat sudah celik mata hatinya. Jendela dhomir mereka sudah terbuka dan mereka melihat, di luar sana yakni di luar negara, ada orang lain hidupnya lebih bahagia. Negara mereka kecil; tetapi lebih kaya. Negara mereka kaya dan rakyat jadi kaya. Maka rakyat rasa cemburu.

Cemburu rakyat diterjemahkan dalam bentuk protes undi pilihanraya. Cemburu rakyat dipamerkan pada aksi dan lagak mereka. Zaid adalah manusia cemburu bagi saya. Dia tidak dapat melihat, tegurannya diterima baik. Bahkan, lebih malang janji-janji manis yang diukir sebelum ini hanyalah dongeng belaka. Zaid akhirnya disingkir hanya kerana dia cuba menterjemahkan kecemburuannya!

Apalah malangnya pemimpin di negara ini. Ada orang menegur enggan diterima. Ada orang memberi nasihat dianggap pengacau pula. Tetapi, ada orang berbohong – walau di dalam Dewan Rakyat – dianggap tidak apa dan terus diberikan muka. Betullah, siakap senohong gelama ikan duri, berkatalah bohong…kekallah jadi menteri!

Selasa, Disember 02, 2008

Resah bagi yang ambil kisah

Mendepani kemelut mutakhir amat meresahkan. Ya, resah bagi yang ambil kisah. Bagi sesetengah orang, mereka lebih rungsing dengan kewangan yang kian mengecil nilainya. Satu anekdot barangkali, membawa RM50 ke pasar borong di Selayang hanya bias menjinjit dua plastik – satu berisi ikan kembong, sardin dan cencaru, satu lagi berisi kangkung, sawi dan bayam merah yang mungkin sudah layu!

Nilai ringgit amat menyusut. Saya enggan mendengar celoteh para pembaca berita, kononnya nilai ringgit kukuh atau menyusut sedikit berbanding dollar. Kita harus berpijak di bumi nyata. Apa guna menjerit inflasi kecil angkanya; jika realiti adalah sebaliknya. Kita harus makan nasi bukan bubur nasi; harus makan isi ayam bukan kulit dan kakinya!

Malaysia kini berhadapan dengan pelbagai senario yang meresahkan. Kelembapan ekonomi nampaknya mulai menggasak. Saya begitu terkesan apabila perbelanjaan dapur meningkat terus. Bayangkan lampin pakai buang anak pun menelan belanja ratusan ringgit sebulan. Belum ditokok dengan belanja lupus lain…ataupun lebih ketara dicampur dengan biaya tetap bulanan – bayaran rumah, kereta, pinjaman peribadi dan kad kredit.

Sebenarnya, masyarakat luar bandar lebih terkesan dan terbeban. Kejatuhan harga komoditi yang melampau amat menekan mereka. Dengan harga getah dan kelapa sawit yang jatuh begitu teruk di bawah paras par, apa lagi yang mampu diungkapkan. Maka, mereka bersabar mendepani hari penuh debar. Ya, tidak lama lagi sekolah bakal dibuka dan semuanya menuntut belanja besar.

Inilah kemelut utama.

Tetapi, kita jangan lupa kemelut-kemelut lain. Suasana politik Malaysia tidak aman. Selama ini rakyat yang berbilang kaum; masing-masing menyimpan taring. Kini, sudah ada yang berani mengangkat ekor dan merenjis najis di pelamin orang lain. Maka itulah, isu ketuanan Melayu dibangkitkan hatta isu fatwa juga dipersoal dan diungkit.

Saya tidak menyatakan Malaysia sejak dahulu aman. Entahlah, sejak saya kenal dunia politik…Malaysia sudah menempuhi pelbagai episod suka duka. Regim Umno – BN yang sudah berkuasa melebihi satu abad amat menusuk kuku dan susuhnya. Selama ini, dengan slogan ‘demokrasi terpimpin’ mereka menghalalkan pelbagai method yang menodai kewarasan demokrasi itu sendiri. Ya, saya tidak bersetuju dengan banyak benda. Cukup dengan satu contoh: Membelasah penduduk Memali dan kes itu tertangguh hingga kini! Memali telah memahat episod hitam legam dalam sejarah politik dan kemanusiaan Malaysia.

Jelasnya, rakyat dinafikan hak dalam banyak benda dan perkara. Contoh mudah, hak berpersatuan dan berpolitik. Ramai penjawat awam ditekan hanya semata-mata menganuti faham politik yang berbeza dengan pemerintah. Apakah ini pun cuba dinafikan Umno – BN? Saya punya datuk saudara, seorang guru yang ditukar ke merata-rata hanya kerana partinya berlambangkan ‘bulan purnama.’ Saya ada seorang sahabat yang dinafikan hak ‘naik pangkat’ setelah sah dia penyokong bulan. Ah…banyak lagi. Maka, jangan bicara aspek lain jika sesuatu yang diiktiraf di sisi perlembagaan pun dicabul Umno.

Sebab itulah, apabila rakyat terdesak dan terus diasak, maka kesabaran sudah sampai ke siling. Tiada arah lagi melainkan mereka membalas segala ‘jasa’ dengan memberikan undi yang sepatutnya. Inilah padahnya…

Malang, saya tidak melihat riak penyesalan daripada Umno dan BN. Bahkan sebaliknya berlaku. Media milik mereka secara ‘bodoh-sombong’ terus memperbodohkan rakyat. Pemimpin-pemimpin mereka masih ‘berlagak’ dengan pangkat dan kebesaran. Menipu masih jadi amalan biasa hatta di parlimen – ya, apa jadi pada Nazri Aziz? Percakaran sesama sendiri malah memburukkan lagi.

Pemilihan Umno Mac 2009 ini bagaikan ‘retak menanti belah.’ Retaknya sudah menjalar ke merata tempat, sudah merekah dan memang menanti pecah-relah. Kepimpinan Pak Lah yang lemah nampaknya bertambah parah, apabila penggantinya dilihat lebih ‘ghaplah’ dalam urusan ‘komisen’nya. Maka, rakyat bertambah muak dan mual. Apakah ini yang ditawarkan oleh sebuah pemerintah yang berada di hujung nyawa!

Maka, mahu atau tidak – rakyat kena berubah dan membuat perubahan. Inilah insiden dan senario yang tidak diingini oleh Umno – BN. Mereka mahu kekal sebagai pemerintah, sedang rakyat sudah menuntut perubahan. Saya tidak fikir mereka – Umno dan BN – bisa mengekalkan kuasa; selagi minda mereka di takuk lama walhal rakyat sudah jauh ke hadapan. Ya, takuk yang penuh kegelojohan mengumpulkan kekayaan walau terpaksa menginjak rakyat jelata yang memberikan mereka 'harapan'!

Rabu, November 26, 2008

Pengguguran Khalid: Apa sebenarnya?

Suatu alasan yang konstruktif mengenai pengguguran Khalid amat-amat diperlukan, sekurang-kurangnya ia mampu meredakan gelodak emosi sesetengah pihak. Inilah yang menyebabkan saya tercari-cari. Harakahdaily nampaknya ‘play safe’ dalam isu ini. Lalu saya banyak menemui ‘jawapan’ dalam Malaysiakini.

Khalid Samad yang saya kenali, adalah manusia yang ‘sempoi’. Itulah gambaran kasar. Tepat atau meleset, biarlah. Apa yang penting, dia telah mempamerkan akhlak pemimpin yang terpuji. Terus-terang, saya sendiri belum tentu boleh menerima ‘perlucutan’ jawatan sedemikian.

Sementelah lagi, Khalid sendiri adalah figur penting dan tulang belakang di dalam PR. Bahkan Khalid jauh lebih senior berbanding Dr Hasan Ali sendiri di dalam PAS. Calang-calang orang, pasti berlaku perbalahan besar. Namun, saya kagum dengan reaksi tenang beliau dan menerima pengguguran tersebut dengan begitu ‘gentleman’ sekali. Syabas Pak Khalid!

Apa sebenarnya terjadi? Adakah kerana Khalid begitu lantang bersuara? Ya, isu ‘kerjasama PAS – Umno’ menyaksikan Khalid adalah juara penentangnya. Salahkah? Tidak…bahkan itulah pun aspirasi ahli-ahli PAS. Berkerjasama dengan Umno samalah seperti PAS terjun masuk gaung. Bunuh diri namanya!

Habis tu? PAS rapat dengan PKR. Lah…dah namanya kerjasama dalam PR, kenalah rapat. Sekurang-kurangnya banyak perkara dapat diselesaikan apabila sudah ‘rapat.’ Samalah seperti kawan dan sahabat, seorang sahabat pasti mendatangkan lebih banyak manfaat. Jadi apa…?

Saya takut tersalah; namun lebih cenderung menyatakan ia adalah ‘personal conflict’ di antara dua orang ‘kuat’ PAS di Selangor. Pepatah Melayu ada menyatakan, kapal dua nakhoda tidak akan mampu berlayar di lautan. Maka, itulah yang berlaku bila ada dua ‘kepala’ dalam PAS. Maka, senang bicara…salah seorang kena berundur. Di sini,. Khalidlah yang berundur…demi kebaikan PAS!

Walau apa pun yang telah terjadi, ini menunjukkan sikap sebenar sebuah jamaah Islam. Khalid menunjukkan tauladan unggul seorang pemimpin yang tidak meletakkan kepentingan diri dan peribadi di hadapan; sebaliknya kepentingan ummah dan jamaah di atas. Atas kepentingan semua, beliau tega digugurkan walaupun kemenangan PAS banyak disumbangkan oleh beliau sendiri.

Saya juga meletakkan keyakinan bahawa keputusan ini hendaknya atas keputusan ramai, suatu konsensus atau syura. Hendaknya bukanlah keputusan minoriti atau personal Dr Hasan Ali seorang diri. Dengan demikian, maka ia mencerminkan dua perkara:

Pertama, PAS kekal dengan prinsip syura dalam menentukan keputusan dan tindakan.

Kedua, kepatuhan kepada hasil syura pasti mendatangkan manfaat walau zahirnya perit untuk diterima.

Walau bagaimanapun, saya tetap berharap PAS khususnya kepimpinan Dr Hasan Ali lebih ‘telus, amanah dan kompeten’ di dalam melaksanakan ‘beban’ kepimpinan. Dr Hasan Ali harus dilihat figur yang tidak sekadar petah berkata-kata; tetapi mengotakan setiap kata.

Dr Hasan Ali perlu dilihat bersungguh menangani pelbagai kemelut. Bukan sekadar kemelut parti bahkan kemelut di dalam kerajaan negeri. Amat banyak ‘ranjau dan duri’ yang melatari perjalanan beliau. Bukan sedikit yang senyum meleret saat bersalam; kemudian sengih bak kerang dan senyum sumbing bila di belakang. Dr Hasan kena bijak memilih, mana kawan dan siapa lawan. Kawan mana tidak 'makan kawan' dan lawan mana yang boleh dijinakkan.

Akhirul kalam, syabas Khalid Samad. Semoga pengguguran anda dan juga Shaari Sungib tidak menyurutkan waima seinci semangat juang anda berdua. Jawatan di dunia hanya sementara. Lebih utama ialah keikhlasan dan istiqamah. Teringat saya saat Khalid Al Walid dilucutkan jawatan panglima perang oleh Umar Al Khattab…dia menerimanya penuh tenang dan penuh kesabaran dan menyerahkan segalanya kepada Allah SWT!

Fastaqim kama umirta!

Selasa, November 25, 2008

TULISAN KELUAR...




Artikel Zakat Emas...dalam Anis Disember 2008

Tak Sangka...akal PEWARIS dangkal

Saya sebenarnya sudah agak malas mengulas suasana sosiopolitik negara ini. Membaca kepelbagaian ulasan oleh ramai orang lain, kadang-kala rasanya sudah memadai. Apatah lagi, kadang-kadang saya merasakan apa yang ditegur pun tidak ke mana sudahnya.

Tetapi, akal waras saya menafikan sikap sedemikian. Apatah lagi dengan perkembangan mutakhir yang terus-terusan menarik akal dan minda sihat untuk mentafsir, menganalisis dan menterjemahkan pelbagai rumusan.

Insiden perarakan dan demo PEWARIS adalah antara isu yang tambah memualkan hati dan perasaan saya. Entah, saya pelik dengan perangai segelintir manusia yang mengaku dan mendabik dada kononnya mereka adalah pelopor kepada penyelamat Islam; namun hakikatnya merekalah yang mencalitkan paparan-paparan negatif kepada wajah Islam.

Maka, dek kerana mereka jadilah wajah Islam yang cantik bertopeng kehodohan. Islam nampak herot sedang Islam itu lurus. Islam nampak senteng sedang Islam itu betul. Islam nampak capek sedang Islam itu cantik. Islam nampak payah sedang Islam itu mudah. Islam nampak naïf sedang Islam itu komprehensif. Islam jadi jumud sedang Islam itu progresif dan pro-aktif.

Para ulamak Islam pula nampak daif betul dalam memperbetulkan kesalahfahaman masyarakat awam. Para mufti dilihat lemah mendepani isu-isu semasa. Para mufti bersidang pun membahaskan sesuatu isu yang adakalanya dilihat tidak memberikan impak positif kepada ummah keseluruhannya. Sekadar memberikan contoh, apalah sangat kesannya jika memberikan fatwa kepada PENGKID sedangkan sudah jelas ada nas yang qatie dari hadis tentang isu berkenaan. Begitu juga fatwa YOGA, sedangkan arak sudah jelas HARAMnya…!

PEWARIS bagi saya menambah kusutkan lagi keadaan. Mereka seakan-akan mahu menyelamatkan Islam; tapi mereka merosakkan Islam. Misalnya, menyatakan SELAMAT MELAYU SELAMAT ISLAM! Dari manakah sumbernya kenyataan ini? Perlembagaan Malaysia-kah?

Islam adalah agama atau ad-deen, sedangkah Melayu adalah bangsa. Bangsa tidak selamat melainkan agama yang selamat. Sepatutnya SELAMAT ISLAM SELAMAT MELAYU! Melayu disandarkan kepada Islam dan bukan sebaliknya. Inilah kesilapan paling besar PEWARIS.

Bahkan saya cenderung melihat, PEWARIS ini mewarisi segala kejelekan pihak yang sudah ternyata GAGAL dengan ideologi kebangsaan mereka. Siapa lagi kalau bukan PAKEMBAR. Saya enggan menggunakan Umno kerana ia mewakili United Malays National Organization. Ia adalah bahasa penjajah Orang Putih yang kononnya amat-amat dibenci oleh puak-puak PAKEMBAR.

Sepatutnya mereka menggunaka PAKEMBAR kerana ia adalah akronim kepada PERTUBUHAN KEBANGSAAN MELAYU BERSATU. Bukannya Umno!

Tapi, dek kebebalan otak-otak mereka sendirilah, maka mereka kekalkan Umno. Kemudian…sama seperti PEWARIS, mendabik dada mahu menyelamatkan bangsa dan agama. Kata orang…piiiirah, sedangkan nama pertubuhan pun disandarkan kepada bahasa penjajah, maka di manakah Melayu-nya?

Berbalik kepada PEWARIS, antara isu yang dibangkitkan ialah ISA. Mereka mahu mengekalkan ISA. Tahukah mereka itu adalah undang-undang legasi penjajah. Ya, saya masih bersetuju ia dikekalkan; tetapi apakah motif asal ISA diwujudkan? Setahu saya, ia bagi mengekang anasir komunis yang pernah mengganggu-gugat kestabilan sosioekopolitik negara.

Malang seribu kali malang, hari ini ISA digunakan secara wewenang oleh pemerintah aka BN. Mereka menahan para aktivis parti yang dianggap pembangkang. Mereka menggunakan ISA menahan para wartawan, menahan tanpa bicara dan dibiarkan menderita. Logikkah jika alasan penahanan seorang wartawan cina baru-baru ini hanya kerana alasan… “bagi menjamin keselamatan beliau..” sebagaimana yang diberikan oleh Mneteri KDN?

Sebab itulah, Lim Guan Eng mencabar…manakah agama di dunia ini yang mengiktiraf undang-undang sedemikian. Setiap pesalah wajar didakwa dan mereka berhak membuktikan diri tidak bersalah. Bukan ditangkap dan dipenjara tanpa peluang menafikan kesalahan. Inilah yang telah terjadi kepada ramai 'orang baik' di Malaysia, termasuklah Zahid Hamidi…yang kini sudah pun menjadi menteri. Adakah ia undang-undang yang benar di sisi agama…?

PEWARIS nampaknya cuba bersikap tidak memihak namun tanpa sedar sudah memihak. Bodoh sungguh orang yang cuba berlagak miskin tetapi pada masa yang sama berbicara soal kereta Mercedes sini-sana. Siapakah yang akan bersimpati. Si miskin nampak tidak miskin, kerana dia tahu serba-serbi tentang kereta Mercedes, apa model terbaru, apa spesifikasi dan berapa harganya. Akhirnya orang meluat, kerana dia tak habis-habis membandingkan syoknya naik Mercedes berbanding Myvi!

Wallahua’lam!
sila telusuri web berikut untuk saksikan himpunan PEWARIS yang berunsur keganasan!

Selasa, November 04, 2008

Belajar daripada Umar Al-Khattab


Sahabat nabi yang satu ini mempunyai legasinya yang tersendiri. Terkenal dengan kebengisan tiada tandingan sebelum lidahnya mentakrirkan dua kalimah syahadah. Kemudian berubah menjadi fanatis muslim yang terkenal dengan kalimah “…izinkan aku penggal lehernya wahai rasulullah…”

Sejarah tidak pernah berdusta. Sejarah mencatatkan bagaimana Umar yang terkenal dengan kegarangannya berubah menjadi manusia yang bijaksana pasca-Islamnya.

Saat dilantik menjadi khalifah, umar telah menunjukkan tauladan terunggul sepanjang zaman. Beliau berdiri penuh tawadhuk dan meminta agar rakyat bangkit memberikan peringatan andai dia tersalah.

Lalu bingkas berdiri seorang pemuda. Terhunus di tangannya sebilah pedang yang tajam. Katanya penuh keberanian, jika Umar tersilap maka pedang itulah yang akan meluruskan!

Apa reaksi Umar? Umar mengucapkan terima kasih kepada anak muda yang berani itu. Kata Umar, rakyat seperti itulah yang akan menjamin legasi sebuah pemerintahan. Berani membuat teguran apabila pemimpin tersalah. Tidak takut kepada manusia kerana lebih takutkan Allah.

Sebaliknya, rakyat yang hanya menjadi ‘pak angguk’ lah yang akan merosakkan. Kesalahan pemimpin didiamkan. Lebih payah, yang salah turut diiyakan. Kebenaran disembunyikan demi mendapat habuan. Akhirnya, pemimpin rosak bersama rosaknya rakyat jelata. Negara akan hancur dan keamanan akan lebur.

Kini, legasi Umar sering disebut-sebut. Lewat ceramah dan tazkirah mahu pun digarap sebagai bahan lipur dalam buku sejarah.

Soalnya, sejauh manakah kita belajar daripada Umar? Kisah beliau sarat iktibar, buat jadikan pedoman. Bukan sekadar enak didengar dan kemudian diulang zaman-berzaman.

Umar, tidak merasa rendah belajar daripada anak muda. Mengapa pula kita rasa sebaliknya? Wallahua’lam.

Catatan: Anekdot ini tiada kena-mengena dengan sesiapa, hanya sekadar satu catatan buat iktibar bersama. Kadang-kadang kita juga ego untuk ditegur oleh anak, sedangkan terang-terang kita melakukan kesilapan.

Jumaat, Oktober 31, 2008

Zakat & Fly!


If U like to joint this campaign, just visit http://www.e-zakat.com.my/...


Jumaat, Oktober 24, 2008

Makkah: Sampai bilakah...?


Sekarang ini musim haji. Musim umat Islam menuju Baitullah. Di sana mereka menjadi tetamu Allah. Mereka bersimpuh penuh kerendahan. Menghadapkan wajah dan hati kepada Tuhan.


Makkah adalah sejarah. Ia tempat lahirnya insan agung. Muhammad bin Abdullah yang membawa cahaya iman. Itulah hidayah yang tidak ternilai harganya. Muhammadlah manusia yang menempuh payah demi iman. Hingga akhirnya Makkah kekal menjadi tumpuan manusia, memohon doa dan maghfirah.


Hikmah haji amatlah banyak. Disebutkan ia sebagai muktamar umat Islam sedunia. Berkumpul dengan satu agenda. Di samping menunaikan rukun Islam kelima, juga mengeratkan ukhuwwah dan memadukan solidariti sesama kita. Akhirnya akan terpancarlah aura agama, terserlah wibawa kita. Lambang utuhnya manusia bersatu dalam relung akidah yang sama. Menyembah Allah Tuhan yang Esa, mematuhi rasul yang sama, berpandukan kepada al-quran yang sama dan menghadap kiblat yang sama.


Mutakhir ini, sayangnya haji bukan lagi medan muhasabah sesama umat. Ia bahkan medan nafsu-nafsi. Masing-masing berpuak-puak. Masing-masing mendabik dada dengan bendera sendiri. Bangga kerana berasal dari Malaysia, kononnya mendapat keistimewaan yang lebih dari penguasa Arab. Yang lain mungkin kesal datang dari negeri yang dipalit fitnah, dihalau pula bak anjing kurap!


Maka, Makkah bukan lagi medan penyatuan, lurah perpaduan dan gelanggang kekuatan. Inilah hasil fitnah para musuh Allah. Menyemai benih assabiyah yang keterlaluan. Menyemai semangat amat cintakan watan. Menyuntik aliran nasionalisme yang merentasi agama sebagai sempadan.


Sampai bilakah Makkah hanya menjadi saksi amalan fardu yang ritual. Berpusingan tujuh kali di sisi kaabah, saie sambil-sambil mengenang kisah, melontar jamrah dan bermalam di Mina serta Arafah?


Sampai bilakah?

Khamis, Oktober 23, 2008

Kisah 2 Mahasiswa UPM


‘Tinggal secara tidak sah’. Itulah alasan yang digunakan oleh pihak berkuasa kolej di UPM, demi menghalalkan cara ‘menghalau’ dua penghuninya, lapor Malaysiakini.com.

Nor Farhana Farzieana, bekas exco Majlis Perwakilan Mahasiswa UPM dan rakannya Nur Shafiqa Mohd Ali, exco Persatuan Mahasiswa Islam menjadi mangsa kezaliman konco-konco Umno di IPTA entah yang ke berapa.

Mungkin rakyat Malaysia tidak tahu, bahawa kebanyak jawatan kanan di universiti tempatan kini diisi oleh mereka yang ‘dangkal’ otaknya. Mereka memiliki ijazah doktor falsafah; tetapi pemikiran mereka tahap darjah enam. Benar, mereka juga digelar professor; tetapi lebih baik pak imam kampung dalam memutuskan tindakan.

Insiden di atas hanyalah secebis kebobrokan tindakan mereka. Banyak lagi. Bak kata salah seorang gadis siswi di atas: “Kes yang berlaku pada saya hanyalah sebahagian kezaliman yang berlaku terhadap mahasiswa. Bukan sahaja di UPM tetapi di kampus-kampus lain pun, saya percaya perkara ini berlaku," ulas Nor Farhana Farzieana Azmi.

Rakyat Malaysia wajar sedar, inilah tribulasi para mahasiswa yang ideologinya bercanggah dengan pemerintah. Mereka akan ditekan dari pelbagai sudut. Biar pun mereka cemerlang dalam akademik dan cemerlang dalam ko-kurikulum; namun itu bukan jaminan mereka kekal di kolej kediaman.

Oleh itu, apa tindakan rakyat Malaysia? Saya hanya terfikir, semua pihak yang memperjuangkan hak rakyat perlu tampil ke muka. NGO misalnya Persatuan Peguam bahkan parti-parti politik perlu memperjuangkan isu zalim ini. Ya, kerana ia menzalimi mahasiswa dan bersifat terlalu jumud sekali. Seumpama tinggal di negara komunis yang melarang anutan politik selain komunis.

Kepada pelopor-pelopor yang suka memancung pengaruh parti-parti selain Umno di kampus, mereka ini hendaklah dikenakan tindakan yang wajar. Mereka ini bukanlah tokoh akademik tulen dan bukan juga professional. Bahkan mereka hanya layak menjadi balaci Umno. Merekalah sebenarnya yang merosakkan anak bangsa.

Selasa, Oktober 21, 2008

Fiksyen saya pulak...



INI ADALAH FIKSYEN SEMATA: TAK DE KENE MENGENA DENGAN YG HIDUP MAHU PUN YANG DAH MATI.

Dato’ Seri Tsukoi memanggung kepalanya. Sakit dihentak dengan bontot kuali masih terasa. Sungguh, Tsukoi tidak menyangkan sama sekali. Bahawa bininya yang terkenal suka melenggang macam Hema Malini dan suka menyaksikan adegan gedik Datuk Shah Rukh Khan itu rupa-rupanya telah mencemar dirinya. “Ah…tak cukupkah kasih sayang yang aku beri selama ini. Apa masih kurangkah duit. Semalam sahaja bini aku bershoping sakan di arked zaitun, hem…tujuh utas jam tangan berharga RM14 juta telah pun dibeli. Kelmarin, lapan biji limousine mengangkut barang-barang dan pakaian dari KLIA yang dibelinya di Paris…isk, takkan dia tak bahagia lagi.” Itulah kemelut yang melanda Dato’ Seri Tsukoi. Dia menggaru-garu dahinya yang luas. Tiba-tiba fikirannya melayang ke Monggolia. Ya, dia terkenangkan bekas kekasihnya yang bernama Aminatoya…tapi sayang, bekas aweknya itu sudah mati beberapa purnama dahulu! Teringat dia semasa mereka sama-sama makan malam di… “Kring….” Cis! Baru kenangan di mindanya mahu berputik, siapa pula memanggil di malam buta ini! Desis hati Tsukoi penuh kemeluatan! “Salam…could I speak to Tsukoi…it’s me, Abang Lah here.” Cepat-cepat Dato’ Seri Tsukoi menarik nafas dan cuba tersenyum. Bos yang telefon. Yes! Baru-baru ini bosnya telah berjanji akan menyerahkan kuasa syarikat kepadanya. Yalah, tujuh bulan lalu saham syarikat jatuh merudum bak durian busuk. Sebab itulah atas desakan pemegang saham, maka Abang Lah terpaksa percepatkan peralihan pucuk pimpinan. Lagi pun, para kakitangan yang selalu dia sebut ‘akar umbi’ sudah menekan sakan… Dato’ Seri Tsukoi ingat sangat, bosnya ini awal-awal mengambil alih syarikat dulu telah menjanjikan bonus dan pelbagai insentif kepada kakitangan. Alih-alih lepas tu, dia banyak berkongsi ide dengan menantunya dan meninggalkan BOARD apatah lagi akar umbinya... Apa tu…alah menantunya itulah, tak silap namanya Khairulri…alah, budak hingusan lagi. Tapi dapat jadi Pengurus Besar sebab pengaruh bapak mertuanya, si Abang Lah. Oh…lupa Dato’ Seri Tsukoi nak bagi tahu, Abang Lah adalah Pengerusi Eksekutif kelima syarikat Ikut Suka Aku Bhd. Syarikat itu pun bukanlah kukuh sangat pun, melainkan pernah bangkrup beberapa tahun dahulu. ‘Agh…apa orang tua yang suka tido dalam meeting BOARD ni nak dari aku tengah malam buta ni...hish…?’ Getus hati kecil Dato' Sri Tsukoi. *** (Seminggu berlalu) Sudah beberapa hari negara digemparkan dengan isu: PENGERUSI EKSEKUTIF I.S.A MATI DILETUP DENGAN BOM C8! Sekeping nota juga ditemui: ‘Pengerusi Eksekutif ini wajar ditamatkan riwayatnya, kerana dialah penyebab kejatuhan saham, kemeruduman pasaran dan kerugian berkali ganda syarikat sehingga hutang keliling pinggang dan projek-projek mega yang satu pun belum berjaya. Dia juga mengutamakan kroni sendiri dan cuba memadamkan karier pembantunya...’ **** Dato’ Sri tsukoi hairan sangat…sejak dua menjak ini, Datin Sri Rojie bininy kelihatan ceria sekali…diulang, CERIA SEKALI!!!

TAMMAT