Memaparkan catatan dengan label Tazkeerah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tazkeerah. Papar semua catatan

Isnin, Disember 22, 2008

Menggali Makna Hijrah


Permulaan tahun baru Islam ialah datangnya bulan Muharam. Berbeza dengan kedatangan tahun baru masehi, ia amat terasa. Sambutannya hangat sekali. Bermula dari saat menunggu dentingan jam di Dataran Merdeka, ia berlanjutan dengan pelbagi agenda. Bahkan 1 Januari sudah diiktiraf sebagai cuti umum.

1 Muharram pula, datang dan perginya agak kurang terasa. Ada tidak pun, ialah sambutan Ma’al Hijrah dan penganugerahan Tokoh Ma’al Hijrah. Mujurlah 1 Muharram juga dijadikan cuti umum, jika tidak mungkin ia akan berlalu tanpa sedikit pun meninggalkan kesan kepada semua.

Adalah amat malang, apabila umat Islam gagal memanfaatkan tahun baru Islam. Ini kerana, kewujudan tahun hijrah mempunyai konotasi kepada perkembangan Islam yang amat signifikan. Ia adalah detik bermulanya era baharu. Detik hijrahnya nabi ke Madinah yang akhirnya ditandai dengan tertubuhnya sebuah negara Islam. Kemudian, dari saat itulah Islam terus berkembang sehingga ke hari ini.

Firman Allah s.w.t lewat surah an-Nahl ayat 41 yang bermaksud: “Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh-musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik,”

Sambutan tahun Hijrah mestilah difahami dari kaca mata yang Islam kehendaki. Bukan sekadar dengan dendangan nasyid ataupun pengkisahan peristiwa Hijrah sahaja, itu cara lama. Apa yang lebih utama, mengerti maksud dan kehendak hijrah. Itulah roh atau semangat hijrah yang tidak akan padam hingga bila-bila.

Hakikatnya hijrah memaparkan erti pengorbanan, keikhlasan, ketahanan, keyakinan dan keberanian. Hijrah juga menyelitkan unsur kebijaksanaan, kepentingan perancangan dan strategi; namun akhirnya meletakkan penyerahan diri seratus peratus kepada Allah SWT. Itulah dinamakan konsep usaha, doa dan tawakal.

Lama sebelum terjadinya hijrah, Nabi Muhammad SAW sudah mengatur strategi dengan penduduk Madinah. Beberapa siri perjanjian telah dibuat, sehinggalah nabi benar-benar meyakini kesanggupan mereka untuk menjadi ‘rakan kongsi’ dan ‘pengikut’ yang setia. Kemudian, nabi mengatur kaedah paling baik dalam melaksanakan hijrah, sehingga mengaburkan pihak musuh.

Cuba kita fikirkan, para sahabat telah diminta berhijrah terlebih dahulu sedang nabi masih di rumahnya. Ia menyebabkan musuh-musuh memberikan tumpuan kepada nabi dan sekaligus tidak begitu mengganggu hijrah para sahabat. Kemudian, nabi juga merencanakan beberapa strategi lain. Siapakah yang akan tidur di tempat tidur nabi, lencongan laluan yang mengelirukan, siapa yang akan menjadi pemandu, siapa akan menjadi perisik, penyampai maklumat dan apakah kemungkinan-kemungkinan yang bakal terjadi.

Sejarah mencatatkan, betapa penglibatan anak muda seperti Ali bin Abu Talib dan Asma’ binti Abu Bakar, adalah bukti bahawa remaja adalah aset yang mampu menyumbang kepada kebangkitan Islam. Bahkan, keterlibatan seorang lelaki yang bukannya beragama Islam, Abdullah bin Uraiqit sebagai pemandu jalan, juga membuktikan Islam tidaklah memusuhi semua orang-orang bukan Islam. Bahkan mereka yang baik boleh diangkat sebagai kawan.

Begitu juga usaha nabi dan Abu Bakar, yang sengaja mengambil laluan ke arah selatan Mekah dan bukannya arah Utara sebagaimana biasa, kemudian menuju Tihama berdekatan pantai Laut Merah, adalah satu strategi yang terus mengelirukan musuh. Ia mampu menimbulkan perpecahan di kalangan musuh yang bertengkar dengan arah yang diambil oleh nabi. Ia menunjukkan, Islam mementingkan kebijaksanaan dalam perancangan.

Kini, umat Islam tidak perlu teraba-raba dalam mencari arah dan pedoman. Peristiwa hijrah yang berlaku lebih 1400 tahun dahulu sudah menyediakan contoh kepada kita. Seandainya kita mahu berjaya, maka mulakan dengan perancangan yang baik. Namun perancangan yang baik, masih perlu kepada perlaksanaan yang baik daripada semua pihak. Kemudian, ia hanya lengkap apabila semuanya menggantungkan harapan kepada Allah SWT.

Adalah amat malang jika umat Islam masih mengekalkan budaya kerja yang tidak teratur dan sistematik. Masih suka melaksanakan kerja tanpa perancangan atau ad-hoc. Kemudian, perlaksanaannya pula main ‘cincai’, tidak mengambil kira aspek kesan jangka panjang hasil pekerjaan tersebut. Lebih malang, apabila menyandarkan semua usaha hanya di atas kepandaian diri dan melupakan kuasa Allah SWT penentu segala.

Seperkara lagi, umat Islam juga sewajarnya menobatkan Tahun Islam ini sebagai mukaddimah membaharui azam. Adakah sepanjang tahun lalu sudah terpenuh segala cita-cita ataupun masih banyak bersifat angan-angan kosong. Ini kerana, berkat keazaman daripada Rasulullah SAW melaksanakan hijrah, maka kita mendapat kebaikannya hingga kini.
Di samping itu, hijrah juga menunjukkan Islam mampu menyatukan semua umat walaupun berbeza keturunan. Siapakah yang dapat menyangkal, hijrah telah menyatukan kaum Ansar dan Muhajirin:


"Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah untuk membela Islam dan orang-orang yang Ansar yang memberi tempat kediaman dan pertolongan kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu, merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia," (al-Anfal: 74)


Jelaslah, hijrah mampu memberikan pedoman buat kita sepanjang zaman. Syaratnya, kita mestilah menggali makna hijrah yang sebenar. Jika tidak, hijrah hanya tinggal sebagai catatan sejarah yang gagal merubah apa-apa dalam hidup kita.

Selasa, Ogos 12, 2008

Akal itu cahaya


Imam Abu Ja’far Muhammad Al-Baqir berkata:

"Ketika Allah menciptakan akal, Dia mengajaknya berbicara. Allah berkata, ‘Menghadaplah (kepada-Ku)!’ Maka, akalpun segera menghadap. Kemudian Allah berfirman kepadanya, ‘ Demi kebesaran dan kemuliaan-Ku, tiada makhluk yang lebih Aku cintai daripada kamu. Dan tidak Aku sempurnakan kamu melainkan pada orang-orang yang Aku cintai. Kepadamulah Aku menyuruh, melarang, menyiksa, dan memberi pahala.’"

Semalam saya membuka kitab, lalu membacakan beberapa perenggan. Ia kisah akal manusia. Akal adalah ciptaan Allah SWT yang diberikan khusus kepada manusia. Akal adalah makhluk yang mulia. Akal adalah cahaya. Cahaya yang dapat menyuluh si mukmin agar dapat membezakan hak dan batil. Membezakan baik dan buruk, halal dan haram. Bak kata Fathi Yakan: "Dengan cahaya dari Allah yang dapat melihat sesuatu di sebalik tutupan yang halus."

Namun, tahukah kita akal akan malap cahayanya? Ya, menurut Fathi Yakan, cahaya akal boleh malap. Apabila cahaya itu malap, maka manusia hilang pedoman. Manusia yang hilang pedoman akan dipanggil hilang akal. Manusia yang hilang akal akan melakukan sesuatu yang dianggap tidak wajar.

Hari ini, ramai manusia yang sudah hilang akal ini. Bukankah hilang akal namanya andai seorang anak mencuri wang ibunya sendiri, tidak hilang akalkah namanya jika seorang datuk menodai cucunya sendiri dan tidak hilang akalkah jika anak-anak kecil sudah pandai melakonkan watak hubungan seks yang sepatutnya mereka sendiri tidak kuasa untuk mengetahui.

Semuanya kerana cahaya atau pertunjuk daripada Allah SWT kian malap di hati dan akal manusia.

"Sesiapa yang tidak diberi cahaya (pertunjuk) oleh Allah, maka tiadalah dia mempunyai cahatya walau sedikit pun." (An-Nuur: 40)

Kata Fathi Yakan, cahaya akal manusia boleh malap apabila berlakunya tiga perkara:

1) Melakukan maksiat secara konsisten
2) Melakukan maksiat secara terang-terangan
3) Tidak bertaubat di atas maksiat yang dilakukan

Nabi SAW menyatakan:

"Sesiapa yang melakukan dosa, akal akan berpisah daripadanya dan tidak akan kembali kepadanya buat selama-lamanya."

Wallahua'lam!

Jumaat, Jun 13, 2008

TAZKIRAH PAGI JUMAAT

Muhammad…Pemimpin yang sejati

Kita memang memerlukan pemimpin tipa ini. Pemimpin yang mendahulukan kepentingan rakyat melebihi dirinya. Pemimpin yang memikirkan nasib rakyatnya sentiasa. Bukan sekadar nasib di dunia, bahkan nasib di akhirat sana. Pemimpin yang pada dirinya ada suri tauladan mulia. Keluarga dan ahlinya juga adalah contoh kehidupan kita.

“Sesungguhnya imam (pemimpin) itu adalah seumpama perisai, orang yang berperang akan menggunakannya bagi melindungi dirinya. Jika imam memerintahkan supaya rakyatnya bertakwa kepada Allah Azzawajalla dan berlaku adil, dia mendapat pahala kerananya. Dan jika dia memerintahkan selain daripada itu, maka dia mendapat siksa,” (Riwayat Muslim daripada Abu Hurairah r.a, Sahih Muslim hadis Nombor 1809)

Pemimpin yang berjiwa besar, mahukan kesejahteraan meliputi anak-anak buahnya. Mereka memimpin dari hati dan akal, yang berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah. Mereka meletakkan neraca iman dan takwa dalam setiap tindakan. Neraca iman dan takwa itulah juga neraca dosa dan pahala. Mereka sedar setiap keputusan yang diambil, kesannya akan meliputi rakyatnya. Mereka insaf bahawa, kesilapan yang dibuat walau sejengkal, kelak memudaratkan rakyatnya berhasta-hasta dan berjela-jela.

Di dalam kehidupan pemimpin, mereka menyarungkan pakaian soleh, tawadhu’ dan zuhud kepada diri. Mereka tidak ego, meninggi diri apatah lagi bersifat sombong dan bongkak. Mereka sedar, kepimpinan adalah amanah. Ia akan disoal kembali oleh Allah. Setiap kesalahan akan mendapat kemurkaan. Melainkan mereka tersilap setelah berusaha sedaya mungkin membuat yang terbaik Khilaf yang tidak disengajakan, pasti sahaja ada ampunannya di sisi Allah SWT. Dengan syarat mereka mestilah fakih dalam tindakannya dan tidak segan memohon maghfirah daripada-Nya.

“Ketahuilah! Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinanmu. Seorang pemerintah yang berkuasa ke atas rakyatnya akan ditanya tentang kepimpinannya,” (Riwayat Muslim daripada Ibnu Umar, Sahih Muslim Hadis Nombor 1796)

Sebaik-baik suri tauladan seorang pemimpin ialah Nabi Muhammad SAW. Al-Quran menggambarkan baginda sebaik-baik manusia, justeru Al-Quran itu sendiri adalah akhlak baginda. Muhammad adalah manusia yang sama seperti kita. Tiada kurang dan lebih, melainkan tahap ketakwaan baginda. Muhammad berkahwin, beranak-pinak, perlu makan dan minum, bahkan perlu kepada tidur dan rehat. Baginda bukanlah malaikat yang perkasa, seperti Jibril a.s yang mampu menterbalikkan bumi kaum Thoif yang menolak ajakan nabi. Bahkan Muhammad juga sakit dan derita, merasa pedih dan sedih. Muhammad tidak sunyi dilanda gangguan emosi, saat kehilangan tiga orang putera Qassim, Ibrahim dan Abdullah, juga saat kewafatan insan penyangga dakwah, Khadijah dan Abdul Mutallib tercinta.

“Akhlak rasulullah adalah Al-Quran,” tuntas jawab Aisyah saat ditanya orang tentang akhlak suaminya.

Namun, dalam serba-serbi seni kepimpinan, Muhammad mempamerkan akhlak terunggul yang penuh karisma. Muhammad menjadi ketua di masjid, mengimamkan jama’ah, mengajar hukum-hakam agama, bertindak sebagai hakim penyelesai masalah dan penegak neraca keadilan, menjadi tonggak angkatan perang sebagai panglima, menjadi ketua negara yang tercatat dalam sejarah manusia pertama mencipta perlembagaan Shahifatul Madinah. Maknanya, pada diri nabi yang mulia, adalah contoh tauladan terbaik. Sebaik-baik pemimpin yang pernah dilahirkan di dunia. Sebaik-baik manusia yang dilahirkan untuk manusia.

"Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu sebaik-baik tauladan bagi kamu (untuk diikuti) iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (kemuliaan hidup) di akhirat dan orang yang banyak mengingati Allah," (Al-Ahzab: 21).

Jadi, kenapa kita harus meraba-raba? Kenapa harus kita mencuba-cuba? Bukalah jendela hati, tataplah pada seerah yang menjadi laluan nabi. Carilah mafatih kepimpinan yang nabi warisi. Jangan kita sengaja menyusahkan diri, takut kelak kita sendiri yang akan merugi. Wallahu’lam.

Isnin, Jun 02, 2008

Sebaik-baik harta...


Pernahkah kita mendengar hadis nabi, yang bermaksud: “Sebaik-baik harta itu ialah, harta yang berada pada tangan orang yang salih.” (Riwayat Imam Ahmad dan Thabrani).

Mengapakah begitu? Jawapannya mudah, hanya orang yang salih sahaja yang tahu dan mampu menggunakan hartanya ke jalan yang diredai Allah SWT.

Allah SWT mahu agar kita, manusia menjadi orang yang berharta. Dalam erti kata lain, Allah tidak mahu kita merasa selesa dengan kemiskinan. Hidup dalam serba kesusahan. Kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Sebab itulah Allah SWT berlaku adil dengan memberikan semua manusia peluang yang saksama membina kehidupan. Allah menyatakan di dalam Al-Quran: “Dan Dia (Allah) mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia (Allah) mencukupkan (hidupmu).” (Ad-Dhuha: 8)

Begitu jugalah firman Allah di lembaran Al-Jumuah ayat 10: “Apabila telah ditunaikan solat maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurniaan Allah.” Semuanya mendorong kita mencipta kejayaan dan kekayaan dalam hidup.

Apabila manusia menjadi kaya, maka mereka mudah melaksanakan kewajipan sesama insan. Saling memberi dan saling berbahagi. Seperti sebuah lirik lagu nyanyian Opick dari Indonesia: “Alangkah indah, orang bersedekah, dekat dengan Allah, dekat dengan sunnah. Takkan berkurang, harta yang sedekah, akan bertambah, akan bertambah”.

Walau bagaimanapun, sejarah juga menunjukkan betapa ramai umat manusia yang mendapat kekayaan akhirnya lupa daratan. Mereka menjadi manusia takbur, sombong dan mengingkari arahan Tuhan. Sifat belas kasih sesama insan bertukar menjadi kedekut, pemeras dan penindas.

Hal ini berlaku sepanjang zaman. Allah SWT ada memberi ingat: “Maka kami benamkan Qarun berserta rumahnya ke dalam bumi, maka tidak ada baginya satu golongan pun yang boleh menolongnya…” (Al-Qasas: 81)

Qarun adalah sepupu Nabi Musa a.s. Dia berfahaman bahawa setiap sen harta yang dia miliki adalah mutlak miliknya. Qarun mengingkari nasihat Musa agar memberikan sedekah dan menyantuni sesama manusia. Kemuncak keingkarannya, Qarun bertindak menindas dan menganiayai kaumnya dan menafikan hartanya itu adalah kurniaan Allah SWT. Mungkin, Qarun adalah pencetus mazhab kapitalisme di dunia ini. Maka, sebagai balasan ke atas keengkarannya itu, dia ditenggelamkan ke dasar bumi dan tenggelamlah juga segala keegoannya yang menguasai diri.

Hakikatnya, Islam mendidik manusia yang berharta agar menjadi manusia mulia. Di samping itu, tiada sebaik-baik tauladan dapat dikutip, melainkan tauladan yang diberikan Nabi Muhammad SAW. Nabi menyatakan: “Bukan orang yang beriman, sesiapa yang tidur malam dengan perut kekenyangan; sedangkan dia mengetahui bahawa jiran di sebelahnya sedang kelaparan,” (Hadis Riwayat At-Thabrani dan Al-Baihaqi)

Nabi Muhammad yang juga digelar al-amin, iaitu sangat kepercayaan telah menunjukkan contoh bagaimana menyantuni sesama manusia. Sesungguhnya nabi mendidik manusia dengan akhlak dan juga kata-kata. Sesuai dengan kajian pakar psikologi, bahawa didikan dengan akhlak sememangnya lebih berkesan. Akhlak nabi adalah cerminan diri baginda. Rasulullah SAW sering digambarkan oleh para sahabat, bahawa baginda sentiasa menaungi golongan miskin, anak-anak yatim dan ibu-ibu tunggal sehinggalah mereka merasa begitu aman di bawah nabi.

Seerah nabawiyah juga menceritakan, bahawa di Madinah semasa hayat nabi ada sekelompok manusia yang mendambakan diri sepenuh masa untuk berjuang dan berjihad di jalan Allah. Golongan ini tinggal di serambi Masjid Nabi. Nabi sendiri amat menyantuni golongan ini. Golongan ini dinamakan ahlus-suffah, yakni golongan yang amat miskin dan daif. Mereka sering kelaparan dan tidak mempunyai tempat tinggal kecuali tinggal beramai-ramai di As-Suffah. Mereka tidak mempunyai pakaian yang cukup untuk melindungi diri mereka dari kesejukan. Sebahagian mereka hanya mempunyai pakaian yang menutup hingga ke paras lutut dan sebahagian yang lainnya pula mempunyai pakaian yang tidak pun mencecah tumit. Pendeknya ahlus-suffah ini bolehlah dikategorikan sebagai golongan fakir atau mengikut istilah kini digelar golongan miskin tegar.

Namun begitu, golongan ini bukanlah hanya berpeluk tubuh sahaja. Bahkan mereka juga terdiri daripada para pejuang Islam. Antara sahabat nabi yang dikenali sebagai ahlus-suffah ialah Abu Hurairah r.a, Abu Dzar Al-Ghiffari r.a dan Saiyidina Bilal bin Rabah. Sesuai dengan taraf dan darjat keimanan mereka, sayugialah nabi amat memelihara kemaslahatan ahlus-suffah ini bahkan adakala melebihi perhatiannya kepada anak menantu baginda sendiri. Pernah Fatimah r.ha anak perempuan nabi, memohon seorang tawanan perang bagi membantu kerja-kerja rumahtangganya. Namun nabi menyatakan: “Patutkah aku memberikan kamu seorang pelayan dan meninggalkan ahlus-suffah kelaparan?”

Demikianlah tegasnya seorang utusan Allah SWT apabila berhadapan dengan kepentingan umat dan keluarga, baginda sentiasa mendahulukan kepentingan umatnya.

Kesimpulannya, harta hanya akan benar-benar menjadi bermanfaat apabila ia dilaburkan ke jalan yang hak. Hanya muslim yang salih sahaja akan melakukan sedemikian. Bukan senang mengawal harta, kerana ramai orang harta bertakhta di hatinya. Lalu, Islam telah menyediakan jalan keluar untuk kita, iaitu sedekah, zakat, infaq, wakaf, jariah dan sebagainya lagi. Maka, terpulanglah kepada kita untuk membuat perhitungan. Sebagai penguat jiwa, marilah sama-sama kita menekur akan sebuah hadis, saat Rasulullah SAW pernah membayangkan, seorang manusia berkata: “Hartaku! Hartaku! Padahal hartanya yang sebenar-benarnya ada (hanya) tiga jenis (sahaja), iaitu (1) apa yang dimakan lalu habis; (2) apa yang dipakainya (pakaian) lalu lusuh dan (3) apa yang disedekahkannya lalu tersimpan (untuknya di akhirat). Selain daripada tiga perkara di atas, lenyap (hartanya) atau ditinggalkannya bagi orang (manusia) lain (sebagai pusaka).” (Hadis Riwayat Muslim)

Wallahua’lam.

Jumaat, September 21, 2007

Kemelut Yang Memerlukan Jawapan

Saya hidup di Malaysia hampir mencecah 34 tahun. Semenjak saya lahir, saya masih mengingati beberapa insiden yang mengesankan di benak ini. Antaranya, saat kejatuhan ekonomi negara/ dunia pada 1980-an sehingga para siswazah banyak yang mengganggur dan pulang ke kampung menoreh berkebun, perpecahan Umno sehingga lahirnya Parti Semangat 46 yang menggegarkan penguasaan Mahathir sehingga menangnya Pas di Kelantan, Perpecahan Umno sekali lagi dengan tersingkirnya Pak Syeikh Anwar pd tahun 1990-an sehinggalah tercetusnya GERAK yang diketuai Allahyarham Datuk Fadil Noor dan kemenangan Pas di Terengganu.

Dari aspek sosial, di negara ini masih terkawal. Kes-kes tragis rasanya kurang berlaku. Namun, mutakhir ini saya amat terkesan dengan pelbagai paparan di media massa. Kes bunuh, rogol, culik, hilang, ragut, buli, along dan sebagainya semakin marak. Ia hampir menguasai muka hadapan kebanyakan akhbar. Terkini, kes adik Nurin yang menguasai semua media massa (sepanjang sebulan ini...)

Saya sedih + marah + jengkel dengan isu-isu seperti ini. Banyak tanda soal muncul di layar minda, menguasai akal fikir dan cuba mentafsir. Kenapa ia terjadi? Kenapa tidak dapat diatasi? Kenapa ia berulang-ulang kali? Kenapa pelakunya begitu tegar dan berani?

Saya hanya melihat satu jawapan, mutlak dan tuntas. Apabila manusia bertindak angkuh dalam mengatur kehidupan sesama manusia dengan membelakangkan Allah (sistem dan hukum-hakamnya), maka Allah akan melepaskan diri-Nya dari menjaga manusia. Tiada lagi kawalan dari Allah (nakaalamminallah). Maka manusia sudah tidak gerun dengan apa sahaja peraturan dan undang-undang. Maka terjadilah segala apa yang telah terjadi.

Persoalan lebih besar, apakah tindakan kita? Carilah jawapannya dari al-Quran dan as-Sunnah, insya-Allah kita akan menemui kaedahnya.

Rabu, Jun 13, 2007


A Beautiful Hadith


Rasulullah (Sallalloho alaihe Wa-aalay wasallam) said:


"When a man dies and his relatives are busy in funeral, there stands an extremely handsome man by his head. When the dead body is shrouded, that man gets in between he shroud and the chest of the deceased.


When after the burial, the people return home, two angels, Munkar and Nakeer (names of two special Angels), come in the grave and try to separate this handsome man so that they may be able to interrogate the dead man in privacy about his faith.


But the handsome man says, "He is my companion, he is my friend. I will not leave him alone in any case. If you are appointed for interrogation, do your job. I cannot leave him until I get him admitted into Paradise ".


Thereafter he turns to his dead companion and says, "I am the Qura'an, which you used to read, sometimes in a loud voice and sometimes in a low voice. Do not worry. After the interrogation of Munkar and Naker, you will have no grief.”


When the interrogation is over, the handsome man arranges for him from Al-Mala'ul A'laa (the angels in Heaven) a silk bedding filled with musk.


Rasulullah (Sallalloho alaihe Wa-aalay wasallam) said: "On the Day of Judgement, before Allah, no other Intercessor will have a greater status than the Qura'an, neither a Prophet nor an angel."


O…my brothers and sisters, please keep forwarding this "Hadith" to all because Rasulullah (Sallallo ho alaihe Wa-aalay wasallam) said:


"Pass on knowledge from me even if it is only one verse".


May Allah bestow this favour on all of us.


AMEEN AMEEN

Rabu, Mei 30, 2007

ZINA: Masih keliru dengan hukumannya?


Baru-baru ini saya diajukan dengan persoalan, adakah ayat Al-Quran yang khusus membicarakan soal hukuman bagi kesalahan zina? Ini kerana, ada seorang penulis telah menyatakan, bahawa rejam diambil dari pendekatan Kristian menghukum pesalah di sisi agama mereka. Sukar juga untuk menyajikan jawapan secara spontan, lalu saya melakukan sedikit kajian. Hasilnya, inilah dia...


Firman Allah SWT yang mafhum-Nya: “Perempuan dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benarlah kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka oleh sekumpulan daripada orang-orang yang beriman.”

(Surah an-Nur : 2)

Daripada Abu Hurairah dan Zaid bin Khalid al-Juhani berkata:

Maksudnya: “Seorang lelaki desa datang menghadap Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam seraya berkata: ” Wahai Rasulullah ! Atas nama Allah, saya minta kepada Tuan supaya Tuan menjatuhkan hukuman kepada saya sesuai dengan Kitabullah.” Kemudian berkata lelaki lawannya dan dia itu lebih pintar daripadanya: “Ya betul ! Putuskanlah perkara kami sesuai dengan Kitabullah dan izinkanlah saya lebih dahulu berbicara.” Bersabda Rasulullah Sallalahu ‘Alaihi Wasallam “Berbicaralah.” Katanya: “Anak lelaki saya bekerja menjadi pekerja orang ini, maka dia berzina dengan isteri orang ini dan sesungguhnya saya telah diberitahu bahawa anak saya itu harus dihukum rejam, maka saya tebus dia dengan seratus ekor kambing dan seorang sahaya perempuan. Kemudian saya bertanya kepada ahli ilmu, maka mereka mengatakan kepada saya bahawa anak saya itu dihukum sebat seratus kali dan dibuang negeri selama satu tahun, sedangkan isteri lelaki ini mendapat hukuman rejam (sampai mati). Maka bersabda Rasullullah Sallalahu ‘Alaihi Wasallam: “Demi Allah yang jiwaku ditanganNya, sesungguhnya aku akan menjatuhkan hukuman di antara kedua belah pihak sesuai dengan Kitabullah. (Tebusan) Hamba sahaya dan kambing itu ditolak dan ke atas anakmu sebat seratus kali dan dibuang negeri satu tahun. Wahai Unai ! Besok pagi pergilah engkau kepada isteri orang ini ( dan periksa apakah dia memang berzina), jika dia mengaku, maka rejamlah dia !” Berkata Abu Hurairah : Besok pagi Unais pergi kepada perempuan itu, (ternyata) dia mengaku (berzina).” Rasulullah memerintahkan supaya dihukum rejam, maka direjamlah perempuan itu.”

(Hadits riwayat Muslim)

Manakala dari Abdullah bin Abbas berkata:

Maksudnya: “Telah berkata Umar bin Al-Khattab dan ketika itu dia duduk di mimbar Rasulullah Sallalahu ‘Alaihi Wasallam: “Sesungguhnya Allah Ta’ala mengutus Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dengan kebenaran dan menurunkan kepadaNya kitab (al-Qur’an). Di antara ayat-ayat yang diturunkan kepadanya yang kita semua telah membaca, mempelajari, dan memahamkannya ialah ayat al-Rajm (Ayat ini telah pun dimansukhkan bacaannya daripada al-Qur’an, tetapi hukumnya tiada mansukh. (Lihat at-Itqan fi ‘Ulum al-Quran 3/72). Rasulullah Sallalahu ‘Alaihi Wasallam telah melaksanakan hukuman rejam, (begitu pula) kami telah melaksanakan hukuman rejam selepas Baginda (wafat). Maka aku takut, jika semakin lama, (masa berlalu) ada orang yang berkata: “Tidak kami dapati hukuman rejam di dalam Kitabullah.” Maka mereka itu sesat kerana meninggalkan satu kefardhuan yang diturunkan oleh Allah Ta’ala. Sesungguhnya hukuman rejam yang terdapat dalam Kitab Allah ialah hak ke atas orang laki-laki dan perempuan muhshan yang berzina apabila ada saksi atau (ada bukti) seperti hamil atau pengakuan.”

(Hadis riwayat Muslim)

Isnin, April 23, 2007

Epilog KENAPA?

Sedih hati apabila membaca akhbar, majalah dan menonton siaran berita di Tv mahupun rancangan khas berbentuk penyiasatan. Sedih dek kerana teruknya kejatuhan akhlak remaja, robohnya keimanan para muda-mudi dan rapuhnya keIslaman para belia. Bukankah mereka ini bakal pewaris negara? Remaja seawal usia 12 tahun hari ini bakal menjadi ketua jabatan 21 tahun akan datang. Muda-mudi berusia 21 tahun hari ini bakal menjadi ibu bapa 12 tahun akan datang. Belia berumur 30 tahun hari mungkin menjadi ketua menteri pada tempoh 10 tahun akan datang.

Jadi…Kenapa ye? Kenapa kebejatan akhlak menjadi-jadi kini? Kenapa anak-anak menjadi bertambah kurang ajar? Kenapa remaja suka benar mencabar undang-undang? Kenapa murid-murid sekolah menjadi begitu berani merempuh segala sekatan? Kenapa para belia begitu biadap mencabar hukum-hakam?

Untuk lebih terperinci, kenapa remaja hari ini suka melawan kata ibu bapa? Kenapa pelajar hari ini melawan para guru? Kenapa murid-murid sekolah sudah pandai menipu? Kenapa anak-anak muda suka merempit di jalan raya? Kenapa anak-anak gadis teramat suka mendedahkan diri mereka – berbaju sendat dan seluar ketat misalnya? Kenapa anak-anak muda suka berpeleseran sambil minum arak dan berkhayal? Kenapa makin ramai anak-anak muda suka menikmati seks bebas hatta di atas tangga?

Kenapa dan kenapa?Kenapa penjara di negara ini kian sempit sehingga memaksa kerajaan berbelanja untuk membina penjara lagi? Kenapa makin ramai penjenayah lahir setiap hari? Kenapa kes ragut tak pernah berhenti? Kenapa kes rogol atau gangguan seksual kian menjadi-jadi? Kenapa kes bunuh makin kerap terjadi – hatta diletupkan oleh polis sendiri? Kenapa kes culik atau budak hilang makin menjadi-jadi? Kenapa kes buang bayi tak pernah berhenti? Kenapa kes pelacuran dan persundalan tidak pernah berhenti? Kenapa VCD lucah masih melambak di sana sini? Kenapa masih ramai setia menjadi tahu judi? Kenapa masih ramai suka ditipu oleh sindiket skim itu dan ini? Kenapa bomoh palsu masih laku di sana sini?

Soalan lain, kenapa rumah urut yang diserbu setiap hari kemudian diserbu lagi? Kenapa ramai penagih dadah ditangkap kemudian esok masih ramai lagi? Kenapa pelacur asing diberkas di hotel kemudian esok lusa masih ramai lagi? Kenapa pembuli jalan raya makin berani membuli polis trafik pula kini? Kenapa rasuah yang dihingarkan dari dulu tak pernah sunyi-sunyi? Kenapa politik wang kononnya dibenci dicaci namun sampai sekarang masih berdaki? Kenapa perpaduan dicari namun cemuhan dan fitnah diberi?

Kenapa sekolah dibina cantik namun ditinggalkan begitu sahaja walau baru setahun diduduki? Kenapa sampai urusan pajabat terhenti dek kerana air dilantai bergenang sana sini? Kenapa tanah runtuh di cerun bukit sana namun bulan depan cerun sini dibina lagi? Kenapa banjir kilat merata-rata di bandar besar sedang ia bukan lagi misteri? Kenapa sungai boleh meruah melimpah sedang dahulu elok sahaja tak pernah bah? Kenapa dahulu sejuk udara di tanah tinggi tapi kini panas membahang membakar diri? Kenapa asap kilang mencemar alam disaman sedang asap rokok berlegar di halaman? Kenapa kata rokok memudaratkan tapi iklan dan jualan masih ada bersiaran? Kenapa kata jauhi AIDS tapi di media memaparkan indah seks dengan pelbagai pendekatan? Kenapa suruh setia dengan pasangan sedang wayang gambar import selalu paparkan budaya hidup bebas orang barat tanpa sekatan?

Kenapa suruh martabat budaya bangsa dengan batik dan songketnya jika di media artis barat yang bertindik di pusat itulah yang dibanggakan? Kenapa suruh kuatkan jati diri sedang bahasa sendiri kian terhakis kini? Kenapa bising fasal Ali Baba dan tiris melata jika tender diberi atas nama kroni? Kenapa marah projek tidak siap ikut jadual kalau kos berbelanja lebih besar dari yang sebenar? Kenapa bising fasal kemelut perguruan kalau kata hati para guru tidak dihiraukan? Kenapa marah pelajar enggan bayar hutang pelajaran sedang itu tanggungjawab kerajaan? Kenapa marah eksekutif muda meminjam dan berkad kredit sedang media sendiri menggalakkan kemewahan? Kenapa bingar fasal ah long sedang bank-bank sendiri kekadang macam Abang Long? Kenapa bising fasal rakyat setinggan sedang harga rumah kos rendah makin meningkat macam mangkun ayan?

Kenapa? Tepuk dada Tanya iman…