Memaparkan catatan dengan label pengalaman. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pengalaman. Papar semua catatan

Jumaat, Januari 16, 2009

Mood menulis


Manusia ini memang Allah SWT jadikan ada emosi. Emosi banyak mempengaruhi tingkah laku. Orang yang terlalu mengikut emosi, selalu melulu. Tanpa emosi pula, seolah-olah hilang deria rasa. Emosi mesti ada dan wajar diletakkan dalam kondisi pertengahan. Sederhana dan berimbang.


Begitu juga dengan menulis di blog. Ada waktu-waktunya saya begitu bersemangat. Terlihat sesuatu, terbaca sesuatu dan terfikir sesuatu, segera terbit idea untuk dicurahkan. Tak sempat-sempat lagi rasanya mahu on kan komputer.


Begitulah juga dengan membaca. Adakalanya, mood membaca begitu tinggi. Sebuah buku bisa dikhatamkan pada satu malam. Setiap malam, sebelum melelapkan mata mesti membaca. Bila sudah mula, sukar pula mencari perhentian.


Begitulah manusia yang ada emosi. Mood banyak mempengaruhi. Itulah...maka kadangkala jari sudah bersedia di papan huruf, sudah bersedia mengetik-ngetik...tapi lelah mencari bahan. Tinggallah ruangan kosong tanpa huruf apa-apa pun...


Sekarang, saya kembali menyambung pembacaan buku biografi 'Ahmadinejad: Singa Umat Islam'. Buku ini nipis sahaja jika mahu ditarakan dengan novel Ayat-ayat Cinta atau Tunggu Teduh Dulu. Saya sudah mula membacanya sejak tahun lalu...


Tapi, susah benar saya nak menghabiskannya. Semalam, bila saya membaca kembali...seolah-olah saya baharu sahaja menikmatinya buat pertama kali. Apa yang telah saya baca sebelum ini, nampaknya telah kelam di minda. Tak mengapalah...saya ulang kembali beberapa bab awal.


Buku berkenaan sebenarnya memaparkan siapakah dia Mahmud Ahmadinejad. Ramai orang tidak begitu mengenali sosok tubuh yang kecil dan kurus ini. Lahir pada 28 Okt 1956, beliau bukanlah pemimpin yang terkenal asalnya. Terus-terang, sebelum Ahmadinejad memenangi Pilihanraya Presiden Iran pada 6 Ogos 2005, majoriti orang Iran sendiri tidak kenal bahkan tidka tertarik mengenali siapa Ahmadinejad sebenarnya. Apatah lagi kita orang luar!


Sedikit catatan, Ahmadinejad rupa-rupanya adalah anak muda yang hidup pada zaman Revolusi. Saat Imam Ayatollah Khomeini pulang dari Peranchis tahun 1979...Ahmadinejad adalah antara orang yang menyambut kepulangan itu dengan gembira.


Kemudian, 22 September 1980, Iraq di bawah Saddam Hussein menyerang Iran. Beliau pernah terlibat dalam peperangan tujuh tahun itu. Dalam usia yang begitu muda juga, kebanyakan anak muda Iran termasuk Ahmadinejad sudah dilantik menjadi gabenor di Wilayah Ardabil bagi membantu kestabilan Republik Islam Iran.


Ahmadinejad memang sosok yang begitu menarik untuk dikaji. Beliau pernah menjadi Datuk Bandar Tehran dan berjaya mengatasi banyak masalah dengan kebijaksanaannya - terutamanya masalah kesesakan jalan raya. Jauh daripada itu, beliau merupakan pemimpin yang benar-benar merakyat. Istilah 'Pemimpin Khadam Rakyat' memang menjiwai dirinya.


Bayangkan, beliau menolak kediaman rasmi Datuk Bandar, mendermakan sebahagian perabotnya dan menukarkannya kepada sebuah muzium, menginfakkan gaji datuk bandar dan hanya menyara keluarganya dengan gaji sebagai pensyarah universiti. Beliau tinggal si sebuah jalan mati dengan rumah yang amat sederhana. Beliau beberapa kali turun dari keretanya, demi membuang halangan di longkang yang tersumbat. Menerima kunjungan daripada pelbagai lapisan pengadu tanpa mengira masa dan memarahi kontraktor yang sengaja melambatkan sesuatu projek.


Ah...banyak yang menarik tentang manusia yang bernama Dr Mahmud Ahmadinejad ini. Insya-Allah...saya akan paparkan lagi kisahnya pada masa akan datang...

Khamis, Oktober 23, 2008

Kisah 2 Mahasiswa UPM


‘Tinggal secara tidak sah’. Itulah alasan yang digunakan oleh pihak berkuasa kolej di UPM, demi menghalalkan cara ‘menghalau’ dua penghuninya, lapor Malaysiakini.com.

Nor Farhana Farzieana, bekas exco Majlis Perwakilan Mahasiswa UPM dan rakannya Nur Shafiqa Mohd Ali, exco Persatuan Mahasiswa Islam menjadi mangsa kezaliman konco-konco Umno di IPTA entah yang ke berapa.

Mungkin rakyat Malaysia tidak tahu, bahawa kebanyak jawatan kanan di universiti tempatan kini diisi oleh mereka yang ‘dangkal’ otaknya. Mereka memiliki ijazah doktor falsafah; tetapi pemikiran mereka tahap darjah enam. Benar, mereka juga digelar professor; tetapi lebih baik pak imam kampung dalam memutuskan tindakan.

Insiden di atas hanyalah secebis kebobrokan tindakan mereka. Banyak lagi. Bak kata salah seorang gadis siswi di atas: “Kes yang berlaku pada saya hanyalah sebahagian kezaliman yang berlaku terhadap mahasiswa. Bukan sahaja di UPM tetapi di kampus-kampus lain pun, saya percaya perkara ini berlaku," ulas Nor Farhana Farzieana Azmi.

Rakyat Malaysia wajar sedar, inilah tribulasi para mahasiswa yang ideologinya bercanggah dengan pemerintah. Mereka akan ditekan dari pelbagai sudut. Biar pun mereka cemerlang dalam akademik dan cemerlang dalam ko-kurikulum; namun itu bukan jaminan mereka kekal di kolej kediaman.

Oleh itu, apa tindakan rakyat Malaysia? Saya hanya terfikir, semua pihak yang memperjuangkan hak rakyat perlu tampil ke muka. NGO misalnya Persatuan Peguam bahkan parti-parti politik perlu memperjuangkan isu zalim ini. Ya, kerana ia menzalimi mahasiswa dan bersifat terlalu jumud sekali. Seumpama tinggal di negara komunis yang melarang anutan politik selain komunis.

Kepada pelopor-pelopor yang suka memancung pengaruh parti-parti selain Umno di kampus, mereka ini hendaklah dikenakan tindakan yang wajar. Mereka ini bukanlah tokoh akademik tulen dan bukan juga professional. Bahkan mereka hanya layak menjadi balaci Umno. Merekalah sebenarnya yang merosakkan anak bangsa.

Selasa, September 23, 2008

Cerita Ramadan 7#


Pengalaman balik kampung? Ish...saya orang kampung. Nak balik ke mana lagi? Maka itulah, waktu kecil dahulu saya pelik bila dengar budak-budak sekampung mendendangkan lagu Sudirman 'Balik Kampung!'


Saya hanya tahu, anak-anak opah yang akan pulang beraya di kampung. Angah dari KL dan alang di Kg Kati. Kadang-kadang angah sampai lewat malam dari KL dengan bas ekspress. Atau angah sewa kereta 3, 4 hari untuk bercuti raya. Saya rasa gembira bila anak-anak opah pulang ke kampung.


Saya suka apabila rumah kampung opah penuh dengan keceriaan anak-cucu. Penuhlah ruang anjung rumah opah. Kami anak-beranak tidur bersusun macam di kem pelarian. Begitu juga waktu berbuka. Lebih-lebih lagi pada hari raya.


Bila anak-anak di perantauan pulang, maka banyaklah cerita menarik untuk dikongsi. Saya selalu membayangkan, enak dan indahnya menjadi anak perantauan. Boleh balik ke kampung dan disambut mesra dan ceria oleh ibu ayah dan jiran tetangga.


Kini, saya benar-benar memahami makna 'Balik Kampung'. Saya memahami perasaan yang tidak tertahan untuk bertemu emak abah dan sanak saudara. Menghirup aroma udara kampung yang nyaman. Sejuk air di waktu pagi dan dingin anak kali berair jernih.


Anak-anak saya juga mendahului saya dalam memahami erti balik kampung... Aduhai, rindunya saya pada suasana ceria berhari raya di desa. Kampung yang tercinta...nantikanlah kepulangan kami ke desa!