Selasa, Februari 26, 2008

Sastera dan bahasa: Harapan saya terhadap Anwar Ibrahim


Kerancakan sastera dan bahasa Melayu hanya pada zaman Anwar...betulkah?

Bagi saya..ya. Maka saya meletakkan harapan pada sosok tampan ini, moga-moga mendapat peluang untuk memerintah Malaysia. Mungkin saya rayan...kan susah BN nak kalah. Tapi tak mustahil berlaku, sedangkan Musyarraf di Pakistan pun tumbang dibelasah parti-parti lawannya...maka, kukuh dan ampuh sangatkah BN?

Zaman Anwar Ibrahim menjadi TPM dahulu, beliau mesra dengan bahasa dan sastera Melayu. Saya masih ingat, Anwar turut menjemput Tan Sri A Samad Ismail hadir sama di satu majlis di UKM. Saya nampak Anwar jujur mendaulatkan kemuliaan bahasa. Pada zaman beliau menjadi Menteri Pendidikan, beliau menobatkan institusi pendidikan sebaik-baiknya...istilah Pelajaran yang rigid dan kecil ruang lingkupnya diubah kepada Pendidikan, maka jadilah Kementerian Pendidikan....namun akhirnya Pak Lah menukarnya kembali kepada Kementerian Pelajaran!

Zaman Anwar, beliau selalu mengemukakan istilah baharu. Semasa ucapan pembentangan belanjawan negara, kita pasti tertunggu-tunggu apakah patah-patah baru yang bakal diucapkan. Maka akhirnya popularlah kalimah canggih, madani dan sebagainya. Kini, pembentangan belanjawan hanyalah sekadar bercerita tentang pelbagai projek...ah, tandus benar dengan nilai sastera dan bahasa!

Zaman Anwar dahulu, beliau terkenal sebagai menteri yang rajin membaca. Ucapannya menggambarkan minda seorang yang kaki membaca. Ayat-ayatnya cantik dan bertenaga, tidaklah lembik dan menjemukan…seperti orang-orang berkenaan pada hari ini! Ucapan mereka yang berkenaan pada hari ini sekadar buat-buatan…tak ada nilai ilmu, terasa hambar dan kurang memberangsangkan!

Zaman Anwar dahulu, beliau cintakan ilmu sehingga mampu menghasilkan buku ‘Kebangkitan Asia’ dan digilai ramai orang. Bahkan semasa beliau terperap di penjara sekian lamanya, tulisan beliau penuh bertenaga berjaya menyusup keluar dan tersiar di akhbar. Tulisan-tulisan itu akhirnya dikumpulkan menjadi sebuah buku bertajuk ‘Warkah Anwar: surat-surat dari penjara 1998 – 2004’. Hari ini, para menteri banyak beretorik itu dan ini, namun satu buku kecil pun tiada kelihatan!

Sebab itulah…saya nak Anwar jadi PM. Saya yakin…dia akan menghidupkan kembali nilai ilmu bahasa Melayu, kerana pada zamannya dahululah dia menobatkan bahasa Melayu sehingga TV3 kekal baku sebutannya….waima ke saat ini!

Khamis, Februari 21, 2008

Orang Utan lebih baik dari 'binatang'

Apalah sangatnya Orang Utan jika dibandingkan teguran Allah SWT terhadap golongan yang engkar kepada aturan Allah, mengenepikan pedoman dan mengambil kesesatan. Bahkan pastinya segala wahyu Allah ini dilafazkan pula oleh lisan mulia Rasulullah SAW. Adakah apabila nabi mencerca Abu Lahab dengan kata-kata ’Celakalah Abu Lahab dan kedua tangannya!’ maka nabi dianggap manusia yang tidak reti dakwah, tidak mesra alam dan mulut capoi?

Inilah susahnya apabila manusia sering membaca Al-Quran tetapi jahil memahami maksudnya. Mereka membaca al-Quran hanya kerana habit, misalnya pada setiap malam Jumaat akan diadakan majlis membaca Yaasin dan tahlil dan mereka hadir sebagai rutin mingguan. Tiada ikhtiar untuk memahami maksud atau makna di sebalik huruf-huruf dan perkataan-perkataan Arab yang mereka baca. Lantaran itu, kekallah orang-orang sedemikian di dalam kedunguan berpanjangan. Emm...harapnya kita tidaklah begitu.


Manusia memang makhluk yang sering alpa. Bukankah ini namanya insan, makhluk pelupa! Dek kerana kelupaan dan kealpaan itulah, manusia sering kena diperingatkan. Ingat mengingat ini lumrah dalam kehidupan, sedangkan seorang ibu acap benar mengingatkan anak-anaknya agar rajin-rajin belajar, di jalan raya sering ada papan peringatan had laju, seorang kekasih akan mengingatkan kekasihnya jam berapa janji temu mereka, seorang menteri bahkan sering benar mengingatkan rakyat jelata perihal hidup berhemah, jangan membazir, jangan itu dan jangan ini.

Hakikatnya, inilah manusia – makhluk yang sering kena diperingat dan diperingatkan. Sampai bila? Sampai bila-bilalah!

Seorang ulama’ atau orang yang pandai agama juga ada tugasnya, iaitu mengingatkan umat akan banyak perkara. Bukan namanya ulama’ jika dia hanya pandai membaca doa sahaja pada setiap pembukaan majlis rasmi, mengarang doa berjela panjangnya sedang nabi berpesan, doa terbaik itu adalah ringkas, padat dan tepat maksudnya. Itu bukan ulama’ tetapi tukang doa baca sahaja.

Lalu, inilah amanah yang perlu dipikul ulama’, memberi ingat. Jika tidak jadilah ’ular dalam semak’ yang hanya mementingkan diri. Ulama’ warisan nabi, mana ada nabi lagi rasul yang membisu seribu bahasa melihat kemungkaran. Bahkan para nabilah yang akan menentang kemungkaran – walaupun yang membuat mungkar itu keponakan sendiri atau ayah sendiri.

Nah, bacalah dua ayat di bawah. Ia adalah peringatan langsung dari Allah SWT yang telah dinukilkan oleh lisan agung lebih 1429 tahun silam...

"Sesungguhnya seburuk-buruknya binatang disisi Allah adalah orang orang yang buta, tuli yang tidak mengerti apa apa (tidak mengambil peringatan Allah)" (Al anfal 22).

"Dan sesungguhnya Kami jadikan (jahannam) untuk kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati tapi tidak digunakan untuk memahami, mereka mempunyai mata (tetapi) tidak digunakan untuk melihat, mereka memiliki telinga (tetapi) tidak digunakan untuk mendengar. Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang orang yang lalai." (Al A'raf 179).

Kenapa jadi buta dan tuli, kerana mereka mengabaikan akal pemberian Ilahi untuk mencari pedoman dan mengejar kesesatan.

”Itulah orang-orang yang membeli kesesatan (untuk) digantikan dengan pertunjuk, maka tidak beruntung perniagaan mereka dan mereka (pastinya) tidak akan mendapat pertunjuk (daripada Allah SWT)” (Al-Baqarah 16)

Wallahua’lam!

Selasa, Februari 19, 2008

Orang Utan

Entah tiba-tiba, apakah gerangannya Pok Nik melatah mencucuk perut orang-orang 'nuno' yang berasal dari Planet Marikh dengan latah ‘Orang Utan’nya?

Hebohlah bercek-cok seantero bumi Afrika Selatan, diulaslah oleh para pembesar dan rakyat jelata:

“Tidaklah patut seorang ulama’ berkata sedemikian”

“Bukankah dahulu Tok Nik yang memesan agar jangan bermakian?”

“Cermin dahululah diri lain kali”

Arakian sekian banyaknya sanggahan dan pandangan. Lalu pacal yang hina pun duduk berteleku bertanya kepada sahabat hamba yang bijak laksana dalam ilmu bahasa, falsafah dan mantiqnya.

“Mujur juga Pok Nik kata Orang Utan…”

- Kenapa?

“Jika dia kata Ba*#… Utan, bagaimana?

- Isyk, lagi teruklah tu…

“Iyalah, kamu lihat Orang Utan, dia tu memang tak tahu undang-undang. Dia tahu rempuh sahaja. Samalah orang yang suka merempuh sana-sini macam Orang Utan.”

- Maaf, hamba tak berapa mengerti sang bijaklasana.

“Orang Utan itu, dia makhluk yang tak reti apa tapi akur apa perintah Allah. Tapi manusia, khasnya bangsa nuno yang bertamadun itu…lawan cakap Allah. Mana lebih teruk, Orang nuno atau Orang Utan?”

- Hi…tak gamak saya…

“Apa gamak-gamaknya lagi! Orang Utan tak bertudung kepala, jadi kalau orang nuno sendiri tak bertudung kepala, itu langgar undang-undang Allah tak? Sama tak macam Orang Utan bahkan lebih teruk lagikan?”

Saya pun mengisar punggung menyembah salam seraya berterima kasih. Arakian fahamlah saya akhirnya hikayat Orang Utan ini.

Wallahua’lam.

Tajuk: Bila Tuhan Berbicara
Pengarang: Faisal Tehrani
Tebal: 367 halaman
Penerbit: Ameen Serve
Tahun: 2007
Harga: RM21.90
Tamat baca: 12.20 tgh malam, Jumaat (masuk Sabtu dah), 15 Feb 2008

“Kita harus kembali kepada tujuan asal karya sastera Islam, kembali kepada matlamat awal drama Islam. Kita ingin melakukan tarbiyyah bukan? Kita ingin berdakwah bukan? Kita ingin bertabligh bukan? Jadi kita harus semat dalam ingatan bahawa ini tujuan teater Islam…” – Sedutan Novel Drama Bila Tuhan Berbicara, muka 338

Naskhah Bila Tuhan Berbicara (BTB) ini hangat dipromosikan pada tahun lalu. Saya kira ia novel dewasa kedua terbitan Al-Ameen Serve Holdings Sdn. Bhd. Pertama ialah novel Memeluk Gerhana oleh Isa Kamari (pemenang S.E.A Write Award 2006). Saya membeli naskhah garapan mantap Faisal Tehrani ini di Pesta Buku Selangor 2006 yang tidak salah saya diadakan di Kompleks PKNS, Shah Alam.

Bukan mudah membaca dan menghadam kandungan naskhah ini yang dinamakan oleh FT sebagai ‘Sebuah Novel Drama’. Ini kerana, ia seperti drama namun ia jua sebuah novel. Yang pasti, FT meneruskan tradisi teknik dan gaya khutbahnya menerusi naskhah ini. Gaya ini memang berkesan, khususnya dalam proses menerapkan pemikiran penulis kepada pembaca. Namun ia sedikit meletihkan, khasnya bagi mereka yang sudah terbiasa dengan novel gaya biasa, iaitu kaya dengan dialog antara watak. Isteri saya sendiri alah dengan novel BTB ini; sedang novel Tunggu Teduh Dulu dan Perempuan Politikus Melayu dahulu, bukan main lagi dikilik dan diseliginya dari kulit ke kulit.

Sepintas lalu, BTB melontarkan pelbagai persoalan, tentang akidah, tentang akhlak, tentang budaya, tentang seni dan hiburan, isu semasa dan sebagainya. Jika bab akidah misalnya, ia menyentak hati mengenai keyakinan kita terhadap janji Tuhan, misalnya yakinkah kita kepada kehidupan selapas kematian. Hal ini dapat kita telusuri lewat lakonan tiga watak utama – Mazlan (seorang doktor), Sahlan (vulkanologis) dan Razlan (ustaz yang mahu menjadi pejuang berani mati!) yang membumbui 90 peratus isi novel drama ini. Apa yang menambahkan kompleksiti novel drama ini ialah, konflik yang wujud dalam diri tiga watak utama dan kesinambungan konflik yang tercetus apabila ketiga-tiganya ditakdirkan untuk terselamat di dalam sebuah kubu atau bunker setelah melarikan diri dari letusan gunung berapi yang menyala...

Diulangi...watak-watak inilah yang mendominasi keseluruhan novel drama ini. Saya tak dapat membayangkan andai ia dipentaskan, pasti penonton akan merasa sedikit bosan jika tidak kena gaya...iyalah, perbualan mereka bersimpang-siur, simpang-peranang dengan sedikit gila-gila dan seperti sengaja mencuri perhatian! Namun, ya...mungkin itulah gaya pementasan, mencuri perhatian agar penonton tidak leka dan lena.

Pemuda-pemuda ini diibaratkan seperti Ashabul Kahfi. Mereka bagaikan melalui terowong masa atau Time Machine, lalu bermulalah kembara di dunia baru pasca letusan gunung berapi. Mereka ada tanggungjawab sesama manusia yang perlu dilunaskan di samping tuntutan akidah yang mendesak (mungkin juga tuntutan fitrah manusiawi...sang Paduka Ratu oh...).

Menelaah hingga ke akhirnya menambahkan keyakinan saya tentang kemampuan FT menguasai khalayak pembaca. Tabik saya pada FT. Layaklah beliau dianugerahi Anugerah Sastera Negara dan memenangi pelbagai hadiah dan anugerah lain. Mungkin beliau adalah calon Sasterawan Negara tahun-tahun mendatang. Syabas FT!

p/s: saya pelik sebenarnya, bagaimana FT mampu menghasilkan karya dalam masa yang singkat dan padat pula dengan info. Bukan senang jika tiada semangat dan iltizam...inilah yang menguji kemapanan seorang penulis sebenarnya.

Jumaat, Februari 15, 2008

Palestin O Palestin


Hari ini ada pameran dan juga ceramah mengenai Palestin yang dibawa khas oleh sebuah NGO bernama Aman Palestin. Sangka saya, ia adalah ranting dari Aman Malaysia, rupa-rupanya tidak. Aman Palestin adalah sebuah entiti berbeza dan ia memfokuskan kepada usaha membantu rakyat Palestin. Salah satu caranya ialah menaja keluarga miskin dan membiayai anak yatim di sana. Dengan hanya menyumbang serendah RM130, kita sudah pun membantu seorang anak yatim yang kehilangan ibu bapa akibat kejahatan Yahudi - Zionis!


Sebenarnya, saya tidaklah begitu mendalami sangat isu Palestin ini. Saya tahu tentang perjuangan rakyatnya, saya juga tahu ramai syuhada gugur demi Palestin, saya tahu tentang PLO dan Hamas, saya juga tahu sedikit-sebanyak usaha pemboikotan barangan buatan Yahudi demi membantu umat Islam yang ditindas di Palestin.


Namun, dalam mencari-cari sebuah buku buat penganan minda, saya meneliti juga sebuah buku yang memaparkan agenda perjuangan rakyat Palestin. Saya terjumpa satu halaman di mana di dalamnya di paparkan seorang wanita muslimah bertudung putih sedang dikelilingi askar Yahudi. Di belakangnya seorang kanak-kanak perempuan yahudi sedang menarik kerudung putih itu dan kirinya ada seorang kanak-kanak lelaki Yahudi sedang menendang ke arahnya. Ya Allah, teringat saya kisah Al-Makmun menghantar gerombolan tentera Islam hanya kerana seorang muslimah disingkap auratnya di sebuah pasar. Begitu terbelanya maruah umat Islam dahulu dan betapa murahnya maruah umat Islam kini...


Saya membeli buku tulisan Maszlee Malik bertajuk Al-Aqsa dalam bahaya!! Harganya tidak seberapa, hanya RM10 namun saya anggap itulah sumbangan saya. Berminat juga untuk menaja seorang anak yatim, tapi borangnya pula tiada. Jika anda berminat menaja, silalah hubungi Aman Palestin di talian 03.8926.7019 @ fax: 03.8925.9963 @ e-mail: alquds3@streamyx.com atau kunjungi sahaja laman mereka di http://www.amanpalestin.com/.

Khamis, Februari 14, 2008


PESTA-PESTAAN BUKU KEMBALI LAGI...
april ini

Dialog menjelang PRU


Seorang teman berdebat dengan saya. Katanya, dia mengundi mengikut individu yang bertanding, bukan berdasarkan parti. Katanya lagi, jika individu itu mampu membawa perubahan kepada daerah dan kampungnya, dialah yang patut diberikan undi. Apa guna mengundi jika parti yang diundi belum tentu menang menguasai parlimen atau kerajaan negeri, silap-silap hari bulan hanya menang satu atau dua kerusi sahaja.

Saya pula berkeras, mengundi perlu melihat parti. Ini kerana, individu adalah wakil parti. Apabila menang, ia membawa suara partinya ke dewan sama ada Dewan Undangan Negeri mahu pun Dewan Rakyat. Neraca timbangan saya senang sahaja, jika parti yang menghantar calon itu berjanji untuk menegakkan Islam secara syumul, maka saya undi dia atas janji-janji itulah. Tetapi, jika dia menang atau partinya menang majority tetapi mungkir janji, maka itu urusan dia dengan Tuhan.

Puas kami berdebat. Saya dengan pandangan saya dan dia berkeras dengan hujahnya. Akhirnya saya nyatakan, jari dan tangan yang memangkah undi akan ditanya di akhirat. Bukankah kita rajin membaca surah Yaasin, bukankah di dalam surah itu ada Allah nyatakan, nanti di hari akhirat akan ditutup (digam) mulut kita dan Allah akan membiarkan anggota badan kita pula berbicara. Masa itulah, kaki tangan akan bersuara…

“Ya Allah, tangan inilah dahulu yang memangkah…dengan sebab satu pangkahan itu maka si fulan itu menang…dengan menangnya si fulan maka partinya dapat kuasa…dengan kuasa itu mereka gubal perlembagaan dan undang-undang…dengan perlembagaan dan undang-undang itulah mereka nafikan syariat dan undang-undang Engkau Ya Allah…”

Lalu kata saya… “Aku tidak mahu nanti tangan ini menjadi saksi di akhirat, aku pangkah orang yang tidak mahu melaksanakan syariat Allah…”

Itulah jawapan saya dalam dialog pendek menjelangnya pilihan raya…wallahu’lam!

Rabu, Februari 13, 2008

PRU 12 Menjelang Lagi


PAK LAH Baru sahaja mengumumkan Parlimen dibubarkan sebentar tadi dan ini menandakan sudah bermulanya kehangatan Pilihanraya Umum Malaysia Kali Ke-12 ini di Malaysia Al-hadari.


Saya ada berbincang dengan beberapa teman, antaranya menyatakan PRU pada kali ini antara yang tersengit selepas PRU musim reformasi dahulu. Ini kerana, isu-isu panas masih meruwap dalam atmosfera rakyat, dengan kenaikan harga minyak dan dijangka BN akan pasti mengumumkannya naik lagi seusia pilihanraya nanti, kenaikan harga barang, isu jenayah berat seperti bunuh dan rogol dan culik yang tidak surut-surut, isu rasuah, isu kehakiman yang bercelaru dan pelbagai isu sensitif seperti Hindraf amat-amat menjerakan BN!


Ada sumber menyatakan, BN mungkin mengalami kemerosotan undi mereka sekali lagi. Namun bagi saya, amat payah bagi parti-parti lain yang bergelar Alternatif seperti PAS dan KeAdilan untuk menang, selagi BN menguasai jentera kerajaan.


Apa-apa pun, kita wajar memberikan peluang kepada semua pihak untuk menang secara adil dan saksama, padang yang sama rata wajib diberikan kepada BN dan BA. Mampukah Malaysia yang berfahaman Demokrasi Terpimpin ini melaksanakannya?
Wallahua'lam!


Kutitip rindu bertalu-talu...sambutlah salamku di angin lalu.

Selasa, Februari 05, 2008

Artikel kuar lagi


Antara kepuasan seorang penulis ialah melihat artikelnya tersiar di akhbar atau mana-mana majalah. Itulah perasaan saya pada bulan Februari ini, empat artikel saya disiarkan, iaitu di majalah MIDI, Majalah I, Anis dan Dewan Ekonomi!


Yang paling teruja tentulah di Dewan Ekonomi, bukan senang nak menembusinya. Tajuk artikel saya ialah 'Transformasi Pengurusan Zakat' di ruangan Ekonomi Islam.

Isnin, Februari 04, 2008

JALAN YANG HIJAU


Jalan yang hijau
di kiri kanannya ada hutan segar
di tabiri alam yang bugar
kita jadi asyik
lalu terlupa diri yang kerdil
lupa tentang jalan
yang penghujungnya masih galau



Jalan ini masih hijau
biar ia kekadang berdebu
dalam terik mentari bulan Februari
sayang jika ada jerebu
daun jadi letih
liangnya tersumbat bak pepori muka
menyesakkan nafas
manusia jadi lemas



Jalan kita masih hijau
biar kita sering tersasau
melanggar kanan kiri tanpa risau
bahawa ada duri yang boleh mencalar
lalu diri sendiri kesakitan
sedang hujung masih tidak kelihatan.


U-HAH
4 Feb 2008
BSIS

Ahad, Februari 03, 2008

Gemulah Sudah Ishak Baharom

(1928 - 2008)


Detik dan saat mengenali tokoh bernama Ishak Baharom ini, saya dikhabarkan oleh opah saya bahawa iras wajah redupnya ada menyamai iras wajah moyang saya. Kesamaan wajah itu menumbuhkan rasa bangga dalam hati saya, kerana ada juga susur galur keturunan saya yang wajahnya menyamai wajah seorang ulama.

Dato Ishak Baharom bagi saya adalah lambang ketegasan seorang ulama. Sebelum dilucutkan jawatannya oleh pemerintah lewat 1997 dahulu, beliau sering muncul di kaca TV dalam soal jawab agama. Kesederhanaan dalam penampilannya amat memikat. Tidak gelojoh dalam menjawab bahkan nampak tawadhuk sekali tampangnya.
Bayangkan, beliau disingkirkan dari jawatan mufti yang telah disandangnya selama 12 tahun (1985 - 1997) hanya kerana mempertahankan enakmen syariah yang diluluskan sendiri di Dewan Undangan Negeri oleh pihak kerajaan yang memerintah. Beliau kalah dalam pertandingan 'Mufti VS Ratu Cantik'. Namun iItulah yang membikin ramai orang tertegun dengan ketegasannya, pendeknya beliau lembut tetapi tegas!

Saya masih ingat ketika beliau hadir memberikan ceramah dan sekaligus penjelasan 'pemecatannya' di Bangi Lama sekitar 1997. Antara lain saya ingat lagi, dia tidak kisah dipecat; tetapi yang dia tidak boleh terima ialah apabila 'pemimpin menipu' demi menegangkan benang basah mereka!

Saya juga teringat ketika mana beliau memberikan jawapan bahawa ASB haram dan ia disiarkan oleh sebuah majalah (Al-Ummah jika tidak salah saya) telah meninggalkan keriuhan di kalangan orang awam di kampung saya, sebenarnya saya yang memfotostat artikel itu dan menampalnya di papan kenyataan masjid dan surau di kampung saya...kejadian ini berlaku pada tahun 1992 gitu.

Setelah dilucutkan hak beliau sebagai mufti walaupun telah disambungkan kontraknya, maka beliau lebih cergas bersama PAS, jamaah yang melagang usaha menerusi medan dakwah dan politik. Foto wajah beliau mula menghiasi muka hadapan akhbar Harakah dan majalah politik alternatif. Jika semasa berjawatan mufti beliau menegakkan Islam melalui jawatannya, maka setelah dipecat beliau istiqamah bersama jamaah PAS pula. Beliau adalah Ahli Syura Ulama' PAS sehingga tahun 2007 yang lalu - satu penghormatan dan pengiktirafan yang begitu tinggi buatnya.

Mungkin generasi muda pasca reformasi wajar mengetahui, Dato' Ishak Baharom dipecat hanya kerana mempertahankan tindakan penguatkuasa JAIS menahan beberapa orang wanita Islam yang menyertai ratu cantik. Dek kerana keberaniannya itulah beliau dipecat. Nah, bukankah ini menyamai nasib yang pernah menimpa para imam mujtahidin yang didera, dipenjara bahkan dibunuh hanya kerana fatwa mereka yang bercanggah dengan pemerintah.

Al-Fatihah untuk gemulah...wallahua'lam.

Ahad, Januari 27, 2008

Biblioholist dan gaya membaca


Biblioholist adalah jolokan bagi orang yang memang tidak dapat hidup tanpa buku. Saya mulai diperkenalkan dengan istilah ini oleh Sharom TM Sulaiman, penggerak awal Seminar Pencinta Buku yang juga menggerakkan Bukuonline.org pada tahun 2006 lalu. Entah saya ini termasuk dalam kelompok biblioholist atau tidak, saya tak pasti. Yang pasti saya memang teruja dengan buku sejak muda remaja lagi.


Sejak dahulu lagi saya sentiasa mendambakan memiliki sebuah kamar pustaka sendiri yang punya pelbagai genre penulisan. Ada politiknya, ada cerekanya, ada akademiknya, ada sosialnya, ada dakwahnya, ada fikahnya dan ada koleksi khasnya – apalagi buku-buku hobi sayalah – tentang dekorasi dan pastinya buku masakan untuk koleksi teman hidup saya – isteri tercinta.


Kini di rumah saya sudah ada tiga rak buku yang sudah penuh dan padat dengan pelbagai buku dan majalah. Saya puas melihatnya dan saya mengharapkan anak-anak saya membugar dalam lingkungan ilmu. Di rumah saya tidak ada stesen TV berbayar yang asyik mencengkek pitih kita dengan siarannya yang sering ‘hampeh’ , bahkan TV di rumah saya pun kecik…aje, sehinggakan kenalan kerja saya terkejut dengan saiz TV berukuran diameter 11’ sahaja paparan mukanya. Katanya… “Zalim kau Zul, punyelah kecik TV engko, kasihan kat anak-anak engko!”

Saya memang pengumpul buku. Ada buku yang saya beli atas asakan naluri yang amat kuat bahawa ia perlu saya beli, walaupun membacanya belum tentu…karya para penulis mapan misalnya. Ada pula kerana digiat-giatkan oleh teman-teman…khasnya abang ipar saya, lalu saya beli atas rekomendasinya, walaupun sesetengahnya sukar pula saya khatami. Ada buku yang memang saya beli sebagai sumber rujukan, khususnya dalam bab fikah. Mutakhir ini, saya semakin teruja memahami fikah Islam yang begitu luas dan luwes, tidak terlalu rigid dek fanatik mazhab dan juga kesempitan akibat taklid membuta-tuli.


Saya tahu, ada orang yang mampu membaca puluhan buku dalam usia setahun. Saya kagum dengan keupayaan orang seperti itu. Pastinya ia memerlukan upaya yang bersungguh dan konsisten. Ini kerana, ada sesetengah buku boleh sahaja diladeni dengan sesantai-santainya; namun ada juga yang memerlukan fokus yang bukan kepalang.


Saya tertarik dengan gaya membaca Datuk Kamaruddin Jaafar, Setiausaha Agung PAS yang pernah saya baca habit membacanya. Dia akan membaca sehingga dua atau tiga buku dalam tempoh masa yang sama. Caranya, satu dibaca di rumah, satu di dalam kereta dan satu di kantornya. Saya amalkan juga kaedah itu dan Nampak ada manfaatnya. Ada orang membaca kala malam kian ke penghujungnya buat melapik tidur seperti pernah digambarkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa ceramah perdananya kepada mahasiswa baru UKM lewat sesi 1994/ 95, ada yang membaca ketika menunggu sesuatu bahkan ada yang menghabiskan novel ketika membuang masa di dalam tandas! Tak kisahlah, asalkan gaya itu menjadikan kita lunak untuk membaca dan membaca, teruskanlah.

Selama setahun yang lalu, saya duduk-duduk diskusi dengan isteri dan mula mengira jumlah buku yang sempat kami khatamkan. Alhamdulillah, kami masing-masing habis lebih dari 12 buah buku yang memaknakan kami kekal membaca sebuah buku setidaknya dalam satu bulan. Memanglah jumlah itu agak ciput jika mahu dibandingkan dengan insan-insan lain, namun bagi kami yang kesibukan dengan empat anak rasanya ‘boleh tahan’lah…

Berikut adalah Senarai buku yang habis dibaca oleh saya pada tahun 2007:


A: Karya kreatif


1. Tunggu Teduh Dulu – Faisal Tehrani
2. Kawin-kawin – Azizi Hj Abdullah
3. Sangheeta – Azizi Hj Abdullah
4. Imam – Abdullah Hussain
5. Di Hadapan Pulau – A. Samad Said
6. Cinta Hari-Hari Rusuhan – Faisal Tehrani
7. Kekasih Sampobo – Faisal Tehrani
8. Cinta Sang Ratu – Ramli Awang Mursyid
9. Bagaikan Puteri – Ramli Awang Mursyid
10. Cerpen-cerpen Underground – Faisal Tehrani &
11. Masuk Ke Dalam Cahaya – Abdullah Hussain
12. Suupheeya – Abu Hassan Morad
13. Advencer si peniup nei – Faisal Tehrani
14. Combat 1511 – Faisal Tehrani


B: Non kreatif


Taka de yang khatam…


Senarai buku yang tidak habis dibaca pada 2007 pula:


A: Karya kreatif


1. Setitis Embun Semarak Api – Shahnon Ahmad
2. Lamunan Puitis – Shahnon Ahmad
3. Sakura Petals Unfold (ulang baca) – Arena Wati
4. Memoir Geisya –
5. Cinta Sangkuriang – Nisah Hj Haron
6. The Missing Piece (Jilid 1) – Fatimah Busu
7. Bila Tuhan Berbicara – Faisal Tehrani
8. Memeluk Gerhana – Isa Kamari
9. Monolog Sasterawan (ulang baca) – antologi cerpen
10. Detik-detik Diri Di Daerah Daif (ulang baca) – Shahnon Ahmad
11. Perjalananku Sejauh Ini – Shahnon Ahmad
12. Inikah Cinta – H M Tuah Iskandar


B: Non kreatif


1. Wang – CAP
2. Sejarah 4 imam mazhab
3. The Road To Mecca – Mohamad Assad
4. Kisah Saya Saudara Baru – Nur Aisyah Chua Abdullah
5. Talfiq – Maszlee Malek
6. La Tahzan – Dr Aidh Abdullah Al-Qarni


Isteri saya…ziarahlan blog Biostatistik-nye…kot-kot ada beliau postingkan di sana… J

Interlok


Interlok – EDISI PELAJAR, Abdullah Hussain, DBP, 2005 (cetakan awal 1973), RM20
(p/s: Tamat dibaca pada 2.35 am, dinihari 9 Jan 208)

Saya membelek-belek novel ini lama dahulu, ketika menemankan isteri tercinta ke Bangi pada tahun 2007. Sementara isteri menyelesaikan urusannya di bank, saya berlegaran di kedai buku Unikeb. Pantang benar saya jika dapat membelek mana-mana hasil tulisan para Sasterawan Negara. Hari itu, saya terjumpa karya SN Abdullah Hussein – Interlok. Saya mencapainya dan beriringan dengan itu juga saya mengilik Lamunan Puitis karya SN mapan Pak Shahnon.


SN Abdullah HussAin agak lewat memasuki senarai penulis ‘berat’ yang saya minati. Saya lebih dahulu memesrai novel-novel SN Arena Wati, Pak Samad mahu pun Pak Shahnon. Jika puisi, saya suka kepada puisi Cikgu Masuri SN dan SN Keris Mas yang kini telah pun gemulah. SN Abdullah Hussain mula memukau indera dan kalbu saya lewat garapan novelnya – Masuk Ke Dalam Cahaya – sebuah naskhah novel Islamik yang mempunyai ciri-ciri unik yang memang saya idami selama ini, novel yang saya tuntasi lewat cuti tahun lalu di kampong saya di Lenggong. Sejak itu, saya mulai menyukai karya SN Abdullah Hussain…maaflah agak terlambat!

Interlok adalah kisah tiga rumpun bangsa di Tanah Melayu yang akhirnya membentuk Malaysia – Melayu, Cina dan India. Memasing mempunyai rentetan sejarah yang tersendiri, ada kronologi yang mungkin selama ini tidak pernah pun diketahui oleh generasi terkemudian pasca kemerdekaan.


Ia adalah kisah orang Melayu yang tergadai atau sengaja membiarkan diri menjadi ejen yang menggadaikan maruah bangsa dan negara sendiri. Ia juga memaparkan kisah bangsa Cina yang berkelana merentasi lautan demi lautan dan mendenai daratan demi daratan, jauh meninggalkan Tung San dan Tanah Besar China ke Tanah Melayu. Kisah ketegaran diri, saling mengeksploitasi dan kegigihan yang membuahkan hasil atas jerih yang bukan kepalang – namun masih amat tebal sensitiviti kecinaannya! Juga kisah bangsa India yang sanggup berkelana demi kehidupan yang lebih baik di negeri Melayu ini – dengan harapan dapat membina masa hadapan yang jauh dari belenggu kasta yang mengharamkan sekali pun tersinggung punggung di tanah yang serba miskin itu.


Naskhah ini mempunyai tiga bab bertambah satu bab yang dinamakan Interlok. Pada mulanya saya menyangka ia adalah kisah yang berlainan. Namun mula menyedari akan jalinan yang wujud antara Pak Musa, Cina Panjang dan Tandil Maniam. Seman anak Pak Musa mewarisi harta yang disangka miliknya, namun hakikatnya ia adalah milik Cina Panjang dek kealpaan Pak Musa yang membeli tanah-tanah di kampong Nyiur Chondong sebagai proksi kepada Cing Huat Si Cina Panjang. Setelah kematian Pak Musa, Seman dan ibunya jadi pengemis dan merempat di tanah air sendiri, dihalau begitu sahaja oleh Cina Panjang. Ia menyedarkan saya bahawa upaya mengeksploitasi bangsa Melayu telah lama berlaku sejak sebelum merdeka lagi. Maka tidak peliklah jika hari ini pun masih ramai orang Melayu yang sanggup dipergunakan sewenang-wenangnya oleh orang lain demi keberuntungan yang amat seceleh!


Berlainan halnya dengan si Panjang atau nama asalnya Cing Huat – anak kecil yang sedari awal mengembara meninggalkan Tung San dan Canton membuntuti papanya hingga ke Malaya. Nyaris dijual dan menjadi kuli batak di merata tempat. Merasai getir pahit mencari sesuap nasi dan turut menjadi mangsa eksploitasi bangsa sendiri – Paman Kok Leng. Cing Huat dan papanya Kim Lock adalah lambang ketekunan, keunggulan dan kesungguhan bangsa bermata sepet ini, sedar diri adalah pendatang yang perlu merebut segala peluang mendatang. Cing Huat akhirnya berkahwin dengan anak gadis Cina kelahiran Tanah Melayu yang baginya tidak begitu mengenali hati budi bangsa sendiri berbandingnya dan papanya sendiri hanyut dalam ketagihan candu hingga mati. Mengenali Cing Huat membuatkan saya insaf, hidup adalah terlalu mahal untuk dipersiakan. Namun mengenali si Panjang ini juga menginsafkan saya bahawa, selama ini memang benarlah golongan Cina seperti ini memang memandang rendah kepada kaum Melayu yang dipanggil mereka Huan Na – si pemalas!


Begitu jugalah kisah Maniam, yang ditipu hidup-hidup oleh bangsanya sendiri bahkan terus-menerus menjadi mangsa keadaan dek kerana sifat di kalangan bangsanya yang memang suka dengki berdengki. Berbekalkan hasrat mahu mengubah nasib diri dan keluarga, Maniam sanggup meninggalkan isteri tercinta datang ke Malaya. Menjadi buruh di ladang dan sebagainya sebelum terjebak dalam pelbagai kemelut sehingga makan hati dipisahkan dari isteri kerana fitnah! Namun mengenali Maniam juga menyerlahkan sikap kenang budi yang begitu tinggi sehingga layak menobatkan dirinya sebagai lambang satu bangsa yang punyai sifat terpuji, iaitu sedar diri dan tahu menghargai!


Walau bagaimanapun, ada semacam tautan halus yang menyedarkan saya bahawa ketiga-tiga bangsa ini sebenarnya saling memerlukan. Ia dijelmakan lewat akhir-akhir plot penceritaan, khasnya saat Tanah Melayu di dalam kancah peperangan Dunia Kedua, juga bagaimana bergelutnya anak Melayu mengejar kemerdekaan dan ia memerlukan dokongan semua pihak.


Tidak rugi rasanya menghabiskan naskhah yang telah diringankan ini. Ia adalah wadah buat kita memahami struktur awal bangsa-bangsa di Malaysia dan menilai sendiri kedudukan kita hari ini, adakah sudah jauh berubah ataupun masih memiliki mentaliti sama seperti dahulu yang sampai bila-bila sukar diubah – khasnya orang Melayu!

Khamis, Januari 24, 2008

Thaipusam: Cuti Umum KL & Wilayah

Hindraf pernah menggemparkan negara dengan tuntutan dan tuduhan ekstrimnya. Hindraf bukan sekadar tuntutan kaum India kerana ia diasaskan atas nama agama : Hindu! Biar pun kononnya ia diasaskan demi menuntut keadilan terhadap penjajahan British ratusan tahun dahulu, namun ia tetap meninggalkan kesan kepada negara khususnya pemerintah.

Sedari awal saya sudah menerka ada maksud tersirat di sebalik usaha drastik perkumpulan ini. Mereka melempar batu kononnya untuk menjatuhkan buah mempelam di atas pokok sedang di atas pokok itu ada beberapa ekor burung sedang bertenggek…buah tidak jatuh burung yang tergeletak…kan cerdik namanya tu!

Saya tidak dapat menolak rasa prejudis dalam hal ini, kerana jelas mereka mendesak sesuatu dan kemudiannya seperti disambut pula oleh sang kerajaan…buktinya Hindraf mendapat publisiti besar-besaran menerusi media massa berbanding gerak kerja Bersih yang mendesak pilihanraya adil dan bebas sebelum itu yang amat sunyi sepi dari publisiti!

Akhirnya, siapa menyangka Wilayah KL dan putrajaya merasa cuti umum ini? Nah, ini adalah salah satu kejayaan Hindraf saya fikir…mungkin ada lagi kejayaan-kejayaan lain bakal menyusul, sementelah aura pilihanraya umum juga kian beruwap kala ini…wallahua’lam!

Isnin, Disember 10, 2007

Jom Heboh @ Jom Leboh…


Siri terakhir program di atas diadakan di Shah Alam. Pelik, setahu saya Selangor kononnya tidak begitu merestui acara ini diadakan di bandar raya mereka yang menurut sesetengah pihak adalah Bandaraya Melayu-Islam terbesar di Malaysia. Saya pergi kerana ditugaskan, jika tidak lebih baik saya layan anak isteri di rumah dari ke program yang lebih banyak memeningkan itu…

Saya pusing-pusing juga sekitar tapak program, kot-kot ada gerai buku. Kata orang muda, hampeh…bayangnya pun tak ada. Yang banyak ialah segala macam kedai hiburan, artis bersepah di sana sini, kecoh dan kepoh sampai dah tak hirau soal aurat, tidak perduli waktu solat!

Hampir atau lebih 90% pengunjung program ini ialah orang Melayu. Memang jelas, orang Melayu adalah pencandu hiburan. Hidup mereka boleh jadi seperti ayam berak kapur jika tiada hiburan. Sudah muak agaknya dengan segala hiburan di rumah, maka mereka heret anak bini untuk berhibur pula di luar rumah. Manalah tahu, ada rezeki dapat bersalam dan bergambar dengan artis kesayangan.

Saya ragu dan amat was-was, benarkah bangsa Melayu khususnya mereka yang tinggal di Selangor ini mampu membina wawasan masa hadapan yang gemilang dan paling aula 'syariah compliance'? Sementelah Selangor amat bangga dan acap benar memalu gendang bahawa ia adalah negeri maju pertama di Malaysia. Bahkan Shah Alam berhasrat menjadi bandar raya mapan dan bestari (sayang, ejaan mampan yang digunapakai pun salah, ia ditulis MAMPAN…sebenarnya MAPAN).

Sayang 1000 kali sayang, umat Melayu – Islam tidak habis-habis disogok dengan hiburan lagha. Akhirnya, artislah yang menjadi model anak-anak. Hiburanlah yang mencanai pemikiran. Akhirnya anak-anak muda jadi malas berfikir, suka bersantai dan penidur dalam mendominasi kebangkitan Islam.

Kita sepatutnya menyuntik kesedaran kepada anak-anak muda Islam. Mereka harus sedar segala racun dan tuba yang boleh memabuk dan menghanyutkan mereka, ia banyak sekali mengelilingi mereka kini. Mereka wajib bingkas dan berkerja untuk Islam. Tidak cukupkah kita melihat betapa umat Islam di Palestin, di Iraq bahkan di Selatan Thai yang menjadi pelarian dan hamba tebusan di tanah air sendiri.

Akhir zaman ini, memang nabi sebut betapa umat Islam ramai tetapi bak buih yang tiada ketahanan. Namun, itu bukan alasan untuk kita memeluk tubuh membiarkan segala. Kita wajib menjaga diri dan keluarga dari api neraka, kerana itulah perintah Allah SWT. Caranya bagaimana, maka kita kena kembali kepada Islam yang sebenar, bukan Islam topengan atau Islam yang ditokok tambah dengan pelbagai hiasan duniawi. Dakwah dan jihad wajib dipacu. Jika tidak, kita juga akan disoal Allah SWT di akhirat kelak, wallahua’lam!

Khamis, November 29, 2007

DBP: Beranilah menongkah zaman



DBP adalah badan unggul yang diwujudkan demi lestarinya bahasa dan sastera Melayu. Saya amat menghormati institusi ini dek peranannya yang begitu besar. Sejak sekolah rendah saya lebih dahulu kenal logo DBP dan sehingga sudah dewasa kini pun saya suka dengan logo itu, ada semacam unsur sentimental yang mengaitkan logo DBP dengan wibawanya sebagai payung bahasa dan sastera bangsa Melayu.

Semasa musim persekolahan menengah, saya menjadikan majalah-majalah keluaran DBP sebagai teman rapat. Dewan Siswa (DS), Dewan Masyarakat (DM) termasuklah Dewan Budaya, Dewan Bahasa dan Dewan Sastera...kemudian terbit pula Dewan Ekonomi dan Dewan Kosmik. Dewan Pelajar ada juga sekali sekala saya beli untuk adik-adik yang baru bertatih belajar di sekolah rendah.

Kala itu, sentuhan dan kupasan oleh DS dan DM amat bernas sekali. Hingga kini saya masih ingat betapa lunaknya perbahasan oleh Hassan Ahmad (Kaca di jendela), Shamsul Amri Baharuddin (akhirnya jadi cikgu saya di UKM), Zaini Ujang (sekarang sudah menjabat kedekanan di UTM) dan ramai lagi.

Saya telusuri idea yang dilontar dan rasa diri membugar dengan kematangan. Saya tuangkan segala input yang saya cicip dari pembacaan yang tekun itu ke dalam karangan-karangan saya di sekolah, dan ramai guru bahasa saya amat berpuas hati. “Ada isi”, katanya. Namun, pernah juga saya berdebat dengan seorang cikgu bahasa yang saya yakini ‘kurang membaca’ apabila beliau menyanggah penggunaan bahasa saya. Kata saya (ingat-ingat lupa) kala itu “Cikgu patut baca Dewan Masyarakat atau Dewan Bahasa ataupun buka Kamus Dewan.” Tapi saya tak tahu adakah dia sedari kesilapannya sehingga kini, kerana ketika itu sehinggalah saya tamat sekolah tiada sekali pun kalimah “awak betul” dan “minta maaf” terpacul dari mulutnya…manakan saya tidak bengang, karangan saya didakwat-merahkan olehnya!

Kini saya sudah hilang sedikit minat untuk meladeni majalah-majalah ini. Entahlah mengapa, mungkinkah kerana sentuhannya sudah hilang bisa? Namun semalam saya singgah sebentar di sebuah stesen minyak, seusai solat maghrib dan mengelewar sebentar di dalam premis itu…oh ada rak buku dan majalah. Saya lihat ada majalah-majalah keluaran DBP dan saya belek-belek…oh rupanya, ruangan Hassan Ahmad (Kaca di jendela masih ada)…terus saya membelinya.

Saya hanya berharap, bak kata mantan Ketua Pengarah DBP itu dalam tulisannya di Berita Harian (Surat, Rabu, 28 Nov 2007) - “Saya ingin mengingatkan pihak pimpinan DBP supaya mengendalikan badan yang penting ini dengan lebih CEKAP berdasarkan pertimbangan dan WIBAWA ilmu dan lebih BERANI dan tidak takut ditegur dan dimarah oleh pemimpin POLITIK mereka.”

DBP, jadilah anda pemberani yang menakutkan mereka yang bebal tentang bahasa, merosakkan bahasa dan meminggirkan bahasa dan sastera kita!

Rabu, November 21, 2007

Ambil pengalaman orang buat perangsang



Saya mula-mula mengenali Jeniri Amir semasa mengikuti Seminar Pecinta Buku yang pertama pada tahun 2006. Orangnya kecil sahaja tetapi lincah berkata-kata dan tak reti duduk diam. Semasa mendengar ceramahnya, kita rasa tiada masa untuk lalai seminit pun. Dia pandai menarik perhatian audiens.

Kali kedua saya ketemu beliau ialah semasa mengikut Bengkel Penulisan di IKIM.FM tahun 2006 juga. Beliau membentangkan kertas mengenai ‘menulis bagi mendapatkan pendapatan’. Sungguh bertenaga persembahan beliau, antara yang saya ingat, seorang penulis kena cari alasan untuk menulis bukan sebaliknya dan penulis MESTI hantu membaca!

Hari ini saya terjumpa satu artikel, bukan tulisan beliau tetapi mengenai beliau. Ikutilah sedutan tulisan tersebut yang ditulis olhe Roosfa Hashim, dari UKM.

“Jeniri Amir, penulis prolifik dari Sarawak antara sejumlah kecil penulis yang selalu bersedia berkongsi pengalaman peribadinya menulis dan hidup selesa sebagai penulis. Dalam masa dua puluh tahun, Jeniri telah menulis hampir seratus judul buku dan beratus-ratus rencana untuk akhbar dan majalah. Beliau diberi anugerah dalam kategori penulis Malaysia paling prolifik melalui Anugerah Buku Malaysia 2005, selain mendapat hadiah dalam Anugerah Buku Unimas 2007.

Mengenali Jeniri dengan lebih rapat, bekas guru, wartawan dan kini pensyarah bidang komunikasi di Universiti Malaysia Sarawak ini memang rajin menulis dan mendapat banyak wang dengan menulis. Beliau ‘gila’ membeli buku. Pejabatnya di Unimas cuma tinggal ruang kecil untuk pelajar datang mendapatkan nasihat dan rundingan. Di rumah dua tingkatnya, di Kampung Pinang Jawa, Petrajaya juga ada sebuah kamar besar yang sarat dengan buku.

Melihat keadaan rumahnya, kenderaan yang dipandunya dan cara hidupnya, dapatlah disimpulkan Jeniri memang buat duit dengan menulis buku, atau menghabiskan duit dengan membeli buku.

Jeniri menghabiskan hari-hari cutinya dengan menulis. “Nilai baki cuti tahunan kalau ditukar dengan wang selepas bersara tidak sebesar mana pun, lebih baik digunakan untuk menulis, pulangannya lebih besar bukan sahaja kepada penulis tetapi besar juga manfaatnya kepada pembaca,” jelas Jeniri bagaimana beliau memanipulasi cuti rehat tahunannya untuk menulis”

(Utusan M'sia, 21 Nov 2007, hal. 11)

Selasa, November 20, 2007

Mengarang…susah sangatkah?

Saya ada beberapa orang kenalan (sama ada rapat atau sekadar kenalan biasa) yang memang suka membaca. Ada di antara mereka yang apabila berbual, memang nampak luas ilmu pengetahuannya. Itu maknanya dia memang kuat membaca. Salah seorang kawan saya, selalu membayangkan untuk menjadi penulis. Dia selalu menceritakan, betapa penulis Barat jadi kaya raya hanya dengan menulis…J K Rowling lah (Harry Potter), J R R Tolkien (Lord Of The Ring) dan entah siapa-siapa lagi…ramai yang dibariskannya.

Saya sarankan kepada dia, agar mula menulis. Sementelah saya tahu nature kerjanya yang kekadang banyak rehat dari sibuk. Sayangnya, setiap kali saya singgah ke pejabatnya…dia asyik sibuk melayari pelbagai halaman di internet. Saya katakan: “Jika hang nak menulis kenalah mula dari sekarang. Jika tidak sampai bila-bila pun hang tak akan mula…”

Begitulah. Tabiat manusia selalunya suka menangguh. Pepatah rangtua mengatakan, di mana ada kesungguhan maka di situ ada jalan. Hendak seribu daya tiada hendak seribu dalih tercipta. Maka, janganlah kita mencipta seribu alasan sedang orang lain mencipta seribu peluang…inilah lebih kurang bicara Dr Fadzilah Kamsah pakar motivasi kita.

Memang diakui, menulis perlukan bakat. Tapi percayalah, pra-syarat utama sebelum menulis mestilah membaca. Saya dahulu suka menulis, kemudian pernah satu period saya jadi malas membaca. Majalah berat saya tinggalkan, akhbar pula sekadar pandang-pandang…akhirnya saya dapat rasai minda saya berkarat dan jadi tumpul. Apabila mula mengarang, idea susah hendak muncul. Akhirnya saya jadi bosan menulis dan bakat yang ada pun kian terhakis. Maka, moralnya bakat sahaja tidak cukup jika tidak diasah dengan pembacaan.

Di samping itu, benar kata SN Shahnon Ahmad, pengalaman hidup jadi inspirasi berharga buat seseorang berkarya. Pengalaman beliau tentu sahaja tidak sama dengan kita. Perbezaan itulah rahsianya, itulah modal kita. Saya pernah mengarang cerpen Opah yang tersiar dalam majalah Anis tahun 1997, dan kisah itu adalah pengalaman sebenar saya. Saya karang lagi cerpen Juweeta dan tersiar dalam majalah Muslimah tahun 2000 dan itu juga kisah benar saya semasa di alam kampus. Manakala cerpen Mujahideen yang tersiar di Anis tahun 2001 adalah garapan semasa saya mewakafkan diri di program tafaquh fid deen di Madrasah An-Nuriah, Melaka. Maknanya, pengalaman mencetuskan ilham yang merangsang indera lalu lahirlah karya.

Nah! Bukan susah mengarang. Ramadan lalu, saya tersentuh dengan senario masjid yang agak kurang mesra pengguna lalu keluarlah artikel ‘Mesrakah Masjid Kita Dengan Kanak-kanak?’ dan ia tersiar di ruangan Rencana Utusan Malaysia. Saya sendiri terkejut, dengan sekali hantar ia terus keluar. Apabila keluar sahaja artikel, itulah kepuasan yang saya perolehi. Wang bukan ukurannya kerana bukan senang sebuah rencana untuk disiarkan, apatah lagi dalam akhbar perdana seperti itu.

Moralnya, setiap orang mampu mengarang. Bak tajuk filem ‘Jangan pandang belakang’, seorang pengarang pun kena bersikap sedemikian. Pandanglah ke hadapan, duduklah di hadapan komputer dan ketuklah papan kekunci anda…ciptalah ayat, binalah plotnya dan mainkanlah watak-wataknya atau fikirkanlah tema yang mengesankan pembaca…selamat mengarang!

Isnin, November 19, 2007

Tok Angkat Sudah Tiada...

Semalam saya menerima SMS..."Tok Bakar dari Banggol Belimbing meninggal dunia maghrib tadi..." - Innalillahiwainna ilaihirojiun...al-fatehah.

Ya, itulah tok angkat saya. Tok yang saya kenali dalam masa yang tidak begitu lama tapi meninggalkan kesan mendalam di jiwa. Hadirnya tok Bakar bagaikan memberikan dasar kepada saya, iaitu dasar dalam pegangan beragama.
Masih basah di lipatan memori, Tok Bakar memboncengkan saya di belakang motornya dan kami sama-sama mengelek kitab kuning menadah ilmu dari masjid ke masjid dari surau ke surau. Saya pada asalnya rasa tertarik dengan beliau kerana sering melihat Tok Bakar menanti kehadiran kereta atau van untuk ke majlis ilmu di hadapan rumahnya. Saya singgah bertanya dan dengan senang hati mempelawa saya mengikutnya. Maka, bermulalah episod saya dan Tok Bakar dalam mencari sebaris ilmu...bersama.
Semasa itu, saya sedang bergelut untuk menduduki STPM. Opah dan alang awalnya bimbang andai saya gagal dalam peperiksaan kerana kerap keluar setiap maghrib bersama Tok Bakar. Kata mereka, tanggung jawab dan kondisi saya dan Tok Bakar berbeza. Beliau adalah polis pencen sedang saya masih belajar. Saya nyatakan, tidak mengapa, bahkan saya lebih suka cara begitu. Ada ketenangan dalam jiwa dan ada kekuatan seni yang sentiasa membara. Maklumlah, saban malam meneleku di lantai surau dan masjid menghadap Tok Guru yang ikhlas dan tawadhu', pasti sahaja auranya turut meresap ke dalam diri kita...itulah andaian saya.
Akhirnya, benar...saya cemerlang juga dalam STPM dan dengan mudah diterima memasuki IPTA. Semasa itu semua orang buka mata bahawa tiada ruginya saya mengekori Tok Bakar saban malam. Apa yang penting ialah kebijaksanaan dalam mengatur kehidupan, ada masa untuk bersukan, belajar dan menadah kitab. Jangan diabaikan dengan pelbagai alasan...saya sudah pun membuktikannya.
Apabila ke universiti, Tok Bakar sudah tiada teman membonceng motorsikalnya lagi. Saya masih ingat benar, bila pulang cuti semester Tok Bakar ceria menceritakan keadaan dirinya. Kata beliau, ramai orang bertanya..."Mana cucu tok?" Kata beliau: "Cucu aku pergi belajar dengan Dr Harun Din..." Begitulah jawapan santai Tok Bakar yang saya hidu ada rasa kekaguman di situ...cucunya pandai sebab itulah dapat masuk U!
Sebenarnya Tok Bakar ada kisah tersendiri. Semasa beliau muda belia, beliau adalah polis yang memang digeruni. Ingat lagi kata beliau: "Dulu tok garang...bila ada sekatan jalan orang takut dengan tok, tak sangka dah pencen ni tok pula takut denga orang tu...sebabnya orang itu dah jadi tok guru tok!" Ya, orang itu ialah Aruah Tok Fakih Siddiq yang kami sama-sama tadah kitab itulah.
Tok Bakar juga meninggalkan kesan mendalam dalam jiwa saya kerana berkat endorsementnyalah, maka urusan perhubungan saya dengan isteri berjalan dengan amat-amat baik. Panjang ceritanya...namun ia amat mengesankan. Tanpa saya sangka, Tok Bakar itu benar-benar mempunyai talian kekeluargaan dengan keluarga sebelah isteri saya, lantaran hubungan baik dengan Tok Bakar itulah akhirnya mereka dengan mudah meyakini saya untuk menjadi sebahagian dari ahli keluarga mereka. Saya tersenyum tatkala anak Tok Bakar yang saya panggil kakak mengatakan: "Akhirnya kamu benar-benar jadi cucu tok..."
Tok Bakar, semoga roh tok dirahmati Allah. Semoga tok aman di alam barzakh. Jasa tok amat banyak, sekurang tidaknya mengertikan kehidupan sebenar kepada saya, kenal siapa kawan siapa lawan. Semoga Allah menyayangi tok sebagaimana tok pernah menyayangi saya...amin.

Jumaat, November 16, 2007

SN Shahnon Ahmad: Legasi Bangsa dan Agama

Seminar Pemikiran Sasterawan Negara (SN) Shahnon Ahmad diadakan di DBP pada 13 - 14 Nov. Teruja hati mahu mengikutinya, sementelah SN Pak Shahnon adalah idola saya. Malangnya ia diadakan pada waktu berkerja dan hasrat itu terbantut begitu sahaja (cuti hampir habis dan saya terpaksa memperuntukkannya demi hal-hal mengejut luar jangka).

Sekolah pemikiran Pak Shahnon memang berbeza dengan lain-lain Sasterawan Negara. Kenapa? Saya berpandangan begitu kerana beliau sering menghasilkan karya yang mencabar daya fikir. Bagi saya, karya beliau memang kaya intelek. Ia membumi sifatnya dan tidak seperti di kayangan. Apa yang dipaparkan adalah realiti dan unsur figuratif amat kurang. Beliau bersifat jujur dan telus, walaupun tidak sedikit merengus menahan sakit dicucuk mata penanya.
Banyak karya beliau yang membedah ketembelangan manusia - khususnya golongan atasan, tiada mengira sama ada elit pemerintah, juak pentadbir mahu pun masyarakat marhaen. Saya tidak berkesempatan mengikuti keseluruhan karya beliau, tetapi saya sempat menekuri beberapa naskhah seperti Tok Guru, Umi dan Abang Syeikhul, Debu Merah (antologi cerpen), Detik-detik Diri Di Daerah Daif, Lamunan Puitis (masih menekuninya), Shit, Perjalananku Sejauh Ini: Sebuah Autobiografi, Setitis Embun Semarak Api dan entahlah...mungkin ada beberapa naskhah lagi.

Saya terkesan tatkala Pak Shahnon jujur mengakui, beliau terpaksa akur dengan arus sastera lewat 1950-an sehingga 1960-an yang sentiasa peka dengan kemelut masyarakat marhaen khasnya bangsa Melayu dan lantang mengkritik golongan birokrat yang terlalu meremehkan setiap sesuatu. Saya sempat mengingat, betapa di dalam cerpen Borang G. 47 beliau membayangkan kemelut dan karenah birokrasi yang menyusahkan...bahkan kata beliau, elok segala birokrasi itu dinyahkan sahaja!

Kini, Pak Shahnon bagai teronggong sendirian dalam meniti usia di penghujung senja. Banggul Derdap masih membugar dalam mindanya walau kini kata beliau, sungai sudah mati dan gunung-ganang yang memagari tanah kesayangannya sudah lunyai dilantak jentera bermata besi.

Alangkah...alangkah besarnya jasa Pak Shahnon kepada kesusasteraan bangsa. Sayang saya tidak sempat berguru dengan beliau, mujurlah saya sempat juga menemuinya beberapa kali secara live. Memang, beliau ialah tipa manusia yang merendah diri, tidak mahu dipuji-puji dan amat telus dalam memberikan pandangan walau ia kadang kala pahit menikam hati.

Tepatlah pemilihan panel penilai lebih 20 tahun lalu apabila menobatkan Pak Shahnon sebagai Sasterawan Negara Ke Dua (1982) selepas Allahyarham SN Keris Mas (Kamaluddin Muhammad).