Rabu, Julai 18, 2007

PESTA BUKU SELANGOR


Pesta Buku Selangor 2007 akan diadakan pada 26 Julai - 1 Ogos 2007 bertempat di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Shah Alam. Pesta ini merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor dan Jabatan Pelajaran Selangor.Pesta Buku Selangor 2007 juga mendapat kerjasama daripada PSPN Selangor, Kumpulan Utusan dan disokong oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) serta Majlis Buku Kanak-Kanak dan Remaja Malaysia (MBBY). Pesta selama seminggu ini akan memberi peluang kepada para pencinta buku di Lembah Klang untuk mendapatkan bahan-bahan bacaan untuk seisi keluarga. Beberapa aktiviti berkaitan buku dan bacaan akan dianjurkan sepanjang pesta ini. Jangan lupa temu janji anda untuk mengunjungi Pesta Buku Selangor 2007 ini. Jumpa di sana!



-Dipetik dari Blog Pencinta Buku

Ada Apa Dengan Usrah?


Usrah bukan benda baru dalam kamus hidup saya. Seingat saya, perkataan ini mula 'tubit' (muncul) dalam kehidupan ini seputar saya di usia 15 tahun. Saya menumpang sebuah usrah muslimat yang naqibnya adalah guru sains kami, Cikgu Alias namanya. Tika itu, tidak silap saya sudah ada tiga orang anak usrah tidak termasuk saya, seorang bernama Fesah Anisa dan seorang lagi Harmila. Seorang lagi saya sudah tak ingat siapa. Seorang lagi guru menjadi naqib kami ialah Cikgu Johar, guru lukisan yang sangat cantik hasil tangannya.

Sebelum berjinak-jinak dengan usrah, saya mula mengenali Islam sebagai agama yang syumul melalui Jama’ah Tabligh. Kisahnya agak lucu. Ringkasnya beginilah…semasa tingkatan satu, saya mendapat tawaran ke Sekolah Menengah King Edward VII, taiping dalam Rancangan Khas. Dewasa itu, pengaruh muzik rock begitu berleluasa.

Di Taipinglah saya mengalami kejutan budaya. Saya amat meminati rock, saya hafal nama-nama kumpulannya di dalam dan luar negeri. Saya tampal poster rock dalam locker di asrama dan bila ada spot check, selalu saya kena tegur dengan senior. Saya selalu kena buli dengan geng-geng senior yang tak gemarkan junior macam saya berpewatakan rockers…mereka gelar saya rocker kampung, walhal mereka pun orang kampung juga…piiidah!

Saya tetas dan kecilkan kaki seluar sekolah dan semua seluar lain termasuk seluar baju Melayu. Punya kecil sampai nak masukkan kaki kena duduk dan tarik kuat-kuat. Jika seluar sekolah, cuttingnya pun ada gaya tersendiri. Poketnya tidak memanjang melainkan melintang macam seluar jeans. Seluar itu pula bila dipakai kenalah di bawah pusat, biar londeh baru rugged. Kami kenakan tali pinggang kulit yang berkepala besi (buckle), dengan tulisan LEE atau sebagainya.

Beg sekolah juga mesti ada pengaruh rock. Saya beli beg Iron Maiden yang bergambar robot dan tengkorak dan entah apa-apa ntah! Jika keluar pekan Taiping hujung minggu, kami bergerombolan. Kami suka meninjau-ninjau bazaar di Taiping, naik turun super market, layan ais kacang, usha awek (MRSM dan Sek Sains Taiping) dan lepak kat Taman Tasik Taiping. Ada duit lebih, sambarlah baju yang nampak daring dengan identity rockernya, ada gambar bulan Jepun siap dengan tulisannya lagi. Belek-beleklah kaset rock yang punya berlambak di pasaran…nak beli tak mampu lagi.
Semasa di tingkatan dua, saya mula disapa bayu hidayah. Saya masih didera dan dibuli oleh para senior yang sampai sekarang saya masih tidak dapat lupa wajah hampeh mereka! Tak tahulah, jika tetiba saya menjadi bos mereka di ofis…nahaslah! Saya akan belasah mereka cukup-cukup… (SAMBUNG DAA…!)

Selasa, Julai 17, 2007

BAHASA OH BAHASA!


Di dalam dunia ini, selalunya orang berbangga dengan bahasa mereka. Jepun yang kalah perang dunia ke-2 itu berbangga dengan bahasa ibunda dan tulisan kanjinya. Saya punya ramai sahabat yang berkerja di Kilang Kereta Perodua. Raya puasa tahun lepas, saya hadir ke rumah terbuka salah seorang sahabat saya di Sg. Choh. Saya lihat ada sekelompok manusia bermata sepet dan saya agak mereka orang Jepun.
Apabila sahabat saya itu mahu mengajak mereka makan dan berbual-bual, sahabat saya pula terpaksa menggunakan bahasa Jepun. Saya lihat dan sedikit bangga dengan sahabat saya, kerana dia mampu berbahasa Jepun. Tapi saya rasa, bangga lagi si Jepun itu, kerana dia datang ke tempat orang dan orang di tempat itu yang terpaksa menggunakan bahasa Jepun untuk bertanya itu dan ini dengannya!

Isteri saya memberitahu, seorang rakan pensyarahnya menyiapkan ijazah doktor falsafahnya di Jerman. Jerman pun alah dalam Perang Dunia Ke-2. Dalam filem perang tajaan Amerika, askar Jerman selalu kantoi...tapi tidak dalam bab bahasa. Mereka memandang rendah kepada pelajar asing yang menggunakan bahasa Inggeris dalam urusan pembelajaran. Ironisnya, mereka amat memandang tinggi jika pelajar asing itu dapat menuturkan bahasa Jerman. Itulah kebanggaan mereka dengan bahasa ibunda mereka.

Orang Arab memang lembik hari ini. Selepas Saddam mati di tali gantung, maruah bangsa Arab menjunam macam saham selepas New York kena serang 11 September 2001. Tapi, bangsa Arab masih mengekalkan bahasa mereka. Jika kita pergi ke Timur Tengah, mereka amat mencintai bahasa.
Buktinya, mereka banyak menerbitkan buku atau kitab yang menggunakan bahasa Arab. Gedung ilmu mereka amat luas dibandingkan dengan apa yang mampu bahasa kita sediakan. Hari ini pun, semasa saya mengaji di universiti dahulu, saya terpaksa juga menggunakan sedikit-sebanyak bahasa Arab dengan mereka. Tapi ada lebih menarik, Harian Metro (30 Jan 2007) melaporkan orang Arab di Arab Saudi terpaksa belajar bahasa Melayu Indonesia demi memudahkan urusan harian mereka dengan para pembantu rumah Indonesia itu.

Di Singapura, biar pun tercatat dalam perlembagaan negara itu bahasa kebangsaannya ialah Bahasa Melayu, namun dengan kapasiti rakyatnya lebih 70% bangsa Cina, maka mereka mendaulatkan Bahasa Cina. Lee Kuan Yew Menteri Mentor Singapura menegaskan, generasi muda Singapura mesti menguasai bahasa ibunda. Bahasa apa lagi jika bukan Bahasa Cina (rujuk Harian Metro, 16 Julai 2007).

Tapi di Malaysia, pemimpin Melayu menyeru rakyatnya menukar bahasa. Mula-mula ubah pengajaran Sains dan Matematik dari Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris, kini ubah nama Bahasa Melayu ke Bahasa Malaysia. Politeknik dah isytihar akan gunakan sepenuhnya Bahasa Inggeris dalam pembelajarannya bermula 2008. Di mahkamah masih menggunakan Bahasa Inggeris sehinggakan perlu kepada penterjemah, walhal negara ini kononnya sudah merdeka 50 tahun! Iklan di media massa sudah semakin berani menggunakan Bahasa Inggeris secara terbuka. Di TV makin banyak rancangan yang mencampur adukkan bahasa Melayu dan Inggeris, caca marba jadinya…

Itulah dia nasib Bahasa Melayu di bumi yang pernah berdiri seorang lelaki dengan keris terhunus sambil mengatakan…Tidakkan Melayu hilang di dunia! Rupa-rupanya, Melayu memang tidak hilang di bumi ini, melainkan mereka makin lupa daratan, makin geli dengan bahasa yang kononnya tidak melambangkan kemajuan dan bahasa yang konotasi pengamalannya gagal membawa kepada PERPADUAN!

Rabu, Julai 11, 2007

Bahasa Melayu Pada Sisi Mata Pejuang Bangsanya


Membaca tulisan Dato’ Dr Hassan Ahmad (mantan ke-5 Ketua Pengarah DBP) amat mengesankan mengenai nasib Bahasa Melayu di negara ini. Saya memang mengikuti tulisan beliau sejak lama dahulu, sejak di tingkatan lima lagi. Antara lain, beliau menyatakan…jangan sampai nasib Bahasa Melayu di Malaysia sama seperti di Singapura. Rupa-rupanya, bahasa kebangsaan Kota Singa itu juga ialah Bahasa Melayu…namun rasanya, andai kita bertanya kepada generasi muda mereka, saya yakin mereka sendiri mungkin kabur atau jahil mengenainya…

Bahasa Melayu di negara ini kian terhakis. Sama ada mahu diyakini atau disangkal, senario semasa membuktikannya. Jika sewaktu kecil-kecil dahulu, boleh dikatakan Kedai Kopi Cina di Pekang Lenggong akan menggunakan dua atau tiga jenis tulisan, iaitu tulisan rumi, tulisan jawi dan tulisan cina. Tetapi kini, tulisan jawi sudah lama tenggelam, tulisan rumi pun sudah berbalam dan yang nampak kian terjongol dan tercokoh sekarang ini ialah bahasa Inggeris (yang kononnya dihambat dan dihalau balik ke negeri mereka oleh para pejuang kemerdekaan) dan juga bahasa cina…

Saya selalu merungut dengan saing-saing di pejabat, apa mahu jadi kepada Bahasa Melayu. Masalah bahasa ini hanya satu pada pandangan saya, iaitu KEHENDAK! Siapa yang tidak berkehendak itu…jawapannya ialah para penggubal dasar negara. Contoh enteng, apa kena mengena bahasa dengan intergrasi kaum sehingga memaksakan Bahasa Melayu di ubah kepada Bahasa Malaysia!

Saya malas mahu mengulang-ulang pendapat para sarjana bahasa. Mereka telah mengemukakan pelbagai fakta dan hujah termasuklah dari aspek perlembagaan yang menafikan hujah dangkal para politikus negara itu…tetapi, siapalah mereka berbanding para menteri? Pak menteri punya kuasa untuk mengubah dan menambah…maka tambahlah, ubahlah!

Saya hanya menangis mengenangkan nasib bahasa ini menjelang 30 tahun akan datang. Sedangkan hari ini, ketika mana masih ramai pejuang bahasa bersiponggang mempertahankan maruah bahasa, sudah kedengaran sesetengah korporat meletakkan pra-syarat mahir berkomunikasi Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin satu kelebihan…maka bayangkanlah 30 atau 50 tahun akan datang…

Benarlah kata pujangga…tidak kenal maka tidak cinta…saya yakin, para politikus khususnya para menteri hari ini JAHIL bahasa. Mereka hanya tahu berpolitik demi KUASA. Mereka hanya pandai berpura-pura menyayangi bahasa dengan meletakkan asas perjuangan mereka atas nama BANGSA. Mereka nampak CINTA bahasa bila bangsa mereka MELAYU. Hakikatnya, merekalah PEROSAK bahasa itu!

Isnin, Julai 09, 2007

PENGUMUMAN...

KINI SAYA AKTIFKAN KEMBALI BLOG ABI-UMI.BLOGSPOT.COM (AL-ABI-YUN) YANG MEMUATKAN ARTIKEL YANG PERNAH TERSIAR DI BEBERAPA MAJALAH. JEMPUTLAH JENGAH KE SANA!

Kisah Nenek dan Empat Cucu


Catatan awal monolog diri…kisah benar yang kini sedang terjadi…

Mutakhir ini, saya sering keluar melewati daerah-daerah di negeri Selangor... Saya bawa wartawan dari media sekali. Kami menjejaki golongan susah yang kini merupakan penerima bantuan zakat. Kami jejaki mereka walaupun sukar. Kami rentasi perjalanan berpuluh malah ratusan kilo meter juga. Kami keluar pagi dan balik petang. Banyak kisah yang boleh dikongsi bersama. Banyak iktibar yang boleh dijadikan panduan. Banyak pengajaran sebagai pedoman. Betapa, menginjak ke usia emas adalah satu cabaran.

Lalu, kisah ini kupamerkan pada kita semua, supaya kita sedar…bukannya mudah menjadi warga tua…Ini kisah yang berlaku di Gombak, di sebuah kampung pinggiran Kuala Lumpur…kisah tragis yang hampir-hampir membuatkan aku menangis!

Bayangkan jika usia anda kini memberi salam kepada angka 80. Ketika itu, anda melihat jendela usia anda makin terkatup. Cahaya suria makin suram menyimbahkan auranya ke dalam kamar hidup anda. Anda tahu, esok lusa mungkin malaikat Izrail datang memberi salam dengan satu tugasan. Anda tahu bahawa anda tidak mampu menongkat langit dan merengkuh bumi atau mengempang lautan. Tetapi, anda juga tahu di kamar sempit yang kian kelam itulah bersimpuh empat cucu yang baru belajar erti hidup.

Cucu-cucu itulah sinar harapan anda yang terus memijar membakar semangat. Anda pula…seorang nenek lelah lagi tua di usia senja. Sedang cucu-cucu itu adalah titipan tanpa restu dari anak yang kini sudah lama menghilang tanpa deria rasa, walau sekadar mengutus sepucuk kartu rindu buat anda. Itulah…seorang anak yang anda besarkan dari kecil tapak kaki sebesar dua jari tangan anda, kini menghilangkan diri tanpa secalit berita. Ditinggalkannya pula seorang demi seorang anak yang dilahirkannya yang kini berjumlah empat orang semuanya. Ditinggalkannya…tanpa sampul berisi nota RM atau sebiji bakul berisi roti dan jem.

Anda…nenek yang gontai. Setiap pagi pabila mentari makin galak menyimbah cahaya dan jendela anda yang kian terkatup digagahi juga menerimanya, maka nampaklah wajah-wajah mulus, kudus dan comel cucu-cucu yang tidak berdosa. Mereka adalah mangsa di atas kealpaan manusia, bukan orang lain melainkan anak anda sendiri.

Anda…nenek tua yang sedar, tangan anda yang berkedut itulah kini harapan mereka. Andalah ibu, andalah ratu. Cucu-cucu itu sudah tidak kenal lagi wajah seorang mama, yang mungkin sekali-sekala melintas di benak tanpa rupa…ya, kerana anak anda yang juga ibu mereka sudah hampir 10 tahun hilang begitu sahaja.

Lalu, anda gagahi kudrat yang kian memberat. Anda gagahi semangat yang kian menongkat. Anda heret kaki ke mana sahaja, maka dikumpulkan segala yang termampu. Tokeh kedai cina kenal anda…pengumpul kotak terpakai yang setia. Tokeh pasar borong kenal anda…pengumpul sayuran layu dan ikan yang pecah perutnya buat digulai santapan keluarga. Tokeh barangan terpakai kenal anda…seorang nenek pikun yang mengutip tin-tin buruk dan menjualnya dengan nilai yang tidak seberapa!

Semuanya untuk siapa…? Iya, kerana cucu-cucu yang kian membesar. Anda nenek yang relai jiwa apabila menatap sayu mata cucu yang ketandusan bahagia. Anda gontai jiwa mendengar sendu cucu yang hilang punca.

Andalah itu…nenek yang lirih membaitkan puisi…akan kutegarkan semangat sekeras akar gandarusi, sekukuh besi kursani dan seampuh keris Taming Sari. Akan kusiapkan sebuah mahligai kehidupan yang indah untuk kita ladeni bersama…selagi usia nenek dipinjamkan yang Esa!

“Makhluk-makhluk itu tetap akan mati, bukanlah kekal hidup; dan mereka tidak mengetahui bilakah masing-masing akan dibangkitkan (menerima balasan).”

-An-Nahlu: 21

Rabu, Julai 04, 2007

Selamat hari jadi Along!


29 Jun lapan tahun lalu, saya dan isteri begitu berdebar-debar menantikan kelahiran anak pertama kami. Di Pusat Perubatan Ko-Hilal, Taman Melawati itulah, akhirnya menjadi saksi lahirnya anak yang kini sudah berusia lapan tahun. Itulah anak sulong kami Iqbal Hidayat.

Saya masih ingat, ketika isteri saya sarat mengandung itulah kami menziarahi ustaz Bob yang menjadi mentor kami semasa aktif di dalam jamaah di UKM. Beliau menyewa di Sungai Merab, berdekatan Pusat Pengajian Abim.

Saya meminjam kereta sahabat yang ketika itu kami sama-sama bertugas di anak syarikat Harakah. Anis namanya, baik dan murah dengan senyuman. Keretanya pula model lama, Datsun 120-Y putih keluaran tahun 1970-an.

Hakikatnya saya baru memperolehi lesen kereta ketika itu. Itulah pula kali pertama saya memandu dan kebetulan pula untuk jarak yang agak jauh, dari Kuala Lumpur ke Bangi. Dup-dap-dup-dap jantung saya memalu bertalu-talu. Masukkan kunci ke dalam sarangnya, enjin pun hidup. Saya memasukkan gear satu dan tekan pedal minyak…mati! Ulang lagi dan enjin mati lagi! Begitulah…agh…rosak ke kereta ni….getus saya. Ah...rupa-rupanya…saya terlupa menurunkan brek tangan!

Saya memandu berhati-hati kemudiannya. Jalan di Kuala Lumpur biasalah, bukannya seperti di Karai ke Jawang atau di Tampan Air ke Changkat Berangan. Hati-hati saya memulas stereng, biarlah lambat asalkan selamat. Sampai di Plaza Tol Sungai Besi, saya mulai berdebar kembali. Ketika itu, untuk mengambil tiket masuk ke lebuh raya ialah melalui mesin yang mengeluarkan tiket secara automatik.

Saya memberhentikan kereta di hadapan mesin tiket tol dalam keadaan deretan kereta yang bersusun. Saya cuba menghulurkan tangan, ah…tak sampai, angkat lagi badan dan…tiba-tiba kaki kanan saya terangkat dari pedal brek dan kereta pun bergerak ke depan…saya gelabah, cepat-cepat turunkan badan dan kaki membrek cekatan. Dengan suara berbaur kerisauan sedang pemandu kereta di belakang telah pun membunyikan hon…saya meminta isteri yang sarat mengandung ketika itu turun dari kereta dan mengambilkan tiket untuk saya!

Itulah…pengalaman yang melucukan pertama kali memandu. Sampai di Sungai Merab, saya mengambil laluan kampung yang sempit dan agak berliku. Gaya saya memandu jika sekali lihat, semacam orang sudah hebat sangat. Walhal…saya terkial-kial mengelak itu dan ini…hinggalah akhirnya tiba di rumah Ustaz Bob.

Itulah, petangnya kami balik dan kali ini saya lebih bersedia melalui Plaza Tol sekali lagi. Tetapi kali ini, destinasi kami ialah ke Jalan Genting-Klang dan kami mahu singgah sebentar mencari barang-barang baby…isteri teruja mahukan baby court…dan saya terkial-kial memandu melepasi jujusan kereta yang bertali arus dengan simpati yang sedikit untuk melepaskan saya melintasi jalan.

Pulang ke rumah sewa (semasa itu di Kampung Changkat, Gombak, KL) pun menjadi satu cabaran. Kereta perlu melalui lorong kecil dan sempit sepanjang Jalan Kampung Padang Balang hingga tembus ke Taman Melewar sebelum saya melencong ke Kampung Changkat. Jalan itu pula ramai benar penggunanya, jenuh saya mengiring ke kanan menyenget ke kiri. Mujurlah kami sampai selamat ke rumah..

Esoknya…itulah, isteri saya terus terasa sakit nak bersalin…akhirnya lahirlah anak pertama kami…kata isteri saya, mungkin sepanjang perjalanan beliau asyik menahan kecut perut menyebabkan baby dalam perut pun mahu segera keluar…Happy Birthday Along, semoga Along jadi anak sulong yang hebat dan menjadi model kepada adik-adik!

Jumaat, Jun 29, 2007

Gagahkan Meladeni Kehidupan


Hidup dalam alam kedewasaan memang mencabar. Ketika usia masih di takah remaja, kita hanya dibebankan dengan tanggungjawab melangsaikan pelajaran dan peperiksaan. Bermula SRP (kini PMR), usaikan pula SPM dan mungkin menakah lanjut ke undakan STPM ataupun sebagainya.

Sebelum itu, zaman kanak-kanak adalah paling menarik. Mencebur diri ke dalam sungai bersama kawan-kawan, menggedik santai di atas batu besar di pinggir jalan kampung saya, melastik burung murai atau capor kuning di kebun getah atau memangkah gasing batang jambu sambil terkekeh-kekeh melihat gasing kawan relah terbelah!

Begitulah, kala itu emak atau opah selalu membebel tentang pelajaran. Namun hanya secalit cuma melekat di minda, ujian dan peperiksaan dirasakan enteng atau galangan mudah. Tidak nampak ke mana masa hadapan buat penyudah. Yang penting, setiap pagi harus mandi dan bersiap ke sekolah, pulang bergegas menyampakkan beg ke penjuru rumah dan mencari lastik atau pistol panah. Kemudian ke carok, paya, sungai atau ke hutan buat melastik tupai atau menahan lukah.

Kala di universiti, bukan tiada tanggungjawab menanti…ada! Cuma kala itu lebih terjurus kepada kursus yang diladeni. Sibuk dengan urusan persatuan barangkali, memikirkan pilihan raya kampus atau memperluaskan pengaruh demi menang kerusi! Atau sibuk dengan assignment yang pensyarah beri tanpa henti. Sibuk dengan kawan-kawan sekuliah berdiskusi, sibuk dengan kumpulan studi, sibuk dengan itu, sibuk dengan ini. Matlamat hanya satu, pastikan segulung ijazah tergenggam kelak. Jika boleh dapat pointer terbaik, nanti mudah dapat kerja!

Kini, kelaman sudah berubah. Tanggungjawab kian melimpah. Tanggungjawab di rumah dengan isteri dan anak-anak (juga pembantu rumah jika adalah…). Tanggungjawab di tempat kerja dengan kawan-kawan dan bos (yang kadang-kadang cepat marah…). Tanggungjawab di perumahan dengan jiran-jiran yang pelbagai, yang bisu, yang ramah dan yang entah apa-apa ntah…Tanggungjawab dengan organisasi lain, jamaah surau misalnya, persatuanlah dan pelbagai yang lain.

Hakikatnya, hidup ini memang penuh tanggungjawab. Sebab itulah, dahulu masa kecil kita sering lihat emak ayah selalu bisik-bisik, kadangkala emak sedih, kadangkala ayah lirih, kadangkala emak senyum, kadangkala ayah kagum, adakala emak masam, ada masa ayah bungkam! Semuanya, mungkin kerana penatnya merungkai segala masalah, meluweskan segala yang payah.

Ya Allah….berikan kami kekuatan, agar kami tidak kalah dan rebah…amin!

Rabu, Jun 27, 2007

'Wajah Alam Yang Menangis'


(Puisi ini kunukilkan pertama kali di Blog 'Luluhkan Hatiku' pada 27 Jun 2007)


Salam citra tersurat cinta

Terpamer pada wajah alam

Kanvas terciprat warna maya

Tiada kusam namun nyata

Kubawa renta mengulit mimpinya


Di sini kuberdiri

Gontai kaki dan leka minda

Kasmarankah aku pada segala yang sementara?

Tidak, hanya sekadar mengulit rasa

Memesrai wajah indah kurniaan Tuhan

Pada lantunan gebu awan gemawan

Pada lambaian indah pohonan

Pada percikan air dan hujan

Pada bianglala yang berserakan

Aku bisa sahaja melukis

Wajah manis gadis

Atau wajah sedih sadis

Namun biarlah kuabadikan di sini

Wajah alam yang menari

Sambil menangis...


Nukilan Rasa

U-HAH


Ps: "Saya masih belum kesempatan menjejaki karya seni Pak Samad, hanya mampu mengulitinya dari dada akhbar...pasti menarik dan hebatkan?"

Selasa, Jun 26, 2007


Akhil Hayy ditangkap!

Saya terima SMS dari abang ipar semalam dan ada sedikit kejutan. Bukannya apa, seingat saya Ustaz Akhil Hayy sudah jarang berceramah apatah lagi di pentas-pentas politik yang opposisi sifatnya. Oh…rupa-rupanya, beliau di'gari' oleh Penguatkuasa JAIS atas kesalahan memberikan ceramah tanpa tauliah. Mujurlah akhirnya beliau dibebaskan dengan jaminan.

Saya menung sendirian mengenangkan apakah nasib yang bakal melanda muda-mudi hari ini. Untuk mengadakan sesi ceramah agama pun, maka permit dan tauliah adalah benda penting untuk diperolehi. Sudah menjadi adat, setiap yang dipohon tidak semestinya mendapat. Maka, teringat saya betapa di negeri Selangor sudah disediakan senarai panjang para penceramah yang dihitamkan. Mungkin termasuklah si Akhil Hayy…

Namun, di negeri yang dihebahkan berstatus maju ini jugalah banyaknya segala macam kemungkaran. Paling mungkar ialah berdirinya kilang arak yang berdiri megah menabiri Lebuh Raya Persekutuan menghala ke Shah Alam. Itu belum diambil kira betapa banyak lokasi maksiat lain, sama ada yang berlesen mahu pun beroperasi secara haram.

Di dalam khutbah di negeri ini, saya selalu dengar para khatib berdoa agar dijauhkan dari segala bencana, sama ada kemarau panjang, penyakit berjangkit dan banjir besar. Namun, apa yang diminta itulah yang Tuhan berikan. Siapa dapat sangkal banjir besar melanda Shah Alam lalu menenggelamkan rumah dan melautkan taman perumahan.

Di Selangor juga banyak kejadian lain, tanah runtuh dan menggelongsor sesuka hati. Bukan sekadar di Ulu Klang dengan ngerinya peristiwa Highland Tower ataupun hanyutnya rumah dalam lumpur, namun di mana-mana ada sahaja gerak-gempa dan jerubu bila-bila masa. Belum diambil kira masalah lain, ayam disyaki membawa virus selesema burung di Paya Jaras atau masalah muda-mudi yang lebih buruk perangainya dari ayam bapak bila gila nak mengawan dan mengepak!

Itulah negeri Selangor, sebuah negeri yang paling maju di negara ini adanya….wallahua’lam!

Isnin, Jun 25, 2007



Apanya U-HAH itu?

Ada beberapa orang kenalan dan teman menyuakan pertanyaan, apa maknanya U-HAH? Saya membiarkan mereka terusan menerka maksud di sebaliknya. Mungkin ia sekadar nama, iya…seperti mana tegarnya si Faisal Tehrani menyatakan tiada apa-apa makna di sebalik ‘Tehrani’nya itu…walau beliau sering benar disakat oleh suku-sakat yang iri!

Hakikatnya, biarlah U-HAH dengan U-HAHnya. Saya boleh sahaja meletakkan nama…Rasa Sayang misalnya, atau Jiwa Perkasa atau apa-apa sahaja, Sangeetha pun boleh juga, yang penting ada sesuatu yang saya simpan, mungkin orang lain bisa kasmaran…terpulanglah…apa yang penting saya ada sesuatu yang mahu disampaikan.

Saya sebenarnya cemburu amat dengan Si Tehrani. Saya pernah menyelongkar siapa dia dan saya tambah cemburu apabila menemui latar dirinya. Lahir tahun yang sama dan mempunyai beberapa cirri persamaan, yang paling saya ingat Tehrani pernah mengarang sebuah cerpen bertajuk ‘Opah’ yang memenangi Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Public Bank 1994 manakala saya juga mengarang cerpen ‘Opah’ dan tersiar pada halaman majalah Anis terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd pada 1997 gitu.

Saya ralit membaca kisah bagaimana Tehrani sering berdampingan dengan para tokoh sasterawan tersohor, Shahnon dan A Samad Said malah…jelasnya, saya juga semasa menuntut di UKM punya luang dan ruang yang sama, namun sayang saya persiakan begitu sahaja!

Mawar Shafie misalnya pernah menjadi guru (tutor dan kala itu beliau masih berstatus cik lagi) saya, Othman Puteh malah Muhamad Hj. Salleh, Mana Sikana, Siti Zainon Ismail, Shafie Abu Bakar dan beberapa orang lagi boleh sahaja saya himpit dan himpun segala ilmu dan kepakaran mereka dalam bidang penulisan ini…tapi itulah, saya terkesima dengan dunia universiti, saya hanyut dalam arus kemahasiswaannya yang serba idealis…saya ulangi: Idealis!

Peringkat awal di kampus, saya ghairah mendaftar diri dalam Grupemuisi UKM. Saya mahu agar bakat yang saya kesan dalam diri tidak pupus begitu sahaja. Semasa di sekolah menengah, ramai guru yang menyatakan saya ada bakat menulis. Malah, semasa di tingkatan empat dan lima, kendatipun saya dalam aliran sains tulen; namun saya amat meminati karya-karya Masuri SN dan ramai lagi yang sering termuat dalam helaian di Dewan Siswa. Saya potong muka surat berwarna itu dan bingkaikan sendiri dengan plastik lutsinar dan saya tampalkan di dinding kelas. Saya pernah ditegur seorang guru: “Awak aliran sains; tetapi minat puisi…”

Semasa di tingkatan enam, minda saya tambah tajam. Saya begitu kritikal mendepani isu. Guru-guru sering menjadi rakan bertegang hujah. Guru ekonomi yang saya lihat ‘makan cekak’ pernah digasak…jika cikgu cakap sistem ekonomi Islam itu yang terbaik; kenapa kerajaan kita kekalkan sistem ekonomi campuran, atau saya suka beriseng dengan cikgu-cikgi perempuan mahu pun lelaki yang baru keluar universiti, tentang kepentingan cinta dalam memotivasikan diri dan sebagainya (saya rasa…student form 6 masa itu matang lalu disenangi dan disegani ramai para guru).

Saya suka seorang cikgu perempuan nama Siti Aisah yang amat komited dengan subjek Bahasa Melayunya…saya karang khas puisi untuk hari guru buat beliau dan banyak lagi. Saya suka dengan cikgu yang sangat terbuka…namun saya amat sedih juga semasa di tingkatan empat, seorang guru wanita memangkah karangan saya kerana saya menggunakan pelbagai perkataan baru yang katanya kurang-lebih… "Awak jangan memandai-mandai mereka-cipta perkataan sendiri…" Walhal perkataan-perkataan itu saya temui dalam Dewan Masyarakat, saya cari maknanya dalam Kamus Dewan…sah! Cikgu itu yang malas membaca!

Ah…cukuplah, nanti habis idea saya untuk terus berkarya di blog ini. Saya ada hajat nak catatakan semuanya, nak tiru macam Pak Shahnon, merakam kisah diri di daerah daifnya. Saya cuba dan insya-Allah…semuanya dalam cepu kepala dan minda komputer riba saya!

Jumaat, Jun 22, 2007

Sangeetha




"Geetha…janda pikun yang lara, Derus...teruna pikun yang setia...bersatu tiada melain hanya bercerai nyawa..."

Azizi
adalah Azizi. Karyanya menggugah rasa. Menggamit emosi menerjah nuansa. Mencubit rasa hati, mengheret kita agar terus terkesima. Pada riak bicara tanpa suara, pada lirik lagu dan melodi yang seakan bersatu, melahirkan ketekunan dan kepuasan…

Apakah nilainya cinta? Mestikah cinta bersatu akhirnya? Patutkah ia diluahkan pada bahasa? Cinta apakah itu, jika saling memeram rajuk mengempang ego menarah hati mengulit mimpi mengundang sakit menyiksa diri? Apakah cukup mencurah kasih kepada gambus dan danga, mengapuk meliuk meretih melompat meratus mengeow pada merbuk dan kucingnya? Adakah cinta hanya ada pada kereta buruk berselimut atau pada kilat jemari roda basikal yang digilap tanpa penat atau pada pagar yang terkeleweh dan undakan dan semurup dan simen tembok berlumut yang kian buruk?

Nah…apakah kita jika ditakdirkan di situasi itu, menjeda usia menatih hayat bersama tanpa ikatan, lalu tega sama-sama memasang anganan melangit namun akhirnya sedar kaki masih terpaku pada bumi, sedar betapa kedirian masih kaku, sedar bahawa ras berbeda dan sedar betapa kepercayaan masih belum bersatu…mampukah, tegakah…?

Tiada apa yang mampu menghuraikan kemelut itu melainkan keberanian, memecah keegoan dan kejengkelan. Buanglah segala waham dan prasangka. Buanglah segala emosi lara dan ego yang menjela. Buanglah segala anganan dan binalah kenyataan…namun semuanya tersisip kemas pada bilahan usia dan menjadi rahsia, hingga ke akhirnya…kasihan!

Azizi cuba menerobos dua alam kepikunan. Dihimpit kesunyian, kelaraan dan kenestapaan. Tiada kejiranan yang riuh atau kebisingan anak cucu. Dua fenomena lazim yang sering mengungsi kehidupan pikun secara tradisi di negara ini. Lalu, kepikunan yang mendominasi hampir keseluruhan plot memaksa audiens agar turut mencicip detak rasa dan getar dua jiwa. Merekalah itu, yang sengaja memayahkan keadaan, merekalah itu yang sering menjenuhkan rasa…susahnya, susah memaham dan susah menerangkan…

Terus-terang, saya menguliti buku ini dari kulit ke kulit secara santai…terlalu-lalu-lalu santai hingga rasanya, dalam masa mengkhatamkan naskhah ini…sudah dua tiga buku lain saya habiskan…entahlah… cukup lama...hampir dua bulan rasanya!

Pertama kali menikmati awalannya, memaksa saya meneruskan para demi para. Sukar mencari noktah sementara. Namun, akhirnya saya tewas kepada kesengajaan yang berulang…Azizi dan Geethanya dan Derusnya…kenapa susah sangat berterus-terang…namun, ya…itulah isinya, itulah intinya, jika sedari awal mereka berlapang dada sambil bercerita sambil memandikan merbuk di undakan atau sambil buka rahsia sambil sama-sama mencicip kopi setelah Derus kelelahan menebas atau ketika sama-sama ke pasar atau sama-sama menepuk tabla dan mengapuk gambus…bahawa aku sayang kamu dan aku cintakan kamu…marilah kita menikah…naik haji dan bla..bla…, tamatlah cerita…wassalamu!

Apa-apa pun, semalam ketika detik menuju jam 12.00 tgh malam, saya menghabiskan segala kesabaran. Tika anak saya Huda asyik berbicara yang kadang kala mengganggu konsenstrasi, akhirnya saya temui juga titik kesudahan. Kesudahan yang menimbulkan waham…apa jadinya Geetha, apa jadinya merbuk, apa sudahnya cinta mereka…mungkin Azizi punya agenda buat kita berfikir. Yang nyata dan jelas...segalanya adalah satu kesudahan yang menjentik rasa, bahawa cinta tidak semestinya bertaut dalam sangkar rasa yang sama yang namanya…perkahwinan. Wallahua’lam!
***
Dedikasi buat Azizi Hj. Abdullah (Sangeetha dan Derus):
"Di balik jalan diamnya, ada nyanyian panjang untukmu, yang ia lantunkan setiap malam menjelang tidur, dan pada akhir nyanyiannya, ia berucap lirih "ternyata aku masih mencintaimu".

Arifa’i, Solo, 1997

Rabu, Jun 20, 2007


Gadis Laksa

Lewat petang itu perut ini memainkan lagu keroncong. Dahaga sudah aku nyahkan dengan menogok air mineral yang kucapai semasa mengisi minyak di hentian sebelah Rawang. Namun, mata ini bagai gatal melilau menyelongkar pandangan dan aku rasa terngiur bagi merasa semangkuk laksa dan semangkuk cendol. Kedai kecil lagi comel itu tampak lengang tanpa pengunjung. Sebenarnya, gerai itu lebih seperti sebuah pondok, bukan layaknya menjadi gerai makan.


Tiada ruang bagi mengisi kerusi meja disediakan oleh arkitek yang mendraf lukisan asal bangunan. Sekadar macam menarik orang membeli kad pra-bayar secara berdiri dan tertonggeng-tonggeng bontot memilih telefon tangan sahaja, bayar lalu pergi. Namun, tuan punya kedai masih tega memuatkan dua buah meja dengan lapan kerusi merah plastik. Padat ruangan itu jadinya. Di situlah aku singgah, sekadar melampiaskan kehendakku yang amat gemar kepada laksa.

Di dalam gerai kecil itu kulihat seorang anak gadis belasan tahun, duduk santai menatap buku.

“Assalamua’laikum…adik, laksa satu!”

Dia bangun tanpa banyak songehnya. Cekatan menyiapkan semangkuk laksa. Diambilnya mangkuk berwarna kuning kemerunan, disenduknya laksa dan dipotongnya cili, bawang dan sebiji telur dibelah dua. Dia asyik berkerja dan aku asyik memerhati.

“Dah lama niaga laksa…?”

- “Adalah juga…”

“Baguslah. Anak muda macam adik ni kena rajin…”

Tanpa bicara dia membuka tudung periuk dan meruwaplah bau yang mengasyikkan…bau laksa!

“Saya memang penggemar laksa. Saya orang Perak. Di Kuala Kangsar, laksa memang nombor satu. Tapi paling sedap laksa buyung…”

Aku terus berbicara tanpa perduli dia suka atau tidak. Sekurang-kurangnya, aku tunjukkan minatku kepada barang jualannya.

“Saya boleh teka, laksa yang akan saya makan ini sedap atau tidak, dengan hanya mencium baunya…”

Dia mula tampak tertarik.

“Em…saya rasa laksa adik menarik. Tapi…saya lihat urat laksanya kurang kenyal. Nampak macam keras….”

Aku nikmati laksa itu dengan semangkuk cendul. Betul tekaanku, kuah boleh tahan tapi urat laksanya keras. Mungkin lebihan laksa semalam yang disimpan gitu-gitu sahaja dalam peti ais.

Aku makan dan terus makan. Semasa menghulurkan duit, aku katakana…

“Jika adik dapat pastikan urat laksa ini lembut dan kenyal, saya gerenti laksa adik boleh maju…saya jemput, datanglah ke Kuala Kangsar, Bukit Gantang atau Taiping di Perak. Di sana banyak tempat yang laksanya hebat-hebat…”

Setelah mendapat baki, aku pun angkat kaki dengan harapan dia akan belajar membaiki mutu laksanya pada masa akan datang.

***
Catatan kira-kira 90% kisah benar, kejadian di depan Jalan Ipoh – Rawang berdekatan Kampung Melayu Batu 16, akhir tahun 2006.

Selasa, Jun 19, 2007


Punca umat merana

Ada banyak sebab umat Islam hari ini merana. Merana kerana dihina. Merana kerana disiksa. Merana kerana dosa. Merana kerana alpa dan 1001 macam jenis merana.

Wanita muslimah merana kerana maruah terdedah. Lelaki muslim merana kerana tidak tunai amanah. Anak merana kerana ibu bapa pongah. Ibu bapa merana kerana anak-anak ghaplah. Atuk nenek merana kerana anak cucu perangai ‘boleh blah!’.

Cikgu merana kerana pelajar jadi samseng sekolah. Polis merana kerana mat rempit berlumba tak sudah. Tok ketua merana kerana orang kampung berpecah-belah. Pemandu kereta kecil merana kerana lori besar laju macam hantu galah. Orang tua merana kerana jadi mainan bebudak mentah.

Pemimpin merana pengikut membantah. Pengikut merana pemimpin aksen tak boleh ditegah.

Hakikatnya, semua merana sebenarnya…kerana lupa Allah! Salah satu ciri-ciri lupa Allah ialah…mempermainkan solah…

Rasulullah bersabda: Allah berfirman, "Aku telah memfardukan ke atas umatmu solat lima waktu. Aku sungguh-sungguh telah berjanji dengan diri-Ku bahawa sesiapa yang menjaga solat tepat pada waktu maka Aku bertanggungjawab untuk memasukkannya ke dalam syurga. Sebaliknya bagi sesiapa yang tidak menjaga solat, Aku langsung tidak bertanggungjawab ke atasnya." (Hadith Qudsi; Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).

Isnin, Jun 18, 2007

Hari Bapa 'Tersambut' lagi...



17 Jun adalah Hari Bapa. Sejak kecil dulu, rasanya tak ade lah pula saya dengar orang pakat sambut Hari Bapa ini. Ada tak ada pun saya ingat orang sambut Hari Raya...hari ini, terlalu banyak benar di'hari'kan, ada Hari Ibu, Hari Kekasih, Hari Guru, Hari Jururawat, Hari Bumi, Hari 'Tipu' (April fool), Hari Tembakau dan Hari-hari Mau...em, lawak je...!



Saya kini sudah punya empat anak (tidak termasuk anak tekak dan anak kucing...), dan mula dihargai sebagai bapa oleh isteri dan anak-anak ketika anak saya berjumlah dua orang. Isteri membuat lukisan dari tapak tangan dan tapak kaki mereka, siap dengan ucapan 'Selamat Hari Bapa'...saya teruja dan tersentuh dengan ucapan itu lalu membikaikannya dengan kayu bercat warna merah...lambang cinta saya dan ghairah yang tidak berkesudahan terhadap keluarga yang saya bina.

Semalam, selepas makan tengah hari dan tetiba anak-anak saya memanggil dengan menyembunyikan sesuatu di belakang mereka, emm...rupa-rupanya ada suprise lagi. Saya mudah mengagak pasti ada sesuatu dan benar, mereka telah berpakat dengan umi (atau sebaliknya, saya rasa umi (isteri saya) yang berpakat dengan mereka) mengunjukkan sebuah beg kertas kecil. Di dalamnya termuat sebiji kotak berbentuk hati berisi tiga biji coklat, sebotol minyak wangi (yang saya rasa mahal harganya) dan sekeping kad istimewa dengan tulisan tangan anak-anak saya...

Terima kasih, terima kasih dan terima kasih... coklat masih saya simpan, minyak wangi saya dah rasmikan untuk solat subuh di surau pagi tadi dan kad telah pun saya baca berulang kali...terima kasih anak-anak abi, maafkan andai abi terlalu garang dalam mendidik, atau terlalu cengih tika menunjuk dan abi memang tak berapa reti memujuk, abi tahu abi adalah manusia biasa yang pastinya terlalu banyak kedaifan di sini sana...cuma abi sering mendambakan, anak-anak abi membesar sebagai manusia yang besar manfaatnya...kepada agama tercinta!

p/s: "Sebenornya, hari bapa atau hari apa-apa sahaja hanyalah 'pencetus' agar kita menginsafi peranan yang dimainkan oleh orang-orang yang 'istimewa' berkenaan, apa yang afdalnya...kita raikanlah ia selalu...seperti tak jemu-jemunya ibu yang menyusukan bayinya walaupun kena bersengkang mata setiap jam tiga pagi atau seperti tidak bosannya seorang bapa menoreh getah di subuh sepiee demi sesuap nasi ke mulut anak-anaknya..."

Jumaat, Jun 15, 2007

Mampukah Kusiapkan cerpen ini...?



SAZMAN menggosok-gosok matanya beberapa kali. Dia kini terkesima campur terkujat. Manakan tidak, Hartini…gadis yang pernah bertakhta di ruang hatinya dahulu berdiri di hadapannya. Sedangkan…sedangkan yang dia tahu Tini telah gemulah lima tahun sudah. Tini sudah hancur menjadi tanah, barangkali fikirnya. Jadi, siapa wanita cantik ini? Sazman terus terkujat bagai si pikun duda diberi hadiah menaiki kereta Rolls Royce bersama selebriti genit Hollywood. Air liurnya terlekat di tenggorokan dan dia terus terkesima.

“Assalamua’laikum!”

Mata Sazman masih kaku. Kerdipan bagai mengganggu dan terus melongo menyaksikan keindahan ‘Hartini’ yang sudah lima tahun lenyap dari bebola korneanya.

‘Masakan…masakan ini Hartini! Tak mungkin, mungkin orang lain…mungkin kembarnya? Ah! Setahu aku Tini anak gadis tunggal, tiada dua. Yang ada hanya seorang abang dan seorang adik lelaki.’

Menyaksikan kekakuan menguasai suasana. Hartini menyuakan lagi ucapan indah ‘Assalamua’laikum!’

Di kedua pipi gebunya terlekuk dua lelesung pipit. Satu keindahan, ya.. amat indah yang sekian lama lenyap dari himbauan Sazman. Dia menyeluruhi terus kedirian yang masih setia berdiri di hadapannya. Masih, masih Hartini yang dahulu.

Tinggi semampai berbadan agak sederhana, masih tidak terlalu kurus merenceng atau gemuk berisi, masih ‘maintain’ seperti Hartini yang dia puja sebelum ini. Masih mempunyai lekukan kecil menjelma di kedua pipi tatkala senyuman melirik. Masih juga punya mata bundar tetapi redup dan bebola yang hitam sedikit besar lagi cerlang. Tanda orang bijak, pernah dia menyatakan demikian dahulu kepada Hartini.




Muka bujur sirih masih membujur juga, tiada tanda-tanda akan bersegi atau membulat. Dan pigmen putih kekuningan kulitnya masih sama. Tahi lalat hitam masih setia memagut dagu kirinya. Dan getar suaranya yang memanjat deria telinga itulah yang menoktahkan segala. Satu panggilan sahaja sudah mampu membuatkan gegendangnya mencerap dengan baik, itulah dia Hartininya. Hartini Yaakob yang telah lama meninggalkannya, lebih lima tahun dahulu!

Sazman menggagahkan diri, menarik nafas sedikit dalam dan menghembusnya dalam kadar sederhana. Dia mengejapkan cengkaman tangannya pada kedua belah pemegang kerusi kayu jati yang tersedia di lobi hospital itu. Dia seolah-olah berusaha mencari serta mengumpulkan segenap kekuatan. Bagaikan semangatnya terbang merewang apabila pertemuan pagi itu terjadi tanpa sedikit pun dirancang.




Adakah dia di alam fantasi? Mustahil, manusia lain masih sibuk bersimpang siur di sekelilingnya. Para jururawat berbaju putih lengkap masih laju ke hulu ke hilir. Para doktor yang sengaja kekadang menyangkutkan stetoskop ke tengkuknya juga masih berkejaran dan berpapasan laju. Sesekali juga dia masih mampu menancap pada bising dan kederuan suara pelbagai ragam manusia yang menguasai suasana, yang agak bingar namun masih terkawal dan diganggu juga dengan talunan suaran lunak dari pembesar suara membuat pengumuman.

Dengan dada yang masih sedikit berombak laju dan gemuruh darah yang masih belum mereda, Sazman menggagahkan dirinya bangun. Dia membetulkan kaca matanya yang sedikit melurut ke bawah lantaran batang hidungnya bukanlah terlalu ‘begak’ bagaikan hero-hero Bollywood yang tampan. Hidung Melayu asli kata Hartini satu masa dahulu.

Sedikit kegoncangan dan masih dalam kondisi mengawal diri serta emosi. Dia menjawab salam, jawapan yang masih berisi getar dan ketar. Lantaran dia sendiri merasa masih gugup dalam debar. Biarlah, jika ini benar Hartininya dahulu, ia adalah satu keajaiban dari Tuhan. Bukankah Allah itu Maha Pencipta, Dialah yang menghidupkan dan Dialah yang mematikan. Hartini adalah makhluk ciptaan-Nya sama seperti dirinya juga. Jika memang benar gadis tinggi semampai bermata bundar berlekuk di pipi berkulit putih kekuningan ini adalah Hartini yang dahulu, ia adalah ciptaan Tuhan juga. Bukankah setiap malam Jumaat dia dan jemaah di surau depan rumahnya akan membaca surah Yaasin dan bukankah di dalam surah itu ada menyatakan perihal kekuasaan Allah: Sesungguhnya, apabila Dia mengekehendaki sesuatu itu terjadi maka Dia hanya menyatakan: Jadi, maka jadilah ia.” (Yaasin: 82).

Begitulah, lantas dengan sedikit semangat yang kian pulih dan persoalan yang memenuhi cepu minda kian tersisih diisi rasa bertuah pula, Sazman akhirnya kembali normal. Dia menyeluruhi lagi gadis di hadapannya. Ternyata, Hartini kini sudah pun menjadi seperti apa yang diidaminya lima tahun dahulu. Dia mengenakan kot putih berserta stetoskop yang tersimpan rapi di kocek jubah putih itu, namun masih menjulur keluar penekapnya. Dia nampak matang sekali, ditambah dengan tudung yang meliputi sekujur wajah anggunnya itu, dan di dadanya yang bidang itu tertera tanda nama: Dr Hartini. Menuntaskan segala persoalan dan kini dia tambah yakin bahawa dia bukan di alam mimpi lagi.

“Sazman bukan? Sazman Ghazali, pelajar Perubatan Sesi 1994/ 95 UKM? Pernah dimarah Prof. Salam kerana memainkan kemaluan spesimen semasa sesi autopsi di dewan anatomi. Betulkan?”

Agh…Sazman terpaku dalam kepanaan sekali lagi. Sungguh terakam dalam memorinya, itulah kejadian pertama yang paling memalukan. Dia dimarahi oleh Prof. Salam dan seterusnya dia didenda menyiapkan tugas lain yang bertimpa-timpa hanya lantaran dia memainkan alat kemaluan sampel mayat yang dibedah oleh mereka sekumpulan. Kala itulah, Hartini adalah sabahagian daripada ahli kumpulannya. Dan dia sedari awal terlalu nakal. Mahu menguasai suasana dan tanpa duga mengundang amarah sang penyelia tua itu. Lanjutan ceritanya pasti ada, tapi biarlah ia disisipkan pada bahagian-bahagian yang lain pula.

“Hartini Yaacob, maaf Hartini Datuk Yaacob? Pemenang anugerah dekan tahun pertama perubatan UKM? Asal KL bukan?” Sazman menjawab hakikatnya menyoal.




Lalu, tanpa diduga dan tanpa sengaja, pertemuan di Hospital Selayang bagaikan membuka lembaran lama. Sebuah kisah cinta dan pengorbanan. Sebuah kisah duka dan kehilangan. Sazman terasa bagai mahu menarik tubuh semampai itu, mahu dirangkulnya kembali kenangan lalu. Namun, kewajaran sedemikian adalah keterlaluan. Dia hanya pasrah mengecapi sekujur tubuh dan wajah Hartini. Adakah sejarah lama bakal bertaut lagi. Masih adakah ruang dan sedikit pengertian. Dan air mata mulai bergenang di jendela mata Hartini dan Sazman. Biarlah air mata itu menyambungkan kisah selanjutnya. Mereka berdua hilang kata-kata.

_

“Engkau tahun Saz…” satu panggilan teramat manja yang pernah dilagukan satu waktu dahulu. Kehilanganmu adalah satu penyiksaan. Aku penasaran. Aku hampir kandas Saz.”

Mereka mengambil tempat sedikit jauh tersorok dari keributan manusia. Kafetaria aras dua itu memang agak sibuk. Namun, Sazman dan Hartini bagaikan terasing. Mereka teronggong dalam dunia kepiluan. Menggamit sejarah silam yang telah bertaburan lalu cuba mencantumkannya kembali menjadi sebuah gambaran yang serba lengkap. Masakan bisa dilupa segalanya, dua insan itu dulu pernah wujud dalam dunia yang begitu indah dan mereka begitu teruja menuju kedewasaan dalam epilog cinta itu.

“Tapi, engkau menghilang begitu tragis Tini. Engkau mungkin tidak tahu, aku terpaksa memohon waktu bercuti. Ibu bapaku terpaksa menenangkan segalanya. Aku bukan lagi normal masa itu. Aku bagai kalah mengadah qada’ dan qadar Allah. Aku hampir rebah Tini.”

Sazman menekapkan pandangannya ke wajah Hartini yang sesungguhnya masih ayu bahkan semakin ayu. Namun suaranya bergetar menahan sebak. Tubuhnya terasa sedikit tegang. Sungguh dia merasakan, pada waktu itu terlalu banyak cerita yang ingin dikongsi. Begitu banyak yang telah terjadi. Dia sendiri tidak tahu untuk memulakannya di mana. Bagaikan mahu diputarkan sahaja arloji masa, biar mereka kembali pada titik mulanya. Dan dia akan merencanakan kembali sejarah itu mengikut mahunya. Masakan dia berjaya. Masakan.

“Apa sebenarnya berlaku Tini? Pesawat yang engkau naiki dari Amerika Syarikat kononnya dilencong pengganas sebelum merempuh bangunan 99 tingkat Pusat Dagangan Dunia di New York. Aku sahkan itu dari makluman keluargamu sendiri Tini. Engkau dan kedua ibu bapa engkau berkecai, jadi debu berterbangan Tini. Masakan aku lupa.”

Suara Sazman sedikit meninggi. Intonasi yang menggambarkan kekejutan, kepedihan dan kehancuran. Dia parah tika itu, tatkala mengunjungi kediaman Datuk Yaacob di Bukit Damansara mendapatkan kepastian. Masih diingat kejap dalam memorinya, Hairi adik bongsu Hartini menyatakan bahawa kedua ibu bapanya dan kakaknya turut terlibat sama. Semasa itu Hairi sendiri sedang bergegas mahu ke Amerika Syarikat untuk mendapatkan kepastian. Sedang Wisma Putra sendiri mengesahkan bahawa ketiga-tiga nama itu memang tercatat dalam senarai berlepas dari Lapangan Terbang John F. Kennedy.

“Engkau tahu, aku mahu menyertai Hairi ke US. Tapi sayang aku kelewatan. Pasport Antarabangsa aku hilang. Malang sungguh hari itu.”

Hartini bagaikan patung bernyawa, sabar mendengar bait-bait cerita yang tertampan ke gegendang telinganya. Terasa betapa suara yang keluar dari mulut lelaki di hadapannya itu adalah suara kepastian, keikhlasan dan kesungguhan. Dia pasti Sazman serius mengucapkannya.

“Saz, I’m really sorry for what has happened. We didn’t planned it. But everything happened according to Allah’s wish. Apa yang mampu kita lakukan.” Hanya itu yang mampu terucap dari bibir monggel Hartini.



Memberat terasa di dada. Air mata yang seakan mahu tumpah lagi segera diseka. Pertemuan tanpa duga itu adalah satu yang memedihkan. Namun, lebih pedih apabila Hartini mahu menyelongkar segalanya...




***




Ah...inilah antara cerpen-cerpen saya yang tidak tersiapkan. Banyak sebenarnya yang tergendala. Kekadang, bahkan selalu saya begitu cemburu dengan Faisal Tehrani, umur seusia namun karyanya menjunjung dan membumbung..; sedang saya masih menatih di para-para, masih tersangkut di sigai-sigai...




Khamis, Jun 14, 2007

Catatan Diri Di Banggol Belimbing


Dari tanah bendang yang landai, luas dan terbentang itu, Akmal mendepakan tangannya. Dia berdiri megah di sisi pondok diperbuat dari buluh sepenuhnya dengan beratapkan rumbia, anyaman sendiri tentunya. Di kakinya mengalir deras air mendesit sejuk dari lata di bukit, menuruni anak sungai berbatu dan diempang-alirkan ke bendang berpetak-petak. Dia menyeringaikan gigi, rambut mengerbang dipuput angin sedikit keras. Dia menjerit-jerit kesukaan, penuh keriangan, penuh teruja anak kecil pada usia enam tahun.

‘Huargh!!!’ Sekumpulan tiak cuba menghinggapi rumpunan padi yang masih hijau dan baru belajar menguning, tidak jadi nampaknya dan terus terbang lagi. Berkawanan dan bergerombolan. Kelihatan seperti kawanan kapal terbang Jepun yang menyerang Pearl Harbour lewat drama perang Ba Ba Black Ship yang ditayangkan di TV 1 setiap malam Selasa.

‘Huargh! Huargh!!’ jeritan bersiponggang lagi. Tidak cukup sekadar mengeruhkan dengan jeritan, tali-temali yang bergantungan padanya tin-tin susu kosong ditarik laju, kuat dan laju sebenarnya. Ia disambung menyambung melingkari dan merentasi bendang dengan pacakan buluh sebagai tongkat penyangga. Bila ditarik dari pondok itu, ia ibarat pondok jaga di sebuah kawasan elit yang segera mengeluarkan bunyi-bunyian bising tin-tin berlaga. Ibarat sebuah remote control yang apabila dihidupkan suisnya, maka bising gamatlah keadaan. Burung-burung pun makin berterbangan, terganggu menikmati hidangan percuma.

‘Huargh!!!’ kelihatan juga di tengah-tengah bendang, orang-orang ciptaan Pakchu Yid berceratuk di beberapa sudut. Dipakaikan dengan topi terendak buruk, berbaju lusuh dan seluar buruk. Orang-orang itu adalah jaga bisu yang tambah menimbulkan suasana amarah petani pada serangan sang tiak! Tidak mampu berbuat apa-apa melainkan menjadi saksi bisu kepada jeritan yang terus bermaharaja lela… ‘Huargh!!!’

***

Ini adalah antara mukaddimah sebuah catatan diri di Banggol Belimbing, seperti mana yang pernah ditanyai oleh Jiwa Rasa, bila pula saya mahu menggarapkan kisah rencah Banggol Belimbing seperti mana Pak Shahnon menumpahkan sejarah Detik-detik Dirinya Di Daerah Daif Banggol Derdap...insya-Allah, dalam proses. Jika ada penerbit berminat, bakal tertataplah nanti kisah kecil tidak besar, tapi punya makna mendalam dari sebuah daerah kecil di Lenggong ini...insya-Allah, amin.

Rabu, Jun 13, 2007


A Beautiful Hadith


Rasulullah (Sallalloho alaihe Wa-aalay wasallam) said:


"When a man dies and his relatives are busy in funeral, there stands an extremely handsome man by his head. When the dead body is shrouded, that man gets in between he shroud and the chest of the deceased.


When after the burial, the people return home, two angels, Munkar and Nakeer (names of two special Angels), come in the grave and try to separate this handsome man so that they may be able to interrogate the dead man in privacy about his faith.


But the handsome man says, "He is my companion, he is my friend. I will not leave him alone in any case. If you are appointed for interrogation, do your job. I cannot leave him until I get him admitted into Paradise ".


Thereafter he turns to his dead companion and says, "I am the Qura'an, which you used to read, sometimes in a loud voice and sometimes in a low voice. Do not worry. After the interrogation of Munkar and Naker, you will have no grief.”


When the interrogation is over, the handsome man arranges for him from Al-Mala'ul A'laa (the angels in Heaven) a silk bedding filled with musk.


Rasulullah (Sallalloho alaihe Wa-aalay wasallam) said: "On the Day of Judgement, before Allah, no other Intercessor will have a greater status than the Qura'an, neither a Prophet nor an angel."


O…my brothers and sisters, please keep forwarding this "Hadith" to all because Rasulullah (Sallallo ho alaihe Wa-aalay wasallam) said:


"Pass on knowledge from me even if it is only one verse".


May Allah bestow this favour on all of us.


AMEEN AMEEN

Isnin, Jun 11, 2007

Marilah Kita Cari Pemimpin Itu


Dia dilahirkan di Serambi Mekah
Tempat di mana ramai ulama' terserlah
Namanya tersohor perilakunya indah
Nama terpahat pengukir sejarah

Ulama' itu pewaris nabi
Menjadi ikutan manusia awam
Jika takut menzahirkan diri
Hilanglah model manusiakan tenggelam

Akhir zaman ini dahsyat sekali
Maksiat dihirup kanan dan kiri
Pelaku dosa hidupnya dah lali
Ujian Tuhan sudah menjadi mangli

Datanglah taufan, banjir dan Tsunami
Datanglah gegaran mahu pun ledakan gunung berapi
Biar habis lunyai segala perut isi bumi
Namun kesedaran datangnya pagi
Petangnya pupus ditiup bayu dibawa pergi

Datanglah penyakit SARS, selesema burung atau TB
Datanglah penyakit AIDS, STD atau denggi
Biar habis gugur rambut nampak tulang bukan isi
Namun sedikit sangat yang insaf diri
Hari ini ada yang mati esok berlumba membuat lagi

Pengedar dadah merajalela, mat rempit meraja di jalan raya
Pengedar VCD meraja kaya, remaja terkapai ketagih segala
Ketagih arak, ketagih seks bebas, ketagih video lucah dan ketagih dadah
Ketagih londeh akhlak, ketagih celapak maruah dan ketagih buang anak

Kezaliman menjadi biasa
Keadilan hilang entah ke mana
Pemimpin ramai bijak berkata-kata
Sedang merekalah merosakkan negara

Rasuah meningkat di sana-sini
Bangunannya bocor saban hari
Jambatan yang retak ditampal lagi
Sekolah dibina kosong tak berhuni


Dia yang jauh selalu berpesan
Kita hidup ada tujuan
Allah jadikan kita bukan untuk mainan
Alam indah bukan sekadar mainan
Sebaliknya untuk ditadbir dengan aman
Al-Quran dan Sunnah jadikan panduan
Syariat berdaulat bukan sekadar di pinggiran
Jangan nanti hidup tidak keruan
Anak derhaka isteri terdera
Masyarakat rosak negara binasa


Marilah,
Kita cari pemimpin itu
Kita ikut ajarannya
Kita pakai pesanannya
Kita tiru perangainya
Kerana kita mahu
Selamat di sana
Di akhirat yang kekal selamanya.


U-HAH 2007






Jumaat, Jun 08, 2007

Melawat Kedai Buku BOH-Tea @ Cameron Highlands




Wah…hebat betul Teh Boh ‘yang ada…Umph!!!’ Bukan sahaja tehnya mahsyur seantero dunia bahkan turut punya toko buku hebat rupanya!

Em…jangan silap. Realitinya ini adalah gambaran sebenar di dalam kedai Teh milik Boh Plantations yang terletak di puncak Gunung Brinchang, Cameron Highlands. Saya begitu teruja dengan keanggunan susun atur kotak-kotak teh ini sehingga menatijahkannya dalam rakaman lensa kamera. Turut termuat dalam frame lensa ini ialah isteri tercinta dan ibu mertua (yang membelakangkan lensa) serta anak comel ketiga.

Cuti sekolah penggal kedua 2007, apabila kaki kami menginjak ke Cameron Highlands, tempat tuju utama kami ialah kawasan di mana sayuran segar dijual. Tidak tertinggal pastinya buah-buahan segar terutamanya Strawberry yang seolah-olah menjadi trade-mark Cameron Highlands. Kami membeli sayur-sayuran hijau, buah-buahan seperti oren dan strawberry (termasuklah merasa strawberry cecah atau bersalut coklat) dan turut menikmati cendawan goreng. Sebelum ke Cameron Highlands, ada kawan sepejabat menyatakan, dia teringin sangat nak merasa cendawan goreng namun terpaksa menahan gelojaknya dek kerana yang menyajikannya ialah orang cina…saya beruntung kerana di depan mata yang menggorengnya ialah kakak bertudung dan pekat amat bahasa Melayunya.

Perjalanan ke Boh Tea Plantations memang mencabar. Abang ipar saya nyaris-nyaris berjaya mempengaruhi keputusan umum untuk tidak melewati banjaran penuh pokok-pokok teh itu. Mujurlah atas desakan beberapa ahli rombongan termasuklah adik ipar yang mengatakan “Rugi jika tidak ke sana, berbaloi sangat…” dan mungkin juga fikir saya atas cabaran pakcik penjual ais krim strawberry bahawa “pasai apa tak nak naik, Rosyam Nor pun naik aih…yang tak Rosyam Nor pun naik, bas pun lepas ke atas…” akhirnya kami semua menggagahkan kereta masing-masing memanjat gunung Brinchang walau hati turut berdebar kerana di kiri kami bukit, di kanan kami cenuram tajam menanti. Apabila kenderaan kami berselisihan, pasti ada yang kena berhenti.

Kami mengambil angin dengan berjalan kaki mendaki tanah berbukit seputar 30 darjah ketinggiannya setelah memarkir kereta di kawasan berdekatan rumah pekerja (pun cantik susunannya pada mata daif saya). Ibu mertua saya yang sudah umur pencen nampak terengah juga melangkah, namun terus gagah! Di atas, tersedia galeri Boh dan juga kilangnya sendiri. Saya menglik beberapa keeping foto, khusus merakamkan gambar anak-anak. Kemudian beriringan dengan para pelancong lain, kami melewati galeri yang begitu cantik dan santai persembahannya. Sepanjang laluan pejalan kaki dihiasi potongan kayu bulat dipotong disusun cantik membentuk dinding yang lebih bersifat hiasan. Sukar sebenarnya menggambarkan melainkan saya turut pamerkan di sini illustrasi yang sebenarnya.




Ketika kaki melepasi palang masuk ke kedai Boh itulah, saya bagai terkesima dengan pameran teh yang begitu cantik tersusun kemas di para...kemas dan teratur...bagaikan, ya bagaikan sebuah perpustakaan. Saya lalu menilik kotak-kotak teh yang mempamerkan kepelbagaian dalam citarasa. Ada rasa mint, strawberry dan sebagainya. Banyak juga saya memenuhkan raga dengan kotak-kotak teh pelbagai rasa. Hajat di hati, saya akan hadiahkan kepada keluarga terdekat juga buat beberapa orang sahabat dan kenalan di taman dan pejabat.

Selepas membeli apa yang patut, abang ipar menganjurkan kami ke balkoni untuk mencicip teh segar yang tersaji (sebenarnya terjual) di sana. Kami menghayun langkah penuh teruja dan buat kali kedua, saya lebih terkesima. Tanpa dapat ditahan-tahan, mulut saya mengumat-kamitkan kalimah ‘Masya-Allah dan Subha-Nallah’. Kagum, takjub dan ajaib dengan kehebatan ciptaan Tuhan. Saujana mata memandang di hadapan dan dalam dakapan aroma penuh kedinginan, saya tatapi hamparan menghijau pepohonan renek teh yang menutupi bumi. Alangkah...alangkah indahnya...dan saat itu saya mengiyakan berkali-kali betapa benarnya ungkapan adik ipar saya di bawah tadi, bahawa tidak rugi menginjakkan kaki ke sini.

Sedikit penutup awal barangkali, saya menulusuri sedikit tak banyak catatan awal peneroka ladang teh ini. Siapa menyangka, seorang anak kecil yang datang ke Malaya pada usianya tujuh tahun pada tahun 1890, J A Russell, akhirnya berjaya membina empayar teh terunggul di negara ini. Ketika mana kami semua meninggalkan ladang indah itu, hati bagaikan berkata-kata...pokok-pokok teh ini adalah saksi hidup akan segalanya, kerana sesungguhnya saya yakin, usia mereka (pokok-pokok teh ini) adalah ratusan tahun sebenarnya. Di sini adalah bukti bahawa, kehidupan boleh dibina di atas kemahuan, ketegaran dan kesungguhan. Nah, ziarah ini menjadi buktinya!

Rabu, Mei 30, 2007

ZINA: Masih keliru dengan hukumannya?


Baru-baru ini saya diajukan dengan persoalan, adakah ayat Al-Quran yang khusus membicarakan soal hukuman bagi kesalahan zina? Ini kerana, ada seorang penulis telah menyatakan, bahawa rejam diambil dari pendekatan Kristian menghukum pesalah di sisi agama mereka. Sukar juga untuk menyajikan jawapan secara spontan, lalu saya melakukan sedikit kajian. Hasilnya, inilah dia...


Firman Allah SWT yang mafhum-Nya: “Perempuan dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benarlah kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka oleh sekumpulan daripada orang-orang yang beriman.”

(Surah an-Nur : 2)

Daripada Abu Hurairah dan Zaid bin Khalid al-Juhani berkata:

Maksudnya: “Seorang lelaki desa datang menghadap Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam seraya berkata: ” Wahai Rasulullah ! Atas nama Allah, saya minta kepada Tuan supaya Tuan menjatuhkan hukuman kepada saya sesuai dengan Kitabullah.” Kemudian berkata lelaki lawannya dan dia itu lebih pintar daripadanya: “Ya betul ! Putuskanlah perkara kami sesuai dengan Kitabullah dan izinkanlah saya lebih dahulu berbicara.” Bersabda Rasulullah Sallalahu ‘Alaihi Wasallam “Berbicaralah.” Katanya: “Anak lelaki saya bekerja menjadi pekerja orang ini, maka dia berzina dengan isteri orang ini dan sesungguhnya saya telah diberitahu bahawa anak saya itu harus dihukum rejam, maka saya tebus dia dengan seratus ekor kambing dan seorang sahaya perempuan. Kemudian saya bertanya kepada ahli ilmu, maka mereka mengatakan kepada saya bahawa anak saya itu dihukum sebat seratus kali dan dibuang negeri selama satu tahun, sedangkan isteri lelaki ini mendapat hukuman rejam (sampai mati). Maka bersabda Rasullullah Sallalahu ‘Alaihi Wasallam: “Demi Allah yang jiwaku ditanganNya, sesungguhnya aku akan menjatuhkan hukuman di antara kedua belah pihak sesuai dengan Kitabullah. (Tebusan) Hamba sahaya dan kambing itu ditolak dan ke atas anakmu sebat seratus kali dan dibuang negeri satu tahun. Wahai Unai ! Besok pagi pergilah engkau kepada isteri orang ini ( dan periksa apakah dia memang berzina), jika dia mengaku, maka rejamlah dia !” Berkata Abu Hurairah : Besok pagi Unais pergi kepada perempuan itu, (ternyata) dia mengaku (berzina).” Rasulullah memerintahkan supaya dihukum rejam, maka direjamlah perempuan itu.”

(Hadits riwayat Muslim)

Manakala dari Abdullah bin Abbas berkata:

Maksudnya: “Telah berkata Umar bin Al-Khattab dan ketika itu dia duduk di mimbar Rasulullah Sallalahu ‘Alaihi Wasallam: “Sesungguhnya Allah Ta’ala mengutus Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dengan kebenaran dan menurunkan kepadaNya kitab (al-Qur’an). Di antara ayat-ayat yang diturunkan kepadanya yang kita semua telah membaca, mempelajari, dan memahamkannya ialah ayat al-Rajm (Ayat ini telah pun dimansukhkan bacaannya daripada al-Qur’an, tetapi hukumnya tiada mansukh. (Lihat at-Itqan fi ‘Ulum al-Quran 3/72). Rasulullah Sallalahu ‘Alaihi Wasallam telah melaksanakan hukuman rejam, (begitu pula) kami telah melaksanakan hukuman rejam selepas Baginda (wafat). Maka aku takut, jika semakin lama, (masa berlalu) ada orang yang berkata: “Tidak kami dapati hukuman rejam di dalam Kitabullah.” Maka mereka itu sesat kerana meninggalkan satu kefardhuan yang diturunkan oleh Allah Ta’ala. Sesungguhnya hukuman rejam yang terdapat dalam Kitab Allah ialah hak ke atas orang laki-laki dan perempuan muhshan yang berzina apabila ada saksi atau (ada bukti) seperti hamil atau pengakuan.”

(Hadis riwayat Muslim)

Selasa, Mei 29, 2007

Cinta Sang Ratu


Judul: Cinta Sang Ratu
Genre: Novel Kreatif Thriller
Pengarang: Ramlee Awang Mursyid
Penerbit: Alaf 21 Sdn Bhd
Harga: RM19.90
Tahun terbit: 2007
Halaman: 572
ISBN: 983-124-278-5

Siaran Selamat Pagi Malaysia pada 17 Mac 2007 menyaksikan, Cinta Sang Ratu buah tangan novelis thriller ini mengungguli tempat pertama dari sepuluh judul novel Melayu yang menjadi pilihan ramai di MPH Book Store. Saya teruja dengan kedudukan ini, sementelah hasil penekuran saya selama beberapa hari melunyaikan naskhah ini memang berbaloi. Lebih puas berbanding prekuelnya dahulu - Bagaikan Puteri.

Biasa terjadi dalam dunia ini, jatuh cinta kepada musuh sendiri. Inilah yang terjadi lewat novel Cinta Sang Ratu buah tangan novelis thriller nombor satu Ramlee Awang Mursyid. Senarionya, novel ini adalah sekuel daripada novel Bagaikan Puteri yang masih tebal pengaruh kehebatan dalam seni bela diri, pengaruh manusia syaitan dan kekuatan iman benteng seseorang insan. Sentuhannya tetap sama, novel ini penuh unsur magis, supernatural, keperwiraan, keperkasaan dan sebagainya. Matlamat juga tetap sama, perjuangan menegakkan kebenaran agama dengan menghapuskan manusia Iblis yang merosakkan alam. Lalu berlakulah pertembungan dua jiwa, perbalahan dua benua. Namun, dalam kemelut itulah lahirnya cinta. Ia tumbuh subur, walau bajanya darah dan air mata. Ia mekar mengakar walau diairi kezaliman dan kerakusan.

Masih berlatar belakangkan kurun ke – 15. Sunan, pemuda perkasa yang berkelana ke seluruh ceruk rantau dunia demi menegakkan Islam akhirnya ditakdirkan berkongsi kasih dengan Ratna, sang ratu yang jelita tetapi diselubungi kezaliman bondanya Sang Maharani.

Pertembungan antara kejahatan dan kebaikan bermula lagi. Namun kali ini lebih dramatik. Pada saat Sunan menagih bantuan, tiada lagi Wali Sufi di sisi dan tiada lagi Djailuh bersama memerangi musuh.

Pada detik yang sama, abad ke – 21, Tsunami melanda Acheh. Keajaiban dan keanehan berkesinambungan terus menerus. Haryani yang menjejaki lelaki yang cuba menumpang kasihnya – Dani – akhirnya terperangkap dalam dunia mistik. Dia mencagarkan nyawa demi sebuah nyawa. Berjayakah dia membawa Dani kembali ke alam realiti. Bertautkan cinta sedang hatinya hanya untuk Sunan.

Nah! Novel ini menjanjikan kelainan. Rasanya tidak rugi menyantaikan diri dan merebahkan minda buat beberapa ketika menenggelami diri di dalam buku ini. Jelasnya, saya kian meminati hasil Ramlee…

Jumaat, Mei 25, 2007

Bagaikan Puteri


Tajuk: Bagaikan Puteri

Karya: Ramlee Awang Mursyid

Penerbit: Alaf 21 Sdn Bhd

Harga: RM19.90 (jika tidak silap)

Genre: Kreatif thriller


Em...Ramlee adalah nama baru saya rasa. Jujurnya, saya tidak pernah berminat untuk memiliki hasil-hasil karya beliau sebelum ini. Iya, mungkin kerana saya kurang meminati cerita rekaan yang kekadang tidak masuk di akal...hinggalah satu masa saya berurusan dengan salah seorang editor majalah di Karangkraf dan saya mencuri-curi masa berlegaran di kedai bukunya.


Saya jelaskan di sini, faktor pertama yang memikat hati saya untuk membeli ialah 'cover'nya yang menarik. Nampak seperti orang sedang bertapa...ada unsur-unsur kependekaran dan ke-melayuan lama. Faktor kedua, di dalam naskhah ini turut dimasukkan unsur sejarah (walau kekadang saya rimas apabila watak-wataknya seperti Hariyani sering terbawa-bawa cara gadis hari ini...yang ber'opss sorry' dan sebagainya) dan ketiga apabila diselitkan juga perihal Laksamana Sunan yang tinggi imannya dan digambarkan seorang lelaki yang soleh tentunya...


Saya menghabiskan kira-kira seminggu dengan mencuri-curi masa membacanya. Kekadang sebelum tidur malam saya asyik membaca hingga sayang mahu berhenti. Saya kagum juga dengan keupayaan penulis (ingat....Ramlee adalah penulis sambilan yang bertugas sebagai juruhebah) namun masih mampu menulis novel. Dan beliau tidaklah menulis begitu-begitu sahaja kerana saya yakin dan tahu, beliau pasti membuat rujukan di mana-mana.


Novel ini yang seperti dinobatkan adalah berbentuk thriller. Ia seboleh mungkin sering diseretkan dengan unsur suspens dan di luar batas pemikiran manusia. Kisah orang koma yang hampir digamit kematian di dunia hari ini; namun berkelana seorang diri di abad ke-14 dan berdampingan dengan Sunan dan Tuah. Maka, itulah asal pokok ceritanya. Ia kemudian dikembangkan hingga wujudlah suspennya, seramnya, peliknya, magisnya, kagumnya dan sebagainya lagi.


Sunan digambarkan pemuda perkasa berjiwa mulia. Mempunyai kemahiran tinggi ilmu persilatan dan juga mampu berkomunikasi dengan tuan gurunya Wali Sufi menggunakan firasat dan gelombang minda. Musuh utama mereka adalah manusia yang menjadi pengikut syaitan atau diistilahkan sebagai Taghut. Nyi Burga Kelara misalnya, adalah manusia penyembah syaitan yang ganas dan mengerikan. Namun dengan ketangkasan seorang laksamana bersama keris Naggore, ramai yang tewas walau telah diberi awas agar kembali beriman dan meninggalkan syirik.


Kisah cinta tiga dimensi turut diselitkan. Menariknya (sedikit kurang praktikal), Hariyani jatuh cinta kepada Sunan dan begitu jua sebaliknya sedang di dunia moden abad 21 kini, seorang pemuda waris dari turunan Sunan juga sedang tekun mengemis cintanya.


Apa-apa pun, saya terkesan setelah menamatkan pembacaan novel ini. Terasa Ramlee memang bersungguh menenggelamkan emosi pembacanya melalui tulisan beliau. Saya seperti masih terbayangkan...saat Haryani mengunjungi Kampung Punggor di Johor, dia dapat merasakan semilir angin seolah-olah membawa suaranya memanggil Laksamana Sunan kekasih hatinya... dan saya seperti ternanti-nanti kesudahan episod ini apabila Sunan rebah dipanah Ratna saat Acheh dilanggar laskar Maharani!

Isnin, Mei 21, 2007

IMAM


Judul: Imam
Karya: SN Abdullah Hussein
Anugerah: Hadiah Sako Utusan-Public Bank
Penerbit : Utusan Publication & Distributors Sdn BhdGenre : Novel Mukasurat : 705 halamanCetakan Pertama : 1995Cetakan Terbaru : 2005ISBN : 967610499x
Harga: RM29.90

Kata Imam Mihad kira-kiranya: “Islam itu ibarat cahaya yang tak dapat disekat dan dapat menembus merembes walau dari seseni-seni ruang…”

Abang ipar saya, Jiwa Rasa pernah dan selalu juga menyarankan agar saya memiliki naskhah ini. Ikhlas saya akui, saya agak jauh dalam menikmati karya-karya Abdullah Hussein, entahlah…saya lebih rapat dengan buah tangan Arena Wati dan Pak Shahnon. Dengan tinta Pak Samad dan Keris Mas pun tak seberapa.

Namun, semasa cuti beberapa bulan yang lalu atau mungkin jelasnya pada tahun lalu (2006), ketika di kampung (di Lenggong, Perak), saya terjumpa karya SN Abdullah Hussein (AH), iaitu ‘Masuk Ke Dalam Cahaya.’ Saya jadi ralit, terkesima dengan butir bicara yang AH gunakan dalam rentak tari novelnya. Ringkas, mudah dan bersahaja. Tak ada yang berbelit dan berliku seperti sesetengah nama besar yang lain. Saya asyik menyelami naskhah pertama itu hingga tamam dalam tempoh dua hari saja rasanya…malangnya buku atau tepatnya novel itu bukan milik saya, ia milik sesiapa yang ada di rumah abah di kampung, tersisip kemas dalam almari buku dan saya terpaksa menyimpannya kembali di situ…

Imam adalah karya besar. Padat dengan mutiara ilmu. Ia sendat dengan iktibar. Sebermula membacanya sekitar 9 Mei hingga tamam awal pagi semalam pada jam 12.54 pagi 21 Mei 2007, saya merasa puas, merasa jelas dan merasa nikmat dan..ah…sukar nak dijelaskan. Saya seperti dibawa ke daerah yang sebenar, di Mukim XII berkelana buat sementara di Kampug Anggerik Desa dan beriktikaf sewaktu dua di Masjid Haji Salih. Bersua muka dengan Sufi Lau yang pekat amat telornya, berkongsi teruja dengan ulat buku bersama Haji Qamar dan Cikgu Syahidan, bengkak hati dengan Haji Syamsuri dan ingin sekali menikmati indah cantik wajah Rubiah dan Siti Nur Aisyah. Paling mengujakan, Haji Mihad pastinya, imam muda tapi tua yang menyimpul segala!

Sekadar membataskan kepada beberapa nama, hakikatnya Imam adalah naskhah yang amat-amat patut diladeni oleh mereka yang mahu tahu hakikat kehidupan. Benar, mungkin kita tidak pernah hidup dalam kemelut atau bergelut dalam selut seperti belut atau tidak pernah sedikit pun merasa seperti apa yang papar-gambarkan dalam karya ini, namun ia adalah ‘hidup’ dalam minda kita. Ia memberikan pengajaran tidak sedikit.

Pengajaran bahawa hidup perlu berubah, hidup adalah perjuangan dan hidup adalah wawasan. Mengusaikan pembacaannya membikin saya terpana, benarlah…SN AH ada resipi rahsianya tersendiri…jadi, jika ingin merasainya…cubalah sendiri!

(Detik hati ini…Ya Allah, adakah aku juga perlu menyalin beberapa babak dalam kehidupan Imam Mihad ini untukku aplikasikan dalam rencana masa depanku…berilah aku quwwah-Mu ya Allah, amin.)

Kawin-kawin


Judul : Kawin KawinPengarang : Azizi Hj AbdullahPenerbit : Utusan Publication & Distributors Sdn BhdGenre : Novel Mukasurat : 266 halamanCetakan Pertama : 2002ISBN : 9676112976
Harga: RM25.00
P/S: “Beli di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2007, kategori: 18SX (sesuai bagi yang dah kahwin dan otak matang dalam menilai…) dan baca dalam tiga hari dah abis…”

Kawin-kawin…tajuknya pun macam cerita bebudak masa kecil-kecil main pondok-pondok. Masa main pondok-pondok, adalah yang kawin-kawin, maknanya kena duduk bersanding dan bersanding sahajalah, tak boleh lah pula lebih dari itu, tak boleh lah kawin betul-betul, sampai minta ‘bini’ picit belakang…macam mak ayah kita yang kahwin betul-betul…faham ke…betul-betul…?

Pertama kali melihat buku ini ialah sekitar Pesta Buku Antarabangsa pada beberapa tahun yang lepas. Gatal merenyamnya tangan mahu membeli, apatah lagi apabila melihatkan ia juga memenangi hadiah Anugerah Sako, satu penghargaan yang berprestij juga kepada para penulis. Tapi, biasalah kekangan kewangan dan kekempisan poket mengatasi segala. Hasrat dipendam tapi keinginan terus menguja dan membara…

Lalu, pada Pesta Buku Antarabangsa KL 2007 baru-baru ini, saya seperti biasa kembali mengunjunginya. Puas menjamu mata, puas memegang dan mengelek, akhirnya kaki saya menginjak juga ke gerai Utusan. Mata mula melilau menchegoye (kata orang Perak memerhati le ni…), akhirnya ke rak buku tertumpah juga pandangan dan saya terus terkesan kepada beberapa buah buku yang sering menjadi impian, antaranya IMAM karya SN Abdullah Hussain dan juga inilah…Kawin-kawin buah tangan Azizi Hj Abdullah.

Kawin-kawin adalah kisah perkahwinan, secocok dengan tajuknya. Cuma yang ditekankan oleh Cikgu Azizi ialah kahwin kontrak atau kahwin muta’ah. Ada tempoh sah lakunya dan selepas itu kena diperbaharui…macam road-tax lah gayanya.

Cumanya isu yang dibangkitkan bukan sekadar seronoknya kahwin dan yang berkaitan dengan kahwin-kahwin sahajalah, kerana yang dikeutarakan sebenarnya adalah isu umat, isu masyarakat. Kawin itu hanyalah alat…bagi saya, ibarat sindir anak mengata menantu, eh betul ke pepatah ni?

Ia adalah kisah Mas Um yang suka bertukar laki. Ramai lakinya dan setiap yang berbinikan Mas Um akan merasalah nikmat kawin dan nikmat tinggal di Banglo Mas Um dan merasalah mengontrol apa-apa yang berada di bawah lingkungan Mas Um dan Banglonya. Ramai lelaki yang teringinkan Mas Um dan mahu mencalonkan diri menjadi suami kontraknya, tapi yang paling malang ialah si Malang…secocok dengan namanya yang sentiasa malang untuk berbinikan Mas Um, tak pernah dapat dan tak pernah merasalah kawinnya dengan Mas Um itu.

Tapinya, cerita ini adalah kiasan, itu yang saya rasa. Masakan tidak jika di situ dalam daerah Mas Um, maka ada kitabnya… Arraya yang menjadi rujukan…karangan Dr. Demo dan ada juga ahli ilmu yang memang alim tapi bebal dan asyik mengikut telunjuk, si Abul Ahkam…

Lalu, berjalanlah cerita Kawin-kawin, dimasukkanlah usaha si Malang melobi sakan dengan gengnya…Pak Wan dan Din dan Lim dan ramai lah juga, berkerja keras memenangi ‘kerusi’ panas di Banglo Mas Um dan berbinikan Mas Um apakala sampai masanya kontrak kawin dengan Mas Um kena diperbaharui…seperti ajaran dr. Demo dalam kitab Arraya lah dan diakui sah oleh Abul Ahkam.

Maka, Muallim pula digambarkan ‘penghalang’ nombor wahid! Dia dapat kawin dan menguasai Banglo Mas Um dan segala isu suku sakat di daerah itu yang disifatkan Malang dan kroninya sebagai ‘zalim dan tidak adil.’ Kepandakannya, maka benganglah Malang meronggong diri ke daerah Siti Menura, janda Pak Qum dan madu Mas Um yang alim dan warak dan tinggal berguru dengan Tok Guru Lebai Yasin…di sana dia bertukar kulit dan wajah, jadi orang baik walau hatinya sebenarnya masih merenyam dengan Mas Um dan mindanya masih berkapuk pada Mas Um!

Malang adalah tipa manusia bertopeng, manusia jadian dan dalam Islam dapat diklasifikasikan sebagai golongan yang bakal bersama Abdullah bin ubai bin Salul. Dia sanggup buat apa sahaja, termasuklah menyalin 30 juzuk Al-Quran dengan tulisan tangan demi menjadi mas kahwin dan dapat ‘bersatu’ atau diistilahkan oleh Malang yang diiyakan pula olah Abul Ahkam…dapat ‘bersiput babi’ dengan bininya, si Siti Menura. Malang memang bebal dan memang pura-pura, dia buta huruf arab, tak reti solat dan hanya reti buat…ikut sahaja. Dia salin Al-Quran hanya kerana geramnya nak ‘bersiput babi’ dengan bininya…juga menjadi bukti kepada Daerah Mas Um bahawa dia adalah lelaki yang ‘jantan’ dan bukan pondan macam…macam ye…si tukang gajinya yang aww itu…

Lalu, disingkatkan lagi akhirnya Malang kempunan segala segi, baik kempunan nak bermuta’ah dengan Mas Um, kempunan nak menguasai Banglo dan Daerah Mas Um, kempunan nak berligan dan menokak batang leher bininya si Siti dan kempunan nak jadi manusia baik, kerana akhirnya dia jadi gila, gila isim dan gila kawin…

Wallahua’lam…

Isnin, April 23, 2007

Ijok in election

Sabtu malam Ahad, Atih ngajak aku ke Ijok. Just nengok-nengok suasana pilihanraya kat sana. Teringin hati bersambut apabila atih benar-benar mahu ke sana dan kami bertolak dengan Iswara selepas maghrib. Perjalanan ke Ijok melalui Sg Buloh dari Kepong dan kami mulai memasuki sempadan Kuala Selangor sekitar jam 9.00 malam...disambut dengan turapan baru jalan raya dan poster di kiri-kanannya!

Ijok nampak sedikit sibuk. Banyak terpamer kain rentang cantik menandakan bilik gerakan kepunyaan BN, ia dinamakan Rumah Pahang, Rumah Pulau Pinang dan sebagainya. Di Kota Puteri terpampang besar banner Bilik Gerakan Pilihanraya Wanita Umno dengan gandingan dua gambar: Pak Lah Hadari dan Mek Pidah Aziz.

Dari aspek fizikal, tampak tidak begitu seimbang. Bilik gerakan KeAdilan agak-agak jarang ditempuhi. Namun, malam itu aku bernasib baik kerana dapat juga hinggap sekejap di satu ceramah...dah lama tak merasa suasana ceramah, best gak...

Tiada yang begitu mengujakan di Ijok melainkan rumours yang menggambarkan BN bisa tumbang jika silap percaturan di sini. Secara peribadi, aku sangsi keupayaan KeAdilan. Susah menundukkan BN di negara ini, kerana mereka memiliki segala-galanya. Diulangi, segala-galanya...

Marilah kita lihat kesudahan episod di Ijok...28 April 2007 ini tersaji jawapannya!
Epilog KENAPA?

Sedih hati apabila membaca akhbar, majalah dan menonton siaran berita di Tv mahupun rancangan khas berbentuk penyiasatan. Sedih dek kerana teruknya kejatuhan akhlak remaja, robohnya keimanan para muda-mudi dan rapuhnya keIslaman para belia. Bukankah mereka ini bakal pewaris negara? Remaja seawal usia 12 tahun hari ini bakal menjadi ketua jabatan 21 tahun akan datang. Muda-mudi berusia 21 tahun hari ini bakal menjadi ibu bapa 12 tahun akan datang. Belia berumur 30 tahun hari mungkin menjadi ketua menteri pada tempoh 10 tahun akan datang.

Jadi…Kenapa ye? Kenapa kebejatan akhlak menjadi-jadi kini? Kenapa anak-anak menjadi bertambah kurang ajar? Kenapa remaja suka benar mencabar undang-undang? Kenapa murid-murid sekolah menjadi begitu berani merempuh segala sekatan? Kenapa para belia begitu biadap mencabar hukum-hakam?

Untuk lebih terperinci, kenapa remaja hari ini suka melawan kata ibu bapa? Kenapa pelajar hari ini melawan para guru? Kenapa murid-murid sekolah sudah pandai menipu? Kenapa anak-anak muda suka merempit di jalan raya? Kenapa anak-anak gadis teramat suka mendedahkan diri mereka – berbaju sendat dan seluar ketat misalnya? Kenapa anak-anak muda suka berpeleseran sambil minum arak dan berkhayal? Kenapa makin ramai anak-anak muda suka menikmati seks bebas hatta di atas tangga?

Kenapa dan kenapa?Kenapa penjara di negara ini kian sempit sehingga memaksa kerajaan berbelanja untuk membina penjara lagi? Kenapa makin ramai penjenayah lahir setiap hari? Kenapa kes ragut tak pernah berhenti? Kenapa kes rogol atau gangguan seksual kian menjadi-jadi? Kenapa kes bunuh makin kerap terjadi – hatta diletupkan oleh polis sendiri? Kenapa kes culik atau budak hilang makin menjadi-jadi? Kenapa kes buang bayi tak pernah berhenti? Kenapa kes pelacuran dan persundalan tidak pernah berhenti? Kenapa VCD lucah masih melambak di sana sini? Kenapa masih ramai setia menjadi tahu judi? Kenapa masih ramai suka ditipu oleh sindiket skim itu dan ini? Kenapa bomoh palsu masih laku di sana sini?

Soalan lain, kenapa rumah urut yang diserbu setiap hari kemudian diserbu lagi? Kenapa ramai penagih dadah ditangkap kemudian esok masih ramai lagi? Kenapa pelacur asing diberkas di hotel kemudian esok lusa masih ramai lagi? Kenapa pembuli jalan raya makin berani membuli polis trafik pula kini? Kenapa rasuah yang dihingarkan dari dulu tak pernah sunyi-sunyi? Kenapa politik wang kononnya dibenci dicaci namun sampai sekarang masih berdaki? Kenapa perpaduan dicari namun cemuhan dan fitnah diberi?

Kenapa sekolah dibina cantik namun ditinggalkan begitu sahaja walau baru setahun diduduki? Kenapa sampai urusan pajabat terhenti dek kerana air dilantai bergenang sana sini? Kenapa tanah runtuh di cerun bukit sana namun bulan depan cerun sini dibina lagi? Kenapa banjir kilat merata-rata di bandar besar sedang ia bukan lagi misteri? Kenapa sungai boleh meruah melimpah sedang dahulu elok sahaja tak pernah bah? Kenapa dahulu sejuk udara di tanah tinggi tapi kini panas membahang membakar diri? Kenapa asap kilang mencemar alam disaman sedang asap rokok berlegar di halaman? Kenapa kata rokok memudaratkan tapi iklan dan jualan masih ada bersiaran? Kenapa kata jauhi AIDS tapi di media memaparkan indah seks dengan pelbagai pendekatan? Kenapa suruh setia dengan pasangan sedang wayang gambar import selalu paparkan budaya hidup bebas orang barat tanpa sekatan?

Kenapa suruh martabat budaya bangsa dengan batik dan songketnya jika di media artis barat yang bertindik di pusat itulah yang dibanggakan? Kenapa suruh kuatkan jati diri sedang bahasa sendiri kian terhakis kini? Kenapa bising fasal Ali Baba dan tiris melata jika tender diberi atas nama kroni? Kenapa marah projek tidak siap ikut jadual kalau kos berbelanja lebih besar dari yang sebenar? Kenapa bising fasal kemelut perguruan kalau kata hati para guru tidak dihiraukan? Kenapa marah pelajar enggan bayar hutang pelajaran sedang itu tanggungjawab kerajaan? Kenapa marah eksekutif muda meminjam dan berkad kredit sedang media sendiri menggalakkan kemewahan? Kenapa bingar fasal ah long sedang bank-bank sendiri kekadang macam Abang Long? Kenapa bising fasal rakyat setinggan sedang harga rumah kos rendah makin meningkat macam mangkun ayan?

Kenapa? Tepuk dada Tanya iman…