Memaparkan catatan dengan label Memori. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Memori. Papar semua catatan

Isnin, Julai 23, 2007

Ada Apa Dengan Usrah (Bahagian II)


Saya terpikat pada kelembutan seorang senior lower six…bukan perempuan, tapi seorang lelaki. Halim namanya. Dia punya perawakan lemah-lembut, wajahnya redup dan buah tuturnya lunak serta tidak kasar. Bila berjalan nampak teratur langkahnya, duduk bersimpuh nampak tenang dan bila memberi tazkirah Maghrib selalu nampak syahdu. Saya mulai merasa ada aura tertentu yang menarik bagai besi berani ke arahnya. Saya mula mengenali sunnah nabi. Saya mulai tahu kalimah daie’. Saya mula berbicara soal ta’lim dan ta’lum. Saya mula mahu mengenali pakaian Islam. Akhirnya, saya mula melilit serban!

Sebelum itu, saya ingat-ingat lupa pernah satu malam pada bulan Ramadan pada tahun 1988 kami dibenarkan pihak asrama menunaikan solat tarawih di luar. Saya dan kengkawan memilih sebuah masjid berdekatan kuarters tentera, Masjid Pakistan namanya.

Semasa solat, saya terbau masakan kari. Perut pun mula bernyanyi. Saya membayangkan nasi panas beruap dengan kuah kari yang enak serta ikan tongkol yang menunggu untuk dicekau dan dicekik. Seusai solat, kami pun keluar meninjau. Wah! Sudah terhidang makanan yang berbau kari itu…tapi, semuanya diadunkan di dalam dulang.

Kami memasing saling melihat, hati yang teruja mula kelabu. Masakan kami mahu duduk berlaga lutut makan sedulang…dengan para pak syeikh yang panjang-panjang janggutnya…eii…geli! Lalu kami pun meminta diri walau dipelawa berulang kali. Kata kami: “Terima kasih…lain kali…”


...Fajar Islam Mulai Menyinsing

Rabu, Julai 18, 2007

Ada Apa Dengan Usrah?


Usrah bukan benda baru dalam kamus hidup saya. Seingat saya, perkataan ini mula 'tubit' (muncul) dalam kehidupan ini seputar saya di usia 15 tahun. Saya menumpang sebuah usrah muslimat yang naqibnya adalah guru sains kami, Cikgu Alias namanya. Tika itu, tidak silap saya sudah ada tiga orang anak usrah tidak termasuk saya, seorang bernama Fesah Anisa dan seorang lagi Harmila. Seorang lagi saya sudah tak ingat siapa. Seorang lagi guru menjadi naqib kami ialah Cikgu Johar, guru lukisan yang sangat cantik hasil tangannya.

Sebelum berjinak-jinak dengan usrah, saya mula mengenali Islam sebagai agama yang syumul melalui Jama’ah Tabligh. Kisahnya agak lucu. Ringkasnya beginilah…semasa tingkatan satu, saya mendapat tawaran ke Sekolah Menengah King Edward VII, taiping dalam Rancangan Khas. Dewasa itu, pengaruh muzik rock begitu berleluasa.

Di Taipinglah saya mengalami kejutan budaya. Saya amat meminati rock, saya hafal nama-nama kumpulannya di dalam dan luar negeri. Saya tampal poster rock dalam locker di asrama dan bila ada spot check, selalu saya kena tegur dengan senior. Saya selalu kena buli dengan geng-geng senior yang tak gemarkan junior macam saya berpewatakan rockers…mereka gelar saya rocker kampung, walhal mereka pun orang kampung juga…piiidah!

Saya tetas dan kecilkan kaki seluar sekolah dan semua seluar lain termasuk seluar baju Melayu. Punya kecil sampai nak masukkan kaki kena duduk dan tarik kuat-kuat. Jika seluar sekolah, cuttingnya pun ada gaya tersendiri. Poketnya tidak memanjang melainkan melintang macam seluar jeans. Seluar itu pula bila dipakai kenalah di bawah pusat, biar londeh baru rugged. Kami kenakan tali pinggang kulit yang berkepala besi (buckle), dengan tulisan LEE atau sebagainya.

Beg sekolah juga mesti ada pengaruh rock. Saya beli beg Iron Maiden yang bergambar robot dan tengkorak dan entah apa-apa ntah! Jika keluar pekan Taiping hujung minggu, kami bergerombolan. Kami suka meninjau-ninjau bazaar di Taiping, naik turun super market, layan ais kacang, usha awek (MRSM dan Sek Sains Taiping) dan lepak kat Taman Tasik Taiping. Ada duit lebih, sambarlah baju yang nampak daring dengan identity rockernya, ada gambar bulan Jepun siap dengan tulisannya lagi. Belek-beleklah kaset rock yang punya berlambak di pasaran…nak beli tak mampu lagi.
Semasa di tingkatan dua, saya mula disapa bayu hidayah. Saya masih didera dan dibuli oleh para senior yang sampai sekarang saya masih tidak dapat lupa wajah hampeh mereka! Tak tahulah, jika tetiba saya menjadi bos mereka di ofis…nahaslah! Saya akan belasah mereka cukup-cukup… (SAMBUNG DAA…!)