Ahad, Januari 27, 2008

Interlok


Interlok – EDISI PELAJAR, Abdullah Hussain, DBP, 2005 (cetakan awal 1973), RM20
(p/s: Tamat dibaca pada 2.35 am, dinihari 9 Jan 208)

Saya membelek-belek novel ini lama dahulu, ketika menemankan isteri tercinta ke Bangi pada tahun 2007. Sementara isteri menyelesaikan urusannya di bank, saya berlegaran di kedai buku Unikeb. Pantang benar saya jika dapat membelek mana-mana hasil tulisan para Sasterawan Negara. Hari itu, saya terjumpa karya SN Abdullah Hussein – Interlok. Saya mencapainya dan beriringan dengan itu juga saya mengilik Lamunan Puitis karya SN mapan Pak Shahnon.


SN Abdullah HussAin agak lewat memasuki senarai penulis ‘berat’ yang saya minati. Saya lebih dahulu memesrai novel-novel SN Arena Wati, Pak Samad mahu pun Pak Shahnon. Jika puisi, saya suka kepada puisi Cikgu Masuri SN dan SN Keris Mas yang kini telah pun gemulah. SN Abdullah Hussain mula memukau indera dan kalbu saya lewat garapan novelnya – Masuk Ke Dalam Cahaya – sebuah naskhah novel Islamik yang mempunyai ciri-ciri unik yang memang saya idami selama ini, novel yang saya tuntasi lewat cuti tahun lalu di kampong saya di Lenggong. Sejak itu, saya mulai menyukai karya SN Abdullah Hussain…maaflah agak terlambat!

Interlok adalah kisah tiga rumpun bangsa di Tanah Melayu yang akhirnya membentuk Malaysia – Melayu, Cina dan India. Memasing mempunyai rentetan sejarah yang tersendiri, ada kronologi yang mungkin selama ini tidak pernah pun diketahui oleh generasi terkemudian pasca kemerdekaan.


Ia adalah kisah orang Melayu yang tergadai atau sengaja membiarkan diri menjadi ejen yang menggadaikan maruah bangsa dan negara sendiri. Ia juga memaparkan kisah bangsa Cina yang berkelana merentasi lautan demi lautan dan mendenai daratan demi daratan, jauh meninggalkan Tung San dan Tanah Besar China ke Tanah Melayu. Kisah ketegaran diri, saling mengeksploitasi dan kegigihan yang membuahkan hasil atas jerih yang bukan kepalang – namun masih amat tebal sensitiviti kecinaannya! Juga kisah bangsa India yang sanggup berkelana demi kehidupan yang lebih baik di negeri Melayu ini – dengan harapan dapat membina masa hadapan yang jauh dari belenggu kasta yang mengharamkan sekali pun tersinggung punggung di tanah yang serba miskin itu.


Naskhah ini mempunyai tiga bab bertambah satu bab yang dinamakan Interlok. Pada mulanya saya menyangka ia adalah kisah yang berlainan. Namun mula menyedari akan jalinan yang wujud antara Pak Musa, Cina Panjang dan Tandil Maniam. Seman anak Pak Musa mewarisi harta yang disangka miliknya, namun hakikatnya ia adalah milik Cina Panjang dek kealpaan Pak Musa yang membeli tanah-tanah di kampong Nyiur Chondong sebagai proksi kepada Cing Huat Si Cina Panjang. Setelah kematian Pak Musa, Seman dan ibunya jadi pengemis dan merempat di tanah air sendiri, dihalau begitu sahaja oleh Cina Panjang. Ia menyedarkan saya bahawa upaya mengeksploitasi bangsa Melayu telah lama berlaku sejak sebelum merdeka lagi. Maka tidak peliklah jika hari ini pun masih ramai orang Melayu yang sanggup dipergunakan sewenang-wenangnya oleh orang lain demi keberuntungan yang amat seceleh!


Berlainan halnya dengan si Panjang atau nama asalnya Cing Huat – anak kecil yang sedari awal mengembara meninggalkan Tung San dan Canton membuntuti papanya hingga ke Malaya. Nyaris dijual dan menjadi kuli batak di merata tempat. Merasai getir pahit mencari sesuap nasi dan turut menjadi mangsa eksploitasi bangsa sendiri – Paman Kok Leng. Cing Huat dan papanya Kim Lock adalah lambang ketekunan, keunggulan dan kesungguhan bangsa bermata sepet ini, sedar diri adalah pendatang yang perlu merebut segala peluang mendatang. Cing Huat akhirnya berkahwin dengan anak gadis Cina kelahiran Tanah Melayu yang baginya tidak begitu mengenali hati budi bangsa sendiri berbandingnya dan papanya sendiri hanyut dalam ketagihan candu hingga mati. Mengenali Cing Huat membuatkan saya insaf, hidup adalah terlalu mahal untuk dipersiakan. Namun mengenali si Panjang ini juga menginsafkan saya bahawa, selama ini memang benarlah golongan Cina seperti ini memang memandang rendah kepada kaum Melayu yang dipanggil mereka Huan Na – si pemalas!


Begitu jugalah kisah Maniam, yang ditipu hidup-hidup oleh bangsanya sendiri bahkan terus-menerus menjadi mangsa keadaan dek kerana sifat di kalangan bangsanya yang memang suka dengki berdengki. Berbekalkan hasrat mahu mengubah nasib diri dan keluarga, Maniam sanggup meninggalkan isteri tercinta datang ke Malaya. Menjadi buruh di ladang dan sebagainya sebelum terjebak dalam pelbagai kemelut sehingga makan hati dipisahkan dari isteri kerana fitnah! Namun mengenali Maniam juga menyerlahkan sikap kenang budi yang begitu tinggi sehingga layak menobatkan dirinya sebagai lambang satu bangsa yang punyai sifat terpuji, iaitu sedar diri dan tahu menghargai!


Walau bagaimanapun, ada semacam tautan halus yang menyedarkan saya bahawa ketiga-tiga bangsa ini sebenarnya saling memerlukan. Ia dijelmakan lewat akhir-akhir plot penceritaan, khasnya saat Tanah Melayu di dalam kancah peperangan Dunia Kedua, juga bagaimana bergelutnya anak Melayu mengejar kemerdekaan dan ia memerlukan dokongan semua pihak.


Tidak rugi rasanya menghabiskan naskhah yang telah diringankan ini. Ia adalah wadah buat kita memahami struktur awal bangsa-bangsa di Malaysia dan menilai sendiri kedudukan kita hari ini, adakah sudah jauh berubah ataupun masih memiliki mentaliti sama seperti dahulu yang sampai bila-bila sukar diubah – khasnya orang Melayu!

Tiada ulasan: