Isnin, Oktober 20, 2008

Memualkan, huih...loya sungguh!


Budaya politik di negara ini memualkan...itulah yang saya rasai. Menyampah betul melihat gelagat para hamba politik ini. Terutamanya yang mengabdikan diri demi jawatan dan habuan duniawi!


Hakikatnya saya bukan membenci politik. Bahkan saya yakin, politik ada dalam kehidupan. Cara nak memujuk isteri, mengambil hati anak-anak bahkan menackle hati mak ayah pun kena pandai politik. Sebab itu politik penting dan Islam sesekali tidak meminggirkan politik.


Apa yang saya maksudkan meluat dan menyampah dengan politik ini, ialah apa yang sedang berlaku sekarang ini. Hari-hari masuk akhbar isu pemilihan jawatan. Jika pilih baik-baik tak apalah, tapi dihiasi dengan hentakan kerusi meja, layangan penumbuk dan terjangan kaki, pukulan kayu golf bahkan sampai ke tahap report polis kerana ada unsur-unsur jenayah...ni apa jenis pemilihan ni?


Golongan inilah yang menyebabkan saya meluat sangat-sangat. Rasa nak tampar aje muka sorang-sorang, tak pun pulas telinga, tak pun luku kepala...depa ni macam tak sedar, jawatan yang direbut itu adalah amanah. Depa berebut sakan macam ada sesuatu dengan jawatan itu. Ini yang pelik.


Dalam masa yang sama, rakyat terus terhimpit. Ni minyak yang dok turun sekupang dua, apa kesannya kepada harga barangan runcit. Tak dak langsung! Harga beras, minyak masak, bawang merah, bawang putih, ikan temenung dan ayam dok macam tuuu lah...abih tu, apa maknanya?


Inilah yang betul-betul menambahkan kemeluatan dan mualnya hati saya. Rasa macam nak muntah melambak-lambak. Apa jenis manusia ni. Rakyat dibiarkan susah sedang depa mampu bermewah-mewah. Pesan kepada rakyat hidup berhemat sedang mereka hidup macam takdak kiamat. Pulun apa sahaja, selagi mampu dan selagi berkuasa.


Agak-agaknya, depa ni semua nak bawak harta, kuasa, nama dan jawatan itu masuk ke dalam kubur agaknya...manalah tahu, dua malaikat munkar nankir pun terima juga wang saguhati atau rasuah mereka, alah...seperti yang depa biasa buat semasa di dunia!

Jumaat, Oktober 17, 2008

Pandangan terhadap cerpen Chamil Wariya ‘Politik Baru YB J’


Pertamanya, maaflah…saya tak membeli akhbar Mingguan M’sia dan masih tak sempat menelusuri jalan cerita cerpen.

Kedua, maaflah…pengarang cerpen itu pun bukanlah pengarang favourite saya, tidak seperti cerpen-cerpen Pak Shahnon, Cikgu Azizi waima Sdr Faisal Tehrani…tu yang kurang motivasi nak baca tu…

Ketiganya, maaflah juga…tajuk yang dipilih pun entah apa-apa…mungkin berjaya disiarkan atas kapasiti bekas pengarang kanan akhbar berkenaan atau atas sebab memang arahan dari atasan agar cerpen itu disiarkan…tajuknya tak best langsung dan tak ada aura tarikan pun!

Baiklah. Saya pun menulis cerpen. Biasanya karya sebegini dipanggil karya fiksyen. Ya, karangan yang selalunya sering dilapik dengan kata-kata: Tiada kena mengena dengan mereka yang masih hidup atau sudah mati!

Apa-apa pun, seorang pembaca juga berhak membuat tafsiran. Misalnya dalam karya SHIT oleh Pak Shahnon, mana ada dia sebut siapa dia ‘orang tu’…tapi semua orang tahu kan. Sampai ada kalangan sasterawan sendiri bidas Pak Non, anggap itu novel sampah!

Tapi, ada kelainan antara karya Pak Non dengan Si Chamil ini. Iya, karya Pak Non mengisahkan kepala yang tak nak keluar atau hakikatnya turun takhta. Sedang yang ini kisah perkauman. Parah ni. Jelas ia berintikan faham sempit perkauman. RASISME!

Dalam konteks massa, karya seperti ini dianggap melampau. Ia menyinggung sensitiviti secara keterlaluan. Pengarang langsung tidak menggunakan kaedah perlambangan. Pak Non sebaliknya menggunakan secara jitu aspek perlambangan. Maka, Chamil memang jenis pengarang yang tidak bijak.

Seorang pengarang yang baik sepatutnya menarik pembaca melalui penggunaan bahasa yang baik, diksi dan perbendaharaan kata yang mengkayakan, susunan plot yang menarik, ditambah dengan pelbagai unsur lain seperti unsur suspen dan sebagainya. Klimak sebuah cerita yang baik sepatutnya menyuntik kesedaran batini; bukannya menambahkan kebencian di hati.

Ya. Inilah ironinya daripada apa yang disebut secara konsisten oleh ketua pengarang itu sendiri, Pak Lah. Bahawa mereka menjulang perpaduan. Sayangnya, Pak Lah menampal cawat yang bocor sedang Chamil merobek-robek pula di ekor!

Kasihan Pak Lah…!


p/s: PENA keluar kenyataan hari ini bahawa cerpen dan sajak adalah karya kreatif yang menjadi hak penulis untuk berkreatif...saya nak lihat kot-kot lepas ni apa kenyataan mereka jika ada pula penulis buat perkara yang sama kepada Pak Lah dan Najib, depa marah tak?

Posting ini saya ambil dari blog Mat Saman Kati


Oleh: Matkeri

Ringgit dah cecah 3.50 berbanding US Dollar pada bulan ini. Dua bulan terlebih awal dari jangkaan gomen kita. Aku dah nampak Najib berkerut dahi antara nak tambat dengan tak tambat ringgit kali ni. Dalam masa yang sama, sedang Pak Lah jadi menteri kewangan bulan lepas, dia dengan konfiden mengunjurkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5%. Disokong dengan bongkaknya oleh mat yakkob.


Sebulan lepas, ekonomi Malaysia menunjukkan kekonfidenan yang boleh dikawal. Walaupun semua bursa terjun tiruk, termasuk pelabur yang pacak kepala dari tingkat 20, Malaysia masih lagi bongkak mengatakan ekonomi kita masih “mapan” dan “utuh” di bawah kerajaan yang tak dapat mandat 2/3 nih. Kalau ada “sedikit” kekalutan pun, bukan disebabkan oleh ketidakcekapan gomen, atau gangguan pasaran global, tapi sebaliknya dek kerana ketua pembangkang kita, Anwar Ibrahim yang katanya “menakutkan” pelabur.


Laporan ekonomi dalam tivi juga agak lawak. Dalam melapurkan pasaran bursa dunia yang jatuh dalam angka peratusan, tapi bila tiba laporan bursa Malaysia, ia dilapurkan dalam bentuk perpuluhan. Sunggo aneh.


Tapi harini lain pulak ceritanya. Gomen terpaksa akur bahawa depa tak dapat tipu rakyat sampai bila2. Bila indeks nikkei jatuh sampai 11%, gomen akur dan terpaksa mengumumkan pengendutan ekonomi daripada 5% kepada 3%.


Kesimpulannya? Malaysia sama2 terjun tiruk. Ekonomi kita makin teruk. Dan tahun depan semua kena start makan jeruk. Semua kena belajaq ikat perut.


Apakah punca semua ni sebenarnya. Mudah, back to basic. Kembali kepada yang asas. Bila kita bercakap tentang ekonomi (ekonomoney?) ni, tak boleh tidak, kita mesti kena becakap tentang asas yang menjana ekonomi tu sendiri : persepsi rakyat. Persepsi rakyat terhadap kerajaan. Persepsi rakyatlah sebenarnya yang menyumbang kepada kembang kuncupnya ekonomi dalam negara. Itulah sebenarnya asas kepada ekonomi sesebuah negara.


Jika rakyat yakin kerajaan yang ada itu kuat, maka kuatlah ekonominya. Jika rakyat rasa kerajaan itu lemah, maka lemahlah ekonominya.


Persepsi rakyat.


Tanya semua rakyat yang ada sekarang, samada yang tengah meeting pilih perwakilan, atau yang kutip tin tepi jalan, yakinkah mereka dengan perdana menteri yang ada sekarang? Pak Lah? Yakinkah kita pada ghentua sorang ni? Silap2 kita pulak kena mintak diri sebab tak larat dengaq depa beletiaq tak puas hati.


Nah, lepas tu tanya pulak tentang “bakal perdana menteri” kita nanti. Mampukah Malaysia bangun di bawah pemerintahan Najib dan bini? Aku gerenti sebelum sempat aku habiskan taip ayat tadi korang dah bejuih2 bibir mulut sambil mengeluh “huh”!


Negara rasuah menghasilkan rakyat yang resah. Pemimpin yang lemah menghasilkan rakyat yang gelisah! Rakyat yang resah dan gelisah akan hidup dalam kebimbangan. Dan rakyat yang berada di dalam kebimbangan akan cuba sedaya upaya untuk menjaga masa depan mereka dengan mengumpul harta dan tidak berbelanja!


Macamana rakyat nak berbelanja jika depa tau pemimpin atasan tak cekap urus ekonomi? Atau rakyat tau yang perdana menteri masa itu dikelola oleh bini yang mengukur kejayaan seseorang berdasar kepada kembang rambut, atau jumlah almari kasut? Duit terpaksa disimpan takut2 dibuang kerja. Bila duit simpan bekepuk sebab nak jaga masa depan, produk melambak di pasaran tadak orang nak beli. Bila produk tadak orang beli, majikan terpaksa jual murah. Bila jual murah, untung kurang. Bila untung kurang, hutang tak boleh bayaq. Bila hutang tak boleh bayaq, bank ligan. Bila bank ligan tak boleh bayaq, meniaga tutup kedai. Bila kedai tutup, pekerja kena buang, tadak pendapatan, bank pun rugi sebab tadapat duit hutang. Bila pekerja kena buang, duit nak belanja makin tadak. Bila nak belanja tadak, lebih banyak perniagaan gulung tikar sebab barang tak laku. Lebih susut duit kat bank sebab lebih ramai tak bayar hutang.


Rumah tak boleh beli sebab bank tadak duit nak bagi hutang. Kereta tak boleh beli sebab bank serik nak bagi hutang. Sektor besar akan merudum, sektor kecik apatah lagi. Ekonomi akan lebih gawat, rakyat akan lebih gayat, akhirnya semua merana!


Pasai apa?


Pasai rakyat tak yakin pada kepimpinan yang ada. Rakyat tak yakin pada pak lah untuk kendali ekonomi, atau pada najib yang diperintah bini. Kalau rakyat yakin pada pemerintah, rakyat lebih konfiden tentang masa depan. Jika rakyat yakin pada masa depan, rakyat tak kisah untuk bershoping sakan. Dan jika rakyat bershoping sakan, lebih untung perniagaan, lebih banyak produk ditawarkan, lebih banyak peluang pekerjaan, lebih jenuh syarikat bagi bonus dan habuan, lebih kerap orang bayaq hutang, lebih senang bank nak bagi pinjaman, lebih senang hati semua orang!


Ekonomi negara digerakkan oleh persepsi rakyat. Itulah asas ekonomi kapitalis yang kita kendong selama ini.


Jika kita terus diperintah oleh kerajaan yang korup, pemimpin yg lemah dan perasuah, sistem yang tiada integriti, yang terus2an membimbangkan rakyat dan pelabur, bersedialah kita untuk menghadapi masa depan yang lebih kelam.


Tetapi jika kita terus menyokong sebarang usaha untuk membetulkan keadaan, menolak kerajaan yang korup dan zalim dengan apa cara sekalipun yang dibenarkan oleh perlembagaan dan undang2 demi untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan, insyaAllah masa depan akan lebih cerah dan gemilang.


So, sekarang ni terpulang kepada korang. Samada nak mula belajaq makan ubi kayu, atau nak mula berangan beli rumah baru.


dr67m6udrt

Khamis, Oktober 16, 2008

Bahasa Melayu dan pejuang keris...cis!!!



Pucuk putat warnanya merah,
Bila dikirai terbang melayang;
Duduk muafakat mengandung tuah,
Sengketa usai dendam pun hilang.


Saya baru menemui halaman ini http://melayuonline.com/ sebuah halaman yang memuatkan tentang sastera dan budaya bangsa Melayu. Saya tertarik dengannya dan daftar menjadi ahli.

Ya, apa kaitannya dengan pantun di atas?

Secara harfiahnya pun kita sudah mampu menelah, pantun empat kerat itu menyeru kita duduk bersatu. Ia boleh disanggakan kepada pepatah Melayu:

Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

Begitulah budaya dan resam Melayu, banyak ditopang dengan rencah bahasanya. Sayang seribu kali sayang, bahasa yang indah dan lunak serta berinovasi tinggi inilah pun, yang dipertikaikan sendiri oleh (kononnya) pejuang bangsa Melayu.

Dah…mula nak menerjah ke politik dah U-HAH ni…

Habis tu nak buat bagaimana? Saya ada membaca sepintas lalu tulisan LanH dalam kolum English Section di akhbar Harakah. Katanya, bebaru ni riuh sanak saudara dan ipar duainya yang bertingkah pendapat isu pengajaran subjek Sains dan Matematik dalam BI.

Siapa yang kuatkuasa dan pertahankan benda ni, siapa? Tanyalah Tun Det, Pak Lah atau Najib…mereka 100% tahu jawapannya. Habis tu, mereka buat apa, sedang mereka ada kuasa!

Sayang seribu kali sayang, akhirnya bahasa yang pernah mencorakkan tamadun Melayu-Islam di nusantara ini tinggal sepi di makan hari. Dan inilah jasa besar golongan opportunis Melayu yang kononnya menghunus keris sambil menjerit: Hidup Melayu!!!

Kredit: Dato' Seri Nizar pernah menyaman kerajaan Malaysia dalam memperjuangankan legasi Bahasa Melayu. Jadi, siapa kata PAS tak sayang Melayu?

Selasa, Oktober 14, 2008

Bila SRK dpt Datukship!


Yang sebenar-benarnya, dari dahulu lagi saya gelihati dengan penganugerahan darjah kebesaran di Malaysia. Ini kerana, Malaysia adalah negara yang teramai bilangan sultan atau rajanya dan ditokok lagi dengan YDP negeri, maka sebab itulah anugerah darjah kebesarannya melambak-lambak.

Saya sebenarnya juga musykil dengan sesetengah negeri yang begitu mudah memberikan anugerah. Jika diikutkan bahasa kasar…apa kah @*&^&nya maka diberikan anugerah sehingga membawa gelaran Datuk dan sebagainya, kepada individu-individu yang bukannya berjasa sangat pun.

Saya bukanlah cemburu, nak kata teringin tu…kadang-kadang teringin juga, tapi taklah sampai meleleh ayaq lioq!

Sungguh…ni apa ni, beri gelaran yang begitu besar kepada artis. Apa jasa artis, hang cuba mai habaq kat sini sat Ali? Oi…Ali, hang dengaq tak? Dah la artis bollywood yang tergedik-gedik…he….

Daripada hang cadangkan nama tu Ali, baik hang habaq kat Khalil tu, calonkan nama bapak aku. At least, bapa aku dulu pernah jadi sojar dan lama jugak berkhidmat kat Melaka! Apa hang ingat sojar menari tergedik-gedik sambil peluk bini orang ka?!

Cis!!!

Aku rasa orang Melaka patut rasa cukup terhina dengan insiden ini. Hanpa patut komen, buat demo dan tunjukkan sikap. Ni…pasai 10% nak buka kepada non bumi di UiTM, bukan main lagi puak-puak NUNO tu ajak bebudak kat kampus UiTM berdemo. Habis tu yang ni…hanpa buat apa…

Ni patut kena Tanya soalan ni kepada Pak Cik Berahim Abu. Kawan aku kata, masa dia kat UiTM, kena paksa memanjang.. Ha…paksa la bebudak hang tu buat demo kat Lendu, bantah anugerah datuk ni kepada artis gedik-gedik tu!

Aku tak tau apa nak jadi dengan negeri Melaka…dah la sultan hilang takhta, la ni gatai nak beri datuk kat orang luar pula, yang aku sendiri sampai saat ni tak tahu apa jasa dia!

Khamis, Oktober 09, 2008

Kisah ekonomi pulak!


Saya tak pandai bab ekonomi. Tapi kata kawan semasa makan pagi tadi, ekonomi dunia makin teruk. Ini kerana, banyak negara menyandarkan nilai mata wang mereka kepada dollar US. Sebab itu, bila dollar US teruk, ia akan merudumkan banyak negara lain.


Kawan saya itu juga menyatakan, ada pendapat yang menjangkakan krisis ekonomi pada kali ini akan lebih kronik berbanding tahun 1998-1999.


Sebab itulah, dia mengungkit apa yang pernah diberikan amaran oleh Pak Syeikh Anwar, bahawa sikap kerajaan khususnya Pak Lah dan Najib yang enggan membuat sesuatu bagi memulihkan ekonomi adalah amat dikesali. Anwar misalnya pernah menyatakan, kenaikan inflasi tertinggi dan FDI yang tidak masuk lagi ke Malaysia.


Malangnya kata kawan saya, orang Malaysia khususnya bangsa Melayu jenis yang kurang membaca. Apatah lagi membaca berita ekonomi. Ditambah dengan sikap pihak pemerintah yang masih menafikan kegawatan, maka orang Melayu khususnya masih terasa 'tidak ada apa-apa' walaupun hakikatnya bahang kemelut itu sudah mulai merebak ke negara ini.


So, apa nak buat? Lu fikirlah sendiri...kata Nabil!

Selasa, Oktober 07, 2008

Kenangan Siti dalam hidup saya


Semalam saya telah melakukan satu tindakan nekad. Enam ekor kucing saya masukkan ke dalam kotak. Jam 10 malam, saya ke Ampang. Kemudian saya tinggalkan kucing-kucing itu di SPAC…sebuah pusat jagaan haiwan. Dengan harapan, kucing-kucing saya itu akan selamat di sana.

Sebenarnya, saya amat menyukai kucing. Sejak kecil saya telah begitu rapat dengan kucing. Kucing-kucing pula mudah mesra dengan saya. Bagaikan ada chemistry antara saya dan kucing. Kucing yang liar pun kadang-kala mudah jinak di tangan saya.

Ada pun kucing yang saya hantar ke SPAC semalam, ialah Siti dan lima ekor anaknya. Siti adalah kucing kacukan, antara spesies Malaysian cat dan Persian cat. Ciri-ciri jelas Persian-nya boleh dilihat pada bulu-bulunya yang lebat, khasnya pada bahagian ekor dan misai yang melentik panjang.

Semasa mengjumpai Siti kira-kira enam tahun lalu, dia amat daif sekali. Saya dan isteri baru pulang dari Pusat Perubatan Ko-Hilal di Taman Melawati. Semasa mahu pulang, saya dapati ada seekor ibu kucing sedang menyusukan anaknya di bawah kereta saya.

Saya cuba menghalaunya. Takut nanti mati dilenyek tayar. Kasihan, kedua-duanya kelihatan begitu tidak bermaya. Perutnya kempis. Bulunya kusam tidak terurus. Saya angkat keduanya dan sisihkan di atas simen di koridor kedai.

Semasa mengangkat Siti itulah saya perasan akan cirri-ciri kecantikan kucing ada padanya. Lalu hati saya tergerak untuk membelanya. Paling pelik, ibunya yang saya lihat daif tadi hilang ghaib dengan tiba-tiba. Mungkin nalurinya tahu, saya akan mengambil anaknya sebagai anak angkat.

Siti menumpang kasih pada Putih, seekor kucing yang datang menumpang di rumah kami di Serendah. Putih pula sabar menyusukan Siti. Akhirnya Siti membesar dan mulai menunjukkan kecantikannya. Orang yang datang ke rumah kami turut memuji akan kecantikan Siti.

Tidak lama kemudian, Siti mulai mengandung. Inilah yang saya tak tahan. Mula-mula beranak, Siti melahirkan 4 ekor anak. Begitulah setiap kali Siti beranak, dia akan melahirkan 4-5 ekor anak. Saya mulai rimas. Letih dan cuak melayannya.

Terkini, seputar sebulan lalu Siti melahirkan anak lagi, lima ekor. Walhal anak-anaknya yang terdahulu masih kecil. Siti mulai mengandung sedangkan anaknya sedang menyusu. Siapa yang tak bengang…! Gatal betul si Siti ni!!!

Saya terpaksa nekad. Di rumah sudah ada sembilan ekor kucing. Wangian najisnya bagaikan aroma pagi yang akan mematikan mood ceria kami sekeluarga. Akhirnya saya terpaksa menghantar Siti dan lima ekor anak kecilnya ke tempat lain.

Maka, itulah kisah Siti dalam hidup saya…!

Isnin, Oktober 06, 2008

Kenangan raya 2008


Antara thrill pulang ke kampung pada musim idul fitri ialah, menempuh perjalanannya yang terpaksa bersesak dan beratur panjang membayar tol. Tapi...pengalaman itu nampaknya tak ada pada tahun ini!


Seorang kenalan saya di Tmn Muhibbah, Sg Siput merungut, katanya dia rasa balik kampung beraya semacam balik kampung pada hari-hari biasa. Rasanya nak sahaja dia berpatah balik ke KL dan pulang sekali lagi...kerana kurangnya jem di lebuh raya!


Ada tak ada thrill pun, sudah begitu jadinya. Mungkin anak-anak perantauan pulang sedikit demi sedikit kerana hari raya jatuh pada Rabu, makanya lebuh raya tidak sesak.


Tapi ada sesuatu yang saya rasa tidak lengkap. Ya, banner menyambut kepulangan anak rantau amat kurang di daerah Ipoh, Kuala Kangsar, Lenggong mahu pun Gerik. Tidak seperti tahun-tahun dahulu, parti-parti politik berebut-rebut menaikkan banner meraikan kepulangan anak-anak rantau. Apa dah jadi? PAS pula, saya lihat sejak pegang negeri Perak ni makin 'slow' dalam kerja-kerja promosi ini. Janganlah begitu MB Nizar...


Kemeriahan beraya di kampung memang ada walaupun saya rasakan makin setahun makin pudar. Maklumlah, usia kian meningkat. Namun, suasana kampung di Lenggong memang agak sunyi. Semasa saya kecil dahulu, suasana menyambut raya memang meriah betul.


Apatah lagi sejak Lebuh Raya Timur Barat siap, maka jalan lama bertambah sunyi. Pekan Lenggong pun tidak semeriah dahulu. Itulah akibatnya, apabila pembinaan jalan baru tidak memikirkan kesannya kepada pembangunan ekonomi penduduk lokal. Kasihan mengenangkan nasib Pekan Lenggong...dari dulu sampai kini masih tidak banyak berubah wajahnya.


Berbeza suasana di Bandar Kuala Kangsar. Meriah dengan aktiviti ekonomi. Masjidnya juga hidup. Saya sempat bertarawih di Masjid Ridwaniah. Imamnya seorang anak muda yang bergelar al-hafiz. Sejuk mendengar bacaannya.


Kira-kira sembilan hari di kampung, saya puas. Bahkan saya sempat memikirkan beberapa penambahbaikan untuk raya yang akan datang, khususnya bagi melicinkan sambutannya. Maklumlah, ibu bapa dan ibu bapa mertua saya makin tua. Saya memikirkan untuk mengadakan rumah terbuka agar anak cucu dan saudara mara dapat dikumpulkan pada satu hari dan saya yakin, orang tua saya tak lah penat sepanjang 3-4 hari raya melayan tetamu siang dan malam.



Selasa, September 23, 2008

Beza PR dan BN

Hari ini Anwar jadi PM
Esok minyak turun 70 sen
Hari ini Anwar memanaskan kerusi PM
Esok juga semua tahanan ISA dibebaskan!

PR perintah Selangor
Air percuma diberikan
BN perintah Selangor
Syabas menekan sakan

PR tadbir Perak
Rakyat dapat geran
BN tadbir Perak
Balak licin sakan

PR urus Penang
KM nya dedah rasuah
BN urus Penang
KM nya tutup rasuah

PR ambil Kedah
Selamatkan jelapang padi
BN jaga Kedah
Bendang hilang kilang yang jadi

PR pertahan Kelantan
Rasuah ‘zero’ negeri aman
BN nak ambil Kelantan
Hiburan bersepah mak bapak pengsan!

Di Malaysia, demokrasi jadi amalan
Raja pula Ketua Negara
Pak Lah dah tak ada pilihan
Dia kena lepas kuasa
Sebelum Tuanku Sultan berkata-kata

Jadi, siapa kata sama sahaja PR dan BN...
Siapa kata PR dah tak ada jalan ke Putra Jaya?

BBS,
23 Ramadan 1429

Cerita Ramadan 7#


Pengalaman balik kampung? Ish...saya orang kampung. Nak balik ke mana lagi? Maka itulah, waktu kecil dahulu saya pelik bila dengar budak-budak sekampung mendendangkan lagu Sudirman 'Balik Kampung!'


Saya hanya tahu, anak-anak opah yang akan pulang beraya di kampung. Angah dari KL dan alang di Kg Kati. Kadang-kadang angah sampai lewat malam dari KL dengan bas ekspress. Atau angah sewa kereta 3, 4 hari untuk bercuti raya. Saya rasa gembira bila anak-anak opah pulang ke kampung.


Saya suka apabila rumah kampung opah penuh dengan keceriaan anak-cucu. Penuhlah ruang anjung rumah opah. Kami anak-beranak tidur bersusun macam di kem pelarian. Begitu juga waktu berbuka. Lebih-lebih lagi pada hari raya.


Bila anak-anak di perantauan pulang, maka banyaklah cerita menarik untuk dikongsi. Saya selalu membayangkan, enak dan indahnya menjadi anak perantauan. Boleh balik ke kampung dan disambut mesra dan ceria oleh ibu ayah dan jiran tetangga.


Kini, saya benar-benar memahami makna 'Balik Kampung'. Saya memahami perasaan yang tidak tertahan untuk bertemu emak abah dan sanak saudara. Menghirup aroma udara kampung yang nyaman. Sejuk air di waktu pagi dan dingin anak kali berair jernih.


Anak-anak saya juga mendahului saya dalam memahami erti balik kampung... Aduhai, rindunya saya pada suasana ceria berhari raya di desa. Kampung yang tercinta...nantikanlah kepulangan kami ke desa!

Jumaat, September 19, 2008

Pak Lah & Anwar


Jujurnya, saya tidak pernah berhadapan dengan situasi politik yang begitu gawat seperti hari ini. Antara Pak Lah dan Anwar, nampak di satu pihak hilang keyakinan politik sedang di satu pihak penuh keazaman pula.


Saya tidak tahu, apa yang ada dalam bucu pemikiran Pak Lah. Dia menafikan kelemahan; sayangnya mata orang tidak bisa ditipu. Manusia boleh menilai, siapa yang bersungguh dan siapa yang celaru.


Jujurnya, jika saya ada peluang mendekati Pak Lah, maka saya akan nasihati beliau agar berundur. Amanah kepimpinan adalah berat. Abu Dzar Al-Ghiffari seorang 'gedebe' sebelum Islamnya, tidak diraikan nabi untuk menjadi gabenor. Ya...kerana amanah kepimpinan itu berat buat sahabatnya itu! Pak Lah mendapat jawatan PM atas dasar warisan.


Silap Dr M juga, dia yang mewariskan jawatan PM kepada Pak Lah. Kini, Dr M tak sudah-sudah menyesali diri...sampai dia ambil keputusan keluar parti. Itulah, amanah kepimpinan bukannya warisan. Biarlah seseorang itu naik dengan keupayaannya.


Kini Malaysia sudah jauh berubah berbanding 50 tahun dahulu. Rakyat kian cerdik lagi matang. Umpan murahan politik sempit dipandang sepi. Api perkauman dilihat hanya acahan sesebuah pihak yang tidak puas hati.


Baru sekarang saya rasakan, kepimpinan di Malaysia benar-benar teruji. Maknanya, pemimpin tidak lagi selamanya boleh menggula-gulakan rakyat. Projek dan pitih...itu sudah basi.


Ya...apa salahnya sekali dalam usia separuh abad ini, rakyat ingin merasa angin baru pemerintah baharu. Maka, Pak Lah harus sedia mengalah. Berundur cara terhormat sebelum terlambat. Masanya akan tiba...maka Pak Lah harus mengakuinya!

Cerita Ramadan 6#


Ketika raya hampir tiba, suasana meriah kian terasa. Semasa masih kecil, saya selalu cemburu dengan jiran sebelah rumah opah. Anak dan cucunya pulang dan mereka bermain bunga api dan mercun dengan gembira sekali. Saya...hanya ada mercun tarik 'api po', tak ada bunga api yang memancut ke udara serta cantik warnanya!

Antara pengalaman saya, kami akan memasang panjut di sekitar halaman rumah. Pelita akan digantung pada pokok. Bagi rumah orang yang lebih kaya, halaman rumah yang luas itu akan lebih cantik bila pelita dipasang berjajaran membentuk seakan-akan landasan kapal terbang.

Api pelita akan meliuk lintuk disapa angin. Kami tuangkan minyak gas (minyak tanah). Sumbunya kami ambil daripada perca kain buruk. Digentel-gentel dan disumbatkan ke dalam lubang sumbu.
Saya juga pernah membuat pelita daripada buluh. Buluh dikerat (dikatam) mengikut ruasnya dan tebuklah tiga lubang. Kemudian cari tin buat laluan sumbu dan kejapkan dengan tanah liat pada lubang yang kami tebuk.

Ada juga yang membuat panjut tempurung. Caranya, cacakkan sebatang kayu dan carilah sebanyak mungkin tempurung kelapa. Cucukkan hingga tembus punggungnya dan masukkan pancang kayu tadi. Akhirnya jadilah sebuah panjut tempurung kelapa yang sedia dinyalakan selepas berbuka.

Kini di zaman moden, pelita untuk dijadikan panjut dibuat daripada plastik. Ada juga yang cantik dibuat daripada buluh. Harganya pun agak mahal. Saya ada membeli beberapa batang panjut buluh dan juga pelita. Tak sabar rasanya nak memasang panjut itu, menjelang akhirnya Ramadan nanti!

Khamis, September 18, 2008

Ketidak-tentuan...andailah Muhammad Al-Fateh hidup kembali!


Semalam saya sempat meladeni sehingga ke muka 70, Novel Sultan Muhammad Al-Fateh karya Abdul Latip Talib. Ia terbitan PTS. Asalnya saya hanya mahu membaca sedikit; tetapi bila sudah mula saya gagal mencari 'lampu merah' pula...


Anda tahu, 800 tahun setelah kewafatan Nabi Muhammad SAW baharulah Konstantinopel berjaya dibuka oleh Islam. Nabi menerusi sebuah hadis riwayat Ahmad ada menyatakan: Kota Konstantinopel akan dibuka oleh sebaik-baik pemimpin yang mempunyai sebaik-baik tentera dan rakyatnya adalah sebaik-baik rakyat.


Justeru itu, sejak zaman Saiyidina Ali kwj menjadi amirul mukminin, beliau sudah melakukan cubaan pertama membuka kota milik Byzantium yang beragama Kristian ini. Ia gagal. Dicuba lagi oleh Dinasti Bani Umaiyyah, gagal. Bani Abbasiyyah...gagal juga. Bahkan semasa Khilafah Usmaniyah sendiri, beberapa pemerintah seperti Sultan Murad II dan Sultan Beyazid turut mencuba.


Sahabat nabi yang mulia bernama Abu Ayub Al-Ansari malah menyertai setiap kempen ketenteraan ke atas kota yang ampuh itu. Sehinggalah saat tuanya dia berwasiat, andai dia mati maka kebumikan jasadnya di bawah kubu kota itu. "Aku mahu mendengar derap tapak kaki sebaik-baik tentera dan sebaik-baik pemimpinnya yang dijanjikan Rasulullah..."


Anda tahu, Muhammad Al-Fateh dididik dengan disiplin agama yang kuat. Baginda juga diberikan latihan ketenteraan. Malah ayahda baginda Sultan Murad memastikan anakandanya itu turut mendalami ilmu kepimpinan dan siasah.


Dalam kemelut hari ini, kejatuhan indeks komposit di bursa saham, ketidak-tentuan politik, himpitan ekonomi dan berleluasanya ISA...saya membayangkan peminpin seperti Muhammad Al-Fateh ada kembali.


Sempena ramadan berbaki, saya impikan ia terjadi dan saya sudahi dengan...amin ya rabbal a'lamin.

Selasa, September 16, 2008

Catatan Malam 16 Sept


Hati saya dipagut resah. Malam yang menjanjikan seribu impian. Saya menelefon beberapa kenalan. Tiada jawapan. Jam menenggek di angka 12...lebih sedikit. Apa sudah berlaku...tolonglah sesiapa beri tahu!

Rupa-rupanya, keresahan hati saya turut dikongsi ribuan bahkan mungkin jutaan hati lain. Semuanya gara-gara janji 16 September!

***

Lagu raya sudah mula mengusik jiwa. Akhbar pun sudah banyak menyiarkan kisah-kisah raya. Bas raya, baju raya dan biskut raya.

Di surau atau masjid, makin lengang dengan orang. Jika awal Ramadan ada yang melimpah hingga ke beranda, kini imam dan bilal bimbang menghitung jamaah.

***

ISA mengganas kembali! Tiga orang ditangkap. Mulut terkunci tanpa bicara. Tangan digari tanpa kata. Diamlah diri di penjara manusia.

Hati saya sedikit tersentuh membaca catatan 18 jam dalam tahanan ISA oleh wartawan Sin Chew. Kata beliau, malamnya ditemani nyamuk dan bunyi aliran air. Matanya banjir dengan sokongan ramai. Kawan dan rakan.

Hati saya bulat, ISA adalah jerangkap yang bingkas memakan tuannya.

***

Tun M mungkin kembali kepada Umno. Tan Sri Sanusi pula bermadah: "Kelapa sudah nak rebah, kura-kura pun teringin memanjatnya..."

Dalam sungguh kiasan itu. Saya tak pasti siapa kura-kura dan siapa pokok kelapa nak rebah itu...he..he...he...

Khamis, September 11, 2008

PR merintis orde baru Malaysia!


Suasana politik Malaysia terus panas. 16 September menjadi perhatian dan penantian. Tun M khabarnya rela rujuk semula ke dalam Umno. Isu 'menumpang' dan 'umpama yahudi' kepada orang cina pula berakhir dengan penggantungan 3 tahun kepada Ketua Bahagian Umno Bukit Bendera. Ada berkata, hukuman itu tidak berbaloi...patut kena lebih lagi!

Suka saya ulangi, hayat politik berasaskan ras sudah ke penghujungnya. BN perlu sedari ini. MCA dan MIC serta Umno...diasaskan kepada ras. Ia mungkin sesuai era pra dan awal kemerdekaan; tapi tidak lagi pasca-setengah abad merdeka!

Sebaliknya saya mengagumi apa yang telah dirintis oleh Pakatan Rakyat. Anwar dengan imej ranggi dan berani, memecahkan tembok kebal dan bebal 'perkauman' ini. Gantinya, jambatan yang menghubungi semua menerusi pemuafakatan yang lebih mesra kaum.

Maka itulah, PKR dihuni oleh pelbagai suku, begitu juga DAP. Malah PAS sudah lama menegaskan hal ini...orang Cina pun boleh menjadi PM, kata Tok Guru!

Namun seperkara yang wajib diberikan perhatian, menjadi obligasi kepada Anwar untuk memastikan Ketuanan Rakyat tidak sampai meminggirkan ISLAM. Sebaliknya, Islam perlu dijadikan panduan asas dalam pentadbiran.

Cara kepimpinan Islam Tok Guru di Kelantan boleh dijadikan panduan. Namun, tidak perlulah melabelkan ISLAM di mana-mana, yang penting ialah implementasi. Saya yakin, DAP tidak akan selama-lamanya tegar dengan faham 'anti-negara Islam'nya, jika Anwar mampu merealisasikan Islam secara 'halus' dan 'mesra' di dalam landskap pentadbirannya nanti!

Bagi saya, inilah orde baru Malaysia. Orde Ketuanan Rakyat tajaan PR dengan syarat Islam menjadi intinya!

Cerita Ramadan 5#


Opah saya pandai membuat kuih tradisional. Opah saya memang tipikal orangnya. Tradisi kemelayuan begitu bukat membentuk jati dirinya. Saya amati itu. Termasuklah dalam isu makanan, khasnya menjelang Raya dengan segala aneka kuih-muih tradisional Melayu.

Antara kuih yang menjadi kegemaran opah ialah baulu, kuih bakar (bangkit) dan putu kacang. Dan semua kuih-muih tradisi ini opah buat secara lama, jika moden sikit pun bila emak beli oven yang menggunakan dapur minyak tanah. Itu pun untuk memudahkan emak membuat kuih samprit.

Sebenarnya kemasyhuran opah membuat kuih-kuih tradisional ini tersohor juga di kalangan penduduk kampung. Mereka datang menempahnya. Mereka selalunya membahagi dua kuih itu. Jika dapat 100 biji baulu, opah dapat 50 lah. Serasa sayalah, jarang yang memberikan duit upah. Sebab itulah bersusun balang dan tupper ware di para rumah opah dengan kuih-kuih ini.

Untuk membuat baulu, telurlah resipi utamanya juga gula dan tepung gandum. Pagi-pagi lagi opah bersiap. Telur yang sudah siap dibasuh dan dikeringkan di letak atas para. Kemudian opah pastikan pasu untuk memukul telur itu juga bersih. Opah akan mengira satu persatu telur itu. Semasa itu, awaslah…jangan sesiapa memanggil opah, dia tidak akan layan.

Pernah saya kena marah, kerana memanggil-manggil opah. Sebabnya, bila opah paling dan sahut panggilan itu…maka opah sudah lupa jumlah telur yang sedang dibilangnya!

Saya pula selalunya diminta memukul telur itu. Saya guna satu pemukul khas berbentuk gegelung dawai yang berulu kayu.

Opah guna kaedah lama membakar kuih baulu. Bara sabut di atas (dilapik dengan zink) dan bara kayu di bawah. Di luar rumah di bawah pokok kopi atau naungan pokok rambutan, dari pagi menjelang petang opah membakar baulu.

Kuih bakar pula opah guna oven. Saya bukannya ingat sangat cara membuatnya. Yang saya ingat, saya akan minta daripada emak sedikit tepung yang sudah sedia diadun dan akan membuat acuan sendiri untuk dibakar. Tapi saya bakar di atas bumbung oven, kerana emak tidak benarkan saya meletakkan ‘kuih acuan’ saya itu sekali di dalam ovennya.

Kuih putu kacang pun ‘siksa’ juga menyediakannya. Opah akan memilih kacang hijau terbaik, menampi dan membasuhnya. Kemudian ditumbuk menggunakan lesung kayu. Setelah itu opah menggunakan acuan daripada kayu bagi menempa putu. Ada pelbagai corak.

Sakit ibu jari menekan putu di dalam acuannya. Bukan sikit-sikit, baaanyak! Kemudian, opah jemur di panas matahari sehinggalah putu itu kering. Jika tidak betul-betul kering, putu mudah rosak atau berkulat.

Itulah sedikit pengalaman menyediakan kuih tradisional dengan opah jua emak. Kini, nak makan baulu…order sahajalah!!!

Rabu, September 10, 2008

Rasisme…Kian ke penghujungnya!


Unsur rasis memang menjengkelkan. Sehingga bila-bila, rasisme dianggap pencetus kepada koyaknya kesatuan sesebuah negara-bangsa. Mungkin tidak keterlaluan, dunia pasca-moden hari ini mulai menolak ke tepi sebarang faham yang berintikan rasisme ini. Di US Obama adalah presiden menanti, kendati dia berkulit hitam. Di Malaysia tidak terkecuali.

Perubahan angin monsun di Semenanjung menyaksikan boya yang bergegar sehingga tsunami politik gagal diramal. Tiga negeri terkaya – Selangor, Pulau Pinang dan Perak – berubah teraju. Sementara dua negeri majoriti Melayu – Kelantan dan Kedah – dipimpin oposisi.

Ini semua apa? Sandiwara pak syeikh Anwar atau apa? Jelasnya, kemenangan tiga parti utama – PAS, PKR dan DAP – adalah disandarkan kepada ‘Ketuanan Rakyat’. Sekaligus menafikan ‘Ketuanan Melayu’ yang sebelum ini menjadi sendi kekuatan BN.

Jelas, rakyat menolak ‘Ketuanan Melayu’ kerana ia adalah sarang faham kebangsaan aka bertunjangkan rasisme! Rakyat menjulang ‘Ketuanan Rakyat’. ‘Ketuanan Rakyat’ yang menobatkan idealisme – Telus, Amanah dan Berkebajikan – sebagai sendi kekuatan.

Maka, PAS dan DAP dapat duduk semeja walau berbeza dasar dan idealisme. Unikkan?

Kini, iklim politik dalaman BN berbahang, menggelegak dan memuntahkan lahar tak sudah. Semuanya bertitik-tolak dari asas rasisme itulah. Nampaknya, usia pendokong faham bangsa dan rasis mungkin tidak ke mana.

Dan saya menanti penuh debar apa sudahnya politik kita?!

Cerita Ramadan 4#


Sahur di kampung zaman dahulu berbeza zaman ini. Zaman dahulu, antara jiran menjadi ‘jam loceng’ tidak rasmi. Saya ingat lagi, di kampung kami ada seorang tua yang saya panggil Paklang Sudin, dia akan melaung sekuat hatinya menjelang sahur. “Sahur…sahur…”

Pada awal-awal puasa, ada juga budak-budak muda yang akan membuat bising di jalan raya. Mereka mengetuk tin kosong sepanjang jalan. Tapi tak lama, mungkin mereka pun mengantuk untuk mengejutkan orang setiap pagi buta.

Di madrasah, ada orang yang akan memalu kerantong (batang kayu balak yang ditebuk lubang di tengahnya). Bunyinya melantun menerjah seisi kampung. Maka, tahulah kami sudah masuk waktu untuk bersahur.

Opah adalah orang paling awal bangun sahur di rumah kami. Seawal jam 3 pagi opah sudah bangun. Opah tanak nasi, guna dapur kayu. Kemudian goring telur atau perangat apa-apa lauk yang patut. Kemudian, jam 4 pagi opah mula bising mengejutkan atuk dan anak-cucu yang lain.

Opah amat berjaga-jaga dengan waktu imsak. Bagi opah, jika imsak maknanya sudah tidak boleh makan dan minum. Tapi atuk relaks sahaja. Atuk makan minum sampai santak waktu imsak. Lepas itu atuk ke sungai bagi membuang air dan mengambil wuduk. Sambil itu, di mulut atuk masih tercepit cerut cap kucingnya. Opah selalu bising, takut atuk terlajak sampai terbit fajar.

Selepas sahur, saya selalunya tarik selimut balik. Subuh selalu terlepas. Lagi pun masa itu masih belum mukallaf.

Bila masuk asrama, kami dikejutkan seputar jam 5 pagi. Makan nasi dalam tray. Lauk biasanya telur asin. Saya selalu merungut bersahur di asrama. Selera patah memanjang. Maka emak buatkan sambal tumis bilis sebagai bekal.

Kini, saya sudah punya anak. Saya pulalah yang kena mengejutkan mereka untuk sahur. Saya juga pastikan mereka untuk solat subuh, jika boleh di surau. Alhamdulillah, anak-anak saya nampaknya tidaklah seperti saya dahulu yang subuhnya asyik melepas selepas sahur.

Jumaat, September 05, 2008

Cerita Ramadan 3#


Antara kenangan menarik pada bulan Ramadan ialah bermain meriam buluh. Biasalah bagi budak-budak kampung seperti saya, bermain meriam buluh adalah satu lumrah.

Biasanya, sehari dua sebelum Ramadan mulalah kami budak-budak kampung masuk hutan. Kami empat lima orang bawa parang dan cari buluh untuk ditebang. Kami akan cari buluh yang berkualiti. Kulitnya biar tebal, ukur lilitnya biar besar.

Biasanya kami suka ambil buluh betung. Buluh itu memang besar dan panjang-panjang ruasnya. Kami akan ambil bahagian bawah buluh yang berdekatan dengan perdu, kerana di situ lebih keras. Lebih keras maknanya berkualitilah. Lebih keras maknanya tahan lebih lamalah.

Kami tebang beberapa batang. Kemudian kami buangkan ranting-rantingnya. Biasanya di bahagian bawah dah kurang ranting. Cuma nak menarik buluh tu agak susah. Kemudian, kami bawa ke sungai yang berdekatan dan kami buang miangnya. Miang buluh jangan dibuat mainan, kena kat badan merenyam satu badanlah jawabnya…tak senang duduk kita.

Kami kerat atau katamkan buluh itu dalam sedepa setengah panjangnya. Kami ikat buluh itu di beberapa bahagian, biar ia lebih kuat dan tak pecah. Maklumlah, nanti meriam itu akan panas dan jika ia pecah alamatnya parah...bahaya! Kemudian kami pikul bawa ke lokasi yang telah kami sediakan. Lebih elok jika di atas bukit. Lebih tinggi maknanya lebih kuat bunyinya.

Pada meriam itu, kami tebuk satu lubang kecil di dekat pangkalnya. Kemudian kami tusukkan kayu tajam untuk membuat larasnya, barulah ada udara untuk bernafas. Ceh…meriam pun kena bernafas!

Untuk bermain meriam buluh, kena pandai. Saya tak berani sangat, jadi saya selalunya hanya memerhatikan kawan-kawan lain memainkan meriam buluh.

Kami masukkan kabaid ke dalam lubang kecil yang kami tebuk itu. Kemudian tuang sedikit air. Biar kabaid menggelegak. Kemudian ambil api dan cucuhlah pada lubang kecil itu. Apa lagi…BOM!!!

Nak tahu? Selepas berbuka puasa sahaja maka biasanya akan berdentam-dentumlah seisi kampung kami dengan bunyi meriam buluh. Kawan-kawan dari kampung yang berjiran juga tidak mahu mengalah. Maka, masing-masing pun berlawanlah, meriam siapa palih kuat dan paling gagah.

Bom! Bom! Boom!!!


Khamis, September 04, 2008

Cerita Ramadan 2 #


Saya teringat waktu usia dalam lingkungan 5 atau 6 tahun, waktu berbuka puasa paling menyeronokkan. Tapi saya tak puasa penuhlah. Kan masih budak-budak, mana wajib lagi…he…he…

Alang Usop akan membeli ais batu dari kedai runcit. Kadang-kadang alang beli ais di Kedai Man Jawa di Banggol Belimbing atau Kedai Pak Dollah di Kg Bor. Ais batu itu dipotong empat segi dan ditaburkan dengan serbuk kayu sebelum dibungkus dengan kertas surat khabar. Serbuk kayu itu bagi melambatkan ais cair. Kemudian alang ikat ais itu di pelantar basikal dan bawa balik ke rumah menjelang senja.

Opah atau emak akan buat air sirap. Kadang-kadang sirap itu ditambah biji selasih. Saya suka minum sirap merah berbiji selasih. Kita akan terasa biji selasih dalam mulut dan cuba menggigitnya. Segar badan bila sirap ais masuk ke kerongkong.

Alang suka beli mercun tarik yang meletup bila disentap. Saya namakannya mercun ‘api-po’. Saya dan Cik Nab akan bermain selepas berbuka. Solat maghrib…he…he…tak wajib lagi! Alang juga belikan bunga api. Masa itu bunga api berbatang besi, bukan jenis berasap berkelun macam sekarang ini. Budak-budak pun boleh kena athma dibuatnya.

Kami akan berlari-larian di halaman rumah. Kadang-kadang bergabung dengan kawan-kawan dan bermain di lorong di kampung kami. Berlari-larianlah sambil menghayunkan tangan memainkan bunga api. Mercun tarik ‘api-po’ pula, saya ikatkan kepada pokok atau rumput barulah saya tarik. Saya takutkan percikan api. Takut terkena tangan.

Pernah saya ikatkan mercun tarik itu pada pintu pagar dapur. Pintu pagar itu gunanya menghalang ayam daripada masuk. Rumah kampung memang ayam suka jengah masuk, lepas tu berak merata-rata. Saya nak menyakat opah. Bila opah tarik pintu itu, apa lagi…pom!!! Marahlah opah…"Hish...ni siapalah gatal pegi ikat mercun kat sini ni..."

Ada kawan-kawan yang lebih nakal. Mereka ikat mercun tarik itu pada selipar. Kadang-kadang kita tak perasan. Bila sarung selipar, terus je jalan…apa lagi…Pom!!!

Itulah sebahagian kenangan dan cerita Ramadan saya yang lalu…