Selasa, November 04, 2008

Belajar daripada Umar Al-Khattab


Sahabat nabi yang satu ini mempunyai legasinya yang tersendiri. Terkenal dengan kebengisan tiada tandingan sebelum lidahnya mentakrirkan dua kalimah syahadah. Kemudian berubah menjadi fanatis muslim yang terkenal dengan kalimah “…izinkan aku penggal lehernya wahai rasulullah…”

Sejarah tidak pernah berdusta. Sejarah mencatatkan bagaimana Umar yang terkenal dengan kegarangannya berubah menjadi manusia yang bijaksana pasca-Islamnya.

Saat dilantik menjadi khalifah, umar telah menunjukkan tauladan terunggul sepanjang zaman. Beliau berdiri penuh tawadhuk dan meminta agar rakyat bangkit memberikan peringatan andai dia tersalah.

Lalu bingkas berdiri seorang pemuda. Terhunus di tangannya sebilah pedang yang tajam. Katanya penuh keberanian, jika Umar tersilap maka pedang itulah yang akan meluruskan!

Apa reaksi Umar? Umar mengucapkan terima kasih kepada anak muda yang berani itu. Kata Umar, rakyat seperti itulah yang akan menjamin legasi sebuah pemerintahan. Berani membuat teguran apabila pemimpin tersalah. Tidak takut kepada manusia kerana lebih takutkan Allah.

Sebaliknya, rakyat yang hanya menjadi ‘pak angguk’ lah yang akan merosakkan. Kesalahan pemimpin didiamkan. Lebih payah, yang salah turut diiyakan. Kebenaran disembunyikan demi mendapat habuan. Akhirnya, pemimpin rosak bersama rosaknya rakyat jelata. Negara akan hancur dan keamanan akan lebur.

Kini, legasi Umar sering disebut-sebut. Lewat ceramah dan tazkirah mahu pun digarap sebagai bahan lipur dalam buku sejarah.

Soalnya, sejauh manakah kita belajar daripada Umar? Kisah beliau sarat iktibar, buat jadikan pedoman. Bukan sekadar enak didengar dan kemudian diulang zaman-berzaman.

Umar, tidak merasa rendah belajar daripada anak muda. Mengapa pula kita rasa sebaliknya? Wallahua’lam.

Catatan: Anekdot ini tiada kena-mengena dengan sesiapa, hanya sekadar satu catatan buat iktibar bersama. Kadang-kadang kita juga ego untuk ditegur oleh anak, sedangkan terang-terang kita melakukan kesilapan.

Tiada ulasan: