Memaparkan catatan dengan label kampus. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kampus. Papar semua catatan

Rabu, Mei 28, 2008

Universiti dulu universiti sekarang


Dahulu, hendak masuk universiti payah bukan main. Belajar bagai nak rak. Mak ayah doa siang dan malam. Air penerang hati berbotol-botol diminum. Periksa pula bagai nak berperang. Yalah...bukannya semua berpeluang. Jika sejak sekolah rendah asyik dapat ‘pen merah’ maka, kelamlah harapannya untuk ke universiti. Jika cerdik maka cikgu selalu beri motivasi, cerdik hingga masuk universiti...masuk menara gading. Kenapa menara gading, kerana di universiti mana ada menara gadingnya pun? Sampai sekarang aku tak dapat jawapan.

Dulu, universiti tidak banyak. Bukan macam sekarang, hampir setiap negeri ada universiti. Bahkan semua parti dan organisasi swasta pun teringin nak buat universiti. Dahulu, selalunya masuk universiti akan jadi megah. Maklumlah, yang dapat masuk universiti itu memang pilihanlah. Universiti tak banyak, jadi bila terpilih itu memang benar-benar terpilihlah.

Universiti yang ada hingga sekitar 1980-an ialah UM, UPM, UKM, USM dan UTM. Paling tersohor UM dan UKM-lah, tak kurang juga USM dan UPM. Masing-masing ada kelebihannya. UM terkenal kerana ia universiti paling tua dan paling lama. UKM terkenal kerana sejarah penubuhannya. Dapat masuk ke universiti-universiti ini, terasa hebat betul.

Tidak seperti sekarang. Universiti bersepah. Graduatnya pun bersepah. Setakat ada diploma orang dah tak hairan. Ijazah pertama pun dah melambak di pasaran. Master pun dah ramai. Paling kompetetif dan tambah letih lagi bila dah ada Open University. Tempat di mana semua orang boleh belajar. Jadi, kehebatan menjejakkan kaki ke universiti yang selama ini dipunyai secara eksklusif oleh mereka yang terpilih kerana kecerdikan dan keintelektualannya, makin ternafi. Ternafi kerana semua orang sudah boleh masuk universiti, mengenakan jubah dan topi varsiti dan memegang segulung ijazah...lepas tu 'pukul' gambar dan frame besar-besar!

Dahulu mahasiswa universiti dipandang sangat...tinggiii. Bila pulang sekali-sekala, mereka diraikan. Bila berselisih di tepi jalan, orang kampung senyum dari jauh dan pakat tegur. Agaknya masing-masing menyimpan niat, niat buat menantu. Sekarang, kita pun dah tak ingat lagi anak siapa dapat masuk universiti. Orang dah kurang kisah, anak siapa yang dapat ke universiti. Mak bapak pun dah tak ghairah nak hantar anak ke universiti. Dulu, emak bapa sanggup sewa kereta untuk hantar anak. Sekarang, cukup sekadar melambai di tepi stesen bas sahajalah. Pandai-pandailah...

Sekarang mahasiswa sudah seperti budak sekolah. Bercakap pun skema sahaja dan kurang idealisme. Tidak kiralah, idealisme kebangsaankah, Islamikah atau sosialiskah. Masing-masing lebih sibuk untuk memikirkan pekerjaan apa selepas graduan nanti. Masa di kampus pun sibuk dengan studi. Tiada masa dah untuk berasosiasi dan berpartisipasi. Sebab itulah, bila keluar jadi macam robot. Tak pandai nak berinteraksi dengan komuniti apatah lagi untuk diharap menjadi ketua masyarakat. Malas nak memusingkan kepala memikirkan masalah umat.

Dahulu pensyarah di universiti dilihat hebat. Mereka sering memberikan kritikan yang membina dan menyedarkan umat. Tulisan mereka tajam melibas apa yang salah. Dasar ekonomi atau dasar pendidikan dan sosial; yang tempang akan ditegur. Tapi, sekarang professor dan doktor ramai yang sudah kecut. Tegur banyak nanti susah naik pangkat. Naik pangkat tu penting, kerana apa guna jadi pensyarah cabuk yang tak ada gelaran Prof. Madya atau Professor penuh. Kangkung pun kangkunglah…asal dapat gelaran.

Sebab itulah, universiti sudah hilang seri. Hari pertama langkah kaki masuk gerbang varsiti, minda sudah terfikir apa nak kerja selepas ini? Bukan terfikir, inilah medan untuk aku tambah ilmu, asah bakat dan tajamkan pemikiran. Padahal...inilah medannya pun untuk menjadi ‘training ground’ sebelum kita keluar memimpin masyarakat dan negara. Sebab itulah bagi saya, mutu universiti pun makin jatuh dan terus jatuh…kerana fungsinya pun kian jauh dari garisan awalnya. Jika tidak percaya, tanyalah warga di UKM…di manakah posisi Bahasa Melayu saat ini, di universiti yang kononnya diasaskan atas nama Melayu itu Bahasa Melayu sudah layu? Tanyalah mahasiswa di UM, berapa rating UM di persada dunia? Nombor ke sepuluh atau ratus-ratus? Tanyalah juga pensayarah-pensyarah lama...mana mereka lebih suka, universiti sekarang atau universiti dahulu...




P/S: Artikel ini ditulis setelah rasa bengang dengan kondisi UM yang kian mencorot di persada varsiti dunia...UM terus merosot dalam pemeringkatan Times Higher Education Supplement (THES): dari tangga 169 pada 2005 (ketika diambil alih NC Rafiah) kepada 192 pada 2006 dan tangga ke-245 tahun lalu.dah NC-nya disambung lagi bertugas sehingga November 2008 ini!

Selasa, Mei 13, 2008

Istiqamah Dalam Perjuangan

Ketika di alam kampus, saya terlibat dalam gerakan pelajar Islam. Islam Penyelamat Ummah adalah wadah kami kala itu. Kami berkerja untuk mengembalikan Islam sebagai nuansa kepada Persatuan Mahasiswa UKM dan juga kamsis-kamsisnya. Kala itu, saya diangkat menjadi calon di Kamsis Ungku Omar. Seramai kira-kira 10 orang bertanding bagi merebut Jawatankuasa Kebajikan Siswa Kamsis atau dikenali Jaksa. Dari jumlah itu, hanya seorang gagal mendapat tempat sedang yang lain berjaya, termasuklah saya. Kami berjaya mengalahkan Tindakan Siswa Bersatu.

Setelah keluar kampus, saya masih cenderung melibatkan diri dengan gerakan Islam. Sememangnya berada di dalam wadah yang memperjuangkan Islam memerlukan ketahanan hati. Saya lalui zaman getir, dipanggil temuduga berulang kali namun gagal mendapat sebarang jawatan. Saya terfikir, ia barangkali ada hubungkaitnya dengan keterlibatan saya dalam Gerakan Islam itulah. Saya redha. Rezeki ada di mana-mana.

Sebab itulah, semasa di kampus kami sering diingatkan…perjuangan ini panjang, tiada hamparan permaidani merah dan penuh liku. Saya akui, memang agak menyakitkan. Sebab itulah, ada yang lebih suka menjadi penyokong secara diam-diam. Ada juga yang berpatah ke belakang. Semoga saya istiqamah meladeni kehidupan. Saya tahu, inilah jalan yang Allah SWT mahu saya lalui, jalan membawa obor Islam.

“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah kamu aku tunjukkan satu jenis perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang dahsyat. Iaitu kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya dan berjuang pada jalan Allah dengan harta dan jiwa kamu. Itulah lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.”

- Petikan ayat ke 10 & 11, surah As-Shaff

Rabu, November 14, 2007

'Demokrasi Oh Demokrasi'


10 Nov 2007 gempar di KL. Gempar kerana ramai rakyat marhaen datang kerumun di pusat KL. Gempar kerana jalan-jalan raya jadi sesak. Gempar kerana polis pakat tahan kenderaan. Gempar kerana pakcik-pakcik ‘Topi Merah’ siap pegang cota buat barisan. Gempak kerana aku naik LRT dan komuter penuh sesak dengan manusia. Gempak kerana warna kuning melatai jalan raya…

Aku joint sekali ke perarakan Bersih ni? Apa ke benda Bersih tu? Apa depa nak dari kita semua…para rakyat jelata? Apa depa nak bagi pada Agong?

Aku jujurnya simpati dengan Bersih. Aku bukanlah penggiat Bersih, jauh sekali perancangan gerakan itu. Aku hanya pemerhati yang suka memerhati dan sesekali memberikan opini. Mungkin bila orang dengar aku berbicara soal Bersih, maka depa kata aku mirip oposisi.

Lantaklah. Malaysia negara demokrasi. Hak menjadi ahli mana-mana parti terserah…tak nak jadi ahli mana-mana parti pun terserah. Nak mengundi pun terserah tak nak mengundi pun terserah. Pendek kata, demokrasi yang disarungkan ke tubuh badan Malaysia membolehkan kita menjadi rakyat yang bebas dan berkuasa. Bebas memilih dan berkuasa memilih…gitulah pandangan aku!

Aku bersahabat dengan orang-orang Umno, bersahabat juga dengan orang KeAdilan dan berkarib juga dengan orang PAS. Aku pernah berhujah sampai dua tiga pagi…semata-mata nak menegakkan pandangan aku. Aku pernah tepuk lantai surau kerana marah. Aku pernah hampir kena tumbuk kerana bertengkar…tak apalah, setidak-tidak ia menjadi kenangan dan pengajaran yang membentur pengalaman diri. Jadilah aku seperti hari ini.

Aku suka menulis bab politik walau di universiti aku bukan pelajar Sains Politik. Aku buat latihan amali di akhbar pembangkang. Tesis aku pun tentang pembangkang. Tapi kena diingat, aku bukanlah pembangkang membuta tuli. Bahkan aku suka menyatakan, jika memberikan pandangan berbeza itu adalah kebaikan, ia adalah pilihan. Sebaiknya ia dianggap nasihat. Bodohlah jika setiap yang berbeza dinamakan membangkang…bodohlah.

Aku bertanding di kampus, dengan jubah serban dan hampir gagal mendapat tandatangan sokongan pendaftar dan siap ditempelak lagi, kenapa aku dari aliran Sains Sosial tetapi berperwakan lebih dari bakal ustaz di Fakulti Pengajian Islam. Aku perduli apa…demokrasi! Tapi pegawai universiti itu bebal, dia suruh aku ikut cakap dia…perduli apa aku. Akhirnya aku menang besar, calon lelaki kedua menang undi terbesar di kolej, termasuklah undi para siswa cina dan India (termasuklah yang perempuannya...walau depa kata aku anti perempuan...depa la kata). Jadi, siapa kata lelaki berjubah dan nampak ‘fanatik’ agama tak boleh menang…aku sudah pun membuktikan!

Aku bukan benci orang dari parti mana-mana. Aku benci kepada kelaku yang suka melanggar norma dan batas agama. Menipu dan pecah amanah. Salah guna kuasa dan mementingkan diri. Cakap tidak sama bikin dan suka mencari aib orang lain. Jadi, benda itulah kena ditegur. Salahkah…?

Rabu, Ogos 29, 2007

Mahasiswa terjepit?

Mahasiswa adalah generasi pewaris negara. Itulah kata-kata hikmat yang membakar semangat dan emosi saya ketika menginjakkan kaki ke kampus lebih 10 tahun dahulu. Terfikir saya, apakah maksud sebenar ‘pewaris’ negara…adakah mereka yang tidak berkesempatan menjadi penghuni kampus dan mencicipi segala rempah ratusnya tidak layak dianggap sebagai ‘pewaris?’

Saya menghimbau kembali sejarah perjuangan warga kampus. Saya susuri kembali saat bangkitnya suara mahasiswa era 1970-an mempertikaian ketidakstabilan sosial dan ekonomi negara. Saat itu, nama besarnya ialah Anwar Ibrahim. Saya terkeliru, kerana saat itu Anwar adalah pembesar negara, sebelum dia dijelepukkan oleh sistem yang mengahancuskan segala!

Saat saya menghirup udara segar kampus, idealisme mahasiswa masih berbisa. Kami masih bisa berkumpul, mengusung sepanduk dan poster, merangkaikan tangan membentuk rantaian manusia dan menggenggam tangan melaung ke udara! Teriak kami… Jangan korporatkan IPTA! Israel boleh berambus! Hancur Amerika! Dan baaanyak lagi.

Saat Anwar tersungkur dengan arang penuh memalit muka, saya menjengah juga ke kampus. Ajaib saya, saat itu kampus seperti menjadi markas pelajar dan medan aktivis mencerna gerak kerja. Sedang sebelum itu, sering kali aktiviti yang menjurus kepada ‘kepembangkangan’ mudah benar dikait-jeraitkan dengan kelompok mahasiswa berhaluan ‘kanan’…geng kopiah dan bertudung labuh!

Saya lihat para pensyarah begitu berani menzahirkan sokongan, tidak segan silu menyelitkan di kereta ‘Justice Malaysia’ atau ‘Free For Anwar’. Bukan calang-calang insan, tetapi timbalan dekan yang berulah demikian. Maka, tuan-tuan dapat bayangkan sendiri di kalangan mahasiswanya!

Namun, kini saya melihat suasana sihat di kalangan mahasiswa kampus makin terhakis. Parti memerintah begitu tragis memasukkan jarum memainkan peranan tanpa berselindung lagi. Senang-senang mereka mempromosikan pergerakan puteri mahu pun puteranya, atau lebih dahsyat menguasai pilihanraya dengan taktik nakal lagi hodoh…mencaturkan bidak untuk menidakkan suara sebenar mahasiswa.

Sebab itu saya tidak pelik, majoriti kerajaan kampus hilang taringnya hatta di kalangan pelajar universiti sendiri. Tidak nampak ketokohan memimpin apatah lagi menjadi jurubicara ummah. Kebanyakan kepimpinan mahasiswa kini, gigi susunya pun belum tanggal…masih hingusan dan sering ‘kesasar’…misalnya mengadakan program ‘lawak bodoh’ serta hiburan lalai yang jelas memupuk sikap suka bersantai-santai, suka merendek-rendek, tiada aspek kebertanggung jawaban dan kurang membina pemikiran dan peradaban!

Jauh…jauh lagi untuk melihat mereka memimpin rakyat marhaen dan muda-mudi mengusung pemidang kain bagi mempertahankan maruah bahasa, mendaulatkan maruah agama, mempertahankan akhlak yang kian bobrok dan sebagainya.

Itulah, meninjau-ninjau dari jendela di kejauhan…terasa ingin rasanya kembali ke kampus. Mengatur strategi dan wacana. Mungkin tiba masanya aktivis mahasiswa perlu lebih bijaksana mengatur langkah. Jangan terlalu taksub dengan satu-satu idea dan pendapat. Perlu menyelinap bagai lipas kudung dalam serba kancah, asal tidak terjual maruah. Ingatlah, kebijaksanaan diiringi kejituan dalam merancang adalah asas kejayaan…inilah pesanan Saiyidina Ali yang patut sama-sama kita fikir-fikirkan.

Insya-Allah...Fajar Islam Mulai Menyinsing