Selasa, September 23, 2008

Beza PR dan BN

Hari ini Anwar jadi PM
Esok minyak turun 70 sen
Hari ini Anwar memanaskan kerusi PM
Esok juga semua tahanan ISA dibebaskan!

PR perintah Selangor
Air percuma diberikan
BN perintah Selangor
Syabas menekan sakan

PR tadbir Perak
Rakyat dapat geran
BN tadbir Perak
Balak licin sakan

PR urus Penang
KM nya dedah rasuah
BN urus Penang
KM nya tutup rasuah

PR ambil Kedah
Selamatkan jelapang padi
BN jaga Kedah
Bendang hilang kilang yang jadi

PR pertahan Kelantan
Rasuah ‘zero’ negeri aman
BN nak ambil Kelantan
Hiburan bersepah mak bapak pengsan!

Di Malaysia, demokrasi jadi amalan
Raja pula Ketua Negara
Pak Lah dah tak ada pilihan
Dia kena lepas kuasa
Sebelum Tuanku Sultan berkata-kata

Jadi, siapa kata sama sahaja PR dan BN...
Siapa kata PR dah tak ada jalan ke Putra Jaya?

BBS,
23 Ramadan 1429

Cerita Ramadan 7#


Pengalaman balik kampung? Ish...saya orang kampung. Nak balik ke mana lagi? Maka itulah, waktu kecil dahulu saya pelik bila dengar budak-budak sekampung mendendangkan lagu Sudirman 'Balik Kampung!'


Saya hanya tahu, anak-anak opah yang akan pulang beraya di kampung. Angah dari KL dan alang di Kg Kati. Kadang-kadang angah sampai lewat malam dari KL dengan bas ekspress. Atau angah sewa kereta 3, 4 hari untuk bercuti raya. Saya rasa gembira bila anak-anak opah pulang ke kampung.


Saya suka apabila rumah kampung opah penuh dengan keceriaan anak-cucu. Penuhlah ruang anjung rumah opah. Kami anak-beranak tidur bersusun macam di kem pelarian. Begitu juga waktu berbuka. Lebih-lebih lagi pada hari raya.


Bila anak-anak di perantauan pulang, maka banyaklah cerita menarik untuk dikongsi. Saya selalu membayangkan, enak dan indahnya menjadi anak perantauan. Boleh balik ke kampung dan disambut mesra dan ceria oleh ibu ayah dan jiran tetangga.


Kini, saya benar-benar memahami makna 'Balik Kampung'. Saya memahami perasaan yang tidak tertahan untuk bertemu emak abah dan sanak saudara. Menghirup aroma udara kampung yang nyaman. Sejuk air di waktu pagi dan dingin anak kali berair jernih.


Anak-anak saya juga mendahului saya dalam memahami erti balik kampung... Aduhai, rindunya saya pada suasana ceria berhari raya di desa. Kampung yang tercinta...nantikanlah kepulangan kami ke desa!

Jumaat, September 19, 2008

Pak Lah & Anwar


Jujurnya, saya tidak pernah berhadapan dengan situasi politik yang begitu gawat seperti hari ini. Antara Pak Lah dan Anwar, nampak di satu pihak hilang keyakinan politik sedang di satu pihak penuh keazaman pula.


Saya tidak tahu, apa yang ada dalam bucu pemikiran Pak Lah. Dia menafikan kelemahan; sayangnya mata orang tidak bisa ditipu. Manusia boleh menilai, siapa yang bersungguh dan siapa yang celaru.


Jujurnya, jika saya ada peluang mendekati Pak Lah, maka saya akan nasihati beliau agar berundur. Amanah kepimpinan adalah berat. Abu Dzar Al-Ghiffari seorang 'gedebe' sebelum Islamnya, tidak diraikan nabi untuk menjadi gabenor. Ya...kerana amanah kepimpinan itu berat buat sahabatnya itu! Pak Lah mendapat jawatan PM atas dasar warisan.


Silap Dr M juga, dia yang mewariskan jawatan PM kepada Pak Lah. Kini, Dr M tak sudah-sudah menyesali diri...sampai dia ambil keputusan keluar parti. Itulah, amanah kepimpinan bukannya warisan. Biarlah seseorang itu naik dengan keupayaannya.


Kini Malaysia sudah jauh berubah berbanding 50 tahun dahulu. Rakyat kian cerdik lagi matang. Umpan murahan politik sempit dipandang sepi. Api perkauman dilihat hanya acahan sesebuah pihak yang tidak puas hati.


Baru sekarang saya rasakan, kepimpinan di Malaysia benar-benar teruji. Maknanya, pemimpin tidak lagi selamanya boleh menggula-gulakan rakyat. Projek dan pitih...itu sudah basi.


Ya...apa salahnya sekali dalam usia separuh abad ini, rakyat ingin merasa angin baru pemerintah baharu. Maka, Pak Lah harus sedia mengalah. Berundur cara terhormat sebelum terlambat. Masanya akan tiba...maka Pak Lah harus mengakuinya!

Cerita Ramadan 6#


Ketika raya hampir tiba, suasana meriah kian terasa. Semasa masih kecil, saya selalu cemburu dengan jiran sebelah rumah opah. Anak dan cucunya pulang dan mereka bermain bunga api dan mercun dengan gembira sekali. Saya...hanya ada mercun tarik 'api po', tak ada bunga api yang memancut ke udara serta cantik warnanya!

Antara pengalaman saya, kami akan memasang panjut di sekitar halaman rumah. Pelita akan digantung pada pokok. Bagi rumah orang yang lebih kaya, halaman rumah yang luas itu akan lebih cantik bila pelita dipasang berjajaran membentuk seakan-akan landasan kapal terbang.

Api pelita akan meliuk lintuk disapa angin. Kami tuangkan minyak gas (minyak tanah). Sumbunya kami ambil daripada perca kain buruk. Digentel-gentel dan disumbatkan ke dalam lubang sumbu.
Saya juga pernah membuat pelita daripada buluh. Buluh dikerat (dikatam) mengikut ruasnya dan tebuklah tiga lubang. Kemudian cari tin buat laluan sumbu dan kejapkan dengan tanah liat pada lubang yang kami tebuk.

Ada juga yang membuat panjut tempurung. Caranya, cacakkan sebatang kayu dan carilah sebanyak mungkin tempurung kelapa. Cucukkan hingga tembus punggungnya dan masukkan pancang kayu tadi. Akhirnya jadilah sebuah panjut tempurung kelapa yang sedia dinyalakan selepas berbuka.

Kini di zaman moden, pelita untuk dijadikan panjut dibuat daripada plastik. Ada juga yang cantik dibuat daripada buluh. Harganya pun agak mahal. Saya ada membeli beberapa batang panjut buluh dan juga pelita. Tak sabar rasanya nak memasang panjut itu, menjelang akhirnya Ramadan nanti!

Khamis, September 18, 2008

Ketidak-tentuan...andailah Muhammad Al-Fateh hidup kembali!


Semalam saya sempat meladeni sehingga ke muka 70, Novel Sultan Muhammad Al-Fateh karya Abdul Latip Talib. Ia terbitan PTS. Asalnya saya hanya mahu membaca sedikit; tetapi bila sudah mula saya gagal mencari 'lampu merah' pula...


Anda tahu, 800 tahun setelah kewafatan Nabi Muhammad SAW baharulah Konstantinopel berjaya dibuka oleh Islam. Nabi menerusi sebuah hadis riwayat Ahmad ada menyatakan: Kota Konstantinopel akan dibuka oleh sebaik-baik pemimpin yang mempunyai sebaik-baik tentera dan rakyatnya adalah sebaik-baik rakyat.


Justeru itu, sejak zaman Saiyidina Ali kwj menjadi amirul mukminin, beliau sudah melakukan cubaan pertama membuka kota milik Byzantium yang beragama Kristian ini. Ia gagal. Dicuba lagi oleh Dinasti Bani Umaiyyah, gagal. Bani Abbasiyyah...gagal juga. Bahkan semasa Khilafah Usmaniyah sendiri, beberapa pemerintah seperti Sultan Murad II dan Sultan Beyazid turut mencuba.


Sahabat nabi yang mulia bernama Abu Ayub Al-Ansari malah menyertai setiap kempen ketenteraan ke atas kota yang ampuh itu. Sehinggalah saat tuanya dia berwasiat, andai dia mati maka kebumikan jasadnya di bawah kubu kota itu. "Aku mahu mendengar derap tapak kaki sebaik-baik tentera dan sebaik-baik pemimpinnya yang dijanjikan Rasulullah..."


Anda tahu, Muhammad Al-Fateh dididik dengan disiplin agama yang kuat. Baginda juga diberikan latihan ketenteraan. Malah ayahda baginda Sultan Murad memastikan anakandanya itu turut mendalami ilmu kepimpinan dan siasah.


Dalam kemelut hari ini, kejatuhan indeks komposit di bursa saham, ketidak-tentuan politik, himpitan ekonomi dan berleluasanya ISA...saya membayangkan peminpin seperti Muhammad Al-Fateh ada kembali.


Sempena ramadan berbaki, saya impikan ia terjadi dan saya sudahi dengan...amin ya rabbal a'lamin.

Selasa, September 16, 2008

Catatan Malam 16 Sept


Hati saya dipagut resah. Malam yang menjanjikan seribu impian. Saya menelefon beberapa kenalan. Tiada jawapan. Jam menenggek di angka 12...lebih sedikit. Apa sudah berlaku...tolonglah sesiapa beri tahu!

Rupa-rupanya, keresahan hati saya turut dikongsi ribuan bahkan mungkin jutaan hati lain. Semuanya gara-gara janji 16 September!

***

Lagu raya sudah mula mengusik jiwa. Akhbar pun sudah banyak menyiarkan kisah-kisah raya. Bas raya, baju raya dan biskut raya.

Di surau atau masjid, makin lengang dengan orang. Jika awal Ramadan ada yang melimpah hingga ke beranda, kini imam dan bilal bimbang menghitung jamaah.

***

ISA mengganas kembali! Tiga orang ditangkap. Mulut terkunci tanpa bicara. Tangan digari tanpa kata. Diamlah diri di penjara manusia.

Hati saya sedikit tersentuh membaca catatan 18 jam dalam tahanan ISA oleh wartawan Sin Chew. Kata beliau, malamnya ditemani nyamuk dan bunyi aliran air. Matanya banjir dengan sokongan ramai. Kawan dan rakan.

Hati saya bulat, ISA adalah jerangkap yang bingkas memakan tuannya.

***

Tun M mungkin kembali kepada Umno. Tan Sri Sanusi pula bermadah: "Kelapa sudah nak rebah, kura-kura pun teringin memanjatnya..."

Dalam sungguh kiasan itu. Saya tak pasti siapa kura-kura dan siapa pokok kelapa nak rebah itu...he..he...he...

Khamis, September 11, 2008

PR merintis orde baru Malaysia!


Suasana politik Malaysia terus panas. 16 September menjadi perhatian dan penantian. Tun M khabarnya rela rujuk semula ke dalam Umno. Isu 'menumpang' dan 'umpama yahudi' kepada orang cina pula berakhir dengan penggantungan 3 tahun kepada Ketua Bahagian Umno Bukit Bendera. Ada berkata, hukuman itu tidak berbaloi...patut kena lebih lagi!

Suka saya ulangi, hayat politik berasaskan ras sudah ke penghujungnya. BN perlu sedari ini. MCA dan MIC serta Umno...diasaskan kepada ras. Ia mungkin sesuai era pra dan awal kemerdekaan; tapi tidak lagi pasca-setengah abad merdeka!

Sebaliknya saya mengagumi apa yang telah dirintis oleh Pakatan Rakyat. Anwar dengan imej ranggi dan berani, memecahkan tembok kebal dan bebal 'perkauman' ini. Gantinya, jambatan yang menghubungi semua menerusi pemuafakatan yang lebih mesra kaum.

Maka itulah, PKR dihuni oleh pelbagai suku, begitu juga DAP. Malah PAS sudah lama menegaskan hal ini...orang Cina pun boleh menjadi PM, kata Tok Guru!

Namun seperkara yang wajib diberikan perhatian, menjadi obligasi kepada Anwar untuk memastikan Ketuanan Rakyat tidak sampai meminggirkan ISLAM. Sebaliknya, Islam perlu dijadikan panduan asas dalam pentadbiran.

Cara kepimpinan Islam Tok Guru di Kelantan boleh dijadikan panduan. Namun, tidak perlulah melabelkan ISLAM di mana-mana, yang penting ialah implementasi. Saya yakin, DAP tidak akan selama-lamanya tegar dengan faham 'anti-negara Islam'nya, jika Anwar mampu merealisasikan Islam secara 'halus' dan 'mesra' di dalam landskap pentadbirannya nanti!

Bagi saya, inilah orde baru Malaysia. Orde Ketuanan Rakyat tajaan PR dengan syarat Islam menjadi intinya!

Cerita Ramadan 5#


Opah saya pandai membuat kuih tradisional. Opah saya memang tipikal orangnya. Tradisi kemelayuan begitu bukat membentuk jati dirinya. Saya amati itu. Termasuklah dalam isu makanan, khasnya menjelang Raya dengan segala aneka kuih-muih tradisional Melayu.

Antara kuih yang menjadi kegemaran opah ialah baulu, kuih bakar (bangkit) dan putu kacang. Dan semua kuih-muih tradisi ini opah buat secara lama, jika moden sikit pun bila emak beli oven yang menggunakan dapur minyak tanah. Itu pun untuk memudahkan emak membuat kuih samprit.

Sebenarnya kemasyhuran opah membuat kuih-kuih tradisional ini tersohor juga di kalangan penduduk kampung. Mereka datang menempahnya. Mereka selalunya membahagi dua kuih itu. Jika dapat 100 biji baulu, opah dapat 50 lah. Serasa sayalah, jarang yang memberikan duit upah. Sebab itulah bersusun balang dan tupper ware di para rumah opah dengan kuih-kuih ini.

Untuk membuat baulu, telurlah resipi utamanya juga gula dan tepung gandum. Pagi-pagi lagi opah bersiap. Telur yang sudah siap dibasuh dan dikeringkan di letak atas para. Kemudian opah pastikan pasu untuk memukul telur itu juga bersih. Opah akan mengira satu persatu telur itu. Semasa itu, awaslah…jangan sesiapa memanggil opah, dia tidak akan layan.

Pernah saya kena marah, kerana memanggil-manggil opah. Sebabnya, bila opah paling dan sahut panggilan itu…maka opah sudah lupa jumlah telur yang sedang dibilangnya!

Saya pula selalunya diminta memukul telur itu. Saya guna satu pemukul khas berbentuk gegelung dawai yang berulu kayu.

Opah guna kaedah lama membakar kuih baulu. Bara sabut di atas (dilapik dengan zink) dan bara kayu di bawah. Di luar rumah di bawah pokok kopi atau naungan pokok rambutan, dari pagi menjelang petang opah membakar baulu.

Kuih bakar pula opah guna oven. Saya bukannya ingat sangat cara membuatnya. Yang saya ingat, saya akan minta daripada emak sedikit tepung yang sudah sedia diadun dan akan membuat acuan sendiri untuk dibakar. Tapi saya bakar di atas bumbung oven, kerana emak tidak benarkan saya meletakkan ‘kuih acuan’ saya itu sekali di dalam ovennya.

Kuih putu kacang pun ‘siksa’ juga menyediakannya. Opah akan memilih kacang hijau terbaik, menampi dan membasuhnya. Kemudian ditumbuk menggunakan lesung kayu. Setelah itu opah menggunakan acuan daripada kayu bagi menempa putu. Ada pelbagai corak.

Sakit ibu jari menekan putu di dalam acuannya. Bukan sikit-sikit, baaanyak! Kemudian, opah jemur di panas matahari sehinggalah putu itu kering. Jika tidak betul-betul kering, putu mudah rosak atau berkulat.

Itulah sedikit pengalaman menyediakan kuih tradisional dengan opah jua emak. Kini, nak makan baulu…order sahajalah!!!

Rabu, September 10, 2008

Rasisme…Kian ke penghujungnya!


Unsur rasis memang menjengkelkan. Sehingga bila-bila, rasisme dianggap pencetus kepada koyaknya kesatuan sesebuah negara-bangsa. Mungkin tidak keterlaluan, dunia pasca-moden hari ini mulai menolak ke tepi sebarang faham yang berintikan rasisme ini. Di US Obama adalah presiden menanti, kendati dia berkulit hitam. Di Malaysia tidak terkecuali.

Perubahan angin monsun di Semenanjung menyaksikan boya yang bergegar sehingga tsunami politik gagal diramal. Tiga negeri terkaya – Selangor, Pulau Pinang dan Perak – berubah teraju. Sementara dua negeri majoriti Melayu – Kelantan dan Kedah – dipimpin oposisi.

Ini semua apa? Sandiwara pak syeikh Anwar atau apa? Jelasnya, kemenangan tiga parti utama – PAS, PKR dan DAP – adalah disandarkan kepada ‘Ketuanan Rakyat’. Sekaligus menafikan ‘Ketuanan Melayu’ yang sebelum ini menjadi sendi kekuatan BN.

Jelas, rakyat menolak ‘Ketuanan Melayu’ kerana ia adalah sarang faham kebangsaan aka bertunjangkan rasisme! Rakyat menjulang ‘Ketuanan Rakyat’. ‘Ketuanan Rakyat’ yang menobatkan idealisme – Telus, Amanah dan Berkebajikan – sebagai sendi kekuatan.

Maka, PAS dan DAP dapat duduk semeja walau berbeza dasar dan idealisme. Unikkan?

Kini, iklim politik dalaman BN berbahang, menggelegak dan memuntahkan lahar tak sudah. Semuanya bertitik-tolak dari asas rasisme itulah. Nampaknya, usia pendokong faham bangsa dan rasis mungkin tidak ke mana.

Dan saya menanti penuh debar apa sudahnya politik kita?!

Cerita Ramadan 4#


Sahur di kampung zaman dahulu berbeza zaman ini. Zaman dahulu, antara jiran menjadi ‘jam loceng’ tidak rasmi. Saya ingat lagi, di kampung kami ada seorang tua yang saya panggil Paklang Sudin, dia akan melaung sekuat hatinya menjelang sahur. “Sahur…sahur…”

Pada awal-awal puasa, ada juga budak-budak muda yang akan membuat bising di jalan raya. Mereka mengetuk tin kosong sepanjang jalan. Tapi tak lama, mungkin mereka pun mengantuk untuk mengejutkan orang setiap pagi buta.

Di madrasah, ada orang yang akan memalu kerantong (batang kayu balak yang ditebuk lubang di tengahnya). Bunyinya melantun menerjah seisi kampung. Maka, tahulah kami sudah masuk waktu untuk bersahur.

Opah adalah orang paling awal bangun sahur di rumah kami. Seawal jam 3 pagi opah sudah bangun. Opah tanak nasi, guna dapur kayu. Kemudian goring telur atau perangat apa-apa lauk yang patut. Kemudian, jam 4 pagi opah mula bising mengejutkan atuk dan anak-cucu yang lain.

Opah amat berjaga-jaga dengan waktu imsak. Bagi opah, jika imsak maknanya sudah tidak boleh makan dan minum. Tapi atuk relaks sahaja. Atuk makan minum sampai santak waktu imsak. Lepas itu atuk ke sungai bagi membuang air dan mengambil wuduk. Sambil itu, di mulut atuk masih tercepit cerut cap kucingnya. Opah selalu bising, takut atuk terlajak sampai terbit fajar.

Selepas sahur, saya selalunya tarik selimut balik. Subuh selalu terlepas. Lagi pun masa itu masih belum mukallaf.

Bila masuk asrama, kami dikejutkan seputar jam 5 pagi. Makan nasi dalam tray. Lauk biasanya telur asin. Saya selalu merungut bersahur di asrama. Selera patah memanjang. Maka emak buatkan sambal tumis bilis sebagai bekal.

Kini, saya sudah punya anak. Saya pulalah yang kena mengejutkan mereka untuk sahur. Saya juga pastikan mereka untuk solat subuh, jika boleh di surau. Alhamdulillah, anak-anak saya nampaknya tidaklah seperti saya dahulu yang subuhnya asyik melepas selepas sahur.

Jumaat, September 05, 2008

Cerita Ramadan 3#


Antara kenangan menarik pada bulan Ramadan ialah bermain meriam buluh. Biasalah bagi budak-budak kampung seperti saya, bermain meriam buluh adalah satu lumrah.

Biasanya, sehari dua sebelum Ramadan mulalah kami budak-budak kampung masuk hutan. Kami empat lima orang bawa parang dan cari buluh untuk ditebang. Kami akan cari buluh yang berkualiti. Kulitnya biar tebal, ukur lilitnya biar besar.

Biasanya kami suka ambil buluh betung. Buluh itu memang besar dan panjang-panjang ruasnya. Kami akan ambil bahagian bawah buluh yang berdekatan dengan perdu, kerana di situ lebih keras. Lebih keras maknanya berkualitilah. Lebih keras maknanya tahan lebih lamalah.

Kami tebang beberapa batang. Kemudian kami buangkan ranting-rantingnya. Biasanya di bahagian bawah dah kurang ranting. Cuma nak menarik buluh tu agak susah. Kemudian, kami bawa ke sungai yang berdekatan dan kami buang miangnya. Miang buluh jangan dibuat mainan, kena kat badan merenyam satu badanlah jawabnya…tak senang duduk kita.

Kami kerat atau katamkan buluh itu dalam sedepa setengah panjangnya. Kami ikat buluh itu di beberapa bahagian, biar ia lebih kuat dan tak pecah. Maklumlah, nanti meriam itu akan panas dan jika ia pecah alamatnya parah...bahaya! Kemudian kami pikul bawa ke lokasi yang telah kami sediakan. Lebih elok jika di atas bukit. Lebih tinggi maknanya lebih kuat bunyinya.

Pada meriam itu, kami tebuk satu lubang kecil di dekat pangkalnya. Kemudian kami tusukkan kayu tajam untuk membuat larasnya, barulah ada udara untuk bernafas. Ceh…meriam pun kena bernafas!

Untuk bermain meriam buluh, kena pandai. Saya tak berani sangat, jadi saya selalunya hanya memerhatikan kawan-kawan lain memainkan meriam buluh.

Kami masukkan kabaid ke dalam lubang kecil yang kami tebuk itu. Kemudian tuang sedikit air. Biar kabaid menggelegak. Kemudian ambil api dan cucuhlah pada lubang kecil itu. Apa lagi…BOM!!!

Nak tahu? Selepas berbuka puasa sahaja maka biasanya akan berdentam-dentumlah seisi kampung kami dengan bunyi meriam buluh. Kawan-kawan dari kampung yang berjiran juga tidak mahu mengalah. Maka, masing-masing pun berlawanlah, meriam siapa palih kuat dan paling gagah.

Bom! Bom! Boom!!!


Khamis, September 04, 2008

Cerita Ramadan 2 #


Saya teringat waktu usia dalam lingkungan 5 atau 6 tahun, waktu berbuka puasa paling menyeronokkan. Tapi saya tak puasa penuhlah. Kan masih budak-budak, mana wajib lagi…he…he…

Alang Usop akan membeli ais batu dari kedai runcit. Kadang-kadang alang beli ais di Kedai Man Jawa di Banggol Belimbing atau Kedai Pak Dollah di Kg Bor. Ais batu itu dipotong empat segi dan ditaburkan dengan serbuk kayu sebelum dibungkus dengan kertas surat khabar. Serbuk kayu itu bagi melambatkan ais cair. Kemudian alang ikat ais itu di pelantar basikal dan bawa balik ke rumah menjelang senja.

Opah atau emak akan buat air sirap. Kadang-kadang sirap itu ditambah biji selasih. Saya suka minum sirap merah berbiji selasih. Kita akan terasa biji selasih dalam mulut dan cuba menggigitnya. Segar badan bila sirap ais masuk ke kerongkong.

Alang suka beli mercun tarik yang meletup bila disentap. Saya namakannya mercun ‘api-po’. Saya dan Cik Nab akan bermain selepas berbuka. Solat maghrib…he…he…tak wajib lagi! Alang juga belikan bunga api. Masa itu bunga api berbatang besi, bukan jenis berasap berkelun macam sekarang ini. Budak-budak pun boleh kena athma dibuatnya.

Kami akan berlari-larian di halaman rumah. Kadang-kadang bergabung dengan kawan-kawan dan bermain di lorong di kampung kami. Berlari-larianlah sambil menghayunkan tangan memainkan bunga api. Mercun tarik ‘api-po’ pula, saya ikatkan kepada pokok atau rumput barulah saya tarik. Saya takutkan percikan api. Takut terkena tangan.

Pernah saya ikatkan mercun tarik itu pada pintu pagar dapur. Pintu pagar itu gunanya menghalang ayam daripada masuk. Rumah kampung memang ayam suka jengah masuk, lepas tu berak merata-rata. Saya nak menyakat opah. Bila opah tarik pintu itu, apa lagi…pom!!! Marahlah opah…"Hish...ni siapalah gatal pegi ikat mercun kat sini ni..."

Ada kawan-kawan yang lebih nakal. Mereka ikat mercun tarik itu pada selipar. Kadang-kadang kita tak perasan. Bila sarung selipar, terus je jalan…apa lagi…Pom!!!

Itulah sebahagian kenangan dan cerita Ramadan saya yang lalu…

Rabu, September 03, 2008

Cerita Ramadan 1#


Waktu kecil-kecil dulu, teringin sangat nak solat tarawih di masjid. Abah tak pernah nak bawa. Sampai ke sekolah menengah baru saya dapat solat tarawih di masjid atau surau. Itu pun kala di asrama di Taiping. Siap berselawat sakanlah kami...berdengung-dengung bergegar-gegar surau.

Semasa masuk tingkatan 2, ingat lagi…kami budak-budak asrama dapat kebenaran untuk bersolat tarawih di luar asrama. Kami pun ke masjid Pakistan yang berdekatan di Kuarters Tentera di Taiping. Habis solat, bau kari mamak menusuk-nusuk. Hmmm…sedapnya.

Kami diajak makan oleh abang-abang karkun. Rupa-rupanya masjid itu adalah markaz tabligh di Taiping. Namun, selera kami patah secara tiba-tiba apabila melihat nasi berlaukkan kari...enak, tapi...alahai dihidangkan di dalam dulang pula!

Tahun 1989, saya balik bersekolah ke Lenggong. Bulan Ramadan saya jadi pengunjung setia masjid di kampung kami. Saya ikut jamaah solat tarawih. Mula-mula ramai, makin lama makin sedikit. Lalu saya ikut yang sedikit itulah untuk menamatkan 20 rakaat. Saya pelik, kenapa orang dewasa boleh lepak di serambi sambil hisap rokok, gebang-gebang dan abaikan tarawih. Penat tu memang penatlah juga. Lagi satu, imam membaca laju. Saya pun membaca lajulah juga. Kalah ekspress rakyat!

Bermula tahun 1989 itulah, saya menyertai tadarus Al-Quran. Saya seorang sahajalah pun yang remajanya. Orang lain semua dah masuk pangkat bapak atau tuk. Saya tak kisah. Saya suka berkawan dengan orang-orang tua. Mereka mengajar saya erti kematangan. Fikiran lebih waras, tindakan lebih berawas. Saya rasa, saya jadi lebih bijak bersama mereka. Pengalaman mereka mendewasakan saya.

Tok Megat Deraof, Ayah Mad dan Tok Mat Lebai Li adalah kawan-kawan tadarus saya. Mereka suka mendengar saya mengaji. Maka, mulai tahun 1989 hingga kini, saban Ramadan saya akan mengkhatamkan al-Quran.

Apabila masuk universiti, saya selalu jadi imam rawatib di surau kamsis. Lama-kelamaan, semasa Ramadan mereka minta saya jadi imam juga. Bukanlah selalu, bukan setiap malam. Kami pun selesa ke masjid UKM. Besar dan luas. Cuma tak tahan kerana imamnya belasah baca satu juzuk satu malam!

Habis belajar saya kahwin. Bila pindah ke Serendah, maka bermulalah musim saya menjadi imam tarawih secara tetap. Hingga kini, bila pindah ke Kepong saya masih jadi imam. Jadi imam tarawih ni penat…jika orang lain boleh rehat-rehat, penat boleh buat lapan…kita tetap sampai 20!