Rabu, April 26, 2006

Kepingin membaca lagi

Asalnya, dahulu saya sangat teruja apabila dapat membelek mana-mana buku atau majalah atau apa-apa sahaja yang boleh dibaca. Sikap ini mungkin diwarisi dari rakus ibu saya yang gemar membaca. Mungkin gemar dan rakus membaca ibu saya tidak sehebat ibu Faisal Tehrani yang khabarnya membaca novel tebal-tebal, hinggakan si Faisal terdedah dengan novel SN Shahnon Ahmad bertajuk 'Terdedah' pada usia yang tidak sepatutnya (kata-kata Faisal lewat bicara petang Seminar Pencinta Buku 2006 lalu), kerana ibunya membiarkan buku-buku itu bertaburan di mana-mana di dalam rumah...

Ibu saya, perempuan kampung yang bersekolah rendah sahaja. Sudah menjadi kelaziman silam, perempuan selalunya sering dikembarkan dengan 'dapur'; jadi atuk awal-awal mengingatkan emak: "Perempuan tinggi mana belajar pun akhirnya ke dapur juga."

Akhirnya, emak yang mendapat tawaran ke Sekolah Agama Ta'ayah di Ipoh terpaksa berputih mata. Saya sering terbayangkan jika semasa itu emak terus belajar lagi, pasti hari ini saya bergaya punya ibu yang berjawatan agak tinggi...sekurang-kurangnya guru di sekolah. Tidaklah emak berpagi-pagi menoreh getah dan berpetang-petang membajak di sawah!

Berbalik kepada tabiat suka membaca. Emak memang gemar membaca, kebetulan saya dibesarkan dalam cempungan opah...satu analisis ringkas yang saya buat, emak sebenarnya menyamai opah kerana opah juga rajin membaca. Hingga ke hari ini, jika opah bertandang ke rumah saya di Selangor, saya tidak betah membiarkan opah kesunyian melainkan saya memberikan satu dua kitab jawi bagi tatapan opah.

Emak pula, walau kian digigit usia masih suka membaca. Di rumah emak, saya sering nampak emak membaca sambil memicingkan mata...saya tahu emak kian rabun sebenarnya. Tapi emak masih suka membaca dan terus membaca.

Membaca adalah ketagihan, biblioholist kata Shaharom TM Sulaiman. Seorang biblioholist sanggup menggadaikan kesenangan asal dapat membaca, sebenarnya bagi saya mengumpul maklumat dan ilmu. Bukankah Allah SWT juga mendidik nabi kita dengan permulaan: Bacalah!

Lalu, ketagihan terhadap membaca memang meragut banyak masa remaja saya. Di rumah opah yang sunyi dari kebisingan kanak-kanak, saya begitu teruja menghabiskan helaian demi helaian dan buku demi buku. Semasa itulah, sekitar tahun 1991-1993 saya begitu asyik menghirup nikmat karya-karya Zaen Kasturi, Shahnon Ahmad, A. Samad Said dan banyak lagi. Tidak ketinggalan satu siri trilogi hebat hasil buah tangan SN Arena Wati, antaranya Sakura Mengorak Kelopak (seingat saya, kini rasanya dua kali telah saya khatami buku itu).

Nah! Kini saya ingin menikmati kembali keagungan dan kerakusan membaca...yang saya rasa agak lama tercabut dari diri. Bukan menyalahkan sesiapa; tetapi ketika di alam kampus saya amat sibuk dengan pelbagai gerakan, hingga kesibukan membaca teragut terus. Insya-Allah, saya akan jadikan habit membaca ini suatu kelaziman dan akan saya tanamkan ketamakan membaca ini ke dalam diri anak-anak saya....segalanya hanya kerana, nabi juga bermula dengan membaca!

Pemblog muda
26 April 2006

Selasa, April 25, 2006

Kehidupan yang berputar

Kematian Tun Ghaffar masih 'hangat', di dada pelbagai jenis akhbar masih terpampang wajah tua Tun dengan ucapan takziah dan takziah...Pak Lah pun semalam telah membuat usul tergempar bagi mengenang dan menghargai jasa Tun. Ah! Aku bingung kekadang mansuia, kenapa setelah kematian baru nak dikenang segala jasa dan bakti...contohnya Tan Sri P. Ramlee...sudah meninggal pun masih dianugerahkan Tan Sri!

Aku sekarang ini juga sedang leka memerhatikan seorang lagi 'Tun' di negara ini. Siapa lagi jika bukan Tun Dr Mahathir yang juga diangkat sebagai 'Bapa Pemodenan' Malaysia. Seingat aku dalam media yang aku baca (aku baca kira-kira enam surat khabar setiap hari berkerja!); tak de waima satu kenyataan dari Tun ini. Walhal... Tun Ghaffar adalah mantan Timbalan beliau satu masa dahulu. Wah...takkan takde seorang pun wartawan menemuramah Tun ke-2 ini..?

Apa yang lebih maksyuk untuk dilalikan ialah, kenyataan demi kenyataan Tun ke-2 berserta bekas Setiausaha akhbarnya tentang pembatalan projek pembinaan Jambatan Indah ke Kota Singa. Mereka bagaikan regu yang memberikan pukulan-pukulan kencang lagi maut yang memaut tengkuk Pak Lah dan Pak Syed Hamid Albar. Dapat saya rasakan, kritikan itu sangat tepat kerana yang mengkritiknya adalah juga seorang mantan Menteri Perdana yang dahulu diindikasikan sebagai 'penguasa tahu belaka' (rujuk: semua rahsia menteri di dalam saku seluar dan bush jaketnya!) Mereka bukan pengkritik tahap hingus meleleh di kedai kopi; tetapi mereka ada 'standard' tersendiri. Inilah yang melinglungkan Pak Lah dan kroni!

Banyak 'hidden issues' di sebalik 'kegagalan' Jambatan Indah yang 'bengkuk' itu. Adakah sekadar alasan pepasir dan ruang udara mencukupkan dan menoktahkan serta menjadi penamat segalanya! Ada pendapat menyatakan, jika sedari awal kerajaan bersikap waspada dan bijaksana, maka tak perlulah memulakan pembinaan walaupun seela! Ini tidak; asalnya beriya-iya tetapi sekerat jalan patah ke belakang dan nafas mengeluh panjang berjela-jela...kita utamakan inspirasi rakyat!

Cis!!! Cis!!! dan Cis!!! kenapa rakyat pula dikambing hitamkan? Bukankah sedari awal rakyat terutamanya pihak parti berhaluan bukan kerajaan sudah sering mengingatkan. Berurusan dengan Singapura yang terkenal dengan istilah 'The little Jews In Asia' bukanlah mudah...mereka lebih dari sekadar pepatah 'Belanda dapat tanah!' Mereka sebenarnya lapar dan maniac dengan tanah, jadi jika tidak mendapat tanah pasir pun jadilah...

Baiklah...perdebatan antara regu Tun ke-2 dan bekas S/U akhbarnya dengan Pak Lah Hadhari dan Pak Hamid Albar masih berjalan. Kita saksiknlah bersama episod penyudahnya...menang sebelah siapa!

Cuma hari ini, saya sering tertanya-tanya, sampai bila Pak Lah akan kekal dengan 'keadaannya'. Pak Lah kena bangkit, cari penawar mujarab mengubat lara hatinya setelah kematian kekasih hati si Hendon tercinta. Lebih dari itu, Pak Lah kena cermin diri dan lihat apa wajahnya. Apakah solekan Hadharinya hari ini benar-benar memberikan natijah kebaikan atau sekadar corengan yang menjadikannya lebih nampak lawak dari Afdlin Shauki di dalam filem Buli!

Pemblog Muda
25 April 2006

Isnin, April 24, 2006

Belansungkawa Pak Ghaffar Baba


Semalam sekitar jam 10.00 pagi, tika saya dan adik ke kedai Hardware, radio IKIM asyik memutarkan bacaan Al-Quran. Pada mulanya saya tidak mengacuhkan, moga memang IKIM selalu memasang ayatul Quran...tapi terdetik di minda apakala radio itu terusan mengumandangkan ayat-ayat suci itu, pasti ada orang besar negara meninggal!

Lalu, benarlah...Tun Ghaffar telah tiada. Oh...innalillah!

Saya pernah membesar dalam era kegemilangan Tun ini. Apa yang saya paling ingat, dalam pemilihan Timbalan Presiden Umno lewat 1993 dahulu, Tun dialahkan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim. Masih jelas di mata ini seorang kartunis menggambarkan Tun menggunakan kereta antik sedang Anwar berkereta 'sport'... Bermula era itu, Tun akhirnya mengundur diri sedikit demi sedikit dari dunia politik.

Hari ini (24 April 2006), semua media utama terutamanya akhbar menyiarkan berita dan gambar Tun di muka utama. Memang tercatat dalam sejarah, Tun adalah tipa (baca: type) , manusia yang bermula dari bawah.

Ini mengingatkan saya akan seorang pemimpin lama bernama Mohd. Asri Muda. Beliau adalah tokoh utama Pas. Sedikit cuplikan dari Memoir Datuk Asri Muda terbitan Penerbit UKM, ... Asri bermula juga dari bawah, pernah menjadi budak pejabat dan juga penyapu sampah...

Hakikatnya, Tun adalah pemimpin berjiwa rakyat. Dirinya benar-benar merakyat tanpa mendambakan imbalan bersifat sementara. Sama ada ramai manusia sedar atau tidak, ketika mana Tun menjabat jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia (1986-1993), beliau masih menggunapakai kata nama 'encik' di awal nama beliau. Tiada 'datuk, tan sri atau dato sri'!

Inilah ironinya...pemimpin yang datang dari bawah, tidak merasa 'ponggah' walaupun masih bergelar encik sedang kuasa sudah di tangan. Demikian jugalah yang berlaku kepada Pak Syeikh Anwar, tega dinobatkan encik sehinggalah menjabata jawatan orang no. 2 negara. Bagaimana pula ceritanya dengan pemimpin hari ini?

Realitinya, pemimpin dewasa ini sudah kecanduan populariti. Jika sesuatu inisiatif mereka walau sekecil merasmikan program memasak bubur asyura tidak diuar-uarkan melalui media, mereka merasa marah. Alasannya: "Nanti rakyat (pengundi sebenarnya) kata saya tidak berkerja!" Nah! Kerja si YB atas dasar apa, kerana rakyat, publisiti atau semata-mata Lillah!

lihatlah, baru setengah penggal menjadi YB selepas menang pilihan raya kali pertama, terus menjadi datuk. Akhirnya, rakyat merasa cuak dan hormat diberi sekadar pemanis mulut. Apakah mereka ini (para YB 'datuk instant') tidak mengenali Tun Ghaffar?

Akhirnya, kita berharap sangat jasa dan bakti Tun semasa hayatnya adalah bekal istimewa Tun di alam baqa'. Kata ualma', sakit menderita yang lama sebelum manusia menghembuskan nafas terakhir itu adalah kaffarah segala dosa. Moga Tun termasuk dalam kelompok itu...al-Fatihah untuk Tun!

Salam Perkenalan

Assalamua'laikum!

Sudah lama saya mengidamkan sebuah blog yang berkesinambungan sifatnya. Namun, pernah sekali dicuba dan saya gagal menyudahi. Alhamdulillah, pertemuan lewat Seminar Pencinta Buku yang julung kali wujudnya di Malaysia 20 April 2006 kelmarin, menyuntik sesuatu. Ibarat suntikan botox yang mampu menyerikan wajah, saya teruja untuk kembali memiliki sebuah 'medan' bagi meluahkan rasa dari jiwa yang terkadang meronta....

Nah! Demikianlah pemula bicara. Harap noktah awal ini tidak kan lama...banyak perkongsian menarik sebenarnya boleh dicuba. Sepaling tidak, mencanai pemikiran dalam jiwa bahasa yang sama...antara pencinta dan pencinta...kan senang natijahnya...

Mungkin permulaan ini adalah satu takah awal. Insya-Allah...saya akan terus mencuri masa demi menjadikan medan maya ini suatu medan komuniti yang berguna, amin.

U-HAH
Pemblog muda