Rabu, Julai 23, 2008

Sampai bila sesetengah media nak berubah


Nak tahu, sewaktu malam pengumuman keputusan PRU 12 dahulu, hati saya disirami sedikit kegembiraan. Saya gembira bila beberapa buah stesen TV nampak lebih terbuka memberikan ulasan. Nak-nak lagi setelah diisytiharkan kekalahan dua tokoh GIANT BN, iaitu Sammy Vellu dan Shahrizat Abdul Jalil, nada dan corak ulasan nampak tidak terlalu bias. Para pengulas sudah berani menghentam pihak-pihak tertentu. Misalnya, wakil Bernama terang-terang mempertikaikan peranan media massa milik pemerintah yang cuba memperbodohkan rakyat. Akibatnya, rakyat sudah hilang percaya kepada laporan media perdana dan beralih kepada media alternatif.

Itu cerita lebih 3 bulan lalu. Majoriti kerajaan negeri PR pun sudah menyambut 100 hari pemerintahan. Sayangnya, keterbukaan media hilang sedikit demi sedikit selepas itu. Beberapa buah TV yang mulanya nampak sedikit longgar menyampaikan berita, kembali bertukar menjadi hantu siang yang takut pada baying-bayang. Laporan sudah tidak berimbang. Sudah tidak kenal betul salah, dosa pahala waima syurga neraka. Pelaporan gaya ‘bahlol’ yang ‘sombong’ dan ‘angkuh’ menjadi amalan kembali.

Saya musykil bercampur pelik yang amat sangat. Jelik sangatkah kepimpinan para MB dan KM di Kelantan, Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor? Terlalu sumbangkah gerak langkah yang mereka ayunkan? Terlalu pekarkah tangan dalam tarian pemerintahan mereka? Semua…hampir semua yang diperkenalkan dilihat daripada perspektif yang salah, songsang dan negatif.

Seorang veteran Umno menempelak MB Perak, katanya terlalu berlembut dengan kaum Cina. Begitu juga dia menghiris hati saya, apabila menyatakan MB Selangor langsung tak buat apa-apa. Pendeknya, sebut sahaja atas nama PR…tiada yang berguna melainkan hampas belaka!

Come on lah! Takkan semua hampeh. Hampas kelapa pun buleh jugak ayam pupuh saya di kampung tu makan. Inikan pula manusia. Hanya najis yang keluar dari duburnya sahaja hampas.

Berbalik kepada media di negara ini. Saya tidak tahu sampai bila mereka akan kekal sebagai dengan status quo menegatifkan semua yang dating daripada PR. Inilah tradisi yang meracuni pemikiran rakyat jelata. Bayangkan, kebaikan disembunyi dan kesilapan yang sedikit dihebah-hebahkan. Mungkin mereka begitu takut kepada bayang-bayang…tapi mereka wajar lebih takut kepada Tuhan. Kerana di sisi Tuhan ada buku catatan yang menulis semua tindakan mereka. Adu domba, fitnah dan segala…adalah pemberat-pemberat timbangan yang bakal menghumban mereka ke neraka!

p/s: tulisan ini siap sudah lama, tapi baru dipostingkan hari ini atas sebab-sebab tertentu...

Rabu, Julai 16, 2008

SIBUK...

Saya rindu untuk menitipkan sesuatu di blog ini. Tapi mutakhir ini dilanda kesibukan. Isteri tercinta alhamdulillah telah selamat menitipkan cahaya mata kami yang kelima. Hanim Ikhwana namanya. Maksudnya...Good companion. Rasa saya, kelahiran inilah paling mudah. Terima kasih kepada ibu bapa dan teman-teman kami yang sering mendoakan.

Semalam berlangsung debat DSAI VS Sabry Chik. Saya yakin, debat itu telah berjaya menerobos jerebu minda ramai manusia. Tak sangka, DSAI dapat liputan begitu hebat dan percuma sahaja berjaya access kepada lebih 20 juta jiwa di Malaysia....wamakaru wamakarallah...

Last...kepada para pengunjung, maaf jika saya tak sempat up-date lebih ditil. Dua buah buku sempat saya khatami...kini sedang mengulit karya Prof Kamil dan Ramlee Awang Mursyid... Ah...cuti bersalin lima hari menyelesakan sekali!

Khamis, Julai 10, 2008

Politikkan masjid...versi saya


Zaman BN atau tepatnya Umno jadi kerajaan negeri dahulu, bukan kita tidak pernah dengar isu masjid dan surau didominasi sebelah pihak. Tepatnya dipolitikkan! Saya sendiri adalah AJK surau dan pernah terlibat dalam Mesyuarat Pemilihan J/K Masjid. Saya sendiri melihat senarai jawatankuasa masjid yang perlu ‘ditapis’ terlebih dahulu di pejabat agama sebelum ‘diluluskan’. Tapis punya tapis…itulah akhirnya berlaku, nazir masjid di Gombak tapi tinggal di Klang. Itu contoh betul…masjid mana tak payahlah saya nyatakan. Lagi pun, itu insiden kira-kira dua tiga tahun sudah.

Saya sebenarnya melihat, masjid adalah nadi umat Islam. Politik adalah sebahagian daripada denyutan nadi itu. Cuba beritahu saya, zaman bilakah politik dibuang oleh rasulullah? Bahkan, semasa nabi dalam proses pembentukan negara Madinah, berapa banyak perjanjian demi perjanjian yang dimeterai. Bermula dari Perjanjian Aqabah I & II dan diikuti Perjanjian Hudaibiyah. Begitu juga penggubalan undang-undang atau perlembagaan di Madinah yang dinamakan Shahifah Al-Madinah. Kemudian, nabi menjadikan masjid sebagai pusat pentadbiran. Menyelesaikan masalah umat dan tempat bermesyuarat. Bahkan nabi tidak segan-silu mengisytiharkan peperangan di masjid. Ini semua apa? Main pondok-pondokkah? Atau main bursa saham kah? Atau main masak-masak kah?

Apa yang dilarang di dalam masjid ialah perkara yang melalaikan atau ‘lagha’ sehingga menjurus kepada maksiat. Membuat maksiat dalam masjid pastilah ditegah. Main judi, berdisko, dangdut reggae, karaoke lagu Isabella, dating, berzina, bunuh orang, tengok video lucah dan sebagainya yang merupakan dosa dan kelalaian, pastilah haram dan berdosa pun. Berdosa kerana mencemarkan kesucian masjid dan melanggarkan hukum Allah.

Apakah menjelaskan arak itu haram sudah jadi isu politik? Menjelaskan aurat itu jika dibuka adalah haram dan berdosa isu politik? Menjelaskan cirri-ciri qazaf, hukum hudud, qisas, ta’zir dan bab-bab jinayah di dalam Islam itu politik? Hudud dan qisas ada dinyatakan di dalam Al-Quran, samalah seperti puasa, solat dan zakat. Adakah itu semua politik?

Atau apabila menegur manusia yang menyeleweng itu politik? Tahukah kita, zaman tabieen dahulu, ada sahabat nabi yang naik ke atas mimbar masjid demi menegur penyelewengan sosial di dalam masyarakat. Adakah itu politik?

Ya…tiada yang berdosa jika Islam tidak menggariskannya sedemikian. Masalah utama umat Islam hari ini ialah, enggan tunduk kepada hokum Tuhan. Al-Quran dan Al-Hadis dijadikan basahan mulut di dalam ceramah dan tilawah. Ia bukan lagi panduan dan perlembagaan. Hukum-hukumnya hanyalah untuk kajian bukan dilaksanakan. Maka itulah, umat Islam hari ini jadi berantakan!


Wallahu’alam

Rabu, Julai 09, 2008

Saya rasa... Anwar diambang kemenangan

Wah! Wah! Saya pasti dicop sebagai fanatik Anwar! Neo-Anwarisme! Ekstrimis Anwar! Atau apa-apa sahaja. Tapi, kenapa boleh saya terfikir sedemikian? Sekadar menyedapkan hati?

Jujurnya saya bukanlah pengikut Anwar yang taksub. Sepanjang musim reformasi era 1990-an di sekitar Jalan TAR dan Masjid Jame’ di KL, saya bukanlah manusia yang sanggup dikejar dan disembur air asid oleh FRU. Di Masjid Negara malah. Sebaliknya, saya adalah manusia yang memerhati dari jauh. Melihat jenuhnya manusia pelbagai unsur yang menyokong Anwar. Termasuklah mereka yang akhirnya 'terpeleot' buku lalinya dan kembali melutut ke telapak kaki Umno.

Namun, saya adalah pengagum Anwar. Saya akui akan kehebatan Anwar. Auranya terasa. Ucapannya bertenaga. Daya fikirnya menguja minda. Dia manusia yang progresif. Ada ciri-ciri pemimpin unggul. Maka lahirlah sosok yang penuh karisma. Zahirnya Anwar, menyatukan manusia pelbagai latar di Malaysia. Inilah persona Anwar.

Kenapa saya rasa Anwar di ambang kemenangan? Tiada justifikasi khusus. Cuma gerak hati. Pertama, saya melihat riak kemenangan di pihak Anwar. Beliau bahkan berani bersumpah dengan nama Allah, liwat bukan amalan beliau. Di samping itu, kecenderungan rakyat untuk mengiyakan tuduhan liwat nampak meleset. Bukan orang Melayu, bahkan orang Cina sendiri meragui tuduhan ini.

Selain itu, Umno bagi saya sudah terlalu reput. Pelbagai parasit duduk menumpang sehingga bahtera Umno makin goyah. Ramainya orang di dalam Umno hari ini kerana mahukan laba dunia semata. Masakan saya berbohong, kerana sudah nyata di pelupuk mata. Seorang wakil rakyat di kampung saya sendiri, asalnya hanyalah guru sekolah yang menaiki Toyota Van Liteace yang agak 'laieh' namun berubah sekelip mata setelah menyandang pangkat YB!

Saya tahu, jika saya mahukan laba dunia maka Umno lah lubuknya. Saya pernah terfikir, jika saya mahu kaya maka saya akan jadi aktivis Umno. Perdulikan dosa dan neraka. Politik wang jadi taruhan. Adu domba dan cah keting jadi mainan. Semua ini saya sudah masak, kerana saya hidup di sekeliling orang-orang Umno juga. Mereka bahkan senang-senang membuka mulut menceritakan aib parti sendiri. Bukan saya minta, mereka yang beri.

Anwar boleh jadi PM dan Pakatan Rakyat boleh menang. Ini ikut naluri sayalah. Cuma masanya sahaja belum pasti. Mungkin dekat mungkin jauh. Sementara itu, kita mesti mendekatkan diri dengan Allah. Mohon kejayaan. Mohon kemenangan. Mohon keselamatan. Mohon juga Umno dan ahli-ahli serta pemimpinnya boleh menerima perubahan. Mohon mereka jadi matang. Mohon mereka rela jadi pembangkang.

Ya! Sebagaimana matangnya Haji Hadi, matangnya Nik Aziz dan matangnya semua orang PAS, PKR dan DAP menerima diri sebagai pembangkang selama ini. Selama 50 tahun sebelum ini!

Seminar oleh PAKSI di Shah Alam



Penggiat seni dan sastera dialu-alukan untuk mengikuti seminar yang dianjurkan Badan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) pada 19 Julai ini, bertempat di Perpustakaan Negeri, Shah Alam, bermula 8.30 pagi sehingga 4.30 petang. Pendaftaran masuk adalah percuma. Tema seminar ialah, "Penulis: Mengepalai atau mengekori?" Menurut Pengerusi Jawatankuasa Seminar Paksi, Prof Dr Irwan Abu Bakar, pihaknya menjangkakan 300 peserta akan menyertai seminar tersebut.



Seminar tersebut terbahagi kepada dua slot iaitu pembentangan kertas kerja pada sebelah pagi dan forum pada sebelah petang. Antara pembentang kertas kerja ialah penulis Dato' Baha Zain,, Anual Bakri dan Hishamudin Rais. Manakala ahli panel forum ialah penulis Ainon Mohamad dan Amir Mohamad.

Selasa, Julai 08, 2008

Ziarah, ole-ole dan kisah tok di kampung

Abang ipar Sdr Jiwa Rasa dan biras, Kak Suri datang bertandang ke kediaman saya Ahad lepas. Berdua, Aisya Nur Arafat ditinggalkan. Mereka dalam rangka ke kenduri perkahwinan di PWTC, langsung berziarah buat seketika.

Lama juga tidak ketemu. Abang JR saya makin sibuk mutakhir ini. Halaman Blog beliau pun jarang bersentuh. Saya merungut-rungut juga dengan isteri, kenapa Abang JR lama tak up date blog. Dalam senggang waktu kami, biasanya blog Jiwa Rasa adalah antara blog yang awal dibuka. Saya sendiri suka membaca komen JR mengenai buku. Saya tahu Abang JR banyak membaca buku, sebulan kekadang dua tiga buah. Bukan seperti saya, sebuah pun susah bukan main untuk langsai.

Saya merungut juga fasal CD Dewanga Sakti yang saya order daripada Zul tapi masih belum diperolehi. Abang JR pula, memang sedari awal berniat untuk menghadiahkan saya sekeping CD itu. Dek kerana belum tahu kapan bila saya bakal menerima CD daripada Zul Dewangga Sakti, saya terima sahaja CD daripada Abang JR. Terima kasih. Saya terima dengan hati yang berbunga. Semalam saya sudah dengar CD itu. Nantilah, lepas ini saya akan tulis mengenainya.

Tidak lupa juga, emak mertua mengirimkan sekotak ole-ole dari kampung. Mak mertua saya memang begitu. Jarang menghampakan. Ada-ada sahaja barangan yang dititipkan. Daun pisang, pisang abu, ubi kayu, tempoyak, durian, pucuk ubi, bunga kantan dan apa-apa sahaja lagi. Termasuklah air selusuh yang istimewa untuk isteri saya. Anak kelima kami akan lahir bila-bila masa sahaja lagi.

Semalam juga emak saya menelefon dari Lenggong. Emak tanya, bila mahu pulang ke kampung. Rasanya selepas isteri bersalinlah. Juga emak memberitahu kondisi Tok Long yang kian uzur. Sudah enggan menjamah nasi. Air pun makin sedikit diminum. Mak bimbang akan kesihatan ibu mertuanya itu.

Jumaat, Julai 04, 2008

Bilo Oghang Nogori Sembilan Maghah Pado Pak Lah...


Kepado pak lah... PM paling sey sayang...I lap u

namo sey ni KARIM...pengundi bedaftar DUN CHOMBUNG, PARLIMEN ROMBAU...alaaaa tompek si KERY yg abah'eh JAMALUDIN tuuu...tak kona'???? menantu PAK LAH tu laaaaa....suko bona' sey ngan dio tu...ghaso nk buek menantu lak...

sey nulih surat ni bukan apo...sajo yor nk ucap'an timo kasih kek pak lah sobab naik'an hargo minyak ari tu.. lopeh ini bilo hargo minyak naik..hargo barang lain pun naik gaklaaaa...banggo boto' sey ghaso...mcm duduk kek LAS VEGAS lak...HIDUP PAK LAH!!!!!!!

sey janji ngan pak lah yg sey akan ubah tebiat sey dari makan ikan kombung yg dah merah menyalo mato'eh & pocah bedorai porut ikan tu pado ikan koring yor...sey sanggup bekoban untuk UMNO dan bn..

anak sey yg 7 org tu yg dh buleh buek team futsal tu boleh la bekojo lopeh sekolah buek bantu mak ayah diorang ni haaa...kok tk bekojo pun buleh la jadi mat rompit kek SENAWANG tu...dapek gak la duit sesikit...buleh gak la menoruskan tradisi keluargo sey ni yg nyokong UMNO dan bn

ghaso2 sey ni nk ubahsuai bilik bilik yg ado kek ghumah sey...nk buek tompek bolo ikan & tanam sayur cagho hidroponik (apo binchek'eh ni???) sey tepakso tanam kek dalam bilik sobab sey tingga' kek umah flat...

rebet yg pak lah bagi kek sey memang melampuh2 lobeh'eh dari keperluan sey..bilo sey congak2.. sey cumo guno 20 sen yor duit minyak moto sehari.. ado la untung 21 sen...bak kato si SAIDA AF6 "ok la tuuuu"

sey tak pakai pon keto... sobab bilo minyak naik hargo.. sey kono jual datsun kotak mancis sey tu.. dapek gak la duit.....tokih2 pun ado la hasil'eh..

team futsal sey tu, sey nak suruh eksesais hari2 berjalan kaki tak pun naik beska' poie sekolah...ado la 5 km...dokek yor tuuuuu...

walaupon gaji sey ni rm 1000..sbona' eh terlobih cukup untuk keluargo sey...buek permulaan nk ngubah kehidupan sey.. sey tak akan guno'an gulo bilo buek kopi... tak akan guno'an topung untuk buek kodoksey nak ganti'an bogheh ngan ubi... tiap hari sey ngan keluargo akan berposo (kecuali pado hari hari yg dilarang beposo)

sey akan buek minyak masak sendiri itu antaro caro sey ngubah caro hidup.. ade banyak laie caro semuo kerano UMNO dan bn...

dan sey mintak bona' pak lah naik'an laie hargo minyak yg ado.. bukan tu yorrr.. sey mintak bona' naik'an laie hargo tol sobab org sbolah rumah sey nih org pembangkang. ..dio slalu guno highway, biar padan muko dio...tu la...suko bona' nyokong pembangkang. ..PAKATAN RAKYAT konon...palo hayah dio tu...

nanti pak lah buleh la melawat sey dan sedokah pado sey solai kain pelikat bilo dh nak dokek2 pilihanraya nanti... insyaallah kain pelikat tu sey nk bubuh dlm frame dahtu gantung kek rumah... tapi jangan lupo lak.. pak lah sain otogeraf yor kek kain tu....

jagan lupo pak lah.. naik'an laie hargo minyak.. jgn la diturun'an gaji mentori2 tuuu..siannn diorang...kang apo lak anak bini'eh nk mentodarah.. .. sey totap nyokong pak lah..

akhir kato biar pak lah sonang, janji kami papo kedano.. hidup UMNO, hidup bn..

sekian timo kasih..

ps/ sampai'an salam sey kek si KERY samo PATRICK BADAWI tu yor..tak lupo gak tuan punyo syarikat SCOMI...sapo tah namo'eh...lupo lak...

pocah kaco, pocah golas,
sudah baco, harap baleh.

p/s: Ada kawan e-mail...saja jer kongsi kat sini... :)

Mimpi jadi PM dan mencari Umar Abdul Aziz


Semalam waktu santai-santai sambil nonton telenovela Soleha, isteri mengkhabarkan berita yang tak berapa best didengar.

“Abang..., Chandran dan Pakcik Farid driver budak sekolah tu minta kita naikkan tambang anak-anak kita tu...”

Saya melihat wajah isteri dengan pandangan kosong. Argh…dah agak dah!

“Chandran minta naikkan dari RM30 jadi RM50 seorang…Farid tu tak tahulah…mungkin naikkan dari RM40 jadi RM50!”

Saya mencongak ringkas. Kenaikan dari RM30 ke RM50, maknanya melebihi 50%! Ceh…nak kena ni…mana boleh tahan!

Hmm…senario di atas adalah senario biasa rasanya dewasa ini. Mak-mak dan ayah-ayah akan duduk sambil bincang-bincang. Tentang perbelanjaan rumah, wang persekolahan dan kos pengangkutan. Belum diambil kira kenaikan tariff elektrik baru-baru ini…yang saya rasa ramai rakyat tak perasan.

Saya kemudian memikirkan, ke mana arah tuju rakyat Malaysia? Kita butuhkan wang (pinjam istilah Indonesia). Tanpa wang, kita enggak mampu meneruskan kehidupan dengan sempurna. Tambahan bagi mereka yang diam di kota besar seperti KL, Shah Alam dan sebagainya, setiap pergerakan adalah duit.

Bagaimana kita mahu mengurus kewangan jika pendapatan adalah terbatas dan sama seperti dahulu, sedangkan kos barangan dan perkhidmatan meningkat berkali ganda. Sebab itu saya ketawa geli hati dengan beberapa cadangan pihak kerajaan, antaranya memberikan kelonggaran kakitangan awam membuat kerja sampingan, pemberian tunai RM600++ kepada pemilik kenderaan bawah 2000 cc, rebat cukai jalan, cadangan 2 x gaji sebulan dan diikuti oleh cadangan-cadangan bersifat ‘mengarut’ yang lain oleh beberapa pihak, seperti jangan suka membrek kenderaan di jalan raya, bawa pada halaju malar 80 km/j lebih jimat minyak, amalkan menanam sayur sendiri di rumah (eloklah tu…nanti di koridor flat dan kondo penuh pokok cabai dan terung), jual perabot dan pakaian lama dan bla…bla….bla…

Hai, come on lah! Be realistic sikit. Kita bukan main dangau atau pondok-pondok waktu kecil-kecil dahulu. Bahkan waktu kita berambat berlari main polis sentri pun kena ada strategi…inikan pula mengurus kewangan dan ekonomi, bukan ekonomi keluarga tuan…ekonomi negara!

Saya rasalah….jika saya yang berada di atas sana sebagai ‘PM’, saya yakin harga minyak petrol dan diesel tidak akan naik seteruk ini. Rakyat akan hidup harmoni. Saya akan pastikan gaji saya dan gaji para menteri kabinet saya tidak melebihi keperluan hidup. Saya memang mencari Al-Ghazali dan Al-Syafie…tapi saya tambah seorang lagi, saya cari Umar Abdul Aziz…kerana Umar adalah pemerintah (umara’) cum ulama' sedang Al-Ghazali dan Al-Syafie hanyalah ulama’.

Saya akan tiru cara Umar Abdul Aziz memerintah….nak tahu caranya, hmm…anda boleh tanya Encik Lim Guan Eng di Pulau Pinang. Sedikit tak banyak caranya beliau sudah tunjukkan, misalnya tinggal di rumah sendiri yang tidak jauh berbeza dengan rakyat dan naik kapal terbang kelas ekonomi untuk berjimat. Boleh Najib, Pak Lah dan yang lain-lain menteri kabinet lakukan sedemikian…saya teringin nak lihat Nazri Aziz dan Azalina naik basikal ke parlimen, naik motor ke surau, nak bas ke chow kit dan makan mee mamak sambil hirup teh ais di medan selera kat benteng...!

Agh…U-HAH….hang ni mimpi apa!!!

Khamis, Julai 03, 2008

'Cetusan Rasa Saya'


Bodoh, bengap, kaldai!!! Arg, saya sendiri pelik. Kenapa akhir-akhir ini agak lancang mulut saya menghambur kalimah-kalimah seperti ini. Saya teringat, hati kecil saya merintih sedih apabila satu malam di surau, saya meluahkan emosi saya dengan menyatakan: “Pemimpin apa jika suruh rakyat jelata makan beras hancur 15%! Saya beli yang 5% hancur pun dah banyak yang hancur. Inikan 15%! Pemimpin lahanat macam ini!”

Saya tidak tahu orang lain. Tapi saya dapat mengagak, kesan kenaikan harga komoditi asas di negara ini memang mengundang musibah. Ia turut menaikkan gelegak emosi. Lebih dari 'Sorakan Emosi' Euro 2008!!! Saya tidak fikir Pak Lah sebegitu bodoh untuk membuat perkiraan asas. Biasalah, peningkatan harga minyak menjadi penyebab utama yang bla…bla…bla…

Tapi, saya memikirkan bagaimana kita rakyat jelata ini mampu menghadapi kenaikan kos sara hidup ini? Ya, kita yang berpendapatan sederhana ke bawah. Dalam lingkungan RM2 ribu ke RM5 atau RM6 ribu... Seorang kenalan saya mengomel, kini dia terpaksa mengeluarkan simpanan peribadinya untuk menampung kos sara hidup keluarga (sudah makan reserve lah ni). Begitu juga, sudah ada yang mengikat perut hanya makan nasi pada waktu siang sahaja. Maknanya, makan nasi sekali sehari. Pilihlah malam atau siang. Ada yang akan menunggu penuh sabar apabila ada mesyuarat jabatan berlangsung, kot-kot ada lebihan makanan untuk mengisi perut. Jika yang menggunakan kad kredit, sudah ada yang terlebih guna berbanding bulan-bulan biasa. Macam-macamlah…

Saya mengandaikan, kesan kenaikan akan lebih menjerihkan menjelang bulan Ramadan dan Syawal nanti. Tak lama dah, hanya dua bulan sahaja lagi. Biasalah, bulan puasa kos memang naik kerana itulah pun masanya kita mahu merasa makanan luar di bazaar Ramadan ataupun berbuka di luar dengan keluarga. Masuk Raya lagilah!

Tunggulah, tidak lama lagi. Anda sendiri akan mengalaminya. Kesan kenaikan ini yang diistilahkan Dr Zulkifli Ahmad (Ahli Parlimen PAS Kuala Selangor) sebagai ‘stagflasi’, iaitu kesan lanjuta inflasi. Anda boleh baca di link berikut: (http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=15542&Itemid=1)

Jadi, apakah penyelesaiannya? Dahulu…saya berharap DSAI akan naik sebagai PM. Anwar berjanji berulang kali, antara misi pertamanya ialah menurunkan kembali harga minyak di negara kita. Tapi kini suasana sudah berubah. Anwar dihadapkan dengan tuduhan yang kembali mengganggu perjalanan politiknya. Jadi, masih adakah harapan buat kita…


Rabu, Julai 02, 2008

Argh!!! Ngerinya!


Pada mulanya, saya tidak begitu menghiraukan sangat apa isi kandungan Surat Akuan Berkanun Raja Petra itu. Iya, sudah lama isu ini berlegar-legar. Najib dituduh terlibat. Najib nafi. Tuduh lagi, nafi lagi. Pendeknya, tak kemanalah jawabnya. Polis dan Peguam Negara pun ‘tidur’ atau ‘kura-kura’…

Namun, apabila membaca antara isi surat Raja Petra ialah, beliau membuat akuan bahawa Rosmah isteri Najib sendiri berada di tempat pembunuhan Altantunya. Saya memetik apa yang dipaparkan di harakahdaily:



Dalam kejadian malam pembunuhan itu tiga orang telah disyaki berada ditempat kejadian iaitu Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Timbalan Perdana Menteri, Pemangku Kolonel Aziz Buyong (kini Leftenan Kolonel) seoarang pakar C4 dan isteri Aziz iaitu Norhayati yang merupakan ADC bagi Datin Rosmah, kata Raja Petra dalam surat akuannya itu. Lebih mengejutkan, Raja Pertra mendakwa menurut sumbernya bahawa Aziz telah menempatkan bahan letupan C4 itu di beberapa anggota badan Altantuya sambil disaksikan sendiri oleh Rosmah dan Norhayati.



Waduh…serius bangat pertuduhan ini. Takut saya dibuatnya….

Protes Sejuta Rakyat Dalam Kemelut Isu Liwat


Awal-awal lagi apabila PM menaikkan harga minyak petrol, saya sudah canang bahawa tindakan balas rakyat perlu disegerakan. Saya cadangkan kala itu, Pakatan Rakyat (PR) mengumumkan MOGOK 1 HARI. PR perlu memobilisasikan rakyat. Saya kurang setuju cadangan demonstrasi. PR diambang pembentukan kerajaan. Oleh itu, PR perlu dilihat matang menangani cabaran. PM mesti ada muslihat yang sukar ditelah kendatipun sesetengah komplotnya bagaikan permainan budak-budak. Saya mengandaikan, mogok mampu melumpuhkan ekonomi secara fatal. Jangan main-main, inilah senjata ampuh bangsa maju di luar sana. Mereka menjadikan mogok senjata menekan ego sang penguasa, andai pintu diplomasi terkunci mati.

Saya gembira apabila idea saya seperti disambut oleh pimpinan PR. Harakah meletakkan tajuk MOGOK di muka depannya, Sdr Mahfuz yang memberikan pendapat. Saya mengharapkan, wajar ada suatu tindakan konstruktif yang ad-hoc sifatnya. Isu minyak masih menyirap darah di mana-mana. Kelewatan memanfaatkan masa akan merugikan semua.

Ah… saya bertepuk sebelah tangan rupanya. Cadangan mogok tinggal sepi. Yang diuar-uarkan ialah tarikh-tarikh mengadakan unjuk rasa. Ya, unjuk rasa alias demo, samalah itu. Ia berganjak dari tarikh asal 12 Julai kepada 5 dan akhirnya tersangkak pada angka 6 Julai. Namun kini, lokasinya berubah dari KLCC ke hadapan Amcorp Mall PJ. Berjayakah kelak…berbaloikah…

Saya melihat, isu liwat Sdr Anwar, isu akuan sumpah berkanun Raja Petra dan pelbagai isu lagi bagaikan arus deras yang makin menenggelamkan isu minyak ini. Saya cuba menyelongkar pemikiran beberapa rakan, mereka seiya dengan saya. Makanya, saya gusar akan misi himpunan protes 6 Julai ini. Saya bimbang, rakyat kian sejuk dengan isu kenaikan harga minyak sebaliknya tenggelam dalam aneka isu lain yang terus menerpa.

Akhirnya, minyak akan kekal pada harganya. Isu subsidi minyak akan reda. Isu harga ayam dan beras yang kekadang menggila juga akan reda. Rakyat akan lupa semua itu, kerana semuanya berfikir dan berusaha keras untuk menangani isu yang satu…ya, membersihkan nama Anwar daripada terus terpalit dengan najis baru ini!

Arghhh…berbaloikah?!!!

Selasa, Julai 01, 2008

Malunya bila anak bertanya…apa itu liwat!


“Keluarga pemuda yang mendakwa penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim meliwatnya akan mengadakan satu sidang media selepas tengah hari ini. Keluarga Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mendakwa kesalahan itu dilakukan kali terakhir 26 Jun lalu, dijadual menjelaskan isu menggemparkan itu 2 petang ini di rumah mereka di Bandar Utama. Polis semalam menghabiskan masa selama lima jam, menjalankan siasatan di sebuah kondominium di Desa Damansara, tempat yang didakwa berlaku perbuatan tersebut.” – Malaysiakini.com

Apa? Liwat ke lewat? Istilah ini popular era Dr M masih menampuki kerusi PM. Ketika hujung 1990-an. Anak-anak kecil yang baru mengenal ikan bulu ayam, baru belajar kenal burung punai sendiri dan baru mumaiyiz turut dipaksa. Dipaksa mendengar kalimat…apa tadi…liwat itu!

Ceh! Hampir 10 tahun berlalu maka sekonyong-konyongnya kalimah ‘liwat’ kembali ke udara. Kali ini masih mengotori nama yang sama: Pak Syeikh Anwar! Jika dahulu yang mengaku diliwat orang lain, kini budak lelaki tak habis ngaji universiti pula mengaku. La…kenapa ada orang sangat gemar bermain dengan ‘liwat’ ini? Tak faham aku!

Saya rasa semua orang, tidak pernah membayangkan untuk menyebut kalimah berbunyi dan berkonotasi negatif seperti: celaka, haram jadah, anak haram, main belakang, mangkuk hayun dan termasuklah LIWAT ni! Apatah lagi mempromosikannya secara leluasa…di TV dan akhbar.

Cuba anda bayangkan, jika anak kita yang berusia empat, lima atau enam tahun sedang menonton berita TV dan mendengar: “Penasihat Parti Keadilan Rakyat bakal berhadapan dengan tuduhan liwat, setelah pembantu beliau mengaku diliwat di sebuah kondominium mewah di Damansara sekitar dua bulan lalu.”

Lalu anak kita Tanya: “Ayah, liwat tu apa?” Kita pun jawab: “Liwat tu adik, ala…main belakang orang.” Anak kita Tanya lagi: “Main kat belakang tu apa yah?” Jawab kita: “Ala…macam adik suka main belakang ayahlah…macam adik…er…pijak atau picit belakang ayah. ” Si ayah terpaksa memberikan jawapan yang sesuai dengan pemikiran anaknya…takkanlah si ayah akan menggambarkan maksud sebenar erti liwat!

Satu hari, si ayah sakit belakang dan meminta isterinya memicit belakang. Nampak kat anak, dia pun kata: “Ha…Ibu…ibu liwat ayah ya….” Apabila ada orang bertanya si anak, apa kegemaran ibu dan ayahnya pada waktu rehat di siang hari, si anak pun berkata: “Mak dan ayah aku suka main liwat-liwat.”

Ya! Itulah kesannya kepada anak-anak. Mungkin kita beranggapan ini benda kecil; tapi perkataan LIWAT ini akan kekal dalam kotak fikiran mereka hingga dewasa. Dan dalam proses menuju kedewasaan itu, mereka akan melalui tahap-tahap transisi seperti usia remaja. Anda pasti pernah mendengar, usia REMAJA adalah period paling kritikal bagi remaja. Kerana, pada usia remajalah anak-anak akan bersifat ingin mencuba. Saya takut mereka mencuba-cuba pula apa maksud liwat sebenarnya. Di Malaysia, kita pernah gempar murid sekolah usia lapan tahun sudah pandai melakukan oral sex...argh!!!

Ya, janganlah anda pelik jika satu masa nanti perbuatan liwat-meliwat sudah menjadi biasa di Malaysia. Kerana apa? Ya, keranan pemimpin Malaysia dan media massa sendiri suka mempromosikannya! Agak-agaknya, apalah yang kita akan jawab di hadapan Allah Rabbul Jalil nanti ya?


Isnin, Jun 30, 2008

Kenangan Sabtu & Ahad

Menjelang tengah malam Sabtu kelmarin, seorang kawan menghantar SMS: “Anwar mungkin ditahan lagi…kes liwat.” Ala…saya sudah mahu masuk tidur, ada pesanan pula. Tidak cukup dengan itu, kawan saya berjanji akan memberitahu apa perkembangan terkini. Beberapa kali talian saya terganggu. Mudah saya simpulkan lewat malam itu: “Apa lagi ni Pak Lah…”

Ah…saya malas mengulas isu ini. Bagi saya, jika benar ia konspirasi maka ia akan gagal. Seperti mana kata mursyid saya, TG Nik Aziz, bawakanlah saksi. Itu tatacara dalam Islam.

***

Hari Sabtu yang menarik juga saya lalui. Pagi, seputar jam 9.30 saya dan dua anak ke sekolah rendah, ada gotong royong. Sekolah anak saya di dalam kawasan rekreasi, iaitu FRIM. Lokasinya menarik. Dikelilingi alam yang hijau. Ada anak kali mengalir jernih di hadapannya. Cengkerik dan riang-riang suka bermain. Nak tahu, ketika kami giat membersihkan anak sungai itulah, rupa-rupanya masih banyak hidupan akuatik bermain di situ. Terkejut saya apabila anak-anak mengunjukkan platik yang berisi belut, ketam dan udang…

***

Malamnya, saya berjanji membawa keluarga makan di luar. Kami ke steak house di Kg Baru. Enak steaknya. Along yang akan menyambut hari jadinya pada 29 Jun, jadi saya wajar memberikan sesuatu. Ya, saya bawa makan diluar. Di samping makan-makan, dapat juga mengeratkan hubungan kekeluargaan.

***

Pagi Ahad, anak kedua saya Ayang merengek…nakkan hadiah. Dia mengungkit-ungkit hadiah hotel yang kami tak jadi pergi walaupun dah dapat tiketnya pada tahun lalu. Letih saya….

***

Petang Ahad saya membunuh keboringan dengan mengajak famili keluar lagi. Wife yang sudah berisi dan sarat menanti hari, tidak berapa larat nak berjalan. Kami mencari diapers untuk baby juga baju-baju baru. Kami menjamu selera di Laksa Shack…wah!!! Laksanya boleh tahan lazat; tapi harganya menurunkan berahi!

***

Pagi Isnin…aduh…anak ketiga saya, Huda buat hal. Enggan bangun pagi, saya dukung ke bilik air. Enggan mandi saya siramkan dengan air panas. Akhirnya dia menangis enggan ke sekolah. Isteri menungkit kisah lama: “Dahulu masa Abang Yang, abi tarik aje ke bilik air. Tak nak mandi abi siram…basah habis semua baju tidur. Kena anak perempuan ni…lain pula jadinya.”

Em…tanpa sedar, saya bersikap lunak sebenarnya dengan anak perempuan saya!

Jumaat, Jun 27, 2008

Catatan Diari Bangla Pengisi Minyak

Intro: (ini hari banyak best woo, tadi ada satu awek cun punya, dia kasi saya gula-gula…saya tau dia pasti suka sama saya!)

Petang Rabu (aisyeh…tadi ada satu awek cun punya, dia kasi saya gula-gula…)
Masa: kira-kira jam anam petang waktu Malaysia
Lokasi: Jalan Pahang, KL

Tiba-tiba itu…tempat kirja aku jadi kicoh
Itu kareta punya…baaaanyak itu berpusu-pusu
Itu sumua mau kasi itu minyak isi punuh-punuh
Aku jadi hairan…baanyak hairan, lalu aku tanya sama itu bos
“Bos… apa pasai ini woorang banyak dating?”
Bos cakap kalu: Hai machhaa…u bikin kirja saja!
Aisyeh, manyak sombong ha u bos!
Aku sebenarnya bukan faham sangat apa bos cakap, sebab aku orang bangla
Mana ada faham bahasa…ngurat awek ada la…

Pon! Pon! Pon! Woi…mat bangla ni, mengelamun ka?!
Aiyoh! Kereta sudah panjang la, tepi jalan sudah punuh…
Eh…eh, ada yang mahu cilok potong turn woorang lain, satu kali sudah kena hon…
Aku lagi tambah hairan
Apa pasai ini worang semua sudah jadi baran

Tiba-tiba ada satu budak manyak muda
Dia bawak motor kapcai sahaja
“Bang, u kasi punuh punya!”
Aiyo…ini motor pun mau kasi punuh-punuh ka
Sambil marah-marah itu budak muda kata sama saya
“Itu PM banyak baik, dia kasi harga minyak naik…Chiiiit!!!”

- Catatan dalam perjalan Shah Alam – KL
- 26 Jun 2008

Khamis, Jun 26, 2008

Rangkuman berita terkini...

Kerajaan cadang nak beri insentif RM1 juta kepada mana-mana atlet negara yang berjaya merangkul emas di sukan Olimpik Beijing 08. Ha…eloklah tu, bagilah banyak lagi pun tak apa. Setakat RM 1 juta mana cukup, up lagi…jadi RM10 juta!

Pada masa yang sama, kerajaan bertegas akan mengenakan tindakan sehingga sanggup meng’ISA’kan mana-mana individu yang menyebarkan SMS palsu ‘Petrol Pum Mogok’. Ha, elok juga tu…elok sangat. Yang perasuah jelas-jelas belasah duit rakyat tak payah tangkap…rakyat marhaen juga jadi mangsa.

Semalam berita TV tunjuk satu usaha terancang curi wang dari ATM mesin. Semua kamera CCTV kena sembur cat hitam dan kira-kira RM600 ribu lesap. Dah habaq dah…jenayah akan meningkat seiring dengan kenaikan harga barang…apa nak hairan kan! Mana pergi janji manifesto Pak Lah: Selamat, Aman dan Makmur?!

Pendatang haram di Sabah pula akan dikejar habis-habisan! Ini kata Najib, boleh percaya ke? Bukan setakat PATI di Sabah, di Semenanjung pun berlambak. Apa dia buat?

Rosmah isteri Najib disiasat polis ekoran akuan bersumpah blogger Raja Petra. Najib declare dia tak kenal siapa itu Altantunya. Dia juga kata, Raja Petra berbohong! Tapi, sebelum PRU 12 Najib berjanji minyak petrol tak naik harga dan sekarang dah naik…so, who is liar?! Siapa bohong ni?

Hai u-hah! Awat hang lately ni asyik belasah semacam je….

Ala…aku dah tak tahan, sejak minyak naik hargalah aku jadi bengang cam ni…






Rabu, Jun 25, 2008

BENGANG!!!

Saya marah. Habis kawan-kawan kena belasah. Manalah saya tak angin, jika semuanya sudah makin menekan. Bayangkan, untuk kos pengangkutan sebulan sahaja pun sudah melebihi RM500! Apa ingat saya makan gaji hanya untuk bayor minyak dan tol sahaja ke?

Tapi, tidak ada yang lebih mendingin dan menganginkan saya, melainkan kebebalan segelintir manusia. Menerima sahaja keputusan pihak yang di atas. Kita ni orang bawah, apa boleh buat? Gitulah kata-katanya… Apabila saya menekan suara, katanya lagi, kita ni bukan orang politik yang boleh mengubah keadaan.

Saya bengang betul. Boleh tak kita buka minda kita. Cuba tanya pada diri kita, adakah pemimpin negara hari ini sedar atau tidak atas perbuatan mereka? Misalnya Ahli-ahli Parlimen BN yang menyokong usul kenaikan harga minyak di parlimen, bukankah itu satu perbuatan yang bodoh dan sombong. Mereka tidak menggunakan pertimbangan selain emosi. Oleh kerana usul itu daripada parti sendiri, maka sokonglah!

Hari ini, majoriti rakyat menderita. Sudahlah kenaikan minyak menjadi aruhan kepada kenaikan kos lain, beras yang bermasalah terus bermasalah. Beras hancur 15% pun tiada di pasaran! Saya meruwap betul… apa pemerintah ingat kita rakyat ni ayam atau haiwan ternakan ke? Beras hancur 15% itu bagi saya sudah tahap menghina. Ia bukan beras yang elok dan berbau kusam. Bayangkan, beras hancur 5% pun sudah banyak hancurnya, sudah kurang sedap…inikan pula 15%! Bagi saya, pemimpin Malaysia memang biadap dengan rakyat.

Begitu juga, apabila empat orang pemimpin Pakatan Rakyat berbasikal, hai…diperli dikutuknya pula. Kononnya, jika nak menunjuk sangat, jangan setakat berkayuh dua KM dari Bank Negara. Kayuhlah jauh-jauh lagi. Kayuhlah sampai minyak turun harga!

Cis!!! Saya tidak begitu marah jika dia mengatakan, sepatutnya semua AP Pakatan Rakyat kena naik basikal, tanda solidariti, bukan setakat empat orang. Tapi, hati saya bengkak bila Nazri Aziz tukang berkokok yang bodoh sombong itu mempertikaikan suatu inisiatif mulia para wakil rakyat. Inilah jenis pemimpin yang apabila saya jumpa dia jatuh di tepi jalan, jangan harap saya nak tolong. Jenis manusia hampeh. Pemimpin seperti ini buta mata hati, tidak nampak kebaikan langsung pada pihak lain.

Saya betul-betul angin dan marah ni. Saya juga marah kerana kad kredit sudah tidak diterima di stesen-stesen minyak. Alasannya, tokey pam nak minta kamsin lebeeh! Saya tak marah tokey pam, tapi saya tahu ini kesan kenaikan harga minyak la ni! Woii pak-pak menteri, gaji aku selalu cupoi menjelang hujung bulan…kad kredit tulah yang aku guna untuk isi minyak. Apa hampa nak aku naik basikal atau jalan kaki ke pergi kerja? Sudahlah pengangkutan awam di negara ini hampeh, komuter macam sardin bas pula selalu kantoi. Drebar pun kekadang layan penumpang nak tak nak…

Aku bengang…memang bengang! Aku tak tau dah nak buat macam mana nak salurkan rasa bengang ni. Hampa ada cara?!!!

Selasa, Jun 24, 2008

Teringin nonton lagi


Ya, alhamdulillah, ia kini sudah ada di Malaysia. Filem fenomena Ayat-ayat Cinta, adaptasi daripada novel karya Habiburrahman El-Shirazy. Karya indah novelis muda Indonesia ini sudah masuk ke pawagam di Malaysia. Teruja hati mahu menonton. Saya pasti, filem ini pasti mengugah emosi. Ya, pembikin filem Indonesia bagi saya, realiti dan relatifnya jauh terkehadapan berbanding pembikin filem Malaysia.

Terus-terang, saya cukup meluat dengan beberapa buah filem buah tangan seorang dua sutradara muda kita. Amat memualkan. Hamis, hancing dan hanyir baunya. Terasa jauh terpesong daripada landasan iman dan takwa. Hanya cebis-cebis kisah lorong gelap dan pengap yang dicantum lalu jadilah filem. Argh….terlalu mudah kerja itu. Maka jadilah ia terlalu memualkan…terlalu!!!

Adakah anda rasa Anak Halal, Haru-Biru, KL Drift, Remp-It dan seumpamanya termasuklah yang bakal menyusul Bohsia mampu membangunkan jiwa anak muda? Jawab dengan hati yang disuluh hidayah…mampukah?

Saya menantikan bilakah akan muncul pengarah muda di negara ini yang punya visi dan misi menobatkan agama, melalui kerja-kerja seninya.

Isnin, Jun 23, 2008

Adik sudah main cinta

Adik saya sudah besar. Tiga daripadanya sudah tamat study, seorang di UIA dan dua di UiTM. Masing-masing sudah punya buah hati. Yang kedua sudah pun bertunang. Dua masih dalam perancangan.

Sesungguhnya, soal cinta adalah enak. Ia penuh tenaga membakar diri. Malam terasa pijar dan siang terasa beku, hanya dengan cinta. Tak usahlah kita ungkap bahasa lama, mandi tak basah dan makan tak kenyang-kenyang. Muda-mudi kini tak reti semua itu. Mereka sebaliknya kenal apa itu KFC yang sedap hingga menjilat jari atau Burger Prosperity di drive through McD! Iyah...Masa bercintalah makan lebih kenyang, kerana dapat makan dengan orang tersayang…eiii...geli rasanya!

Jujurnya, saya hanya mengharapkan pilihan adik-adik saya biarlah yang terbaik. Semasa menitipkan mereka ke IPT dahulu, antara pesan saya ialah, cari kawan yang meletakkan agama di tempat pertama. Saya harap…mereka tidak lupa pesanan itu. Amin…

Otai Umno yang pening


Saya suka mendengar pandangan golongan veteran atau otai Umno. Mereka ini kadang-kadang memanglah fanatik Umno. Tapi kadang-kadang mereka juga marahkan Umno. Saya pun tak tahu pendirian mereka yang sebenar. Bila Umno dilanda kemelut, mereka simpati pada Umno. Tapi bila dengar segala kebejatan pemimpin Umno, misalnya merosakkan bahasa Melayu, maka mereka marah pula.

Nak tahu, dalam banyak-banyak isu politik mereka sebenarnya tertarik dengan penampilan berbeza Kerajaan Pakatan Rakyat. Misalnya, mereka rasa kagum dengan sikap sederhana Ketua Menteri Pulau Pinang, ketelusan para MBnya, usaha kerajaan Selangor misalnya meringankan beban biaya hidup rakyat dengan air free dan banyak lagi.

Hmm...Malam ini saya ada satu lagi modal…iaitu, empat orang Ahli Parlimen PR hanya berbasikal ke parlimen…iaitu Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, N Gobalakrisnan ( Padang Serai ), Zulkifli Nordin (Kulim) dan Hee Loy Sian (PJ Selatan). Saya yakin, otai Umno itu akan lebih nampak sebenarnya, siapa yang patut dia sokong selepas ini.

Di samping itu, nampaknya makin peninglah BN berhadapan dengan kesederhanaan para pemimpin PR. Saya mahu, biarlah kesederhanaan ini menjadi trade mark PR. Sebabnya saya pun meluat juga melihat pemimpin asyik berkereta besar, sedangkan kita rakyat bawahan ini, nak beli kereta Myvi sebiji pun bagaikan meneran berak yang keras..!

Kenangan nonton wayang


Sabtu yang bersejarah! Saya nonton wayang bersama famili. Cerita Kung Fu Panda. Isteri saya bising-bising…"Hai anak-anak umi, bertuah betul dapat tengok wayang kecil-kecil.” Memang, saya dan isteri inilah pun first time nonton di panggung. Sebelum ni ada cuba tapi tak berhasil.

Teringat masa kecil dahulu, di kampung...saya dan kawan-kawan suka nonton wayang. Masa itu wayangnya hitam putih lah. Orang dari Jabatan Penerangan yang guna van Wolkswagen siap dengan corong pembesar suara yang tayang. Mereka akan uar-uarkan dahulu melalui van itu di jalan raya (kami panggil jalan raya itu tembak), sekian tarikh, sekian malam akan dibuat tayangan. Tiba hari yang dijanjikan, maka kami budak-budak pun tak sabar-sabarlah lagi menantikannya.

Saya ingat lagi, satu petang itu kami budak-budak kecil sudah berkerumun dekat rumah Tok Che Makrit. Ada tayangan gambarlah. Ceritanya saya dah tak ingat. Orang-orang Jabatan Penerangan sudah sampai. Mereka naikkan layar berwarna putih. Van yang mempunyai mesin jenerator pun sudah sedia. Hari menjelang magrib dan kami tak sabar-sabar menanti malam.

Masa itulah, saya sudah lupa siapa, tapi ada seseorang dewasa yang menyuruh kami balik. “Pergi balik dulu, mandi! Lepas tu mari la balik tengok wayang!” Kami pun baliklah. Nak tahu malam itu apa jadi…saya tertidur selepas maghrib! Hancuss…melepaslah wayang saya.

Satu petang lain pula, saya bermain bersama-sama kawan. Ralit bermain hingga dekat maghrib. Balik ke rumah, ada orang bertanya (ah…dah lupa, siapa ye…): “Ju, hang pegi mana?” “Wakpa (kenapa)?” Tanya saya balik.

“Tadi pak lang hang cari. Dia nak ajak hang tengok wayang di (pekan) Lenggong.” Wah…alangkah kesalnya saya. Kerana ralit bermain, saya terlepas peluang tengok wayang. Panggung wayang di pekan itu memang selalu saya lihat. Ia berdiri megah di belakang pekan Lenggong, dekat dengan kedai gunting rambut. Setiap bulan semasa bergunting, saya tengok bangunan itu. Seingat saya ada tulisan ‘Capitol’ pada pintu gerbang yang membentuk dinding hadapannya.

Kini, panggung wayang itu pun sudah runtuh. Diruntuhkan orang demi pembangunan pekan Lenggong. Sampai sudah saya tak merasa jejak panggung itu!

Moral: Saya rasa tak salah tengok wayang; tapi kena pilih ceritanya. Saya rasa Kung Fu Panda okay, sesuai untuk tontonan sekeluarga. Ia ada beberapa pengajaran, misalnya: Melentur manusia ikutlah kelebihannya (tak boleh samakan setiap orang cara mendidiknya); kita yang membuatkan diri kita istimewa bukannya orang lain dan sikap merendah diri memang sampai bila-bila disukai semua manusia!